Anda di halaman 1dari 10

Kronologi Lengkap Peristiwa Hijrah Rasulullah Dari Makkah Ke Madinah

24 OCTOBER 2014
SHARE:
Sempena Maal Hijrah kali ini, marilah kita menyingkap sejarah kisah perpindahan
(HIJRAH) Nabi Muhammad dari Kota Makkah menuju ke Kota Madinah untuk
menyelamatkan Islam daripada ditindas.

Hijrah ke Taif
Setelah semakin kuat penentangan oleh orang-orang kafir Makkah, Baginda
kemudiannya pergi ke Taif dengan harapan untuk menyampaikan da`wah.
Baginda telah ke Taif pada bulan Syawwal tahun ke-10 kenabian. Jarak Taif dari
Makkah ialah sejauh 60 batu. Baginda pergi dan balik berjalan kaki dengan
ditemani pembantunya, Zaid bin Harithah.

Setiap kali Baginda berjumpa dengan kabilah di jalan, maka Baginda akan
mengajak mereka kepada Islam. Namun tidak satu pun kabilah yang menyahut
ajakan Baginda. Apabila sampai di Taif, Baginda berjumpa dengan 3 orang
bersaudara dari bani Thaqif. Ketiga-tiga mereka telah mengejek dan menghina
Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.

Baginda tinggal di Taif selama 10 hari. Sepanjang tempoh itu, semua orang
kenamaan telah Nabi jumpa. Tetapi semua mereka telah menghina Nabi. Malah
mereka menyuruh khadam-khadam mereka membaling batu kepada Nabi ketika
Nabi hendak keluar dari Taif. Tumit Nabi terkena batu sehingga kasut Baginda
dipenuhi darah. Zaid bin Harithah yang cuba melindungi Nabi, telah terkena batu
di kepalanya.

Nabi telah dihambat sejauh 3 batu dari Taif sehinggalah Nabi masuk ke kebun
`Utbah dan Shaybah yang merupakan 2 beradik anak lelaki Rabi`ah. Di kebun
itu, Nabi duduk di bawah pohon kurma untuk menenangkan diri. Lalu Baginda
pun berdoa kepada ALLAH:

Ya ALLAH, kepadaMU aku mengadu lemahnya aku ini, serta kurangnya daya
upayaku serta hinanya aku di kalangan manusia. Wahai Yang Maha Pengasih di
antara yang mengasihani, ENGKAU adalah TUHAN orang-orang yang lemah,
ENGKAU adalah TUHANku, kepada siapa ENGKAU serahkan aku ini? Adakah
kepada orang jauh yang mencari kesempatan menyerangku? Atau adakah
kepada musuh yang ENGKAU serahkan urusanku kepadanya? Jika ENGKAU tidak
memurkaiku, maka aku tidak akan mempedulikannya, akan tetapi kesejahteraan

daripada-MU adalah lebih luas untukku. Aku berlindung dengan cahaya wajahMU yang menerangi segala kegelapan serta menyebabkan urusan dunia dan
akhirat ini menjadi baik, agar janganlah kemurkaan-MU menimpa kepadaku atau
ENGKAU menjadi murka kepadaku. Bagi-MU keredhaan sehingga ENGKAU benarbenar meredhainya, tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan pertolonganMU jua.

Lihat Peta Dengan Saiz Besar


Kedudukan Makkah, Madinah dan Taif (garisan biru adalah laluan jalanraya yang
ada sekarang)

Walaupun Baginda sangat sedih dengan apa yang berlaku di Taif, namun telah
berlaku beberapa peristiwa menarik sepanjang perjalanan Nabi sallAllahu `alaihi
wasallam ke Makkah.

Peristiwa dipeluk oleh seorang khadam yang beragama Nasrani di kebun tempat
Nabi singgah, didatangi Jibril beserta malaikat penjaga bukit ketika di Qarnul
Manazil dan dirombongi oleh sekumpulan jin untuk mendengar ayat-ayat alQuran ketika Baginda sampai di Lembah Nakhlah, telah menaikkan semangat
Baginda sallAllahu `alaihi wasallam untuk meneruskan da`wah dan merancang
strategi baru.

Menawarkan Islam Kepada Kabilah Dan Individu


Pada bulan Zulkaedah tahun ke-10 kenabian, Nabi telah kembali ke Makkah
untuk memperbaharui seruan Islam kepada kabilah-kabilah dan individu-individu.
Seperti biasa, Makkah akan dikunjungi oleh kabilah-kabilah dari luar sempena
musim haji pada bulan Zulhijjah. Sebenarnya Nabi telah berdakwah kepada
banyak kabilah yang datang ke Makkah pada musim haji sejak tahun ke-4
kenabian lagi. Tetapi tidak satu kabilah pun menerima dakwah Baginda. Namun
terdapat beberapa individu menerima dakwah Baginda dan masuk Islam.

Pada musim haji tahun ke-11 kenabian, Nabi telah bertemu dengan 6 orang
pemuda dari Yathrib. Mereka tertarik dengan seruan Nabi kerana mereka pernah
mendengar cerita tentang Nabi akhir zaman yang akan keluar dari mulut-mulut
orang Yahudi di Yathrib. Mereka pulang ke Yathrib dalam keadaan masih belum
masuk Islam, tetapi mereka telah membawa perkhabaran tentang Nabi akhir
zaman kepada seluruh masyarakat Yathrib. Jadi, seluruh penduduk Yathrib mula
maklum berkenaan Rasulullah.

Perkahwinan Rasulullah SAW Dengan `Aisyah

Pada bulan Syawwal tahun ke-11 kenabian, Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah
berkahwin dengan `Aisyah radhiAllahu `anha.

Isra Mi`raj
Pada saat dakwah Nabi kelihatan seperti samar masa depan, ALLAH telah
menghadiahkan Nabi dengan suatu peristiwa agung iaitu Isra Mi`raj. Ada
beberapa pandangan tentang bila berlakunya Isra Mi`raj. Sheikh Safiyyu arRahman al-Mubarakfuri iaitu penulis ar-Rahiq al-Makhtum memilih samada ia
berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke-12 kenabian, atau bulan Muharram
tahun ke-13 kenabian, atau bulan Rabi`ul Awwal tahun ke-13 kenabian.

Di dalam peristiwa yang agung ini, Nabi telah diperjalankan secara dari Makkah
ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis, lalu diangkat ke Sidratul Muntaha untuk
mengadap ALLAH. Setelah menerima pensyariatan solat fardhu sebanyak 5 kali
sehari semalam, Nabi pun pulang semula ke Makkah. Peristiwa ini berlaku pada
satu malam dan ia benar-benar menguji keimanan orang-orang Islam pada ketika
itu.

Ada yang setelah mendengar peristiwa ini tetap beriman malah semakin teguh
iman mereka, ada yang ragu-ragu dan ada yang terus murtad. Abu Bakr digelar
as-Siddiq kerana beliau adalah orang pertama yang membenarkan kata-kata
Nabi tanpa ragu.

Bai`ah Pertama
Pada musim haji tahun ke-12 kenabian, Nabi telah membuat pertemuan dengan
12 orang lelaki dari Yathrib, lanjutan dari pertemuan pertama di `Aqabah, Mina
pada tahun ke-11 kenabian. Kesemua 12 orang lelaki itu telah bersetuju masuk
Islam dan berbai`ah dengan Nabi. Nabi telah menghantar seorang pemuda
bernama Mus`ab bin `Umair untuk mengikut rombongan 12 orang tersebut
pulang ke Yathrib.

Tujuannya ialah supaya Mus`ab bin `Umair dapat mengajar orang-orang yang
masuk Islam di Yathrib tentang syari`at-syari`at Islam.

Sebelum tiba musim haji tahun ke-13 kenabian, Mus`ab pulang ke Makkah
bertemu Nabi dengan membawa berita yang menggembirakan. Banyak
penduduk Yathrib dari pelbagai perkampungan menerima ajaran Islam.

Bai`ah Kedua

Pada musim ke-13 kenabian, seramai 70 orang lelaki dan 2 orang wanita
beragama Islam dari Yathrib datang ke Makkah untuk mengerjakan haji. Mereka
datang bersama jemaah haji lain yang masih syirik. Kali ini telah berlaku bai`ah
kedua dengan kandungan perjanjian yang lebih tegas dan serius iaitu dalam hal
taat setia atas segala suruhan Nabi dan sanggup melindungi Nabi walau dalam
keadaan apa sekali pun. Seramai 12 orang naqib telah dilantik bagi memikul
tanggungjawab memimpin kaum mereka ketika Yathrib. Daripada 12 orang itu, 9
orang dilantik dari kabilah Khazraj dan 3 dari kabilah Aus.

Permulaan Hijrah
Setelah Bai`ah `Aqabah kedua, Islam mula mendapat tapak yang kukuh untuk
disebarkan di tanah Arab, iaitu di Yathrib. Walaupun belum pasti dengan masa
depan berhijrah ke Yathrib, namun atas keimanan yang sangat tinggi, penduduk
Makkah yang beragama Islam sedikit demi sedikit telah berhijrah ke Yathrib.
Risikonya terlalu tinggi. Nyawa, keluarga dan harta terpaksa dikorbankan demi
penghijrahan ini.

Banyak sekatan telah berlaku terhadap ummat Islam ketika hendak melakukan
hijrah. Sekatan dilakukan kerana Musyrikin Makkah khuatir dengan dengan
perkembangan Islam yang mula diterima oleh penduduk Yathrib.

Antara yang masyhur diceritakan ialah bagaimana kisah Abu Salamah, Ummu
Salamah dan anaknya yang dipisahkan oleh kabilah dan keluarga mereka. Iaitu
Abu Salamah dilepaskan ke Yathrib, manakala Ummu Salamah ditahan oleh
keluarganya, dan anaknya ditahan oleh keluarga Abu Salamah.

Selepas setahun barulah Ummu Salamah dibebaskan oleh keluarganya. Ummu


Salamah lalu pergi mengambil anaknya yang ditahan oleh keluarga suaminya
dan terus ke Yathrib yang jauhnya 500 km dengan berjalan kaki tanpa ada orang
pun yang menemani mereka.

Kisah Suhaib yang ditahan oleh kafir Quraisy lalu dilepaskan Suhaib kerana
Suhaib sanggup memberikan kesemua hartanya untuk melepaskannya. Dan
kisah `Iyash yang ditipu mengatakan bahawa ibunya mengugut untuk berjemur
di tengah panas, apabila beliau pergi untuk menemui ibunya, lalu `Iyash
ditangkap serta diikat lalu diarak di kota Makkah menunjukkan cara menghukum
orang yang hendak ke Yathrib. Begitulah besarnya pengorbanan para sahabat
Nabi untuk menjaga aqidah mereka.

Usul Membunuh Nabi oleh Darul Nadwah (Parlimen Quraisy)


Pada hari Khamis, 26 Safar tahun ke-14 kenabian, Darul Nadwah iaitu Parlimen
Quraisy telah bersidang untuk berbincang bagaimana untuk terus menghentikan

dakwah Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam, bukan sahaja di Makkah


malah untuk menghentikan terus dari terus merebak ke lain-lain tempat.

Ini kerana mereka mulai sangat risau dengan perkembangan terbaru iaitu
penghijrahan orang-orang Islam ke Yathrib dan kesediaan orang-orang Yathrib
membantu Nabi. Kerisauan ini timbul kerana Yathrib merupakan lokasi strategik
laluan perdagangan orang-orang Makkah. Mereka risau perdagangan mereka
tergugat dan amalan sembahan berhala mereka turut terencat.

Beberapa cadangan telah dikemukakan namun ditolak oleh seorang tua yang
turut serta dalam mesyuarat itu. Lelaki tua itu ialah Iblis yang menyamar sebagai
seorang tua dari Najd. Akhirnya cadangan Abu Jahal diterima oleh lelaki tua itu.
Iaitu agar dikumpulkan lelaki yang gagah dan terhormat dari setiap kabilah
untuk membunuh Nabi.

Cadangan ini bukan sahaja pada pandangan mereka akan menghentikan terus
dakwah Nabi, tetapi juga dapat mengelakkan dari hanya satu kabilah sahaja
diperangi oleh bani `Abdul Manaf. Bani `Abdul Manaf tentu tidak berupaya untuk
membalas dendam terhadap semua kabilah yang bersekutu untuk membunuh
Nabi. Jika mereka meminta diat (bayaran tebusan), maka itu tentu lebih mudah
dan pembesar-pembesar Quraisy sanggup membayarnya.

Parlimen Makkah setuju sebulat suara lalu masing-masing dengan keazaman


yang tinggi bersiap sedia mahu melaksanakan usul tersebut.

Pada 26 Safar tahun ke-14 kenabian, setelah mendapat wahyu dari ALLAH
Ta`ala, Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam bergegas untuk berjumpa
Abu Bakar bagi menerangkan rancangan hijrah Baginda. Abu Bakar telah dapat
meneka apa tujuan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam berjumpa dengannya pada
waktu tengahari yang panas itu.

Setelah diberitahu mengenai rancangan Baginda, Nabi pun pulang ke rumahnya


semula untuk menunggu tibanya waktu malam.

Dalam masa yang sama, penjenayah-penjenayah besar Quraisy mula melakukan


persiapan untuk melaksanakan apa yang telah mereka bincangkan di Darul
Nadwah pagi tersebut, iaitu perancangan untuk membunuh Nabi Muhammad
sallAllahu `alaihi wa sallam. 11 orang penjenayah telah terpilih untuk
melaksanakan misi jahat tersebut.

Bertolak dari Makkah

Apabila malam menjelma, iaitu malam 27 Safar tahun ke-14 kenabian, 11 orang
penjenayah tersebut telah berkumpul di depan rumah Nabi. Pembunuhan telah
dirancang untuk diadakan pada setengah malam iaitu ketika Nabi sedang tidur.
Jadi, sepanjang malam itu mereka menunggu dan mengintai-intai samada Nabi
sudah tidur atau belum.

Namun, kekuasaan ALLAH dan peliharaan ALLAH terhadap kekasihNYA


mengatasi kesempurnaan perancangan jahat penjenayah-penjenayah Quraisy
tersebut sebagaimana disebut di dalam Surah al-Anfal, ayat ke-30.

Sebelum Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bertolak meninggalkan rumah,


Banginda telah menyuruh Ali bin Abi Talib untuk tidur di tempat tidurnya dengan
menggunakan selimut yang biasa Nabi gunakan iaitu selimut al-Hadrami
berwarna hijau. Nabi kemudian keluar, mengambil pasir dan menaburkannya ke
atas penjenayah-penjenayah itu sambil membaca ayat ke-9 dari surah Yasin.

Dengan izin ALLAH `Azza wa Jalla, penglihatan penjenayah-penjenayah tersebut


ditutup dan mereka tidak dapat melihat Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam.
Mereka terus menunggu waktu yang sesuai untuk melakukan pembunuhan,
sedangkan Nabi telah pun keluar meninggalkan rumahnya.

Dari rumahnya, Nabi terus ke rumah Abu Bakar sebagaimana yang telah
dirancang tengahari tadi. Mereka berdua bertolak dari rumah Abu Bakar dari
pintu belakang dan terus meninggalkan Makkah sebelum waktu fajar.

Seorang lelaki yang melihat dari jauh kemudiannya menegur penjenayahpenjenayah itu kenapa tidak dilakukan seperti yang dirancang, kerana dia
melihat Nabi Muhammad sudah pun keluar meninggalkan rumahnya.
Penjenayah-penjenayah itu mengatakan bahawa mereka tidak nampak langsung
Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam seperti didakwa lelaki tersebut.

Setelah mendengar penjelasan lelaki tersebut, penjenayah-penjenayah itu pun


mengintai ke dalam rumah Nabi dan melihat ada orang yang sedang tidur
berselimut. Mereka pun yakin bahawa lelaki yang mendakwa bahawa Nabi sudah
keluar itu, tersilap. Mereka lalu terus menunggu-nunggu sehingga menjelang
pagi. Kecewalah mereka rupa-rupanya yang di dalam selimut itu ialah Ali bin Abi
Talib, bukannya Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.

Di Gua Thur Selama 3 Hari


Walaupun Yathrib (nama asal bagi Madinah) terletak di Utara Makkah, namun
Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam tidak memilih jalan biasa iaitu utara Makkah

untuk ke sana. Ini kerana Baginda menyedari bahawa risiko yang sangat tinggi
buat mereka berdua di laluan tersebut yang pastinya sedang menunggu Nabi.

Gua Thur (sekarang)


Gua Thur sekarang
Sebaliknya, Baginda menuju selatan Makkah sebagai jalan keluar Nabi dari
Makkah. Setelah 5 batu berjalan, Nabi sampai di Bukit Thur. Ketika melalui di
atas bukit ini, kaki Nabi yang mulia melecet kerana bukitnya berbatu bata dan
sangat sukar untuk didaki. Abu Bakar terpaksa memapah Baginda dengan
bersusah payah hingga menemui sebuah gua di puncak bukit tersebut.

Mereka berdua tidak terus masuk ke dalam gua kerana khuatir ada bahaya di
dalamnya. Abu Bakar menawarkan diri untuk masuk terlebih dahulu untuk
memeriksa dengan katanya:

Demi ALLAH, jangan engkau masuk ke dalamnya melainkan aku masuk terlebih
dahulu. Kalau ada apa-apa bahaya, maka biar aku yang kena, asalkan jangan
kamu.

Abu Bakar menguis-nguis kakinya dan didapatinya ada 1 lubang. Beliau pun
mengoyakkan kainnya lalu menutup lubang tersebut. Kemudian didapati pula
ada 2 lubang lagi di dalamnya, lalu ditutup 2 lubang tersebut dengan
menekapkan 2 kakinya ke lubang tersebut.

Setelah keadaan dirasakan agak selamat, barulah Abu Bakar memanggil Nabi
Muhammad masuk ke dalam gua. Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam pun masuk
dan meletakkan kepalanya di atas pangkuan Abu Bakar lalu tertidur. Tiba-tiba
kaki Abu Bakar disengat binatang berbisa dari salah satu lubang itu, namun
ditahannya kesakitan itu sehingga menitis air matanya di atas wajah mulia
Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam. Nabi tersedar dan bertanyakan apa yang
telah terjadi. Setelah Abu bakar menceritakan bahawa beliau telah disengat,
Baginda pun meludah ke tempat sengatan itu, lantas hilanglah rasa sakit akibat
sengatan binatang berbisa itu.

Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam dan Abu Bakar berada di dalam gua
tersebut selama 3 hari iaitu malam Jumaat, malam Sabtu dan malam Ahad.
Selama 3 hari tersebut, ada 2 insan yang terlibat sama, iaitu `Abdullah bin Abu
Bakar (anak lelaki Abu Bakar) dan `Amir bin Fuhayrah (hamba Abu Bakar).

`Abdullah bin Abu Bakar bermalam berdekatan Bukit Thur. Apabila waktu sahur,
beliau akan ke Makkah seolah-olah dia tidur di Makkah. Siangnya, beliau akan

mengintip-ngintip perbualan orang-orang musyrikin Makkah terutama yang


berkaitan dengan usaha pembunuhan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam. Semua
berita akan disampaikan kepada Baginda pada malamnya apabila `Abdullah bin
Abu Bakar berjumpa Nabi. `Amir bin Fuhayrah pula mengembala kambingkambing milik Abu Bakar di kawasan tersebut.

Apabila waktu malam, beliau akan menghalau ternakan-ternakannya ke kawasan


tempat Nabi dan Abu Bakar bermalam dan membekalkan susu kepada mereka.
Apabila malam sudah larut, kambing-kambing itu akan dibawa ke Makkah
mengikut jalan yang dilalui `Abdullah bin Abu Bakar supaya jejak kakinya
terpadam. Begitulah yang terjadi sepanjang 3 hari itu.

Dalam pada itu, orang-orang kafir Makkah berasa sangat marah kerana tidak
menjumpai Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam. Ali bin Abi Talib telah
dipukul dan diseret ke ke Ka`bah dan Asma bin Abu Bakar pula telah
ditempeleng dengan sangat kuat dalam usaha mereka untuk mendapatkan
maklumat di manakah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam.

Bengang dengan kegagalan mereka untuk mengesan Nabi, mereka lalu


menyekat semua jalan keluar Makkah dengan meletakkan lelaki-lelaki bersenjata
dan tawaran 100 ekor unta kepada sesiapa yang dapat menawan Nabi samada
hidup atau mati turut diwar-warkan. Dengan tawaran itu, maka ramailah orang
yang berusaha mencari Nabi yang terdiri dari orang biasa, para penjejak jalan
dan pahlawan-pahlawan Makkah.

Bertolak Dari Gua Thur ke Yathrib (Madinah)


Selepas 3 hari di gua Thur, `Abdullah bin Urayqit al-Laythi seorang penunjuk
jalan yang mahir yang bukan beragama Islam, tetapi boleh dipercayai, telah
menemui Nabi di Gua Thur dengan membawa bersamanya kenderaan untuk
mereka berdua, sebagaimana dijanji sebelum itu.

Mereka bertolak pada bulan Rabi`ul Awwal tahun 14 kenabian. Selain Nabi
Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam dan Abu Bakar, `Amir bin Fuhayrah dan
`Abdullah bin Urayqit turut sama dalam perjalanan tersebut. Sebelum bertolak,
Asma bin Abu Bakar telah menemui mereka untuk memberikan bekalan bagi
menempuh perjalanan yang jauh dan mencabar itu.

Mereka berempat menggunakan jalan selatan ke arah Yaman, kemudian menuju


ke arah barat iaitu pesisiran pantai. Sampai di kawasan yang agak terpencil,
mereka berdua menuju ke arah utara berhampiran Laut Merah menuju ke Yathrib
dengan menggunakan jalan yang jarang digunakan orang.

ALLAH Subhanahu wa Ta`ala telah memelihara sepanjang perjalanan kekasihNYA


dan rombongannya itu. Bukan itu sahaja, malah terdapat beberapa peristiwa
menarik berlaku di mana beberapa individu dan kaum telah memeluk Islam
apabila bertemu dengan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam dalam perjalanan.

Singgah di Quba Selama 4 Hari


Pada hari Isnin, 8 Rabi`ul Awwal tahun ke 14 kenabian, Nabi Muhammad
sallAllahu `alaihi wa sallam dan rombongannya itu sampai di Quba.

Masjid Quba - dibina atas asas taqwa (Foto: Flicker)


Di Quba, Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam singgah di rumah Kalthum bin
al-Hadam. Baginda menetap selama 4 hari iaitu Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis
di Quba. Di situ Baginda mengasaskan masjid dan bersolat di dalamnya. Itulah
masjid pertama yang diasaskan atas dasar taqwa selepas Baginda menjadi Nabi,
iaitu Masjid Quba.

Sampai di Yathrib (Madinah)


Pada hari Jumaat, 12 Rabi`ul Awwal tahun ke-14 kenabian, Baginda bertolak ke
Madinah dengan rombongannya. Apabila masuk waktu solat Jumaat, Baginda
singgah untuk bersolat Jumaat di sebuah kawasan lembah di perkampungan Bani
Salim bin Auf. Seramai 100 orang lelaki menyertai mereka dalam solat tersebut.

Selepas selesai solat Jumaat, Nabi terus bergerak ke negeri Yathrib dan disambut
dengan sangat meriah oleh penduduk di situ. Walapun orang Ansar di Yathrib
bukanlah orang yang mewah, tetapi masing-masing menawarkan diri supaya
Nabi singgah dan menetap di rumah mereka lantaran besar hati ingin melayan
insan yang mereka kasihi dan muliakan, iaitu Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi
wa sallam.

Sebenarnya sebelum hari yang dinanti-nanti itu, mereka beramai-ramai telah


menunggu Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam setiap hari dan pulang semula
apabila mendapati Baginda tidak sampai. Walaupun penduduk Yathrib tidak
mengenali wajah dan susuk Baginda, namun perasaan cinta dan rindu mereka
sangat tinggi terhadap Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.

Rumah Abu Ayyub al-Ansari telah terpilih menjadi tempat menetap Nabi
sallAllahu `alaihi wa sallam di Yathrib apabila unta Baginda berhenti di kampung
Bani al-Najjar iaitu kampung keluarga pihak bapa-bapa saudara sebelah ibu
Baginda, di mana rumah Abu Ayyub merupakan rumah yang paling hampir

tempat unta tersebut berhenti. Tapak unta itu berhenti dijadikan tapak Masjid
Nabawi.

Beberapa hari selepas itu, Sawdah iaitu isteri Baginda sampai bersama 2 puteri
Baginda iaitu Fatimah dan Ummu Kalthum. Bersama mereka juga Usamah bin
Zaid dan Ummu Aiman. Mereka ini keluar dengan ditemani oleh `Abdullah bin
Abu Bakar dan `Aishah. Puteri Baginda yang bernama Zainab masih tinggal di
Makkah bersama Abu al-`As kerana tidak mendapat peluang keluar dari Makkah
sehinggalah setelah peperangan Badar. Allahu A`lam.

Begitulah serba ringkas kisah hijrah Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam dari
Makkah ke Yathrib. Selepas peristiwa besar itu, Yathrib digelar sebagai Madinah
ar-Rasul sallAllahu `alaihi wa sallam atau lebih dikenali dengan nama Madinah
sahaja sehingga kini. Peristiwa hijrah ini telah memulakan era baru dakwah Nabi
sallAllahu `alaihi wa sallam dengan peluang yang lebih besar dan cabaran yang
lebih hebat.

Allahumma solli `ala Muhammad, wa `ala aali Muhammad.

Anda mungkin juga menyukai