Anda di halaman 1dari 4

Pulau Perhentian Semasa Jepun

Semasa Jepun melanggar Tanah Melayu dalam perang dunia kedua iaitu di sekitar 1941
hingga tahun 1945, Pulau Perhentian tidak ketinggalan dari terasa bahangnya. Pulau
Perhentian dijadikan pelabuhan tempat persinggahan sementara tentera Jepun untuk
menyerang lain-lain tempat di Tanah Melayu dan Asia Tenggara. Kapal-kapal tentera
Jepun berlabuh dan berkubu sementara di Pulau Perhentian.
Tentera Jepun bertindak merampas makanan dan ternakan daripada orang-orang
kampung. Penduduk menjadi ketakutan, terutama sekali golongan muda. Ini adalah
kerana tentera Jepun bertindak cuba menangkap tenaga-tenaga muda ini untuk dijadikan
buruh keretapi maut di Burma. Bagi mengelakkan diri dari tertangkap, mereka melarikan
diri ke atas bukit dan memasuki hutan Pulau Perhentian. Penduduk kampung yang lari
terpaksa bermalam di dalam hutan dan mendapat bekalan makanan daripada golongan
tua yang masih tinggal di rumah masing-masing secara sembunyi-sembunyi. Sebenarnya
bukan sahaja golongan muda lelaki sahaja yang melarikan diri tetapi juga golongan wanita
kerana takut akan kekejaman tentera Jepun.
Kesengsaraan pada zaman Jepun turut dirasakan oleh penduduk Pulau Perhentian
sepertimana yang dirasakan oleh penduduk Tanah Besar Semenanjung. Semua ternakan
dan makanan yang tidak sempat disembunyikan dirampas oleh tentera Jepun dan sesiapa
yang cuba melawan akan diseksa dan dibunuh oleh mereka. Penduduk kampung yang
bersembunyi keluar dari tempat persembunyian apabila Jepun mengaku kalah dalam
tahun 1945. Setelah Jepun mengaku kalah baharulah orang-orang kampung menjalani
kehidupan seperti biasa sama seperti sebelum pendudukan tentera Jepun.
Pulau Perhentian Zaman Sekarang
Sekarang Pulau Perhentian sedang pesat membangun. Segala kemudahan asas yang
ada di Tanah Besar terdapat di sini walaupun tidak secanggih yang terdapat di Tanah
Besar. Penduduk Pulau Perhentian hampir mencapai angka seribu orang. Kehidupan
mereka kini tidak lagi susah dan perit sebagaimana beberapa dekad yang lalu. Mereka
tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
Dengan adanya kemudahan eletrik 12 jam, penduduk di sini mampu memiliki dan
mengikuti perkembangan semasa melalui peti televisyen dan tidak lagi tertutup kepada
dunia luar. Boleh dikatakan hampir setiap keluarga memiliki peti televisyen dan setiap
rumah diterangi lampu letrik. Di samping tenaga letrik penduduk Pulau Perhentian juga
mendapat kemudahan bekalan air paip yang disediakan oleh pihak kerajaan.
Perkampungan Pulau Perhentian kini menjadi sebuah perkampungan yang lebih tersusun
kerana adanya beberapa fasa perumahan yang dibina oleh kerajaan di samping beberapa
fasa lagi yang dalam pembinaan. Apabila semua projek perumahan kos rendah yang
dibina itu siap, Pulau Perhentian akan menjadi satu perkampungan yang cantik, kemas
dan tersusun. Dalam tempoh beberapa tahun lagi Pulau Perhentian tidak akan ada lagi
rumah-rumah di tepi pantai yang menyesakkan persekitaran.
Selain dari itu, Pulau Perhentian kini mempunyai beberapa kemudahan asas yang lain,
iaitu sebuah sekolah untuk kemudahan anak-anak tempatan, sebuah klinik untuk memberi
rawatan dan kemudahan kesihatan kepada penduduk kampung sebelum dihantar ke pusat
kesihatan besar di Tanah Besar. Sebuah pondok polis didirikan untuk memberi kemudahan
kepada orang ramai yang memerlukan pertolongan.

Sejak penghujung dekad 70an, pelancong dari dalam dan luar negara tidak putus
mengunjungi Pulau Perhentian. Ramai pelancong luar negara mengunjungi Pulau
Perhentian kerana udaranya yang bersih, pantainya yang cantik dengan pasir putih bersih
serta persekitaran pulau yang menarik. Oleh kerana kedatangan pelancong dari dalam
dan luar negara kian meningkat, penduduk kampung merebut peluang yang ada dengan
menyediakan keperluan untuk para pelancong. Banyak rumah tumpangan didirikan untuk
disewakan kepada pelancong. Bot-bot untuk kemudahan pelancong pergi dan balik dari
Pulau Perhentian juga disediakan. Perkembangan ini telah menjadikan penduduk Pulau
Perhentian mempunyai pilihan dalam mencari rezeki untuk keluarga. Dari segi taraf hidup,
penduduk Pulau Perhentian kini mempunyai taraf hidup yang sama dengan apa yang
dirasakan oleh penduduk di Tanah Besar.
Lagenda Di Pulau Perhentian
Batin Mina
Batin Mina merupakan orang yang pertama membuka satu kawasan penempatan di Pulau
Perhentian. Beliau dikatakan berasal dari Johor-Riau. Oleh kerana adanya campurtangan
Inggeris dan Belanda di situ, beliau telah bertindak menentang campurtangan itu. Pada
masa itu, Belanda menguasai kepulauan Indonesia dan Inggeris menguasai Tanah
Melayu. Beliau dikatakan begitu marah dengan campurtangan itu dan bertindak
menentang dasar itu.
Beliau dikatakan bersama orang-orangnya telah bertindak menyerang kapal-kapal dagang
Inggeris dan Belanda yang berlayar di sekitar perairan Riau. Tindakannya menyerang dan
merampas barang-barang dagangan yang dibawa oleh kapal-kapal dagang Inggeris dan
Belanda itu telah menimbulkan kemarahan pihak Belanda dan Inggeris. Pihak Belanda
dan Inggeris menganggap Batin Mina dan orang-orangnya sebagai lanun. Tetapi tindakan
Batin Mina dan orang-orangnya tidak begitu berkesan untuk menghalang dua kuasa
imperialis itu dari menguasai gugusan Kepulauan Melayu. Ini adalah kerana dua kuasa itu
mempunyai kelengkapan senjata yang baik.
Tindakan Batin Mina itu telah menyebabkan pihak Belanda dan Inggeris menyerang balas
dan menyerang kubu-kubu yang digunakan oleh Batin Mina dan orang-orangnya. Batin
Mina yang telah dianggap lanun oleh dua kuasa barat itu telah menjadi buruan pihak
Belanda dan Inggeris. Batin Mina dan orang-orangnya telah lari dari buruan pihak Inggeris
dan Belanda itu ke Timur Semenanjung. Kemudian membuka penempatan dan menetap di
Teluk Dalam Pulau Perhentian Besar.
Beliau dikatakan seorang yang terkenal kerana mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi.
Seorang pendekar yang terbilang serta mempunyai ilmu kebal. Beliau juga adalah seorang
bomoh yang handal. Di Pulau Perhentian beliau dikenali sebagai Batin. Kehandalan Batin
Mina sebagai bomoh memang terkenal kerana dikatakan telah berjaya mengubati penyakit
sehingga sampai ke istana.
Pada masa beliau menjadi batin di Pulau Perhentian, bekalan pakaian dan makanan tidak
mencukupi untuk penduduk yang di bawah tanggungjawabnya. Langkah yang diambil oleh
Batin Mina ialah dengan meminta bekalan makanan dan pakaian dari wakam atau
tongkang besar Cina yang berlabuh di sekitar perairan Pulau Perhentian. Segala
pemberian itu bolehlah dianggap sebagai cukai dan jaminan keselamatan kepada kapal-

kapal dagang yang berlabuh.


Tetapi ada di antara kapal-kapal dagang Cina yang berlabuh itu enggan memberikan apa
yang diminta oleh Batin Mina. Tindakan pedagang itu menimbulkan kemarahan Batin
Mina. Dengan menggunakan ilmu kebatinan yang ada padanya, beliau dikatakan telah
bertindak menghalang pelayaran kapal-kapal dagang itu dengan membina beting-beting
pasir di tengah laut. Oleh kerana adanya beting pasir itu, kapal-kapal tidak dapat
meneruskan pelayaran dan terpaksa tunduk kepada Batin Mina. Tindakan Batin Mina itu
telah menyebabkan kapal-kapal dagang yang berlindung di Pulau Perhentian membayar
cukai kepada Batin Mina.
Panglima Dayak
Beliau adalah merupakan panglima kepada Batin Mina. Panglima Dayak bertindak sebagai
pembantu kepada Batin Mina dari segi keselamatan penduduk Pulau Perhentian pada
masa itu. Beliau tidak terus menjadi panglima kepada batin yang selepas Batin Mina.
Mengikut cerita, beliau dikatakan ghaib selepas sahaja kematian Batin Mina.
Mengikut cerita, jika ada orang yang tersesat di atas bukit Pulau Perhentian Besar akan
terjumpa dengannya dan beliau akan membantu atau membawa ke satu tempat yang
dinamakan Pinang Seribu. Dari cerita lisan yang diperkatakan, pernah terjadi orang yang
tersesat di atas bukit Pulau Perhentian akan ditemui di tempat yang sama sahaja dengan
mereka yang tersesat sebelumnya. Ini terjadi kerana mereka yang tersesat itu dikatakan
telah dibawa oleh Panglima Dayak. Setelah mereka yang tersesat itu dibawa ke beberapa
tempat dengan tidak disedari oleh mereka yang tersesat itu, kemudian ianya akan dihantar
ke satu tempat yang dikenali dengan Pinang Seribu. Orang yang mencari akan menemui
mereka yang tersesat itu di tempat yang sama setiap kali kejadian sesat ini berlaku.
Panglima Dayak ini dikatakan masih ada lagi hingga sekarang ini. Wallahualam.
Metos Di Pulau Perhentian
Pada zaman dahulu, di Pulau Perhentian tinggal seekor naga yang sangat besar. Naga itu
dikenali dengan panggilan Naga Pulau Berjuang. Ia tinggal di satu tempat yang sekarang
ini dikenali dengan Tanjung Basi, Pulau Perhentian Besar. Pada satu ketika, Naga Pulau
Berjuang turun ke laut kerana berjuang menentang seekor naga lain yang cuba
mengganas dan menenggelamkan Pulau Perhentian. Tempat naga itu turun meninggalkan
kesan di atas bukit Pulau Perhentian. Jalan yang dilalui oleh naga itu sekarang ini dikenali
dengan nama Jalan Naga. Satu perkara lagi yang menarik di Pulau Perhentian ialah
tentang ular yang ada di atas pulau ini. Tidak ada ular bisa tinggal di atas pulau ini. Semua
ular yang tinggal di pulau ini tidak mempunyai bisa. Dari apa yang diperkatakan, yang ada
di atas pulau ini hanyalah ular sawa sahaja. Mengikut cerita, ular bisa tidak boleh tinggal di
atas pulau ini kerana terdapatnya keladi lekir dan akar cina putih yang mujarab sebagai
penawar bisa ular. Walau ular itu bisa semacam manapun, ianya akan menjadi tawar
kerana adanya dua jenis tumbuhan itu. Oleh kerana itulah, semua ular bisa tidak berani
tinggal di atas Pulau Perhentian. Akar cina putih mendapat nama kerana, ianya digunakan
oleh kelasi-kelasi kapal dagang Cina untuk membuat tali sauh dan tali kapal. Akar cina
putih ini adalah sejenis tumbuhan yang menjalar dan kukuh sebagai tali. Oleh kerana
ianya sering digunakan oleh tongkang-tongkang dan kapal-kapal dagang cina, lalu ianya
diberi nama sebagai akar cina putih. Sebagaimana yang telah diceritakan, Pulau
Perhentian memang bebas dari ular yang berbisa. Apa yang dimaksudkan di sini ialah di
atas pulau itu. Mengikut cerita, memang tidak ada ular bisa di atas pulau itu melainkan ular

laut saja. Cuma yang ada sejenis ular sahaja iaitu ular sawa.
Sumber:
Berita Darul Iman Mac - Okt. 1995
oleh : Yusof Bin Awang Su
Pemenang Ketiga: "Sayembara Penulisan Tempat Sejarah Di Terengganu

Anda mungkin juga menyukai