Anda di halaman 1dari 4

Pembukaan dan penempatan awal di Pulau Perhentian

Pulau Perhentian mula didiami pada penghujung abad ke 18. Tempat yang mula-mula dibuka dan
didiami ialah Teluk Dalam, di sekitar sebatang alur air payau yang cetek yang dikenali sebagai Alur
Cina. Orang yang paling awal mendudukinya ialah Batin Mina dan keluarganya. Beliaulah orang
yang bertanggungjawab menjadikan Pulau Perhentian sebagai satu petempatan.
Asal Penduduk Pulau Perhentian
Orang yang pertama menduduki Pulau Perhentian dipercayai berasal dari Kepulauan Riau, iaitu
jajahan takluk Johor-Riau pada masa itu. Batin Mina dan keluarganya datang ke Pulau Perhentian
dengan menumpang kapal-kapal dagang China yang berulang alik dari China ke Asia Tenggara.
Beliau telah melarikan diri dari buruan Belanda kerana telah bertindak menentang penjajahan
dengan cara merompak dan mengugut kapal-kapal dagang barat. Keturunan beliaulah yang terus
mendiami Pulau Perhentian serta beberapa keluarga yang berasal dari Tanah Besar Semenanjung.
Bagaimana Pulau Perhentian Mendapat Nama
Pulau ini pada awalnya tidak mempunyai nama yang khusus. Ianya dijadikan tempat persinggahan
bagi kapal-kapal dagang yang berulang alik dari China ke Asia Tenggara seperti Singapura, Jawa
dan beberapa tempat di Semenanjung Tanah Melayu. Di pulau ini juga dijadikan tempat
persinggahan kapal-kapal garam dari Singgora (Selatan Thai), untuk menghantar garam ke Kuala
Terengganu. Oleh kerana pulau ini sering dijadikan tempat persinggahan bagi kapal-kapal yang
dalam pelayaran, ianya telah dinamakan sebagai Pulau Perhentian. Iaitu pulau tempat kapal-kapal
singgah atau berhenti seketika sebelum meneruskan pelayaran. Sehingga sekarang pulau ini masih
lagi dijadikan tempat berlindung bagi kapal-kapal dari angin kencang dan ombak besar.
Pentadbiran Pulau Dan Hubungan Dengan Pemerintah Negeri
Pulau Perhentian pada masa dahulu ditadbir oleh seorang ketua yang dikenali dengan panggilan
Batin. Beliaulah orang yang bertanggungjawab terhadap kebajikan dan keselamatan orang-orang di
bawah kawalannya. Batin pada masa itu adalah merupakan seorang pendekar yang terbilang dan
juga seorang bomoh yang handal serta mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi.
Batin Mina merupakan orang yang pertama menduduki dan mentadbir Pulau Perhentian. Pada
zamannya teraju pentadbirannya terletak di Teluk Dalam iaitu Pulau Perhentian Besar.
Pentadbirannya dibantu oleh seorang panglima yang dikenali sebagai Panglima Dayak. Batin
dengan dibantu oleh panglimanya yang bertanggungjawab bagi memastikan keamanan dan
kestabilan persekitaran pulau.
Selepas kematian Batin Mina, teraju pemerintahan pulau diambil alih pula oleh adiknya iaitu Batin
Jamal. Tidak lama selepas kematian Batin Mina, mereka yang tinggal di perkampungan Teluk
Dalam Pulau Perhentian Besar sudah tidak tenteram lagi. Keadaan ini terjadi kerana adanya
gangguan dari makhluk-makhluk halus, yang dikatakan sebelumnya dapat dikawal oleh Batin Mina.
Keadaan menjadi bertambah buruk lagi apabila tanaman tidak menjadi kerana dirosakkan oleh
lutong (sejenis monyet) dan tikus. Oleh kerana keadaan sudah tidak terkawal lagi, Batin Jamal
pentadbir pulau pada masa itu mengambil keputusan untuk berpindah.
Batin Jamal dan semua penduduk Pulau Perhentian pada masa itu telah berpindah ke Negeri
Sanyanya dan membuka penempatan di situ. Negeri Sanyanya ialah Kuala Besut sekarang ini. Di
Negeri Sanyanya (Kuala Besut), Batin Jamal membuka perkampungan baru. Setelah tinggal
beberapa lama di Negeri Sanyanya (Kuala Besut), Batin Jamal dan orang-orangnya teringin untuk
kembali ke Pulau Perhentian. Setelah mengadakan perbincangan dengan semua orang-orangnya,

Batin Jamal mengambil keputusan untuk kembali ke Pulau Perhentian. Sekembalinya dari Negeri
Sanyanya (Kuala Besut), mereka tidak lagi tinggal di Teluk Dalam tetapi menduduki Pasir Hantu
(penempatan sekarang) di Pulau Perhentian Kecil.
Selepas kematian Batin Jamal, pentadbiran Pulau Perhentian diambil alih pula oleh Batin Deris.
Pentadbiran Batin Deris dibantu oleh seorang panglima yang dikenali sebagai Panglima Ebet. Batin
Deris dan panglimanya bertanggungjawab terhadap soal-soal kebajikan dan keselamatan orangorangnya. Selepas kematian Batin Deris, warisan kebatinan diambil alih pula oleh Batin Saman,
selepas kematian Batin Saman ianya diambil alih pula oleh Batin Yahya. Kemudian, selepas Batin
Yahya meninggal dunia ianya diteruskan pula oleh Batin Talib dengan dibantu oleh panglimanya
yang bergelar Panglima Kecik atau dikenali juga dengan panggilan Tok Deramat. Pada zaman Batin
Taliblah, penduduk Pulau Perhentian dapat disatukan di satu tempat iaitu penempatan sekarang ini.
Batin Talib telah berjaya mengumpulkan semua penduduk Pulau Perhentian di satu kawasan
penempatan di sekitar awal abad ke 20. Selepas Batin Talib meninggal dunia, pentadbiran Pulau
Perhentian diteruskan lagi oleh Batin Sidek. Batin Sidek merupakan batin yang terakhir sekali dalam
warisan kebatinan yang mentadbir Pulau Perhentian. Beliau meninggal dunia pada awal tahun
1990. Selepas kematiannya tidak ada lagi warisan kebatinan yang menjadi ketua penduduk Pulau
Perhentian. Ianya telah diganti dengan seorang Ketua Kampung.
Batin Pulau Perhentian mempunyai hubungan istimewa dengan pemerintah negeri iaitu Baginda AlSultan Terengganu. Kisah perhubungan ini dikatakan bermula pada zaman Batin Mina lagi
sehinggalah kepada batin-batin selepasnya. Hubungan dikatakan bermula apabila Batin Mina
berkeupayaan mengubat penyakit yang dihidapi oleh baginda Sultan Terengganu
Mengikut cerita, pada zaman pemerintahan ayahanda kepada Sultan Sulaiman telah terjalin
hubungan antara Batin Mina dengan baginda Al-Sultan Terengganu yang memerintah. Sejarah
hubungan istimewa dikatakan bermula apabila Almarhum Sultan yang memerintah ketika itu ingin
menduga kepandaian dan kehandalan bomoh dalam negeri dan jajahan takluk baginda. Cara
baginda menguji kepandaian bomoh ialah baginda pura-pura sakit.
Apabila baginda sakit seluruh negeri dikhabarkan berita itu. Semua bomoh-bomoh dan dukundukun yang handal dipanggil untuk mengubati baginda. Walaupun semua bomoh-bomoh dan
dukun-dukun yang handal datang mengubati baginda namun penyakit baginda tidak juga sembuh.
Semua bomoh dan dukun yang datang tidak tahu penyakit yang dihidapi oleh baginda.
Berita tentang Al-Sultan Terengganu yang sedang gering itu sampai ke pengetahuan Tengku Chik,
Raja yang memerintah Besut pada masa itu. Tengku Chik menyembahkan kepada Al-Sultan
Terengganu tentang adanya seorang bomoh yang handal di Pulau Perhentian. Apabila berita itu
sampai ke pengetahuan baginda, lalu baginda menitahkan supaya bomoh dipanggil untuk datang
ke Kuala Terengganu dan mengubati baginda. Setelah dititahkan oleh Sultan Terengganu supaya
datang mengadap, Batin Mina iaitu bomoh yang dimaksudkan oleh Tengku Chik mula bersiap-siap
untuk memulakan pelayaran ke Kuala Terengganu.
Batin Mina memulakan pelayaran ke Kuala Terengganu dengan menggunakan sebuah perahu kecil
yang diperbuat daripada batang kayu dan layarnya diperbuat daripada sebidang tikar. Pada masa
itu ialah musim tengkujuh. Batin Mina belayar seorang diri mengharungi gelora musim tengkujuh
untuk ke Kuala Terengganu semata-mata untuk mengubati Baginda Al-Sultan. Setelah sampai di
Kuala Sungai Terengganu dan mendarat di jeti tidak jauh dari Istana Maziah, beliau disambut oleh
seorang wakil Al-Sultan yang dikenali dengan nama Pak Bian. Kedatangan Batin Mina memang
ditunggu-tunggu oleh pihak istana.
Mengikut cerita perahu kecil yang berlayarkan tikar yang dinaiki oleh Batin Mina mempunyai
keanehan dan luar biasa pada pandangan orang ramai. Perahu kecil yang diperbuat daripada
sebatang kayu dan menggunakan layar sebidang tikar itu dilihat oleh orang ramai yang menunggu
ketibaannya bagaikan sebuah kapal yang besar dan dinaiki oleh berpuluh-puluh orang. Tetapi
setelah ianya semakin hampir dengan pantai ianya dilihat semakin kecil dan akhirnya ianya adalah

sebuah perahu layar yang kecil sahaja.


Batin Mina masuk ke dalam istana dan diberi santapan Diraja. Setelah berehat seketika, Batin Mina
dititahkan mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk melihat penyakit yang dihidapi oleh
Baginda. Setelah masuk mengadap, Batin Mina mempersembahkan kepada Duli Yang Mulia Sultan
bahawa Baginda sebenarnya tidak sakit. Ia sudah mengetahui bahawa Baginda Al-Sultan sekadar
ingin menguji kepandaian dan kehandalan bomoh yang ada di serata negeri. Setelah Al-Sultan
mengetahui bahawa Batin Mina sudah mengetahui bahawa Baginda tidak sakit, Baginda pun terus
bangkit dari tempat peraduan dan segera menghampiri Batin Mina. Baginda Al-Sultan mengakui
kehandalan Batin Mina sebagai seorang bomoh.
Sejak peristiwa itulah, batin-batin yang tinggal di Pulau Perhentian mendapat layanan istimewa
daripada Baginda Al-Sultan Terengganu. Mengikut cerita Baginda Al-Sultan berjanji akan memberi
layanan istimewa kepada Batin Mina dan anak cucunya yang tinggal di Pulau Perhentian. Mulai dari
peristiwa itu jugalah Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan yang seterusnya dikatakan tetap
menghormati Batin-Batin Pulau Perhentian dan sering juga mengunjungi Pulau Perhentian.
Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman, Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal
Abidin 11, Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Duli Yang Maha
Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah juga sering mengunjungi Pulau Perhentian. Mengikut
cerita setiap kunjungan Duli-Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan akan disambut dengan upacara penuh
istiadat mengikut tradisi. Segala tradisi ini berterusan sehinggalah kepada Batin yang terakhir iaitu
Batin Sidek. Kawasan perairan Pulau Perhentian dan sekitarnya diletakkan di bawah kawalan BatinBatin sehinggalah sampai ke zaman pemerintahan Inggeris. Ianya bermula dari zaman Batin Mina
lagi. Selepas kematian Batin Sidek, tidak ada lagi warisan kebatinan yang mengepalai penduduk
Pulau Perhentian. Ianya telah diganti dengan seorang Ketua Kampung yang dilantik oleh
masyarakat. Bermula pada tahun 1990, seorang Ketua Kampung mengetuai penduduk Pulau
Perhentian.
Kegiatan Sosioekonomi Penduduk Pulau Perhentian Di Awal Penempatan
Diawal penempatan penduduk Pulau Perhentian bekerja sebagai petani dan nelayan saradiri.
Penduduknya bercucuk tanam seperti padi dan ubi kayu untuk keperluan keluarga. Padi ditanam di
satu kawasan rendah di kaki bukit kawasan penempatan di Teluk Dalam, Pulau Perhentian Besar.
Selain daripada padi, ubi kayu juga ditanam untuk keperluan sementara menunggu padi
mengeluarkan hasilnya.
Sebagai sumber protein, penduduk Pulau Perhentian pada masa itu menangkap ikan dengan
menggunakan pancing di sekitar perairan Pulau Perhentian. Mereka pergi memancing dengan
menaiki perahu-perahu kecil yang diperbuat daripada batang-batang kayu yang ditebuk. Segala
hasil tangkapan hanya cukup untuk keperluan keluarga mereka.
Bekalan makanan seperti beras sebenarnya tidak mencukupi untuk menampung jumlah penduduk
yang semakin bertambah pada masa itu. Batin Mina ketua bagi penduduk Pulau Perhentian pada
masa itu telah mengena syarat kepada kapal-kapal dagang Cina yang berlabuh di perairan Pulau
Perhentian. Setiap kapal yang berlabuh dan berlindung di Pulau Perhentian dikenakan cukai dalam
bentuk makanan dan pakaian. Pada masa itu kapal-kapal dagang Cina yang berlabuh itu dikenali
sebagai 'wakam' oleh penduduk kampung. Ianya adalah sejenis kapal layar yang besar yang lebih
dikenali sebagai tongkang. Jika mereka enggan membayar cukai, tindakan akan diambil. Barangbarang mereka akan dirampas dan tidak dibenarkan berlabuh di sekitar perairan pulau. Jika
sekiranya penguasa pulau pada masa itu iaitu Batin Mina dan pembantu-pembantunya gagal
mendekati kapal-kapal itu, tindakan lain akan diambil. Mengikut cerita, pernah terjadi kapal-kapal
dagang Cina itu dihalang pelayaran mereka dengan membina beting pasir di tengah laut bagi tujuan
menyekat pelayaran kapal tersebut. Pembinaan beting pasir itu dikatakan dibina dengan
menggunakan ilmu kebatinan oleh Batin Mina. Setelah pelayaran kapal itu tersekat, pedagangpedagang itu terpaksa tunduk dan membayar cukai kepada Batin Mina.

Bagaimana Penempatan Sekarang Di Buka


Penempatan sekarang asalnya satu kawasan yang dipenuhi dengan lalang dan semak samun. Di
persisiran pantainya adalah hamparan pasir yang memutih. Setelah Pulau Perhentian ditinggalkan
sekian lama oleh Batin Jamal dan orang-orangnya dan kemudian kembali semula ke Pulau
Perhentian, mereka tidak kembali menetap di Teluk Dalam. Apabila kembali semula ke Pulau
Perhentian dari Kuala Besut (Negeri Sanyanya), mereka telah membuka satu kawasan penempatan
yang baru. Tempatnya ialah Pasir Hantu iaitu penempatan sekarang.
Pada masa dahulu, sebelum ianya dibuka oleh Batin Jamal, tempat ini adalah kawasan yang
ditakuti oleh penduduk Pulau Perhentian kerana ianya dikatakan berhantu. Oleh kerana itulah
tempat ini dinamakan Pasir Hantu. Mengikut cerita, sebelum ianya dibuka, orang kampung takut
mendekati kawasan ini sewaktu mereka memancing di laut. Ini adalah kerana ada semacam orang
yang melambai-lambai di tepi pantai, pada hal pada masa itu masih belum ada penghuni lagi di
Pulau Perhentian Kecil. Oleh kerana itulah tempat ini dinamakan Pasir Hantu. Setelah ianya dibuka
oleh Batin Jamal, masalah itu dikatakan dapat diatasi dan ketakutan penduduk pun hilang.
SEBENARNYA, apabila Batin Jamal dan orang-orangnya kembali dari Kuala Besut (Negeri
Sanyanya), tidak semua mereka yang kembali itu tinggal di Pasir Hantu, Pulau Perhentian Kecil.
Ada di antara mereka yang tinggal di Pulau Perhentian Besar tetapi tidak di Teluk Dalam. Ada di
antara mereka itu menduduki dan menetap di Seberang Air Keruh, Seberang Mat Daham, Batu
Jong dan Teluk Pauh. Semuanya di Pulau Perhentian Besar dan merupakan tempat peranginan
dan perkelahan yang menarik pada masa ini.
Selain daripada itu, ada juga yang mendiami Pasir Petani di Pulau Perhentian Kecil. Dari kajian dan
cerita yang diperkatakan oleh pencerita, penempatan pada masa dulu adalah berselerah di
beberapa tempat di sekitar Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar. Tetapi penduduk
Pulau Perhentian takut untuk kembali ke Teluk Dalam kerana tempat itu dikatakan berhantu dan
tidak sesuai untuk didiami.
Penduduk Pulau Perhentian menetap di satu tempat di sekitar awal abad ke 20 iaitu pada zaman
pemerintahan Inggeris. Orang yang bertanggungjawab menyatukan dan mengumpulkan semua
penduduk Pulau Perhentian di satu kawasan penempatan ialah Batin Talib. Semua penduduk Pulau
Perhentian, tidak kira sama ada di Pulau Perhentian Besar atau Pulau Perhentian Kecil menetap di
satu penempatan sahaja iaitu di Pasir Hantu iaitu penempatan sekarang. Semenjak semua
penduduk Pulau Perhentian menetap di satu penempatan tidak ada lagi penduduk di sini yang
tinggal berselerak di merata-rata Pulau Perhentian. Penempatan sekarang di bawah pentadbiran
enam orang batin, yang bermula dari Batin Jamal hinggalah batin yang terakhir sekali iaitu Batin
Sidek. Sehinggalah sekarang ini, penduduk Pulau Perhentian tinggal di satu tempat dan segala
kemudahan asas senang disalurkan kepada semua penduduk.

Anda mungkin juga menyukai