Anda di halaman 1dari 17

KESAN PEMBANGUNAN TERHADAP ALAM SEKITAR

Muhamad Al-Mu`izz Omar


D20121059092
Ijazah Sarjana Muda Pengajian Malaysia dengan Pendidikan
Fakulti Sains dan Kemanusiaan
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Abstrak
Kini, negara Malaysia diancam dengan pelbagai masalah pencemaran alam sekitar yang
semakin serius seperti masalah pencemaran air, udara, pelupusan sisa pepejal, pembuangan
sisa toksik dan sebagainya yang mendatangkan masalah kritikal kepada negara. Malah
kerajaan terpaksa memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk membiayai kos
pemuliharaan termasuklah proses rawatan dan penyediaan alat-alat bagi membaik pulih
kualiti alam sekitar yan semakin merosot. Keprihatinan pihak kerajaan terhadap pemuliharaan
alam sekitar terserlah dengan memperuntukkan berjumlah jutaan ringgit setiap tahun untuk
program pemuliharaan alam sekitar. Negara Malaysia mula merasai dan menghadapi masalah
alam sekitar terutamanya dalam bentuk pencemaran air dan hakisan tanah pada dekad 1960.
Persoalan yang harus difikirkan dan diberikan wajaran ialah apakah kemajuan dan
permasalahan alam sekitar itu tidak dapat dipisahkan? Dan adakah kita mampu bergantung
sepenuhnya kepada peruntukan yang diberikan kerajaan untuk memulihara pencemaran alam
yang berlaku di negara kita? Masalah pencemaran yang semakin meningkat seolah-olah
membuktikan manusia lebih mementingkan pembangunan dan kemajuan sehingga sanggup
mengorbankan taraf kebajikan sendiri.
Pengenalan
Pada masa kini, permsalahan alam sekitar tidak boleh dianggap perkara kecil dari
perancangan dan gerakan pembangunan negara. Perkaitan yang erat di antara pembangunan
dan kemerosotan alam sekitar tidak boleh di sangkal lagi. Malah dalam beberapa kes, aktiviti
pembangunan merupakan pemangkin kepada masalah alam sekitar seperti pencemaran air,
pencemaran udara, hakisan tanah, jerebu dan sebagainya. Persoalan pembangunan dan alam
sekitar melibatkan pertimbangan sama ada merancang dan menjana pembangunan atau
menjaga dan memulihara alam sekitar. Dalam hal ini, manusia terpaksa berdepan dengan
suatu dilema dan konflik membuat pertimbangan dan pilihan serta memberi wajaran yang adil
terutamanya dalam merencana dan menggerakkan pembangunan, lebih-lebih lagi ketika
negara sedang menuju wawasan yang akan meletakkan negara malaysia sebagai sebuah
1 | Page

negara maju. Dilema yang dimaksudkan disini adalah pilihan yang terpaksa dibuat sama ada
memerlukan pembangunan atau memahukan kualiti alam sekitar yang sentiasa baik.
Pembangunan dan alam sekitar merupakan dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Pertalian
ini jelas wujud kerana pembangunan tidak akan tercapai tanpa perubahan alam sekitar.
Permasalahan alam sekitar boleh berlaku sekiranya wujud dilema atau konflik antara
kehendak yang berlawanan, misalnya kehendak untuk memajukan pembangunan negara atau
kehendak untuk mnjaga kualiti alam sekitar. Justeru, wajaran yang adil dan pertimbangan
yang waras berasaskan etika alam sekitar perlu dibuat bagi menilai apakah pilihan yang
terbaik untuk diambil. Misalnya sebuah negara yang mengalami masalah pengangguran yang
serius terpaksa membuat pilihan sama ada mengekalkan kualiti alam sekitar atau menjalankan
membangunkan ekonominya bagi mewujudkan peluang-peluang pekerjaan untuk mengatasi
masalah pengangguran. Konflik antara kehendak yang berlawanan ini yang selalunya
menyebabkan penjagaan kualliti alam sekitar dipinggirkan.
Pembangunan merupakan satu proses atau usaha untuk memodenkan sesebuah negara
yang sedang membangun atau mundur serta meningkatkan taraf hidup rakyat ke tahap yang
lebih lebih baik seperti yang telah dicapai oleh negara-negara maju. Dalam konteks negara
Malaysia melalui Dasar Pembangunan Nasional (DPN), pembangunan dan kemajuan yang
dikecapi bukan sahaja bertujuan untuk membentuk sebuah negara yang maju tetapi juga
mempunyai masyarakat yang beretika dan berwawasan. Dalam hal ini, penekanan kepada
pembangunan sumber manusia dan proses perindustrian sebagai satu alternatif ke arah
pembangunan yang mapan. Selaras dengan kepesatan pertunbuhan ekonomi negara, kerajaan
telah melaksanakan langkah-langkah tertentu dalam menseimbangkan pembangunan yang ada
dengan alam sekitar. Ini disebabkan telah timbul kebimbangan dan kesedaran oleh pihak
kerajaan terhadap masalah alam sekitar yang wujud masa kini.pembangunan yang membawa
kepada pertumbuhan ekonomi negara bukan sahaja membawa kesan positif seperti
pertumbuhan di sektor-sektor perindustrian, pembuatan, pertanian dan pelbagai peluang
pekerjaan. Namun pertumbuhan ini juga membawa kesan negatif apabila dikatakan
perkembangan ekonomi dan pertambahan penduduk yang pesat akan mempercepatkan
penggunaan sumber yang berleluasa, penebangan kawasan hutan untuk pengeluaran pertanian
yang berskala besar, pembangunan perindustrian dan perumahan sehingga menimbulkan
masalah pencemaran alam sekitar.
Menjurus kepada era pembangunan yang pesat di negara ini fokus adalah kepada
pembangunan-pembangunan

yang

dilakukan

pada

masa

kini

terutamanya

proses

perindustrian, pembandaran, pembalakan, pelancongan dan penyediaan kemudahan


2 | Page

infrastruktur. Namun kewujudan pembangunan tersebut telah membawa kesan negatif iaitu
masalah terhadap alam sekitar seperti masalah pencemaran air, udara, bunyi, hakisan, dan
sampah sarap. Seterusnya pelbagai langkah pengawalan cuba ditonjolkan sebagai satu
alternatif kepada pihak-pihak tertentu untuk menangani masalah alam sekitar. Antaranya
melalui cara perundangan, bukan perundangan dan instrumen ekonomi. Ini kerana manusia
mempunyai hubungan yang rapat dengan alam semulajadi iaitu alam sekitar yang merupakan
satu elemen yang amat penting bagi manusia meneruskan kehidupan di muka bumi ini. Malah
alam sekitar mempunyai hubungan yang amaat sinonim dengan pelbagai perkara di sekeliling
manusia seperti daratan, air, udara dan lain-lain. Hubungan erat ini boleh dilihat dalam proses
kitaran alam sekitar sebagai pembekal oksigen kepada manusia untuk terus hidup.
Sekiranya struktur semulajadi ini terganggu maka kitaran tersebut akan terjejas dan
bakal mnerima impak kepada keseluruhan ekosistem kehidupan di muka bumi. Selain
daripada itu, ia juga akan membawa kepada kewujudan bencana yang lebih besar lagi.
Manakala tindakan manusia dalam mencipta bahan-bahan kimia yang beracun dan tenaga
berbahaya seperti atom dan nuklear adalah pemusnah kepada alam sekitar contohnya
peristiwa yang terjadi di Long Island, Amerika Syarikat dan peristiwa kebocoran reaktor
tenaga nuklear Chernobyl, di Soviet Union, kebocoran gas kilang Union Carbide di Bhopal,
India dan beberapa lagi. Setiap peristiwa meninggalkan kesan pemusnah alam sekitar yang
sangat mendalam.
Isu dan Penyataan Masalah Malaysia
Perubahan iklim menjadi isu global masa kini dan ia dikatakan berlaku kesan daripada
pembangunan yang pesat di seluruh dunia. Perubahan ini menyebabkan iklim dunia menjadi
semakin panas dan ia dikaitkan dengan dua faktor iaitu berlakunya peningkatan konsentrasi
gas karbon dioksida (CO2) dan pengurangan konsentrasi gas ozon (O3) atau penipisan lapisan
ozon. Masalah ini berpunca akibat daripada pembangunan yang dilakukan oleh manusia bagi
tujuan kesejahteraan hidup pada asalnya tetapi mendatangkan kemudaratan akhirnya.
Sebenarnya perubahan iklim ini bermula apabila berlakunya Revolusi Industri di
Eropah. Pembangunan pesat dalam perindustrian dan penggunaan bahan bakar bagi kenderaan
bermotor khasnya telah menyebabkan banyak gas bahan pencemar dilepaskan ke ruang
atmosfera menyebabkan banyak gas bahan pencemar dilepaskan ke ruang atmosfera sehingga
mewujudkan kesan rumah hijau. Justeru, perubahan suhu dunia telah mulai menjadi tumpuan
masyarakat dunia umumnya dan masyarakat Malaysia khasnya. Menjelang tahun 2020,
Malaysia akan menjadi sebuah negara maju dan perlu memikirkan apakah langkah-langkah
3 | Page

yang perlu diambil bagi mengatasi masalah ini kerana pembangunan yang pesat dalam bidang
perindustrian menjadi fokus dan agenda utama pembangunan negara.
Tumpahan minyak
Sejarah membuktikan bahawa Selat Melaka menjadi jalan air paling sibuk di dunia semenjak
abad ke-15. Para pedagang sama ada dari negara Arab, India dan China akan melalui Selat
Melaka bagi tujuan perdagangan di alam Melayu. Kepulauan Melayu bukan sahaja terkenal
sebagai kawasan perdagangan tetapi juga menjadi tempat pertemuan pelbagai kebudayaan dan
kepercayaan. Kesibukan Selat Melaka sebagai jalan perdagangan masa kini telah
menimbulkan kegusaran khasnya kepada dua buah negara iaitu Malaysia dan Indonesia
terutamanya berlaku peningkatan terhadap kejadian tumpahan minyak dari pelanggaran kapalkapal dagangan dan kapal minyak.
Pencemaran marin kesan daripada tumpahan minyak mula mendapat perhatian apabila
pada bulan Januari 1975, kapal tangki minyak Jepun iaitu Showa Maru telah menumpahkan
hampir satu juta gelen minyak mentah ke Selat Melaka (Amriah Buang, 1993). Kejadian
tumpahan minyak ini terus berlaku sama ada disebabkan kecuaian manusia itu sendiri atau
dengan sengaja dilepaskan ke dalam perairan Selat Melaka. Kemalangan yang paling dasyat
telah berlaku pada 20 September 1992, apabila kapal tangki minyak Nagasaki Spirit telah
berlanggar dengan kapal kontena Ocean Blessing iaitu 18 batu nautika dari Belawan,
Sumatera, Indonesia. Dianggarkan 13,000 tan daripada 57,000 tan minyak mentah yang
dibawa oleh Nagasaki Spirit telah tumpah dan mengancam sumber sumber laut dan pantai
yang menjadi asas pelbagai kegiatan ekonomi di pantai Semenanjung Malaysia.
Keadaan tumpahan minyak ini amat jelas memberi impak terhadap kawasan
persekitaran marin yang kaya dengan pelbagai sumber laut dan pantai di Selat Melaka.
Kegiatan perikanan mengalami impak yang amat besar kerana tangkapan nelayan semakin
berkurangan dan industri pelancongan yang berasaskan air turut terjejas kerana keindahan
pantai dan pulau-pulau telah mula dicemari degnan pelbagai bahan berminyak ini.
Jerebu
Masalah jerebu juga merupakan satu fenomena pencemaran udara yang telah melanda di
kepulauan Nusantara ini. Fenomena ini bukan sahaja berpunca dari masalah setempat
sebaliknya boleh dianggap sebagai masalah serantau dan dikatakan berpunca daripada faktor
manusia dan faktor semulajadi. Faktor manusia dikatakan berpunca daripada industri yang
melakukan proses pembakaran bahan bakar serta pembakaran hutan untuk kawasan pertanian
4 | Page

yang disengajakan. Faktor semualajadi boleh dilihat melalui aktivit letusan gunung berapi dan
kebakaran hutan akibat berlakunya musim kemarau. Jerebu terdiri daripada gas dan asap
sebanyak 60 peratus dan partikel halus serta debu sebanyak 40 peratus yang terapung di
atmosfera secara bebas dan besar-besaran. Kesan yang amat ketara apabila berlakunya
masalah jerebu ini disebabkan oleh kebakaran Sumatera dan Kalimantan, Indonesia pada
tahun 1997 telah memberi impak kepada negara-negara seperti Malaysia, Brunei dan
Singapura. Kebakaran hutan ini telah megnhasilkan jerebu yang amat teruk dan Indeks
Pencemaran Udara (IPU) meningkat sehinggga ke paras bahaya iaitu melebihi 300. Masalah
jerebu ini menyebabkan jarak penglihatan berkurangan, masalah kesihatan dan mengganggu
keselamatan pengguna jalan raya, pengangkutan udara dan pelayaran laut. Secara tidak
langsung ini telah menyebabkan kerugian kepada kegiatan-kegiatan ekonomi negara seperti
sektor pelancongan, sektor perikanan dan sebagainya.
Pencemaran Air
Pembangunan yang pesat khususnya penerokaan terhadap kawasan hutan telah menyumbang
kepada masalah hakisan tanah sehingga menyebabkan alur-alur sungai menjadi cetek. Ini
disebabkan larian air permukaan telah membawa sedimen-sedimen tanih ke dalam sungai
sehingga menyebabkan sungai mengalami pencemaran air dengan jumlah pepejal terampai.
Banyak sungai yang menjadi cetek ekoran pemendapan seperti yang berlaku di sungai
Bertam, Cameron Highlands baru-baru ini akibat daripada penerokaan kawasan hutan untuk
aktiviti pertanian. Selain daripada aktiviti pembangunan guna tanah, punca pencemaran air
sungai adalah daripada sisa-sisa perkilangan sama ada dari industri berasaskan pertanian,
industri makanan, industri pembuatan serta industri petrokimia. Sisa-sisa atau efluen
pencemar yang tidak dirawat dengan sempurna ini telah memasuki sistem seperti sungai dan
tasik serta menurunkan tahap kualiti air yang menjadi sumber utama bekalan air negara serta
mengancam pembiakan hidupan akuatik dalam ekosistem tersebut.
Masalah pencemaran air tidak hanya berlaku di sungai-sungai, malah melibatkan
perairan pinggir pantai yang berpunca dari kawasan hulu dan hilir sungai akibat daripada
aktivit pertanian, perindustrian dan kumbahan domesrtik daripada aktiviti-aktiviti manusia di
kawasan pinggir pantai. Banyak kawasan pantai rekreasi sama ada di pantai timur
Semenanjung Malaysia seperti Pantai Sabak, Pantai Bisikan Bayu dan Pantai BatuBuruk
mahupun pantai barat Semenanjung Malaysia seperti Pantai Bagan Lalang dan Port Dickson
telah dicemari dengan serius khususnya masalah kumbahan domestik dan pembuangan sisa
najis khinzir dan memberi kesan kepada keselesaan pengunjung dan masyarakat. Sekiranya
5 | Page

langkah-langkah tidak diambil akan memberi impak yang negatif terhadap industri
pelancongan di kawasan pinggir pantai khususnya daripada jumlah kedatangan para
pelancong dari dalam dan luar negara.
Pencemaran Bunyi
Peningkatan penggunaan kenderaan bermotor, industri pembinaan, operasi kilang-kilang serta
peningkatan kepadatan penduduk bandar telah menyebabkan pencemaran bunyi bising. Kini
ia menjadi satu masalah yang kian meningkat terutamanya di bandar dan kawasan kediaman.
Menurut kajian Jabatan Alam Sekitar (JAS) pencemran bunyi bising sekitar kawsan sekolahsekolah dibandar dan hospital melampaui aras 55dBA yang dibenarkan. Di sekitar kawasan
perindustrian sama ada industri ringan, sederhana dan berat mengeluarkan bunyi bising pada
siang hari dan juga masalah ini telah mula dirasakan terutamanya di kawasan kediaman rumah
pangsa dan rumah kos rendah di mana masalah ini dirasakan bukan hanya pada siang hari,
tetapi juga di waktu malam. Ia sebenarnya memberi kesan negatif terhadap keselesaan, emosi
dan kesejahteraan masyarakat terutamanya sekali pada waktu malam.
Pencemaran Sisa Pepejal
Masalah sampah-sarap merupakan masalah lama yang tidak pernah selesai terutamanya di
kawasan perumahan dan tumpuan penduduk di bandar-bandar serta kawasan industri dan
didorong oleh ketidakcekapan sistem pemungutan dan pelupusan sampah. Menurut
Jamaluddin

Md.

Jahi

(2001),

Kementerian

Perumahan

dan

Kerajaan

Tempatan

menganggarkan terdapat lebih kurang 15,268 tan metrik sampah sarap pepejal yang
dihasilakn oleh 16,850,179 penduduk pada tahun 1999. Ketika ini, masalah sampah sarap
adalah isu utama bagi pihak berkuasa tempatan yang terpaksa membelanjakan banyak wang
untuk pemungutan dan pelupusan. Pengurusan yang tidak efisien akan memberi kesan dari
segi kesihatan, pencemaran air bawah tanah dan estetika.
Pencemaran Sisa Toksik
Perkembangan sektor perindustrian negara telah membawa kepada penghasilan sumber
pencemaran baru iaitu sisa toksik dan berbahaya. pada tahun 1998, terdapat kira-kira 39,519
tan metrik buangan terjadual terhasil 40 peratus adalah daripada Pulau Pinang. Menurut
Department of Environment (1999) sebanyak 75 peratus dari bahan-bahan tersebut adalah
dalam bentuk dros/sangar/klinker, minyak dan hidrokarbon, enapcemar galian dan enapcemar
logam berat.
6 | Page

Kajian Literatur
Proses pembangunan memberi pelbagai implikasi yang amat besar terhadap perubahan alam
sekitar. Perubahan-perubahan yang wujud adalah hasil daripada tindakan manusia itu sendiri
yang telah mengubah ekosistem semulajadi tanpa memikirkan kesan-kesan negatif yang bakal
menimpa. Melalui kajian terhadap pencemaran udara, peningkatan terhadap bilangan
kenderaan akan meningkatkan lagi masalah pencemaran udara. Menurut kajian Malaysia,
dalam tahun 1995 sahaja punca bergerak atau kenderaan ini telah menyumbangkan peratusan
yang tertinggi terhadap masalah pencemaran udara di Malaysia iaitu 75.1 peratus, diikuti
punca tetap sebanyak 20.3 peratus dan pembakaran sampah-sarap sejumlah 4.6 peratus.
Sehubungan dengan itu, 9,863,000 tan bahan pencemar telah dilepaskan ke ruang angkasa
Malaysia dari tahun 1991 hingga 1995 sama ada dalam bentuk gas, wap atau zarah terampai.
Antara bahan pencemar yang telah dilepaskan oleh punca-punca pencemaran seperti karbon
monoksida (CO), nitrogen dioksida, sulfur dioksida, hidrokarbon dan partikel terampai.
Pencemaran sungai pula mengalami pencemaran air yang serius ialah sungai-sungai
yang melalui kawasan perbandaran seperti bandar-bandar besar dan kawasan perindustrian
berbanding dengan sungai yang terletak di luar bandar dan kawasan dalaman. Di Malaysia,
bilangan sungai yang tercemar telah meningkat dari tujuh kepada sebelas batang sungai iaitu
pada tahun 1992 dan 1993. Antara sungai-sungai yang dianggap benar-benar tercemar seperti
Sungai Kelang, Sungai Linggi, Sungai Sepang, Sungai Langat, Sungai Melaka, Sungai Muar
dan Sungai Juru.melalui pencemaran bunyi pula, kajian telah dilakukan pada tahun 1985,
pencemaran bunyi yang wujud di Bandaraya Kuala Lumpur mempunyai aras bunyi bising
kenderaan yang tertingg berbanding dengan bandar-bandar di negeri lain. Menurut
Jamaluddin Md. Jahi (1995) Bandaraya Kuala Lumpur mencatatkan aras bunyi bising trafik
yang melebihi daripada 70 dBA iaitu melebihi piawaian yang ditetapkan iaitu 65 dBA. Secara
keseluruhannya didapati kawasan Kuala Lumpur mempunyai purata kebisingan kederaan
pada aras 77.5 dBA dan 82 dBA pada waktu siang hari. Hal ini menunjukkan pencemaran
bunyi adalah tinggi berbanding dengan piawaian yang telah ditetapkan.

7 | Page

Kajian Kes dan Pembelajaran


Isu yang berkaitan dengan alam sekitar seperti keruntuhan tanah tinggi, pencemaran air
sungai, tasik dan laut, pencemaran udara termasuk penipisan lapisan ozon hangat
dibincangkan dan diperdebatan dalam proses pembangunan sesebuah negara. Fenomena ini
menjelaskan bahawa manusia sudah semakin sedar akan kepentingan mengekal dan menjaga
alam sekitar. Kesedaran terhadap pemusnahan alam sekitar akibat daripada mengejar
pembangunan serta penciptaan racun-racun serangga dan bahan-bahan kimia yang berbahaya.
Ini juga termasuk juga penciptaan senjata pemusnah seperti bom atom, bom hidrogen
dan nuklear telah mewujudkan pergerakan environmentalis antarabangsa seperti Green Peace,
Sierra Club, Club of Rome, Nature Society dan sebagainya yang berperanan menyedarkan
manusia untuk memelihara alam sekitar demi untuk kepentingan manusia sejagat serta segala
kehidupan yang diciptakan Tuhan di dunia ini. suara-suara lantang yang berpengaruh ini telah
menimbulkan kesedaran dalam kalangan mereka yang prihatin betapa perlunya peranan setiap
individu dalam pemeliharaan alam sekitar. Berdasarkan kepada bencana-bencana alam yang
berlaku, jelas membuktikan bahawa dunia sekarang umumnya dan Malaysia khasnya turut
mengalami permasalahan pencemaran alam sekitar. Punca permasalahan ini adalah daripada
eksploitasi sumber alam, pengabaian dan sikap manusia dan penghasilan ciptaaan yang
berbahaya.
Sikap manusia yang terlalu mementingkan nilai komersial daripada sumber alam
semulajadi, misalnya menjalankan kegiatan pembalakan yang tidak terkawal, penerangan
muka bumi untuk tujuan pelbagai aktiviti manusia telah mengabaikan fungsi tumbuhtumbuhan sebagai nadi bumi. Pembalakan menyumbang kepada kerosakan ekosistem dan
pembalakan yang tidak terkawal terus menyumbang kepada berlakunya tanah runtuh.
Manakala pembersihan pokok akan menyumbang kepada banjir kilat dan maenimbulakn
masalah air yang besar sekiranya berlaku kemarau panjang.
Bagi negara-negara membangun, selain akibat pembalakan yang tidak terkawal dan
pembersihan lereng-lereng bukit untuk pembangunan serta pembakaran hutan tanpa kawalan,
pencemaran alam sekar juga adalah akibat daripada kecuaian manusia sendiri seperti
pembuangan sisa toksik di merata-rata tempat. Akibat daripada pembuangan sisa-sisa toksik
yang tidak terkawal ini membawa kemusnahan kepada hidupan air,seluruh hidupan akan
tercemar dan akan menimbulkan gejala-gejala luar biasa seperti jenis penyakit yang kian
bertambah dan sukar diubati. Tidak dinafikan pembangunan pesat yang berlaku dalam
sesebuah negara memberikan impak negatif terhadap alam sekitar. Pembangunan pesat demi
keperluan manusia. Dalam konteks negara Malaysia, pembangunan yang dilakukan sekiranya
8 | Page

tidak mengambil kira kesan terhadap alam sekitar akan memberi impak yang negatif kepada
kehidupan manusia khususnya terhadap kesejahteraan hidupnya.
Kesan pembangunan terhadap alam sekitar yang pertama adalah dari aspek
pembangunan perindustrian. Aktiviti-aktiviti industri menjadi penyumbang yang signifikan
kepada kemerosotan alam sekitar terutamanya pencemaran udara dan air. Didapati punca
utama dalam dalam indutri memproses ini adalah dari lialng kepala sawit dan getah iaitu
punca kepada pencemaran udara. Dalam industri kelapa sawit, sumber pencemaran udara
yang utama ialah habuk dan asap. Punca habuk dan asap ialah dari dandang atau incinerator
dan dalam beberapa kes berpunca daripada pembakaran terbuka tandan kelapa sawit. Asap
merupakan partikel gas manakala habuk pula terdiri daripada parikel pepejal yang melebihi
10 mikron yang dikategorikan sebagai habuk. Kilang-kilang sawit juga yang terletak
berdekatan dengan sungai-sungai telah memudahkan pembuangan sisa-sisa efluen secara
langsung ke dalam sungai, anak sungai atau ke dalam paya. Hal ini akan mewujudkan
masalah pencemaran air dan menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS) terdapat 42 batang sungai
dianggap teruk tercemar,10 sungai tercemar sederhana dan tujuh lagi berpotensi mengalami
pencemaran air disebabkan efluen kelapa sawit tersebut.
Industri getah juga dikenal pasti sebagai punca kepada masalah pencemaran air.
Keadaan ini boleh dikaitkan dengan keluasan tanaman getah di Malaysia iaitu lebih dua juta
hektar dan menghasilkan 1.6 juta tan getah asli mentah. Skala industri yang tinggi
menyebabkan 97 juta liter sisa efluan dibuang ke dalam sungai atau anak sungai. Tiga jenis
efluen yang biasanya dikeluarkan ialah block rubber, conventional grade dan latex
concentrate. Sisa buangan yang tinggi ini akan menghasilkan kandungan amonia-nitrogen
yang tinggi menyebabkan nila pH menjadi rendah dan Permintaan Oksigen Biokimia tinggi
yang mengakibatkan bau busuk. Begitu juga dengan industri petrokimia yang turut memberi
impak negatif kepada alam sekitar. Industri ini menghasilkan keluaran seperti celupan tiruan,
bahan letupan, dan baja memerlukan jumlah air yang banyak dalam proses penyejukan dan
pembasuhan.
Hasilnya banyak kimia atau keluaran sampingan yang dikeluarkan oleh indusrti ini
dibuang ke dalam sungai. Kesan negatif terhadap pencemaran udara dapat dilihat apabila
proses kimia berlaku menghasilkan gas-gas yang berbahaya. Masalah pembuangan ini
mungkin memberi kesan kepada manusia kerana ia mengandungi bahan-bahan radiasi, racun
dan bahan kimia. Oleh itu, mengawal pencemaran ke tahap yang minimum, perancangan
industri perlu mengambil kira beberapa kaedah seperti penempatan kawasan industri, cara

9 | Page

pembuangan

sisa, penyimpanan yang selamat dan mempunyai program kesihatan dan

keselamatan yang teratur.


Kedua, pembangunan pembandaran dan pembangunan ekonomi di Malaysia yang
pesat bukan sahaja dapat mengubah taraf penghuninya tetapi turut memberi kesan kepada
alam sekitar termasuklah persekitaran fizikal dan manusia. Sama ada disedari atau tidak,
hampir semua tindakan manusia yang terlibat dalam proses pembandaran mempunyai kesan
dan pengaruh terhadap perubahan alam sekitar terutamanya pelbagai masalah pencemaran.
Dalam proses pembandaran, alam sekitar merupakan medium yang menerima kesannya.
Hutan terpaksa diteroka, tanah terpaksa digondolkan, kepelbagai ekologi terpaksa diketepikan
dan perhitungan terhadap alam sekitar terpaksa dipinggirkan untuk memberi laluan dan
kebebasan penjanaan pembangunan bandar. Akhirnya, pembangunan yang digerakkan itu
mencetuskan pelbagai ancaman kepada manusia dan alam sekitar melalui pencemaran dan
gangguan ekologi. Apa yang jelas disini ialah aktiviti pembangunan ekonomi dan
pembandaran adalah pencetus utama kepada segala bentuk hambatan dan ancaman
pencemaran sama ada kepada manusia dan alam sekitar.
Walaupun pembangunan ekonomi dapat dikecapi tetapi ternyata ia tidak dapat
mewujudkan keseimbangan antara kemajuan dan pembangunan dengan keseimbangan
ekologi dan alam sekitar. Kesannya telah menyebabkan negara ini mengalami masalah atau
krisis alam sekitar yang serius. Kepesatan pembangunan di Malaysia menerusi pertumbuhan
ekonomi yang semakin meningkat dan proses pembandaran yang semakin berkembang dalam
beberapa dekad kebelakangan ini telah mencetuskan perubahan yang ketara terhadap alam
sekitar. Kadar pembandaran yang pesat juga telah menimbulkan masalah pencemaran udara
akibat pertambahan bilangan kenderaan bermotor terutamanya di bandar-bandar besar seperti
Kuala Lumpur, Ipoh, Georgetown dan Johor Bharu. Punca pencemaran udara di bandar
sebenarnya adalah kesan daripada gas-gas yang dibebaskan oleh kenderaan bermotor seperti
kabon monoksida dan logam plumbum.
Pencemaran udara di bandar akibat pembandaran yang pesat tidak hanya berpunca dari
enjin kenderaan bermotor sahaja. Menurut Katiman Rostam (1990), industri di bandar-bandar
di Semenanjung Malaysia juga melepaskan tidak kurang daripada 11 peratus atau 74,522 tan
metrik bahan-bahan pencemaran ke udara. Di Kuala Lumpur misalnya, keadaan pencemaran
udara ini mungkin akan lebih terancan lagi sekiranya kegiatan perkilangan tidak dikawal
dengan rapi. Selain itu, punca-punca pencemaran udara di bandar juga berpunca daripada
pembakaran sampah sarap secara terbuka. Asap, debu dan gas beracun yang dilepaskan dari

10 | P a g e

kawasan pelupusan dan pembakaran sampahseperti ini turut mencemarkan kualiti udara di
bandaryang turut mengancam kesihatan dan kelangsungan hidup manusia.
Banyak lagi masalah persekitaran yang ditimbulkan akibat proses pembandaran yang
pesat. Di sesetengah kawasan tertentu, darjah keselesaaan semakin merosot, bukan sahaja
akibat pencemaran udara dan air tetapi juga akibat pencemaran bunyi, bau busuk, terutamanya
kawasan-kawasan yang berhampiran dengan pusat perniagaan dan perindustrian. Menurut
Sham sani, perubahan-perubahan ke atas cuaca terutamanya dari segi suhu dan kelembapan
juga turut dialami oleh bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Proses
pembandaran dan aktiviti manusia di bandar telah banyak mengubah persekitaran bandar.
Proses pembandaran yang berlaku telah menimbulkan pelbagai masalah pencemaran di
sekitar kawasan bandar. Keadaan ini juga seterusnya boleh mewujudkan suatu bentuk iklim
bandar yang berbeza dari kawasan sekitarnya. Proses pembandaran telah mengakibatkan
perubahan bahan-bahan permukaan, struktur menegak kawasan, perubahan terhadap
komposisi atmosfera serta menghasilkan haba yang boleh mengubah kesemua elemen iklim
bandar. Proses pembandaran secara sedar atau tidak telah banyak mengubah persekitarn
atmosfera sesuatu kawasan.
Kesan daripada geometri permukaan bandar yang kompleks, bentuk dan orientasi
bangunan dan struktur, sifat-sifat dan terma dan hidrologi bandar yang tersendiri, haba dari
metabolisma dan proses pembandaran yang dibebaskan ke udara kesemuanya bertindak
serentak mewujudkan suatu bentuk iklim yang tersendiri berbeza dari yang terdapat di
kawasan sekitarnya. Pengubahsuaian terhadap bentuk fizikal bandar akan menyebabkan
sebahagian permukaan bumi di bandar bertukar kepada lapisan batuan atau permukaan simen.
Pertukaran permukaan ini akan menambahkan keupayaan penyerapan bahang di kawasan
bandar. Sekiranya di bandar tersebut juga mengalami morfologi dan struktur bangunan yang
kompleks, ia akan memerangkap bahangan ini dan seterusnya menghasilkan satu litupan
udara yang lebih panas dari kawasan sekitarnya. Keadaan inilah yang dinamakan fenomena
pulau haba.
Ketiga, aktiviti pembalakan merupakan impak daripada proses pembangunan. Secara
umumnya, kesan yang wujud daripada pemusnahan hutan boleh dilihat kepada dua keadaan
iaitu secara langsung dan tidak langsung. Kesan secara langsung adalah melibatkan hidupan
yang tinggal dalam hutan seperti masyarakat orang asli. Manakala kesan secara tidak
langsung adalah masalah kepada alam sekitar. Kesan daripada pemusnahan hutan
menyebabkan wujudnya pelbagai masalah alam sekitar dan memberi impak kepada kehidupan
manusia seperti perubahan iklim secara mendadak, kenaikan suhu, banjir kilat, tanah runtuh,
11 | P a g e

hakisan tanah dan juga kemusnahan hidupan dan tumbuhan. Tumbuh-tumbuhan adalah
penting dalam kitaran oksigen. Kesan ekologi akibat kehilangan hutan adalah amat serius dan
masalah ini memberi kesan kepada rumah hijau secara global. Perubahan suhu juga boleh
dikesan di antara bandar dengan luar bandar.
Kejadian pulau haba di kebanyakan bandar menunjukkan perubahan suhu yang ketara
berlaku. Kesan pulau haba amat ketara berlaku pada waktu malam antara kawasan bandar dan
luar bandar. Menurut Rahmad Shukor Ab. Samad (1996), kesan pemusnahan hutan dengan
kadar cepat disertai dengan sistem pengairan yang tidak sempurna akan mengakibatkan
hakisan tanah. Apabila hujan turun di kawasan hutan, kebanyakan air terperangkap di kanopi
pokok dan hanya sebahagian kecil sahaja yang sampai ke tanah. Namun apabila hutan telah
dimusnahkan, hujan yang turun akan mengalir terus ke sungai kerana tanah tidak berupaya
untuk menyerap air dengan banyak.

Masalah hakisan tanah ini berkait rapat dengan

hilangnya lapisan atas tanah. Air yang deras akan membawa bersama-sama kelodak dan
lumpur. Kebanyakan lapisan tersebut dihanyutkan ke dalam sungai yang berhampiran dan
seterusnya mencetekkan dasar sungai.
Keadaan ini menyebabkan air melimpah ke tebing sungai dan menyebabkan banjir.
Banjir merupakan masalah yang berlaku berulang kali di kebanyakkan tempat sama ada di
Malaysia dan juga negara-negara lain di dunia. Banjir kerap berlaku di kawasan pembalakan
dan pembangunan yang dilakukan secara besar-besaran. Ini jelas menunjukkan bahawa
apabila berlakunya gangguan terhadap ekologi hutan ia akan memberi kesan kepada alam
sekitar. Pemusnahan hutan akibat pembalakan terutamanya di kawasan tinggi turut
menyebabkan masalah kepada alam sekitar dan seterusnya kepada manusia. Apabila
tumbuhan di permukaan bumi dimusnahkan, fungsinya terhadap kitaran hidrologi sudah
berubah. Ini akan menyebabkan berlakunya tanah runtuh yang sering berlaku di tanah tinggi.
Seterusnya air akan memendapkan bahan-bahan yang diangkut menyebabkan sungai menjadi
berkelodak dan cetek. Keadaan ini akan menurunkan tahap kualiti air sungai serta
kemungkinan berlakunya banjir kilat.
Keempat, pembangunan pelancongan merupakan salah satu kesan alam sekitar yang
dihasilkan oleh aktiviti pelancongan melalui pembangunan hotel dan kemudahan rekreasi
yang lain ialah hakisan tanah. Pencemaran air terutamanya air laut juga berlaku di kawasankawasan tumpuan pembangunan hotel. Walaupun terdapat punca-punca lain yang
menyebabkan pencemaran air laut, pembuangan sisa najis menyebabkan timbul masalah lain
iaitu pencemaran bau yang berpunca daripada pembuangan sisa kumbahan ke dalam laut. Satu
lagi kesan lama sekitar adalah perubahan landskap. Keadaan ini banyak berlaku di pusat
12 | P a g e

peranginan. Perjalanan yang dibuat oleh para pelancong didapati bertambah pada hari
perayaan dan musim cuti sekolah. Pada hari tersebut, permintaan terhadap perkhidmatan
pengangkutan awam meningkat dengan pesatnya. Stesen-stesen bas, teksi dan kerete api
penuh sesak dengan penumpang-penumpang atau mereka yang datang menempah tiket.
Pembangunan hotel di tempat peranginan khususnya di kawasan tanah tinggi dan pantai telah
menyebabkan kesesakan lalulintas disebabkan oleh pertambahan pengangkutan awam seperti
bas, teksi serta pengangkutan persendirian. Bunyi bising adalah satu lagi kesan alam sekitar
yang dihasilkan oleh para pelancong.
Kelima, penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam adalah masalah alam sekitar
yang wujud seperti jalan raya yang mengakibatkan banyak kawasan hutan telah dimusnahkan.
Hutan merupakan aset penting dalam membekalkan oksigen kepada atmosfera untuk
kepentingan kehidupan manusia. Pembasmian hutan ini untuk tujuan pembangunan tersebut
bukan sahaja mengubah ekologi persekitaran tersebut tetapi juga mendatangkan kesan hakisan
tanah. Keadaan sungai yang penuh dengan kelodak ini akan menjadi cetek dan menimbulkan
masalah banjir kilat. Masalah yang menimpa bukan sahaja beri kesan pada alam sekitar fizikal
tetapi juga kepada manusia kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang tidak selesa apabila
mereka yang tinggal berhampiran dengan sungai kerana akan ditimpa dengan masalah banjir
dan merosakkan harta benda mereka.
Namun yang paling ketara ialah apbila wujudnya jaringan jalan raya yang banyak dan
baik telah menggalakkan lagi bilangan kenderaan terutamanya kenderaan persendirian seperti
kereta. Keadaan menjadi lebih teruk di kawasan bandar dan menghasilkan satu keadaan yang
kurang menyenangkan iaitu masalah kesesakan dan pencemaran udara. Jumlah kenderaan
bermotor yang meningkat dari tahun ke tahun telah meningkatkan lagi pencemaran udara.
Begitu juga dengan keadaan yang berlaku pada stesen janakuasa elektrik yang turut memberi
kesan luaran negatif kepada alam sekitar. Penjanaan kuasa elektrik dari stesen janakuasa
dikatakan memberi kesan kepada alam sekitar kerana menggunakan bahan api fosil seperti
arang batu, minyak dan gas sebagai proses pembakaran dalam dandang stim untuk
meghasilkan tenaga elektrik. Antara bahan-bahan pencemar yang terbentuk hasil daripada
pembakaran bahan api tersebut seperti asap hitam dan partikel terampai. Pencemaran yang
dihasilkan adalah lebih tinggi jika berlaku pembakaran yang tidak sempurna.

13 | P a g e

Perbincangan dan Cadangan


Pelbagai cara telah dilaku oleh pihak-pihak berwajib bagi mengurangkan masalah alam
sekitar yang wujud masa kini. Di Malaysia terdapat beberapa cara yang telah digunakan
dalam menguruskan masalah alam sekitar sejajar dengan kepesatan dan pembangunan
ekonomi negara seperti kawalan secara perundangan, bukan perundangan serta instrumen
ekonomi.
Kawalan Cara Perundangan
Pada umumnya, kawalan pencemaran alam sekitar terletak di bawah bidang kuasa Jabatan
Alam Sekitar (JAS), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang melibatkan kerjasama
beberapa agensi kerajaan negeri dan kerajaan tempatan dalam membantu menjayakan
tindakannya. Kaedah kawalan cara perundangan melibatkan penggubalan dan perlaksanaan
undang-undang yang dibentuk berdasarkan peruntukan kuasa untuk menggubal dan
melaksanakan perundangan alam sekitar di Malaysia. Sehingga kini terdapat lebih daripada
46 buah perundangan yang ada kaitan dengan alam sekitar. Perundangan tersebut berserta
dengan undang-undang kecil atau perundangan wakilan dikuatkuasakan oleh beberapa buah
agensi kerajaan sama ada di peringkat persekutuan seperti JAS atau di peringkat negeri dan
kerajaan tempatan untuk mengawal pencemaran daripada pelbagai punca pencemaran.
Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) merupakan satu akta yang digubal
untuk mencegah, menghapus, mengawal pencemaran dan membaiki alam sekeliling.
Penggubalan akta ini telah memperuntukkan penubuhan sebuah badan untuk mengurus dan
menjaga alam sekitar yang dikenali sebagai Bahagian Alam Sekitar. Kini dikenali dengan
nama JAS dan berfungsi sebagai jabatan yang menyelesaikan masalah-masalah berkaitan
dengan alam sekitar. Terdapat 51 seksyen dalam Akta 127 ini dan kesemuanya digubal
sebagai perundangan yang komprehensif iaitu mengkoordinasikan kesemua aktiviti berkaitan
pengawalan alam sekitar di seluruh negara. Sebagai contoh dalam Seksyen 22 ada
menyatakan tentang sekatan mengenai pencemaran udara. Sekiranya didapati seseorang
melanggar seksyen boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM 10 ribu atau penjara tidak
lebih daripada dua tahun dan denda tambahan tidak lebih daripada RM1,000 sehari bagi tiaptiap hari kesalahan.
Bagi Akta 127 ia tidak boleh berfungsi atau dikuatkuasakan tanpa wujudnya
perundangan perwakilan atau dipanggil peraturan-peraturan yang digubal dari akta tersebut.
Perundangan perwakilan ini telah digunakan dengan agak berkesan dalam rangka strategi
jangka pendek JAS sebagai kaedah statut dalam pengawalan kualiti alam sekitar. Terdapat
banyak perundangan perwakilan yang digubal dari JAS yang dipanggil dengan nama seperti
14 | P a g e

perlesenan, premis yang ditetapkan, rawatan bahan buangan yang terjadual dan sebagainya.
Tidak kurang daripada 24 buah peraturan atau perintah yang digubal di bawah Akta 127 untuk
membantu menguatkuasa dan melindungi alam sekitar semenjak tahun 1974 sehingga tahun
2000.
Kawalan Bukan Perundangan
Menyedari hakikat bahawa pengurusan alam sekitar bukan hanya dapat dilaksanakan melalui
penguatkuasaan undang-undang sahaja, pihak kerajaan juga telah mewujudkan beberapa garis
panduan dan tatacara yang digunakan oleh pihak kerajaan persekutuan dan negeri untuk
pengendalian sesuatu aktiviti atau projek, penyelidikan, pendidikan dan pemonitoran. Tugas
JAS dalam membuat garis panduan dan tatacara tersebut dapat dianggap sebagai cara bukan
perundangan (cara bukan statut) bagi menguruskan alam sekitar.
Secara mudahnya, cara bukan perundangan yang digunkan ini dapat dikatakan sebagai
satu perancangan gunatanah seperti Rancangan Kemajuan Wilayah, Pelan Induk, Pelan
Struktur, Pelan Tempatan atau Pelan Pembangunan yang melibatkan pertimbangan alam
sekitar ke dalam keseluruhan kegiatan perancangan bagi menjaga dan mempertingkatkan
kualiti alam sekitar. Tujuan garis panduan perancangan alam sekitar ialah untuk memberikan
panduan secara langsung kepada agensi-agensi perancangan dan pembangunan untuk
membantu mereka dalam mengambil kira cara-cara kawalan alam sekitar dalam perancangan
dan melaksanakan program pembangunan. Ini bermakna perancangan alam sekitar melibatkan
penerapan faktor-faktor alam sekitar ke dalam perancangan guna tanah dan pengzonan,
penggunaan tatacara dan garis panduan Penilaian Impak Alam Sekitar (PIAS) dan juga
penerapan dimensi alam sekitar ke dalam perancangan sumberjaya bagi tujuan pembangunan
berterusan yang menitikberatkan alam sekitar di samping kemajuan pembangunan.

15 | P a g e

Kesimpulan
Masyarakat hari ini hendaklah mengambil inisiatif memperbaiki kualiti kehidupan mereka
melalui gerak kerja atau aktiviti harian yang sentiasa menyokong kepada kapasiti tampungan
ekosistem bumi. Masayarakat semua sedar bahawa pembangunan yang melampaui batas
batas-batas keperluan keseimbangan dunia boleh merosakkan persekitaran. Risiko perlakuan
ekonomi manusia yang bertujuan untuk kepentingan masayarakat lokal itu dapat diimbangi
melalui keupayaan penjanaan semula ekosistem atau mengamalkan konsep penggantian
dalam sistem alam sekitar keseluruhannya. Pendekatan ini membolehkan situasi menangmenang (win-win situation) dicapai, baik dari segi ekonomi mahupun persekitaran itu sendiri.
Kedua-dua unsur tersebut amat penting dalam sistem pembangunan masyarakat. Pengabaian
salah satu entiti ini memungkinkan kepincangan pembangunan akan berlaku. Persekitaran
sangant mustahak untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat kerana sumbangan keduadua unsur tersebut keapda faedah manusia telah berjalan semenjak manusia membina
tamadun lagi.

16 | P a g e

Rujukan
Amriah Buang. (1993). Selat Melaka- Berapa Aspek Permasalahan dalam Mengurus
Kesejateraan Persekitaran Serantau. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Department of Environment. (1999). Environment Quality Report 1998. Kuala Lumpur:
Ministry of Sciences, Technology and the Environment.
Jamaluddin Md. Jahi. (1995). Kesedaran terhadap Alam Sekitar dan Pengurusannya di
Malaysia. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Jamaluddin Md. Jahi. (2001). Pengurusan Alam Sekitar di Malaysia. Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Jabatan Alam Sekitar. (1996). Laporan Kualiti Alam Sekeliling 1995. Kuala Lumpur:
Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.
Katiman Rostam. (1990). Pembandaran, Pembangunan Ekonomi serta Kesannya terhadap
Alam Sekitar. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rahmad Shukor Ab. Samad. (1996). Hutan dalam Arus Pembangunan. Dewan Budaya.

17 | P a g e

Anda mungkin juga menyukai