Anda di halaman 1dari 3

Fokus: Palestin perlukan bantuan

kemanusiaan
Oleh:
Tarikh: November 26, 2012
GENCATAN senjata akhirnya berjaya dilaksanakan selepas lapan hari konflik meletus di
Semenanjung Gaza, sekali gus membawa khabar gembira kepada dunia terutamanya umat
Islam.
Persetujuan gencatan senjata rejim Tel Aviv-Palestin, yang menetapkan kedua-dua pihak
berhenti menyerang lawan masing-masing, itu bagaimanapun tidak bermakna rakyat Palestin
sudah dapat menarik nafas lega sepenuhnya.
Bantuan kemanusiaan masih amat diperlukan rakyat Palestin untuk membina semula
kehidupan berikutan kemusnahan, kehilangan nyawa dan harta benda akibat serangan Israel
di wilayah berkenaan.
Atas nama naluri kemanusiaan sejagat, serangan kejam rejim Zionis ke atas penduduk Gaza
bukan sahaja mengundang simpati tetapi juga menggerakkan pelbagai bantuan kemanusiaan
dilakukan segera bagi membantu seluruh mangsa peperangan di Gaza.
Masyarakat antarabangsa tanpa mengira agama dan kaum turut terus mendesak agar tindakan
ketenteraan jet pejuang Israel dan roket Hamas dihentikan.
Ini soal hak asasi manusia. Acap kali apabila konflik Israel-Palestin, yang sudah lama
berlarutan, para pemimpin dan rakyat Malaysia akan bercakap dalam satu nada
membicarakan tentang penindasan, perampasan hak, penghinaan dan kekejaman rejim Zionis
ke atas rakyat Palestin, rata-ratanya umat Islam.
Masyarakat di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama tampil menzahirkan sokongan
terhadap usaha kerajaan Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan menghulurkan bantuan
meringankan penderitaan penduduk Palestin akibat serangan demi serangan kejam tentera
rejim Zionis.
Selasa lepas, anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang mengetepikan
agenda politik masing-masing untuk sepakat menyokong usul mengecam sekeras-kerasnya
serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza.
Daripada segi logik akal yang waras serta perikemanusiaan, penderitaan rakyat Palestin
bukan sekadar isu yang melibatkan umat Islam tetapi lebih daripada itu, ia melibatkan nilai
kemanusiaan yang dirasai bersama oleh masyarakat pelbagai bangsa, budaya dan agama.
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Prof
Madya Dr P. Sivamurugan berkata isu Palestin merentasi batasan agama dan peperangan
yang sudah makan tahun berlarutan tidak sepatutnya terus berlaku.
"Kita terdiri daripada masyarakat rencam dan kita faham pertembungan cerita antara kaum

dan etnik di negara ini. Kita juga bersatu padu menolak sekeras-kerasnya apa yang dilakukan
Israel di Gaza yang cuba menakluki wilayah penduduk di sana, bersikap kejam merampas
harta dan membunuh rakyat Palestin.
"Masyarakat (Malaysia) turut menggambarkan pendirian sama bahawa meskipun tamadun
dunia baru wujud, peperangan tidak harus dihalalkan dan di sinilah semangat 1Malaysia itu
secara tidak langsung terserlah tanpa mengira keturunan, kepercayaan dan agama," katanya.
Selain bantuan makanan, pakaian dan wang dihulurkan kepada penduduk Palestin,
Sivamurugan berkata Malaysia juga bertindak sebagai negara Islam yang progresif dan
lantang bersuara menegakkan isu keamanan dan konsep ummah.
Beliau berkata meskipun memiliki fahaman politik berbeza, masyarakat Malaysia masih
boleh menyumbang, membantu dan memberi makna sebuah kehidupan kepada penduduk
Gaza.
"Kita perlu melihat kepelbagaian (perbezaan bangsa, agama dan politik) yang kita miliki
sebagai suatu kelebihan untuk membantu dan menyumbang terhadap kebaikan...
kepelbagaian juga adalah suatu aset dan bukan liabiliti yang wajar kita digunakan untuk
tujuan kebaikan," katanya.
Pensyarah Jabatan Politik dan Kerajaan, Universiti Putra Malaysia Prof Dr Jayum Jawan
berkata sokongan padu rakyat Malaysia membantu masyarakat Palestin harus dipuji kerana
Malaysia sememangnya menentang keganasan yang dilakukan rejim Zionis untuk mencapai
matlamat mereka.
Katanya, dunia hari ini bukan lagi berada 'di zaman gelap' kerana segalanya perlu
dilaksanakan dalam keadaan aman damai melalui rundingan dan perbincangan antara pihak
berkepentingan.
"Kita dapat melihat usaha berterusan rakyat Malaysia dalam menghulurkan bantuan kepada
masyarakat Palestin... Dalam misi ini mereka tidak didasari oleh ideologi atau perbezaan
agama sebaliknya telah membuktikan kematangan terhadap memperjuangkan keamanan dan
kemanusiaan sejagat meskipun pada hakikatnya mereka diwarnai pendapat berbeza," katanya.
Jawan berkata perlakuan ini adalah suatu kejayaan dalam konteks perpaduan kerana mereka
berjaya meletakkan suatu titik persamaan untuk menyokong suatu isu besar yang
memerlukan penglibatan seluruh masyarakat dunia.
Mengakui bahawa konsep 1Malaysia lebih terserlah di kalangan rakyat Malaysia apabila
memperjuangkan isu Palestin, beliau berkata perbezaan pendapat dan ideologi politik di
negara ini hakikatnya mampu mendidik rakyat Malaysia untuk meraikan kepelbagaian
pandangan masyarakat berbilang bangsa.
"Saya tidak melihat pandangan yang berbeza antara masyarakat sebagai sesuatu yang
meruntuhkan tetapi merupakan suatu pendekatan yang mampu menyuburkan dialog sekali
gus membawa kepada penambahbaikan institusi negara," katanya.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Dr Chandra Muzaffar pula
berkata, walaupun secara umum isu Palestin mendapat perhatian daripada rakyat Malaysia,

masih wujud segelintir masyarakat bersikap tidak ambil peduli.


"Kita mengakui wujud penglibatan masyarakat bukan Islam untuk membela nasib penduduk
Palestin namun ia tidak begitu menyerlah... saya tidak berani menyatakan mereka
bersungguh-sungguh dan komited terlibat dalam isu ini kerana saya belum nampak
penglibatan mereka secara menyeluruh," katanya kepada Bernama.
Katanya, peratusan majoriti 95 peratus penduduk Palestin merupakan masyarakat Islam dan
baki lima peratus lagi bukan beragama Islam mungkin antara faktor masyarakat bukan Islam
di negara ini kurang memberi perhatian terhadap isu berkenaan.
"Kebanyakan masyarakat bukan Islam di negara ini mengaitkan penderitaan yang dialami
oleh penduduk Palestin sebagai penderitaan penduduk Islam yang lebih sinonim dengan
kaum Melayu dan merupakan tanggungjawab bangsa Melayu untuk membantu".
Chandra, yang juga Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (Just), berkata jika dibandingkan
dengan negara lain, masyarakat bukan Islam terlibat secara langsung dan memainkan peranan
menentang Israel terutamanya apabila protes membantah kezaliman rejim Tel Aviv diadakan.
- Bernama

Anda mungkin juga menyukai