Anda di halaman 1dari 7

ISU GURU BERKUALITI DITEMPATKAN DI LUAR BANDAR.

Isu ini telah dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang
mahukan penekanan atau keutamaan diberikan dalam melahirkan guru yang berkualiti dan
mencukupi untuk ditempatkan di sekolah terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Tambahan lagi, beliau yang juga merupakan Menteri Pelajaran mencadangkan perkara
itu sebagai penambahbaikan selaras dengan perkembangan pendidikan di peringkat global,
keperluan semasa, dan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan
serta merealisasikan apa yang digariskan dalam bentuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian
Pelajaran.
Mengajar di pedalaman memang memeritkan fizikal dan mental para guru. Masalah
infrastruktur dan tiada bekalan tenaga elektrik serta air sememangnya memberi tekanan. Guru
yang sudah terbiasa dengan jalan berturap pasti tertekan bila terpaksa melalui jalan berlopak
dan meredah belantara untuk sampai ke sesuatu destinasi. Apatah lagi jika perlu bersampan
atau menaiki bot tanpa jaket keselamatan.
Tiada bekalan air bersih dan air paip memburukkan lagi keadaan. Tenaga elektrik hanya
bersumberkan set generator atau sel bateri basah pasti menimbulkan kesulitan. Tambahan lagi,
bangunan sekolah dan tempat tinggal yang daif memang satu cabaran untuk guru di
pedalaman.
Dengan adanya faktor-faktor begini, saya merasakan ada sebilangan guru-guru
mengambil mudah dan bersikap sambil lewa serta tiada kualiti untuk mengajar di sekolah. Oleh
sebab itu, masih wujud lagi isu mengenai guru pedalaman tidak hadir ke sekolah tanpa sebab,
keluar ke pekan ketika waktu pengajaran dan pembelajaran, dan sebagainya. Di manakah
kualiti sebagai seorang guru dalam diri mereka? Bagaimanakah nasib anak-anak bangsa yang
berada di pedalaman dan luar bandar?
Guru yang berkualiti adalah guru yang benar-benar sanggup untuk menyahut cabaran
mengajar di kawasan luar bandar dan pedalaman serta meningkatkan prestasi kecemerlangan
murid di sekolah tersebut. Sejajar dengan itu, saya juga merasakan bahawa selain guru, kualiti
pemimpin sekolah juga perlu dimantapkan. Sudah tiba masanya, pemilihan para pemimpin
sekolah dilakukan bukan sahaja berdasarkan kekananan, tetapi juga melalui proses yang lebih

telus dan memilih yang terbaik, berbakat dan mempunyai kualiti kepimpinan yang dinamik.
Pemimpin sekolah perlu seorang yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi,
cemerlang, komited, di samping berupaya meningkatkan ilmu pengetahuan agar dapat
menterjemahkan dasar pendidikan dalam tugas seharian dan seterusnya mampu memberikan
didikan yang terbaik kepada murid.
Jika diselidik lagi mengenai punca isu ini, saya beranggapan bahawa ketidakbersediaan
para guru dari segi mental dan fizikal juga merupakan salah satu faktor guru berkualiti kurang di
kawasan luar bandar. Guru seperti ini selalu beranggapan bahawa bilangan pelajar yang
kurang, kemudahan yang daif khususnya ICT, tahap kognitif murid yang rendah, merupakan
satu bonus kepada mereka untuk bertindak mudah dalam semua aspek. Tambahan lagi, jika
berada di kawasan pedalaman dan luar bandar, pantauan dari pihak atasan yang kurang akan
membolehkan isu ini bebas berterusan.
Selain itu, saya juga merasakan bahawa kebanjiran guru sandaran tidak terlatih di
kawasan luar bandar dan pedalaman juga telah mendorong kepada isu ini. Definisi guru
sandaran tidak terlatih (GSTT) ialah org di luar yang berminat jadi guru tetapi tiada sijil, diploma
atau ijazah dalam bidang perguruan. Kebiasaannya mereka ini akan jadi guru ganti bagi
memenuhi kekekurangan guru di sesebuah sekolah. Ada yang tertakluk di bawah kontrak
tertentu tetapi boleh ditamatkan bila-bila masa sahaja. Oleh kerana itu, ada segelintir guru-guru
GSTT ini tidak mendalami ilmu pedagogi yang sebenar untuk mendidik anak-anak murid.
Namun demikian, saya berharap masalah GSTT ini akan berkurangan setelah kerajaan
memperbaiki sistem pendidikan negara dengan menawarkan kursus ijazah sarjana muda
perguruan kepada guru GSTT baru-baru ini.
Ciri ciri yang menonjolkan sifat tidak cemerlang segelintir para guru, seharus tidak
dibiarkan berleluasa menjadi duri kepada orang lain, menitikkan nila ke dalam air sebelanga
dan menconteng arang kepada semua wajah yang tidak berkenaan. Oleh itu, saya
menyimpulkan beberapa ciri dalam diri seorang guru yang tidak berkualiti, antaranya ialah : Pertama, Guru yang tidak pandai mengajar . Hal ini bermaksud, bukan semua guru tidak
pandai mengajar, tapi tidak semua guru pandai mengajar. Kata-kata ini merujuk kepada
ramainya guru pada hari ini bukanlah dilahirkan dengan bakat-bakat tertentu untuk muncul
sebagai seorang guru dalam erti kata yang sebenarnya. Terbukti semakin ramai guru di sekolah
semakin banyak pula pusat tuisyen tumbuh merata-rata. Mengapa ini berlaku ? Pelajar yang
kurang cemerlang di sekolah, apabila mendapat tuisyen di pusat-pusat ini kembali dengan

keputusan-keputusan peperiksaan yang memberangsangkan. Itu salah satu bukti betapa


sesetengah guru sekolah tidak pandai mengajar, sudah tidak minat mengajar atau sudah tewas
dan bosan untuk mengajar.
Kedua, ciri guru tidak berkualiti ialah guru yang tidak pandai menguasai. Untuk menjadi
seorang guru, mereka perlu menguasai bidangnya dan bukan dia dikuasai oleh bidangnya itu.
Guru yang dikuasai oleh bidangnya adalah seorang guru yang malas mencuba, di mana dia
mengikut sahaja rentak yang sedia ada. Tiada daya usahanya untuk mencuba sesuatu yang
baru yang boleh diertikan sebagai profesionalismenya dalam bidang berkenaan. Guru yang
tidak pandai menguasai juga adalah guru yang gagal sebelum perjuangan sebenar. Murid
mungkin akan mula tidak ambil perhatian terhadap pengajaran guru dan tidak mustahil mereka
mula mempermainkannya pula dalam erti kata lain membuli guru tersebut.
Ciri ketiga bagi seorang guru yang tidak berkualiti ialah tidak pandai berlakon. Tidak
pandai berlakon yang dimaksudkan di sini ialah seorang guru perlulah menjadi seorang pelakon
yang baik, apatah lagi kalau dia mengajar di sekolah rendah, dia perlu banyak berlakon dalam
memukau perhatian murid-muridnya. Dia bukan sekadar mengajar mata pelajaran yang
dikhususkan kepadanya mengajar, tetapi melakonkan mata pelajaran itu. Seorang guru
bukanlah guru yang baik kalau ilmunya banyak tetapi setiap kali dia berada di hadapan murid
dia menjadi seorang yang membosankan, murid mungkin hilang tumpuan, mengantuk atau
mungkin juga tertidur dengan nyenyaknya. Sebagai contoh, guru perlu bijak melakonkan aksiaksi sebagai seorang atlet jika mereka mengajar bagi pendidikan jasmani.
Seterusnya, ciri-ciri bagi seorang guru yang tidak berkualiti ialah tidak keratif di dalam
sesi pengajaran dan pembelajaran. Mengajar adalah satu cabang seni yang memerlukan
kemahiran-kemahiran tertentu. Seorang guru perlu kreatif dalam menjalankan tugasnya. Guru
kreatif sentiasa ada idea baru untuk mencorak pengajarannya. Suka mempelbagaikan gaya
pengajaran, pendekatan, memikirkan kaedah dan teknik yang menarik untuk menyampaikan
ilmu agar pelajar memahami apa yang diajarnya. Penggunaan bahan bantu mengajar dan
bahan bantu belajar menjadi satu kemestian bagi pelaksanaan aktiviti pelajar agar wujud
pembelajaran bersama atau kolaborasi yang menimbulkan suasana pembelajaran yang
menyeronokkan.
Jika tiada ciri-ciri seperti diatas di dalam diri seorang guru, apakah yang akan terjadi
kepada sistem pendidikan negara kelak? Bagaimana nasib anak-anak bangsa? Bagaimana
pandangan dan kepercayaan masyarakat kepada para guru?

Namun demikian, masih tidak terlambat lagi untuk seorang guru memajukan dan
memperbaiki sifat dalam diri mereka untuk menjadi seorang guru yang benar-benar berkualiti.
Jika diteliti dengan lebih mendalam, saya akui bukan mudah untuk memikul tugas dan beban
sebagai seorang guru yang mengajar di bandar mahupun di luar bandar. Sebaliknya, jika para
guru mengikut garis panduan dibawah, tidak mustahil mereka dapat membentuk diri menjadi
seorang guru yang berkualiti.
Pertama, guru bandar mahupun luar bandar harus bertindak sebagai penyebar ilmu.
Fungsi guru ialah mendidik murid dalam pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran daripada
pelbagai disiplin dalam kurikulum sekolah. Para guru haruslah memiliki sifat-sifat amanah,
dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga dan mempunyai
sikap membantu serta menyampaikan seberapa banyak ilmu kepada murid-muridnya.
Penekanan di sini ialah mengenai sikap dan penampilan guru itu sendiri terhadap konsep ilmu.
Guru harus mendalami ilmu sebanyak mungkin supaya dapat menyebarkan ilmu kepada para
pelajar bagi melahirkan insan dan warganegara yang berilmu. Dalam era transformasi
pendidikan masa kini, guru hendaklah menghasilkan pelajar yang mampu berfikir secara kreatif
dan kritis serta memperkembangkan potensi pelajar dalam semua aspek JERIS (Jasmani,
Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial) bagi mencapai pendidikan bertaraf antarabangsa.
Kedua, sebagai seorang pendidik, guru perlu bertindak sebagai Pembentuk nilai / Role
Model kepada murid-murid. Ini merupakan kriteria penting bagi mengukur mutu sesuatu benda.
Guru harus membentuk murid-murid untuk memiliki akhlak yang mulia dan mempunyai nilainilai murni yang tinggi. Nilai-nilai yang perlu diterapkan ialah moral, agama, terminal dan
instrumental. Jadi, guru seharusnya mempunyai sifat dan kualiti peribadi, profesional, dan sosial
yang baik dan murni terlebih dahulu supaya dapat menjalankan tugas sebagai pendidik dengan
sempurna. Sebagai ibu bapa kedua kepada murid-murid, segala nilai dan tingkah laku guru
menjadi contoh teladan kepada para pelajar. Nilai-nilai murni yang ditonjolkan oleh guru di
sekolah secara tidak langsung akan diterapkan dalam jiwa pelajar. Guru yang beriltizam akan
menjadi role model kepada para pelajarnya. Secara tidak langsung, guru berkenaan akan dapat
memupuk beberapa ciri peribadi yang positif melalui amalan-amalannya di dalam bilik darjah.
Seterusnya, untuk menjadi seorang guru yang berkualiti, mereka seharusnya bertindak
sebagai pengamal budaya ilmu. Ilmu merupakan sesuatu yang bermakna dan membawa
penyuburan serta semangat kepada jiwa manusia. Hal ini menunjukkan ilmu merangkumi
semua aspek kehidupan luaran dan dalam jiwa manusia. Guru sebagai pengamal ilmu perlu

mempraktikkan budaya ilmu seperti membaca, berfikir, memerhati, berkarya, bersumbangsaran,


dan bertukar fikiran serta mencari pengalaman baru. Dalam pengajaran dan pembelajaran
(p&p), guru akan memindahkan ilmu yang baik, meninggikan adab murid, serta memberi
petunjuk ke arah kebenaran sebagai seorang pengamal ilmu. Sebagai seorang guru, budaya
ilmu harus menjadi kriteria utama dan harus dipupuk dalam diri supaya menjadi teladan bagi
para pelajar untuk mencontohinya. Budaya ilmu di kalangan guru dan pelajar adalah sejajar
dengan salah satu matlamat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu
melahirkan generasi yang mencintai ilmu pengetahuan dan seterusnya menjadi teras dan
tunjang dalam amalan pendidikan seumur hidup.
Selain itu, guru juga perlu mengamalkan kemahiran profesional yang merupakan tenaga
ikhtisas di dalam bidang perguruan dan dipertanggungjawabkan untuk mendidik murid-murid di
sekolah. Oleh itu, guru yang mempunyai kemahiran profesional serta kecerdasan emosi yang
tinggi memainkan peranan besar dalam menghasilkan generasi yang berpendidikan,
berkemahiran, berbudaya ilmu dan berakhlak selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
Peranan ini penting bagi membawa pendidikan negara Malaysia ke arah pendidikan yang
bertaraf dunia. Antara kemahiran yang perlu ditekankan ialah kemahiran berfikir dan pemikiran
konstruktif. Para pelajar mestilah dididik menggunakan daya fikir tinggi dan minda untuk
melahirkan pelajar-pelajar untuk belajar sepanjang hayat dan mempunyai modal intelektual
tinggi dalam menghadapi era globalisasi. Kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif juga
perlu terarah kepada pandangan jauh dan luar biasa.
Di samping itu juga, saya merasakan bahawa seorang guru yang berkualiti perlu bersifat
profesional dan peka dengan segala perkembangan pendidikan. Untuk menjadi pendidik yang
profesional, seorang guru perlu peka terhadap inisiatif pendidikan yang terkini.. Guru yang
profesional juga sentiasa mengikuti perkembangan terhadap kajian-kajian lampau dan terkini
bagi mengemaskinikan pengetahuan dan kemahiran p&p guru. Guru hendaklah melengkapkan
diri dengan menguasai kemahiran menggunakan internet untuk memperolehi maklumat tentang
perkembangan matapelajaran dan pedagogi pengajaran masa kini di samping membimbing
murid-murid menggunakan internet sebagai p&p. Selain itu guru perlu mengaplikasikan
teknologi maklumat (ICT) di dalam bilik darjah melalui program SLE (Smart Learning
Environment) yang bertujuan meningkatkan pengetahuan guru terhadap penggunaan ICT.
Antaranya aplikasi word processing, spreadsheet, database, desktop publishing, dan graphing.
Secara ringkasnya, guru perlu bertindak sebagai teacher dan researcher.

Akhir sekali, bagi membentuk kualiti dalam diri seorang guru, mereka seharusnya
mengamalkan pengajaran efektif . terdapat tiga peringkat bagi mewujudkan pengajaran efektif.
Pertama, perancangan pengajaran yang berkesan. Pengajaran bergantung kepada
perancangan, pelaksanaan, penilaian terhadap proses dan objektif pembelajaran. Oleh itu,
mengenalpasti objektif pengajaran merupakan salah satu ciri kualiti pengajaran yang diperlukan
dalam perancangan. Guru juga harus membuat refleksi kendiri untuk menilai objektif
pengajarannya setelah selesai melaksanakan pengajaran. Oleh itu guru harus mempunyai
kemahiran dalam memilih strategi p&p yang sesuai kerana ia merupakan suatu rancangan
untuk melaksanakan aktiviti p&p juga mahir dalam penggunaan kaedah dan teknik mengajar
untuk menyampaikan isi pelajaran dengan cara yang berkesan, kerana pemilihan kaedah dan
teknik mengajar yang sesuai akan menjamin keberkesanan pengajaran serta pencapaian
objektifnya secara optimum.
Peringkat kedua pula ialah pelaksanaan pengajaran yang berkesan. Peranan guru
dalam pelaksanaan dan kejayaan proses pengajaran dan pembelajaran meliputi tugas-tugas
seperti menganalisis objektif dan isi kandungannya, menentukan keperluan pelaksanaan seperti
melengkapkan diri dengan kemahiran mengajar dan penyediaan bahan-bahan pelajaran,
merancang dan melaksanakan pengajaran, membuat penilaian untuk mengenalpasti
kelemahan dengan tujuan meningkatkan keberkesanan dalam pelaksanaan pengajaran dengan
membuat pengubahsuaian dalam rancangan mengajar.
Peringkat terakhir ialah penilaian pengajaran yang berkesan. Penilaian dalam
pendidikan dan pembelajaran sebagai satu aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna
bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif p&p. Pendidik perlu membuat penilaian dan
menghargai perbezaan setiap individu kerana setiap perbezaan itulah yang akan menentukan
cara setiap individu itu belajar dan juga boleh memberi pengalaman pembelajaran kepada
masing-masing.
Kesimpulannya, dalam menuju pendidikan bertaraf dunia, guru adalah agen terpenting
dalam merealisasikan pendidikan anak bangsa Malaysia dalam mengharung cabaran di tahap
yang lebih tinggi. Pengisian guru yang berkualiti seperti yang telah diterangkan seperti di atas
iaitu guru perlulah bertindak sebagai penyebar ilmu, pengamal budaya ilmu, guru sebagai rolemodel, mengamalkan pengajaran efektif, peka dengan segala perkembangan pendidikan, dan
mengamalkan kemahiran profesional mampu meyediakan generasi muda untuk menghadapi
kemungkinan-kemungkinan daripada masyarakat industri, ekonomi yang global, kebanjiran

teknologi tinggi yang sentiasa bertambah canggih, penggunaan komputer sebagai keperluan
urusan harian dan limpahan maklumat sejagat. Saya juga berpendapat bahawa ciri-ciri di atas
bukan sahaja patut dipenuhi oleh guru-guru luar bandar sahaja, walhal semua guru di negara ini
perlu memainkan peranan yang sama agar matlamat pendidikan negara dapat dicapai dengan
jayanya.
Profesion keguruan merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang sungguh mencabar.
Tenaga pengajar dan pengurus pendidikan seharusnya peka dengan perkembangan terkini
dalam proses kepemimpinan, pengurusan, pengelolaan sumber, dan pencapaian matlamat
pendidikan .Justeru itu, dengan pelaksanaan pelbagai-bagai reformasi dalam pendidikan, sudah
pasti menjadikan peranan dan tanggungjawab guru-guru menjadi lebih mencabar. Walaupun
dapatan kajian yang dijalankan menunjukkan tahap tekanan kerja yang sederhana, maka ia
harus ditangani dengan cara yang berkesan agar tidak wujud tekanan dalam diri guru. Maka
para guru perlu berusaha untuk menguruskan tekanan yang mereka hadapi dengan kaedah
yang berkesan. Sebagai seorang guru yang profesionalisme kita perlulah menerima stress
dengan tenang dan perlu tahu cara untuk mengawalnya dan bukan dengan tindak balas yang
negatif seperti keresahan, gementar, marah tidak menentu dan sebagainya.

Penutup:
Maka, sebagai guru yang berkebolehan untuk menghadapi cabaran semasa, kita
seharusnya perlu mempunyai kemahiran pengurusan kendiri dalam diri kita. Guru perlulah
cekap dalam merancang dan mengurus masa. Disebabkan klien kita adalah pelajar kita
seharusnya perlu pandai dalam menguruskan emosi kita. Langkah pertama yang harus
dilakukan adalah memahami situasi dan kedua adalah kenal pasti reaksi emosi terhadap
tekanan dan akhirnya guru harus tahu cara untuk melepaskan emosinya secara sihat seperti
dengan cara meditasi, berbincang dengan rakan, sembahyang, munajat , urut dan sebagainya.

Anda mungkin juga menyukai