Anda di halaman 1dari 5

INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS BATU LINTANG, KUCHING.

PERNYATAAN PROFESIONAL

SEBELUM PRAKTIKUM Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, ucapan syukur Alhamdulillah di panjatkan kepadaNya dengan rasa penuh tawaduk diri ini masih diberikan peluang untuk menjalankan tanggungjawab dan amanah mendidik anak bangsa pewaris masa depan. Tidak lupa juga selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad SAW serta para sahabat yang telah berjuang membawa umat ini dari alam kegelapan hinggalah alam yang dirasakan penuh nikmat dan keindahan. Pertamanya, sebagai perkenalan ringkas saya akan memulakan dengan diri saya dahulu. Nama diberi Ahmad Fauzee bin Abdul Rahman, berasal dari Pulau Pinang dan berumur 28 tahun. Mengikuti program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI j-QAF) Ambilan Januari 2011 dalam opsyen Bahasa Arab. Saya merupakan guru pelatih Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching, Sarawak. InsyaAllah saya akan memulakan sesi praktikum yang akan diselia oleh pensyarah dari maktab di Sekolah Kebangsaan Matang Jaya, Kuching. Disitulah saya ditempatkan untuk menjalani latihan selama 18 bulan termasuk tempoh praktikum. Seperti teman-teman seperjuangan yang lain, saya juga tidak terlepas dari rasa hati yang pelbagai serta situasi yang agak bercelaru dalam membuat persediaan bagi menghadapi sesi praktikum ini. Seawalnya, pada tanggal 3 Disember 2011 bersamaan hari Sabtu saya dan teman-teman telah menghadiri sesi taklimat bagi menghadapi praktikum di Maktab Perguruan Batu Lintang yang di adakan di dewan berhampiran dengan lapangan tenis. Bermula jam 9.00 pagi kami semua masuk ke dalam dewan dan mengambil tempat masing-masing. Sesi pertama dimulakan oleh Ustaz Salehuddin bin Sabar yang di tugaskan untuk menyampaikan perkara berkaitan subjek Pendidikan Al-Quran yang menjadi subjek elektif bagi saya dalam major Bahasa Arab. Beliau telah menerangkan dengan lanjut untuk kali terakhir tentang apa yang perlu dilaksanakan dalam p&p subjek itu serta kaedah penulisan rancangan pengajaran harian. Kami mendengar penerangan beliau selama hampir satu jam. Selain itu

beliau juga memberi sedikit suntikan motivasi buat kami semua dalam menghadapi pelbagai rintangan dan halangan. Kami diminta sabar dan redha dengan apa yang telah ditetapkan kerana inilah medan perjuangan dakwah dan didikan dalam membentuk generasi masa hadapan. Pengorbanan yang perlu dilakukan oleh kami generasi awal untuk kesenangan generasi akan datang. Selesai sesi pertama, kali ini giliran Ustazah Syarifah Nooraida pula masuk untuk menyampaikan beberapa maklumat penting berkaitan dengan persiapan fail praktikum. Beliau merupakan Ketua Penyelia KPLI j-QAF bagi sesi 2011. Menjadi tanggungjawab beliau bagi memastikan anak-anak yang diamanahkan kepada beliau untuk bersiap sedia dan menghadami segala apa yang tidak jelas supaya semuanya berjalan lancar. Sambil dibantu oleh Ustaz Ali Jusoh dan Ustaz Mahadi Khalid, kami diberikan contoh-contoh fail dan buku rancangan pengajaran harian milik seorang pelajar Pismp Maktab Batu Lintang yang cemerlang. Sedikit sebanyak ia memberi gambaran kepada kami tentang persiapan penting yang perlu dilakukan. Juga sedikit sebanyak kerisauan itu mula hilang, namun timbul pula kerisauan yang lain. Itulah lumrah sebagai pelajar begitu juga medan dakwah. Hakikat keimanan takkan putus dengan ujian dan kenikmatan yang silih berganti. Sesi kedua ini mengambil masa selama 30 minit sebelum kami semua dipecahkan mengikut bidang subjek masing-masing bagi mendengar taklimat khusus berkaitan subjek. Kali ini ia disampaikan oleh Ustaz Ali bin Jusoh yang merupakan pensyarah bagi subjek Bahasa Arab. Beliau tidak bercakap panjang pada sesi ini sebaliknya terus menunjukkan contoh rancangan pengajaran harian, mingguan dan tahunan yang perlu disediakan oleh kami semua sekembalinya ke sekolah nanti. Beliau juga member peringatan bahawa praktikum adalah landasan untuk memperbaiki diri bukan untuk ditakuti. Keyakinan dan kesungguhan yang perlu ditunjukkan agar pensyarah yang menyelia berasa yakin dan minat dengan apa yang dihasilkan. Sesi taklimat pada 3 Disember 2011 ini berakhir pada jam 11.30 pagi dan kami semua beredar pulang. Berikutnya diadakan pula sesi taklimat praktikum dari Unit Praktikum Maktab Perguruan Batu Lintang di dewan yang sama sebelum ini. Sesi taklimat pada kali ini dimulakan pada jam 2.30 petang. Taklimat penting ini telah disampaikan oleh Ketua Unit Praktikum Dr. Tiwi binti Kamidin. Awalnya beliau telah menyerahkan kepada kami semua salinan borangborang bagi kegunaan praktikum, tiga dokumen bersampul putih dan surat pengenalan diri yang perlu diserahkan kepada pihak sekolah sewaktu hari pertama praktikum nanti. Selanjutnya

beliau tanpa melengahkan masa telah memulakan taklimat dengan menghuraikan secara terperinci berkaitan borang-borang praktikum, penyerahan dokumen bersampul putih kepada pihak sekolah dan guru pembimbing serta surat pengenalan diri. Banyak tindakan awal yang perlu diambil agar tidak kusut menjelang hari yang ditunggu-tunggu nanti. Bermula dengan maklumat-maklumat peribadi, sekolah, dan persiapan pengajaran perlu diperhati dengan teliti. Di situ sedikit demi sedikit kerisauan bertambah dan akal mula berfikir macam-macam persoalan. Namun ditenangkan dengan keyakinan kepada Allah SWT dan keazaman yang tinggi bahawa setiap insan punyai keistimewaan dan segala kelemahan adalah cermin bagi mencipta kegemilangan.taklimat ini mengambil masa selama dua jam yang mana ianya berakhir pada jam 4.30 petang. Akhirnya sebelum semua beredar, Dr Tiwi mengucapkan selamat maju jaya dan sentiasa merujuk kepada beliau sekiranya ada maklumat yang tidak jelas.

Hari Jumaat, bersamaan 20 Januari 2012. Terasa masa amat cepat berlalu. Kini sekolah sudah mula bercuti bagi menghadapi Perayaan Tahun Baru Cina. Ini menandakan tempoh waktu menjalani praktikum telah semakin hampir. Masih banyak lagi persediaan yang belum dilakukan. Namun tindakan awal mengumpul segala bentuk maklumat dan keperluan untuk diisi di dalam fail-fail telah dikumpul. Segala susun atur jadual, pelan sekolah, maklumat pengangkutan dan takwim sekolah telah selesai diserahkan kepada Unit Praktikum IPG Batu Lintang. Pensyarah penyelia juga telah menerima maklumat tersebut. Segala perbincangan awal telah dibuat bersama pensyarah iaitu Ustazah Syarifah Fatimah bt Wan Jamel. Guru Besar serta pihak sekolah memberikan kata semangat dan peringatan agar membuat persediaan rapi dapat dibuat sebaik mula bercuti supaya tidak kelam kabut apabila memulakan sesi persekolahan nanti. Perancangan waktu ini tertumpu kepada persiapan fail. Alhamdulillah tugasan penjadi ringan apabila banyak urusan dibantu oleh isteri yang mendampingi Azhaida bt Muhammad. Peralatan-peralatan serta buku-buku yang perlu dibeli semua di senaraikan awal agar tidak ada yang tercicir. Saya memulakan langkah demi langkah dan berjumpa dengan para pensyarah di maktab seperti Ustazah Syarifah Fatimah, Ustazah Syarifah Nooraida, Ustaz Mahadi dan Ustaz Salehuddin bertanyakan berkaitan perkara-perkara penting yang kadang kala terlepas

pandang. Segala maklumat yang disampaikan saya catit dan senaraikan untuk diambil tindakan apabila pulang ke rumah.

Hari Rabu, bersamaan 26 Januari 2012. Hari ini saya telah pergi ke Unit Praktikum semula untuk menghantar jadual baru praktikum dan membuat semakan akhir terhadap semua dokumen awal yang telah saya hantar sebelum ini. Semuanya bagi memastikan tiada yang keciciran dan segala kesilapan dapat diperbetulkan. Harapan untuk berjumpa dengan Dr.Tiwi Kamidin tidak kesampaian kerana beliau tidak berada di unit praktikum hari itu. Namun salah seorang staf lain telah membantu saya memberi penerangan berkaitan sistem fail dan pernyataan professional yang perlu di tulis. Kerana sebelum ini saya tidak berapa jelas berkaitan dengan pernyataan professional. Alhamdulillah, masalah itu dapat diselesaikan apabila penerangan yang telah disampaikan amat jelas dan membantu saya.

Hari Jumaat, bersamaan 28 Januari 2012. Tinggal lagi baki dua hari sebelum saya memulakan praktikum. Semakin mendebarkan hati dan mula membayangkan keadaan yang mencemaskan dan menakutkan. Tetapi kali ini saya telah pastikan bahawa sistem fail telah disusun rapi dan maklumat-maklumat awal telah di isi walaupun masih belum sempurna. Ini kerana perancangan dan mesyuarat awal unit-unit disekolah masih belum selesai dilaksanakan. Cuma yang tinggal hanya persiapan buku rancangan pengajaran harian dan perancangan awal untuk mengajar. Waktu ini saya mengambil tindakan dengan menyemak buku teks subjek yang akan diselia dan mula membuat langkah-langkah awal pengajaran dan bahan bantu mengajar. Ini bagi memudahkan saya untuk mengatur segala perancangan di dalam buku rancangan pengajaran harian. Saya mengambil contoh dari buku yang telah dibuat oleh seorang pelajar PISMP IPG Batu Lintang yang mana diiktiraf sebagai cemerlang. Ini banyak membantu saya dari segi idea dan kreativiti yang boleh diwujudkan. Insya Allah dalam sehari setengah semuanya akan dapat disiapkan dengan baik.

Hari Ahad, bersamaan 29 Januari 2012. Hari persiapan akhir. Saya membuat semakan bermula awal pagi. Dari fail port folio, buku rancangan pengajaran harian, senarai semak bahan port folio, bahan bantu mengajar untuk pelajaran pertama praktikum hinggalah persediaan mental dan fizikal untuk menghadapi pelaksanaan pengajaran. Walaupun telah menerima latihan selama setahun dari Februari 2011 hingga November 2011, tetapi ia belum cukup untuk membentuk satu persediaan rapi yang mantap dan matang. Segala bahan, fail-fail dan buku-buku serta alatan untuk mengajar esok hari telah saya siapkan dan kumpul dalam satu beg bagi memudahkan saya untuk membawa ke sekolah. Surat pengenalan diri juga telah diletakkan di dalam sampul putih untuk diserahkan kepada guru besar di sekolah esok hari. Kini saya pasakkan keazaman dan harapan yang tinggi dengan keyakinan penuh agar saya bersemangat menempuhi segala susah payah dalam ujian ini. Keazaman dan harapan saya melalui latihan praktikum ini ialah memperoleh pelbagai pendedahan dalam pelbagai bidang sama ada ianya berkaitan dengan akademik ataupun bukan akademik. Semestinya yang diutamakan ialah subjek yang saya ajar di sekolah iaitu Bahasa Arab khususnya. Selain itu, dalam tempoh praktikum ini saya juga mengharapkan ia merupakan satu peluang terbaik untuk saya mengenali budaya murid dan guru serta suasana di sekolah rendah sebagai pendedahan awal sebelum saya dilantik sebagai guru tetap kemudian nanti. Diharapkan saya akan dapat mengutip dan menimba seberapa banyak ilmu, pengetahuan serta pengalaman yang berguna agar dapat saya aplikasikan dalam dunia kerjaya saya kelak. Saya akan cuba mempraktikkan ilmu yang telah saya pelajari sepanjang setahun lepas dalam tempoh latihan agar dapat membantu murid-murid di sekolah tersebut. Dalam masa yang sama, saya boleh melaksanakan sesi p&p bersama murid-murid dengan mengaplikasikan teoriteori ilmu yang telah saya pelajari sebelum ini semasa interaksi.

Anda mungkin juga menyukai