Anda di halaman 1dari 8

MENCARI QUDWAH

Oleh : AINUNL MUAIYANAH MUHAMMAD SULAIMAN


DEWAN SISWA JUN 06
Engkau ialah Qudwah An-Nawairah contoh yang bercahaya. Nama yang mencerminkan
keunggulan pemiliknya. Termazkur dalam lipatan sejarah kau pernah merafakkan nama baik
maktab ini apabila terpilih sebagai salah seorang pelajar cemerlang PMR kebangsaan lewat
tahun lalu.
Dia terjeda seketika.
Agaknya bila selalu terbang tinggi di awan biru , bila sesekali terjatuh , tidak mampu untuk
berdiri kembali.
Sejuring kata dari Ariff memang benar-benar menghiris atmanya yang sedia rawan. Di awal
pertemuan ini, bicara Ariff manis bergula. Senyumnya tampak ikhlas. Hatinya terus menyimpul
konklusi. Biarlah kekusutan hatinya terlerai di sini. Namun telahannya jauh tersasar. Lain yang
diharap lain pula yang diperoleh.
Cik Qudwah An-Nawairah, rasanya biarlah kisah layang-layang di awan menjadi tauladan. Apa
gunanya megah menongkah deras angin dan dijulang tinggi tetapi bila tali penyambung nyawa
terputus, diri terlayah-layah di langit biru tanpa tujuan. Akhirnya jatuh menyembam bumi dan tak
mampu terbang lagi.
Bahasa lelaki itu kembali indah tersusun. Sedangkan dirinya sudah kehilangan seluruh
perbendaharaan kata sedari tadi walhal dia ialah pembahas terbaik maktab. Lidahnya kelu
kerana sembilu kata yang terluah dari bibir jejaka di hadapannya ini ibarat bidik mengenai
sasaran. Tepat dan jitu.
Qudwah menekur bisu. Pawaka amarahnya benar-benar terpendam di lubuk hati.
Mata Ariff masih setia mencerlung gadis di hadapannya. Di awal pertemuan, dia memang
bersorak riang di dalam hati. Inilah masanya untuknya mengajar Qudwah yang sentiasa pongah
dengan nikmat kurniaan Tuhan yang sementara.
Namun, lama kelamaan timbul pula rasa kasihan apabila melihat Qudwah diam seribu bahasa.
Serta air mata yang hampir bergenang di hujung mata bundarnya. Hatinya terus cacar-marba.
Dia tahu dia sudah melangkaui sempadan. Dia telah menyalahgunakan amanah yang tergalas.

Seharusnya dia menyelami permasalahan Qudwah dan membimbingnya melerai kekusutan


bukannya makin diracun hati yang kian lemah. Akhirnya suaranya yang tegang menjadi kendur.
Pintu bilik dikuak seseorang. Udara panas dari luar menerjah masuk ke dalam bilik.
Eh, Ariff ada di sini! Oh! ada sesi kaunseling rupanya.
Suara gemersik Cik Batrisyah Wafa menerobos gegendang telinga Qudwah. Guru kaunseling
maktab yang masih muda jelita tetapi kaya dengan pengalaman melangkah masuk ke biliknya
yang baru sebentar tadi menjadi medan kaunseling Ariff-Qudwah.
Saya sekadar memberi beberapa tips dan nasihat sahaja. Tidak molek rasanya saya
membelakangkan Cik Wafa.
Tidak mengapa Ariff. Lagipun awak kan proksi saya. Oh ya apa masalah kamu Qudwah?
Cik Batrisya Wafa mula meneliti borang yang diisi oleh Qudwah sebentar tadi.
Masalah berkaitan dengan pelajaran Cik Wafa.
Ariff akas menjawab bagi pihak Qudwah sebelum sempat Qudwah melontar kata. Cik Batrisya
Wafa mengangkat kening dan merenung Qudwah wajah yang penuh kehairanan.
Qudwah pun ada masalah dengan pelajaran. Saya kira pelajar cemerlang seperti Qudwah.
Semua pelajar pasti tidak lari dari masalah ini selagi nafas dan usia masih ada dan saya tidak
terkecuali Cik Wafa. Namun saya sudah menemui peleraiannya.
Qudwah cepat-cepat memancung kata Cik Wafa sebelum menambahkan luka hatinya lagi.
Sebelum meminta diri Qudwah sempat menghadiahkan senyuman yang pahit kepada Ariff.
Nasihat itu akan dirafakkan ke langit agar bisa menaungi masalah dan mendatangkan
kemaslahatan.
Sekembalinya dari bilik kaunseling, Qudwah menangis metah. Hatinya keliru fikirannya buntu.
Teman-teman sebiliknya diam tidak berkutik. Qudwah jika sudah menangis ertinya dia
menangis bersungguh-sungguh.
Jika malam sebelumnya, punca tangisan lantaran hati berasa kecewa, malam ini menyaksikan
hatinya diamuk marah.
Memang dia adalah Qudwah An-Nawairah yang memandu maksud contoh yang bercahaya.
Namanya yang tersusun indah itu pilihan istimewa umi dan abi. Umi dan abi mahu dirinya

menjadi contoh, tauladan dan ikutan masyarakat. Lantaran itu dia terasuh dan terdidik menjadi
insan yang lengkap serba-serbi.
Sedari dahulu dia sentiasa menjulang nama. Kejayaan dan kecemerlangan sahaja yang
mencumbu dirinya. Dia tidak pernah mengenal erti kekalahan dan kegagalan kerana dia tidak
pernah mengecapnya walau seketika cuma.
Setiap semester dia meraih purata nilai gred (PNG) 4.0. Malah namanya sering mendahului
penerima anugerah penghormatan pengetua pada hari kecemerlangan pada awal semester.
Namun rasa takut menghambat diri apabila ujian selaras yang lepas dia memperoleh gred B.
Sejarah baru yang terlakar dalam hidupnya. Dia khuatir akan menjejaskan keputusan
semesternya. Atas alasan itu dia mengunjungi bilik kaunseling untuk mendapatkan sedikit
nasihat bagi menenangkan hatinya.
Malangnya hatinya walang tidak usak malah kini berbaur sakit hati yang teramat.
Kak Qudwah, ada pesanan daripada Cikgu Sarina. Raudah, juniornya yang muda setahun
langsung pergi selepas memberi sepucuk surat kepada Qudwah. Muka Qudwah yang cemberut
itu meruntun rasa takut berbaur hormat.
Sepucuk surat bisa melingsirkan rasa sakit hati Qudwah. Inilah yang dikata kerna pulut santan
binasa kerana mulut badan binasa. Ariff adalah bakal penolong pengarah yang menggantikan
Hilmi kerana Hilmi terpaksa berkampung di hospital selepas terjatuh dari bukit curam di maktab
mereka. Qudwah tidak mahu memikirkan alasan Ariff terpilih walhal Ariff adalah pelajar yang
baru berpindah ke maktab mereka tetapi hati perempuannya mula berdendam untuk
mengenakan Ariff yang tidak sayang mulut membasuhnya di bilik kaunseling tadi.
Sepanjang tempoh kerjasama Ariff-Qudwah di dalam sidang produksi drama maktab, dia
memanfaatkan setiap inci ruang dan masa untuk menyakitkan hati Ariff. Membalas dendam
atas kata-kata yang pernah dihamburkan kepada Qudwah.
Jika putih pendapat Ariff, maka hitamlah keputusan Qudwah. Sekiranya ke kanan langkah Ariff,
maka ke kiri pula aturan Qudwah. Jika Ariff memilih pawana sudah tentu Qudwah memilih
pawaka.
Sesekali Qudwah dapat mencuri pandang riak marah pada wajah Ariff yang selalu tenang.
Ketika itu hatinya bergenderang ria. Kerjasama yang diharapkan tidak seindah mana dan
sememangnya Qudwah tidak mengharapkan setitis idea serta peranan Ariff.

Menjelang hari pertandingan, Cikgu Syarifah Halimah memantau raptai latihan drama di bawah
pimpinan Qudwah. Usai latihan tersebut Cikgu Syarifah memanggil mereka berkumpul.
Siapa pengarah drama ini? Suara Cikgu Syarifah yang lemak merdu itu menguja Qudwah
untuk mendabik dada. Cikgu yang berusia awal 30-an itu ditugaskan memantau mereka setelah
Cikgu Sarina cuti bersalin minggu lalu. Cikgu yang baru dipindahkan ke maktab mereka itu
sangat murah dengan senyuman.
Saya. Qudwah mengangkat tangan memperkenalkan diri. Guru Syarifah tersenyum.
Oh! Qudwah rupanya. Begini sajalah. Sejujurnya cikgu hanya boleh memberi markah 5/10
kepada kumpulan kamu. Gaya persembahan kamu cukup hambar dan klise. Seharusnya kamu
tidak perlu terlalu terikat kepada skrip. Tiada langsung unsur yang boleh memberi kejutan.
Kalau sekadar di sini kamu meraih kemenangan tetapi kalau menjadi wakil maktab, cikgu
mahukan sesuatu yang lebih hebat dan bagus daripada ini.
Qudwah tunduk membisu. Sangkanya Cikgu Syarifah akan menjerlaikan kata pujian. Namun
lain yang dinanti lain pula yang gugur.
Ariff, kamu kan pernah menjadi pengarah dahulu. Tidak boleh fikirkan idea yang lebih baik
seperti drama Wacana Budi dahulu.
Qudwah tersentak. Drama Wacana Budi yang telah meraih johan pertandingan Drama
peringkat kebangsaan tahun lalu. Ariffkah pengarahnya?. Lantas dirinya diserbu malu.
Saya hanyalah penolong pengarah sahaja Cikgu..
Jangan jadikan itu alasan. Kamu di sini bukan untuk mengejar pangkat tetapi menjulang nama
baik maktab. Kerjasama lebih baik dari bergerak sendiri. Seberkas lidi bukankah lebih kukuh
daripada sebatang lidi. Fikirkan ya. Kamu sudah dewasa dan bijak pula.
Bicara Cikgu Syarifah mengisar lumat hati Qudwah. Kata-kata itu seakan menumpu tepat
kepada dirinya. Yang berbeza hanyalah kata ganti nama sahaja. Bertambah parah apabila
sejuring senyum terukir di bibir Ariff. Qudwah rasa benar-benar terhina.
Selepas Cikgu Syarifah beredar, masing-masing berbisik sesama sendiri. Qudwah membisu
dan hatinya culang-caling kini.
Qudwah Ariff menghampiri Qudwah selepas melihat awan mendung yang tidak sirna
daripada wajah Qudwah sejak tadi.

Batang selasih akarnya mati,


Jangan di bawa ke dalam perahu,
Mencurah jasa tempat tak sudi,
Orang benci kita tak tahu.
Selepas Qudwah menghabiskan pantunnya, dia berlalu pergi membawa bersama jutaan
kekecewaan. Dia tidak pernah kalah mengatur catur kehidupannya. Tetapi kini dia tewas
walaupun tanpa pertandingan yang sengit. Tewas kepada Ariff, insan yang sederhana tetapi
hebat di dalam diam.
Bermula saat itu Qudwah menyepi diri. Jika ada ahli yang bertanya mengenai latihan drama
yang perlu dirombak semula, Qudwah akan menyuruh mereka merujuk kepada Ariff. Segalanya
diserahkan kepada Ariff. Bukankah Ariff lebih hebat daripadanya?. Bukankah Ariff yang berjaya
menguntumkan pujian daripada bibir Cikgu Syarifah selepas rombakan itu?. Qudwah
merasakan dia hanya melukut di tepi gantang sahaja apabila berada di sisi Ariff. Dunia seakan
melupakannya sedangkan dahulu dialah insan yang pertama dicari tetapi kini segalanya sirna.
Dia seakan bukanlah Qudwah An-Nawairah (contoh yang terpuji) lagi.
Malam ini mereka akan bertolak ke maktab tuan rumah. Perjalanan ke utara itu akan memakan
masa berjam-jam lamanya namun hati Qudwah tawar dan hambar. Dia tidak layak untuk pergi
kerana tiada langsung sumbangan untuk drama itu. Kehadirannya sekadar menambahkan berat
bas sahaja. Semua peserta sedang sibuk mengemas barang dan keperluan sedangkan
Qudwah hanya mampu memandang kosong begnya yang masih tidak terisi.
Qudwah tidak mahu pergi. tiba-tiba ayat itu terlantun dari bibirnya. Napisah dan Farkhana
serentak memandangnya.
Mengapa Qudwah. Kau kan pengarah drama. Mana boleh tidak pergi. Lembut sahaja nada
Napisah memujuknya.
Aku tak layak. Ariff yang disanjung semua. Aku pula tidak berperanan langsung. Ibarat muka
orang tak tahu malu sahaja jika aku pergi. Aku tahu erti harga diri
Janganlah begitu Qudwah. Bukankah kau juga berlakon sama.
Sudahlah. Aku nekad. Sebelum kamu semua bertolak aku beritahu keputusanku kepada cikgu.
Noktah ya.

Napisah dan Farkhana keputusan kata. Qudwah tegas dan degil. Anak tunggal yang tersimbah
darah keturunan Bugis memang keras hati orangnya. Jika frasa noktah di akhir kata Qudwah
bermaksud segalanya keputusannya muktamad.
Napisah membisikkan sesuatu dan Farkhana terus berlalu pergi selepas menerima mesejnya.
Qudwah langsung tidak sedar tindakan mereka.
Selepas beberapa minit, Farkhana muncul di muka pintu sambil tersenyum simpul.
Ada orang nak jumpa di bawah.
Siapa? Qudwah kehairanan.
Entah aku pun terima pesanan ini dari orang. Farkhana berpura-pura hairan walhal ini semua
rancangannya bersama Napisah.
Qudwah bangun dari katilnya dengan perasaan culas. Dia mencapai tudungnya dan
memakainya serapi mungkin. Manalah tahu ada guru yang ingin berjumpa. Malu metah jika
penampilannya kurang kemas.
Qudwah. sebaik sahaja dia turun wajah Ariff yang pertama dilihat.
Ariff? Kau yang ingin berjumpa dengan aku? Melihat Arif mengangguk, terus sahaja Qudwah
dapat mengesan komplot antara rakannya dengan Ariff.
Aku rasa tindakan kau menarik diri begini kurang rasional. Jangan kerana sakit hati dengan
aku, kau membawa diri begini rupa.
Ariff ini kalau bercakap memang tiada unsur implisit langsung. Kalau begini cara untuk memujuk
yang dipraktikkan, sampai akhir hayat pun tiada siapa yang termakan kata-katanya. Bentak
Qudwah di dalam diam. Matanya berkalih arah. Menunggu ayat seterusnya daripada Ariff,
musuh ketatnya kini. Tetapi Ariff diam sahaja.
Ada lagi Encik Ariff? Daripada kau membazirkan masa di sini hanya untuk menyatakan dua
ayat itu sahaja, bukankah lebih baik kau memikirkan persediaan untuk bertolak malam ini.
Pagi-pagi pergi ke ladang,
Hendak menyemai benih padi,
Betapa tinggi Gunung Ledang,
Tinggi lagi hajat di hati.

Kedegilan tidak menjanjikan apa-apa. Aku tidak boleh mengarahkan drama itu tanpa bantuan
kau. Idea kau hebat sekali. Mengapakah kita tidak boleh bekerjasama walaupun seketika
cuma?.
Hebat?. Bukankah kau pengarah drama Wacana Budi?. Bukankah kau anak emas Cikgu
Syarifah? Aku ini bukanlah sesiapa. Cikgu Syarifah sendiri mengutuk kerja aku. Lirih sekali
suara Qudwah.
Bukan mengutuk tetapi mengkritik. Jangan sempitkan perbendaharaan kata ya. Untuk
mencapai kejayaan itu,bukankanlah satu perjalanan yang mudah. Aku yang ego dan bongkak
ini hampir menyebabkan kekalahan maktab kami. Nasib baik aku sedar di saat akhir. Cikgu
Syarifah yang menyedarkan aku. Aku malu hingga membawa diri ke maktab ini. Aku tidak mahu
perkara yang sama berulang kepada diri kau.
Qudwah terpana seribu bahasa. Cuba merangkaikan kata-kata Ariff menjadi mutiara azimat.
Keistimewaan kita bukanlah untuk dibanggakan. Nikmat tuhan ini hanyalah pinjaman sahaja.
Ada kalanya kita akan berjaya dengannya tetapi kadang-kadang kita kecundang juga. Qudwah,
kau sering berada di puncak, sesekali bila kau gagal kekecewaan yang kau alami adalah
seratus kali lebih perit dari orang biasa. Aku pernah mengalaminya. Aku tahu.
Bolehkah kau turut serta dalam rombongan ini?. Satu rahsia yang aku tidak patut rahsiakan
daripada kau, kebanyakan idea untuk drama ini adalah idea kau yang kau lontarkan secara
spontan apabila kau memarahi aku. Aku mengutipnya dan menjadikannya hebat. Terima kasih.
Lalu kau tidak mahu menyaksikan idea kau yang aku patenkan untuk drama ini?. Usik Ariff.
Tiba-tiba mereka menangkap deruman enjin bas bagaikan isyarat bahawa masa untuk mereka
bertolak semakin hampir.
Pergi ya. Ariff tersenyum mengharap sebelum berlalu pergi.
Qudwah merenung bas tersebut dan rakan-rakanya yang mula memenuhi tempat kosong di
dalam bas tersebut.
Aku yang sombong dan tidak sedar diri. Bukankah nikmat Allah itu pinjaman sementara untuk
di kongsi bersama. Perbandingan ilmu Allah dan ilmu manusia itu ibarat setitis air di lautan.
Syukur padaMu aku diberi peluang kembali menjadi manusia yang bersyukur. Qudwah berbisik
di dalam hati.

Hon bas mengejutkannya daripada lamunan. Qudwah tersenyum sambil menyeka air matanya
yang berlinang dan merenung bas tersebut dengan niat yang baharu.

Anda mungkin juga menyukai