Anda di halaman 1dari 5

Arus globalisasi telah menyebabkan pelbagai budaya warisan rakyat

Malaysia semakin terhakis.


Anda sebagai rakyat yang cinta akan negara, sarankan sumbangan anda
untuk mengekalkan budaya warisan rakyat Malaysia.
Peribahasa Melayu jelas menyatakan bahawa tak basah dek hujan, tak
lekang dek panas. Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya bangsa perlu
dipertahankan agar sentiasa releven dan diingati oleh masyarakat Malaysia,
terutamanya golongan muda-mudi. Yang berlaku sekarang, kemasukan budaya
asing sudah mula menjajahi minda warisan yang dianggappemuda harapan
bangsa, pemudi tiang negara. Budaya punk dan gortik umpamanya
menerapkan unsur bawah tanah, yakni alam kematian dan keseronokan
yang bertunjangkan keghairahan melalui penggunaan pil khayal dan dadah.
Fenomena ini melunturkan semangat menghargai warisan bangsa. Tepuk dada,
tanya selera; berapa ramaikah yang mengenali dan menghargai pakaian
tradisional? Golongan yang muda masih bermain permainan tradisional
mahupun suka akan makanan tradisional? Oleh hal yang demikian, remaja
seperti saya memainkan peranan penting untuk mengembalikan zaman
kegemilangan untuk warisan rakyat Malaysia supaya tinggalan nenek moyang
kita sentiasa subur dalam sanubari kita.

Sebagai rakyat yang berjiwa patriotisme, darah kita mengalir deras warisan
daripada nenek moyang kita. Hal ini dikatakan demikian kerana manusia tidak
mungkin melupakan asal usulnya kecuali berpegang pada sikap kacang

lupakan kulitnya. Sebagai remaja, saya akan mengaktifkan diri dalam


persatuan atau kelab permainan tradisional. Dengan menyertai aktiviti dalam
kelab tersebut, saya dapat memahami permainan tradisional yang terdapat di
Malaysia. Bak kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Dengan menghadiri
perjumpaan dan belajar bermain permainan seperti congkak dan gasing, kita
dapat mengetahui betapa halusnya dan tingginya tahap pemikiran nenek
moyang kita yang mewariskan permainan ini kepada kita. Oleh hal yang
demikian, warisan bangsa ini dapat diturunkan dari satu generasi kepada satu
generasi. Jikalau warisan acara merejam lembing dan wushu dapat
diketengahkan ke arena sukan dunia, bagaimanakah pula dengan wau dan
gasing? Saya berpendapat bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.
Kita harus menghargai warisan rakyat Malaysia sebelum warisan
ini diapresiasi oleh orang asing.

Selain itu, anak remaja seperti saya yang umur baru setahun jagung, darah
baru setampuk pinang perlulah mengingati warisan nenek moyang seperti
pantang larang sekali gus mempraktikkannya. Hal ini dikatakan demikian kerana
kita akan memperoleh banyak pengetahuan dan pengalaman daripada amalan
tersebut. Di samping itu, kita dapat mengetahui kebaikan yang diperoleh
daripada amalan pantang larang tersebut. Antara pantang larang yang penting
ialah anak gadis tidak digalakkan duduk di anjung rumah dan bernyanyi di dapur.
Selain itu, kita diajar tidak memakai kasut di dalam rumah dan bercakap sewaktu
menikmati hidangan. Jika dilihat dari sudut lain, pantang larang ini sebenarnya

mendisiplinkan diri kita selain dapat menglakkan anak gadis daripada terjerumus
dalam kebejatan sosial. Oleh sebab itu, warisan rakyat Malaysia yang juga
amalan nenek moyang harus dijadikan tunjang kehidupan agar kita berjati diri
teguh untuk menangkis segala godaan anasir yang jahat yang mampu
menggadaikan maruah diri dan keluarga. Oleh itu, janganlah kita menconteng
arang di mukaibu bapa kita.

Warisan rakyat Malaysia memang luas. Antara warisan yang perlu dipertahankan
ialah busana. Pakaian tradisional kita melambangkan ketinggian nilai hidup serta
kehalusan hasil tangan masyarakat dahulu kala. Golongan pelajar seperti saya
sewajarkan memainkan peranan yang penting dengan mengetengahkan pakaian
tradisional. Pemakaian busana klasik ini bukan sahaja menutup aurat, malah
dapat menonjolkan keistimewaan Malaysia kepada jagatraya. Remaja seperti
saya wajarlah memakai pakaian tradisional untuk menghadiri majlis rasmi atau
majlis tidak rasmi seperti jamuan. Pakaian tradisional seperti baju kurung dan
baju kebaya bukan sahaja menampilkan kecantikan diri seseorang gadis malah
kemanisan gadis yang memelihara adab pemakaian dan adab berjalan apabila
berpakaian tradisional. Mahukah kita melihat dengan bangganya busana
tradisional kita dipakai oleh model terkenal dunia lalu berjalan di pentas fesyen
dunia. Kita harus mengorak langkah untuk merealisasikannya kerana genggam
bara api, biar sampai jadi arang.

Apabila kita melangkah masuk ke dapur rumah, nescaya makanan yang

disediakan oleh ibu bapa kita adalah untuk melangsungkan kehidupan.


Makanan merupakan keperluan hidup manusia yang terpenting selain tempat
tinggal. Oleh hal yang demikian, masyarakat yang terdahulu banyak membuat
kajian dan analisis tentang makanan. Golongan yang lebih banyak makan garam
ini telah mencipta makanan tradisisional yang berwarna warni untuk terus dapat
dinikmati oleh muda-mudi zaman globalisasi ini. Oleh hal yang demikian, kita
sepatutnya menunjukkan penghargaan kepada golongan tua dengan
mempelajari cara penyediaann makanan tradisional. Jika kita membuat anjakan
paradigma ini, nenek atau datuk kita pasti sejuk hati melihat kejayaan kita
menyediakan makanan kegemaran mereka seperti petai, jering, kuih-muih dan
sebagainya. Makanan tradisional yang bebas daripada bahan kimia bukan
sahaja lebih sihat, malah dapat memperkukuh silaturahim dan ukhuwah antara
golongan tua dengan yang muda.

Peribahasa Bagaimana acuan, begitulah kuihnya juga jelas menunjukkan


kebijaksaan golongan veteran menyamakan sikap ibu bapa kepada anak-anak
mereka. Dengan kata lain, golongan muda seperti saya sepatutnya memberikan
teladan kepada adik-adik kita supaya mengenali dan mengamalkan warisan
rakyat Malaysia. Pada masa lapang, kita bolehlah membawa adik kita bermain
wau, congkak, mahupun menyertai pertandingan membuat wau. Aktiviti seperti
ini mampu mencambahkan minat anak-anak muda untuk
terus berkecimpungdalam bidang tugas yang diperturunkan oleh nenek moyang
kita. Janganlah kita berasa malu untuk menerima warisan yang sebenarnya milik

kita bersama. Walaupun pemikiran orang terdahulu sanggup mempertahankan


prinsip biar mati anak, jangan mati adat; golongan zaman ini boleh
memperbaik keadaan dengan menghargai dan menjadikannya sebagai kayu
pengukur tahap pemerimaan kita terhadap nenek moyang kita dan betapa kita
menghormati dan menyanjungi mereka.

Tiada kusut yang tidak boleh dileraikan, tiada masalah yang tidak boleh
diselesaikan. Oleh hal yang demikian, arus globalisasi yang mengalir deras
dalam kehidupan kita tidak wajar menghakiskan jati diri kita yang sebenar.
Hakisan warisan rakyat Malaysia yang semakin serius haruslah diselamatkan
daripada terus melunturkan sinar dan kekilatan warisan kita. Warisan kita
tanggungjawab kita. Nenek moyang kita yang menciptanya, kita yang harus
mengekalkannya. Jika kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu warisan ini
tenggelam dalamarus perdana ini, ke mana akan kita gapai kehidupan sebenar?
Apakah erti sebenar kehidupan ini jika kita hanya mampu merosakkan yang baik
dan membinasakan yang murni? Ayuh rakyatku, marilah kita sama-sama
menggembleng tenaga demi memastikan warisan kita terus berdiri teguh di
belakang kita sebagai warisan yang tidak boleh dijual beli oleh bangsa lain.
Slogan Satu Malaysia harus dijadikan pegangan demi kehidupan yang lebih
bersatu dan padu.Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!

Anda mungkin juga menyukai