Anda di halaman 1dari 16

1

KECERDASAN EMOSI MENURUT PERSPEKTIF ISLAM: TINJAUAN AWAL DI


MALAYSIA.
1

Raudhah Abu Samah, 1Muhammad Hilmi Jalil, 1,2Zakaria Stapa, 1,3Mohd Yusof Othman,
1

Jawiah Dakir, 1,2Fariza Md Sham, 1,4Mashitoh Yaacob, 4Nasruddin Yunos


1

Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia

Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia

Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia


4

Pusat CITRA UKM, Universiti Kebangsaan Malaysia

Abstrak
Terdapat pelbagai teori kecerdasan manusia yang telah diperkenalkan oleh sarjana-sarjana
terdahulu seperti kecerdasan intelektual (IQ), kecerdasan emosi (EQ) dan mutakhir ini
kecerdasan rohani atau dipanggil sebagai kecerdasan spiritual (SQ). Program pembangunan
diri yang diberi nama Program ESQ Way 165 yang menggunakan pendekatan amalan
kecerdasan emosi dan rohani telah mendapat perhatian ramai dan diterima baik oleh
masyarakat muslim di Malaysia. Walau bagaimanapun, di sebalik penerimaan program
tersebut wujud permasalahan di mana Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)
mendakwa program ini boleh menyeleweng dan merosakkan akidah umat Islam. Oleh yang
demikian, satu kajian ilmiah perlu dilaksanakan dengan melihat konsep kecerdasan emosi dan
rohani menurut Islam supaya pengamalan terhadap kedua-dua kecerdasan tersebut selari
dengan tasawur Islam. Justeru, artikel ini memfokuskan perbincangan secara konseptual
tentang kecerdasan emosi menurut perspektif Islam. Kajian ini berbentuk kualitatif yang
mana kaedah analisis dokumen secara induktif digunakan sebagai kaedah kajian. Analisis
dilakukan terhadap data primer bagi membentuk konsep emosi menurut Islam. Hasil daripada
tinjauan awal mendapati bahawa amalan kecerdasan emosi di Malaysia wujud dalam
Program ESQ Way 165, walau bagaimanapun, kajian ini mendapati amalan kecerdasan emosi
yang digunakan dalam Program ESQ Way 165 mendapat respon positif dan negatif daripada
ilmuwan Islam Malaysia. Justeru, kajian ini mencadangkan supaya kajian lanjutan dilakukan
terhadap amalan kecerdasan emosi dalam Program ESQ Way 165.
Kata kunci: emosi, kecerdasan emosi, ESQ, Islam

Abstract
There are various theories of human intelligence introduced by past scholars such as
intellectual quotient (IQ), emotional quotient (EQ) and lately spiritual quotient (SQ). The
practice of the emotional and spiritual quotient used in self-development program called
'ESQ 165 Way Program' has received the attention of the Muslim community in Malaysia.
However, despite the adoption of that program, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
(MAIWP) has claimed that this program can pervert and corrupt the faith of Muslims.
Therefore, a study should be conducted to look at the concept of emotional and spiritual
quotient based on Islamic perspective in order the practice on both intelligences in line with
the Islamic worldview. Hence, this article focuses the discussion on the concept of emotional
quotient based on the Islamic perspective. This is a qualitative research whereby data was
collected through inductive document analysis approach. In developing the concept of
emotional quotient from Islamic perspectives, primary data has been analysed. The results of
the initial survey found that the practice of emotional quotient exists in the ESQ Way 165
Program but the study found that the practice of emotional quotient used in that program have
positive and negative response from the Malaysian Islamic scholars. Hence, this study
suggests that further research must be conducted on practice of emotional quotient in the ESQ
Way 165 Program.
Key words: emotion, emotional quotient, ESQ, Islam

1.0

PENDAHULUAN

Manusia adalah makhluk yang diciptakan Allah s.w.t dan dimuliakan berbanding makhluk
yang lain (al-Quran, Ali Imran 2: 34). Manusia juga adalah makhluk yang berperanan
sebagai hamba dan khalifah. Adapun manusia sebagai hamba, ia sangat menuntut seseorang
memenuhi hak-hak sebagai seorang hamba dengan mentaati segala perintah dan menjauhi
laranganNya (al-Quran, az-Zariyat 51: 56). Adapun sebagai khalifah, manusia adalah
makhluk yang diberikan kuasa untuk mentadbir segala yang wujud di bumi dengan seadiladilnya (al-Quran, al-Isra 17: 70).
Manusia hari ini berjaya membuktikan bahawa mereka adalah makhluk yang mampu
mentadbir bumi ini dengan pencapaian material dalam pelbagai bidang. Antaranya adalah
pencapaian membina bangunan pencakar langit, pencapaian menghasilkan alat komunikasi

berteknologi tinggi, pencapaian mencipta mesin untuk tujuan pertanian dan sebagainya.
Disebalik pencapaian material tersebut, manusia berhadapan dengan permasalahan sosial
yang melibatkan manusia itu sendiri. Pelbagai fenomena yang melibatkan masalah
kemanusiaan seperti pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak, budaya Mat Rempit atau
Samseng Jalanan, jenayah komputer, jenayah siber dan banyak lagi (Rahimah et al. 2008).
Permasalahan ini jelas menunjukkan bahawa manusia kelihatan pincang dan tidak
mampu menguruskan diri dengan baik selari dengan pembangunan material. Menurut Wan
Suhaimi (2008), tamadun sesebuah negara tidak akan membangun sekiranya masalah seperti
gejala sosial masyarakat tidak dapat dibendung walaupun tampak maju pada fizikalnya (Wan
Suhaimi 2008). Bagi mengatasi dan menyelesaikan masalah dan kepincangan ini, satu aspek
penting yang perlu diberi penekanan dan perhatian adalah aspek pembangunan modal insan
yang merupakan pencetus dan penggerak kepada pembangunan material, termasuklah negara
(Nor Hayati 2002). Beberapa aspek perlu ditekankan dalam membangunkan modal insan.
Antaranya adalah aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Penekanan dalam
membangunkan keempat-empat aspek ini telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara
yang wujud sekitar tahun 1988 dan telah jelas termaktub dalam akta pendidikan 1996.
Daripada keempat-empat aspek ini, aspek emosi kelihatan penting untuk
dititikberatkan dalam menyelesaikan permasalahan manusia. Seorang bayi yang lahir di dunia
secara langsung akan menzahirkan emosi sedih dengan cara menangis apabila lapar,
menangis apabila sakit atau menzahirkan emosi gembira dengan cara senyum dan ketawa
apabila diberi perhatian dan kasih sayang. Ternyata emosi atau perasaan wujud terlebih
dahulu sebelum intelek. Selain itu, kegagalan menguruskan emosi dengan baik akan
menyebabkan kehidupan manusia berlangsung dengan tidak seimbang. Justeru, apabila emosi
difokuskan sebagai suatu elemen yang penting dalam kehidupan manusia, maka lahirlah
istilah kecerdasan emosi (EQ) (Sarawati & Ishak 2011).
EQ mula diperkenalkan oleh dua orang ahli psikologi Barat iaitu Peter Salovey &
John Mayer pada tahun 1990 (Mohd Azhar Yahaya 2004). Kecerdasan emosi didefinisikan
sebagai kemampuan untuk mengenalpasti emosi baik atau buruk, menzahirkan emosi dalam
membantu proses pemikiran dan membuat keputusan bagi memperkembangkan kemahiran
intelektual dan emosi (Salovey & Mayer 1990). Manakala Goleman (1995) mentakrifkan
kecerdasan emosi sebagai keupayaan untuk mengiktiraf perasaan sendiri dan perkara-perkara
lain bagi mendorong diri sendiri dan menjayakan pengurusan emosi diri. Kecerdasan emosi

merangkumi beberapa aspek iaitu pengendalian diri, semangat dan ketekunan serta
kemampuan memotivasikan diri sendiri dan bertahan menghadapi kegagalan (Khadijah et al.
2012).
Rentetan daripada kemunculan istilah kecerdasan emosi, ramai sarjana Barat dan
Islam menguji dan mengaplikasi kecerdasan emosi dalam kajian mereka (Salovey & Mayer
1999; Goleman 2000; Noriah 2005; Hamidah et al 2013). Selepas daripada itu, wujud
beberapa program latihan yang menggunakan pendekatan kecerdasan emosi yang
dilaksanakan oleh institusi di luar negara seperti Six Seconds The Emotional Intelligence
Networking Training oleh Anabel Jensen dan Joshua Fredman, Emotional Intelligence
Development Programmes oleh Andy Smith dan Training Emotional Intelligence oleh Peter
Sullivan (Syafrimen 2010).
Mutakhir ini, terdapat program pembangunan diri dan karakter iaitu Program ESQ
Way 165 yang menggunakan amalan kecerdasan emosi dan rohani telah mendapat perhatian
dan respon positif daripada masyarakat Muslim di Malaysia. Namun, di sebalik penerimaan
program tersebut wujud permasalahan di mana Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
(MAIWP) mendakwa program ini boleh menyeleweng dan merosakkan akidah umat Islam
(Anwar Hussin 2010). Selepas dakwaan oleh MAIWP, pihak pengajur program tersebut telah
memperbaiki pendekatan dan penyampaian pengisian program supaya selari dengan ajaran
Islam (Zaharuddin 2010). Oleh yang demikian, daripada permasalahan di atas, timbul
beberapa persoalan iaitu apakah konsep kecerdasan emosi menurut perspektif Islam? Adakah
wujud amalan kecerdasan emosi di dalam program tersebut? Apakah pandangan ilmuan
agama di Malaysia terhadap program tersebut? Oleh yang demikian, makalah ini akan
merungkaikan persoalan di atas.
2.0

OBJEKTIF KAJIAN

Kajian ini dijalankan bagi mencapai objektif-objektif di bawah:


1. Mengkaji konsep kecerdasan emosi menurut perspektif Islam.
2. Mengenalpasti kewujudan amalan kecerdasan emosi di dalam Program ESQ Way 165.
3. Membuat tinjauan awal pandangan ilmuwan agama terhadap Program ESQ Way 165.

3.0

METODOLOGI

Kajian ini adalah kajian kualitatif. Menurut Ahmad Sunawari (2014), kajian kualitatif adalah
kajian yang cenderung kepada metod pengumpulan data melalui penganalisisan kandungan
dokumen ataupun melalui pemerhatian. Justeru kajian ini cenderung menggunakan kaedah
analisis dokumen yang mana bermula dengan pengumpulan data primer dan sekunder yang
berkaitan dengan kajian. Setelah itu, data akan dianalisis menggunakan pendekatan induktif
bagi mencapai objektif kajian.
3.1

Metodologi Pengumpulan Data

Dalam kajian ini, kaedah pengumpulan data terbahagi kepada dua iaitu data primer dan data
sekunder. Data primer adalah data utama di dalam kajian ini iaitu nas-nas al-Quran yang
berkaitan dengan emosi, hadis-hadis yang bertaraf sahih yang berkaitan dengan emosi dan
juga pandangan-pandangan ilmuwan Islam terhadap program ESQ.
Sementara itu, data sekunder pula merupakan data kedua terpenting di dalam kajian
ini. Data sekunder adalah data yang diperoleh daripada buku, jurnal, majalah, kertas kerja,
akhbar, latihan ilmiah, disertasi, tesis, risalah, laman web serta apa-apa sahaja bentuk
maklumat yang berguna dan mampu membantu pengkaji untuk mencapai objektif kajian.
3.2

Metodologi Analisis Data

Dalam menganalisis data, pendekatan induktif telah digunapakai supaya hasil kajian
mencapai kesemua objektif. Pendekatan induktif adalah satu pendekatan yang digunakan
untuk mengumpul maklumat bagi menjelaskan dan menghuraikan sesuatu fenomena kajian.
Selain itu, pendekatan ini juga bertujuan untuk membentuk abstrak, konsep, teori atau
hipotesis (Idris Awang 2001; Ahmad Sunawari 2014). Oleh yang demikian, kertas ini akan
menjelas dan menghuraikan secara ringkas berkenaan Program ESQ Way 165 seterusnya
membentuk konsep kecerdasan emosi menurut Islam.
4.0

HASIL KAJIAN

4.1

Kecerdasan Emosi

Menurut kamus dewan edisi keempat (2013), emosi bermaksud perasaan jiwa yang kuat
seperti sedih, gembira takut dan lain-lain. Kecerdasan pula bermaksud kesempurnaan akal
untuk berfikir, mengerti dan lain-lain seperti kepandaian, kepintaran dan kecerdikan.

Manakala perkataan emosi di dalam bahasa inggeris disebut sebagai emotion.


Menurut Oxford Advanced Learners Dictionary edisi ketujuh (2008), emosi bermaksud
perasaan yang kuat seperti cinta, takut atau marah iaitu perasaan yang wujud dalam
sebahagian daripada karakter seseorang. Dalam bahasa inggeris bermaksud a strong feeling
such as love, fear or anger i.e the part of a persons character that consists of feelings.
Kecerdasan di dalam bahasa inggeris pula disebut sebagai intelligence. Menurut Oxford
Advanced Learners Dictionary edisi ketujuh (2008), kecerdasan bermaksud kemampuan
untuk menanggapi, memahami dan berfikir secara logik tentang sesuatu perkara atau dalam
makna kata lain, kemampuan untuk melakukan sesuatu perkara dengan baik (the ability to
learn, understand and think in a logical way about things; the ability to do this well).
Dalam bahasa arab pula, perkataan emosi merujuk kepada istilah atifah atau istifal,
yang bermaksud perasaan yang kuat seperti cinta, marah, takut, cemburu dan sebagainya.
Perkataan kecerdasan pula disebut sebagai istilah aqal atau fakara yang merujuk kepada
pemikiran yang bernas atau merujuk kepada seseorang yang pintar (al-Mawrid al-Hadeeth
2009).
Secara kesimpulannya, ketiga-tiga istilah emosi, emotion dan istifal menunjukkan
maksud yang sama iaitu perasaan jiwa yang kuat seperti cinta, takut, marah, cemburu dan
sebagainya. Manakala ketiga-tiga istilah kecerdasan, intelligence dan aqal juga berkongsi
maksud yang sama iaitu kemampuan akal untuk berfikir.
Oleh yang demikian, kecerdasan emosi adalah kesempurnaan akal untuk berfikir dan
mengerti sesuatu perasaan jiwa yang kuat dalam diri seperti cinta, sedih, takut, marah,
cemburu dan sebagainya. Definisi di atas selari dengan definisi menurut Salovey & Mayer
(1990) yang mana kecerdasan emosi didefinisikan sebagai kemampuan untuk mengenalpasti
emosi baik atau buruk, menzahirkan emosi dalam membantu proses pemikiran dan membuat
keputusan bagi memperkembangkan kemahiran intelektual dan emosi. Dalam kata lain,
kecerdasan emosi merujuk kepada perasaan yang kuat yang berasal daripada hati.
4.2

Kecerdasan Emosi Menurut Perspektif Islam

Sebagai mana yang dibincangkan sebelum ini, kecerdasan emosi merujuk kepada
kesempurnaan atau keupayaan akal untuk mengerti sesuatu perasaan jiwa yang kuat dalam
diri seperti cinta, sedih, takut, marah, cemburu dan sebagainya. Dalam kata lain, hati manusia
amat berperanan untuk memberi makna sesuatu perasaan terhadap sesuatu perkara atau

keadaan. Justeru, dalam perbincangan seterusnya, pengkaji cuba mengkaji ayat-ayat alQuran dan hadis yang membicarakan persoalan tentang emosi yang wujud dalam diri
manusia.
Tidak dinafikan penggunaan istilah emosi tidak digunakan secara total dalam Islam.
Namun, terdapat banyak nas al-Quran dan hadis yang membincangkan perihal emosi dan
telah wujud banyak perbincangan atau konsep yang diutarakan oleh sarjana Islam terdahulu
berkisar tentang emosi cuma penggunaan istilahnya sahaja yang berbeza. Jika dilihat daripada
perspektif Islam sendiri, kecerdasan emosi sebenarnya lebih memfokus kepada proses
pembersihan hati dan jiwa (Sarawati & Ishak 2011).
Hati atau qulb menurut al-Ghazali didefinisikan kepada dua definisi. Pertama, beliau
mendefinisikan qulb sebagai daging yang berbentuk seperti buah shanaubar yang terletak di
bahagian kiri dada yang mana di dalamnya terdapat rongga-rongga yang menyalurkan darah
hitam dan berperanan sebagai nyawa manusia. Qulb ini juga terdapat pada haiwan dan juga
pada manusia yang telah mati. Keduanya, beliau menakrifkan qulb sebagai sesuatu yang
bersifat halus (lathifah) dan ketuhanan (rabbaniyyah). Qulb dalam definisi kedua ini
menggambarkan hakikat diri manusia yang mana qulb berfungsi untuk merasa, mengenal dan
mengetahui sesuatu perkara atau ilmu (al-Ghazali 1998).
Takrifan al-Ghazali tentang qulb turut disokong oleh al-Hizami yang mana beliau juga
menakrifkan qulb kepada dua takrifan. Sebagai mana yang dipetik oleh Nazneen Ismail
(2014), al-Hizami menyatakan qulb wujud dalam dua bentuk iaitu madiyy (fizikal) dan
manawiy (rohani). Qulb dari aspek fizikal adalah jantung atau organ yang terletak di dalam
dada yang berfungsi untuk mengepam darah ke seluruh badan. Qulb dari aspek rohani pula
disebut di dalam al-Quran sebagai sesuatu yang mempunyai pendengaran dan penglihatan
kerana kemampuannya untuk memahami sesuatu (Nazneen Ismail 2014).
Pandangan kedua-dua sarjana di atas disebut oleh Allah di dalam surah al-Araf 7: 179
yang bermaksud :
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk mereka neraka jahannam banyak daripada jin dan
manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah),
mereka mempunyai mata tidak digunakan untuk melihat bukti kekuasaan Allah, mereka
mempunyai telinga tetapi tidak digunakan untuk mendengar ajaran Allah. Mereka itu seperti
binatang ternak bahkan lebih sesat, maka merekalah orang yang lalai.

Terjemahan ayat di atas jelas menunjukkan bahawa qulb adalah penting untuk digunakan bagi
memahami dan mematuhi perintah dan larangan Allah. Ibn Kathir menjelaskan bahawa
kesemua anggota badan yang disebutkan di dalam ayat ini adalah alat untuk mendapat
hidayah Allah. Oleh itu, jika seorang hamba itu tidak menggunakan qulb dengan sebaiknya
untuk memahami sesuatu ilmu Allah, maka hamba itu akan terhalang daripada mendapat
hidayah. Bahkan kedudukannya lebih teruk daripada binatang ternak dan neraka jahannamlah
tempatnya (Ibn Kathir 2000).
Selain itu, qulb juga disebutkan di dalam hadis sebagai sesuatu yang berperanan
penting dalam menentukan akhlak seseorang. Bahkan Rasulullah s.a.w menyifatkan bahawa
baik atau buruk akhlak seseorang itu bergantung kepada qulbnya dalam sabdanya yang
bermaksud:
....Dan sesungguhnya di dalam satu jasad ada seketul daging. Jika ia baik, maka baiklah
seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota. Ketahuilah, ia adalah hati.
(Bukhari & Muslim, Sahih Bukhari & Muslim)
Menurut Ibn Rajab Hanbali yang dipetik oleh Gohar Mushtaq (2006), qulb seperti di
dalam hadis ini dianalogikan seperti raja kepada seluruh anggota badan dan kesemua anggota
badan itu adalah tentera yang patuh dan taat. Sekiranya raja itu seorang yang soleh, maka
kesemua tenteranya juga soleh dan sekiranya raja itu rosak akhlaknya, maka kesemua
tenteranya juga akan rosak akhlak. Kerosakan hati ini yang akan menyebabkan penyakit jasad
dan penyakit jiwa (Gohar Mushtaq 2006).
Berdasarkan perbincangan di atas, jelas menunjukkan bahawa qulb adalah salah satu
komponen yang penting di dalam diri manusia selain daripada komponen aql, nafs dan jasad
(Abu Dardaa et al. 2014). Qulb juga merupakan satu elemen yang merujuk kepada emosi dan
perasaan manusia. Takrifan qulb menunjukkan bahawa ia bukan organ hati yang terdapat
dalam diri manusia tetapi ia merupakan sesuatu fungsi yang boleh menganalisis, mensintesis
dan memberi makna kepada sesuatu perkara (Muhammad Hilmi & Mohd Yusof 2014; Mohd
Yusof Othman 2002). Oleh yang demikian, di samping aql, nafs dan jasad, qulb merupakan
elemen penting yang mempengaruhi tindakan dan akhlak supaya sentiasa selari dengan
tasawur Islam.
4.3

Jenis-jenis Emosi Di Dalam Islam.

Qulb adalah kurniaan Allah kepada hambaNya supaya digunakan sebaiknya dan daripada
qulb itu wujud pelbagai jenis perasaan yang kuat dalam jiwa manusia iaitu emosi
(Mohammad Utsman Najati 1985). Menurut Nazneen Ismail (2014), di dalam qulb terdapat
pelbagai perasaan seperti sedih, takut, gembira, tenang dan ia boleh dikunci oleh Allah swt.
Islam sendiri banyak menyentuh perbincangan tentang emosi menurut al-Quran dan al-Hadis.
Oleh itu, dalam perbicangan seterusnya, makalah ini akan membincangkan sebahagian
daripada emosi yang disebut di dalam al-Quran dan hadis.
4.3.1

Cinta

Cinta adalah ikatan perasaan yang kuat yang mengikat seseorang dengan tuhannya dan ia
juga adalah asas kasih sayang manusia sesama manusia seperti hubungan ibu dengan anak
dan sebagainya (Mohammad Utsman Najati 1985). Islam sendiri amat mementingkan
perasaan cinta yang wujud dalam diri manusia kerana ia adalah asas kepada sesuatu
hubungan. Dengan cinta, akan wujud hubungan antara hamba dengan Allah, hubungan antara
umat dengan Rasulnya, hubungan antara ibu ayah dengan anak dan sebagainya.
Cinta disebut sebagai hub di dalam Islam. Menurut al-Ghazali, cinta hakiki adalah
cinta kepada Allah (al-Ghazali 1988). Firman Allah swt di dalam Surah Ali Imran 3: 31 yang
bermaksud :
Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku,
nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Berdasarkan maksud ayat di atas, jelas bahawa cinta yang paling teratas di dalam
Islam adalah cinta kepada Allah diikuti dengan cinta kepada Rasulullah s.a.w. Sebagai
muslim yang beriman, satu kewajipan untuk meletakkan cinta kepada Allah di kedudukan
yang paling teratas (al-Ghazali 1988). Dengan cinta kepada Allah, akan wujud taqwa dalam
diri manusia serta perubahan yang positif terhadap perasaan, tindakan dan lisannya. Bahkan
semua tindakan dan lisan orang yang beriman sentiasa berlandaskan keimanan yang tinggi
kepada Allah.

10

4.3.2 Takut
Emosi takut adalah emosi yang terpenting dalam kehidupan manusia. Dengan adanya
perasaan takut, manusia boleh menjauhi dirinya daripada ancaman dan segala jenis
marabahaya. Dalam Islam, takut disebut sebagai khauf.
Menurut Mohammad Utsman Najati (1985), emosi takut memberi manfaat kepada
kehidupan manusia iaitu rasa takut terhadap azab seksaan Allah. Perasaan takut menurut
Islam mendorong seseorang untuk takut hanya kepada Allah, mematuhi segala perintah Allah,
menjauhi laranganNya serta mengelak dirinya daripada perbuatan dosa dan maksiat. Sebagai
mana firman Allah swt dalam Surah Ali Imran 3: 175 yang bermaksud:
Sesungguhnya mereka tidak lain itulah syaitan yang menakut-nakutkan kamu dengan
pengikut-pengikut setianya. Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, malah takutlah
kepada-Ku jika kamu benar-benar orang yang beriman. (al-Quran, Ali Imran 3: 175)
Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit tidur kerana solat tahajjud); mereka
sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta
dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula
mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka. (al-Quran, as-Sajdah
32: 16)
Menurut Sayyid Qutb, berdasarkan ayat 175 daripada surah Ali Imran, takut yang
dimaksudkan di sini adalah ketakutan orang beriman terhadap Allah. Dialah Allah yang
mempunyai kekuatan memberi manfaat dan mudharat. Bagi orang beriman, adalah tidak
wajar untuk takut kepada selain Allah iaitu syaitan yang terlalu lemah untuk ditakuti. Oleh
itu, takut menurut Islam adalah takut kepada Allah dan azab-azabNya. Apabila seseorang itu
takut hanya kepada Allah, dirinya akan menjadi paling kuat dan tidak boleh dilawan oleh
kekuatan syaitan atau hamba-hamba syaitan (Sayyid Qutb 2010).
4.3.2

Marah

11

Marah adalah emosi negatif yang wujud dalam diri manusia (Fariza Md Sham et al. 2013).
Menurut al-Ghazali (1988) pula, marah adalah satu emosi yang tercela apabila berada dalam
keadaan yang keterlaluan. Perasaan marah mungkin berpunca daripada beberapa keadaan.
Mungkin marah akan terjadi apabila terdapat gangguan pada benda yang penting kepada
semua manusia seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. Mungkin
marah terjadi apabila terdapat gangguan pada benda yang kurang penting seperti kemewahan,
kuasa, harta dan sebagainya. Mungkin juga terjadi apabila wujud gangguan pada benda yang
penting kepada sesetengah manusia tetapi tidak kepada yang lain seperti buku bagi orang
yang berilmu, perniagaan bagi usahawan yang berjaya dan sebagainya (Mohammad Utsman
Najati 1985).
Al-Quran ada menyebut tentang emosi marah. Firman Allah yang bermaksud:
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orangorang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.
Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara baik. (alQuran, Ali Imran 3: 134)
Menurut Zulkifli al-Bakri (2007), mufassirin berkata bahawa kemarahan itu
merupakan bebanan berat pada hati apabila dipendamkan. Namun, sekiranya hati memberi
kemaafan, timbul titik kebebasan daripada bebanan itu. Itulah ketenangan yang dikecapi di
dalam hati.
Di dalam hadis juga ada menyebut tentang marah. Daripada Abu Hurairah r.a bahawa
seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW yang bermaksud :
Wasiatkan kepadaku. Sabda baginda: Jangan engkau marah. Kemudian berulang kali
beliau bertanya. Sabda bagida: Jangan engkau marah.
(al-Bukhari, Sahih al-Bukhari)
Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis Nabi di atas, jelas bahawa Islam tidak
menggalakkan umatnya untuk menuruti kemarahan yang terbelenggu di dalam diri, tetapi
bukanlah bermaksud perlu membuang terus emosi marah itu. Ini kerana kemarahan adalah
satu-satunya emosi manusia yang tidak mungkin dapat dihapuskan (Zulkifli al-Bakri, 2007).

12

Oleh yang demikian, manusia perlu menggunakan qulb sebaiknya dalam menahan
emosi kemarahan kerana apabila seseorang cenderung menggunakannya dalam membuat satu
tindakan, pastinya tindakan yang dilakukan akan berakhir dengan penyesalan. Sebagai
contoh, seseorang yang disahkan doktor menghidap penyakit jantung disarankan untuk
berhenti merokok. Namun, kerana emosi marahnya terhadap saranan doktor tersebut, dia
mengabaikannya dan terus merokok. Akhirnya, dua bulan kemudian dia meninggal dunia
akibat penyakit jantung yang parah berpunca dari tabiat merokok yang tidak boleh
ditinggalkannya. Justeru, seseorang muslim yang beriman haruslah mempunyai kecerdasan
emosi yang tinggi, dalam kata lain, perlu mematangkan emosi dalam mengenali dan
memahami diri sendiri dan orang lain.
4.4 Tinjauan Awal Terhadap Program ESQ 165 Way Di Malaysia
Program ESQ Way 165 adalah satu organisasi latihan modal insan. Organisasi ini ditubuh
bertujuan membentuk karakter melalui penggabungan tiga potensi manusia iaitu IQ, EQ dan
SQ. Program ini telah wujud selama 15 tahun, semenjak 16 Mei 2000 di bawah pengurusan
syarikat ESQ Leadership Centre, berpusat di Jakarta (Wan Zahidi 2010; Anon 2011).
Pengasasnya Ary Ginanjar Agustian, mendapat pendidikan di Universiti Udayana, Bali dan
Tafe College, Adelaide, Australia. Beliau kemudiannya menubuhkan ESQ Leadership Centre
berasaskan buku beliau Membangun Kesuksesan Berdasarkan 5 Rukun Islam dan 6 Rukun
Iman dan buku kedua beliau iaitu ESQ Power (Wan Zahidi 2010).
Nama ESQ berasal daripada perkataan Emotional Spiritual Quotient. Menurut Ary
Ginanjar Agustian, kecerdasan rohani merupakan pusat dan asas kepada kecerdasan
intelektual dan kecerdasan emosi (Ary Ginanjar 2010). Program ini dijalankan bertemakan
prinsip The ESQ Way 165. Angka 1 merupakan simbol kepada satu hati yang ihsan pada
God Spot yang dikatakan menjadi sumber munculnya 99 sifat Allah, 6 prinsip moral
berdasarkan Rukun Iman dan 5 tindakan berdasarkan Rukun Islam (Wan Zahidi 2010).
Sejak tahun 2006, program tersebut mula bergiat di luar negara seperti Malaysia,
Brunei, Singapura, Belanda, Amerika Syarikat, Australia, Jepun dan Dubai. Pada April 2007,
secara rasminya cawangan ESQ telah ditubuhkan di Malaysia dan pengurusannya berpusat di
Petaling Jaya, Selangor (Anon 2011). Menurut Bernama.com, program tersebut telah disertai
lebih kurang 65 000 orang termasuk orang kenamaan, korporat, pegawai kerajaan serta
tokoh-tokoh agama termasuk beberapa orang Mufti (Bernama.com 9 Julai 2010).

13

Walau bagaimanapun, setelah program ini bertapak dan bergiat secara aktif di
Malaysia, timbul dakwaan daripada MAIWP yang mendakwa program tersebut boleh
menyeleweng dan merosakkan akidah umat Islam (Anwar Hussin 2010). Menurut bekas
Mufti Wilayah, Tan Sri Wan Zahidi (2010) di dalam Kertas Fatwa: Kedudukan ESQ
Leadership Training Di Malaysia, beliau menyatakan bahawa terdapat perkara yang
meragukan dalam program tersebut. Antara yang ditulis di dalam kertas tersebut adalah
mendakwa para Nabi mencapai kebenaran (kesedaran rohani) menerusi pengalaman dan
pencarian (tanpa menyatakan peranan wahyu), menafikan eksklusivisme akidah Islam, salah
tafsir terhadap al-Asma al-Husna, kekuatan luar biasa seperti mukjizat dan karamah boleh
berlaku melalui rumus Zero Mind Process (ZMP) dan akhir sekali mengambil pedoman
daripada golongan yang tertolak.

Di dalam kertas tersebut juga, Wan Zahidi (2010)

menyatakan bahawa ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh ESQ Leadership
Training oleh Ary Ginanjar Agustian adalah menyeleweng daripada ajaran Islam kerana
mengandungi unsur-unsur yang boleh merosakkan akidah dan syariah Islam (Wan Zahidi
2010).
Rentetan dakwaan oleh MAIWP terhadap program ESQ, timbul pelbagai respon
dalam kalangan ilmuwan agama. Terdapat sesetengah mereka yang menzahirkan respon
negatif terhadap program tersebut. Sebahagian mereka lagi menzahirkan respon positif
seperti Mufti Perak, Tan Sri Harussani, beliau berpendapat program motivasi anjuran ESQ
Leadership Centre Sdn Bhd tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam dan juga
tidak mempunyai unsur-unsur yang membawa kesesatan. Menurut beliau lagi, program itu
juga tidak berkait dengan fahaman liberalisme dan pluralisme malah modul yang digunakan
di dalam program tersebut baik dalam menyedarkan peserta kepada ketuhanan, Islam dan
peradaban (Anon 2010).
Berdasarkan tinjauan awal terhadap program ESQ di Malaysia, pengkaji mendapati
wujud amalan kecerdasan emosi di dalam program tersebut. Hal ini jelas dilihat daripada
konsep ZMP yang diperkenalkan oleh Ary Ginanjar Agustian. Menurut Ary Ginanjar
Agustian yang dipetik daripada Wan Zahidi (2010), ZMP adalah konsep penjernihan emosi
iaitu peserta atau pembaca buku ESQ dituntut untuk membersihkan fikiran daripada 7
belenggu pemikiran iaitu prasangka, prinsip-prinsip hidup, pengalaman, kepentingan, sudut
pandang, pembanding dan hasil pembacaan (Wan Zahidi 2010).
Justeru, dapat disimpulkan bahawa program ESQ Way 165 adalah satu program
latihan modal insan yang bertujuan membangun karakter melalui gabungan IQ, EQ dan SQ.
Program tersebut dilihat memberi pengaruh terhadap umat Islam di Indonesia dan di beberapa

14

buah negara termasuk Malaysia. Pendekatan program tersebut didapati berbeza berbanding
program-program motivasi yang lain. Namun demikian, apabila MAIWP mengeluarkan
dakwaan program tersebut menyeleweng dan merosakkan akidah, maka wajarlah bagi
pengkaji untuk menjalankan kajian lanjutan terhadap pelaksanaan dan pengisian program
tersebut.
5.0

KESIMPULAN

Perbincangan ini memberi penjelasan bahawa kecerdasan emosi menurut Islam lebih
memfokuskan tentang hati. Hati atau qulb memainkan peranan yang penting dalam diri
manusia. Qulb juga merupakan satu fungsi yang memberi makna kepada sesuatu perkara atau
keadaan yang dicerap oleh manusia. Secara fitrahnya, emosi wujud di dalam diri dan perlu
diurus sebaik mungkin seperti mana yang terdapat dalam ajaran Islam.
Sementara itu, hasil daripada tinjauan awal terhadap Program ESQ Way 165 di
Malaysia menunjukkan bahawa amalan kecerdasan emosi wujud di dalam program tersebut.
Walau bagaimanapun, kajian ini mendapati amalan kecerdasan emosi yang digunakan dalam
program tersebut mendapat pelbagai respon daripada ilmuwan agama di Malaysia. Justeru,
kajian ini mencadangkan supaya kajian lanjutan dilakukan dengan membina satu model ESQ
berbentuk islamik (model i-ESQ) yang mana konsep dan pendekatan yang digunakan selari
dengan akidah dan syariah Islam serta sesuai dengan suasana dan keadaan semasa Malaysia.
Selain itu juga, model i-ESQ yang bakal dibina diharap akan dapat memurnikan
percanggahan pendapat di antara ilmuwan agama di Malaysia terhadap Program ESQ Way
165 di samping dapat menambahkan lagi khazanah ilmu dalam bidang penyelidikan.
6.0 RUJUKAN
Abu Dardaa, Salasiah Hanin Hamjah, Arena Che Kasim & Mohamad Zulkifli Abd Ghani.
2014. Peranan Spiritual Terhadap Pembentukan Personaliti Menurut al-Muhasibi

dan

al-Ghazali. Prosiding Bicara Dakwah kali ke-15: Pengurusan Dakwah Kontemporari.


Hlmn. 271-275.
Agustian, A.G. 2010. Rahsia Kejayaan Membangunkan Kecerdasan Emosi Dan Spiritual
ESQ Emotional Spiritual Quotient The ESQ Way 165. Selangor: ESQ Leadership
Center Sdn Bhd.
Ahmad Sunawari Long. 2014. Metodologi Penyelidikan Pengajian Islam. Bangi: Penerbit
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Anon. 2011. About Us. http://www.esqway165.com/about-us/ [t.th].

15

Anon. 2010. ESQ Tidak Bertentangan Dengan Islam, Kata Mufti Perak.
http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=512131. Bernama.com.
[9 Julai]
Anwar Hussin. 2010. Mufti Wilayah Persekutuan Isytihar Modul Motivasi Seleweng
Akidah, Syariat Islam. http://www2.bharian.com.my/articles/ESQharam/Article/
.Berita Harian Online, 9 Julai.
Asrul Hadi Abdullah Sani.

2010.

Muftis

At

Odds

Over

ESQ.

http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/muftis-at-odds-over-esq .
Fariza Md Sham, Salasiah Hanin Hamjah & Mohd Jurairi Sharifudin. 2013. Personaliti
Dari Perspektif al-Ghazali. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
al-Ghazali. 1998. Ihya Ulumiddin. Al-Qahirah: Dar al-Hadith.
Goleman, D. 1995. Emotional Intelligence : Why It Can Matter More Than IQ. New
York: Bantam Books.
Goleman, D. 2000. Emotional Intelligence. New York: Bantam Books.
Gohar Mushtaq. 2006. The Intelligent Heart, The Pure Heart. London: Ta-Ha Publishers
Ltd.
Hamidah Sulaiman et al. 2013. Kecerdasan Emosi Menurut Al-Quran dan Al-Sunnah: /
Aplikasinya Dalam Membentuk Akhlak Remaja. The Online Journal of Islamic
Education. Vol. 1, Issue 2.
Hornby, A. S. 2008. Oxford Advanced Learners Dictionary. New York: Oxford
University Press. Oxford.
Ibn Kathir. 2000. Tafsir Ibn Kathir. al-Qahirah: Maktabah Aulad asy-Sheikh Lil Turath.
Idris Awang. 2001. Kaedah Penyelidikan: Suatu Sorotan. Kuala Lumpur: Akademi
Pengajian Islam, Universiti Malaya & Intel Multimedia and Publication.
Jimadie Shah Othman. 2010. Kursus ESQ Boleh Dilaksanakan, Tapi Dipantau.
http://mmy.malaysiakini.com/news/137252 . [14 Julai]
Kamus Dewan. 2013. Edisi ke-4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Khadijah Alavi et al. 2012. Kecerdasan Sosial Dan Emosi Guru Cemerlang Pendidikan
Islam Dalam Meningkatkan Prestasi Pelajar. Journal of Social Sciences and
Humanities. Volume 7, Number 1.
Mayer, J. D. & Salovey, P. 1990. Emotional Intelligence. Imagination, Cognition &
Personality 9.
Mayer, J. D. & Salovey, P. 1993. What is Emotional Intelligence? Dipetik daripada P.
Salovey, & D. Sluyter (Eds.). t.pt.
Mohd Azhar Yahaya. 2004. Kompetensi Kecerdasan Emosi dan Kesannya Terhadap
Keberkesanan Organisasi. Jurnal Pengurusan Awam. Jilid 3, Bilangan 1.
Mohd Yusoff Hj. Othman. 2002. Sains, Teknologi dan Pembangunan Manusia Dalam:
Misran Rokimin et al. (eds.) Falsafah dan Peradaban Pembangunan. Bangi: Penerbit
Universiti Kebangsaan Malaysia.

16

Muhammad Hilmi Jalil & Mohd Yusof Hj. Othman. 2014. Human Identity: Between
Islam and The West. The Proceedings of The 5th International Symposium On Islam,
Civilization and Science. 1: 89-101.
Muhammad Utsman Najati. 1985. Al-Quran Wa Ilm An-Nafs. al-Qahirah: Dar asySyuruq.
Munir Baalbaki & Ramzi Munir Baalbaki. 2009. Al-Mawrid al-Hadeeth. Lebanon: Dar
El-Ilm Lil Malayin.
Nazneen Ismail. 2014. Psikologi Islam. Selangor: MustRead Sdn Bhd.
Nor Hayati Alwi. 2002. Pembentukan Model Pembangunan Insan Kamil Dalam
Pengajaran Sains. Tesis Doktor Falsafah. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Noriah Mohd Ishak. 2005. Pengurusan Kecerdasan Emosi dan Pembangunan Kendiri
Pelajar. Prosiding Seminar Kepengetuaan Kebangsaan Ke-4. Kuala Lumpur:
Universiti Malaya.
al-Quran.
Rahimah Abdul Aziz et al. 2008. Transformasi Masyarakat Cabaran Keluarga, Gender
dan Sosiobudaya. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sayyid Qutb. 2000. Tafsir Fi Zilalil Quran. Terj. Yusoff Zaky Haji Yacob. Jil. 3. Kota
Bharu: Pustaka Aman Press Sdn Bhd.
Siti Sarawati Johar & Ishak Mad Shah. 2011. Kecerdasan Emosi Ketua Dalam Elemen
Tadbir Urus Insan Dari Perspektif Model Kerohanian Imam Al-Ghazali.
http://eprints.uthm.edu.my/2384/1/kecerdasan_emosi_ketua_dalam_elemen_tadbir.pd
f . t.pt.
Syafrimen. 2010. Pembinaan Modul EQ Untuk Latihan Kecerdasan Emosi Guru-guru Di
Malaysia. Tesis Doktor Falsafah, Fakukti Pendidikan, Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Wan Suhaimi Wan Abdullah. 2008. Ibn Sina dan Pembangunan Modal Insan: Analisis
Kitab Al-Siyasah. Jurnal Peradaban. 1: 117-131.
Wan Zahidi Wan Teh. 2010. Fatwa: Kedudukan ESQ Leadership Training Di Malaysia.
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Kuala Lumpur: Majlis Agama Islam
Wilayah Persekutuan.
Zaharuddin Abd Rahman. 2010. Keserabutan Fatwa Atau ESQ Yang Serabut?
http://www.zaharuddin.net. t.th.
Zulkifli al-Bakri. 2007. Himpunan Hadis Modal Insan. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn
Bhd.

Anda mungkin juga menyukai