Anda di halaman 1dari 6

Punca dan Kategori Kehilangan Pendengaran

1.0

Pengenalan

Pendengaran adalah sangat penting bagi setiap orang untuk menjalani kehidupan
yang normal. Tanpa pendengaran sesuatu perkara yang bakal dilakukan tidak
sempurna kerana tidak dapat mendengar dengan jelas perkara yang bakal
dilaksanakan. Bagaimanakah hidup kita akan berjalan seperti biasa sekiranya kita
tidak berkomunikasi dengan orang lain? Apakah kita dapat mengatasi itu semua
sekiranya kita mengalami masalah pendengaran? Komunikasi sangat penting dalam
kehidupan seharian kerana tanpa komunikasi di antara satu sama lain hidup
menjadi sunyi sepi. Justeru, pendengaran akan mempengaruhi segala aktiviti yang
akan dilaksanakan.
Kehilangan pendengaran adalah ancaman utama kepada semua individu bukan
sahaja terhadap komunikasi, tetapi mempengaruhi kehidupan seharian dan sosial
individu. Ketidakupayaan mendengar pertuturan, bahasa, muzik dan bunyi-bunyi
alam sekeliling adalah berkaitan dengan masalah psiko-sosial yang memberi kesan
terhadap fungsi dan kualiti kehidupan seharian (Lindblade dan McDOnald 1995;
Saunders 1994; Taylor 1993).
Kemajuan sekarang yang menyediakan alat bantu mendengar dapat membantu
kanak-kanak yang bermasalah pendengaran dan menolong serba sedikit sisa
pendengaran yang ada. Dengan teknologi tersebut dapat memudahkan kanakkanak bermasalah pendengaran dapat mendengar seperti biasa tetapi mempunyai
had-had yang tertentu. Intervensi awal perlu didapatkan untuk kanak-kanak yang
bermasalah pendengaran supaya dapat menerima bahasa dengan baik dan dapat
bertutur seperti biasa.
Masalah ini boleh diatasi sekiranya mendapat pencegah awal supaya anak-anak
yang bakal dilahirkan tidak mengalami sebarang gangguan atau masalah seperti
masalah pendengaran, penglihatan dan ketidakupayaan lain. Ibu-ibu haruslah
menjaga kandungan dengan sebaiknya supaya anak-anak yang bakal dilahirkan
tidak mengalami sebarang kecacatan dan ketidakupayaan.

2.0

Definisi

Definisi atau maksud sebenar masalah pendengaran adalah seseorang yang


mengalami masalah pendengaran dan tidak dapat mendengar dengan baik
disebabkan oleh beberapa akibat yang membuatkan telinga mereka tidak dapat
berfungsi dengan baik. Menurut Clark, 1999, istilah bermasalah pendengaran
adalah istilah yang lazim digunakan oleh pihak perubatan (klinikal) dan pendidikan
kerana kanak-kanak yang dilabel sebagai pekak sepenuhnya kerana meraka masih
mempunyai sisa (resisual) pendengaran. Tetapi pada masa kini, istilah seperti
pekak, tuli, pekak bisu dan cacat pendengaran masih digunakan oleh orang
awam untuk ditujukan kepada kumpulan yang bermasalah pendengaran. Gelaran
seperti itu dianggap kasar dan boleh menyinggung perasaan orang yang kelainan
upaya masalah pendengaran.
Hallahan dan Kauffman (1991) mendefinisikan murid-murid bermasalah
pendengaran sebagai murid-murid yang tidak dapat mendengar pada satu-satu
tahap intensiti atau kekuatan bunyi. Murid-murid bermasalah pendengaran juga
adalah sinonim dengan murid-murid yang mengalami masalah komunikasi, sosial
serta akademik. Seperti yang sedia maklum, pendengaran adalah perkara yang
penting dalam menguasai pertuturan yang baik. Sekiranya mempunyai masalah
pendengaran maka, pertuturan yang diucapkan tidak akan jelas dan tidak dapat
menerima bahasa dengan baik. Tidak dapat menguasai pendengaran dengan baik
akan mengakibatkan pertuturan seseorang akan tergendala dan menyebabkan
kesukaran untuk berinteraksi dengan orang lain.
Ling (1989), menekankan bahawa pendengaran memainkan peranan yang sangat
penting kepada murid-murid untuk mempelajari bahasa dan ia merupakan halangan
paling besar yang dihadapi oleh murid-murid bermasalah pendengaran. Manakala,
menurut Mojuntin Ebin (1997), murid-murid bermasalah pendengaran mengalami
kelambatan dalam perkembangan pertuturan dan bahasa. Disebabkan faktor tidak
dapat mendengar dan bertutur, mereka tidak boleh berfikir seperti murid-murid lain
dan akhirnya menyebabkan perkembangan akal mereka terbantut.

3.0

Perbincangan ( Punca dan Kategori Kehilangan Pendengaran )

Dalam bidang perubatan dan pendidikan, murid-murid bermasalah pendengaran


dikategorikan mengikut tahap kehilangan pendengaran masing-masing. Ukuran
kehilangan pendengaran ditentukan mengikut keupayaan individu mendengar
kekuatan bunyi yang berdasarkan unit desibel ( Williams, 1991 ). Di Malaysia,
kategori untuk bermasalah pendengaran menggunakan tahap ukuran kehilangan
pendengaran Jabatan Audiologi dan Sains Pertuturan, Hospital Universiti
Kebangsaan Malaysia ( HUKM).
Bagi individu yang mengalami kehilangan pendengaran di bawah 70 dB adalah
dikategorikan sebagai kehilangan pendengaran konduktif. Masalah ini berlaku
disebabkan oleh gangguan, halangan atau pun kerosakan pada bahagian telinga
luar dan telinga tengah sahaja. Bahagian telinga dalam pula masih berfungsi
dengan baik serta dapat menghantar bunyi melalui saraf pendengaran ke otak.
Kemudian getaran yang diterima terus merangsang cecair yang terdapat di dalam
telinga dalam tanpa melalui telinga luar dan tengah. Kehilangan pendengaran
konduktif dikategorikan sebagai kehilangan pendengaran ringan dan sederhana
kerana masih boleh mendengar sebahagian bunyi-bunyi pertuturan dan suara
sendiri serta orang lain melalui tulang mastoid.
Tahap kehilangan pendengaran konduktif yang dihidapi oleh kanak-kanak akan
mengalami tahap kehilangan pendengaran dalam kategori biasa (kurang 20 dB)
iaitu darjah kehilangan pendengaran masih normal dan boleh mendengar semua
bunyi. Manakala, ringan (21 45 dB) iaitu kesukaran untuk mendengar bunyi yang
perlahan atau terlalu jauh. Seterusnya, sederhana (46 70 dB) iaitu boleh
mendengar bunyi dalam lingkungan 1 hingga 1.5 meter. Sekiranya hendak
berhubung dengan kanak-kanak di tahap ini perlulah bercakap dengan suara kuat.
Kemungkinan kanak-kanak ini tidak sempurna pertuturannya kerana pengalaman
mereka mendengar adalah terhad.
Punca berlakunya masalah pendengaran ini kerana halangan di dalam saluran
telinga luar akibat daripada pengumpulan tahi telinga (serumin) yang terlalu
banyak atau sekatan benda asing. Hal ini juga terjadi apabila kemalangan yang
mengakibatkan kerosakan pada gegendang telinga akibat tekanan yang terlalu kuat
seperti bunyi letupan dan juga jolokan benda tajam atau keras pada gegendang.
Manakala, ketumbuhan tetulang halus (otosklerosis) pada stapes (struktur di

bahagian telinga tengah). Kehilangan pendengaran berlaku kerana tulang stapes


yang melekat pada jendela bujur tidak dapat digerakkan kerana berlakunya
ketumbuhan tetulang di sekelilingnya.
Oleh yang demikian, faktor jangkitan turut mempengaruhi masalah pendengaran
konduktif iaitu jangkitan kronik yang berlaku terhadap lapisan kulit telinga luar atau
dalam telinga yang dikenali sebagai Otitis External dan Otitis Media. Otitis External
berlaku disebabkan oleh jangkitan bakteria yang dinamakan swimmers ear yang
biasa berlaku pada para perenang kerana kekerapan air terperangkap di dalam
salur telinga. Manakala, otitis media merupakan infeksi di bahagian membran
mukus telinga tengah. Penyakit ini biasanya mempunyai kaitan dengan penyakit
seperti koriza, campak, demam dan batuk kokol. Tanda-tanda penyakit ini ialah sakit
di bahagian telinga secara tiba-tiba dan demam panas. Kepekakan boleh terjadi
sekiranya penyakit ini menyerang kedua-dua belah telinga dan jika lambat diberi
rawatan keadaan akan bertambah teruk.
Seterusnya, kehilangan pendengaran 71 dB hingga 90 dB dikategorikan sebagai
mengalami kehilangan pendengaran teruk (severe) dan kehilangan pendengaran
91dB keatas dikategorikan sebagai kehilangan pendengaran yang sangat teruk
(profound). Kategori kehilangan pendengaran bagi kedua-dua ini dikatakan sebagai
mengalami kehilangan pendengaran sensori neural atau pekak saraf. Kanak-kanak
yang mengalami masalah pendengaran di tahap ini akan ditempatkan di sekolah
pendidikan khas bermasalah pendengaran. Punca kehilangan pendengaran ini
disebabkan oleh kerosakan yang berlaku di bahagian telinga dalam dan saraf
pendengaran iaitu merujuk kepada kerosakan yang berlaku pada sensori yang
melibatkan koklea atau saraf yang menjadi laluan ke otak. Masalah pendengaran
jenis ini boleh berlaku dan berpunca sebelum kelahiran iaitu semasa janin berada di
dalam kandungan ibu dan juga selepas kelahiran.
Pelbagai punca yang mengakibatkan berlakunya masalah pendengaran sensori
neural iaitu jangkitan virus atau bakteria pada bayi. Contohnya ibu menghidapi
rubella, sekiranya ibu mengandung menghidapi penyakit ini akan mengakibatkan
anak di dalam kandungan menghadapi masalah dan juga boleh mengalami pelbagai
lagi masalah lain seperti masalah pembelajaran, penglihatan dan ketidakupayaan
yang lain. Jangkitan virus oleh penyakit kelamin seperti herpes simplex, gonorhea
dan siplis yang dialami oleh ibu bapa juga akan mengakibatkan bayi mengalami
masalah pendengaran ini.

Selain itu, faktor semasa kelahiran iaitu bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan juga
mengalami kecenderungan untuk mengalami masalah pendengaran. Selain itu,
masa lahir yang terlalu lama juga merupakan salah satu punca kehilangan
pendengaran kerana ibu mengalami kesukaran untuk melahirkan anak
menyebabkan tekanan pada telinga bayi. Kecederaan semasa kelahiran pada

bahagian telinga juga akan menyebabkan bayi mengalami masalah pendengaran.


Kemalangan yang mencederakan bahagian telinga semasa merawat bayi juga
menyebabkan bayi mengalami masalah pendengaran dan sekiranya bayi terdedah
kepada bunyi yang terlalu kuat dalam jangka masa yang lama juga menyebabkan
kerosakan pada bahagian telingan bayi. Latar belakang ibu bapa yang mempunyai
masalah pendengaran, berkemungkinan anak-anaknya mengalami masalah yang
sama kerana disebabkan faktor keturunan. Hal ini demikian kerana, ibu bapa yang
membawa gen dominan (pekak) maka risiko untuk mempunyai anak bermasalah
pendengaran sensori neural ialah 50 peratus manakala pembawa gen resesif
berisiko sebanyak 25 peratus.

Tambahan lagi, selain masalah pendengaran sensori neural dan konduktif, masalah
pendengaran bercampur juga dikategorikan sebagai masalah pendengaran.
Masalah pendengaran bercampur ialah masalah pendengaran yang melibatkan
kehilangan pendengaran konduktif dan sensori neural. Punca berlakunya masalah
pendengaran bercampur ini disebabkan oleh hasil kedua-dua faktor iaitu kerosakan
yang berlaku dalam masalah pendengaran konduktif dan sensori neural.

4.0

Rumusan

Kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran akan mengalami sedikit


sebanyak gangguan atau halangan dalam tumbesarannya kerana mengalami
kesukaran untuk memperolehi bahasa dengan sempurna. Seperti mana yang
diketahui bahawa kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran tidak dapat
bertutur dengan baik kerana memperolehi bahasa yang terhad. Sepertimana yang
dibincangkan berdasarkan punca berlakunya masalah pendengaran di atas,
beberapa keadaan boleh dielakkan sekiranya ibu bapa memainkan peranan dalam
menjaga perkembangan anak-anak mereka samada dari segi luaran ataupun
dalaman. Bagi ibu yang mengandung, penjagaan yang rapi berkaitan diri sendiri
atau pun bayi perlu dititik beratkan supaya bayi mendapat zat yang secukupnya
dan dapat mengelakkan daripada terkena sebarang jangkitan virus ataupun
bakteria.
Bagi mengelakkan sebarang kemalangan berlaku selepas kelahiran seperti terjolok
benda tajam atau keras ke dalam telinga bayi boleh dielakkan dengan penjagaan
rapi oleh ibu bapa. Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting kerana ini
melibatkan masa depan anak-anak. Kesan kepada anak-anak adalah sangat teruk
sekiranya mengalami masalah pendengaran kerana menunjukkan kelainan dalam

beberapa aspek lain. Sebagai contohnya, kurang memberi perhatian iaitu kanakkanak ini tidak terkejut pada bunyi yang kuat dan tidak mengalihkan pandangan ke
arah sumber bunyi. Kanak-kanak tersebut berkemungkinan tidak mendengar atau
memastikan bunyi yang didengar apabila tidak menunjukkan sebarang reaksi mahu
pun perhatian.
Selain itu, kanak-kanak akan mengalami kesukaran dalam mengikut arahan lisan.
Kanak-kanak ini juga sukar memahami arahan yang mudah dan akan lebih kerap
bertanya dan meminta supaya arahan diulang atau tidak memberi perhatian
kepada arahan atau pun pertanyaan. Manakala, personaliti kanak-kanak yang
mengalami masalah pendengaran akan dilabel sebagai kanak-kanak degil kerana
tidak mendengar kata, malas membuat kerja yang diarahkan ataupun digelar budak
nakal kerana sering mengalihkan perhatian. Perkara seperti ini berlaku kerana
kesukaran yang dialaminya untuk memahami arahan lisan yang diberikan
mengakibatkan kanak-kanak ini lebih suka membuat hal sendiri.

Anda mungkin juga menyukai