Anda di halaman 1dari 8

Gurindam : Beberapa Petua Hidup

Penulis: Zaba
Fikir dan Kata
Kurang fikir, kurang siasat,
Tentu dirimu kelak tersesat.
Fikir dahulu sebelum berkata,
Supaya terelak silang sengketa.
Perkataan tajam jika dilepas,
Ibarat beringin, racun dan upas.
Kalau mulut tajam dan kasar,
Boleh ditimpa bahaya besar.
Maksud:
RANGKAP 1
Penulis berkata bahawa manusia yang kurang berfikir dan kurang mengkaji pasti
tidak akan dapat mengatasi masalah yang dihadapinya.
RANGKAP 2
Penulis berkata bahawa manusia mestilah berfikiran matang sebelum bercakap apaapa supaya dapat mengelakkan sebarang perselisihan faham waima persengketaan.
RANGKAP 3
Penulis berkata bahawa manusia yang suka marah akan orang lain dengan kata-kata
yang menyakitkan hati akan melukakan perasaan orang lain.
RANGKAP 4
Penulis berkata bahawa manusia seseorang yang kasar dalam pertuturan akan
menyebabkan dirinya ditimpa pelbagai masalah.
Silang Sengketa
Siapa menggemari silang sengketa,
Kelaknya pasti berdukacita.
Silang selisih jangan dicari,
Jika tersua janganlah lari.
Maksud:
RANGKAP 1
Penulis berkata bahawa manusia yang suka bergaduh dan berselisihan faham akan
hidup dalam kesedihan.
RANGKAP 2
Penulis menasihati kita agar tidak sengaja mencari pergaduhan dengan orang lain
dan setiap perselisihan faham harus diselesaikan, bukannya dielakkan.

Ilmu
Jikalau ilmu tiada sempurna,
Tiada berapa ia berguna.
Ilmu kepandaian boleh dikejar,
Asal mahu rajin belajar.

Maksud:
RANGKAP 1
Penulis berkata bahawa ilmu mesti dikuasai dengan sempurna kerana ilmu yang tidak
kuasai dengan baik tidak dapat memanfaatkan kita.
RANGKAP 2
Penulis berkata bahawa ilmu pengetahuan dalam diri seseorang harus ditimba
dengan kesungguhan dan kerajinan asalkan kita memiliki kemahuan yang tinggi.
Dunia Pergaulan
Dunia ini taman pergaulan,
Hendaklah pilih sahabat dan taulan.
Manusia dikenal sifat budinya,
Dengan dilihat siapa kawannya.
Burung yang sama corak dan bulu,
Selalu sekumpul ke hilir ke hulu.
Maksud:
RANGKAP 1
Penulis berkata bahawa kehidupan di dunia ini menjadi lebih lengkap jika kita bijak
memilih rakan sebaya.
RANGKAP 2
Penulis berkata bahawa seseorang manusia dapat dikenali melalui budi bahasanya
dan melalui pergaulannya.
RANGKAP 3
Penulis berkata bahawa sekumpulan kawan yang baik biasanya akan bersama-sama
dalam pelbagai aktiviti kehidupan dan sentiasa bersama di mana-mana sahaja.

Sifat-sifat yang Baik


Jikalau kamu bersifat budiman,
Dipandang sebagai bunga di taman.
Jikalau kamu bersifat dermawan,
Segala orang dapat kautawan.

Jikalau kamu bersifat pemurah,


Segala manusia datang menyerah.
Maksud:
RANGKAP 1
Penulis berkata bahawa seseorang yang berbudi bahasa akan dipandang tinggi dan
dihormati oleh ahli masyarakat.
RANGKAP 2
Penulis berkata bahawa seseorang yang murah hati dan suka menderma akan
mendapat perhatian daripada masyarakat.
RANGKAP 3
Penulis berkata bahawa seseorang yang bersifat pemurah akan mudah mendapat
kawan dan menjadi tempat untuk meminta bantuan.
Perbuatan yang Baik
Barang siapa berbuat jasa,
Mulia namanya segenap masa.
Menolong sesama wajib dan perlu,
Tetapi tolonglah dirimu dahulu.

Maksud:
RANGKAP 1
Penulis berkata bahawa seseorang yang banyak berjasa dalam masyarakat akan
sentiasa dikenang orang pada bila-bila masa.
RANGKAP 2
Penulis berkata bahawa kita haruslah membantu diri sendiri sebelum menghulurkan
bantuan kepada orang lain.
Sifat-sifat yang Jahat
Telunjuk lurus kelengkeng berkait,
Hati sesama menjadi pahit.
Barang siapa berbuat khianat,
Tuhan kelak memberi laknat.
Maksud:
RANGKAP 1
Penulis berkata bahawa kita mestilah berhati-hati terhadap manusia yang nampak
baik tetapi berhati busuk.
RANGKAP 2
Penulis berkata bahawa seseorang yang mengkhianati orang lain akan mendapat
balasan Tuhan pada kemudian hari.

TEMA

Tema gurindam ini ialah pelbagai amalan dan nilai murni yang dapat kita teladani
dalam kehidupan. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap manusia memiliki sifat
yang berbeza. Oleh sebab itu, kita haruslah berhati-hati dalam pergaulan dan
menjauhi sifat yang negatif.
PERSOALAN

Kepentingan berfikiran matang dan rasional.


(b) Pergaduhan yang tidak memanfaatkan sesiapa.
(c) Penjagaan tutur kata demi maruah diri.
(d) Kesedihan daripada pertelingkahan.
(e) Kepentingan menimba ilmu.
(f) Kegigihan mencari ilmu demi masa depan.
(g) Kepentingan rakan sebaya dalam kehidupan.
(h) Sifat budi bahasa penting dalam kehidupan.
(i) Sifat pemurah yang disukai masyarakat.
(j) Kemuliaan seseorang daripada jasa yang ditaburkan.
(k) Kepentingan bekerjasama dalam kalangan ahli masyarakat.
(l) Kejahatan manusia yang tersembunyi.
(m) Pengkhianatan dalam kalangan manusia.
GAYA BAHASA

(a) Repitasi
Buktinya, Kurang fikir, kurang siasat
Selalu berkumpul ke hulu ke hilir
(b) Imej alam atau imejan
Buktinya, dipandang sebagai bunga di taman.
(c) Pengulangan kata
Buktinya, Silang selisih jangan dicari
Jika tersua janganlah lari
Jikalau ilmu tiada sempurna
Jikalau kamu bersifat budiman,
Jikalau kamu bersifat dermawan
Jikalau kamu bersifat pemurah
(d) Sinkope
Buktinya, Tentu dirimu kelak tersesat
Tetapi tolonglah dirimu dahulu
(e) Simile
Buktinya, Ibarat beringin, racun dan upas
dipandang sebagai bunga di taman.

(f) Peribahasa
Buktinya, Telunjuk lurus kelengkeng berkait,
NILAI

Rasional
(b) Keikhlasan
(c) Setia kawan
(d) Kegigihan
(e) Kesungguhan
(f) Kerajinan
(g) Baik hati
(h) Murah hati
(i) Hemah tinggi
(j) Berwaspada
(k) Keadilan

PENGAJARAN

Kita mestilah berfikiran rasional sebelum bercakap dengan orang lain demi menjaga
maruah diri.
2. Kita mestilah ikhlas dalam persahabatan dengan tidak bersengketa dengan
sesiapa.
3. Kita mestilah setia dalam pergaulan dengan kawan-kawan supaya kehadiran kita
disukai.
4. Kita mestilah gigih menimba ilmu demi menjamin masa depan yang lebih cerah.
5. Kita mestilah bersungguh-sungguh dalam usaha mencari ilmu supaya setiap
masalah yang kita hadapi dapat diselesaikan.
6. Kita mestilah rajin berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan dalam diri
supaya dapat menjadi manusia yang bijak pandai.
7. Kita mestilah berbuat baik sesama manusia agar dipandang tinggi dalam
masyarakat.
8. Kita mestilah bersifat murah hati dengan membantu sesiapa sahaja untuk
meringankan beban mereka.
9. Kita mestilah bersifat hemah tinggi supaya disanjung tinggi dan dihormati oleh
ahli masyarakat.
10. Kita mestilah berhati-hati dalam segala tingkah laku demi menjaga ketinggian
budi dan akhlak.
11. Kita mestilah berbuat baik sesama manusia agar segala perbuatan baik kita akan
dibalas baik kerana Tuhan mengadili kita berdasarkan perbuatan kita.

SET 1
SOALAN

Apakah yang dimaksudkan dengan siapa menggemari silang sengketa, kelaknya pasti
berduka cita?
Pada pendapat anda, apakah kepentingan ilmu dalam kehidupan? Huraikan.
Berikan dua pengajaran di dalam puisi tradisoanal Beberapa Petua Hidup.

JAWAPAN

Maksud siapa menggemari silang sengketa, kelaknya pasti berduka cita ialah
manusia yang suka bergaduh dan berselisihan faham akan hidup dalam kesedihan.
Pada pendapat saya, ilmu membolehkan kita memperoleh peluang kerjaya yang lebih
baik. Dengan pelbagai ilmu yang dimiliki, peluang seseorang akan lebih terbuka dan
mudah mendapat kerja. Kita juga akan mampu menjawat jawatan yang lebih besar.
Selain itu, dapat meningkatkan taraf hidup. Pendapatan lumayan yang mereka
perolehi membolehkan mereka mengubah kehidupan dengan membina rumah yang
lebih selesa, mampu memiliki keperluan asas dan kehendak diri. Di samping itu, kita
akan disanjung tinggi oleh masyarakat. Masyarakat akan lebih menghargai orang
yang berilmu kerana khidmat mereka boleh digunakan untuk kepentingan umum.
Contohnya, doktor. Akhir sekali, ilmu dapat menjamin masa depan seseorang.
Dengan ilmu, kita boleh memperoleh pekerjaan yang lebih baik untuk menjamin
kehidupan kita pada masa akan datang.
Dua pengajaran di dalam puisi tradisonal Beberapa Petua Hidup ialah kita hendaklah
menjaga tingkah laku dan budi pekerti dalam pergaulan. Selain itu, kita hendaklah
rajin belajar dan menuntut ilmu supaya bermanfaat untuk diri sendiri.

SET 2
SOALAN

Beri maksud rangkap kedua belas puisi tradisional di atas.


Pada pendapat anda, apakah implikasinya jika seseorang tidak menjaga budi
bahasanya dalam pergaulan?

Nyatakan dua nilai yang terdapat dalam puisi Beberapa Petua Hidup.
JAWAPAN

Maksud rangkap kedua belas prosa tradisional di atas ialah penulis berkata bahawa
seseorang yang berbudi bahasa akan dipandang tinggi dan dihormati oleh ahli
masyarakat.
Pada pendapat saya, implikasi jika seseorang menjaga budi bahasanya dalam
pergaulan ialah individu tidak gemar berkomunikasi dengannya. Selain itu, seseorang
itu akan dipandang hina oleh masyarakat yang lain. Seterusnya, seseorang itu akan
mudah melukakan hati masyarakat dan dibenci oleh orang di sekelilingnya. Akhir
sekali, seseorang itu tidak mempunyai rakan yang ramai dalam hidupnya.

Dua nilai yang terdapat dalam puisi Beberapa Petua Hidup ialah nilai kerajinan.
Sikap rajin belajar untuk menambah pengetahuan kita membuat penilaian yang
wajar. Selain itu, nilai hemah tinggi. Sifat beradab dalam pergaulan disenangi oleh
rakan-rakan dan dapat mengelakkan perselisihan. Selain itu, berbudi bahasa, baik
dan pemurah perlu diamalkan. Orang yang berhemah tinggi akan sentiasa dihormati.

SET 3
SOALAN

Apakah maksud rangkap kelapan puisi tradisional?


Pada pendapat anda, bagaimanakah kita hendak menyemai sikap persefahaman dalam
kalangan masyarakat?
Berikan dua persoalan yang terdapat dalam puisi tradisional Beberapa Petua Hidup.
JAWAPAN

Maksud rangkap kelapan puisi diatas ialah penulis berkata bahawa ilmu pengetahuan
dalam diri seseorang harus ditimba dengan kesungguhan dan kerajinan asalkan kita
memiliki kemahuan yang tinggi.
Pada pendapat saya, cara hendak menyemai sikap persefahaman dalam kalangan
masyarakat ialah saling bertolak ansur antara satu sama lain. Selain itu, sentiasa
menghormati pendapat orang lain. Seterusnya, sentiasa berbincang secara
berkumpulan untuk mendapatkan kata putus bersama-sama. Akhir sekali,
bekerjasama dan adil dalam menjalankan tugas yang diberikan.

Dua persoalan yang terdapat dalam puisi diatas ialah kepentingan menimba ilmu
demi masa depan. Sikap rajin berusaha mencari ilmu akan membolehkan kita
memperoleh ilmu dan kemahiran yang diingini. Selain itu, menjauhi persengketaan.
Hidup orang yang suka bersengketa tidak akan bahagia. Oleh itu, persengketaan
hendaklah dijauhi dan perlu diselesaikan jika ia berlaku.

Anda mungkin juga menyukai