Anda di halaman 1dari 35

MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA

KES NO: 11/4 –2256/06

ANTARA

ZAHARI BIN IBRAHIM

DAN

LEE WAH SAWMILL SDN. BHD.

AWARD NO: 206 OF 2010

Di Hadapan: DATO’ AHMAD ROSLI BIN MOHD. SHAM - PENGERUSI


(Bersidang berseorangan)

Tempat : Mahkamah Perusahaan


Kuala Lumpur

Tarikh Rujukan : 10.8.2006

Tarikh Sebutan : 6.12.2006, 28.2.2007, 4.4.2007, 27.4.2007,


27.5.2007, 6.8.2007, 19.11.2007, 21.1.2008,
21.3.2008, 1.4.2008, 11.9.2008, 12.11.2008,
18.12.2008, 3.2.2009, 17.8.2009, 26.11.2009
dan 10.12.2009

Tarikh Perbicaraan: 17.9.2007, 4.9.2009 dan 26.10.2009

Hujahan Bertulis Yang Menuntut difailkan pada : 25.11.2009


Hujahan Bertulis Syarikat difailkan pada : 25.11.2009
Hujahan Balas Yang Menuntut difailkan pada : 15.12.2009

Perwakilan : Encik Atan Mustapha dari Tetuan Ainul Azam &


Co., mewakili Yang Menuntut

Encik Soon Boon Ghee dari Tetuan Tunku


Amiruddin & K.K. Chew, mewakili Responden

1
Rujukan:

Ini ialah rujukan yang dibuat dibawah seksyen 20(3) Akta

Perhubungan Perusahaan 1967, mengenai pembuangan kerja Encik

Zahari bin Ibrahim (Pihak Yang Menuntut) oleh Lee Wah Sawmill

Sdn. Bhd. (Pihak Responden).

AWARD

Penuntut dalam kes ini bekerja sebagai “PG Clerk” menjalankan

tugas kawalan kualiti dengan pihak Syarikat dari 01.01.1994 hingga

11.01.2005. Beliau telah dibuang kerja pada 11.01.2005. Beliau telah

dibuang kerja selepas satu siasatan dalaman dibuat oleh pihak Syarikat

pada 10.01.2005.

Sebab Penuntut dibuang kerja adalah sepertimana yang dinyatakan

dalam Surat Menamatkan Pekerjaan bertarikh 11.01.2005 yang

salinannya dipamerkan di muka surat 10 COB-1, iaitu telah “didapati

melakukan kesalahan salah laku bergaduh dan dengan niat memukul dan

mencederakan dengan serius seorang pekerja asing yang menyebabkan

luka 5 jahitan di kepala dan di tangan.”

“Siasatan dalaman” ini diadakan selepas satu siasatan oleh COW-1

bermula pada 29.12.2004. Menurut keterangan COW-1, beliau yang

2
bekerja sebagai Pengurus Kilang Syarikat pada masa itu, telah dipanggil

oleh Encik Tay Pengarah Urusan Syarikat pada 29.12.2004. Menurut

COW-1, Encik Tay telah memberitahu kepada COW-1 seperti berikut:

“Bahawa pada 28.12.2004 jam lebih kurang pukul 5 petang,

dia sedang berada di pejabat dengan Encik Chong, dan Encik

Tan dan tiba-tiba seorang pekerja Bangladesh bernama Hok

masuk ke pejabat kilang dan mereka nampak kepalanya

berdarah. Hok ingin mendapat bantuan perubatan. Pada

masa sama, Penuntut pun sampai dengan motosikalnya. Hok

lalu menunjukkan ke arah Penuntut dan mengatakan kepada

Encik Tay, Encik Chong dan Encik Tan bahawa Penuntut

adalah orang yang mencederakannya. Sebagai balasan,

Penuntut lalu mencabar Hok dengan sebatang kayu dengan

perkataan “nak kena lagi” sebelum Penuntut masuk ke

pejabat kilang untuk mengecap kad kehadirannya. Selepas

mengecap kadnya Penuntut dengan cepat-cepat tinggalkan

pejabat kilang. Oleh yang demikian tiada sesiapa yang

berada di situ sempat membuat pertanyaan kepada

Penuntut.”

Encik Tay juga mengarahkan COW-1 supaya menjalankan siasatan

kerana Syarikat mahu ambil tindakan.

3
Berikutan dari itu, COW-1 telah pergi menemuduga Penuntut pada

jam sepuluh pagi 29.12.2004. COW-1 seterusnya berkata apa yang

Penuntut beritahu dia adalah sepertimana yang dia beritahu kepada polis

pada 31.12.2004.

Kemudian COW-1 pergi menemuduga Encik Tan Kim Chuan

Pengurus “Lee Wah Wood Industries” sebuah subsidiari Syarikat. COW-1

seterusnya berkata dalam keterangannya:

“Encik Tan memberitahu saya sepertimana mendiang Encik

Tay menceritakan kepada saya berkenaan insiden yang

berlaku pada 28.12.2004 lebih kurang pada pukul 5 petang.

Dia juga memberitahu saya bahawa dia serta penyelia

pekerja Bangladesh, namanya Arthique Rahman telah

membawa Hok ke Klinik Kerajaan Gemas di dalam keretanya.

Di klinik tersebut, Hok diberi 5 jahitan di atas kepalanya dan

5 jahitan lagi di atas tangannya. Menurut nasihat Hospital

Assistant yang merawat Hok, mereka telah membawa Hok ke

Balai Polis Gemas lebih kurang jam 8 malam. Akan tetapi

Hok tidak dapat membuat laporan polisnya. Apabila

mereka sampai di Balai Polis, Hok ditahan Polis kerana

mereka diberitahu bahawa pada pukul 6 petang lebih hari

yang sama, seorang pekerja wanita bernama Zaitun daripada

4
kilang papan Syarikat telah pun membuat laporan polis yang

mengadu Abdul Haque telah mencabuli kehormatannya.”

COW-1 kemudian pergi ke Balai Polis Gemas. Di sana dia telah

dapat membaca laporan polis yang dibuat oleh Zaitun dan berjumpa

dengan Abdul Haque. COW-1 memberitahu dalam keterangan tentang

pertemuan dengan Abdul Haque seperti berikut:

“Semasa berada di Balai Polis Gemas saya juga berjumpa

dengan Hok di dalam tahanan. Dia memberitahu saya

bahawa pada 28.12.2004, sebelum jam pukul 5 petang,

Penuntut telah datang di atas motosikalnya dan memukul

kepalanya dengan sebatang kayu. Hok menafikan dia telah

mencabul kehormatan Zaitun di kilang Syarikat pada

28.12.2004.” Laporan polis oleh Zaitun adalah sepertimana

salinan di dalam COB-1 mukasurat 2.

Seterusnya, COW-1 telah berjumpa dengan Zaitun untuk

menemuduga beliau. Tetapai Zaitun enggan memberikan kerjasama.

Menurut COW-1, Zaitun berkata “oleh kerana beliau telah pun buat repot

polis, biarlah pihak polis membuat siasatan dan mengambil tindakan yang

perlu.”

5
Pada 31.12.2004, COW-1 telah membuat satu laporan polis atas

arahan Encik Tay. Menurut COW-1:

“Selepas Abdul Haque ditahan oleh polis, terdapat khabar

yang diedarkan dalam kilang bahawa ada pekerja-pekerja

lain juga hendak memukul Hok kerana dia mengacau isteri

orang lain. Pada masa yang sama, terdapat juga khabar

angin bahawa ada pekerja asing yang lain yang mempunyai

perhubungan dengan pekerja wanita tempatan di dalam

Syarikat. Oleh yang demikian, Pengurusan teratas Syarikat

telah mengadakan suatu perbincangan di mana saya

diarahkan untuk membuat laporan polis sebagai tindakan

berhati-hati supaya keselamatan Hok serta pekerja-pekerja

asing yang lain dapat dipastikan seboleh-bolehnya. Sebagai

majikan, di sisi undang-undang Syarikat bertanggungjawab

untuk memberi suatu tempat kerja yang selamat untuk

pekerja-pekerja menjalankan tugas-tugas, samada mereka

pekerja asing ataupun pekerja tempatan.”

Selepas memberi keterangan di atas, COW-1 seterusnya berkata:

“Selepas siasatan yang saya jalankan, pihak Pengurusan

Syarikat yakin bahawa tiada insiden tersebut berlaku pada

6
28.12.2004 di dalam kilang papannya. Sekiranya benar

berlaku, Cik Zaitun sememangnya akan membuat pengaduan

tentang pencabulan kehormatannya terhadap Hok terus

kepada pengurusan Syarikat berikutan insiden tersebut dan

bukannya terus pergi membuat laporan polis tanpa

pengetahuan Syarikat selepas satu jam lebih habis kerja

pada 5 petang. Dalam kes ini Cik Zaitun langsung tidak

membuat sebarang pengaduan kepada Pengurusan Syarikat

walaupun dia telah membuat laporan polis. Lagi pun, selepas

membuat laporan polis, Cik Zaitun juga tidak bekerjasama

dengan pihak Syarikat apabila siasatan dijalankan.

Tambahan lagi, apa yang Cik Zaitun memberitahu kepada

polis pada 28.12.2004 bercanggah dengan atau tidak sama

apa yang Zahari memberitahu saya semasa penyiasatan

dijalankan.”

COW-1 seterusnya memberi keterangan bahawa pihak Syarikat

berpendapat bahawa Cik Zaitun telah mencipta satu cerita yang tidak

benar untuk menolong Penuntut mungkin Penuntut telah memberitahu

Cik Zaitun dia telah mencederakan Hok pada waktu bekerja pada

28.12.2004. Memandangkan perkataan Cik Zaitun dalam laporan polis di

mana beliau kata “JANGAN BUAT MACAM.....SAYA TIDAK MAHU”, Syarikat

juga berasa perkataan itu tidak konsisten dengan perkataan yang

7
dikeluarkan daripada mulut seorang gadis yang kehormatannya sedang

dicabuli.

Syarikat juga berpendapat bahawa akibat dari siasatan dijalankan

oleh pihak Syarikat, pada 28.12.2004 Zahari tiada apa-apa alasan pergi

ke tempat kerja Hok dan memukulnya sehingga Hok menderita cedera-

cedera.”

Salinan laporan polis oleh COW-1 adalah di muka surat COB-1.

Setelah COW-1 membuat laporan polis, pada 1.1.2005 Penuntut

telah diberi surat bertajuk “MEMUKUL PEKERJA ASING PADA 28/12/2004

YANG MENYEBABKAN LUKA DI KEPALA DENGAN 5 JAHITAN DAN TANGAN

KANANNYA JUGA LIMA JAHITAN”. Di dalam surat itu pihak Kilang telah

menahan kerja Penuntut sementara bermula 3.1.2005 sehingga

10.1.2005. Penuntut juga diminta hadir di pejabat pada 10.1.2005 jam

10.30 pagi untuk “membela diri (mengapa tuan tidak boleh di buang

kerja) oleh kerana pihak Kilang memandang serius perkara ini kerana

tuan bertindak sendiri, tanpa melaporkan kepada pihak pentadbir Kilang

terlebih dahulu dan juga tuan bekerja tidak sama bidang dengan pekerja

asing yang cedera.”

Pada 10.1.2005 satu “siasatan domestik” telah diadakan. Apa yang

8
berlaku semasa “siasatan domestik” adalah sepertimana yang dicatatkan

di dalam COB-1 muka surat 7 hingga 9, iaitu seperti berikut:

“Tarikh: 11/01/2005

SIASATAN DALAMAN (DOMESTIC INQUIRY) AKTA KERJA 1955


SEC: 14(1) SALAH LAKU BERAT BERGADUH, MEMUKUL YANG
MENYEBABKAN KECEDERAAN SERIUS KEPADA PEKERJA
ASING PADA 28/01/2005
--------------------------------------------------------------------

Pada 10/01/2005 jam 10.30 pagi di bilik Pengarah Mr. Tay

Cheng Guan bermula:

Mr. Tay : Awak bekerja di sini sudah berapa lama?

En. Zahari : Sudah lama melebihi 10 tahun.

Mr. Tay : Saya sebagai Pengarah di sini,

bertanggungjawab untuk menjaga

keselamatan dan keamanan di dalam Kilang

ini, pada 28/12/2004 saya

dimaklumkan bahawa En. Zahari telahpun

memukul salah seorang pekerja Bangladesh

tanpa memberitahu pihak pentadbiran

ataupun pengawal keselamatan di Kilang

9
ini. Oleh itu hari ini kami jemput En. Zahari

untuk memberi peluang kepada En. Zahari

menjelaskan serta memberi alasan

mengapa En. Zahari bertindak sedemikian.

En. Zahari : Alasan yang pertamanya saya sudah tak

tahan lagi mendengar skandal Bangla kacau

bini oranglah itulah sehinggalah hari itu

(28/12/2004) perempuan tu tunjukkan

tangannya yang di tarik oleh Bangla dengan

kuat dan hendak merogolnya.

Memandangkan saya perlu menjaga maruah

yang tercabar saya cuba bertanya kepada

Bangla tu, tanpa ada niat untuk

memukulnya dalam pada itu maka

berlakulah pergaduhan tolak menolak lalu

Bangla tu terjatuh, mungkin kepalanya

terkena kayu 'an' yang ada disitu.

Mr. Tay : Terdapat 5 jahitan di kepala dan tangan

pekerja Bangla tu, sebagai seorang

Pengarah, saya harus bersikap adil kepada

kedua-dua pihak oleh itu apapun alasan

10
yang awak berikan mestilah

munasabah. Saya dapat tahu ramai lagi

yang hendak memukul Bangla tu, boleh

awak beritahu?

En. Zahari : Memang ramai yang menyokong tindakan

saya ini, mereka semuanya orang dalam

tapi saya tak boleh beritahu.

Mr. Tay : Kalaupun awak tak berpuas hati, awak

boleh beri laporan kepada pihak

pentadbiran, awak boleh “report police”

atau repot ke Jabatan Agama Islam.

En. Zahari : Saya takut kalau report police nanti pihak

pentadbiran tidak berpuas hati pula, dan

pernah sekali Bangla masuk rumah tapi

akhirnya buang kes saja.

Mr. Tay : Bagi tahu kita, adakah awak mendengar En.

Zahari berkata 'nak kena lagi' kepada

Bangla semasa beliau hendak punch card?

11
En. Rahman: Ada, dia cakap 'nak kena lagi' sambil

mengepit kayu pendek.

Mr. Tay : Dalam Kilang ini, tanpa memberitahu pihak

pentadbiran, atau pengawal keselamatan En.

Zahari telah mengambil keputusan

memukul Bangla sehingga cedera. Alasan

yang awak berikan ini sama ada boleh

diterima pakai oleh pejabat Buruh atau

tidak kita tak tahu. Sekali lagi saya tanya

awak adakah awak pukul Bangla tu?

En. Zahari : Memang saya bergelut dengan Bangla tu,

tapi saya tak mengaku memukulnya.

Mr. Tay : Ada tak orang lain semasa kejadian?

En. Zahari : Tak ada.

Mr. Tay : Awak telah beritahu alasannya, doktor akan

mengesahkan kecederaan Bangla tu. En.

Rahman benar awak ada dengar En. Zahari

cakap 'nak kena lagi'?

12
En. Rahman: Ada, saksi pun dengar.

Mr. Tay : Betul awak pun dengar?

Mr. Tan : Bukan saya saja ramai yang dengar.

En. Rosli : Awak Zahari, bergelut dengan Bangla tu,

dalam pada itu untuk mempertahankan diri,

awak dapat kayu yang ada dekat situ lalu

terketok Bangla tu.

Mr. Tay : Kalau dengar cerita En. Rosli, awak ada

pukul Bangla tu?

En. Zahari : Betullah macam En. Rosli cakap, saya cuba

pertahankan diri.

Mr. Tay : Tapi awak bukan kerja disitu?

En. Zahari : Ini telah melibatkan maruah.

Mr. Tay : Kalau awak pergi report polis, itu bagus,

dari awak bertindak sendiri macam ni.

13
En. Rosli : Kesilapan En. Zahari tak melaporkan

perkara ini kepada pihak pentadbiran.

Pihak Syarikat mengambil pekerja asing

semuanya ada perjanjian kalau dikatakan

Bangla tu mati, pihak syarikat akan kena

dakwa lagi pula dalam kes ini mempunyai

saksi. Ini terpulanglah pejabat Buruh sama

ada dia terima atau tidak.

En. Zahari : Saya tak tahu nak cakap macam mana lagi

kerana yang pasti, saya tetap akan dibuang

kerja.

Mr. Tay : Oleh kerana semuanya tak ada apa lagi

pertanyaan, saya bagi pihak pentadbiran

mengucapkan berbanyak terima kasih

kepada En. Zahari kerana sudi meluangkan

masa untuk hadir bagi memberi alasan

kepada kami. Untuk seketika ini En. Zahari

kami berhentikan kerja, sementara kami

mendapat keputusan sebulat suara di atas

kes En. Zahari.

Bersurai.

14
Yang hadir:

1. Mr. Tay Cheng Guan – Pengarah Urusan

2. En. Md. Nasir B. A.Manaf @ Rosli – Pengurus

3. Mr. Tan Kim Chuan – Pengurus

4. Mr. Artique Rahman – Supervisor Pekerja Asing

5. En. Abd. Rahman B. Ariffin – Ins. Pengawal Keselamatan

6. Pn. Maznah Bt. Othman – Kerani

Disediakan oleh: Pn. Maznah Bt. Othman”

Keesokan harinya, pada tarikh 11.01.2005 Penuntut terus diberi

surat menamatkan pekerjaan seperti salinan di mukasurat 10 COB-1.

Meneliti keterangan pihak Syarikat melalui keterangan oleh COW-1

dan juga dokumen yang dikemukakan maka dapat disimpulkan bahawa

sememangnya Abdul Haque atau Hok seperti yang disebut oleh COW-1,

telah tercedera dengan luka di kepala dan tangan yang memerlukan

jahitan dan luka itu adalah diakibatkan oleh Penuntut. Walaupun Abdul

Haque tidak memberi keterangan kerana telah meninggalkan Syarikat

tetapi COW-1 sendiri secara terus telah bertemu dengan Abdul Haque

dan juga beberapa orang lain yang telah bercakap dengan Abdul Haque

dalam siasatannya. Kejadian ini telah membawa kepada satu rantaian

peristiwa di mana Abdul Haque di bawa ke klinik menerima rawatan,

15
kemudian ditahan polis, seterusnya satu siasatan oleh COW-1 atas

kejadian dan akhirnya “siasatan domestik” dan Penuntut di buang kerja.

Adalah diperhatikan juga bahawa, dari keterangan pihak Syarikat

sendiri, “siasatan domestik” atau siasatan dalaman yang di buat oleh

pihak Syarikat adalah tidak selaras dengan prinsip-prinsip “natural

justice”. Melihat kepada salinan nota keterangan “siasatan domestik”

COB-1 muka surat 7 hingga 9, tiada ahli panel, tiada saksi, tiada

keterangan dikemukakan malah ahli-ahli mesyuarat bertindak sebagai

pendakwa menyoal dalam bentuk memberi tekanan atas Penuntut.

Prosiding yang dikatakan sebagai “siasatan domestik” itu lebih berupa

satu interogasi atas Penuntut oleh ahli-ahli mesyuarat yang hadir. COW-1

memberi alasan bahawa Syarikat tiada pengalaman mengendalikan satu

siasatan dalaman.

Surat COB-1 muka surat 6 kandungannya menunjukkan bahawa

pihak Syarikat telah membuat keputusan untuk membuang Penuntut dari

kerja dan hanya mengarahkan Penuntut hadir satu mesyuarat bagi

memberi alasan kenapa dia tidak patut dibuang kerja. Ini bermakna

pihak Syarikat telah pun membuat keputusan atas hukuman yang akan

dikenakan atas Penuntut sebelum siasatan dalaman diadakan. Ianya

bukan surat tunjuk sebab bagi tujuan memberi peluang kepada Penuntut

untuk memberi alasan kenapa satu tindakan disiplin tidak boleh

16
dikenakan atas sebab salah laku Penuntut.

Ini adalah kerana pihak Syarikat telahpun membuat keputusan

bahawa Penuntut bersalah memukul dan mencederakan Abdul Haque

tanpa sebarang sebab. Pihak Syarikat telah membuat keputusan tiada

pencabulan atas Cik Zaitun berlaku. Pihak Syarikat juga berpendapat

bahawa laporan polis oleh Zaitun adalah palsu kerana tiada pencabulan

berlaku. Pihak Syarikat juga telah mengadakan siasatan dalaman bagi

tujuan membuang Penuntut dari kerja kerana bimbang berlaku

pergaduhan antara pekerja tempatan dan asing berdasarkan khabar

angin.

Kesimpulan di atas dibuat dengan merujuk kepada keterangan oleh

COW-1 sendiri yang menyatakan demikian. Dengan ini jelas bahawa

siasatan yang dibuat oleh COW-1 dan seterusnya “siasatan domestik”

yang telah diadakan adalah tidak adil bagi Penuntut.

Namun begitu, walaupun siasatan dalaman itu adalah tidak adil

tetapi apakah pihak Penuntut wajar dibuang kerja atas alasan yang

diberikan oleh Syarikat? Maksudnya, dengan mengenepikan dan tidak

mengambilkira siasatan dalaman yang telah diadakan oleh pihak Syarikat,

adakah pihak Syarikat mempunyai alasan yang adil dan saksama untuk

membuang Penuntut dari pekerjaannya? Dalam kes Wong Yuen Hock v.

17
Syarikat Hong Leong Assurance Sdn. Bhd. & Another Appeal (1995) 3 CLJ

344 Mohd. Azmi FCJ telah menyatakan seperti berikut:

“The Industrial Court was not competent to declare the

dismissal void for failure to comply with the rules of natural

justice. The very purpose of the inquiry before the Industrial

Court was to give both parties to the dispute an

opportunity to be heard irrespective of whether there was a

need for the employer to hold a contractual or statutory

inquiry.”

Jadi walaupun siasatan dalaman yang telah diadakan adalah tidak

selaras dengan prinsip-prinsip keadilan semulajadi tetapi ini tidak

bermakna pembuangan kerja itu adalah tidak sah. Mahkamah mestilah

seterusnya menentukan samada pembuangan kerja itu adalah berasas

dan tidak berlaku ketidakadilan atau ketidaksaksamaan ke atas Penuntut

atau dalam perkataan lain, samada pembuangan kerja itu adalah dengan

sebab dan alasan yang adil.

Dalam kes ini pihak Syarikat telah membuang kerja Penuntut atas

alasan salahlaku. Dalam kes Goon Kwee Choy v. J & P Coats (M) Sdn.

Bhd. (1981) 1 LNS 30, Raja Azlan Shah telah menyatakan seperti berikut:

18
“Where representations are made and referred to the

Industrial Court for inquiry, it is the duty of the court to

determine whether the termination or dismissal is with or

without just cause and excuse. If the employer chooses to

give a reason for the action taken by him, the duty is on the

Industrial Court will be to inquire the excuse or reason has or

has not been made out.”

Oleh kerana salah laku itu adalah Penuntut dikatakan telah

memukul dan mencederakan seorang pekerja lain iaitu Abdul Haque,

maka menjadi tugas pihak Syarikat untuk membuktikan bahawa Penuntut

sememangnya telah memukul dan mencederakan Abdul Haque dan salah

laku itu adalah begitu serius sehingga menjadi sebab dan alasan yang

adil untuk pembuangan kerja. Beban pembuktian atas pihak Syarikat

adalah atas keseimbangan kebarangkalian.

Keterangan pihak Syarikat adalah sepertimana yang telah

dinyatakan di atas sementara keterangan pihak Penuntut yang memberi

keterangan sebagai CLW-2, yang berkaitan dengan kejadian adalah

seperti berikut:

“Pada atau lebih kurang pukul 2.45 petang, seorang rakan

sekerja bernama Zaitun bte Arshad berjumpa saya di tempat

19
kerja iaitu di bahagian A Syarikat. Ini ditunjukkan di plan

Syarikat di muka surat 33 Ikatan Dokumen Syarikat. Pada

masa itu, Zaitun nampak tidak terurus dan hiba. Beliau

mengatakan bahawa Hok telah mencabulinya dan cuba

merogolnya.”

Penuntut seterusnya berkata:

“Zaitun mengatakan yang dia ada mengadu tentang kejadian

itu kepada Mr. Tay Pengarah Syarikat tetapi tiada tindakan

diambil. Saya percaya Zaitun berjumpa saya kerana saya

pernah menjadi setiausaha keselamatan dan bencana. Saya

berhenti beberapa bulan sebelum itu tetapi nama saya masih

terpampang di notis-notis sebagai ahli jawatankuasa.

Mungkin juga dia meminta bantuan saya kerana saya pekerja

lama yang mempunyai rekod bagus dan boleh dipercayai.”

“Walaupun saya bukanlah setiausaha keselamatan lagi tapi

atas dasar perikemanusiaan saya masih mahu menolong

Zaitun untuk menyiasat apa yang berlaku. Pada masa itu

saya masih bertugas jadi saya tunggu sehingga hampir tamat

waktu bekerja untuk berjumpa dengan Hok untuk menyiasat

apa yang berlaku.”

20
“Seperti yang saya katakan, Zaitun memberitahu saya

bahawa beliau telah melaporkan kejadian tersebut sebelum

ini tetapi tidak ada tindakan diambil. Saya fikirkan mungkin

pihak pengurusan Syarikat akan menganggap perkara ini

serius sekiranya saya mendapatkan bukti tambahan. Bukti ini

hanya saya akan dapat jika saya bersemuka dengan Hok dan

meminta penjelasan daripadanya.”

“Saya pergi berjumpa Hok di bahagian C Syarikat pada lebih

kurang 4.45 petang. Saya terus bertanya kepadanya,

“kenapa kacau isteri orang. Kenapa peluk dan tarik dia?”

“Dengan tiba tiba, Hok menerkam saya dan saya terkejut.

Saya juga rasa takut kerana Hok adalah lebih muda dan kuat

daripada saya dan saya hanya berfikir untuk

mempertahankan diri. Sebelum sempat berbuat apa-apa,

kami sudah bergelut dan saya dipukul oleh Hok di badan saya

dengan kayu. Kawasan Hok bekerja adalah tempat kayu-

kayu yang dipotong disimpan.”

“Kejadian itu berlaku di dalam sekelip mata. Saya tidak pasti

apa yang terjadi. Tetapi kami bergelut dan sesuatu terjadi.

Sama ada saya tercapai sebatang kayu untuk

21
mempertahankan diri dan tidak sengaja memukulnya atau

dia terjatuh dan terkena kayu. Tiba-tiba pergelutan ini

terhenti dan saya nampak kepalanya berdarah di bahagian

depan kepala. Insiden pergelutan itu mengambil masa tidak

lebih 3 minit. Saya pun beredar pulang untuk mendapatkan

rawatan kerana dipukul di bahagian badan saya.”

“Semasa saya hendak pulang dengan motosikal, lebih kurang

pukul 5 petang saya nampak sekumpulan pekerja Bangladesh

berkumpul di hadapan pejabat Syarikat. Mereka memandang

ke arah saya dengan perasaan marah. Saya merasa khuatir

dan terancam. Tetapi saya masih perlu ke pejabat untuk

menggunakan mesin “punch card”.”

“Dalam perjalanan saya ke pejabat saya mengacukan

sebatang kayu kepada pekerja-pekerja Bangladesh tersebut

supaya mereka tahu yang saya boleh mempertahankan diri

saya jika perlu. Kemudian saya pergi “punch” kad saya dan

terus pulang ke rumah.”

“Saya tidak mendapat rawatan di hospital atau klinik kerana

saya hanya mendapat lebam akibat pergaduhan saya dengan

Hok dan hanya dirawat oleh isteri saya menggunakan ubat

22
yang dibeli di kedai.”

“Setahu saya, beliau membuat laporan polis berkenaan

insiden pencabulan oleh Hok terhadapnya pada hari yang

sama, 28.12.2004. Laporan itu ada di muka surat 2 Ikatan

Dokumen Syarikat.”

“Beberapa hari selepas itu saya menerima satu notis

daripada pihak pengurusan yang meminta saya hadir untuk

siasatan dalaman.”

“Saya diminta hadir di pejabat pada pukul 10.30 pagi

10.01.2005 tetapi tidak ada pertuduhan yang jelas di

dalamnya. Tidak dinyatakan pula siapa pekerja asing

tersebut. Saya juga digantung kerja dari hari itu sehingga

10.01.2005.”

Kesimpulan dari keterangan Pengadu adalah bahawa dia diserang

oleh Abdul Haque semasa bersemuka dengan Abdul Haque berikutan

pengaduan oleh Zaitun dan Abdul Haque telah menyerang beliau dengan

kayu. Beliau tidak pasti bagaimana Abdul Haque tercedera tetapi tidak

menafikan mungkin disebabkan oleh beliau.

23
Penuntut juga berkata bahawa kandungan laporan polis di muka

surat 3 COB-1 bukan hasil dari maklumat yang diberi oleh Penuntut

kerana beliau tidak memberitahu COW-1 sebagaimana dalam kandungan

laporan tersebut dan merupakan rekaan COW-1 semata-mata.

Sementara itu, CLW-1 Puan Zaitun bte Arshad dalam keterangannya

berkata bahawa kandungan laporan polis yang beliau buat iaitu seperti di

muka surat 2 COB-1 adalah benar. Menurut CLW-1, selepas kejadian

beliau dicabul oleh Abdul Haque, beliau telah mengadu kepada Encik Tay

majikan kilang tempat beliau bekerja pada pukul satu setengah petang

tetapi tiada apa-apa tindakan diambil oleh Encik Tay. Kemudian pada

lebihkurang pukul tiga petang hari yang sama beliau telah mengadu pula

kepada Penuntut kerana Penuntut adalah AJK Keselematan di kilang

tersebut. Puan Zaitun juga berkata COW-1 tidak pernah datang

berjumpa beliau. Beliau juga menyifatkan bahawa kesimpulan oleh Pihak

Syarikat yang tidak mempercayai laporan polis yang dibuatnya sebagai

sesuatu yang tak masuk akal. Menurut CLW-1:

“Saya buat keterangan benar. Bukan palsu. Kalau buat palsu

saya salah. Ini cerita yang boleh mengaibkan orang.”

Dalam soal balas, CLW-1 menyatakan rakan sekerja yang nampak

kejadian dan telah bantu beliau ialah seorang berbangsa cina yang beliau

24
rujuk sebagai Ah Long. Dalam soal balas CLW-2 juga bekata dia tidak

mengikut arahan Encik Tay supaya tidak buat repot tentang

pencabulannya. Dia buat repot selepas waktu kerja dan seterusnya dia

berhenti kerja.

Jadi, persoalan dalam kes ini adalah, samada berlaku kejadian

cabul atas Zaitun oleh Abdul Haque, samada Penuntut telah memukul dan

mencederakan Abdul Haque dan samada hukuman buang kerja atas

Penuntut adalah dengan alasan yang adil.

Dengan meneliti keseluruhan keterangan yang telah dikemukakan,

adalah sesuatu yang jelas bahawa pencabulan oleh Abdul Haque ke atas

Zaitun adalah benar berlaku. Beliau telah membuat laporan polis tentang

hal ini. Keterangannya di Mahkamah gagal disangkal. Pihak Syarikat

melalui siasatan oleh COW-1 tidak mempercayai kata-kata Zaitun hanya

semata-mata kerana menurut COW-1, Zaitun enggan bekerjasama

semasa siasatannya dan juga reaksi Zaitun tidak seperti orang yang

dicabul, mengikut pendapat COW-1. Tetapi dalam kes ini, siasatan

dalaman yang telah dibuat oleh pihak Syarikat tidak memanggil Zaitun

dan juga Abdul Haque sebagai saksi. Jadi bagaimana boleh dikatakan

bahawa Zaitun tidak bekerjasama?

Mengenai reaksi terhadap pencabulan pula, Zaitun telah berkata

25
jangan buat macam itu, dia tidak mahu kepada Abdul Haque. Kemudian

dia pergi dari situ dan mengadu kepada Encik Tay dan juga Penuntut.

Kemudian dia membuat laporan polis dan seterusnya berhenti kerja.

Jadi apakah lagi reaksi yang dijangkakan oleh COW-1 serta pihak

Syarikat? Dalam keterangannya, COW-1 telah berkata, sebab kenapa

beliau membuat laporan polis adalah kerana pihak Syarikat telah

mendengar khabar angin bahawa ada lagi pekerja tempatan lain hendak

memukul Abdul Haque kerana Abdul Haque juga ada mengganggu isteri

orang lain, juga kerana ada khabar angin bahawa ada pekerja Bangladesh

yang lain mempunyai hubungan dengan isteri pekerja tempatan. Jadi

untuk memastikan keselamatan pekerja Bangladesh, maka laporan polis

dibuat. Maka adalah tidak selaras pihak Syarikat berpendapat bahawa

tiada pencabulan berlaku tetapi telah membuat laporan polis untuk

memastikan keselamatannya kerana ada lagi orang lain hendak

memukulnya atas alasan yang sama. Nampaknya pihak Syarikat telah

membuat pendirian bahawa tiada pencabulan berlaku atas alasan

menjaga keselematan dan bukan berdasarkan keterangan yang ada.

Mengenai pengaduan kepada Encik Tay tetapi Encik Tay tidak

berbuat apa-apa, perkara ini dinyatakan oleh Zaitun dan juga menurut

Pengadu juga dinyatakan kepada Pengadu. Ianya gagal disangkal oleh

pihak Syarikat.

26
Pencabulan ini telah mencetuskan peristiwa seterusnya iaitu

pertembungan antara Penuntut dan Abdul Haque. Pihak Syarikat

berpendirian bahawa Penuntut telah memukul Abdul Haque tanpa

sebarang sebab dan kemudiannya berpakat dengan Zaitun supaya Zaitun

membuat laporan palsu kononnya Abdul Haque telah mencabul Zaitun

bagi tujuan melindungi Penuntut dari tindakan. Pendirian Syarikat ini

adalah mempunyai nilai kebarangkalian yang rendah. Kenapa Penuntut

memukul Abdul Haque tanpa apa-apa alasan yang menasabah? Apa

hubungan Zaitun dengan Penuntut sehingga Zaitun sanggup

mendedahkan dirinya kepada kesalahan membuat laporan palsu yang

Zaitun sendiri sedari adalah satu kesalahan? Adakah Penuntut dan Zaitun

mempunyai keupayaan intelek untuk mengadakan konspirasi yang

sebegitu kompleks? Terlalu banyak persoalan yang tiada jawapan

munasabah pada pendirian yang dianjurkan oleh pihak Syarikat. Kes

Penuntut bahawa beliau telah pergi bersemuka dengan Abdul Haque

kerana Zaitun mengadu telah dicabul oleh Abdul Haque adalah lebih

tinggi kebarangkaliannya.

Seterusnya, apakah yang berlaku semasa Penuntut bertemu Abdul

Haque dan bagaimana Abdul Haque tercedera. Dalam hal ini walaupun

Abdul Haque sendiri tidak dipanggil memberi keterangan kerana katanya

tidak lagi bekerja dengan pihak Syarikat dan besar kemungkinan telah

pulang ke negara asal tetapi keterangan adalah mencukupi untuk

27
menunjukkan bahawa beliau telah tercedera iaitu luka di kepala dan

tangan. Kecederaan itu berlaku selepas pertembungan dengan Penuntut.

Keterangan ini adalah hasil dari siasatan oleh COW-1 dan juga tidak

dinafikan oleh Penuntut. Persoalannya adalah bagaimana Abdul Haque

tercedera?

Penuntut sendiri tidak menafikan dan mengakui bahawa beliau telah

pergi berjumpa Abdul Haque selepas menerima pengaduan dari Zaitun

dan mengakui juga bahawa ada pergelutan antara beliau dan Abdul

Haque. Ini bermakna Abdul Haque sememangnya telah tercedera dalam

pergelutan dengan Penuntut. Penuntut juga mengakui beliau mungkin

telah memukul Abdul Haque atau mungkin juga Abdul Haque tercedera

kerana terjatuh dan terkena kayu. Tetapi, dengan mengambil kira

kecederaan Abdul Haque seperti dalam keterangan COW-1, iaitu

kecederaan luka di kepala dan tangan yang memerlukan lima jahitan,

tidak menunjukkan kecederaan ini berlaku akibat jatuh. Penuntut juga di

lihat telah membawa kayu semasa mengecap kad kedatangan sebelum

pulang dan Penuntut mengakuinya, beliau cuma memberi alasan kerana

takut kepada pekerja-pekerja Bangladesh yang lain. Fakta ini

menunjukkan bahawa Penuntut sememangnya telah memukul Abdul

Haque dengan kayu.

Penuntut berkata beliau telah mempertahankan diri kerana

28
diterkam oleh Abdul Haque tetapi tindakan-tindakan Penuntut selepas itu

tidak menyokong kata-kata Penuntut. Beliau terus pulang dan tidak

membuat laporan kepada pihak pengurusan Syarikat sedangkan Penuntut

sebelum itu berkata tujuan pergi berjumpa dengan Abdul Haque adalah

untuk mendapatkan penjelasan dari Abdul Haque sebelum membuat

pengaduan kepada pihak Syarikat. Penuntut tidak pula pergi membuat

pengaduan bahawa Abdul Haque telah mencabul Zaitun dan kemudian

cuba menyerang Penuntut. Jadi keterangan adalah menunjukkan bahawa

Penuntut telah memukul Abdul Haque dengan kayu dan bukan dengan

sebab untuk mempertahankan diri. Tiada sebab lain bagi Penuntut

memukul Abdul Haque melainkan kerana Abdul Haque telah mencabul

Zaitun.

Perbuatan memukul rakan sekerja di tempat kerja adalah satu

salah laku. Penuntut tidak patut melakukan seperti yang telah beliau

lakukan. Penuntut sepatutnya membantu Zaitun dengan cara membantu

membuat aduan atau laporan polis. Penuntut sepatutnya membantu

Zaitun membawa perkara ini ke tengah dan jika pihak Syarikat tidak

mengambil sebarang tindakan, untuk bawa berbincang dengan pihak

pengurusan dan bukannya mengambil tindakan sendiri di luar batas

undang-undang. Perbuatan memukul rakan sekerja bukan sahaja satu

salah laku tetapi adalah juga satu salah laku yang serius dan dalam

keadaan biasa boleh dikenakan tindakan buang kerja jika pekerja itu

29
adalah satu ancaman kepada pekerja lain. Namun begitu hukuman yang

sesuai perlu juga dinilai berdasarkan fakta sesuatu kes.

Setelah mendapati bahawa Penuntut memang telah memukul Abdul

Haque dan telah melakukan satu salah laku, persoalan seterusnya adakah

hukuman buang kerja itu berpadanan dengan salah laku oleh Penuntut.

Dalam kes Goodyear Malaysia Berhad vs National Union of Employees In

Companies Manufacturing Rubber Products Award No. 88 Tahun 1986

telah dinyatakan seperti berikut:

“It must be noted that not all misconduct deserves dismissal

which has been described as the capital punishment in

industrial relations. Important circumstances which mitigate

the offence of the workman should be taken into account by

the employer before he can be said to have made a fair and

reasonable decision to dismiss. For example, a workman's

past record of good service or the management's own actions

or omissions which contributed to the misconduct are

mitigating factors which any reasonable Company would take

into account of before dismissing.”

Selain dari prinsip dari kes di atas, provokasi juga adalah satu

faktor yang boleh meringankan hukuman. Dalam kes Felda Oil Products

30
Sdn. Bhd. vs Salleh Bin Mohayat Award No. 92 Tahun 1991, Mahkamah

mendapati seperti berikut:

“There was in fact some sort of provocation that led to

Claimant throwing a punch at COW2. It was COW2 who

started the whole episode. Although the provocation is

not grave and sudden to excuse an assault under Section 352

of the Penal Code, it is, in my view a mitigating factor in

considering the punishment for the offence.”

Saya bersetuju dengan penyataan dalam kedua-dua kes di atas.

Maka dengan itu perlulah diteliti rekod perkhidmatan lampau Penuntut

dan samada terdapat sumbangan pihak Syarikat kepada salah laku oleh

Penuntut dan juga samada terdapat provokasi oleh Abdul Haque terhadap

perlakuan Penuntut.

Berkaitan rekod perkhidmatan lampau Penuntut, beliau telah

bekerja dengan Syarikat sejak 01.01.1995 sehingga dibuang kerja pada

11.01.2005, selama lebihkurang sepuluh tahun. Tiada keterangan beliau

mempunyai apa-apa masalah malah pernah dilantik sebagai ahli

jawatankuasa keselamatan dan bencana. Ini adalah satu rekod

perkhidmatan yang sangat baik.

31
Dari keterangan CLW-1, beliau menyatakan bahawa beliau telah

mengadu kepada Encik Tay mengenai kejadian cabul oleh Abdul Haque

atas beliau tetapi Encik Tay tidak berbuat apa-apa. Keterangan ini gagal

disangkal oleh pihak Syarikat, malah pihak Syarikat berpendirian bahawa

tiada kejadian cabul seperti dalam keterangan CLW-1 itu berlaku,

walaupun terdapat keterangan keadaan sekeliling menunjukkan kejadian

itu memang ada berlaku. Ini menunjukkan bahawa pihak Syarikat tidak

atau gagal untuk mengekang perbuatan gangguan seksual yang berlaku

ke atas pekerja perempuan di tempat kerja Syarikat. Ini ditunjukkan

juga dalam keterangan berkaitan apa yang disifatkan oleh pihak Syarikat

sebagai 'siasatan dalaman' yang mana gangguan seksual atas pekerja

wanita adalah dirujuk. Perkara ini juga telah menjadi salah satu sebab

kenapa COW-1 membuat laporan polis seperti yang beliau nyatakan iaitu

untuk melindungi pekerja asing dari kemarahan pekerja tempatan kerana

mereka sering dikatakan menganggu wanita tempatan. Semua

keterangan ini menunjukkan bahawa pihak Syarikat telah gagal untuk

bertindak bagi menangani masalah gangguan seksual di tempat kerja

hingga mendorong Penuntut untuk bertindak sendirian seperti beliau

nyatakan dalam 'siasatan dalaman' oleh pihak Syarikat iaitu:

“..... saya sudah tidak tahan lagi dengar skandal Bangla

selalu kacau isteri orang .....”

32
Jadi saya berpendapat bahawa kegagalan pihak Syarikat bertindak

mengekang gangguan seksual atas pekerja wanita ini adalah satu faktor

yang mendorong kepada tindakan Penuntut dalam melakukan salah laku.

Berkaitan dengan provokasi pula, tidak dapat dinafikan bahawa

perbuatan Abdul Haque itu adalah satu provokasi walaupun ianya bukan

secara tiba-tiba atau spontan. Seperti kata Penuntut dalam 'siasatan

dalamannya:

“..... saya perlu menjaga maruah yang tercabar .....”

Dari segi undang-undang perbuatan Abdul Haque atas CLW-1 juga

adalah sesuatu yang serius dan perlu dipandang berat. Maka saya juga

mendapati memang terdapat provokasi dalam kejadian Penuntut

memukul Abdul Haque.

Kesimpulannya, Mahkamah mendapati bahawa pihak Syarikat telah

membuktikan salah laku di pihak Yang Menuntut tetapi tindakan

membuang kerja oleh pihak Syarikat adalah dengan tidak mengambilkira

beberapa faktor yang berpihak kepada pihak Yang Menuntut. Oleh

kerana kegagalan pihak Syarikat mengambilkira faktor-faktor ini seperti

yang telah disebutkan oleh Mahkamah, maka pembuangan kerja

Penuntut adalah tidak dibuat secara tidak adil.

33
Setelah memutuskan bahawa pembuangan kerja Penuntut adalah

secara tidak adil, persoalan seterusnya apakah remedi yang sesuai

diberikan kepada Penuntut. Penuntut sepatutnya dikembalikan semula

pekerjaannya (reinstate) tetapi dengan melihat kepada keadaan sekarang

ianya tidak lagi satu remedi yang sesuai. Penuntut telah pun mempunyai

pekerjaan yang sama ditempat yang lain dan mendapat pendapatan yang

lebih tinggi dan telah mula bekerja di tempat yang baru mulai 3.5.2005

iaitu lebihkurang 4 bulan selepas diberhentikan oleh Syarikat. Oleh itu

Mahkamah menggantikan pengambilan kembali Penuntut dengan

pampasan. Jumlah pampasan ialah sebulan gaji terakhir bagi setiap

tahun Penuntut bekerja dengan Syarikat sehingga tarikh beliau

diberhentikan.

Berkaitan gaji ke belakang pula, ada dua perkara yang perlu

diambilkira oleh Mahkamah. Yang pertama adalah fakta bahawa Penuntut

telah mendapat pekerjaan lain hanya selepas 4 bulan diberhentikan.

Keduanya, Mahkamah juga perlu mengambilkira salah laku oleh Penuntut.

Kedua perkara ini adalah diperuntukkan di bawah Jadual Kedua Akta

Perhubungan Perindustrian 1967 (Akta 177). Mahkamah membuat

keputusan bahawa Penuntut layak menerima gaji kebelakang untuk 4

bulan untuk tempoh antara pemberhentian Penuntut sehingga beliau

mendapat pekerjaan baru. Dari jumlah 4 bulan ini Mahkamah menolak

75 peratus atau 3 bulan kerana salahlaku Penuntut. Dengan itu Penuntut

34
adalah diberikan hanya sebulan gaji kebelakang.

Dengan ini Mahkamah memerintahkan pihak Syarikat membayar

kepada Penuntut seperti berikut:

1. Pampasan bagi menggantikan pengembalian pekerjaan

iaitu jumlah sebulan gaji terakhir untuk setiap tahun

bekerja:

RM1080.00 x 11= 11,880.00

2. Gaji ke belakang untuk sebulan iaitu RM1080.00.

Jumlah keseluruhan:

RM11,880.00 + RM1080.00 = RM12,960.00.

Pembayaran ini adalah juga tertakluk kepada sumbangan kepada

EPF dan cukai pendapatan.

DIPERTURUNKAN PADA 19 FEBRUARI 2010

(DATO’ AHMAD ROSLI BIN MOHD SHAM)


PENGERUSI
MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA
KUALA LUMPUR

35

Anda mungkin juga menyukai