Anda di halaman 1dari 4

Subject 

[Syariah] Betapa pentingnya Solat Istikharah dalam kehidupan harian kita


Betapa pentingnya Solat Istikharah dalam kehidupan harian kita

Oleh: Ismail Abu Bakar


 
[Nota: Diakhir tulisan ini anda boleh muat turun Rakaman Audio  yang mengupas secara panjang
lebar selama 47 minit tentang Solat Istikharah oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din]
 
Bila di sebut sahaja Solat Istikharah kebanyakan di kalangan kita hanya terkenangkan ketika
hendak memilih jodoh. Ia begitu sinonim sekali dalam membuat keputusan untuk memilih bakal
teman hidup tidak kira bagi lelaki atau perempuan. Perkara ini mungkin berlaku kerana penekanan
di kalangan sesetengah Ustaz dalam soal istikharah ini dikaitkan dengan memilih jodoh sahaja.
 
Sebenarnya amalan Solat Sunat Istikharah ini skopnya lebih luas. Kita kadang-kadang tidak
diberikan peringatan dalam soal ini. Sedangkan amalan Solat Istikharah ini sangat-sangat di
galakkan oleh Rasulullah sebagaimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;
 
Mahfum Hadis:
 
Dari Jabir ra., ia berkata: "Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai
urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki
sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:
 
“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu
menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar.
Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui
sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya
Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku
juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka
tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan
kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini  membawa kejahatan kepadaku dalam urusan
agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka
elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian
jadikanlah daku meredhainya”

Betapa pentingnya Solat Istikharah ini sebagaimana pentingnya kita mempelajari al-Quran.
 
Sebagai satu iktibar dan renungan penulis ingin berkongsi beberapa contoh kisah benar yang
berlaku di kalangan sahabat-sahabat yang terlupa mengamalkan solat istikharah. Nama dalam
kisah ini bukan nama sebenar.
 
Kisah-1
Setelah berpindah randah dari satu rumah sewa ke rumah sewa, akhirnya tergerak hati Salim
untuk memiliki rumah sendiri. Lalu dia melihat iklan di surat khabar dan berkenan dengan tawaran
rumah yang agak munasabah harganya. Rumah tersebut masih belum dibina lagi tetapi pihak
pemaju telah menawarkan pakej jualan yang istimewa. Pihak pemaju perumahan memberi jaminan
rumah tersebut akan siap dalam masa dua tahun. Salim berminat dengan rumah tersebut lalu terus
membelinya. Kini lima tahun telah berlalu, projek perumahan itu telah terbengkalai kerana pemaju
telah bankrupt. Salim terpaksa membayar ansuran bulanan hutang kepada bank walaupun rumah
yang diidamkan masih tidak wujud.
 
Kisah-2
Abu dan Salmah telah berkahwin selama 4 tahun. Mereka dikurniakan dengan dua orang cahaya
mata. Anak yang sulung telah berumur 3 tahun dan yang kedua masih 8 bulan. Mereka berasa agak
susah hendak ke sana kemari kerana hanya memiliki motosikal. Satu hari Salmah mencadangkan
kepada Abu untuk membeli kereta. Abu lalu terus pergi ke Perodua Show room untuk melihat-lihat
kereta. Dia berkenan dengan model Kelisa lalu terus membelinya. Selang sebulan keretanya kena
curi. Dah enam bulan berlalu keretanya masih tidak ditemui, tetapi dia masih membayar ansuran
bulanan dengan pihak bank kerana pampasan yang pihak insurans bagi tidak mencukupi untuk
melangsaikan bayaran baki hutang dengan pihak bank.
 
Kisah-3
Munirah akhirnya terpikat dengan pujukan rakan satu ofisnya Hafsah untuk melabur dalam satu
skim pelaburan di internet. Dia akhirnya mengeluarkan sehingga RM10,000 untuk pelaburan
tersebut. Dua tahun telah berlalu duit pelaburannya lesap tak nampak bayang.
 
Kisah-4
Rashid dan Zakiah telah mempunyai tiga orang anak. Mereka bercadang untuk mengambil
pembantu rumah Indonesia. Mereka pergi ke agensi pembantu rumah dan terus memilih seorang
pembantu rumah yang terdapat dalam senarai biodata. Selang dua bulan pembantu rumah pun
sampai dan berkhidmat kepada mereka seperti yang dijangkakan. Tiga bulan berlalu tiba-tiba pada
satu hari didapati pembantunya telah lari dari rumah.
 
Kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar di mana penulis sendiri bertanya kepada mereka
adakah mereka telah melakukan Solat Istikharah sebelum memilih atau membuat keputusan.
Mereka kata langsung tak terfikir hendak melakukannya.
 
Dalam contoh yang lain pula penulis ingin berkongsi dengan satu kisah yang disampaikan kepada
penulis seperti berikut;
 
Kisah -5
Iskandar berumur 40 tahun telah berkahwin dan mempunyai enam orang anak. Suatu hari dia
mendapat telefon dari kawan baiknya Jaafar. Jaafar hendak memberikan satu hadiah istimewa
kerana jasa Iskandar yang telah menyelesaikan masalah keluarganya. Jaafar hendak menawarkan
kepadanya perbelanjaan pakej menunaikan haji untuk suami isteri ditanggung sepenuhnya iaitu
RM15,000 setiap orang. Hati Iskandar gembira bukan kepalang kerana sudah lama dia mengidam
untuk menunaikan haji. Lagipun duit simpanan dalam tabung hajinya baru RM3000.  Iskandar
tidak terus menerima hadiah tersebut sebaliknya dia memberi tempoh tiga hari untuk membuat
keputusan. Iskandar melakukan Solat Istikharah tiga malam berturut-turut. Pada hari keempat dia
berjumpa Jaafar mengatakan dia sangat berat untuk menerima hadiah tersebut. Dia mengatakan
ingin pergi menunaikan haji dengan duit pendapatan sendiri. Jaafar agak kecewa, dipujuknya
namun Iskandar tidak terima juga. Selang dua bulan selepas itu baru Iskandar mendapat tahu duit
yang hendak diberikan kepadanya  itu adalah dari duit riba iaitu interest bank konvensional akaun
simpanan tetap Jaafar.  Jaafar telah tersalah sangka. Disangkanya bahawa duit riba boleh
dihadiahkan kepada orang lain tetapi tidak boleh digunakan sendiri.
 
Kisah-6
Cikgu Imran telah mendapat arahan pertukaran sekolah dari Sabak Bernam ke Sandakan. Bila
menerima surat tersebut hatinya agak gembira kerana ingin memberi khidmat di kawasan
pedalaman. Baginya tidak ada masalah sebab masih bujang, dan teringin sangat hendak ke Sabah.
Dia solat Istikharah walaupun keputusan telah ditetapkan oleh kementerian kepadanya. Dia berdoa
“Ya Allah kalau pemergian aku ke Sandakan ini baik untukku dan agamaku maka permudahkanlah
jika tidak kau gantikanlah dengan yang lebih baik dan sempurna”. Selang dua minggu Pengetua
disekolahnya memberitahu kepadanya pertukaran dia ke Sabah di tarik balik disebabkan masalah
teknikal. Dia rasa agak pelik namun tidak kecewa malah tetap gembira kerana telah melakukan
solat istikharah. Dia yakin ini yang terbaik di pilih oleh Allah untuknya. Selang sebulan dia bertemu
Jodoh dengan Ustazah (al-Hafizah) yang baru berpindah di taman tempat dia tinggal.
 
Semua kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar yang boleh kita ambil iktibar dan
pengajaran. Yang pastinya kita tidak akan rugi di dunia dan akhirat bila beramal dengan Solat
Istikharah ini.
 
Dewasa ini ramai di kalangan kita hendak membeli rumah yang berharga lebih RM200,000.
Bayaran balik mungkin mengambil masa selama 20 hingga 25 tahun. Dalam tempoh tersebut
macam-macam perkara boleh terjadi. Jika sekiranya kita melakukan Solat Istikharah sebelum
membeli rumah tersebut, pasti Allah akan mendorongkan kita membuat pilihan yang tepat dan
memudahkan segala urusan. Penulis ada bertemu dengan beberapa sahabat yang melakukan Solat
Istikharah sebelum membeli rumah, Alhamdulillah segala urusan menjadi mudah dan dapat
membayar balik hutang rumah lebih awal daripada yang dijangkakan.
 
Seperkara lagi, supaya Allah SWT memakbulkan doa kita,  jauhilah segala bentuk pinjaman yang
ada unsur-unsur riba’ seperti dari sistem konvensional. Pilihlah sistem perbankan Islam semoga
Allah memberikan keberkatan dan menurunkan rahmatnya sepanjang tempoh pinjaman di buat.
Yakin dan percayalah jika kita mengikut suruhan Allah, pasti Allah akan membantu kita di ketika
senang dan susah. Jika Allah bantu kita tiada sesiapa yang boleh menghalangnya.
 
Mengikut beberapa buah kitab seperti Kitab Minyatul Musolli, Sabilal Muhtadin dan Sairus Salikin,
secara ringkasnya cara melakukan Solat Istikharah adalah seperti berikut;
 
1. Waktu yang terbaik ialah pada 2/3 malam (iaitu sekitar pukul 2 pagi). Bagaimana pun
boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam waktu yang di haruskan sembahyang contohnya
selepas maghrib.
2. Niatnya “Sahaja aku sembahyang sunat istikharah dua rakaat kerana Allah ta’ala”
3. Dalam rakaat pertama selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Kafirun atau apa-apa sahaja
surah lain yang terbaik kita boleh baca.
4. Dalam rakaat kedua selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Ikhlas atau apa-apa sahaja
surah lain yang terbaik kita boleh baca.
5. Selepas memberi salam baca doa berikut (mulakan dengan basmalah dan selawat dahulu)
  
 
Terjemahan Doa':
 
Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu
menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar.
Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui
sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya
Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) adalah baik bagiku dalam
urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan
datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku
padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) membawa
kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah
urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku
sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya. (Dari hadis riwayat Imam
Bukhari)
 
Untuk penjelasan yang lebih mendalam berkenaan Solat Istikharah ini anda patut dengar kupasan
yang panjang lebar selama 47 minit tentang solat ini oleh Tuan Guru Dato Dr. Haron Din.
 
Sila muat turun rakaman tersebut di sini
 
Semoga artikel pendek ini memberi manfaat kepada kita semua
 
Wallah hu ‘alam

Anda mungkin juga menyukai