Anda di halaman 1dari 5

Prejudis dan Kaitannya dengan Masalah Perhubungan Kaum

Prejudis ditakrifkan sebagai pandangan negatif mengenai ahli atau kelompok etnik lain
yang tersemat dalam hati seseorang atau kelompok etnik tertentu. Dalam erti kata lain,
prejudis juga bermaksud rasa suka atau tidak suka yang tidak berasas terhadap
sesuatu kaum, agama dan sebagainya. Perasaan prejudis tidak diluahkan secara
terbuka. Ianya mengandungi sentiment marah, takut dan sebagainya. Prejudis terdapat
tiga jenis utama iaitu prejudis sosial, prejudis bangsa dan prejudis agama. Selain itu,
terdapat juga prejudis jantina, umur atau orientasi. Punca manusia prejudis terhadap
sekumpulan manusia adalah mempertahankan identiti sosial, sikap masyarakat itu
sendiri dan ‘scapegoating’.

Prejudis atau persepsi negatif adalah satu aspek utama yang telah menyumbang
kepada sentimen ketidak puasan hati di beberapa kalangan kumpulan etnik di negara
kita. Apabila berlakunya konflik yang disebabkan oleh prejudis, situasi menjadi semakin
buruk kerana kurangnya kefahaman dan pengetahuan mengenai satu sama lain.
Akibatnya, interaksi antara kaum terbatas dan timbulnya semangat perkauman yang
tebal. Prejudis juga menyebabkan sesuatu kumpulan etnik memandang rendah
terhadap kumpulan etnik lain yang terhasil berdasarkan kefahaman yang cetek dan
tidak tepat. Prejudis ini sukar diubah walaupun dibekalkan dengan fakta yang kukuh
untuk membuktikan bahawa pemahaman terhadap sesuatu kumpulan etnik itu adalah
salah.

Prejudis menjadi semakin tebal dan kuat apabila persekitaran itu dipenuhi sifat
semulajadi manusia iaitu ego mempertahankan diri. Funsi sifat semulajadi ini
merupakan sikap yang menyelamatkan manusia daripada perasaan kerisauan yang
melampau atau daripada sebarang gangguan ke atas penghargaan-kendiri manusia. Ini
berlaku apabila sekumpulan etnik atau individu itu merasakan maruah atau darjat
mereka tergugat. Dalam proses mempertahankan sekumpulan etnik atau individu itu,
mereka akan menolak segala kenyataan kukuh daripada mereka yang diprejudis.
Prejudis ini diturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain melalui proses
sosialisasi. Seseorang yang dibesarkan dalam persekitaran yang penuh prejudis akan
menghasilkan dan secara tidak langsung membina sentimen negatif yang amat susah
untuk dikikis. Prejudis memainkan peranan dalam membentuk sikap manusia. Kesan
sikap prejudis menjadi mudah dilihat apabila wujudnya persaingan untuk mendapatkan
sesuatu samada dalam aspek ekonomi, sosial, politik dan sebagainya.

Insiden Kampung Medan pada tahun 2001 merupakan contoh terbaik bagi
menggambarkan perasaan prejudis di antara dua kaum di negara kita. Insiden ini
merupakan kekecohan kaum yang berakhir dengan tragedi di mana ramai yang
kehilangan nyawa dan berjuta-juta ringgit dihabiskan untuk proses pemulihan.

Kemunculan akhbar-akhbar etnik di Malaysia terutamanya pada awal


perkembangan akhbar negara adalah kesan daripada prejudis. Sebelum merdeka,
penelitian terhadap akhbar berbahasa Melayu penuh dengan sentimen perkauman dan
anti kaum pendatang. Laporan media pada masa itu telah menggembar-gemburkan
ancaman yang akan mereka hadapi jika kehadiran kaum pendatang semakin
berleluasa. Pernyataan mereka adalah cukup jelas dan bukan sekadar berkias-kiasan.
Kebencian dan perasaan prejudis mereka terhadap kaum pendatang jelas tertunjuk
melalui Akhbar Majlis dalam perjuangan memartabatkan kaum Melayu. Laporan
rencana pengarang Ogos 1932 dan rencana keluaran 12 Disember 1932 (dipetik oleh
Ahmad Nazri dalam Mohd Sarim Haji Mustajab, 1988: 144) yang mereka siarkan jelas
menunjukkan sentimen anti-pendatang yang meruap-ruap. Umpamanya rencana
akhbar Majlis Ogos 1932:

Kita tidak akan berdosa apabila berkata bahawa orang Melayu itu tidak diharap boleh
bergaul dengan bangsa Malayan, tak boleh sekata dan seturut, tak boleh bekerjasama
bahkan bukan sekadar demikian sahaja, tetapi barangkali akan tiba masanya orang
Melayu itu tak boleh percaya kepada bangsa asing. Bukan sekadar tak boleh percaya
sahaja, akan tetapi ialah juga bahawa bangsa-bangsa asing ini kelak akan menjadi
musuh hidup orang Melayu bagi suatu masa yang panjang jika tidak diubati hari ini.

Rencana akhbar ini yang bertarikh 12 Disember 1932 bertajuk “Bangsa Asing
Tidak Patut Meminta Hak” juga jelas menggunakan kata-kata yang lebih kesat dan
keras dalam ulasannya. Umpamanya:

Rupanya telah lupa entah berapa banyakkah khazanah bumi Melayu yang telah
dimuntahdarahkan (dimakan) mereka (Cina) dan berapa ribukah sudah wang Tanah
Melayu yang telah dihantar mereka ke negerinya dan berapa banyakkah pula bangsat-
bangsat dari Tongsan itu sekarang ini telah menjadi meliana (millionaire) di dalam
negeri Melayu.

Akhbar Warta Malaya juga tidak terlepas daripada menyiarkan artikel dan
rencana yang menghentam keras bangsa lain. Mereka dengan beraninya
mempertahankan martabat masyarakat Melayu dengan menuduh dan menghentam
kaum pendatang. Mereka juga mengapi-apikan masyarakat Melayu tentang prejudis
terhadap kaum pendatang. Umpamanya rencana mereka yang bertarikh 7 Mac 1938
(dipetik oleh Ahmad Nazri dalam Mohd Sarim Haji Mustajab, 1988: 146):

Orang Cina di Malaya bukan makin lama makin beradab sopan, makin lama makin
bertambah-tambah cerewet atau biadap pula…sudahlah awak menumpang di tempat
orang awak hendak bermaharajalela pula macam tempat awak sendiri…
Selepas negara mencapai kemerdekaan, perasaan prejudis ini beralih kepada
ahli-ahli politik negara. Akhbar memain peranan sebagai tukang lapor kepada ahli-ahli
politik. Isu perkauman yang diwujudkan oleh perasaan prejudis terhadap sekumpulan
kaum itu telah menyemarakan perbalahan antara kaum. Kesan daripada perbalahan ini
adalah rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Ketidakadilan dalam laporan dan penilaian
terhadap kaum lain menjadi faktor kepada liputan akhbar etnik yang bertumpu pada
masalah kaum mereka sahaja. Keadaan ini telah menyebabkan pihak pemerintah
bertindak untuk menggantung penerbitan akhbar. Setiap maklumat dan laporan akan
melalui Pusat Perkhidmatan Maklumat Kerajaan dan ini telah mengurangkan sebaran
mesej bercirikan prejudis terhadap kaum lain.

Perasaan prejudis secara tidak langsung telah mewujudkan masalah perkauman


di negara Malaysia. Walaupun tidak diluahkan secara terbuka, dari perasaan prejudis
itu sahaja boleh menyebabkan sekumpulan kaum itu bertindak dengan lebih keras dan
akhirnya diluahkan secara terang-terangan. Dalam skala besar, prejudis boleh
menyebabkan keganasan dan peperangan.

Reference:

Mohd Asri bin Mohamad, 2002, Pengaruh Golongan Elit Pemerintah Dalam Pemaparan
BeritaBerita Etnik. Analisis Kandungan Terhadap Pelaporan Berita Akhbar Utusan
Malaysia dan Berita Harian Sejurus Sebelum dan Selepas Pilihanraya Umum Ke-10
Malaysia, Universiti Sains Malaysia.

Shamsul Amri Baharuddin, 2007, Modul Hubungan Etnik,Pusat Penerbitan Universiti


(UPENA), Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.
Shahrul Izwan Naser & Mohd Najib Mohd Esa, 2010, Memahami Hubungan Etnik di
Malaysia Mengikut Konteks Dimensi Psiko-Sosial, Pusat Pengajian Jarak Jauh,
Universiti Sains Malaysia.