Anda di halaman 1dari 4

Tajdid Iman: Kegemilangan Islam menerusi

wasyatiyah
Oleh Dr Juanda Jaya
juanda72@hotmail.com

KEJADIAN mengebom bunuh diri berlaku hampir


setiap masa di Iraq dan di beberapa negara Islam
lain kerana fahaman melampau dalam agama atau
politik. - Gambar hiasan

Berdakwah perlu secara sederhana, tidak terlalu berlebihan atau ambil mudah

PROVOKASI ternyata gagal membakar kemarahan rakyat Malaysia yang semakin


matang berfikir dan bertindak. Kes penemuan kepala babi di masjid dan pembakaran
beberapa gereja oleh individu yang mahu menangguk di air keruh dihadapi dengan cukup
berwaspada.

Tidak seperti di sesetengah negara Islam yang amat mudah dirangsang bara permusuhan
antara etnik dan agama, rakyat Malaysia cukup rasional. Mereka amat menjaga sensitiviti
saudara sebangsa serta menghormati kepercayaan agama lain. Inilah kekuatan umat Islam
yang sememangnya dituntut agama kita.

Setelah membina kekuatan besar di Madinah, Rasulullah pernah ditegah memasuki


Makkah untuk menunaikan umrah oleh orang kafir. Pada hal ketika itu Madinah muncul
menjadi negara Islam yang semakin kuat.

Bagaimanapun, Rasulullah akur dengan keputusan perjanjian Hudaibiyah yang dimeterai


bersama kafir Quraisy. Sehinggakan sahabat tidak berpuas hati dan mahu menyerang
Makkah yang sudah lemah itu.
Walaupun umat Islam ketika itu majoriti terbesar dan semakin kuat, Rasulullah tidak
sewenang-wenang menyerang. Jika mereka mengajak berdamai, baginda menyambut
ajakan mereka. Di sini kita melihat dakwah baginda yang cukup diplomatik.

Ini sesuai dengan tuntutan wahyu yang bermaksud: "Wahai orang beriman hendaklah
kamu menjadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah menjadi saksi
dengan adil dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong
kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa
dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu
kerjakan." � Surah al-Maidah: 8

Rasulullah juga melarang sahabat menyerang kafilah Quraisy yang lalu di kawasan
mereka di luar kota Makkah kerana tindakan itu tidak mencerminkan akhlak Islam yang
adil dan jujur berpegang pada perjanjian damai walaupun kepada kaum minoriti.

Menjadi majoriti tidaklah menghalalkan umat Islam berlaku zalim bahkan Umar pernah
berpesan kepada pemimpin Islam pada masa beliau bertakhta sebagai khalifah: "Aku
mengutus kamu semua bukan untuk menumpahkan darah manusia tetapi untuk
mengajarkan agama kepada mereka."

Pendekatan dakwah Islam bercirikan wasyatiyah. Ia terbukti mampu memberi pulangan


baik kepada umat Islam. Wasyatiyah diberi makna oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam
kitabnya Al-Khashaishul Ammah Li Al-Islam sebagai keseimbangan di antara dua jalan
yang saling bertentangan.

Islam adalah sistem ciptaan Allah yang tidak mungkin bersifat kekurangan atau
berlebihan. Ia adalah sistem yang seimbang dan adil bagi seluruh umat manusia seperti
firman Allah bermaksud: "Dan demikian (pula) kami telah menjadikan kamu (umat
Islam), umat yang adil dan pilihan supaya kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia
dan Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu." � Surah al-Baqarah: 143

Berbeza sistem diciptakan manusia sebagai jalan hidup dan panduan yang tidak mungkin
terlepas daripada kekurangan bahkan berlebihan. Hal ini dapat dibuktikan melalui
rentangan sejarah dan realiti masa kini.

Dr Yusuf Al-Qaradhawi menambahkan: "Jika pada kurun ke-19 komunis bertakhta, abad
20 pula kapitalis bermaharajalela, Insya-Allah abad 21 adalah milik Islam."

Tamadun dan sistem serta fahaman manusia silih berganti. Umat Islam diharapkan
mengambil peranan aktif di arena antarabangsa merebut peluang kecemerlangan dalam
segala bidang.

Hal ini tidak akan mampu digalas tanpa memakai pakaian Islam yang sederhana,
wasyatiyah, adil dan seimbang. Apa akan jadi jika umat Islam berkurangan dalam
mengamalkan ajaran agamanya?
Ramai yang buta Islam kerana tidak faham syariat Allah bahkan mempersendakan hukum
Allah. Ini kerana mereka terikut fahaman Barat yang percaya kepada akal saja bahkan
dalil sahih pun mereka tolak kerana tidak selari dengan akal fikiran moden mereka.

Lalu ditafsirkan al-Quran mengikut kemahuan akal mereka. Ditinggalkan ulama


muktabar bahkan dipersoalkan hadis Rasulullah kerana kononnya tidak sesuai dengan
tuntutan zaman. Muncul sarjana berani menyuarakan pandangan kontroversi seumpama
Dr Siti Musdah Mulia seorang pensyarah Pemikiran Politik Islam di School of Graduates
Studies, Universiti Islam Syarif Hidayatullah, Jakarta.

Beliau juga seorang Profesor Penyelidik di Institut Sains Indonesia yang mendapat
pengiktirafan Barat kerana menyokong gay dan lesbian, dengan kenyataannya
memeranjatkan: "Homoseksual adalah perkara semula jadi dan ia diciptakan Tuhan. Oleh
itu ia dibolehkan agama."

Ada juga golongan terlalu berlebihan bertindak mengikut hawa nafsu. Panduan wahyu
dan ajaran sunnah Rasulullah dianggap tidak cukup hebat bagi mereka. Sehingga ada
yang beribadah melebihi ibadah Rasulullah, memberatkan agama yang sememangnya
mudah.

Golongan yang berlebihan dalam mempercayai kuasa ghaib yang kononnya dimiliki
orang tertentu pula tenggelam dalam alam khurafat dan syirik. Mereka tersasar dalam
mengambil ilmu di luar jangkauan al-Quran dan hadis Rasulullah.

Ada pula menjalankan hukum melebihi ketentuan Allah sehingga menakutkan umat.
Memberi imej keras dan kaku mengenai Islam seakan-akan menjajakan perkara haram
saja. Mengenai isu toleransi antara umat beragama, mereka dengan mudah menjatuhkan
kafir ke atas orang Islam yang mahu berdiplomasi dengan orang kafir.

Pada hal, Rasulullah sentiasa menjaga hak kafir zimmi. Golongan yang keras dan
berlebihan ini akan sentiasa muncul menjejaskan imej Islam di mata dunia. Pengganas
antarabangsa yang melakukan kerja bom bunuh diri sentiasa merekrut pengikut yang
mudah dipengaruhi dengan fahaman kononnya menurut mereka daripada sumber Islam.

Pada hal, mereka menyelewengkan ajaran agama demi kepentingan dan maksud peribadi.
Alangkah malang Islam jika umatnya berada pada dua paksi yang berlawanan, satu
berlebihan dan satu lagi berkurangan dalam menjalankan ajaran agama.

Kembalikan kegemilangan Islam dengan sikap wasyatiyah. Berada pada pertengahan,


seimbang dan adil. Mengambil Islam daripada sumber asal bukan berat ke kanan atau ke
kiri tetapi di pertengahan. Allah ciptakan Islam sebagai sistem yang kukuh, kenapa kita
berasa terlebih pandai dari ilmu-Nya?

Penulis ialah Mufti Perlis kini menjadi tamu Pusat Kajian Islam di Universiti
Oxford, United Kingdom.

Anda mungkin juga menyukai