Anda di halaman 1dari 1

Setiap insan sudah pasti akan mendambakan keharmonian dalam kehidupan

masing-masing. Sayang seribu kali sayang, sama ada kita sedar atau tidak, kita acap kali
tersentak oleh pelbagai pemasalahan sosial yang beronal yang dicetuskan oleh diri
manusia sendiri. Kemewahan yang dikecapi tidak akan bermakna sekiranya diri kita
dicengkam dengan pelbagai masalah jenayah. Kejadian- kejadian yang membelakangkan
undang-undang sewajarnya diperangi secara habis-habisan. Akar umbi jenayah wajar
dihalusi agar penawar yang mujarab dapat diambil secepat mungkin untuk mencegah
penyakit sosial terus menular laksana kudis dan pekung di dada yang akan merebak ke
seluruh anggota badan.
Sesunguhnya, kerakusan manusia merupakan antara punca yang mencetuskan
masalah tersebut. Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa sikap manusia
yang malas dan memperhambakan diri pada kekayaan akan mendorong dirinya
melakukan perbuatan yang melampaui batas undang-undang. Sikap manusia ini yang
memperhambakan kebendaan mengakibatkan nilai-nilai kemanusiaan kian terhakis.
Apabila iblis dan syaitan bertakhta di hati, manusia yang sudah kehilangan pedoman
tergamak meminggirkan unsur-unsur kemanusiaan dan kedaulatan undang-undang.
Golongan sedemikian sanggup bergelumang dengan pelbagai kegiatan yang
membelakangkan undang-undang. Harta orang lain dirampas dan nyawa yang tidak
berdosa turut dicabut tanpa sebarang belas kasihan.
Seperti yang telah terpampang di dada akhbar, kebanjiran pendatang asing tanpa
izin turut memburukkan keadaan tersebut. Memang tdak dapat kita sangkalkan, bumi
Malaysia yang dilimpahi pelbagai kekayaan telah menawan hati warga asing untuk
memburu rezeki. Namun, impian mereka kerap kali berakhir dengan kehampaan gara-
gara ketiadaan dokumen yang sah. Dalam keadaan yang terdesak, mereka tergamak
melakukan perkara yang mengingkari undang-undang semata-mata ingin mengisi perut
masing-masing. Sebagai akibatnya, kes ragut, pecah rumah dan sebagainya melonjak
secara mendadak.
Sebagaimana yang kita maklumi, paparan media massa dengan pengaruh negatif
turut menjadi punca jenayah berleluasa. Unsur-unsur ganas dan lucah dalam filem yang
disiarkan mampu meracuni fikiran manusia lebih-lebih lagi dalam kalangan penonton
yang tidak memiliki keimanan yang ampuh terutamanya remaja yang darah baru
setampuk pinang. Pengaruh negatif sedemikian mengakibatkan kewarasan manusia
terkubur dan nafsu pula menguasai jiwa. Sebagai natijahnya, manusia yang bertopengkan
haiwan ini tergamak bertindak zalim terhadap sesiapa sahaja.
Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, gejala pengangguran
turut mencetuskan kejadiaan jenayah. Ketiadaan mata pencarian nescaya akan
mendatangkan tekanan kepada seseorang manusia. Hal tersebut bertambah runcing dalam
kalangan penganggur yang terpaksa menanggung seisi keluarganya. Dalam keadaan yang
tiada pilihan, akhirnya mereka memilih jalan serong untuk mendapatkan sesuap nasi.
Tegasnya, kejadian jenayah tidak boleh kita pandang enteng. Kemakmuran yang
kita kecapi langsung tidak bermakna tanpa keharmonian dan kerap kali dihantui perasaan
ketakutan semasa keluar ke tempat awam. Konklusinya, penggemblengan tenaga
daripada setiap pihak amat penting untuk melumpuhkan kegiatan jenayah yang
memusnahkan keamanan negara. Usahlah kita tunggu sehingga kudis sudah menjadi
tokak baru hendak bertindak. Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas,
semua pihak memainkan peranan tersendiri untuk membasmi penyakit sosial yang
semakin nazak supaya kita dapat mancapai jenayah sifar dalam masyarakat demi
membina Malaysia yang perkasa.

Anda mungkin juga menyukai