Anda di halaman 1dari 2

BUDAYA ILMU DAN GAGASAN 1MALAYSIA DALAM KONTEKS PEMBINAAN NEGARA MAJU (BAHAGIAN SATU)

Posted by Admin

Oleh : Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, CASIS UTM Kuala Lumpur KONSEP NEGARA MAJU 1. Konsep negara maju pada umumnya diterjemah daripada bahasa Inggeris, develop nation, yang secara otomatis mengandungi nilai dan pandangan alam, budaya dan tamadun Barat yang sangat berpengaruh. Tidak dapat disangkal, beberapa segi dan cirri nilai dan pandangan alam Barat tidak menyalahi malah ada yang bertindih dengan beberapa nilai dan segi pandangan alam Islam serta adat resam rumpun Melayu; begitu juga dengan segi dan ciri tertentu dari budaya dan tamadun lain seperti Cina dan India. Yang bertindih dan tidak bersalahan itu dapat kita terima dan serapkan dengan mudah tanpa menimbulkan pergolakan dalam fikiran dan tatanilai serta kehidupan masyarakat kita; yang bercanggahan harus diubah-suai mengikut pandangan alam, tata nilai dan keperluan kita jika boleh; jika tidak dapat diubah-suai, harus ditolak ketepi dengan tegas tetapi penuh hikmah. 2. Dari pandangan alam Islam yang juga telah sebati dengan jiwa Melayu, negara maju ialah negara berjaya mencapai tujuan-tujuan maqasid al-syariah menjaga kualiti kehidupan, agama, akal, hartabenda, dan keturunan. Dalam tafsiran negara maju yang kini sedang popular, penekanan hanya diberikan kepada kehidupan akli dan kebendaan; manakala agama dan keturunan tidak diberikan keutamaan sepatutnya malah agama dan keturunan dianggap sebagai penghalang kepada kemajuan, mengikut mereka. Untuk maju, dasar-dasar ajaran agama harus ditafsir mengikut kehendak dan perubahan masyarakat semasa, bukan dipegang teguh dan diamalkan dalam menghadapi cabaran zaman. KONSEP 1MALAYSIA

1. Memang frasa 1Malaysia ialah satu ciptaan baru Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dato Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, tetapi gagasan perpaduan dan kesatuan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa telah wujud dari awal sejarah Malaysia lagi. Asal usul sesuatu frasa, konsep, teknologi, dan institusi memang perlu diketahui sebagai satu sifat baik terhadap sejarah dan pelaksanaan hak-hak intelek masing-masing, tetapi tidak sepatutnya menghalang umat Islam dan rakyat Malaysia memanfaatkan setiap frasa, konsep, teknologi serta institusi yang datang dari luar setelah hak-hak sejarah dan intelek itu dilaksanakan. 2. Gagasan 1Malaysia dicipta tepat pada waktunya bila badai globalisasi menghumban masuk pelbagai idea dan pemikiran dari luar dengan kadar dan kelajuan hampir tidak terbatas. Kita tidak patut takut akan idea-idea dan pemikiran dari luar atau dari mana saja, tetapi kadar dan kecepatannya haruslah terkawal bagi mengurangi kekeliruan dan merumitkan cabaran-cabaran yang sedia ada. Gagasan ini juga sangat strategik kerana perkembangan-perkembangan politik dan ekonomi dalaman yang tidak terpisah daripada perkembangan luaran boleh menimbulkan suasana yang dikejar tak dapat yang dikendung keciciran, menang sorak kampung tergadai. Semua ini mencermin keruntuhan adab terhadap agama, bangsa dan negara. 3. Kita boleh misalkan negara Malaysia yang bersatu dan maju sebagai sepohon rimbun berdiri tegap, berdahan kuat, berbuah ranum, enak dan berkhasiat untuk semua. Dahannya kukuh dan daunnya lebat memberi teduh dan perlindungan kepada semua yang berada di bawah naungannya. Perlembagaan ibarat batangnya yang teguh tegap itu. Teras-teras perpaduan (Penerimaan, Perlembagaan dan Rukun Negara dan Keadilan Sosial, nilai-nilai murni (hormatmenghormati, rendah hati, kesederhanaan dan berbudi bahasa) dan aspirasi (berprestasi tinggi, ketepatan, ilmu pengetahuan, integriti, ketabahan, kesetiaan, kebijaksanaan, inovasi) dalam Gagasan 1Malaysia adalah sebahagian daripada dahan dan ranting yang menghulurkan buahbuah manis menyegarkan dan daun-daun lebat yang meneduhkan. Dalam misalan ini, Rukun Negara pula ibarat akar-akar yang bertunjang kepada kepercayaan kepada Tuhan yang Maha Esa, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Ketatasusilaan. 4. Tetapi pohon rimbun Malaysia yang bersatu dan maju akan terdedah kepada pelbagai penyakit jika akar-akarnya tidak diairi dan dibajai dengan bijak dan sederhana. Buah-buahnya akan berulat, dan banyak yang masam; daunnya akan rontok-layu. Akarnya memburuk dan pohon itu lama kelamaan akan tumbang menghembap bumi dan membunuh mencederakan semua yang dibawahnya: yang baik, dan jahat, kaya dan miskin, tanpa mengira agama dan bangsa. Air yang menghidupkan itu datang daripada agama, manakala baja datang daripada akal dan pengalaman sejarah kita.

Anda mungkin juga menyukai