Anda di halaman 1dari 2

ISTIQAMAH DALAM MUJAHADAH

Ramai yang tahu dan mahu melakukan kebaikan. Sayangnya, selalu gagal untuk
melaksanakannya. Ramai yang tidak mahu melakukan kejahatan tapi sering terdorong
melakukannya. Mengapa?

Kita seolah-olah hilang kuasa untuk mengawal diri kita sendiri. Semacam ada kuasa
yang lebih kuat dalam membentuk dan mengendalikan diri kita ini. Ya, kita sebenarnya
sentiasa diburu malah dibelenggu oleh dua musuh yang sentiasa mendorong ke arah
kejahatan. Musuh itu ialah syaitan dan hawa nafsu.

Bagaimana kita hendak mengalahkan dua musuh ini demi mengembalikan pimpinan diri
kepada diri sendiri? Samalah dengan berdepan dengan musuh yang zahir, tidak ada
jalan lain melainkan ‘berperang’ dengannya. Cuma berperang dengan musuh batin
berbeza dengan musuh zahir, justeru musuh zahir dapat dilihat dan tipu dayanya dapat
dinilai dengan akal dan mata. Tegasnya, musuh zahir agak lebih mudah didekati
daripada musuh batin.

Perang melawan musuh batin khususnya hawa nafsu dan syaitan ini dinamakan
mujahadah. Ia adalah peperangan yang jauh lebih hebat dari peperangan zahir.
Mengapa dikatakan demikian?

Ini kerana medan peperangan kedua-dua musuh ini berlaku dalam diri kita. Serangan,
tikaman dan ledakannya berlaku dalam diri kita. Walaupun tidak kedengaran
dentumannya tetapi bisanya lebih berkesan. Justeru, ramai manusia yang mampu
mengalahkan musuh zahir tetapi gagal mengalahkan hawa nafsunya sendiri.

Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang maksudnya, mereka yang gagah bukanlah
mereka yang dapat mengalahkan musuh zahirnya, tetapi adalah mereka yang dapat
mengawal kemarahannya.

Namun bukan mudah mengawal kemarahan justeru kemarahan adalah sifat buruk yang
didalangi syaitan. Syaitan adalah makhluk yang paling derhaka dan paling banyak
menipu daya manusia. Bahkan sangat sedikit manusia yang berjaya mengatasi tipu
dayanya. Dalam Al-Quran Allah menjamin orang yang tidak dapat ditipu daya oleh
syaitan ialah mereka yang ikhlas.

Begitu juga dengan hawa nafsu, bukan mudah hendak dilawan kehendak dan
hasutannya. Ini kerana nafsu itu adalah sebahagian daripada diri kita sendiri.
Bermujahadah melawan nafsu bererti berperang dengan diri kita sendiri. Apa yang di
sukai oleh hawa nafsu akan disukai oleh diri kita sendiri. Hanya dengan ilmu yang tepat
sahaja kita dapat menilai apakah kehendak itu baik atau jahat. Namun setakat tahu
buruk atau baiknya belum cukup untuk kita mampu melaksanakan atau meninggalkan.
Kita perlu bermujahadah dan terus bermujahadah. Ramai manusia yang tahu tapi tidak
mahu. Dan ramai juga manusia yang mahu tapi tidak mampu.

Syaitan tidak pernah tidur. Begitu juga nafsu, musuh yang tidak pernah tahu erti lesu.
Sedikit sahaja kita terleka, pasti kita di tipu dan dihasutnya. Bukankah manusia sebaik
Nabi Adam pun boleh ditipu oleh iblis hingga terkeluar dari syurga? Oleh kerana kedua-
dua musuh itu tidak pernah berehat dari menyerang kita, maka kita sewajarnya tidak
berehat untuk mempertahankan diri. Bermujahadah tidak boleh bermusim atau mengikut
‘mood’. Ia adalah satu perjuangan yang tidak henti-henti hinggal malaikat maut
mencabut nyawa kita. Malah, hingga ke saat nyawa kita hendak bercerai dari jasad pun,
syaitan terus berusaha menipu daya kita. Bahkan pada saat itu, tipu dayanya lebih
dahsyat kerana itulah peluang terakhir untuk menyesatkan manusia agar mati dalam
keadaan tidak beriman. Setiap dosa yang kita buat kerana termakan hasutan syaitan
adalah umpama titik hitam pada hati. Makin banyak kita berdosa, makin gelaplah hati.
Bayangkan kalau kita bermujahadah sekali sekala&ldots;. ia umpama mencuci pakaian
yang sangat kotor sekali sekala. Sudahlah jarang di cuci, kotoran yang terpalit makin
banyak hari demi hari. Begitulah hati, jika malas ‘dibasuh’ dengan mujahadah, maka
akan bertambah kotorlah ia hingga payah hendak dibersihkan lagi.

Oleh itu, satu prinsip asas dalam bermujahadah ialah istiqamah. Yakni konsisten, terus
menerus dan berkesinambungan dalam ‘peperangan’ dengan syaitan dan hawa nafsu.
Jika kita hanya bermujahadah tapi tidak istiqamah, maka mujahadah itu tidak akan
memberi kesan.

Istiqamah adalah sifat terpuji sama seperti mujahadah. Malah kedua-duanya


merupakan gandingan mantap dalam setiap diri yang ingin menuju Allah.

Istiqamah dari segi bahasa adalah tegak lurus. Yakni berdiri teguh di jalan yang lurus,
berpegang pada akidah yang tepat dan melaksanakan syariat dengan tekun serta
berakhlak baik secara konsisiten.

Firman Allah : " Oleh yang demikian, maka ajaklah mereka dan berdirilah dengan lurus
sebagaimana engkau di perintahkan, dan janganlah engkau turutkan kehendak nafsu
mereka." (As-Syura :15)

Untuk beristiqamah dalam mujahadah, kita perlukan keteguhan keyakinan (iman),


penjagaan lisan dan kawalan tindakan. Ingatlah, syaitan yang kita hadapi adalah
makhluk kreatif yang sangat komited dengan azamnya untuk menyesatkan manusia.
Hanya senjata mujahadah dan perisai istiqamah mampu berdepan dengan mereka.

Dipetik dari lelaman Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).


http://www.pkpim.com/risalah/ristar010.htm

Anda mungkin juga menyukai