Anda di halaman 1dari 2

PEMBANGKANG.

Amalan berbudi bahasa dan nilai-nilai murni bukanlah merupakan satu amalan baru bagi kita rakyat Malaysia. Malahan, ianya menjadi warisan keluarga di mana dari kecil lagi kita telah sentiasa diasuh dan diterapkan dengan sikap bersopan santun dan berbudi bahasa. Kita telah dididik supaya sentiasa hormat-menghormati, bertutur dengan sopan, bantu- membantu, merendah diri, jujur dan amanah dan berbagai lagi. Sudah tentunya, seseorang yang bersifat dan mengamalkan nilai-nilai ini akan dihormati dan dipandang mulia di kalangan keluarga dan masyarakat sekelilingnya.

Dalam adat resam dan budaya Melayu, terdapat ungkapan budi bahasa. Budi bahasa itu pula amat tinggi nilainya.

Orang yang berbudi bahasa akan dipandang mulia dan disanjung tinggi oleh anggota masyarakat. Orang yang tidak berbudi bahasa pula dianggap berperangai buruk bahkan dikatakan biadab. Selain tingkah laku dan sopan santun, budi bahasa turut merangkumi aspek kesantunan berbahasa.

Kesantunan berbahasa berkait rapat dengan cara seseorang menggunakan bahasa, dan penggunaannya mencerminkan peribadinya. Sekiranya bahasa yang digunakan itu bahasa kasar atau kesat, dan tidak ada ciri-ciri kesantunannya, bermakna peribadinya amat rendah.

Sedar atau tidak, tahap budi bahasa dan kesantunan berbahasa dalam kalangan masyarakat Malaysia berada dalam keadaan yang amat membimbangkan. Lantaran itulah pada 11 Januari 2005, Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni peringkat kebangsaan (fasa pertama) telah dilancarkan oleh Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi (Perdana Menteri Malaysia ketika itu) di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Seterusnya, pada tahun 2006, kempen tersebut telah memasuki fasa kedua, dan masih berlanjutan hingga kini.

Matlamat utama kempen tersebut adalah untuk membentuk satu masyarakat Malaysia yang mempunyai sifat mulia, beradab, bersopan santun, tersisip dengan semangat perpaduan dan tolong-menolong, bertoleransi, saling memahami, cinta akan kedamaian dan kebersihan, serta cinta akan negara. Setiap warga Malaysia bertanggungjawab mengisi prinsip kelima Ruku Negara, iaitu kesopanan dan kesusilaan yang hakikatnya menganjurkan kelakuan terpuji dan amalan murni, termasuklah dalam hal berbahasa.

Oleh itu, sekiranya kita ingin menunjukkan bahawa penutur bahasa Melayu sebagai orang yang berbudi bahasa dan bertamadun, perilaku santun berbahasa perlulah diutamakan sepanjang masa.

Berbudi bahasa dapat diertikan sebagai percakapan yang baik, elok dan bersopan dalam tutur kata, tinggi dan berhemah budi bicara, beradab, bersopan santun, tertib, bersikap lemah lembut, bertingkah laku baik dan mempunyai akhlak murni. Jadi, dilihat dari segi definisinya budi bahasa begitu luas skopnya meliputi segenap kehidupan manusia. Dalam Islam, amalan berbudi bahasa diletakkan pada kedudukan tinggi dan amat digalakkan. Malah, pembangunan sesebuah masyarakat atau negara tidak sempurna tanpa rakyatnya kurang budi bahasa. Imam Bukhari ada merekodkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah. Kata Aisyah, Rasulullah s.a.w bersabda, Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut. Dia suka dengan kelembutan. Allah akan memberikan balasan daripada kelembutan yang tidak diberikan ke atas sikap keras dan kasar serta selainnya.

Anda mungkin juga menyukai