Anda di halaman 1dari 8

Cerpen : Biarlah Aku Pergi..

Sakinah mengeluh panjang. Matanya yang bulat dan tajam mempamerkan sinar yang
pudar dan suram memandang ke luar tingkap. Menyaksikan titisan hujan lebat yang
membasahi bumi yang tandus. Setandus hati ini, bisiknya sendirian.

Dia pantas teringat, selalunya pada waktu-waktu begini, Ridwan akan merengek meminta
dibuatkan teh atau kopi panas dan kuih untuk minum petang sambil menyaksikan titis
hujan yang jatuh. Sejak mula berkenalan dulu, kegemaran mereka sama, menikmati
suasana hujan pagi atau petang bersama-sama di beranda banglo dua tingkat itu.

Ah...kenangan. Kadangkala kenangan bisa membunuh jiwa yang sendirian, getusnya


lagi. Tentunya Ridwan kini sedang berseronok-seronok dengan Maya, wanita terbaru
dalam hidup suaminya yang sangat dikasihi selama ini. Lelaki...jika namanya lelaki, usah
dicari sesuatu bernama kesetiaan, sia-sia sahaja, fikirnya selalu sejak akhir-akhir ini. Jika
dahulu, Sakinah melenting marah apabila ada kawan-kawan mengatakan dia terlalu
liberal dalam soalan hubungan lelaki dan perempuan. Pada ketika itu, semua kawan-
kawan mengecam kekejaman lelaki yang saban hari tersiar di media massa, dia bangun
membela dengan penuh semangat.

"Mereka juga manusia biasa. Kita yang patut memberikan bimbingan sekiranya mereka
melencong. Usah hanya menyalahkan," belanya selalu. Ketika itu, cinta yang mekar
hanya untuk Ridwan seorang. Suami yang kini menduakannya tanpa disangka-sangka.

Telah lebih setahun Sakinah mendengar desas-desus perlakuan suaminya di belakang


pengetahuannya selama ini. Namun sebagai mempertahankan kedudukannya sebagai
wanita berkarier dan berpendidikan tinggi, Sakinah memilih untuk bersikap profesional.
Dia tidak melatah, apatah lagi melenting. Bertanya pada Ridwan pun tidak. Sakinah
hanya menyaksikan saja perlakuan Ridwan yang sering saja hilang pada hujung minggu
atau pulang lewat saban hari.
Cinta Kampus

Selain itu, tiada sekuman yang berbeza. Perwatakannya masih seperti dulu. Masih
berlagak seperti seorang suami yang amat menyayanginya sebagaimana waktu awal-awal
perkahwinan mereka dahulu. Itulah yang membuatkan Sakinah belum pasti mahu
mempercayai bahawa dia kini telah dimadukan. Satu istilah yang pada masa dahulu
diambil mudah olehnya. Kini istilah itu membuatkan Sakinah menjadi seorang pemikir.

"Aku tidak kisah kalau suatu hari nanti, suami aku mahu menduakan aku. Dalam erti
kata lain, aku akan hidup bermadu. Senang, tak payah penat-penat melayan dia. Kalau dia
mahu sangat dilayan padahal aku sedang penat, pergi saja ke sebelah sana. Mudahnya..."
selalunya Sakinah akan memberikan pendapat dengan senang hati kepada kawan-kawan
yang menggeleng mendengarnya. Kini perkara itu berlaku pada dirinya sendiri.

Perkahwinan mereka didasari cinta suci dua hati ketika sama-sama belajar di universiti.
Cinta kampus yang amat manis sekali untuk dikenang. Masih berupaya membuahkan
senyuman di bibir Sakinah kini, biarpun di hatinya luka berdarah atas perbuatan Ridwan.

Manakan tidak, kenangan ketika sama-sama berjalan beriringan sehabis waktu kuliah,
saat-saat manis menikmati aiskrim sambil mengambil angin di tepi tasik yang jernih
airnya atau ketika saling salah faham atau merajuk membawa diri, masih jelas terbayang
di ruang mata. Masih terasa hangatnya kemesraan ketika itu. Sakinah mengeluh hampa
mengingatinya.

Deruman kereta terdengar memasuki garaj. Sakinah tidak berpaling. Malas rasanya
menyambut kepulangan suami. Namun sebaik terdengar langkah kaki Ridwan
menghampiri, Sakinah menoleh dan menghadiahkan seulas senyuman. Jelas sekali tawar
dan hambar.

Ridwan membalas seperti selalu. "Ini yang selalu membuatkan I sentiasa menyayangi
you, Kinah. Penat macam mana pun you tetap menyambut I dengan baik," sapa Ridwan
sambil cuba merangkul bahu Sakinah.
"I buatkan you minuman. You tentu penatkan," Sakinah mengelak dan berjalan pantas
menuju ke ruang dapur. Dia tahu, hari ini hari minggu dan lewat petang begini barulah
Ridwan muncul di rumahnya. Pastinya seharian Ridwan menghabiskan masa di rumah
Maya, isteri mudanya yang juga anak gadis bekas jiran mereka dahulu.

"Kenapa you selalu mengelak bila I nak bermesra dengan you? I rasa you makin jauh
daripada I. Kenapa Kinah? Takkanlah you masih tak dapat maafkan I. Bukankah you juga
dulu yang benarkan I..."

"Sudah lah Wan. Baru balik ke rumah dah cakap yang bukan-bukan. I cuma boring. You
dah balik ni, I nak la layan you. I tahu you penat drive. I masih seperti dulu. I rasa you
yang makin jauh dari I," keluh Sakinah sambil mengetap bibir menahan air mata.

Sesungguhnya satu-satu pesanan ibu sebelum pergi menemui Ilahi kira-kira tiga tahun
lepas. Berusahalah menjaga hati suami dan jangan melukakan hatinya walau sebesar
zarah sekalipun. Tambah pula syurga itu di bawah tapak kaki suami. Kelak tak dapat
mencium bau syurga. Untuk itu, Sakinah selalunya mengambil sikap berdiam diri walau
apapun tindakan Ridwan.

Ridwan tidak pernah berkasar dengannya. Malah, dia sangat romantis. Lima tahun hidup
bersama, tidak sekalipun Ridwan meninggikan suara kepadanya, apatah lagi
melayangkan tapak tangan ke mukanya yang gebu.

Layanannya lembut, ringan tulang menolong isteri di dapur sementelah Sakinah sendiri
bekerja. Saban minggu, mereka bersama-sama turun ke dapur menyediakan juadah.
Adakalanya menjamu rakan-rakan sekerja.

Kawan-kawan menobatkan mereka pasangan ideal. Sentiasa persefahaman. Ridwan yang


berbadan tegap sasa dan tinggi secocok dengan Sakinah yang tinggi lampai. Malah,
mereka serasi dan bagai pinang dibelah dua. Sama sepadan. Kata orang selangkah
seiringan.
Sakinah tergolong cantik biarpun tidak menjadi rebutan di kampus dahulu, namun cukup
menarik perhatiannya kerana personaliti yang tersendiri. Mereka sama-sama
berpendidikan tinggi. Kesediaan Ridwan memahami jiwanya menjadi sanjungan Sakinah.

Oleh sebab itulah sehingga kini, Sakinah tidak pasti apakah tindakan Ridwan
menduakannya itu akan menjadi isu besar di kalangan kawan-kawan rapatnya. Pasti
mereka tidak percaya Ridwan sanggup menduakan Sakinah. Kerana itulah, kisah mereka
masih tertutup rapat dan tidak berjaya dihidu oleh teman sepejabat. Sakinah tidak pasti
bila ia akan terus menjadi rahsianya. Takdir Tuhan tiada siapa pun menduga. Begitulah
Sakinah, tidak pernah menduga ada insan lain di hati suaminya.

Waktu makan malam berlangsung dalam suasana tenang. Sepi. Masing-masing


menikmati nasi di pinggan. Namun Ridwan pasti Sakinah tidak berselera. Suapannya
amat perlahan dan ketara nasi yang amat sedikit dijemput di hujung jejarinya.

"You makan sikit Kinah. Sampai bila you nak macam ni? Tengok badan you tu, semakin
kurus. Kalau you sakit, I susah tau," Ridwan menegur mesra.

"I tak apa-apa. Cuma gulai ni agak pedas. I tak dapat nak habiskan,".

"Kinah, you susah hati. I tahu. You tak relakan apa yang I lakukan, tapi you mesti faham,
I lakukan semuanya kerana..."
"Wan, sejak hari pertama I tahu ada orang lain dalam hidup you dengan alasan you nak
anak, I dah pun merestui you. Jadi, usah you nak ungkit-ungkit semua tu lagi. Jika niat
you nak menduga kesabaran I, I memang dah banyak bersabar. You sendiri tahukan,
target I nak cuba jadi isteri yang sebaik mungkin. Jadi usahlah you paksa dan cuba
membuat I marah pada you. I tak begitu...," Sakinah menelan kata-kata daripada bibirnya
sendiri dengan perit.

"Habis, kenapa sejak I jadikan Maya isteri, you berubah sikap Kinah?".

"Wan, wanita mana yang tidak terusik jiwa jika suami yang sangat dikasihnya beralih
pandangan. Tapi I tahu, you cuba untuk bertindak adil. Baguslah. I tak pernah berubah,
perasaan you saja yang berubah. You saja menyangka yang bukan-bukan," Sakinah
menamatkan perbualan, bangun membasuh tangan dan meninggalkan Ridwan sendirian.

Sepanjang malam, Ridwan cuba menghiburkan hati Sakinah yang melayan dan ketawa
dalam paksa mendengar celoteh Ridwan yang suatu ketika dulu amat menghiburkan
hatinya. Tetapi kini tidak lagi. Usahlah kau berpura-pura Ridwan, aku sudah lali dengan
bualan kau. Usahlah kau buang masa cuba nak hiburkan aku.

Jiwa aku dah lama mati untuk kau, Ridwan. Anggaplah kau tak pernah kenal aku, bisikan
hati Sakinah tak mampu diluahkan pada Ridwan. Sesungguhnya itulah ketaatan yang
dipraktikan sejak mula-mula bernikah dahulu. Ketaatan yang sedaya mungkin cuba
dipertahankan.

Di pejabatnya, Sakinah tidak mampu menyembunyikan gelodak hatinya daripada


pengetahuan kakitangan bawahannya. Namun, pertanyaan mereka dijawab sekadarnya.
Jangan sampai menimbulkan sebarang andaian lain.

"Memang akhir-akhir ni, I kurang sihat. I ikut satu program diet. You all tak perlu risau. I
okey," katanya selalu kepada sesiapa sahaja yang bertanya.
Cuma pada Iza, Sakinah menumpahkan air mata mengadu resah dan rusuh yang
bersarang di dalam lubuk jiwanya. Rakan baik itu separuh tidak percaya mendengar
rintihan hati Sakinah, wanita yang kelihatan tenang, setenang air di tasik tatkala
meluahkan isi hatinya.

"Apalah tuah malang nasib aku, Iza. Kesetiaan aku selama ini dibalas dengan cara
begini. Tergamak Ridwan buat aku begini, Iza," setenangnya dia cuba mengawal
perasaan. Sakinah teresak-esak juga di ribaan teman baik yang cukup mengerti dan
bersimpati.

"Kalau orang lain yang sudah berpuluh tahun kahwin tidak dikurniakan cahaya mata
masih boleh bertahan, aku baru lima tahun bersamanya. Rapuhnya alasan Ridwan, Iza.
Tidak adakah cara dan alasan lain untuk dia melukakan hati aku?" rintihan Sakinah
bersambut nasihat demi nasihat daripada teman itu.
"Ini dugaan, Kinah. Kau harus redha. Sekurang-kurangnya kau tak kehilangan Ridwan
buat selama- lamanya. Ada orang lain ditinggalkan terus begitu saja. Sekurang-kurangnya
masih ada cinta Ridwan untuk kau," Iza tidak jemu-jemu memberi perangsang.

Itulah azimat yang dipegangnya selama ini. Sehinggalah tawaran itu datang tanpa
diduga.

"Dah lama aku sedaya mungkin menjaga hati dan perasaan Ridwan, Iza. Rasanya kini
sudah tiba masa aku harus mengutamakan hati dan perasaan aku. Bukan tidak ada lagi
cinta untuknya. Bagi aku, Ridwan yang pertama dan yang terakhir. Tapi, dia sia-siakan
kepercayaan dan cinta aku yang agung. Aku harus pergi, Iza. Aku tidak sanggup lagi
berterusan begini. Menjadi penunggu rumah sedangkan dia berseronok dengan
perempuan lain yang aku kenali dan pernah menjadi kawan. Dah tiba masanya aku harus
memikirkan kehendak aku. Kalau Ridwan tidak berupaya menghargai aku, aku harus
menghargai diri aku sendiri. Biarlah aku pergi," Sakinah seperti tidak mahu berhenti
meluahkan isi hatinya sejurus sebelum penerbangan ke Scotland diumumkan.
Lanjutkan Pelajaran

Tawaran melanjutkan pelajaran oleh majikannya disambut penuh syukur. Sakinah


menjadikannya alasan untuk lari daripada cinta Ridwan yang semakin hambar dirasanya.
Bukannya tidak ada rasa kasih dan sayang lagi untuk Ridwan, bukannya sudah tidak ada
cinta, namun kelukaan yang memaksa Sakinah memilih sama ada terus menyaksikan
sandiwara Ridwan yang bererti terus mengorbankan perasaannya. Atau dia berhak untuk
pergi dari hidup Ridwan. Sakinah sudah berfikir untuk membuat pilihan ke dua. Biarlah.
Terasa jiwanya sudah lama mati untuk Ridwan.

"Apa harus aku katakan pada Ridwan, Kinah? Kau sudah fikirkan masak-masak tentang
perkara ini? Ini bukannya perkara main-main Kinah," Iza seakan-akan masih kurang
percaya dengan tindakan berani Sakinah ingin meninggalkan Ridwan begitu sahaja.

"Sejak Ridwan permainkan kesetiaan dan ketulusan aku mencintainya, aku belajar untuk
tidak main-main lagi dalam setiap keputusan yang aku buat. Termasuklah kali ini."

"Hei, come-onlah Iza. Kita dah kat airport ni. Penerbangan aku sekejap lagi. Sampaikan
saja pada Ridwan, aku pergi kerana aku ingin menjadi diri aku. Aku sudah muak berpura-
pura di hadapannya." Sakinah meninjau ke arah kaunter pemeriksaan bagasi. Sakinah
sedikit resah menanti pintu ruangan berlepas dibuka. Rasanya tidak sabar untuk
meninggalkan bumi makmur yang mencatatkan kenangan luka.

"Aku harap kau temui apa yang kau cari, Kinah," doa tulus Iza disambut dengan
renungan berkaca di kelopak mata Sakinah.

"Kadangkala sukar untuk menafsir mata di sebalik segala kejadian yang berlaku pada
kita, Iza. Tapi aku percaya, Ridwan akan bahagia dengan pilihannya kali ini," teman di
sisi dipeluk erat.

"Seandainya Ridwan mencari aku, katakan saja padanya, lepaskanlah aku. Buktikan
cintanya dengan membiarkan aku dengan jalan yang aku pilih,"
"Kau masih mencintainya?"

"Aku tidak pergi jika aku masih ada perasaan itu padanya,".

"Kau bohong, Kinah..."

"Adakalanya kita terpaksa membuat pilihan, Iza. Begitupun..."

Suara lunak pramugari bertugas memanggil semua penumpang agar segera masuk ke
ruangan berlepas memotong kata-kata Sakinah. Satu kucupan diberikan pada teman di
sisi. Sakinah melangkah tanpa menoleh.

Iza mencapai gagang telefon sebaik saja sampai di rumahnya. Suara lembut di hujung
talian menyambut salamnya.

"Ridwan tiada di rumah. Saya mak ciknya. Siapa tu? Nak pesan apa-apa?" lembut dan
sejuk telinga Iza mendengarnya.

"Ke mana Ridwan, makcik?" ringan saja mulut bertanya.

"Ridwan ke rumahnya yang satu lagi mahu mengambil Sakinah. Isterinya, Maya baru
saja meninggal dunia kerana melahirkan. Bayinya juga tidak dapat diselamatkan..."

Iza tidak mendengar lagi kata-kata seterusnya. Pandangannya kabur. Hatinya menjerit.
"Sakinah, bagaimana harus aku memberitahu Ridwan?"

Di luar, gelap malam kian memekat bersama gerimis yang turun perlahan dari langit
yang kelam.

Anda mungkin juga menyukai