Anda di halaman 1dari 8

Dari deretan watak yang menjayakan hikayat ini sudah tentu paling penting atau watak utamanya Tuanku

Malim Deman yang bergerak di sekitar segala cerita. Di sekeliling watak utama ini pula ada watak-watak penting Nenek Kebayan, Puteri Bongsu, Si Kembang Cina, Puteri Terus Mata, Raja Mambang Molek, Tuanku Gombang Malim Dewa dan Puteri Lindungan Bulan (bonda Tuanku Malim Deman), keramat wali Allah, serta anjing perburuan yang bernama Si Kumbang. Watak Nenek Kebayan amat penting sebagai pembantu menyampaikan hajat Tuanku Malim Deman. Tanpa Nenek Kebayan, Malim Deman tidak dapat menemui Puteri Bongsu, malah di peringkat kemudiannya tidak mengesan Puteri Bongsu yang telah merajuk dan kembali ke kayangan. Watak Puteri Bongsu juga merupakan watak heroin kepada Tuanku Malim Deman. Watak Tuan Puteri Bongsu amat penting sebagai fokus atau pusat pencarian serta kebahagiaan Tuanku Malim Deman. Begitu juga kemudiannya diwujudkan pula Tuanku Malim Dewana. Manakala watak Si Kembang Cina juga memainkan peranan yang penting sebagai penghulu sekalian inang, pengasuh Tuanku Malim Deman, serta penjaga yang mengambil tahu serba-serbi tentang anak raja Bandar Muar itu.

Dalam pencarian Puteri Bongsu, watak Puteri Terus Mata juga penting kerana memiliki buraq iaitu kenderaan yang dipinjamkan kepada Tuanku Malim Deman untuk terbang ke negeri kayangan bagi mendapatkan kembali Puteri Bongsu. Sesudah itu, Puteri Terus Mata telah berkahwin dengan Malim Deman sebagai isteri kedua. Untuk watak antagonis, Raja Mambang Molek memainkan peranan yang penting juga dalam misi Tuanku Malim Deman untuk mendapatkan isterinya kembali, Puteri Bongsu. Raja Mambang Molek ini juga terkenal dengan kehebatannya dan kehandalannya tetapi akhirnya tewas juga di tangan Malim Deman.

Kehadirannya watak Tuanku Gombang Malim Dewa amat penting yang menjadi titik tolak kepada perubahan Tuanku Malim Deman yang menjadi penyebab kepada kesedihan yang menimpa Tuanku Malim Deman sehingga baginda lalai menjalankan tugas sebagai raja, suami dan bakal ayah yang bertanggungjawab. Yang dimaksudkan ialah peristiwa kemangkatan Gombang Malim Dewa berturut-turut dengan permaisurinya sebulan setelah Tuanku Malim Deman ditabalkan sebagai raja memerintah negeri Muar.

Watak keramat wali Allah sebagai watak yang memberi ilham dan petunjuk terhadap perjalanan yang bakal dilalui oleh wira. Tanpa mimpi bertemu wali Allah ini, perjalanan tidak bermula dan seterusnya kejelitaan Puteri Bongsu tidak dapat digambarkan dengan jelas dan watak terakhir penting iaitu Si Kumbang (anjing perburuan) penting sebagai pengiring paling setia, dapat mengambil batil (yang di dalamnya terletak cincin Tuan Puteri bersama sehelai rambut) yang dihanyutkan arus di tengah sungai. Watak ini dimatikan sejurus sebelum baginda sampai ke teratak Nenek Kebayan.

Watak-watak sampingan sebagai pelengkap plot cerita atau sebagai pembantu Tuanku Malim Deman iaitu Bujang Selamat, Raja Kayangan, Si Raja Jin dan 6 orang Puteri Kayangan.

Hikayat Malim Deman mewakili gambaran-gambaran perwatakan yang lazim ditampilkan oleh cerita-cerita penglipur lara. Pertama, perwatakan sebuah cerita penglipur lara terbina dari interaksi golongan istana yang secara perlahan dan sedikit dibawa turun hingga kepada Nenek Kebayan dan Awang Selamat. Perwatakannya juga diangkat kepada makhlukmakhluk ghaib, jin dan dewa-dewa yang sukar dihayati oleh golongan kebiasaan.

Kedua, ada pembahagian perwatakan kepada dua kelompok iaitu di golongan wira dan golongan yang ditentangnya. Hikayat Malim Deman memperlihatkan kelompok-kelompok ini seperti yang diwakili oleh Tuanku Malim Deman sendiri bersama-sama watak-watak lain seperti Puteri Bongsu, Nenek Kebayan, Si Raja Jin, Puteri Terus Mata, Awang Selamat dan Si Kembang Cina; manakala di pihak yang lain pula Raja Mambang Molek, Medan Si Tangkal Ali.

Ketiga, khusus tentang gambaran yang diberikan kepada watak wiranya, terlalu ideal dan dapat mencapai segala hayat di hati hanya setelah melewati sedikit rintangan atau halangan. Kita lihat gambaran yang diberikan kepada Tuanku Malim Deman, baginda tidak pernah tewas dalam apa jua cabaran termasuk pergaduhan dengan Mambang Molek. Baginda juga diberikan gambaran paras rupa yang teramat kacak contohnya ketika baginda dimandikan, penglipur lara bercerita: Sekali digosoknya, Tiga empat panau tercelik, Hilanglah cahaya matahari, Timbullah cahaya Malim Deman.

Begitu juga dengan kecantikan tubuh badannya; kemudian disebutkan juga tingkah lakunya yang tiada cacat cela, amat patuh terhadap kedua ayah bondanya. Tuanku Malim Deman juga tidak pernah merasa hampa dalam hidupnya. Baginda hendakkan isteri cantik boleh didapatkan, hendakkan kereta buraq, ada yang sudi meminjamkan, hendakkan petua memikat dan pertolongan, ada Nenek Kebayan, kerja-kerja berat, ada Awang Selamat dan Si Kembang Cina, rakyat pula dikerah pada bila-bila masa jua tiada bantahan. Pendek kata, apa saja yang diinginkan oleh baginda, yang masih dalam jangkauan akal, pasti didapatinya dan tiadalah menjadi suatu masalah kepada seorang wira cerita penglipur lara.

Latar Hikayat Malim Deman

Latar yang diperlihatkan oleh hikayat ini mengandungi tiga pembahagian yang biasa dilakukan iaitu latar masa, latar tempat dan latar masyarakat (latar budaya). Sebagai sebuah cerita tradisi yang asalnya adalah lisan, tanpa tahu pencipta asalnya, hanya sebagai warisan dari satu generasi kepada generasi kemudiannya, latar masa tidak pernah diberi perhatian serius

Kita hanya dapat membuat beberapa andaian dari keseluruhan ceritanya saja. Contohnya kita amat faham bahawa cerita ini telah diislamkan setelah kemasukan Islam ke rantau sebelah sini. Kita dapati nama-nama jin Islam, perkataan-perkataan Arab di awal dan di akhir cerita, begitu juga dengan gelaran raja yang telah diarabkan. Bukti-bukti itu cukup kuat memperkatakan bahawa cerita ini membawa latar masa selepas kedatangan Islam. Jikalau bukti pengislaman telah dilakukan sebelum itu lagi, kemungkinan pengislaman yang dilakukan ke atasnya ternyata tidak dapat ditolak.

Pencerita juga hanya menyebutkan (pada permulaan ceritanya) Inilah warita orang dahulukala, entahkan beberapa zaman lamanya cerita dibawa air yang hilir, angin yang lalu dan burung yang terbang. Tidak disebutkan sesuatu yang khusus mengenai masa. Latar tempat pula sering beralih-alih, mengikuti kembara wiranya, Tuanku Malim Deman. Hikayat ini menampilkan latar tempat seperti di istana, di hulu sebuah negeri, di hutan, di sungai, dan di istana puteri jin, dan juga pembaca dibawa terbang yang terlalu sukar untuk kita bayangkan bagaimana keadaannya.

Namun begitu, hal di atas dikaitkan pula dengan latar budaya dan masyarakatnya. Hal ini amat banyak diberikan perhatian bahawa masyarakat yang di kayangan itu tidak memiliki kebudayaan atau cara hidup yang berbeza dengan masyarakat manusia di bumi. Pencerita memberikan gambaran itu bahawa masyarakat dewa-dewa dan mambang itu juga berkelamin, bertunang, berkelahi, beradat-istiadat, berpegang kepada janji dan kata-kata, berhimpun seperti manusia, malah menikmati hiburan seperti alat muzik (pertunjukan Malim Permainan) dan melakukan kerja berdosa seperti menyabung ayam.

Di kayangan pula, kayangan juga ada watak pembantu berhati mulia seperti Nenek Kebayan dan mereka menggunakan system beraja pada pemerintahan negeri. Pendudukpenduduk kayangan juga digambarkan taat setia (tanpa soalan) terhadap raja mereka, sama seperti yang diperlihatkan oleh masyarakat dunia yang ada di Bandar Muar, atau juga masyarakat jin yang ada di sekitar istana Puteri Terus Mata di hulu Sungai Muar. Misalnya

mereka dikerah menerbangkan istana atau mahligai tuan puteri itu ke Bandar Muar, sebagai arahan Si Raja Jin setelah puteri itu diijabkabulkan dengan Tuanku Malim Deman.

Masyarakat manusia yang digambarkan dalam hikayat ini adalah terlalu tradisional dengan segala bentuk hierarki dan protokolnya daripada raja, menteri, temenggung, laksamana, orang kaya, hinggalah kepada Lasykar dan segala hina dina, semuanya memberikan taat setia mereka kepada raja yang memerintah. Telah digambarkan, misalnya bagi mereka yang datang apabila dipanggil: Yang capik datang bertongkat, Yang buta datang berpimpin, Yang pekak leka bertanya, Yang kecil terambin lintang. Tidak ada yang ingin ketinggalan dari mengadap rajanya. Begitu juga kalau sampai, semuanya menyembah. Terangkat kadam jari sepuluh, Kuncup bagai sulur bakung, Jari seperti susunan sirih, Berleher lembut berlidah fasih, Menundukkan batu otak kepala.

Akhir sekali, dapat juga disimpulkan bahawa masyarakat manusia di sekitar istana Malim Deman itu amat gemar kepada pesta yang sering diadakan berbulan-bulan lamanya:

Sabung tak berhenti siang malam, Air didih menganak sungai, Kerak nasi membusut jantan, Terung berbuah di gelegar.

Betapa tidak ada sebarang masalah sosial, budaya atau ekonomi yang mereka hadapi. Mereka adalah masyarakat impian yang tidak ada berpesta dan menghiburkan hati sesame

sendiri. Adakah begitu realiti masyarakat Melayu dahulukala, tidak pula dapat dibuktikan. Yang di atas itu hanyalah gambaran masyarakat istana dan persekitarannya saja yang ditampilkan.

Gaya Bahasa Hikayat Malim Deman

Terdapat penggunaan bahasa prosa disulami puisi. Ungkapan-ungkapan yang tertentu dan berulang-ulang. Ungkapan ini dikenali sebagai bahasa berirama. Hal ini dapat diperhatikan ketika tukang cerita. Contohnya Santapnya santap beradat, Dua suap ketiga sudah, Keempat basuh tangan, Kelima kumur-kumur, Keenam makan sirih, Kelak jatuh kerongkongan, Seri naik ke muka. Dalam hikayat Malim Deman terdapat penggunaan permulaan cerita yang bermula dengan kata kononnya, pembuka dan penutup cerita yang klise (yang terlalu biasa), pantun, gurindam dan bahasa berirama, dan perumpamaan.

Contoh gurindam: Awak tua bandar terbuka Emas habis dagangan mudah, Kerbau kambing sesak di pandang, Itik angsa tenang kuala. Merpati lindungan langit, Rengkiang tujuh sejanjar, Teman dengan sekerat kota

Contoh pantun: Tetak seranting buatkan kolek,

Buat pagar bunga di taman, Tuanku putera yang kecil molek, Putera Tuanku Malim Deman.

Contoh perumpamaan: Bagai pucuk dilancarkan, Bagai kumbang putus tali, Pening kepala bagai dibaji, Sakit hati bagai digunting

Menurut Sahlan Mohd. Saman (1984: 65), secara jelas, Hikayat Malim Deman telah mengemukakan enam bentuk puisi Melayu tradisional.Bentuk-bentuk yang dimaksudkan itu ialah gurindam, seloka, pantun, syair, nyanyian dan peribahasa.

Gurindam merupakan bentuk yang paling lumrah, digunakan oleh si penglipur lara pada peristiwa atau tentang sesuatu yang khusus. Ada gurindam yang panjang melebihi sepuluh baris, dan tidak kurang pula yang pendek mengandungi empat atau lima baris saja. Contoh Gurindam tempat peraduan putera raja, khusus tentang sesuatu situasi atau peralatan. Anjung perak gemala gentih, Atap kaca dinding tila, Kemuncak intan dengan pudi.

Gurindam juga berperanan menggambarkan sesuatu peristiwa seperti raja bersiram, perkelahian wira dengan antagonisnya, rakyat hendak mengadap raja, hari hendak siang dan sebagainya.

Seloka pula merupakan bentuk puisi tradisional yang paling sedikit dimanfaatkan. Contohnya: Makan tak kenyang, Tidur tak lena,

Mandi tak basah, Berminyak tak licin.

Bentuk pantun pula adalah yang kedua digemari selepas gurindam. Paling lumrah terdapat pantun empat kerat; namun pencerita berwibawa juga membawakan pantun lapan kerat seperti yang terlihat pada halaman pertama

Bukan teluk parang-parang, Anak ketam di dalam padi, Telutuh dilepuh-lepuh, Enayang di balik rumah, Bukannya makhluk sebarang-barang, Cucu Adam sepian nabi, Turun di langit yang ketujuh, Jadi khalifah pada Allah.

Di samping itu, syair juga dimanfaatkan pada tempat-tempat penceritaan yang tertentu. Misalnya, setelah kecurian baju layangnya, dengan penuh sedih Puteri Bongsu bersyair: Sudah masih badan nan malang, Tiadalah dapat beta nan pulang, Kepak dan sayap disambar elang, Apakah kelak gerangan jemalang.

Suatu bentuk yang lain ialah nyanyian yang agak banyak diperturunkan pada sesuatu istiadat, seperti putera naik buian dan menidurkan Putera Malim Dewana; hanya yang tidak diberikan ialah cara menyanyikannya. Terdapat dua nama yang mudah diingat ialah Tetak Serating dan Dabui.

Akhir sekali, bentuk yang jarang-jarang disedari kewujudannya sebagai puisi Melayu tradisional ialah peribahasa. Peribahasa penuh keindahan, penuh imej, dan kadangkala penuh simbolik. Penafsirannya menuntut kecerdasan, kepintaran, pengetahuan serta pengalaman. Hikayat Malim Deman sesekali memanfaatkan peribahasa untuk menyatakan sesuatu, misalnya Setumbuk bagai gelang,

Sejodoh bagai cincin, Sakit hati bagai digunting, Sakit kepala bagai dibaji.

Kelajuan atau kecepatan gerak sesuatu diumpamakan: Bagai pucuk dilancarkan, Bagai kumbang putus tali.

Anda mungkin juga menyukai