Anda di halaman 1dari 3

Cara Memerangi Ajaran Sesat

Setelah dikenalpasti jenis-jenis ajaran sesat dan juga beberapa faktor yang mendorong
pengembangannya, perlu dibincangkan kaedah yang boleh diambil untuk mengatasi terus
berkembangnya ajaran-ajaran sesat.

Meningkatkan kefahaman terhadap ajaran Islam

Tidak kira sama ada ajaran sesat berbentuk amalan mahupun pemikiran, kefahaman
seseorang Muslim terhadap pegangan agamanya perlu diperteguh. Soal aqidah khususnya
perlu dipelajari di samping disiplin ilmu yang lain juga perlu diperkemas. Di sinilah
masjid dan surau khususnya yang lebih dekat dengan masyarakat memainkan peranannya
secara berkesan. Kuliah-kuliah pengajian dengan topik-topik pengajian yang menarik di
samping tenaga pengajar yang berupaya menarik minat mengaji di kalangan masyarakat
perlu diperhebatkan. Masjid dan surau bukan sekadar tempat untuk solat berjemaah,
membaca Yaasin dan tahlil mahupun acara-acara ritual semata-mata, tetapi masjid dan
surau adalah pusat perkembangan ilmu dan menangkis pemikiran-pemikiran yang
menyesatkan ummat. Dengan imarahnya masjid dan surau dengan kelas pengajian, pasti
ajaran-ajaran sesat yang pelik-pelik tidak mendapat tempat di hati masyarakat yang
dahagakan ilmu untuk mendalami ajaran Islam.

Membaiki sistem penguatkuasaan

Beberapa komen telah dibuat terhadap sistem penguatkuasaan pihak berkuasa agama
dalam membanteras ajaran sesat. Antaranya menyatakan hukuman yang terlalu ringan
berbanding zaman Khulafa Rasyidin yang sudah mengenakan hukuman bunuh terhadap
ajaran sesat ataupun yang mengaku sebagai nabi. Hukuman dan denda seperti dalam
Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 mahupun penalti 356 yang digelar dari Akta
559 boleh dikatakan gagal membendung secara tuntas gejala ajaran sesat ini. Sistem
pemulihan pihak-pihak yang pernah terlibat dengan mana-mana ajaran sesat juga perlu
dikaji dan diperbaiki mengikut peredaran masa kerana dinamika ajaran sesat juga sentiasa
berubah mengikut zaman yang mana penyelidikan harus diberikan kepada ajaran sesat
dalam bentuk pemikiran kerana ia lebih kompleks dan mencabar untuk diatasi.

Sistem tauliah yang lebih relevan

Pengimbangan antara pentauliahan dengan membanteras penyebaran ajaran sesat perlu


diteliti. Bukan menjadi rahsia lagi bahawa sesi temuduga untuk mendapatkan tauliah
mengajar di sesebuah negeri bukan untuk menilai kredibiliti dan tahap keilmuan
seseorang pendakwah. Tetapi yang menjadi pokok persoalan adalah untuk mengetahui
kecenderungan pendakwah ini terhadap aliran pendekatan Wahabi ataupun sebaliknya.
Manakah lebih utama, tahap keilmuan seseorang itu sama ada sudah memperolehi
kelulusan di peringkat sarjana muda, sarjana mahupun kedoktoran ataupun memperolehi

tauliah untuk menyampaikan Islam? Jika pentauliahan itu lebih penting, nescaya sekian
ramai lulusan bidang agama di Negara ini akan tersekat daripada menyampaikan Islam
dan sekaligus membuka ruang kepada pengembangan ajaran sesat akibat keperluan
aktiviti dakwah yang tidak dapat diisi oleh pendakwah-pendakwah yang ditauliahkan.
Pun begitu untuk mengetepikan terus pentauliahan ini juga tidak boleh dilaksanakan bagi
mengelakkan pengembangan ajaran-ajaran sesat oleh individu yang tidak mempunyai
autoriti dan kefaqihan dalam bidang agama menyebarkan ajaran yang dirasakannya benar.
Justeru satu sistem pentauliahan yang lebih relevan perlu dicadangkan. Sistem yang dapat
mengimbangi antara keperluan mengisi aktiviti dakwah yang sah dan benar serta bagi
mengelakkan berkembangnya ajaran sesat akibat tiadanya satu sistem pelesenan kepada
pihak yang ingin menyampaikan Islam. Dan juga sistem yang jauh daripada prejudis
terhadap aliran pemikiran yang berbeza dan juga keterbukaan dalam menerima perbezaan
pandangan dan pendapat dalam Islam. Mungkin saranan dan tuntutan daripada Kumpulan
Intelektual Muslim Muda khusus berkenaan sistem tauliah ini wajar diambil sebagai
usaha untuk mengembangkan Islam di samping membuktikan keterbukaan Islam.

Anda mungkin juga menyukai