Anda di halaman 1dari 8

ISL 4: Jelaskan nilai-nilai universal antara Tamadun.

Nilai Asia dan Nilai Universal


Nilai dalam Tamadun Asia dianggap bersifat kolektif manakala nilai dalam
Tamadun Barat dikatakan bersifat individualistik. Kajian yang dilakukan
menunjukkan bahawa nilai kolektif yang menjadi sifat Tamadun Asia ini dipegang
kuat oleh masyarakat Timur. Antaranya seperti kesopanan, kasih sayang,
sederhana, menghormati tradisi, ketaatan, kesetiaan, menghormati keluarga dan
orang yang lebih tua, berpegang kepada agama dan pemaaf. (Kapoor, Blue,
Konsky & Drager: 2000)
Nilai universal pula adalah sesuatu yang abstrak. Berdasarkan laporan
UNESCO, nilai universal yang patut dicambahkan oleh setiap negara ialah ;
Nilai kedamaian
Nilai kebebasan dan hak asasi manusia
Nilai demokrasi
Nilai pembangunan
Nilai-nilai universal seperti kebebasan dan hak asasi kemanusiaan yang
selalu diwar-warkan oleh pemimpin Barat tidak kurang juga dicurigai oleh
pemimpin Asia kerana dianggap cuba melegitimasikan faham liberalisme politik
Barat tanpa mengambil kira kelainan budaya yang terdapat di Asia. Sebagai
tindak balas terhadap tuntutan Barat yang mahukan dunia bukan Barat
menghayati nilai-nilai universal berkenaan, maka lahirlah konsep Nilai Asia.
Konsep Nilai Asia menjadi popular sekitar tahun 1970 an bila ia mula
dijadikan retorik oleh pemimpin Asia seperti Lee Kuan Yew dan diikuti oleh
pemimpin Asia lain. Menurut Kishore Mahbubani (1998), Nilai Asia merujuk
kepada sebuah set pengajaran moral dan sosial yang membawa kepada
pembangunan ekonomi yang pesat di negara-negara Asia sejak beberapa dekad
yang lepas. Nilai-nilai ini termasuklah attachment to the family as an institution,
deference to societal interest, thrift, conservatism in social mores, respect for
authority.
Konsep Nilai Asia ini telah menerima kritikan termasuk oleh sarjana Asia.
Antara kritikan yang kerap dikemukakan ialah Nilai Asia sering digunakan
sebagai senjata budaya yang menolak liberalisme Barat, malah membawa
kepada menghalalkan ideologi politik sektarian dan corak pemerintahan kuku
besi. Ini menjadikan Nilai Asia nampak jelik selepas dilabelkan sebagai satu
senjata politik pemimpin Asia yang autoritarian. Namun, kritikan ini tidak dapat
menafikan wujudnya satu perbezaan nilai antara negara-negara di Asia dengan
negara bukan Asia khususnya Barat.
Pada mulanya perbincangan tentang Nilai Asia lebih kerap di sinonim
dengan ajaran Konfusius. Pengaruh tradisi ini telah membangkitkan kekuatan

ekonomi dan politik Asia kerana konsep Demokrasi Konfusian mencadangkan


penerimaan hierarki dalam masyarakat, keperluan dalam keharmonian sosial,
rasa hormat pada keluarga dan kerajaan yang bertanggungjawab. Dalam
konteks politik menunjukkan keakuran kepada autoriti pemerintah untuk
mendapat kebaikan bersama sehingga menjadikan rakyat akur dan menerima
kedudukan dan hierarki pemerintah.
Nilai yang ditekankan dalam tanggapan seperti di atas sebenarnya hanya
terjurus kepada nilai ekonomi yang ada dalam ajaran Konfusius. Falsafah
Konfusius dijadikan sandaran dan disesuaikan mengikut kehendak pemuka awal
konsep Nilai Asia. Hasilnya, nilai etika dan sosial yang lebih menyeluruh telah
diabaikan. Penonjolan nilai-nilai dari tradisi agama Asia yang lain khususnya
Islam dan Hindu mula dibicarakan secara lebih meluas kerana setiap agama
pada asasnya mempunyai kekuatan masing-masing dalam memperkatakan soal
moral, etika, kekeluargaan, politik dan lain-lain.
Nilai-Nilai Universal Asia
Tamadun-tamadun Timur mempunyai keserasian antara satu dengan lain
sehingga memudahkan interaksi. Ini disebabkan adanya nilai-nilai sepunya
antara mereka. Prof. Syed Naquib al-Attas (1972) mengungkapkannya sebagai
nilai kesejajaran. Sejak awal tahun 1970 an lagi beliau telah menyeru ke arah
sikap terbuka dalam menilai interaksi antara tamadun di Asia khususnya di
Malaysia dan menekankan hakikat kepentingan pandangan hidup atau world
view yang berteraskan nilai agama dan akhlak dalam sesebuah tamadun.
Perspektif tentang adanya nilai-nilai universal yang sejajar dalam tamadun di
Asia yang telah disuarakan oleh beliau (1972:70) dalam bukunya Islam dalam
Sejarah dan Kebudayaan Melayu berbunyi;
Keadaan bertumpunya agama-agama agung di dunia ini di Malaysia janganlah hendaknya
kita anggap sebagai satu kelemahan besar, satu bibit perceraian masyarakat kita; kita harus
mengangapnya sebagai satu keistimewaan dan kebesaran kita di dunia; kita harus tahu bahawa
dalam pandangan hidup agama-agama ini semua lebih banyak terdapat titik pertemuan daripada
yang terdapat dalam ideologi-ideologi politik, bahawa dalam keluhuran falsafah-falsafah agamaagama Islam, Kristian, Hindu, Buddha, dan ajaran Lao Tzu dan Kung Fu Tze ada terdapat
kesejajaran fahaman dalam bidang-bidang penting yang tentu akan dapat membantu ke arah
memupuk faham keperibadian Malaysia

Namun ciri dan identiti khusus setiap agama khususnya aspek teologi
akan tetap berbeza. Seperti yang ditekankan oleh Prof. Naquib dalam tulisan
beliau, persamaan nilai yang terdapat dalam tamadun-tamadun Asia hanyalah
satu kesejajaran dan bukanlah satu keselarian ataupun persamaan yang hakiki.
Kesejajaran yang cuba diketengahkan oleh Prof. Naquib ini tidaklah sehingga
membawa kepada pluralisme dalam nilai hidup dan agama sehingga semua
agama dianggap sama. Perbezaan tetap ada. Ini ditegaskan lagi oleh Osman
Bakar (1997);

with reference to Asia, it means that Asian cultures do share a set of core human value and
at the same time exhibit differences in their value system

Bagaimanapun pemikiran sempit yang menonjolkan particularism


tamadun masing-masing amat tidak sesuai dalam perkembangan dunia hari ini;
apatah lagi dalam usaha serius untuk mengadakan interaksi antara tamadun. Hal
ini akan menggagalkan dialog ketamadunan yang sedang diusahakan oleh
pelbagai pihak.
Nilai-Nilai Universal Tamadun Asia
Nilai-nilai universal dalam Tamadun Asia tertanam dalam ajaran-ajaran
keagamaan yang telah berkembang subur di seluruh Asia; sama ada Islam,
agama dan kepercayaan dari Tanah Besar China mahupun dari benua India.
Nilai-nilai universal dari tradisi keagamaan ini boleh diringkaskan berdasarkan
prinsip-prinsip seperti berikut;

Berlandaskan idea keagamaan


Menekankan aspek kemanusiaan dan institusi kekeluargaan
Menekankan tatacara dan etika dalam kehidupan
Mementingkan kebijaksanaan dalam kepemimpinan
Menghargai alam sekitar
Mementingkan ilmu dan orang berilmu

Berlandaskan idea keagamaan


Peranan agama dalam semua tamadun Asia sangat penting kerana ia
membantu memantapkan struktur sosial dan intelektual sesuatu tamadun.
Semua tamadun Asia sama ada berasaskan agama samawi atau budaya, tetap
menjunjung tinggi doktrin keagamaan, malah dari agama inilah lahirnya
kebudayaan dan sains. Idea ketuhanan yang transcendence (kudus) sama ada
dengan panggilan Ti, Brahman atau Sang Hyang Tunggal menyebabkan institusi
dan ajaran keagamaan agama lain juga di hormati.
Sebagai contohnya, Tamadun Islam bertunjang dan berpaksikan kepada
konsep tauhid. Ini bermaksud tauhid merupakan intipati dalam kehidupan
bertamadun masyarakat Islam. Justeru itu, asas dalam Tamadun Islam adalah
akidah, syariah dan akhlak. Ketiga-tiga aspek ini merupakan komponen dalam
agama Islam. Sumber dalam tamadun Islam adalah sumber naqli iaitu sumber
wahyu. Sumber ini menjadi sumber asas, manakala sumber aqli iaitu yang
berdasarkan akal merupakan sumber sekunder yang mana ketetapannya
mestilah tidak bercanggah dengan sumber naqli. Aspek kerohanian dalam
Tamadun Islam amat dipentingkan. Kerohanian (spiritual) dan kebendaan
(material) mestilah seimbang dan bersepadu. Kesepaduan ini akan membentuk
matlamat Tamadun Islam yang paling utama iaitu mencapai keredaan Allah,
manakala material berfungsi sebagai wasilah atau alat penghubung dalam
mencapai matlamat utama tersebut.

Contoh lain pula dapat dilihat pada Tamadun Cina. Masyarakat Cina tetap
percaya kepada konsep ketuhanan walaupun terdapat pelbagai agama yang
menjadi anutan mereka. Antaranya, penyembahan roh nenek moyang, fahaman
Konfusius, Daoisme atau Taoisme dan Buddhisme. Kesemua agama ini
menekankan konsep ketuhanan dan kerohanian yang menjanjikan balasan baik
bagi perbuatan baik dan sebaliknya, kecuali Buddhisme.
Dalam kosmologi Cina terdapat konsep tian yang bermaksud langit, iaitu
merujuk kepada dewa yang terpenting. Dewa dalam masyarakat Cina
merupakan pembuktian kewujudan Tuhan. Dalam Dinasti Chou, tian merujuk
kepada makhluk unggul di langit (supreme being) yang mengatur perjalanan
hidup dan nasib seseorang, menentukan keamanan dan kesejahteraan serta
memberi balasan baik dan buruk. Ia juga mungkin menyebabkan kemudaratan
sebagai hukuman terhadap insan yang berkelakuan salah. Kepercayaan
terhadap konsep ini, mendorong masyarakat mereka mengawal tingkah laku
bagi mengelakkan dari mendapat balasan dari tian.
Tamadun India juga memperlihatkan hal yang sama mengenai kedudukan
agama dan kerohanian yang tinggi dalam masyarakat. Kepercayaan Hindu
menekankan konsep ketuhanan dan kerohanian. Antaranya percaya kepada
konsep trimurti iaitu percaya kepada ketuhanan Brahma (Tuhan Pencipta),
Vishnu (Tuhan Pemelihara) dan Siva (Tuhan Pemusnah).
Institusi Kekeluargaan dan Aspek Kemanusiaan
Tamadun Asia begitu sarat dengan elemen rite de passage iaitu adat
istiadat dari saat kelahiran hinggalah kematian. Hal ini amat dititikberatkan oleh
anggota keluarga. Ini menunjukkan bahawa ikatan kekeluargaan sangat
ditekankan. Sebagai contohnya, dalam perspektif Islam, soal institusi
kekeluargaan diperhalusi oleh ilmu munakahat yang mengatur pembinaan
institusi keluarga bermula dari proses mencari jodoh, tanggungjawab suami isteri
dan seterusnya.
Selain itu terdapat juga hubungan yang baik dengan Allah (hablum
minaLlah) dan hubungan yang baik sesama manusia (hablum minannas).
Hablum minannas diikat dengan ukhuwah Islamiyah, dengan maksud semua
umat Islam bersaudara dan sama di sisi Allah kecuali orang yang bertakwa.
Islam menetapkan agar umatnya sentiasa menjaga akhlak antara sesama
manusia yang merangkumi akhlak dengan ibubapa, guru, kawan, jiran, sesama
Islam dan bukan Islam, malah akhlak terhadap musuh Islam juga perlu dijaga.
Hubungan yang baik sesama manusia amat perlu dijaga, malah andainya
seorang Islam tidak mempunyai hubungan yang baik dengan manusia yang lain
walaupun mempunyai hubungan yang baik dengan Allah, dia tidak dikira sebagai
ahli syurga.

Dalam konteks pergaulan juga, syariat Islam diturunkan agar kepentingan


5 hak asasi manusia terlaksana iaitu hak beragama, menjaga kewarasan akal,
menjaga nyawa, harta benda dan maruah diri. Ini memperlihatkan ajaran Islam
menekankan nilai kemanusiaan.
Dalam Tamadun China pula terdapat konsep Ren yang bermaksud kasih
sayang. Konsep ini merujuk kepada sifat perikemanusiaan yang dianggap
ekspresi jantung manusia. Dalam Tamadun Hindu terdapat konsep Ahimsa iaitu
belas kasihan yang boleh membawa kepada tiadanya kekejaman terhadap
sebarang makhluk sama ada manusia ataupun binatang.
Menekankan Tatacara dan Etika Dalam Kehidupan
Etika dalam Islam adalah manfaat daripada penghayatan syariat. Syariat
diutuskan Allah kepada Nabi Muhammad SAW sebagai panduan dan mengatur
kehidupan agar harmoni. Syariat Islam mengatur hubungan manusia dengan
Allah melalui pengamalan ibadat dan hubungan manusia sesama manusia
melalui pelaksanaan muamalat, munakahat dan jinayat. Syariat Islam juga
merangkumi akhlak iaitu sistem nilai yang menjamin kehidupan yang beretika.
Akhlak Islam bersifat syumul iaitu meliputi akhlak dengan Allah SWT, Rasulullah
SAW, sesama manusia terutamanya ibu, bapa, guru, jiran dan termasuk sesama
manusia walaupun dengan bukan Islam. Demikian juga akhlak Islam termasuk
dengan alam persekitaran seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Penegasan
soal etika dalam ajaran Islam menjadi faktor utama Rasulullah SAW diutus oleh
Allah kepada manusia. Justeru itu, Rasulullah merupakan model akhlak yang
terbaik kepada umat Islam dan manusia seluruhnya. Dalam hal ini Allah SWT
berfirman yang bermaksud:
Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah terdapat contoh ikutan yang baik bagimu iaitu
bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak
mengingati Allah.
(al-Ahzab: 21)

Dalam Tamadun Asia lain seperti China terdapat konsep Dao (jalan).
Begitu juga pemikiran tentang Li (Tatasusila). Menerusi konsep ini, Konfusius
menekankan peraturan akhlak dan peraturan kehidupan berasaskan 3 perkara
berikut:
i. Peraturan perhubungan manusia dengan Tuhan.
ii. Peraturan perhubungan manusia dengan manusia.
iii. Peraturan perhubungan politik
Selain itu, Konfusius juga menekankan konsep zhong yong iaitu
kesederhanaan. Segala perlakuan manusia perlulah sederhana dan tidak setuju
kekerasan sebagai jalan penyelesaian.

Dalam Hinduisme pula ia berpaksikan idea dharma (tanggungjawab) dan


karma iaitu doktrin perbuatan; baik akan mendapat balasan yang baik. Demikian
juga sebaliknya, buruk dibalas buruk. Masyarakat perlu mematuhi etika yang
ditetapkan agar kehidupan barunya lebih baik dan mendapat matlamat dalam
mencapai mokhsa.
Mementingkan kebijaksanaan kepemimpinan
Pemimpin adalah khalifah di muka bumi sinonim dengan kepemimpinan
dalam Islam. Politik Islam menggariskan sistem dan corak pemerintahan Islam
seperti asas dalam berpolitik adalah tauhid, risalah dan khilafah. Selain itu,
prinsip politik Islam adalah keadilan, persamaan, syura dan akauntabiliti. Sumber
dalam politik Islam ialah kitabuLlah dan sunnah rasul-Nya, di samping ijtihad dan
ijmak ulama.
Dalam Tamadun China, Konfucius menekankan ajaran moral kepada
manusia, antaranya membantu pemerintah yang baik dan sifat baik merupakan
satu harta yang paling penting untuk dimiliki oleh setiap pegawai. Dalam hal ini,
Raja-raja Chou mengaitkan diri mereka dengan konsep anak syurga dan
mandat dari syurga. Ini merujuk kepada maksud raja adalah wakil Tuhan di
bumi. Justeru itu mereka perlu memerintah dengan adil dan jika gagal, mandat
akan ditarik semula. Selain itu, ajaran Konfusius juga menekankan pemerintahan
yang berdasarkan zheng ming, iaitu nama yang betul untuk menjelaskan di
antara perkara yang benar dan salah. Ia bermaksud, peranan dan
tanggungjawab adalah mengikut nama yang disandang. Tujuannya adalah untuk
membezakan antara perkara yang betul dan salah. Pemerintah juga perlu
memperbaiki diri sendiri atau zheng ji.
Dalam ajaran Hindu dan Buddha pula, konsep dharma dijadikan panduan
tingkah laku yang wajar dari raja kepada rakyat. Dharma menekankan nilai-nilai
moral seperti mengawal nafsu dan mengamalkan toleransi.
Menghargai alam sekitar
Islam menekankan hubungan yang harmonis dengan alam dan melarang
sebarang tingkah laku dan perbuatan yang bersifat fasad. Sehubungan ini,
penggunaan alam sekitar dikawal oleh hukum Islam terutamanya konsep Halal
dan Haram.
Alam sekitar merupakan anugerah Allah SWT yang diamanahkan kepada
manusia untuk dimanfaatkan sebaik mungkin. Allah berfirman yang bermaksud:
Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya agar
Kami menguji mereka siapakah antara mereka yang terbaik perbuatannya.
(al-Kahfi: 7)

Dialah Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di daratan dan berlayar di lautan. Sehingga
apabila kamu berada di dalam bahtera dan meluncurkan bahtera itu membawa orang-orang yang
berada di dalamnya dengan tiupan angin yang baik dan mereka bergembira kerananya. (Dan
apabila) datanglah angin badai dan (apabila) gelombang dari segenap penjuru menimpanya, dan
mereka yakin bahawa mereka telah terkepung (bahaya) maka mereka berdoa kepada Allah
dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya semata-mata. (Mereka berkata): Sesungguhnya
jika Engkau menyelamatkan kami dari bahaya ini pastilah kami termasuk orang-orang yang
bersyukur.
(Yunus: 22)

Selain itu, alam merupakan tanda kekuasaan dan kehebatan Allah SWT.
Justeru itu, Allah telah menentukan adab dan akhlak manusia dengan alam
termasuk makhluk ghaib.
Dalam Tamadun Cina, khususnya ajaran Tao, alam di anggap sebagai
ibu atau Dao. Ini menunjukkan bumi sebagai entiti yang perlu dimuliakan.
Dalam Buddhism dan Shinto pula, hubungan harmonis manusia dengan alam
ditekankan melalui konsep Esho Fui, iaitu manusia dan alam saling memerlukan.
Dalam fahaman masyarakat peribumi Malaysia juga terdapat kepercayaan
menghargai dan memelihara alam sekitar. Bagi mereka alam mempunyai kuasa
ghaib. Mereka percaya petir sebagai penjaga haiwan dan tumbuhan. Justeru itu,
peribumi melarang menebang pokok tanpa niat untuk digunakan atau
membunuh binatang tanpa niat untuk dimakan. Perbuatan ini akan mengundang
kemarahan Tuhan dan akan diturunkan bala bukan sahaja kepada pesalah,
malah seluruh komuniti mereka. Kepercayaan ini mendorong mereka menjaga
alam sekitar agar berada dalam ekologi yang seimbang.
Mementingkan ilmu dan orang berilmu
Konsep ulama dalam Islam berkait rapat dengan ilmu dan orang yang
berilmu. Seorang invidu di dalam masyarakat Islam hanya diterima sebagai
ulama jika persiapan ilmunya sempurna dan tercermin pada kewibawaan
personaliti diri dalam segala aspek. Selaras dengan ini, Allah SWT berfirman
yang bermaksud:
Sesungguhnya yang takut kepada Alllah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah ulama. (alFatir: 28)
Ya Tuhanku, tambahkanlah ilmuku (Taha: 114)
Katakanlah wahai Muhammad, adakah sama orang yang mengetahui dan orang yang tidak
mengetahui. Bahawasanya yang mengingati ialah orang-orang yang menggunakan fikirannya
(ulul al-bab). (al-Zumar: 9)

Ulama memainkan peranan besar dalam Islam. Antaranya sebagai


pembimbing umat, penyelesai masalah, pakar rujuk dan model atau contoh
tauladan dalam masyarakat Islam. Justeru itu, Rasulullah SAW menegaskan
dalam hadithnya yang bermaksud:

Ulama merupakan pewaris para nabi.

Dalam ajaran Konfusius, terdapat konsep Jun Zhi (orang budiman) yang
bermaksud orang yang berilmu dan tahu akan kewajaran sesuatu. Salah satu
tingkat dalam empat perjalanan hidup (Asramas) seorang penganut Hindu pula
ialah Bramacarya yang memerlukan pengisian ilmu pengetahuan. Tingkat
Asramas yang lain adalah tahap Ghastra, Vanaprahastra, Sanayasa.
Ringkasnya, Tamadun Asia mempunyai satu kekuatan yang telah diwarisi
sejak Asia mula didiami oleh kelompok masyarakat. Kekuatan tersebut ialah
nilai kesejagatan dan bersifat sepunya antara tamadun-tamadun di Asia. Nilai
kesejagatan ini telah membentuk jalinan interaksi harmoni antara tamadun
walaupun antara tamadun ini memiliki dasar pegangan agama yang berbeza.
Peranan Islam sangat besar dalam menjadikan nilai-nilai dari ajaran
agama diiktiraf sebagai pendorong kepada pembinaan tamadun dalam zaman
yang serba moden ini. Umat Islam sebagai ummatan wasata (umat pertengahan)
boleh menjadi perantara yang baik dalam berinteraksi dengan tamadun moden
mahupun tamadun tradisional. Nilai pertengahan ini juga termasuklah tidak
terlalu bersifat kebendaan dan juga tidak menolak dunia secara total. Selain itu,
Tamadun Islam juga mempunyai keistimewaan yang tersendiri yang dapat dilihat
pada nilai-nilai transenden (kudus) yang merentas batas daerah dan budaya.
Nilai ini mampu menjadi nilai universal tamadun manusia.

ISL 5 :

Anda mungkin juga menyukai