Anda di halaman 1dari 20

SIGNIFIKASI KESELAMATAN SELAT MELAKA

TERHADAP KEPENTINGAN EKONOMI DAN STRATEGIK MALAYSIA 1

oleh

Nazery Khalid 2
Maritime Institute of Malaysia (MIMA)
Unit B-06-08 B-06-11, Megan Avenue II
12 Jalan Yap Kwan Seng, 50450 Kuala Lumpur
Tel : 603-21612960 / Fax : 03-21617045
nazey@mima.gov.my
www.mima.gov.my

Abstrak

Selat Melaka merupakan laluan perairan yang paling sibuk di dunia dan menjadi
penghubung strategik perdagangan di antara barat dan timur. Sebagai sebuah negara
yang bergantung kepada dagangan antarabangsa untuk menjana pertumbuhan
ekonominya, majoriti dagangan Malaysia diangkut menggunakan kaedah pengangkutan
laut yang kebanyakkannya menggunakan laluan Selat Melaka. Kebergantungan ini
menjadikan selat tersebut sebagai nadi dagangan dan teras kepada kemakmuran ekonomi
negara. Dengan yang demikian, keselamatan laluan yang penting ini merupakan isu yang
sangat kritikal kepada Malaysia dalam mempertahankan kesejahteraan dagangan dan
ekonominya dan kepentingan strategik sektor maritimnya . Kertaskerja ini mengupas
signifikasi keselamatan Selat Melaka dalam konteks menghubungkaitkan peri pentingnya
mengekalkan laluan dagangan yang selamat dengan kepentingan ekonomi dan strategik
negara. Pendekatan komprehensif dalam membincangkan isu keselamatan selat ini di luar
dari skop keselamatan tradisional dilihat sebagai relevan berdasarkan kepentingan meluas
Selat Melaka dan wilayah maritim negara secara keseluruhannya.

1
Segala penilaian, pandangan dan kesimpulan yang terkandung di dalam kertaskerja ini merupakan
perspektif pengarang semata-mata dan tidak mewakili pendirian rasmi MIMA.
2
Fellow, Pusat Kajian Ekonomi dan Industri Samudra, MIMA. Pengarang merakamkan penghargaan
kepada Sdr. Ahmad Fakhruddin Muda dan Cik Armi Suzana Zamil, penyelidik-penyelidik di Pusat Kajian
Ekonomi dan Industri Samudra, MIMA di atas sumbangan mereka dalam menyiapkan kertaskerja ini.
1. Selat Melaka sebagai perairan strategik

Selat Melaka 3 merupakan laluan perairan dagangan unik yang memainkan peranan besar
di dalam peradaban tamadun dan perdagangan di rantau sebelah sini. Lokasi strategiknya
terus mencorakkan perkembangan dagangan serantau dan global masa kini dan
meletakkannya sebagai salah sebuah perairan yang penting dan mempunyai nilai yang
sangat kritikal kepada negara-negara pesisir dan negara dagangan antarabangsa.

Lebih dua kurun yang lalu, beberapa empayar telah menegakkan pusat dan wilayah
pemerintahan mereka di sepanjang Selat Melaka satu petanda kepentingan strategik
selat tersebut sejak zaman berzaman. Laluan Rempah yang merentasi Selat Melaka
telah memainkan peranan penting dalam melahirkan Kesultanan Melaka yang dikenali
sebagai empayar yang terulung di Asia Tenggara dalam kurun ke 15. Menjelang kurun
ke 16, kuasa-kuasa besar Eropah terlibat di dalam perebutan kuasa bagi mengawal Selat
Melaka dengan meningkatnya kesedaran terhadap kepentingan selat itu sebagai laluan
maritim yang strategik. Portugis dan Belanda terlibat di dalam peperangan sepanjang
kurun ke 17 bagi menguasai selat tersebut dan pelabuhan-pelabuhan di sepanjang
perairannya. 4

Hari ini, kepentingan Selat Melaka sebagai laluan dagangan laut semakin terserlah. Ia
mengandungi nilai strategik yang tinggi bukan sahaja kepada Malaysia malah kepada
masyarakat antarabangsa. Dengan perkembangan proses globalisasi dan kebergantungan
semakin banyak negara terhadap dagangan antarabangsa, kepentingan Selat Melaka telah
menjadi semakin kritikal dalam memberikan laluan kepada dagangan yang diangkut
melalui jalan laut. Perairan penting ini juga menyediakan antara lainnya sumber
makanan, pengangkutan, pekerjaan dan rekreasi yang tidak terhingga nilainya kepada
negara.

Ancaman terhadap kapal-kapal yang belayar di selat ini berdasarkan beberapa insiden
serangan lanun yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini semakin menuntut
perhatian antarabangsa terhadap isu keselamatan di Selat Melaka. Percanggahan negara-
negara serantau dalam memelihara kepentingan maritim mereka di perairan ini juga
mengundang pelbagai cabaran kepada Malaysia dalam mengimbangi kepentingannya
sendiri dengan kepentingan antarabangsa di perairan itu.

Berlatarbelakangkan senario ini, adalah wajar dijangkakan yang sebarang halangan


kepada laluan selamat dan aliran dagangan bebas di Selat Melaka bakal mendatangkan
kesan negatif bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga kepada pihak-pihak lain yang
berkepentingan terhadapnya. Negara-negara di sepanjang selat itu dan negara-negara

3
Pertubuhan Maritim Sedunia atau International Maritime Organization (IMO) mendefinasikan Selat
Melaka sebagai perairan di antara pantai barat Malaysia dan Thailand di barat laut dan di pesisiran Sumatra
di Tenggara. IMO menganggarkan jarak selat ini sepanjang 520 batu dan mempunyai dimensi kelebaran di
antara 11 batu di titik paling selatan dan 200 batu di titik paling utara.
4
Fakta di dalam perenggan ini dipetik dari kertaskerja bertajuk An Integrated Management Regime for the
Straits of Malacca? yang dibentangkan oleh Kapt (B) Mat Taib Yasin, Fellow Kanan, MIMA di
Persidangan Mengenai Selat Melaka : Membina Satu Persekitaran Keselamatan Komprehensif di Kuala
Lumpur, 11 Oktober 2004.
dagangan lain yang menggunakannya sebagai laluan utama dagangan samudranya serta
bekalan barangan utama, komoditi dan bahan mentah mereka tentunya akan turut sama
merasa impak sebarang halangan kepada pelayaran selamat di perairan tersebut.

2. Kepentingan Selat Melaka dalam konteks ekonomi

Selat Melaka menjadi nadi yang menghubungkan dagangan sedunia dan menyediakan
jalinan rangkaian dagangan kritikal di antara pengeluar dan pengekspot di antara dunia
Timur dan Barat. Jumlah trafik laluan kapal-kapal di perairan ini malah mengatasi
Terusan Suez dan Terusan Panama, menjadikannya antara laluan dagangan yang paling
sibuk di dunia. 5 Selat Melaka mengelolakan jumlah trafik lebih tiga kali ganda dari
trafik Terusan Suez, dan lebih lima kali ganda dari Terusan Panama. 6 Trafik kapal tangki
melalui Selat Melaka mencatatkan peningkatan mendadak kebelakangan ini dengan
kebangkitan China sebagai kuasa besar ekonomi rantau ini. Kuasa-kuasa ekonomi rantau
ini seperti Jepun dan Korea Selatan juga mempunyai kebergantungan yang tinggi
terhadap bekalan minyak dari Timur Tengah yang majoritinya diangkut melalui laluan
Selat Melaka.

Dari perspektif Malaysia sebagai sebuah littoral state atau negara pesisir yang terletak di
sepanjang Selat Melaka, kepentingan selat ini merangkumi lebih dari laluan dagangan.
Sebagai negara yang wilayahnya bersempadan dengan Selat Melaka, kepentingan
perairan ini kepada ekonomi negara tidak terperi nilainya. Kebanyakkan pelabuhan
utama negara seperti Pelabuhan Kelang, Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Tanjung
Pelepas yang mengendalikan majoriti impot-ekspot kita terletak di sepanjang selat itu.
Selat Melaka juga menyediakan sumber makanan kepada penduduk tempatan dan
menyediakan dua pertiga hasil tangkapan ikan Malaysia. Hidupan marin dan pesisiran
pantai serta pulau yang indah di pantai barat Semenanjung Malaysia menyumbang
kepada industri pelancongan. Aktiviti perindustrian dan pertanian bertumpu di Pantai
Barat Semenanjung Malaysia sepanjang Selat Melaka, begitu juga taburan penduduk dan
bandar-bandar utama. Selain itu, perairan penting ini menyediakan sumber pekerjaan,
rekreasi, pendapatan, laluan pengangkutan air dan banyak lagi faedah dan kegunaan yang
tidak ternilai harga dan kepentingannya kepada negara.

Tidak keterlaluan dikatakan yang Selat Melaka merupakan tunjang kepada kesejahteraan
ekonomi dan sosial Malaysia. Berikut dibincangkan kepentingan selat ini kepada
ekonomi negara dari beberapa perspektif :

5
Peele (1997). The Importance of Maritrime Chokepoints. Parameters, US Army War College Quarterly,
Summer 1997.
6
U.S. Pacific Commands Strategic Planning and Policy Directorate (2002).
2.1 Dagangan antarabangsa

Seperti yang telah dinyatakan, Selat Melaka memberikan laluan pintas yang
memendekkan pelayaran dagangan Timur-Barat. Disebabkan kelebihan
strategiknya, ia menjadi laluan utama kepada kapal-kapal dagangan antara Lautan
Hindi dan Lautan Pasifik. Ia juga menyediakan laluan pintas bagi kapal-kapal
dagangan di antara negara-negara Teluk dan negara-negara Asia Timur.

Pelabuhan-pelabuhan kontena terbesar Malaysia terletak di sepanjang Selat


Melaka dan mengendalikan 9.1 juta TEU kontena pada tahun 2003. 7 Ini
merupakan 89% dari jumlah keseluruhan kontena yang dikendalikan di
Malaysia. 8 Sebagai sebuah negara yang ekonominya bergantung kepada
dagangan antarabangsa, 90% dari jumlah dagangannya dengan dunia diangkut
melalui laluan samudra, dan Selat Melaka menjadi pengantara utama dagangan
kita. 9

Pada tahun 2003, 63,636 kapal mengangkut pelbagai kargo belayar melalui Selat
Melaka. 10 Laluan selamat dan aliran dagangan bebas yang disediakannya telah
memberikan sumbangan besar kepada Keluaran Negara Kasar Malaysia dan
kepada negara-negara pedagang lainnya dan menyediakan berjuta-juta peluang
pekerjaan di negara-negara tersebut.

Dalam konteks perdagangan antarabangsa, kepentingan Selat Melaka terserlah


dengan melihat fungsinya sebagai laluan utama pengangkutan minyak dari Timur
Tengah ke Asia Timur, terutamanya kepada dua kuasa ekonomi terulung rantau
ini iaitu China dan Jepun. Adalah dianggarkan yang Asia Timur merangkumi
satu perempat dari permintaan global terhadap minyak, menjadikannya wilayah
pengguna minyak terbesar di dunia. 11 Namun, wilayah ini hanya mampu
mengeluarkan 10% dari jumlah minyak yang diperlukannya. 12 Penggunaan
minyak yang besar oleh rantau Asia Timur bergantung kepada bekalan dari
negara-negara pengeluar minyak di Timur Tengah yang diangkut melalui Selat
Melaka. Adalah dianggarkan yang 11 juta tong minyak dari Timur Tengah
diekspot ke Asia Timur setiap hari melalui selat itu. 13

Fakta-fakta ini menekankan peri pentingnya keselamatan dikekalkan di Selat


Melaka bagi menjanjikan laluan yang selamat kepada kapal-kapal. Sebarang
gangguan terhadap perjalanan minyak ke rantau Asia Timur akan mendatangkan
impak yang negatif ke atas ekonomi wilayah ini dan secara tidak langsung ke atas
ekonomi global. Pun begitu, para penganalisa keselamatan maritim berpendapat
yang gangguan seumpamanya mungkin tidak akan melumpuhkan laluan dagangan
7
Sumber : Bahagian Maritim, Kementerian Pengangkutan Malaysia.
8
Sumber : Jabatan Staitistik
9
Rahman, Janib & Wong (1995). The Maritime Sector and the Malaysian Economy. MIMA. ms. 19
10
Statistik Jabatan Laut Malaysia.
11
Fyfe (2004), Oil Market Overvie..
12
Ibid.
13
Ibid.
antara Barat dan Timur. Laluan alternatif melalui Sunda, Lombok atau Selat
Makassar ke Laut China Selatan boleh digunakan sekiranya laluan Selat Melaka
terhalang. 14 Namun, penutupan sepenuhnya Selat Melaka akan serta-merta
menyebakan peningkatan mendadak kos pengangkutan kapal sedunia.
Pengalaman penutupan Terusan Suez semasa perang Arab-Israel pada tahun 70an
menunjukkan yang harga pengangkutan kapal meningkat berkali-kali ganda.
Kesan yang sama boleh diunjurkan seandainya insiden yang sama berlaku kepada
Selat Melaka yang merupakan jalan pintas pilihan utama kapal-kapal pedagang
ke Laut China Selatan berbanding dengan laluan-laluan alternatif yang disebutkan.
Ini akan membawa kepada peningkatan harga minyak yang tentunya
mendatangkan kesan buruk kepada ekonomi dunia. Oleh itu, keselamatan laluan
di Selat Melaka merupakan satu isu strategik yang sangat kritikal kepada negara-
negara dagangan utama dunia.

2.2 Pengangkutan maritim

Perbincangan mengenai persekitaran keselamatan maritim menuntut perhatian


serius semua pihak. Ancaman ketas keselamatan perairan negara, terutamanya
laluan sepenting Selat Melaka, perlu ditangani secara berterusan. Peristiwa
serangan lanun ke atas kapal-kapal dagangan dan perikanan semakin meningkat.
Selepas serangan 11 September ke atas berapa kepentingan ekonomi dan
pentadbiran Amerika Syarikat, para penganalisa keselamatan membayangkan
kemungkinan kapal-kapal yang melalui perairan Selat Melaka menjadi sasaran
serangan pengganas. Walaupun setakat ini belum ada insiden seumpamnya,
kemungkinan ancaman ini menjadi realiti tidak boleh diambil ringan. Sebagai
negara yang bergantung kepada Selat Melaka untuk kesejahteraan ekonomi dan
kepentingan strategiknya, Malaysia harus memberikan tumpuan yang tidak
berbelah bagi terhadap isu keselamatan pengangkutan maritim di selat tersebut.

Isu laluan selamat (navigational safety) menggamit tumpuan para perancang


keselamatan maritim negara kita dan masyarakat antarabangsa. Walaupun
pelbagai infrastruktur untuk membolehkan laluan selamat untuk kapal-kapal yang
lalu di Selat Melaka sudah tersedia, perairan ini masih mempunyai risiko
kemalangan yang tinggi. Dari 2001 sehingga 2004, sejumlah 11 kejadian
pelanggaran antara kapal direkodkan di selat itu, disebabkan antara lainnya oleh
peralatan kapal yang tidak berkualiti dan kelalaian pengendalian pelayaran. 15

2.3 Integriti alam sekitar

Walaupun kebanyakan insiden kemalangan kapal berada di luar dari kawalan


negara-negara pesisir Selat Melaka, kejadian seumpanya mendatangkan

14
Valencia (2002). Asian Sea Lane Security and International Relations. Kertaskerja dikomisenkan oleh
Ship and Ocean Fundation, Tokyo Japan.
15
Statistik Jabatan Laut Malaysia.
kebimbangan kepada mereka berdasarkan potensi kesannya terhadap integriti
ekosistem selat itu. Sebagai contoh, pelanggaran kapal boleh mengakibatkan
limpahan kargo dan minyak ke kawasan penangkapan ikan utama dan kawasan
pantai serta pulau peranginan. Ini ditambah pula dengan kebimbangan terhadap
pencemaran yang boleh terhasil akibat laluan kapal-kapal sepanjang selat tersebut.
Kesan negatif sedemikian ke atas ekosistem dan ekologi Selat Melaka bukan
sahaja boleh mengancam kegiatan ekonomi penting seperti perikanan,
pelancongan, perkapalan dan pelabuhan tetapi boleh memberikan kesan negatif
kepada pelbagai aktiviti ekonomi sokongan lain. Bagi Malaysia, situasi sebegini
boleh mengakibatkan kesan serius kepada sumber pendapatannya dan
kesejahteraan sosio-ekonominya.

Integriti persekitaran di Selat Melaka terdedah terjejas melalui pelbagai aktiviti


industri dan penduduk. Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada
pencemaran perairan selat itu termasuklah kepadatan penduduk yang tinggi,
perubahan gunatanah, pembangunan industri pertanian dan perkilangan,
peningkatan laluan trafik perkapalan, dan tumpahan sisa dan minyak yang tidak
dikawal. 16 Ini dapat dilihat melalui penurunan dalam kualiti air di kawasan
sekitarnya. Antara ancaman persekitaran yang membayangi Selat Melaka
17
ialah :

Penurunan kualiti air yang membawa implikasi buruk dari aspek sosio-ekonomi.
Penurunan dan kerosakan kepada habitat akuakultur yang mengurangkan sumber
perikanan dan menjejaskan industri pelancongan, dan habitat seperti paya bakau
dan hutan gambut yang penting dalam menjamin intergriti ekosistem dan ekologi
Selat Melaka.
Pencemaran kumbahan yang mengancam kesihatan penduduk melalui
penggunaan air dan hasil-hasil perikanan.
Tumpahan minyak dan sisa toksik yang mencemarkan ekologi
Pencemaran udara dari gas dan lain-lain partikel .

Tanpa kawalan bersepadu dari berbagai pihak, usaha untuk mengekalkan


keselamatan persekitaran Selat Melaka tidak akan tercapai. Undang-undang dan
peraturan yang ditetapkan tidak akan membawa kepada jalan penyelesaian
seandainya tiada pihak yang memantau dan mengawal aktiviti-aktiviti yang boleh
mengakibatkan pencemaran sebegini.

2.4 Sumber marin

Selain dari menjadi antara laluan pelayaran yang tersibuk di dunia, Selat Melaka
juga dikenalpasti mempunyai ekosistem yang produktif yang menyokong sumber
marin yang kaya. Perairan selat ini menjadi habitat kepada pelbagai ekosistem

16
Dow (1995). An Overview of Pollution Issues in the Strait of Malacca. MIMA.
17
Ibrahim (1995). Coastal Resources of the Malacca Strait and Their Development. MIMA.
seperti paya, muara, terumbu karang dan rumput-rampai laut. Selat itu juga
merupakan penyumbang utama industri perikanan kepada negara-negara pesisir.
Jumlah tangkapan ikan tahunan di kawasan perairannya di Malaysia melebihi
380,000 tan yang dianggarkan bernilai RM1.2 billion. 18

Aktiviti seperti perkapalan komersil, pertumbuhan penduduk di kawasan


sepanjang pantai serta kegiatan perindustrian dan pertanian semuanya berpotensi
mengancam sumber perairan di Selat Melaka. Adalah penting yang kegiatan-
kegiatan ini dirancang dan diuruskan supaya sumber marin selat itu terpelihara
dan dibangunkan secara lestari. Asas kepada objektif ini ialah sokongan
maklumat saintifik dan biodata marin yang berkaitan dalam mengambil langkah-
langkah untuk menguruskan sumber marin Selat Melaka selaras dengan konsep
pembangunan lestari atau sustainable development.

3. Rangka keselamatan Selat Melaka

Kepentingan sektor maritim kepada negara digariskan oleh pengiktirafan Kerajaan


Malaysia terhadap peri pentingnya memelihara perskitaran maritim kita. Kerajaan telah
menggariskan dasar maritim negara bagi membangunkan Malaysia sebagai negara
maritim yang berupaya meningkatkan kapasiti perkapalan dan pelabuhan,
mengoptimakan sumber manusia, memastikan keselamatan kapal dan pelayaran dan
memberi perkhidmatan-perkhidmatan sokongan berkaitan yang cekap. 19 Dasar ini
dicapai melalui beberapa instrumen dan insiatif yang berkaitan dengan perancangan dan
pengurusan maritim. Secara amnya, rangka keselamatan Selat Melaka terdiri dari
elemen-elemen yang berikut :

3.1 Konvensyen maritim antarabangsa

Bagi menggariskan kesungguhannya dalam memelihara kepentingan maritimnya,


Malaysia telah meratifikasikan beberapa konvensyen antarabangsa merangkumi
pelbagai aspek dalam pengurusan sektor maritim. 20 Jaminan laluan transit atau
Transit Passage Regime yang termaktub di dalam Bahagian III UNCLOS 21
terhasil dari persetujuan negara-negara bagi mengimbangi kepentingan negara-
negara maritim dan kuasa-kuasa ketenteraan laut dengan kepentingan negara-
negara pesisir. 22 Rejim UNCLOS telah berkuatkuasa dengan cekapnya dan
dianggap sebagai perundangan antarabangsa yang menyumbang kepada
pengurusan teratur perairan utama dunia seperti Selat Melaka.

18
Sumber : Jabatan Perikanan Malaysia
19
www.mot.gov.my (Dilayari pada 12 April 2005).
20
Senarai lengkap konvensyen antarabangsa yang telah diratifikasikan oleh Malaysia bileh dirujuk di
laman web Kementerian Pengangkutan Malaysia di http://www.mot.gov.my/BM/Divisi_Maritim.htm
21
United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) diperkenalkan oleh Bangsa-Bangsa
Bersatu pada 1982 dan diratifikasikan oleh Malaysia pada 1996. UNCLOS merupakan instrumen global
yang menyeluruh yang menggariskan rangka polisi program dan insiatif berkaitan dengan sektor maritim.
22
www.un.org/Depts/los/convention_ agreements/texts/unclos/closindx.htm (Dilayari pada 12 April 2005).
Antara konvensyen maritim antarabangsa yang telah diratifikasikan oleh Malaysia
ialah :

i) Convention for the Safety of Life at Sea (SOLAS) yang menggariskan


piawaian keselamatan komprehensif bagi pembinan kapal yang selamat
dan untuk kelengkapan keselamatan asas di atas kapal.

ii) Convention for the Prevention of Pollution on Ships (MARPOL) yang


mengandungi arahan operasi terutamanya yang berkaitan dengan prosedur
keselamatan.

iii) Convention on International Regulations for Preventing Collisions at Sea


(COLREG) yang menggariskan peraturan jalanan (rules of the road)
trafik di samudra.

iv) Konvensyen berkaitan dengan anak kapal termasuk ILO Convention 147 -
Merchant Shipping (Minimum Standards) Convention yang merangkumi
peraturan mengenai piawaian pengendalian selamat, waktu kerja,
kecekapan anak kapal dan perlindungan sosial dan piawaian pekerjaan
seperti yang digarsikan oleh Pertubuhan Buruh Sedunia atau International
Labour Organization (ILO).

v) Convention on Standards of Training, Certification and Watchkeeping for


Seafarers yang menggariskan kehendak kelulusan dan kelayakan bagi
anak-anak kapal.

Konvensyen-konvensyen tersebut digunakan secara meluas dalam pengurusan


maritim Malaysia amnya dan Selat Melaka khususnya dan telah memberikan
sumbangan yang besar dalam memelihara persekitaran pelayaran yang selamat di
perairan tersebut.

3.2 Undang-undang dan dasar-dasar tempatan

Melalui rangka perundangan tempatan, kerajaan mengamalkan dasar untuk


membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara maritim, sesuai dengan statusnya
sebagai negara pedagang yang ke-17 terbesar di dunia dan negara yang pesat
membangun. Beberapa undang-undang dan peraturan yang digunapakai di
Malaysia yang berkaitan dengan pengurusan maritim ialah :

Ordinan Pengangkutan Kargo Melalui Air, 1950


Ordinan Perkapalan Saudagar, 1952
Akta Lembaga Dius Api, 1953
Akta Lembaga-Lembaga Pelabuhan, 1963
Akta Pelantar Benua, 1966
Akta Kastam, 1967
Akta Kualiti Alam, 1974
Akta Zon Eksklusif Ekonomi, 1984
Akta Pelabuhan (Penswastaan) 1990
Akta Penguatkuasaan Zon Maritim, 2004
Dasar Alam Sekitar Kebangsaan
Dasar Kabotaj
Dasar National Load Center

Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri sedang membuat penilaian


untuk Malaysia mengadaptasikan satu pelan yang dinamakan Integrated Coastal
Zone Management (ICZM) bagi menguruskan persekitaran maritim negara.
ICZM merupakan perancangan yang sistematik dan komprehensif untuk
menguruskan kawasan pesisir, sumber-sumbernya, corak aktiviti manusia di
dalam persekitaran marin dan konfigurasi ruangnya. 23 Adalah diharapkan yang
Malaysia, melalui ICZM, akan dapat memaksimakan faedah yang ditawarkan
oleh kawasan pesisir dan meminimakan konflik dan kesan buruk aktiviti manusia
ke atas persekitaran marin negara.

Melalui instrumen perundangan dan dasar-dasar tersebut, Malaysia menggariskan


kesungguhannya untuk membangun dan mentadbir sektor maritimnya secara
terurus. Malaysia juga komited dalam usahanya mengharmonikan perundangan
domestiknya dengan undang-undang dan konvensyen antarabangsa dan dalam
memenuhi obligasi antarabangsanya sendiri sebagai negara ahli Perutbuhan
Maritim Sedunia (IMO).

3.3 Inisiatif serantau dan antarabangsa

Malaysia terlibat di dalam beberapa inisiatif yang sedang dicadangkan oleh


masyarakat antarabangsa dalam menguruskan Selat Melaka dan menjamin
keselamatannya. Antara insiatif tersebut ialah :

i) Cadangan mewujudkan dana pengurusan Selat Melaka

Jepun, sebagai salah sebuah negara pengguna Selat Melaka yang


mempunyai kepentingan besar terhdapnya, telah mengusulkan cadangan
untuk mewujudkan satu tabung di kalangan kuasa-kuasa maritim dan
negara-negara pengguna untuk menguruskan perairan itu. Tabung ini
akan diuruskan oleh negara-negara pesisir untuk mempertingkatkan
keselamatan pelayaran. Bagi mewujudkan dana ini, Jepun membayangkan
senario berikut 24 :
23
Cicn-Sain & Knecht (1998), Integrated Coastal and Ocean Management, Island Press, Washington DC.
24
http://nippon.zaidan.info/seikatbutsu/2001/00800/contents/00008.htm (Dilayarai pada 15 April 2005).
Meminta negara-negara pengguna selat membiayai projek-projek
khusus yang berkaitan dengan keselamatan pelayaran dan pencegahan
pencemaran.
Mencadangkan konvensyen antarabangsa mengenai Dana Selat
Antarabangsa melalui saluran diplomatik.
Memperkenalkan yuran maritim atau maritime dues ke atas pengguna
selat.

Malaysia berpendirian yang beban kewangan dalam menguruskan Selat


Melaka mestilah dipikul bersama di kalangan negara-negara pengguna dan
menyokong konsep user pays yang diutarakan oleh Jepun ini.

ii) Pembentukan satu rejim khas untuk Selat Melaka

Negara-negara pesisir mempunyai kepentingan yang berbeza-beza dalam


persoalan keselamatan Selat Melaka. Kebimbangan Malaysia mengenai
Selat Melaka berkisar di sekitar persoalan keselamatan pelayaran dan
pencemaran. Indonesia memberikan tumpuan tinggi terhadap aspek
keselamatan tuntutan kepulauannya,, manakala Singapura pula taksub
terhadap soal keselamatan dari sudut kepentingan ekonominya. Posisi ini
dipengaruhi oleh kedudukan geografi dan tahap pembangunan yang
berbeza di kalangan ketiga-tiga negara ini. Jelas yang perspektif berbeda
di kalangan negara-negara pesisir ini menghalang kerjasama sepenuhnya
dalam menguruskan selat tersebut.

Adalah dicadangkan yang sebuah jawatankuasa khas, suruhanjaya atau


lembaga yang dianggotai oleh ketiga-tiga negara ini ditubuhkan bagi
menilai konflik di kalangan mereka dan mengimbangi kepentingan
masing-masing. Cadangan membentuk satu rejim untuk Selat Melaka
yang dipersetujui di kalangan negara-negara pengguna dan pesisir, dengan
kerjasama Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), telah lama
diutarakan. Model ini membayangkan pembentukan sebuah badan rasmi
bergelar Suruhanjaya Pengurusan Selat Melaka untuk menangani isu
perkongsian tanggungjawab dan kos yang terlibat dalam menguruskan
selat itu. 25 Malaysia memberikan komitmennya dalam usaha ini dan
sering terlibat di dalam pelbagai dialog antarabangsa mengenainya.

25
Sakurai (2004). The Straits of Malacca and Challenges Ahead : Japans Perspective. Kertaskerja
pembentangan di Persidangan Mengenai Selat Melaka : Membina Satu Persekitaran Keselamatan
Komprehensif di Kuala Lumpur, 11 Oktober 2004.
iii) Kerjasama pencegahan aktiviti lanun

Semenjak peristiwa 11 September, tumpuan terhadap isu keselamatan


Selat Melaka semakin meningkat. Ini terdorong dari andaian para
penganalisa keselamatan maritim yang pengganas boleh menggunakan
selat itu sebagai tapak melancarkan operasi mereka yang boleh
mendatangkan kesan buruk kepada kepentingan serantau dan global.
Malaysia akur dengan kebimbangan ini dan terus meningkatkan usahanya
dalam bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untul menguruskan
Selat Melaka. Malaysia bergiat aktif di dalam kerjasama pelbagai hala di
peringkat serantau dan di luar wilayah dalam usaha memperbaiki tahap
keselamatan selat itu. Inisiatif terkini ialah kerjasama tiga-hala
MALSINDO di antara Malaysia, Singapura dan Indonesia yang
melibatkan pengawasan berkordinasi tentera laut ketiga-tiga negara itu. 26

Selain dari terlibat di dalam inisiatif yang disenaraikan di atas, Maslaysia juga
bergiat aktif dalam beberapa bentuk kerjasama yang lain bagi menguruskan Selat
Melaka. Antaranya ialah penglibatannya di dalam Tripartite Technology Group
(TTEG), sebuah perkumpulan perkongsian dengan Indonesia dan Singapura yang
berganding bahu dengan Pertubuhan Maritim Sedunia (IMO) dalam pelbagai
usaha memperbaiki keselamatan pelayaran di Selat Melaka. Malaysia juga
menyokong usaha terpuji Jepun dalam sumbangannya mengurus Selat Melaka
melalui saluran seperti Malacca Strait Council dan Japan International
Cooperation Agency. Di samping itu, Malaysia juga terlibat di dalam pelbagai
inisiatif di peringkat ASEAN Regional Forum yang berkaitan dengan pengurusan
Selat Melaka dan mengimplementasikan sepenuhnya kod International Ship and
Port Facility Security (ISPS) yang diusulkan oleh IMO bagi meningkatkan
pertahanan serantau terhadap ancaman keselamatan maritim.

3.3 Sistem pengurusan kelautan

Malaysia dan negara pesisir serta pengguna Selat Melaka lain telah berusaha gigih
memastikan yang Selat Melaka digunakan melalui beberapa sistem dan prosedur
pemantauan : 27

i) Mandatory Ship Reporting System in the Straits of Malacca and Singapore


(STRAITREP) - sistem melapur mandatori yang digunapakai oleh kapal-
kapal yang menggunakan Selat Melaka dan juga Selat Singapura. Antara

26
Dipetik dari kertaskerja pembentangan Laksamana Dato Sri Mohd Anwar Hj Mohd Nor, Panglima
TLDM bertajuk Managing Security of the Straits of Malacca : The Royal Malaysian Navys Perpspective
di Persidangan Mengenai Selat Melaka : Membina Satu Persekitaran Keselamatan Komprehensif di Kuala
Lumpur, 11 Oktober 2004.
27
Sumber : Jabatan Laut Semenanjung Malaysia
objektif STRAITREP ialah mempertingkatkan keselamatan pelayaran,
melindungi alam persekitaran laut, mempermudahkan pergerakan kapal
dan membantu dalam operasi mencari dan menyelamat serta operasi
melawan tumpahan minyak.

ii) Traffic Separation Scheme (TSS) - skim pemisahan lalulintas trafik yang
diwujudkan bagi memudahkan lalulintas trafik di Selat Melaka. Tujuan
sistem ini diadakan ialah untuk mengelakkan risiko pertembungan dekat di
antara kapal (close quarter situation). Melalui sistem ini, laluan pelayaran
kapal dipisahkan mengikut alur pelayaran yang ditetapkan oleh Jabatan
Laut Malaysia.

iii) Global Maritime Distress and Safety System (GMDSS) - sistem


komunikasi mencari dan menyelamat yang digunakan di Selat Melaka.
Iaitu menyediakan kemudahan kepada kapal yang belayar di Selat Melaka
dan juga kepada pihak berkuasa di darat bagi membantu kelicinan
pelayaran kapal dan juga insiden distress atau kemalangan di laut. Sistem
GMDSS ini membantu dalam membolehkan kordinasi operasi mencari
dan menyelamat di Selat Melaka dilakukan dengan kadar yang segera.

iv) Shipborne Automatic Identification System (AIS) - sistem penghantaran


maklumat data kapal dan hebahan berterusan secara otomatik. Ia
berfungsi dalam mod hebahan yang dikongsi bersama di antara kapal-
kapal dan stesen AIS di darat. Sistem ini telah menyumbang ke arah
menjamin keselamatan nyawa di lautan (safety of life at sea), kelicinan
dan keselamatan pelayaran, dan pemeliharaan persekitaran marin.

v) Vessel Traffic Services (VTS) - perkhidmatan pengurusan VTS yang


diuruskan oleh Jabatan Laut berfungsi untuk mempertingkatkan
keselamatan, keselesaan trafik serta melindungi alam persekitaran marin.
Sistem ini berupaya untuk berhubung dengan lalulintas trafik melalui
radio dan menasihatkan kapal-kapal supaya bertindak mengikut keperluan
dan keadaan trafik di dalam sesuatu kawasan perairan di Selat Melaka.

Sebagai tambahan kepada sistem yang telah disenaraikan, satu inisiatif yang digelar
Marine Electronic Highway (MEH) sedang dirancang bagi meningkatkan tahap
keselamatan pelayaran dan integriti persekitaran samudra di Selat Melaka. MEH
dirangka untuk menyediakan sistem bantuan pelayaran berteknologi tinggi dan sistem
pengurusan persekitaran marin bagi menghasilkan keadaan laut yang selamat untuk
dilayari dan terpelihara dari pencemaran. 28

Walaupun pelbagai infrastruktur dan prosedur sedia ada untuk membantu memastikan
kapal-kapal yang melalui Selat Melaka belayar dengan selamat, perairan ini masih
mengandungi risiko kemalangan yang tinggi berdasarkan ciri laluannya yang sempit dan
28
Sumber : Jabatan Laut Semenanjung Malaysia
jumlah trafik tinggi yang harus ditampunginya. Bagi mengurangkan risiko ini, adalah
lebih praktikal sekiranya kesemua sistem yang ada diintegrasikan bagi kegunaan agensi-
agensi yang terlibat dengan keselamatan maritim dan dengan sistem yang digunapakai di
negara pesisir lain untuk memaksimakan rangkaian perkongsian maklumat dalam
pengurusan Selat Melaka.

3.4 Agensi-agensi kerajaan

Antara kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat secara langsung
atau tidak langusang dalam sektor maritim di Malaysia amnya dan pengurusan
Selat Melaka khususnya ialah :

Unit Perancangan Ekonomi, Suruhanjaya Maritim Kebangsaan dan Bahagian


Keselamatan Negara - Jabatan Perdana Menteri
Bahagian Maritim - Kementerian Pengangkutan Malaysia
Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia - Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani
Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar
Jabatan Laut Malaysia
Kastam Diraja Malaysia
Tentera Laut Diraja Malaysia
Polis Marin dan Unit Udara - Polis Diraja Malaysia
Agensi Penguatkuasaan Maritim
Lembaga Pelabuhan Persekutuan
Akademi Laut Malaysia
Institut Maritim Malaysia

4. Isu-isu strategik mengenai keselamatan Selat Melaka dari perspektif Malaysia

Seperti yang telah ditekankan, Selat Melaka bukan sahaja merupakan laluan terusan air
yang kritikal kepada ekonomi negara pesisir dan rantau ASEAN tetapi juga penting
sebagai laluan dagangan global. Oleh itu, sebarang ancaman ke atas keselamatannya dari
ancaman seperti terorisme maritim, aktiviti lanun serta penyeludupan dadah dan senjata
mendatangkan kebimbangan terutamanya kepada negara-negara di sekitarnya dan
komuniti antarabangsa amnya. Sebarang insiden yang menggugat ketenteramannya
bukan sahaja menjadi isu tempatan atau serantau, malah menjadi permasalahan sejagat.
Kuasa-kuasa besar ekonomi seperti China, Jepun dan Amerika Syarikat yang bergantung
kepada Selat Melaka sebagai laluan pelayaran antarabangsa mempunyai kepentingan
kritikal terhadap keselamatan perairan ini. Dalam orde baru dunia pasca 11 September
dan dari sudut globalisasi, keselamatan Selat Melaka merupakan isu strategik yang sangat
penting bukan sahaja kepada Malaysia malahan kepada komuniti antarabangsa.
Dalam menjaga kepentingan strategik negara, beberapa isu yang kritikal perlu diberikan
perhatian dalam perbincangan mengenai keselamatan Selat Melaka. Isu-isu tersebut
ialah :

4.1 Kedaulatan negara

Walaupun ujud persefahaman di kalangan negara-negara pengguna Selat Melaka


mengenai signifikasi keselamatan perairan tersebut, adalah menyedihkan yang
ada di antara mereka memandang remeh tentang tanggungjawab penggunaannya.
Ada yang mengambil sikap ambil ringan terhadap kedaulatan negara-negara
pesisir yang sepatutnya mempunyai kata putus terhadap pengurusan selat tersebut.
Seperti yang ditekankan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, sebarang
andaian yang pengguna selat tersebut mempunyai kebebasan tanpa batas untuk
menggunakannya termasuk untuk tujuan ketenteraan menunjukkan sikap tidak
menghormati hak negara-negara pesisir dan mendedahkan kedangkalan mereka
terhadap perundangan antarabangsa. 29 Cadangan pasca insiden 11 September
oleh sebuah kuasa besar untuk memantau keselamatan di Selat Melaka
menggunakan sumber kenteraannya sendiri merupakan contoh keangkuhan
negara asing dalam isu penggunaan selat tersebut dan meremehkan kedaulatan
Malaysia sebagai negara pesisir yang berdaulatan.

Adalah wajar ditekankan yang sebahagian besar Selat Melaka terletak di wilayah
perairan Malaysia, Indonesia atau Singapura. Dengan itu, rejim kebangsaan
negara-negara ini seharusnya diakui sebagai undang-undang yang tergunapakai di
kawasan perairan ini. Satu-satunya pengecualian kepada skop perundangan ini
ialah Artikel 38 UNCLOS yang menjamin kebebasan pelayaran (freedom of
navigation) dalam laluan transit (transit passage). 30 Sebarang penggunaan
ketenteraan dan seumpamanya di perairan Selat Melaka hendaklah akur dengan
peruntukan undang-undang yang termaktub di dalam artikel tersebut.

Walaupun Malaysia mempunyai hak untuk melindungi kawasan maritimnya,


tugas memastikan hak ini dikekalkan bukanlah perkara yang enteng, malah
adakalanya boleh menimbulkan pelbagai kerumitan diplomatik dan dilema
dalaman. Penyelesaian yang ideal kepada tekanan-tekanan ini ialah dengan cara
mengimbangkan kepentingan ekonomi dan keselamatan kita dengan obligasi
antarabangsa. Ini hanya boleh dicapai melalui persefahaman dan sokongan yang
menyeluruh di kalangan semua pihak yang mempunyai kepentingan terhadap
Selat Melaka. Tentunya ini bukanlah satu objektif yang mudah dicapai, namun
semua pihak haruslah bekerjasama di dalam perkara ini demi menjaga
kepentingan strategik semua pihak dalam penggunaan Selat Melaka. Apa jua
inisiatif haruslah berpaksi di atas pengamatan mutlak sovereignity atau kedaulatan

29
Ucaputama YAB Timbalan Perdana Menteri sewaktu merasmikan Persidangan Mengenai Selat Melaka :
Membina Satu Persekitaran Keselamatan Komprehensif di Kuala Lumpur, 11 Oktober 2004.
30
http://www.admiraltylawguide.com/conven/unclospart3.html (dilayari pada 12 April 2005)
kita. Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu menjamin kedaulatan dan intergriti
kewilayahan kita sebagai sebuah negara pesisir Selat Melaka. Dengan jaminan ini,
sewajarnya Malaysia tidak berkompromi dalam mempertahankan kedaulatannya
dalam berurusan dengan mana-mana pihak mengenai pengurusan Selat Melaka.

4.2 Keganasan maritim

Isu utama yang semakin diketengahkan dalam perbincangan mengenai isu


keselamatan Selat Melaka ialah menangani ancaman keselamatan di perairan
tersebut melalui keganasan maritim. Ancaman dari lanun dan penyangak
perairan semakin galak sejak kebelakangan ini. Dengan meningkatnya
kebimbangan terhadap serangan pengganas selepas serangan 11 September yang
menggunakan pesawat penumpang, gambaran ngeri kapal yang melalui Selat
Melaka ditawan dan digunakan dalam serangan pengganas tidak boleh
diketepikan. 31 Walaupun belum ada insiden serangan pengganas yang
direkodkan di Selat Melaka sehingga kini, kebarangkalian ancaman sedemikian
menjadi realiti sama sekali tidak boleh diketepikan. Oleh itu, pihak-pihak yang
dipertanggungjawbkan untuk memelihara keselamatan maritim negara haruslah
bersiap sedia untuk menghadapinya.

Malaysia, Indonesia dan Singapura sedang meningkatkan kawalan di Selat


Melaka berikutan peningkatan insiden serangan lanun di perairan tersebut.
Ancaman dari kegiatan lanun ini telah mendatangkan kebimbangan di kalangan
negara-negara pengguna utama. Seperti yang dinyatakan, sebuah kuasa besar
dunia pernah menyatakan hasratnya untuk menjalankan rondaan satu pihak di
Selat Melaka bagi memelihara kepentingannya. Ini merupakan satu usul
kontroversi yang boleh mengancam kedaulatan negara-negara pesisir. Baru-baru
ini, Jepun telah menyuarakan kekhuatirannya terhadap aktiviti lanun di Selat
Melaka dan menyeru negara-negara Asia untuk mewujudkan rangka kerjasama
untuk memrangi kegiatan lanun. Di Forum Serantau Mengenai Keselamatan
Maritim peringkat ASEAN di Singapura pada bulan April 2005, Setiausaha
Agung Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), E.E. Mitropolous menyatakan
yang organisasinya sedang merangka satu inisiatif untuk mengadakan kawalan
bersama tetap (permanent joint patrols) di Selat Melaka untuk memeliharanya
dari serangan pengganas. 32 Reaksi-reaksi sebegini menggariskan perhatian dan
tumpuan serius masyarakat antarabangsa terhadap isu keselamatan di Selat
Melaka.

31
Menurut Biro Maritim Antarabangsa atau International Maritime Bureau (IMB), sejumlah 37 kejadian
serangan lanun dilapukran di Selat Melaka sepanjang tahun 2004. Walaupun kebanyakan insiden itu
melibatkan kejadian serius melibatkan penggunaan senjata api dan pencolekan anak kapal, tiada satupun
darinya dikategorikan oleh IMB sebagai insiden pengganas atau terrorism. Namun IMB memberi amaran
yang potensi berlakunya kejadian yang melibatkan keganasan di Selat Melaka adalah tinggi.
32
Sumber : www.imo.org (dilayari pada 12 April 2005)
Walaupun agak mustahil bagi negara-negara pesisir untuk menghentikan sama
sekali serangan lanun disebabkan jarak Selat Melaka yang panjang, adalah
menjadi tanggungjawab negara-negara tersebut untuk menjamin keselamatan selat
itu. Kerjasama berterusan di anata tentera-tentera laut dan agensi-agensi maritim
negara-negara pesisir harus dipertingkatkan bagi menjamin keselamatan
pelayaran di Selat Melaka dari ancaman lanun.

4.3 Ancaman keselamatan bukan konvensional

Kebelakangan ini, Malaysia menghadapi semakin banyak isu-isu keselamatan


bersifat non-conventional di Selat Melaka. Kebimbangan besar yang dihadapi
oleh Malaysia kini ialah ancaman yang datang dari aktiviti jenayah yang
menggunakan selat itu sebagai laluan pengangkutan barangan seludup dan kargo
manusia secara haram. Rekod menunjukkan yang senjata api kecil, dadah dan
pendatang asing tanpa izin (PATI) diseludup masuk ke Malaysia melalui Selat
Melaka. 33 Kombinasi aktiviti-aktiviti ini tentunya boleh mendatangkan ancaman
serius kepada keselamatan negara. Dari segi ekonomi, penyeludupan barangan
menyebabkan kehilangan pendapatan melalui kutipan cukai kepada negara di
samping menggugat mata pencarian rakyat tempatan. Aktiviti perikanan haram
oleh nelayan asing juga merugikan negara, memberikan kesan negatif kepada
sektor perikanan dan mengancam mata pencarian nelayan tempatan.

4.4 Pemeliharaan persekitaran marin

Walaupun sebarang insiden kemalangan di Selat Melaka berada di luar kawalan


negara pesisir seperti Malaysia, kita berhak merasa bimbang terhadap
kemungkinan berlakunya sebarang peristiwa yang tidak diingini dan kesan yang
bakal timbul ke atas persekitaran selat itu. Insiden seperti tumpahan kargo atau
minyak boleh mencemarkan kawasan penangkapan ikan serta pulau-pulau dan
pantai-pantai peranginan. Pencemaran dalam apa bentuk sekalipun boleh
mendatangkan impak yang buruk ke atas integriti persekitaran Selat Melaka.
Sebarang ancaman ke atas ekologi dan biodiversity selat itu akan mengancam
keselamatan persekitaran kita dan negara pesisir lain dan memberi kesan buruk
kepada kegiatan ekonomi maritim seperti perikanan dan pelancongan.

Bagi Malaysia yang mana aktiviti maritim memberi sumbangan yang bukan
sedikit kepada ekonominya, pencemaran ke atas Selat Melaka boleh
mendatangkan kerugian yang besar kepada ekonomi negara. Berdasarkan
kekhuatiran ini, Malaysia harus terus menyumbang di dalam sebarang usaha di

33
Dipetik dari ucaputama YAB Timbalan Perdana Menteri sewaktu merasmikan Persidangan Mengenai
Selat Melaka : Membina Satu Persekitaran Keselamatan Komprehensif di Kuala Lumpur, 11 Oktober 2004.
peringkat tempatan dan antarabangsa untuk menjaga persekitaran Selat Melaka
dan mencari jalan untuk memeliharanya dari apa jua bentuk ancaman.

4.5 Tuntutan wilayah maritim

Negara-negara ASEAN dan Asia Utara yang bersempadanan dengan samudra


telah secara rasminya melanjutkan bidang kuasa maritim mereka ke atas sumber
dan aktiviti kelautan. Tidak banyak lagi kawasan maritim yang belum dituntut
susulan dari perkembangan ini. Ini melahirkan pelbagai tuntutan bertindan ke
atas beberapa kawasan yang dianggap strategik. Contoh utama ialah tuntutan
bertindan ke atas blok minyak Ambalat di antara Malaysia dan Indonesia, Pulau
Batu Putih di antara kita dengan Singapura, terumbu karang Erika dan
Investigator di antara kita dengan Filipina, dan Kepulauan Spratlys yang
melibatkan beberapa negara rantau ini. Konflik tuntutan wilayah maritim
sebegini terus memberikan cabaran kepada penggubal dasar negara-negara
terbabit dan adakalanya mengancam hubungan diplomatik di antara mereka.
Langkah unilateral seperti membina struktur di pulau atau wilayah maritim yang
menjadi perbalahan atau menghantar kapal perang ke kawasan yang menjadi
perbalahan boleh dilihat sebagai aksi provokasi yang boleh membangkitkan
pertentangan di antara negara-negara yang terlibat.

Beberapa insiden melibatkan tuntutan bertindan telah menggariskan peri


pentingnya satu set tatalaku atau code of conduct di antara negara-negara rantau
ini dalam menangani pertelingkahan tuntutan wilayah maritim. Tidak keterlaluan
diramalkan yang ketiadaan tatalaku sedemikian boleh menjadi duri dalam daging
dalam perpaduan ASEAN. Walaupun kebanyakan permasalahan wilayah maritim
bersekitar di Laut Cina Selatan, ikatan ukhuwah yang lemah di kalangan negara-
negara rantau mengenai isu wilayah laut tersebut boleh menggugat kerjasama
dalam menguruskan Selat Melaka dan memantau keselamatannya. Ia juga boleh
menjejaskan suara kita dan negara pesisir lainnya dalam isu berkaitan
keselamatan Selat Melaka.

Sekiranya negara-negara pesisir dan jiran-jiran terdekatnya tidak bersatu,


kerapuhan hubungan mereka akan hanya mengundang campurtangan kuasa-kuasa
besar. Lebih malang lagi seandainya ketidaksepaduan serantau dieksploit oleh
mereka atas alasan menjaga kepentingan mereka di Selat Melaka. Kita maklum
yang Amerika Syarikat sudah mempunyai kehadiran di perairan Laut Cina Selatan
dan telah dengan lantangnya menyuarakan kepentingannya di dalam aspek
kebebasan dan keselamatan pelayaran di rantau ini. Tentunya mereka tidak akan
berdiam diri seandainya kepentingan yang diutarakan ini diancam oleh
pertelingkahan serius di kalangan negara-negara serantau ke atas wilayah maritim.
Pendirian ini tambah membimbangkan kita dengan reaksi China, kuasa besar
rantau sebelah sini, yang terang-terang menyatakan kehadiran Amerika Syarikat
di perairan wilayah ini sebagai merumitkan lagi isu yang sedia ada dan
mengancam kestabilan serantau. 34 Dalam konteks diplomasi, penggunaan bahasa
sebegini boleh ditakrifkan sebagai pendahuluan kepada pertentangan yang boleh
merebak menjadi konfrontasi secara langsung sekiranya sebarang aksi provokasi
tidak dikekang sedari awal. Perkara terakhir yang dimahukan oleh kita ialah
permasalahan wilayah maritim serantau meledak menjadi konflik terbuka di
antara negara-negara serantau yang tentunya tidak akan mendatangkan apa-apa
manafaat kepada kestabilan negara dan rantau selat Melaka. Insiden seperti
tindakan satu pihak melalui pendudukan wilayah yang menjadi perebutan,
pennagkapan atau pembunuhan nelayan di kawasan tuntutan atau pergerakan
ketenteraan yang agresif boleh mencetuskan pergolakan di rantau ini.

Isu-isu yang telah disebutkan boleh menggugat kepentingan strategik Malaysia dari segi
keselamatan dan ekonomi sekiranya tidak ditangani dengan arif dan sistematik.
Kerumitan serta ciri kompleks pengurusan Selat Melaka memerlukan satu pendekatan
komprehensif bagi memelihara dan menjamin keselamatan perairan ini. Adalah penting
bagi Malaysia untuk mempergunakan saluran diplomatik dan meningkatkan kerjasama
dengan negara pesisir Selat Melaka dan komuniti antarabangsa melalui perbincangan dan
usahasama bagi kepentingan bersama. Malaysia harus meneruskan sikap terbukanya dan
terus bekerjasama dengan pihak-pihak lain dalam usaha menjamin keselamatan di Selat
Melaka bagi memelihara kepentingan maritim dan strategiknya, selagi integritinya
sebagai sebuah negara berdaulat tidak diganggu-gugat.

5. Cabaran masa depan

Beberapa ancaman utama ke atas keselamatan di Selat Melaka serta ke atas kepentingan
ekonomi dan strategik Malaysia dan antarabangsa telah dikenalpasti dan dibincangkan di
dalam kertas kerja ini. Namun, apa yang lebih penting ialah menghadapi cabaran-
cabaran pelbagai bentuk yang bakal timbul di masa depan dalam menguruskan selat itu.
Ini merangkumi aspek-aspek operasi seperti penyediaan infrastruktur dan asset serta
membina kapasiti mengumpul maklumat untuk tujuan pengawalseliaan.

Bagi Malaysia, cabaran yang nyata ialah mengimbangi kepentingan kita terhadap Selat
Melaka dengan inisiatif yang berkemungkinan mendatangkan maklumbalas yang
bertentangan dengan national interest kita. Contoh paling nyata ialah dilema yang
tentunya timbul sekiranya pihak ketiga berkeras untuk memantau selat tersebut secara
unilateral. Cabaran yang bakal dihadapi dalam situasi sedemikian akan menuntut
kematangan diplomasi, pandangan jauh, sikap bertolak ansur, kekukuhan pendirian dan
analisa mendalam bagi mengimbangi kepentingan kita dengan kapasiti menjaga
kepentingan itu. Mungkin bagi negara seperti Malaysia, meningkatkan kerjasama kita
dalam inisiatif keselamatan maritim merupakan alternatif yang lebih rasional dan
praktikal dari berkonfrontasi dalam menuntut hak dan memelihara kepentingan kita di

34
Dipetik dari ucapan E.E . Mitropoulos, Setiausaha Agung Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO)
bertajuk Enhancing Navigational Safety in the Malacca and Singapore Straits di Resource Management in
Asia-Pacific Project Seminar Series di Singapura, 3-5 Februari 1999.
perairan tersebut. Lebih banyak manafaat yang boleh diraih dengan menjalin semangat
setiakawan dan bermuafakat dengan masyarakat antarabangsa dalam aktiviti seperti
pengawalan berkordinasi dan perkongsian sumber. Inisiatif sedemikian lebih menjamin
kedaulatan dan kewilayahan negara dihormati dan meningkatkan kewibawaan Malaysia
sebagai negara berdiplomatik dari pandangan antarabangsa.

Faktor-faktor lain yang bakal memberikan cabaran dalam pengurusan Selat Melaka ialah
ketegangan dan konflik yang mungkin timbul dari pergeseran politik atau ideologi,
ketidakseimbangan ekonomi, kemiskinan, penambakan, berlabuh tanpa izin, aktiviti
ketenteraan yang bersifat provokatif dan pencabulan kedaulatan. 35 Langkah-langkah
pencegahan perlu diambil bagi mengelakkan tercetusnya ancaman ke atas keselamatan
Selat Melaka melalui cabaran-cabaran yang disebutkan. Tidak kurang mencabar ialah
mengekalkan dan menyemarakkan lagi minat negara-negara pesisir dan pengguna untuk
menjaga keselamatan selat tersebut. Ini bakal menuntut komitmen dan sumber nasional
yang bukan sedikit. Kelalaian dalam memantau keselamatan Selat Melaka boleh
membawa implikasi yang sangat buruk kepada kepentingan ekonomi dan strategik
Malaysia dan pihak lain.

6. Kesimpulan

Bagi Malaysia, kepentingan Selat Melaka dari sudut ekonomi dan strategik tidak terperi
nilainya. Sebarang ancaman ke atas perairan yang kritikal ini bakal mendatangkan kesan
buruk kepada kepentingan ekonomi, keselamatan dan persekitaran kita. Lebih serius lagi,
ia boleh memberikan impak psikologi yang mendalam dan mengikis kedaulatan negara
kita.

Mengambilkira kepentingan Malaysia dan banyak pihak lain terhadap Selat Melaka,
cabaran mengekalkan prinsip kebebasan pelayaran di perairan ini sangatlah kritikal.
Kepentingan kita dan kuasa-kuasa besar terutamanya dalam menjamin keselamatan
laluan strategik ini sangat kompleks, merangkumi antara lainnya aspek ekonomi,
persekitaran, dagangan, sosial dan keselamatan. Gangguan atau penutupan laluan yang
diakibatkan oleh konflik serantau atau kegagalan mengamati konvensyen pelayaran bebas
antarabangsa akan menyebabkan lencongan kepada penghantaran minyak dan kargo
melalui jalan lain yangf lebih panjang jaraknya. Ini tentunya boleh membawa kesan
negatif kepada pelbagai kepentingan sebuah negara dagangan seperti Malaysia dan
ekonomi serantau dan global keseluruhannya.

Malaysia komited dalam menggunakan segala instrumen kuasa negara untuk


mengekalkan keselamatan di Selat Melaka. Dalam konteks strategik, menangani cabaran
ini menuntut pendekatan holistik merangkumi pelbagai dimensi seperti politik, ekonomi,
sosial, teknologi, persekitaran dan perundangan. Namun dalam menjaga kepentingannya,
Malaysia juga hendaklah mengambil sikap proaktif dan responsif terhadap kebimbangan
dan sensitiviti masyarakat antarabangsa terhadap penggunaan Selat Melaka. Sebagai
negara yang berdaulat, tentunya Malaysia wajib menyuarakan pendiriannya dengan tegas
35
Iskandar Sazlan (2002). Draf Kajian Dasar Maritim Kebangsaan Malaysia (tidak diterbitkan). MIMA.
di dalam apa jua isu yang mana ia mempunyai kepentingan. Namun kita juga harus akur
kepada kehendak-kehendak negara-negara pesisir lainnya dan pihak-pihak yang
berkepentingan di dalam penggunaan Selat Melaka dan berusaha sedaya upaya
mengimbangi kepentingan kita dengannya. Matriks tindakbalas kita terhadap apa jua
ancaman di Selat Melaka mestilah dibina di atas teras yang mengambilkira faktor ini.

Masa depan keselamatan Selat Melaka bergantung kepada tahap kesediaan, tumpuan dan
kerjasama kita dengan pihak lain dalam menguruskannya. Namun tanggungjawab
pengurusan tidak wajar dibebankan ke atas bahu Malaysia dan negara pesisir lain semata-
mata. Semua pihak yang mempunyai kepentingan terhadap Selat Melaka hendaklah
menggembeling dan berkongsi sumber kewangan, kepakaran, maklumat, pengalaman dan
teknologi dalam menjamin keselamatan selat itu. Dengan kerjasama dan komitmen
semua pihak, pelbagai kepentingan dan perspektif berbeza, baik dari segi ekonomi
mahupun strategik, boleh diselaraskan dan diimbangi. Malaysia dan pihak-pihak yang
berkepentingan terhadap Selat Melaka haruslah menerokai segala ruang dan saluran
diplomatik dan perundingan bagi menangani sebarang perbezaan pendapat dan konflik di
antara mereka.

Selat Melaka terlalu besar kepentingannya kepada semua. Maka itu, adalah tidak wajar
yang kepentingan ramai yang bersifat jangkapanjang ke atas perairan strategik ini
dikorbankan demi memenuhi tuntutan kepentingan jangkapendek sesetengah pihak sahaja.
Dengan terjaminnya keselamatan Selat Melaka, Malaysia akan terus meraih manafaat
dari sudut mengekalkan kepentingan ekonomi dan strategiknya, manakala komuniti
antarabangsa juga dapat menikmati faedah dari laluan dagangan yang selamat di selat
yang kritikal ini.

INSTITUT MARITIM MALAYSIA


16 April 2005

Anda mungkin juga menyukai