Anda di halaman 1dari 14

PERMASALAHAN SOSIAL REMAJA BELIA: USAHA MENANGANINYA MELALUI

PENDEKATAN KERJA KOMUNITI

Azizan Bahari (UniMAP)


Tuan Muhammad Zukri Tuan Sembok (UUM)
Noriah Mohamed (UniMAP)

Abstrak

Permasalahan sosial, khususnya dalam kalangan remaja belia, menarik perhatian pelbagai pihak.
Permasalahan sosial yang meliputi simptom dan penyakit sosial seperti ketagihan dadah, merempit,
ponteng sekolah, buli, vandalisme, seks bebas, gangsterisme, dan jenayah ini malah kini dianggap
sebagai musuh utama negara. Walaupun pihak kerajaan, sektor sukarela formal, dan masyarakat
umumnya digambarkan mencuba menangani isu dan permasalahan ini dengan berbagai-bagai cara,
usaha-usaha tersebut setakat ini belum memperlihatkan suatu perkembangan yang memuaskan.
Pembentangan ini meninjau potensi dan kesesuaian kerja komuniti (community work / community
organizing) digunakan dalam menangani permasalahan sosial remaja belia. Pembentangan ini
menekankan bahawa kerja komuniti sebagai suatu pendekatan dan kaedah bekerja dengan komuniti dan
masyarakat untuk pembangunan dan kesejahteraan perlu diterokai seoptimumnya bagi menangani isu
dan permasalahan sosial ini.

Kata kunci: Permasalahan Sosial; Remaja Belia; Kerja / Penyusunan Komuniti

PENDAHULUAN.

Permasalahan sosial, khususnya dalam kalangan remaja belia mendominasi tajuk-tajuk


berita media dan merupakan suatu fenomena yang membimbangkan pelbagai pihak. Sehubungan
dengan itu peranan pelbagai pihak kerajaan, gerakan belia, pertubuhan sukarela, media,
institusi agama, dan komuniti setempat dalam menangani permasalahan ini sering disoal dan
sesetengah mereka mencuba dengan cara-cara tersendiri untuk menghadapi keadaan.
Pembentangan ini memberi gambaran ringkas tentang permasalahan sosial dalam kalangan
remaja belia dan meninjau potensi dan kesesuaian pendekatan dan kaedah kerja komuniti
(community work) digunakan atau diadaptasi oleh pihak-pihak berekenaan bagi membantu
masyarakat menangani permasalahan sosial ini.

REMAJA BELIA DAN PERMASALAHAN SOSIAL

Belia mengikut Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia 2007 adalah seorang yang
berumur antara 15 dan 40 tahun. Takrif atau definisi belia 15-40 tahun ini suatu rumusan lama
dahulu (1970-an) oleh pergerakan belia dan kerajaan, dan sudah tidak sesuai lagi pada masa ini
(Azizan, 1995). Takrif belia, antara lain, harus berdasarkan faktor-faktor demografi masyarakat
(khususnya struktur umur), proses pematangan individu (kebolehan kognitif), peluang dan tahap
pendidikan generasi muda, di samping pembangunan yang dialami masyarakat serta tanggapan
(yang juga berubah) oleh masyarakat sendiri terhadap golongan yang disifatkan sebagai belia.
Takrif unidimensional yang berdasarkan usia sahaja tidak memadai. Dalam ulasan yang sama di
atas, Azizan mencadangkan takrif belia Malaysia harus diubah secara incremental daripada 15-40
ketika itu kepada 15-35 tahun dan kepada 15-30 dan sehinggalah suatu masa apabila belia
mungkin diterima dan bermaksud mereka yang dalam lingkungan 15-25. Hal ini bagi
mengurangkan ketegangan atau bantahan keras pihak-pihak tertentu dan membolehkan kita
menumpukan perhatian kepada kerja belia sebenarnya, di samping mengambilkira takrif yang
digunakan oleh negara-negara lain di dunia seperti India (15-34 tahun), Singapura (15-30 tahun),
Amerika Syarikat (15-29 tahun), serta Commonwealth Youth Secretariat (18-35 tahun) dan
United Nations Economic and Social Council for Asia and the Pacific, UNESCAP/ESCAP (15-
25 tahun) (Itty, 1984; Commonwealth Youth Programme: Asia Centre, 1992).

Ringkasnya, belia berdasarkan takrif-takrif di atas jelas menggabungkan golongan


remaja (adolescent), iaitu orang muda yang di peringkat antara kanak-kanak dan orang dewasa,
walaupun hanya remaja yang berumur 15 tahun ke atas sahaja yang tergolong dalam takrif belia
tersebut. Daripada sudut perkembangan fizikal-biologikal dan usia seseorang, remaja biasanya
bermula daripada akal baligh (kebanyakannya ketika awal belasan tahun) sehingga usia-usia
awal dua-puluhan. Oleh hal demikian istilah belia dan remaja belia digunakan di sini dengan
maksud yang sama bagi mereka yang umumnya berusia antara 15 dan 35 tahun.

Walaupun takrif belia yang lama (15-40 tahun) itu masih dikekalkan tanpa hujah yang
kuat, dan seterusnya dimasukkan ke dalam akta belia 2007 di atas, takrif awal belia yang
digunakan di sini ialah 15-35 tahun. Hal ini demikian kerana penulis-penulis berpendapat di
lingkungan usia tersebut golongan muda (remaja dan belia) berada dalam fasa perubahan
physical-biological-psychological yang pesat serta memberi kesan atau mempengaruhi sikap dan
pemikiran mereka (untuk huraian lanjut fasa perubahan remaja belia lihat Erikson, 1968). Ketika
fasa tersebut juga mereka menghadapi pelbagai cabaran dan tekanan sosial-persekitaran, di
samping sebahagiannya baru memasuki alam pekerjaan atau belum mempunyai komitmen
kekeluargaan yang tetap dan mendesak.

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2010 penduduk Malaysia berjumlah 26.01
juta orang (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2010). Daripada jumlah tersebut terdapat seramai 9.24
juta orang atau 35.53% yang berumur antara 15 hingga 34 tahun. Angka ini menunjukkan
bahawa golongan remaja belia suatu bahagian yang besar dalam masyarakat dan sikap serta
tingkah laku mereka mempunyai kesan dan implikasi yang penting kepada masyarakat dan masa
depan negara.

Remaja belia suatu fasa perkembangan yang mencabar. Daripada aspek psikologi tahap
remaja belia dikatakan mempunyai sifat-sifat memberontak dan ingin tahu. Remaja belia yang
mampu menerima dan menangani cabaran akan menghadapi kehidupan yang selesa dan positif,
namun jika sebaliknya berlaku, akan menyebabkan timbulnya kekacauan dan permasalahan.
Sebahagian mereka terjebak atau menjadi mangsa keadaan, dan mereka ini jika tidak dibantu
atau diperkasakan, akan lebih menyulitkan proses pembangunan masyarakat dan negara
seluruhnya.

Remaja belia juga sering diasosiasikan dengan pengalaman pergolakan dan krisis identiti
yang merupakan suatu pengalaman biasa ketika seseorang menuju kedewasaan. Pergolakan dan
krisis indentiti yang dimaksudkan ini ialah perubahan dari segi fizikal, kognitif, emosi, serta
keinginan meninggalkan zaman kanak-kanak lalu meneroka atau mencari identiti baharu sebagai
remaja belia. Tingkah laku ke arah perubahan ini juga banyak dipengaruhi proses pembelajaran
dan sosialisasi dengan persekitaran.

Permasalahan sosial dengan simptom atau gejalanya meliputi, antara lain,


penyalahgunaan dadah, merempit, buli, vandalisme, seks bebas, gangsterisme, dan jenayah.
Bagi sesetengah pihak, sesetengah simptom permasalahan sosial yang menular dianggap sinonim
dengan permasalahan belia (Sapora, 1998).

Laporan Agensi Anti Dadah Kebangsaan bagi tempoh antara Januari 2011 hingga
Disember 2011 menunjukkan seramai 11, 194 orang penagih dadah telah dikesan termasuk
seramai 6,956 penagih baharu (Agensi Antidadah Kebangsaan, 2011). Walaupun dikatakan
berlakunya penurunan jumlah kes berbanding dengan tempoh masa yang sama pada tahun
sebelumnya, angka ini tetap tidak boleh dianggap memuaskan. Hal ini kerana seperti
kebiasaannya masih ramai kes yang tidak dikesan atau dilaporkan dan oleh yang demikian tidak
menjadi sebahagian perangkaan rasmi. Daripada laporan yang sama golongan remaja belia yang
berusia antara 16 hingga 34 tahun mencatat bilangan penagih yang ramai, iaitu 7,590 orang atau
67.80% daripada keseluruhan kes. Daripada perangkaan ini, jelas golongan remaja belia ramai
terlibat dalam pengambilan dadah sama ada bagi penglibatan baharu ataupun berulang. Seperti
yang sedia diketahui, penglibatan remaja belia dalam pengambilan dadah ini juga mewujudkan
beberapa permasalahan lain seperti penularan HIV/AIDS dan penyakit kelamin.

Daripada perspektif nilai dan moral masyarakat, golongan belia dibimbangi kerana
terlibat dalam kegiatan seks luar nikah dan seterusnya kehamilan luar nikah. Berdasarkan
perangkaan yang diperolehi daripada Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Hospital Pulau Pinang,
bermula pada Januari 2008 sehingga Mei 2009, terdapat sebanyak 183 daripada sejumlah 189
kes kelahiran tanpa nikah terdiri daripada golongan belia. Jabatan Pendaftaran Negara pula
merekodkan sebanyak 257,000 sijil kelahiran bayi yang didaftarkan tanpa nama bapa bagi tahun
2000 sehingga 2008 yang membawa maksud bahawa bayi tersebut dilahirkan tanpa ikatan
perkahwinan yang sah. Walau bagaimanapun, perangkaan tersebut tidak lengkap dan tidak
menunjukkan golongan sebenar yang lebih ramai terlibat dalam masalah ini kerana dinyatakan
secara umum dan berdasarkan kes-kes yang dilaporkan sahaja.
Begitu juga golongan belia kelihatan lebih ramai (berbanding golongan lain) terlibat
dalam lumba haram atau dikenali sebagai kumpulan Mat Rempit. Pada usia-usia awal remaja,
ketika mereka mencari-cari identiti sendiri serta berkeinginan untuk mencuba perkara baharu
sambil menonjolkan kebolehan masing-masing, mat rempit mungkin merupakan suatu pilihan
meskipun dengan risiko tertentu dan dipandang serong oleh masyarakat.

Selain senario yang disebutkan di atas, globalisasi yang dicirikan oleh penyebaran
maklumat yang pantas dan meluas serta penggunaan teknologi canggih, juga antara faktor yang
boleh menyebabkan berlakunya peningkatan permasalahan sosial dalam masyarakat. Pengaruh
dan impak media khususnya atas generasi muda juga suatu isu yang berkaitan. Generasi muda
rata-rata mempunyai akses dan terdedah kepada multimedia dan ini secara langsung memberi
kesan tertentu terhadap kehidupan sosial dan budaya mereka. Begitu juga kehidupan yang serba
canggih dan cepat berubah itu dikatakan menyukarkan masyarakat mempertahankan nilai-nilai
tradisional yang dahulunya menjadi pegangan dan panduan kehidupan (Ahmad Redzuwan et al,
2002).

Sehubungan di atas, dalam pembentangan lain (yang membicarakan remaja / pelajar) juga
dinyatakan bahawa kelemahan institusi keluarga, bebanan guru dan sistem pendidikan yang
menekankan peperiksaan, kesan hegemoni media dan internet, perbandaran, perubahan
teknologi, kehakisan institusi keluarga, serangan nilai-nilai materialistik ekoran perkembangan
ekonomi dan peningkatan tahap affluence masyarakat, dan sebagainya itu bercampur-baur
mempengaruhi perspektif hidup (nilai), sikap dan tingkah laku pelajar (Azizan, 2010).

Permasalahan ini cuba ditangani dengan pelbagai cara khususnya oleh kerajaan, sektor sukarela,
sektor swasta, dan pihak-pihak perseorangan. Namun, sehingga kini kaedah atau cara yang
berkesan masih menjadi persoalan rumit. Menganalisis dan memahami permasalahan daripada
pelbagai perspektif, mengambil kira faktor-faktor yang mempengaruhinya, serta merangka
inisiatif yang sesuai bagi menangani simptom dan penyakit sosial, antara lain, menuntut
pendekatan dan kaedah yang lebih integratif dan holistik.

Walau bagaimanapun, dalam merangka strategi dan menangani permasalahan ini, suatu yang
mesti diakui oleh semua pihak ialah hak remaja belia yang berisiko ini atas sumber-sumber dan
kemudahan-kemudahan yang disediakan negara. Seperti anggota lain dalam masyarakat, dan
tanpa mengira latar dan permasalahan yang dihadapi, mereka juga berhak hidup sebagai insan
biasa dalam erti kata mendapat pendidikan yang sempurna, berpeluang meningkat kapasiti dan
membangunkan diri, dan berkembang menjadi warga negara yang menyumbang.

Di samping itu, permasalahan sosial menuntut pendekatan dan cara kerja yang sesuai dengan
keperluan kes dan konteks sosial. Hal ini rata-rata kurang diberi perhatian. Terlalu banyak
masa dan tenaga diberikan kepada hal-hal isu dan permasalahan, serta dasar dan peraturan, tetapi
tidak banyak kepada soal model / pendekatan, kaedah dan kemahiran untuk bekerja dengan
golongan yang memerlukan bantuan. Menghadapi permasalahan sosial ini memerlukan input
dalam perkara-perkara kemudian itu, yakni berkaitan pendekatan dan kaedah serta kemahiran-
kemahiran yang diperlukan untuk bekerja dengan golongan sasar (khusus) berkenaan.

Dalam konteks di atas, kerja komuniti (community work) atau penyusunan komuniti
(community organizing) merupakan satu-satunya pendekatan dan kaedah yang integratif dan
holistik dalam bekerja dengan komuniti dan masyarakat, termasuk golongan remaja belia.
Sebagai suatu pendekatan dan proses kerja ke arah pembangunan masyarakat, kerja komuniti
mengambil kira kepentingan-kepentingan masyarakat dan menawarkan keanjalan strategi yang
sesuai bagi perubahan mereka.

KONSEP ASAS KERJA KOMUNITI


Ringkasnya, kerja komuniti ialah suatu proses perubahan dan pembangunan masyarakat
yang melibatkan penyusunan dan pemerkasaan (pengupayaan) orang ramai dalam usaha
mengubah dan memperbaiki kehidupan dan persekitaran mereka (lihat Thomas, 1982; Hardcastle
dan Powers, 2004). Bagi Twelvetrees (2008) kerja komuniti (lebih-lebih lagi kerja pembangunan
komuniti) ialah proses membantu orang ramai memperbaiki komuniti mereka sendiri melalui
usaha-usaha kolektif yang autonomos.

Kerja komuniti digerakkan dan diselaraskan oleh pekerja / penyusun komuniti


(community worker / organizer) yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran asas tentang
komuniti dan proses kerja komuniti serta yang dapat diterima oleh komuniti sasarnya.
Berdasarkan pelbagai sumber dan kajian tentangnya, Azizan (akan terbit) merumuskan empat
elemen penting yang perlu hadir dalam proses kerja yang ditakrifkan sebagai kerja komuniti atau
penyusunan komuniti, iaitu:

a) Pemerkasaan (pengupayaan) komuniti

b) Penglibatan (penyertaan) komuniti

c) Kesukarelawanan

d) Pembangunan dan kesejahteraan.

Berdasarkan rumusan di atas, pemerkasaan (pengupayaan) komuniti merujuk usaha


membantu meningkatkan kesedaran, kebolehan dan keyakinan anggota komuniti untuk berdikari,
yakni memikul tanggungjawab dan mengambil peranan dalam komuniti. Kerja komuniti
dijalankan melalui penglibatan komuniti (community involvement) atau penyertaan
(participation) serta peranan aktif anggota komuniti dalam keseluruhan proses kerja.

Selain pemerkasaan dan penglibatan komuniti, kerja komuniti juga hanya mampu
dilaksanakan secara sukarela, yakni digerakkan oleh anggota komuniti dengan rela hati, ikhlas,
dan tanpa mengharapkan ganjaran material. Tanpa memahami peranan kesukarelawanan dalam
proses kerja komuniti tidak mungkin kerja komuniti dapat dijalankan dengan baik dan berkesan.
Akhir sekali, keseluruhan proses kerja komuniti ini dilakukan dalam rangka menuju
pembangunan dan kesejahteraan komuniti dan masyarakat.

Kerja komuniti dijalankan atas berbagai-bagai nama tetapi umumnya dicirikan oleh empat
elemen yang dinyatakan di atas. Antara nama atau istilah kerja komuniti yang disenaraikan
Azizan dalam teks tersebut meliputi:

- Amalan komuniti (community practice),


- Organisasi komuniti (community organization),
- Pembangunan komuniti (community development),
- Kerja pembangunan komuniti (community develpment work),
- Kerja sosial komuniti (community social work),
- Khidmat pengembangan (extension service),
- Pendidikan komuniti (community education),
- Pendidikan politik komuniti (community political education),
- Tindakan sosial (social action).

Daripada istilah-istilah ini jelas, dalam konteks Malaysia, kerja komuniti dijalankan oleh
berbagai-bagai pihak, contohnya: Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Belia dan Sukan,
Jabatan Pertanian, Jabatan Kemajuan Masyarakat, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, dan
pelbagai pertubuhan sukarela, yayasan, kumpulan dan pihak individu. Elemen-elemen penting
kerja komuniti di atas hadir dalam kerja-kerja komuniti yang disenaraikan itu.

Walau bagaimanapun, perbezaan istilah yang digunakan bukan tanpa maksud dan implikasi
tertentu. Faktor ideologi, falsafah, dan perspektif nilai seringkali mendasari penggunaan istilah-
istilah tersebut. Perbezaan ini dapat dikenal pasti dan dianalisis berdasarkan model-model kerja
komuniti yang telah diperkenalkan dan diperdebatkan sekian lama.

Antara model yang dimaksudkan ialah tiga model klasik oleh Jack Rothman (1978) iaitu (1)
Model Pembangunan Setempat (locality development) atau Bantuan Kendiri, (2) Model
Perancangan Sosial (social planning) atau Bantuan Teknikal, dan (3) Model Tindakan Sosial
(social action) atau Model Konflik. Yang lain termasuk Model Perkhidmatan Pengembangan,
Model Kawalan Sosial, Model Kerja Pengembangan, Model Perniagaan Sosial, dan juga Model
Pembaharuan Sosial (Social Reform Model). Sehubungan dengan ini dan berdasarkan tipologi
Rothman tadi, Ann Jeffries mengubahsuaikan tiga model tersebut dan menjadikan empat model,
iaitu 1) Capacity and Awareness Promotion, 2) Partnership Promotion, 3) Non-Violent Direct
Action, dan 4) Social Campaigns. (Hardcastle et al., 2004: 52-56).

Sebagai contoh, tipologi Rothman membahagikan model berdasarkan beberapa kriteria atau
ciri tertentu, antaranya: (1) matlamat kerja, (2) andaian-andaian (assumptions) tentang komuniti,
(3) strategi dan taktik perubahan, (4) peranan-peranan utama pekerja komuniti, (5) peranan
komuniti, dan (6) sikap / perspektif dan orientasi terhadap struktur kuasa (yakni pihak-pihak
berkuasa dan berpengaruh).

Sehubungan dengan itu maka Model Pembangunan Setempat bermaksud jenis kerja
komuniti yang mensasarkan sebuah komuniti yang berdikari; mengandaikan bahawa
permasalahan komuniti berpunca daripada komuniti sendiri; penduduk; melihat pembangunan
sebagai sesuatu yang dapat diusahakan melalui penyertaan luas penduduk; pekerja komuniti
berperanan selaku pemboleh-pemangkin, penyelaras dan guru bagi komuniti; dan pihak berkuasa
dilihat sebagai rakan kongsi dalam agenda pembangunan.

Model Perancangan Sosial bermaksud jenis kerja komuniti yang menekankan penyelesaian
masalah yang dihadapi komuniti melalui proses teknikal; mengandaikan penduduk memerlukan
bantuan dan input daripada pihak luar untuk membangun; melihat perubahan sebagai sesuatu
yang terancang dan terkawal melalui dasar/polisi daripada pihak atas; pekerja komuniti
berperanan selaku pengutip maklumat dan penganalisis, selain selaku perancang dan pelaksana
program; dan pihak berkuasa dilihat sebagai majikan atau penaja pembangunan. Manakala
Model Tindakan Sosial pula ialah kerja komuniti yang mensasarkan perubahan struktural dalam
sistem dan institusi-institusi penting serta pengagihan semula kuasa dan sumber-sumber dalam
masyarakat; mengandaikan penduduk, khususnya yang miskin dan terpinggir, sebagai golongan
yang dimangsakan oleh struktur sosial yang tidak adil dan mereka mampu bangun selaku peserta
yang aktif dan penentu perubahan; melihat perubahan dan pembangunan sebagai suatu yang
boleh dilakukan melalui usaha penyusunan penduduk di sekitar isu-isu penting dalam rangka
meningkatkan kesedaran dan pemerkasaan mereka; pekerja komuniti berperanan sebagai
penyusun, aktivis, perunding dan pembela yang memihak kepentingan komuniti; dan pihak-
pihak yang menekan komuniti dilihat sebagai sasaran tindakan komuniti.

Begitu juga model-model yang dinyatakan tadi yang sebahagiannya merupakan pecahan
daripada tiga model klasik ini. Social Reform Model, sebagai contoh, ialah satu bentuk Model
Tindakan Sosial. Di sini usaha-usaha yang dilaksanakan melibatkan persepakatan kumpulan-
kumpulan dan pihak-pihak yang berkongsi aspirasi untuk membela golongan-golongan lain yang
terpinggir atau teraniaya seperti komuniti di kawasan pedalaman yang menghadapi ancaman
pemusnahan persekitaran kehidupan mereka oleh pembalakan, pembinaan ampangan dan
sebagainya. Sebahagian ciri model ini merupakan gabungan antara Model Tindakan Sosial dan
Model Perancangan Sosial.

Contoh-contoh model kerja komuniti ini memberi gambaran tentang keanjalan kerja
komuniti sebagai suatu pendekatan dan kaedah bekerja dengan komuniti dan golongan tertentu
dalam komuniti ke arah pembangunan dan kesejahteraan bersama. Model-model tersebut juga
menawarkan pilihan yang sesuai untuk dilaksanakan sama ada menekankan kepada inisiatif
penduduk (pembangunan setempat), bekerjasama dengan pakar luar dan melakukan perubahan
secara terancang (perancangan sosial), dan melihat isu dan permasalahan berdasarkan perbezaan
dan konflik kepentingan antara kelas sosial atau golongan tertentu dalam masyarakaat di satu
pihak, dan struktur kuasa serta pihak-pihak berkuasa dan berpengaruh di suatu pihak yang lain.
Bergantung kepada situasi tempatan dan juga faktor-faktor luaran yang dihadapi komuniti,
pekerja komuniti dan kalangan aktivis komuniti boleh menganalisis dan memastikan model yang
sesuai bagi menangani isu dan permalahan tertentu yang dihadapi komuniti, termasuk
permasalahan sosial remaja belia.

MENGAPA PENDEKATAN KERJA KOMUNITI?

Bagi menangani permasalahan sosial tersebut maka suatu pendekatan dan kaedah bekerja dengan
orang-orang muda yang berisiko dirasakan perlu, malah mendesak. Kerja komuniti dikemukakan
sebagai pendekatan dan kaedah ini kerana faktor-faktor berikut:
a) Kerja komuniti merupakan pendekatan dan kaedah yang boleh dilaksanakan oleh
pelbagai pihak, termasuk oleh pergerakan dan pertubuhan belia sendiri

b) Kerja komuniti memerlukan penglibatan dan kerjasama komuniti dan oleh itu
memungkinkan komuniti sendiri lebih beriltizam (committed) untuk menangani
permasalahan

c) Sebagai proses kerja yang berasaskan disiplin ilmu dan menggunakan kemahiran-
kemahiran yang sesuai kerja komuniti suatu proses kerja yang tersusun (sistematik)
dan holistik, dan berprospek mendatangkan hasil yang diharapkan

d) Kerja komuniti sesuai digunakan kerana memberi keutamaan kepada penggunaan


sumber-sumber yang sedia ada dalam komuniti dan di sekitarnya seperti bakat,
potensi, pengalaman, kemahiran, gerakan dan organisasi sukarela, perangkaian /
penjaringan, dan sebagainya untuk pemerkasaan komuniti, di samping lebih cost
effective berbanding kebanyakan program dan kempen yang memakan belanja yang
besar

e) Turut mensasarkan punca-punca sebenar permasalahan, bukan hanya menangani


simptom dan penyakit sosial

f) Aspek-aspek pendidikan dan pencegahan yang terdapat dalam pendekatan kerja


komuniti lebih menjamin keberkesanan dalam menangani permasalahan.

Pendekatan dan kaedah kerja komuniti boleh digunakan oleh pelbagai pertubuhan
termasuk pertubuhan atau kumpulan belia sendiri. Secara amnya, pertubuhan-pertubuhan belia
ini diharap dapat berperanan sebagai penggerak perubahan, pembantu proses, pemberi
penyelesaian dan sebagai penghubung sumber dalam konteks pembangunan belia yang
berterusan (Azimi Hamzah & Turiman Suandi, 1996).
Pertubuhan belia juga merupakan mekanisme penting untuk menggerakkan pembangunan
belia dan masyarakat sekeliling. Sebagai sebahagian yang tidak terpisah daripada masyarakat
maka peranan pertubuhan serta pergerakan belia umumnya tertumpu kepada pembangunan belia
dan masyarakat. Permasalahan sosial dalam kalangan remaja belia merupakan sebahagian isu
pembangunan belia dan masyarakat dan jika tidak ditangani sebaiknya akan menyebabkan proses
pembangunan sorot ke belakang. Berdasarkan profil tinggi permasalahan sosial remaja belia
dalam masyarakat kini maka usaha menanganinya oleh pertubuhan belia jelas memberi peluang
kepada pertubuhan melakukan sesuatu yang bermakna kepada usaha-usaha pembangunan sosial
dan negara umumnya.
Dalam buku di atas Azizan (hal. 57-67) mula menggariskan kerja komuniti sebagai suatu
pendekatan yang harus diberi perhatian dalam kerja belia di Malaysia. Hal ini kerana kerja belia
juga bertapak dan berkembang dalam seting komuniti, di samping keadaan ketandusan
pendekatan dan kaedah dalam kalangan pergerakan dan pertubuhan belia sendiri. Kerja komuniti
juga suatu kaedah kerja secara konkrit di lapangan dan hal ini tentunya berbeza dengan cara-cara
konvensional penyusunan orang-orang muda yang lazimnya dilakukan oleh sektor belia formal
kita seperti melalui seminar dan persidangan, ceramah dan kursus, dan gotong-royong khidmat
komuniti, selain menyokong dan terlibat dalam projek-projek ekonomi dan perniagaan.
Penglibatan pertubuhan dan kumpulan belia dalam kerja komuniti mempunyai prospek
kejayaan lebih baik kerana inisiatif yang demikian merupakan suatu proses kerja belia dengan
belia yang dilaksanakan lebih secara horizontal, berbanding top-down jika dilakukan oleh pihak
bukan-belia. Intervensi dengan pihak sasaran oleh mereka yang seangkatan tentunya lebih mudah
kerana wujudnya keadaan saling memahami pemikiran dan perasaan antara kedua pihak. Proses
penerimaan oleh pihak sasaran (remaja belia yang berisiko atau menghadapi permasalahan
sosial) juga seharusnya lebih mudah berlaku. Seperti disentuh di atas, penerimaan oleh remaja
belia yang berisiko atau menghadapi permasalahan sosial amat penting untuk memberi harapan
kejayaan sesuatu rancangan dan intervensi sosial.
Sebagai pertubuhan yang tumbuh dan berkembang dalam komuniti setempat maka
pertubuhan belia dan anggota-anggotanya mempunyai headstart dalam memahami selok-belok
komuniti serta menilai penerimaan mereka oleh komuniti. Mereka juga diandaikan sudah
mempunyai asas kukuh dalam jalinan perhubungan, sistem sokongan, pembinaan kontak dan
rangkaian (jaringan) sosial, dan pengenalpastian sumber-sumber yang terdapat di sekitar
komunti.
Sudah pasti untuk memainkan peranannya dengan baik dan berkesan pertubuhan belia
perlu bersedia dengan tenaga-tenaga yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran-kemahiran
asas dan relevan tentang kerja komuniti. Ini dapat dilakukan melalui kursus, latihan dan bengkel
berkenaan, di samping program-program pendedahan lain yang boleh diatur dengan pihak-pihak
yang mahir dan berpengalaman.
Selain di atas, kerja komuniti sesuai menjadi pendekatan dan kaedah kerja bagi
menangani permasalahan sosial remaja belia kerana melibatkan komuniti sendiri, termasuk
golongan remaja belia dan pihak sasaran dalam komuniti. Seperti dinyatakan di atas,
permasalahan sosial remaja belia tidak muncul dan wujud di dalam suatu ruang kosong (vacuum)
yang terpisah daripada realiti atau keadaan konkrit masyarakat dan persekitarannya. Hal ini
menuntut strategi dan tindakan yang mengambil kira, malah bertolak atau berkisar daripada,
komuniti atau masyarakat di mana belia lahir dan menjalani kehidupan sehariannya.
Kerja komuniti melibatkan anggota-anggota komuniti dan membuka ruang untuk
penglibatan mereka dalam keseluruhan proses kerja. Walaupun terdapat bentuk-bentuk kerja
komuniti yang digerakkan dari atas seperti dalam model Perancangan Sosial, rata-rata kerja
komuniti menekankan format kerja horizontal yang tidak dicirikan oleh perhubungan pemberi-
penerima antara mereka yang mengendalikan program dengan kumpulan sasarnya. Kelompok-
kelompok dalam komuniti (belia, wanita, golongan minoriti, warga tua, penganut
agama/kepercayaan, dan sebagainya) harus disedarkan, digalakkan dan dilibatkan dalam proses
kerja agar usaha menangani permasalahan menjadi tanggungjawab dan peranan bersama
(kolektif). Begitu juga melalui cara ini seluruh komuniti dilihat sebagai pihak yang
berkepentingan (interest groups) atau stake-holders. Hal demikian lebih menjamin komitmen
komuniti dalam menangani permasalahan dan komuniti tidak hadir selaku pemerhati yang pasif
sahaja.
Kerja komuniti dikatakan tersusun (sistematik) kerana berasaskan teori-teori dan konsep-
konsep tertentu serta amalan (praktis) yang sentiasa melalui proses penyelidikan, skrutini dan
pemantapan. Kerja komuniti juga suatu disiplin ilmu dan proses kerja yang melibatkan latihan /
kursus dan program pengajian dengan dibantu oleh bahan-bahan bacaan / rujukan dari seluruh
dunia. Idea dan dapatan baharu daripada kajian dan pengalaman di lapangan dalam pelbagai
seting tersebut sentiasa dianalisis dan dibahaskan untuk memperkayakan ilmu dan amalan kerja
komuniti.
Kerja komuniti juga lebih berpotensi sebagai usaha menangani permasalahan sosial
kerana menekankan penggunaan (secara optimum dan kreatif) sumber-sumber yang sedia ada
dalam kalangan anggota dan kelompok komuniti dan di sekitarnya seperti yang disebutkan di
atas. Sehubungan itu kerja komuniti juga proses yang mengutamakan pembangunan insaniah,
meliputi pendidikan, keilmuan, akhlak dan kerohanian, perhubungan dan interaksi sesama
anggota komuniti dan masyarakat, nilai dan pandangan hidup, kepentingan memulihara
khazanah alam, keadilan sosial dan kesejahteraan bersama. Penekanan sedemikian turut
menjimatkan perbelanjaan dan mengawal / mengurangkan pembaziran.
Usaha pembangunan komuniti tentu kurang bermakna jika punca-punca sebenar yang
menimbulkan permasalahan sosial tidak ditangani sebaiknya. Daripada perspektif model
Tindakan Sosial (atau Konflik), umpamanya, punca-punca permasalahan dalam komuniti dan
masyarakat boleh dikenal pasti daripada struktur, sistem, nilai dan peraturan yang berakar dan
beroperasi dalam sesebuah polity dan masyarakat. Dalam konteks ini, menangani permasalahan
sosial juga bererti menyusun semula dan memperkemaskan struktur dan persekitaran yang
menyumbang kepada permasalahan sosial tersebut. Oleh hal demikian, pengaplikasian
pendekatan dan kaedah kerja komuniti dalam menangani permasalahan sosial remaja belia
mampu mensasarkan punca-punca permasalahan yang lebih bersifat struktural, bukannya sekadar
bergelut dengan simptom dan penyakit yang bersifat pemulihan citra (imej) pada penglihatan
awam.
Sehubungan dengan di atas, dan menepati sifatnya sebagai suatu usaha pembangunan
yang integratif dan holistik, kerja komuniti ternyata memberi perhatian kepada pendidikan
komuniti (termasuk golongan remaja belia) dan pencegahan (prevention) terhadap permasalahan
sosial daripada terus menjangkiti atau memangsakan remaja belia yang lain. Soal pendidikan dan
pencegahan ini justeru harus dianggap crucial kerana kejayaan sebenar atau keberkesanan usaha
menangani permasalahan sosial dan harapan masa depan negara dan masyarakat bergantung
kepadanya.

Walau bagaimanapun, seperti pendekatan atau kaedah kerja yang lain, kerja komuniti,
khususnya dalam konteks Malaysia, memerlukan masa dan peluang untuk menjadi lebih mantap.
Ia perlu di pelajari, dipantau, mendapat maklum balas, dan dinilai terus-menerus untuk menjadi
lebih berkesan. Sebagai suatu pendekatan dan kaedah yang sudah dilaksanakan di pelbagai
tempat dan latar belakang komuniti (meskipun tidak semestinya khusus dalam soal permasalahan
sosial remaja belia sahaja, sebaliknya untuk tujuan pembangunan komuniti dan masyarakat yang
lebih mencakup) maka pihak yang ingin menggunakan pendekatan dan kaedah ini seharusnya
dapat memanfaatkan pelbagai pengalaman (kerja komuniti) yang banyak dan lama itu.

CABARAN DAN HALANGAN


Dalam melaksanakan pendekatan kerja komuniti ini beberapa cabaran atau halangan
boleh diramalkan, antaranya:

Persediaan dan kemahiran pekerja komuniti

Pertembungan dan persaingan dengan pihak agensi / jabatan lain

Politik dan kepentingan lain tempatan

Di negara ini kerja komuniti rata-rata belum berkembang menjadi proses kerja
pembangunan yang mantap. Perspektif dan pendekatan, serta kaedah dan kemahiran, lebih-lebih
lagi kerja pembangunan komuniti dalam sektor awam (yang merupakan sektor terbesar
berbanding sektor sosial / sukarela dan swasta), masih terikat dengan atau dipengaruhi oleh
kerangka lama.

Sehubungan dengan ini maka persiapan dan peningkatan kebolehan dan kecekapan dalam
kalangan tenaga pelaksana sangat diperlukan. Seperti digariskan di atas, pertubuhan belia,
pertubuhan sukarela (bukan belia) serta pihak-pihak lain yang ingin menggunakan pendekatan
dan kaedah kerja komuniti dalam menangani permasalahan sosial remaja belia seharusnya
berusaha untuk menguasai kerja komuniti dan memanfaatkan pengalaman pihak-pihak lain
dalam inisiatif yang serupa.
Cabaran dan halangan ini boleh difahami kerana pembangunan komuniti suatu domain
negara (the state) yang sudah agak established. Sejak era penjajahan British, lebih-lebih lagi
selepas perang sehingga era pascaMerdeka, pembangunan masyarakat (termasuk komuniti)
menjadi agenda penting di tanah jajahan. Pembentukan dan kewujudan jawatankuasa, agensi,
pasukan, dan jabatan di peringkat akar umbi dan daerah oleh pihak-pihak berkuasa, dan pelbagai
program pembangunan (penduduk, wilayah, sektor ekonomi, dan lain-lain) suatu bukti jelas
tentang kepentingan agenda masyarakat dan komuniti ini. Keadaan tersebut berterusan sehingga
kini dengan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan bersaing untuk menganjurkan dan menyalurkan
aneka bentuk kempen, program dan bantuan, beserta dengan sistem kawalan dan pemantauan
masing-masing. Dalam senario yang demikian kerja komuniti, lebih-lebih lagi sesetengahnya
yang mempunyai implikasi perubahan struktural komuniti, terpaksa mengalami kesukaran untuk
dilaksanakan walaupun atas nama menangani permasalahan sosial remaja belia.
Cabaran dan halangan juga mungkin hadir dalam bentuk situasi politik dan kepentingan
pihak-pihak tertentu tempatan. Hubungan antara politik dan kepentingan ekonomi elit tempatan
sudah diperkatakan secara meluas. Kedua-duanya saling membantu mengukuhkan kedudukan.
Begitu juga politik sebagai bidang yang overdeveloped dalam negara sedang membangun yang
juga menyumbang kepada kelembapan pembangunan bidang-bidang kehidupan lain masyarakat.
Dalam konteks ini, sebarang agenda (seperti kerja komuniti) yang dilihat boleh mengganggu
status quo atau kestabilan yang wujud sukar mendapat laluan mudah.
Walau bagaimanapun, halangan dan cabaran tersebut boleh ditangani dengan kefahaman
yang lebih mendalam tentang kerja komuniti serta persiapan yang lebih sistematik dalam
kalangan pekerja komuniti dan aktivis tempatan yang terlibat. Pengalaman dan rumusan kerja
komuniti di pelbagai seting sarat dengan halangan dan cabaran. Namun, pengalaman dan
rumusan itu juga menawarkan banyak pengajaran untuk diteladani dan diadaptasi dalam situasi
konkrit tempatan, di samping inisiatif sendiri (tempatan / peribumi) yang sentiasa dimantapkan.

RUMUSAN
Permaalahan sosial seperti yang dihadapi sekarang ini sememangnya suatu fenomena
yang perlu ditangani segera dan secara yang lebih berkesan. Pertubuhan belia merupakan salah
satu organisasi dalam masyarakat yang dapat memainkan peranan aktif bagi menangani
permasalahan remaja belia. Hal ini kerana pertubuhan belia diwujudkan oleh orang muda dan
mewakili kepentingan orang muda, termasuk remaja belia yang berisiko ini. Pihak-pihak lain
seperti kerajaan, pertubuhan sukarela (bukan belia), sektor swasta dan orang perseorangan yang
perihatin juga harus terus telibat secara aktif dan lebih sistematik dalam menangani
permasalahan ini.
Pendekatan dan kaedah kerja komuniti sebagai suatu proses kerja bersama komuniti
untuk pembangunan masyarakat dicadangkan diaplikasi (dengan ubahsuaian mengikut keadaan
dan keperluan tempatan) oleh pertubuhan dan pihak-pihak tempatan. Keanjalan kerja komuniti
dan beberapa kekuatannya seperti yang digambarkan oleh pelbagai model atau pendekatan kerja
komuniti (universal) memberi harapan tentang prospek kejayaan dan keberkesanannya bagi
menangani permasalahan sosial remaja belia, di samping menggerakkan pembangunan
masyarakat setempat.
RUJUKAN

Abdul Majid Ismail dan Roziah Abdullah. (2003). Gejala sosial sebagai kesan sampingan
pembangunan dan cara mengatasi: pengalaman pengamal ilmu bela diri. Prosiding
Persidangan Kebangsaan. Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran
Cabaran Pembangunan Dilema Persekitaran. 12 hingga 13 September 2003,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Agensi Antidadah Kebangsaan. (2011). Laporan dadah bulan disember 2011. Diakses pada 7
November, 2012 daripada Laman Web Rasmi Agensi Antidadah Kebangsaan,
Kementerian Dalam Negeri, www.adk.gov.my/web/guest/dadah-2011.

Ahmad Redzuwan Mohd Yunus et al. (2002). Belia dan tuntutan berdakwah. Prosiding
Persidangan Kebangsaan Kerja Sosial, Belia dan NGO: Isu, Peranan dan Strategi. 13
hingga 15 Ogos, Kuala Lumpur. Universiti Utara Malaysia.

Azimi Hamzah dan Turiman Suandi. (1996). Isu dan cabaran dalam pembangunan belia:
beberapa pemerhatian penting. Kertas kerja dibentangkan di Persidangan Majlis
Perundingan Belia Negeri Sembilan.

Azizan Bahari. (akan terbit). Bekerja dengan komuniti.

Azizan Bahari. (2010). Permasalahan sosial dalam kalangan pelajar: keperluan kepada kerja
sosial dalam pendidikan. Prosiding Seminar Kerja Sosial dalam Pendidikan. 10 11 Mei
2010, Sintok, Universiti Utara Malaysia.

Azizan Bahari. (1995). Pergerakan belia: persoalan dan cabaran. Kuala Lumpur: Institut Kajian
Dasar.

Commonwealth Youth Programme: Asia Centre. (1992). The study of volunteerism among youth
in Asia. Chandigargh: CYP.
Hardcastle, D.A. & Powers, P.R. dengan Wenocur, S. (2004). Community practice: theories and
skills for social workers. New York: Oxford University Press.

Itty, C.I. (ed) (1984). Searching for Asian paradigms. Bangkok: Asian Cultural Forum on
Development.

Jabatan Perangkaan Malaysia. (2010). Taburan Penduduk dan Ciri-Ciri Asas Demografi 2010.
Diakses pada 7 November, 2012 daripada
www.statistics.gov.my/portal/download_Population/files/census
2010/Taburan_Penduduk_dan_Ciri-ciri_Asas_Demografi.pdf.

Rothman, J. (1978). Three models of community organization practice, their mixing and phasing.
Dalam Cox, F.M. et al (eds.). 1979. Strategies of community organization. Itasca:
F.E.Peacock Publishers.

Sapora Sipon. (1998). Gejala sosial di kalangan belia. Lembaran Pembaca Dewan Budaya,
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Thomas, D.N. (1982). Organizing for social change a study in the theory and practice of
community work. London: Allen and Unwin.

Twelvetrees, A. (2008). Community work (fourth edition). London: Palgrave Macmillan.

Anda mungkin juga menyukai