Anda di halaman 1dari 31

TAJUK:

ARTIKEL JURNAL

CINTAI ILMU, MENERANGI KEGELAPAN

NOMBOR KUMPULAN:

56

NAMA PELAJAR DAN NO MATRIK:

HAIRULNIZAL BIN HAIRUDDIN (A180621)

MUHAMMAD IHSAN BIN MOHD NORMAN (A180080)

AHMAD ZUHAILI IKHWAN BIN SIFLY (A182704)

IS BARJAJ BIN ISMAIL (A171035)

AHMAD FAHMI BIN SAHRUDIN (A188063)

NAMA KURSUS & KOD:

DIMENSI CINTA (LMCR3302)

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA


ABSTRAK

Permasalahan sosial yang wujud dan semakin berkembang dalam masyarakat seiring dengan
zaman modenisasi ini amatlah membimbangkan. Permasalahan sosial ini terdiri daripada
perbuatan membunuh diri, mencuri, gengsterisme dan banyak lagi. Terdapat beberapa faktor
yang dikenal pasti oleh pengkaji yang menjadi punca kepada permasalahan sosial yang terjadi
dalam kalangan masyarakat. Terdapat beberapa inisiatif yang dilakukan oleh pihak kerajaan
dalam membendung masalah ini namun tidak cukup untuk menyelesaikan isu ini. Maka,
pengkaji mendapati ilmu pengetahuan amatlah memainkan peranan yang amat penting dalam
menyelesaikan isu ini. Oleh itu, objektif kajian ini ialah mengenal pasti konsep ilmu dalam
kehidupan dan seterusnya menjelaskan hubungkait antara cinta akan ilmu dengan kegelapan
dalam diri manusia. Bagi mencapai objektif kajian ini, pengkaji menggunakan kaedah kualitatif
dengan mengambil rujukan daripada data-data sekunder seperti buku, jurnal dan laman
sesawang yang diiktiraf. Selain itu, pengkaji juga menemu ramah 2 orang responden bagi
mendapatkan hasil kajian yang diyakini. Hasil dapatan kajian mendapati, cinta akan ilmu
amatlah memainkan peranan penting dalam menerangi kegelapan dalam kehidupan manusia.
Cinta akan ilmu akan menjauhkan manusia daripada terlibat dalam permasalahan sosial seperti
bunuh diri, gengsterisme dan sebagainya. Responden juga sedar akan kepentingan cinta akan
ilmu dalam kehidupan. Kesimpulannya, cinta akan ilmu amatlah memainkan peranan yang
penting dan mempunyai hubungkait yang rapat dalam menerangi kegelapan hidup manusia.

Kata Kunci: permasalahan sosial, ilmu, kegelapan, bunuh diri, gengsterisme


1.1 PENDAHULUAN

Revolusi perindustrian adalah satu peringkat di mana perkembangan sains dan teknologi dunia
digunakan sebagai piawaian pengukuran. Hari ini, dunia telah memasuki peringkat 4.0
Revolusi Perindustrian, ditandai dengan kemajuan teknologi baharu dalam automasi, robot,
pangkalan data, kecerdasan buatan dan pelbagai bentuk yang lain. Perubahan ini berkait rapat
dengan keperluan manusia terhadap pengetahuan dan kemahiran, yang membolehkan manusia
mencipta nilai dalam sistem ekonomi global. Namun begitu, berbanding dengan populasi
dunia, masih terdapat kekurangan modal insan yang berdaya saing dan mampu menghadapi
perubahan tersebut. Disebabkan keterikatan orang ramai terhadap teknologi, teknologi baharu
ini dijangka memberi kesan negatif kepada fungsi mental manusia.

Oleh itu, kesanggupan untuk mempelajari atau menguasai kemahiran baharu adalah
kunci kepada generasi akan datang untuk mengharungi cabaran ini. Selain itu, mereka perlu
bersedia untuk menonjolkan kelebihan dan kemahiran yang lebih maju daripada mesin atau
robot. Selain kecerdasan emosi dan kebolehan kognitif yang fleksibel. kemahiran penting
termasuk kemahiran menyelesaikan masalah yang kompleks, pemikiran kritis dan kreativiti.
Ini adalah untuk menebus masalah yang disebabkan oleh kesan teknologi, seperti kekeliruan
dalam menilai maklumat. Ciri-ciri yang diterangkan dalam kajian ini adalah sebahagian
daripada pembudayaan ilmu pengetahuan yang diamalkan oleh para ilmuan Islam sepanjang
zaman. Oleh itu, mereka dikenali sebagai orang yang berpengetahuan luas dalam pelbagai
bidang, selain memiliki keperibadian yang mulia, mereka juga percaya bahawa mereka telah
melampaui zaman. Kesemua ciri ini adalah titik tolak motivasi diri sama ada dalaman mahupun
faktor sekeliling.

Oleh itu, untuk mencipta semula generasi yang begitu hebat, adalah perlu untuk
mengkaji cinta ilmu dan hubungannya dengan keperibadian yang terpuji. Ini berdasarkan
kepentingan ilmu ditambah sahsiah yang baik. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk
mengesahkan dan menguji kebolehpercayaan alat yang digunakan untuk menilai tahap
kecintaan pelajar terhadap ilmu dan hubungannya dengan personaliti ummah yang cemerlang.
Penekanan diberikan kepada pelajar, kerana mereka tergolong dalam golongan ulama yang
berperanan sebagai pusat tradisi intelektual yang berterusan di universiti.
1.2 PERMASALAHAN KAJIAN

Seiring dengan perubahan masa dalam mencapai zaman modenisasi, permasalahan sosial yang
wujud dan terus berkembang dalam masyarakat semakin membimbangkan. Permasalahan
sosial yang wujud dan semakin berkembang dalam masyarakat seperti membunuh diri,
mencuri, gengsterisme dan banyak lagi amatlah menimbulkan keresahan dalam setiap diri
individu. Permasalahan ini telah lama berlaku dan banyak dibincangkan oleh pihak berwajib
namun tidak menemui jalan penyelesaian yang terbaik. Kebanyakan hukuman pelaku
permasalahan sosial hanya dikenakan bayaran denda dan penjara. Sekiranya pelaku kesalahan
itu hanya sekadar dikenakan bayaran denda atau dikenakan tindakan penjara, mereka pasti akan
melakukan jenayah itu lagi setelah keluar daripada penjara. Tuntasnya, ianya bukanlah jalan
penyelesaian yang terbaik dalam menyelesaikan permasalahan sosial lebih-lebih lagi
permasalahan sosial yang melibatkan nyawa iaitu seperti membunuh diri.

Menurut Suraya Roslan (2021) dalam Berita Harian Online, terdapat lebih 703,000 kes
kematian membunuh diri setiap tahun di seluruh dunia yang dilaporkan oleh Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO) dengan purata satu kejadian bunuh diri setiap 40 saat. Terdapat
banyak faktor yang dikenal pasti yang menjadi punca dalam kes membunuh diri di atas. Antara
faktornya ialah faktor masalah kesihatan mental seperti kemurungan, faktor hilang pekerjaan
dan sumber pendapatan dan sebagainya. Faktor di atas terhasil daripada kesan situasi pandemik
COVID-19 yang melanda di seluruh dunia sehingga memberikan kesan yang negatif kepada
keadaan seseorang individu atau keluarga tidak terkecuali masyarakat Malaysia. Terdapat
beberapa langkah yang diambil oleh kerajaan Malaysia dalam menangani isu membunuh diri
yang berlaku di negara Malaysia. Namun persoalannya adakah pengukuhan Talian Bantuan
Sokongan Psikososial yang diwujudkan KKM dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO)
ialah jalan penyelesaian yang terbaik dalam menangani isu ini ?

Selain itu, menurut Siti Aishah Sulaiman (2017) dalam Berita Harian Online, terdapat
segelintir remaja yang terlibat dalam masalah sosial iaitu gengsterisme. Aktiviti gengsterisme
dalam remaja ini amatlah membimbangkan kerana ianya boleh membawa kepada masa depan
yang hancur. Seiring dengan era globalisasi ini, aktiviti gengsterisme ini tidak hanya berlaku
di bandar, namun juga berlaku di luar bandar dan ianya berlaku dalam lingkungan seawal 11
tahun. Antara aktiviti gengsterisme ialah buli, peras ugut, merokok, melepak dan banyak lagi.
Kebiasaannya mereka yang terlibat dengan aktiviti gengsterisme ini ialah remaja yang sering
melanggar peraturan sekolah dan mereka yang sering melakukan kesalahan disiplin. Antara
faktor yang dikenal pasti sebagai punca berlakunya aktiviti gengsterisme ini ialah faktor
pengaruh rakan sebaya, faktor kekurangan kasih sayang ibubapa dan faktor media massa yang
memaparkan aksi ganas kemudian ianya menjadi ikutan kepada para remaja.

Melihat kepada permasalahan sosial yang berlaku di atas, dapat disimpulkan bahawa
banyak faktor yang telah menyebabkan permasalahan sosial ini terus berlaku dan berkembang
dalam masyarakat. Terdapat juga langkah atau inisiatif yang dilakukan oleh pihak kerajaan
namun masih gagal dalam membendung permasalahan sosial ini daripada terus berkembang.
Persoalannya apakah langkah yang terbaik dalam membendung permasalahan sosial ini
daripada terus berkembang? Pengkaji mendapati langkah yang terbaik dalam menangani isu
permasalahan sosial ini ialah dengan rasa cinta akan ilmu pengetahuan. Hal ini kerana,
permasalahan sosial ini berlaku kebanyakannya berpunca daripada kejahilan atau kurangnya
ilmu pengetahuan. Sekiranya seseorang itu mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam
terutamanya ilmu agama Islam bagi orang Islam, mereka tidak akan melakukan permasalahan
sosial lebih-lebih lagi perbuatan membunuh diri. Hal ini kerana, perbuatan membunuh diri
tidak hanya tidak dapat menyelesaikan masalah, akan tetapi merupakan sesuatu perbuatan yang
keji dan akan mendapat balasan azab yang berat di akhirat kelak.

Perkara di atas disokong oleh Fauziah Ibrahim (2012) dalam kajiannya bahawa, ilmu
pengetahuan agama yang tinggi dapat mengurangkan kecenderungan remaja untuk terjebak
dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang dan aktiviti yang tidak bermoral. Bahkan ilmu
pengetahuan agama yang rendah dan sederhana juga masih belum meyakinkan untuk menjadi
benteng dan perisai untuk tidak terdedah dengan gejala negatif. Menurut Majlis Agama Islam
Selangor (2015), ilmu dapat menjadikan seseorang individu itu bertakwa dan sentiasa
berhatihati dalam mengharungi kehidupan di dunia. Hal ini termasuklah sentiasa berhati-hati
agar tidak jatuh dan terpengaruh dengan permasalahan sosial yang berlaku dan berkembang
pada masyarakat kita pada hari ini.

Kesimpulannya, permasalahan sosial yang wujud dan sentiasa berkembang haruslah


diambil perhatian yang penting dan perlu dicegah dengan langkah yang lebih berkesan.
Kemajuan era globalisasi seiring dengan permasalahan sosial amatlah membimbangkan kerana
kemajuan tidak hanya dinilai dari segi aspek lahiriah sahaja, namun termasuk kepada nilai
rohani dan spritual. Ilmu memainkan peranan yang amat penting dalam mengelakkan perkara
ini daripada terus berkembang. Oleh itu, ilmu haruslah dititikberatkan oleh semua pihak.
1.3 PERSOALAN KAJIAN

Bagi mencapai objektif kajian, kajian ini dirangka bagi menjawab beberapa persoalan kajian
seperti berikut:

1. Apakah terdapat hubungan antara cinta ilmu dan menerangi kegelapan hidup
seseorang?

2. Adakah kesan cinta ilmu terhadap seseorang?

1.4 OBJEKTIF KAJIAN

1. Mengenal pasti konsep ilmu dalam kehidupan


2. Menjelaskan hubungkait antara cinta akan ilmu dengan kegelapan dalam diri manusia

1.5 KEPENTINGAN KAJIAN

Kajian ini sangat penting bagi membentuk peribadi yang benar sebagaimana dinyatakan dalam
al-Quran bahawa ilmu dikurniakan kepada mereka yang melakukan kebaikan melalui firman
Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 22. Selain itu, kajian ini berupaya memberikan panduan
kepada pemimpin negara, ahli akademik, institusi Islam dan pusat kecemerlangan dalam
menyemarakkan budaya cintakan ilmu agar dapat melahirkan masyarakat Islam yang
cemerlang dari segi akhlak dan juga agama sekaligus dapat mengurangkan masalah-masalah
sosial di kalangan masyarakat. Oleh itu, kemajuan era globalisasi yang seiring dengan
permasalahan sosial perlu dibendung dengan menanam sifat cintakan ilmu dalam diri
masyarakat.

Kajian ini juga bertujuan untuk memperlihatkan kepada semua bahawa melalui ilmu
kita akan dihormati oleh orang sekeliling kerana orang yang berilmu akan dihormati dan
disanjung oleh masyarakat. Masyarakat sangat menghargai orang yang berilmu kerana khidmat
mereka boleh digunakan untuk kepentingan umum. Contohnya, doktor mampu memberi
rawatan kepada pesakit, pendakwah mampu memberi kesedaran kepada masyarakat dan guru
boleh menyampaikan ilmu kepada para pelajar. Masyarakat akan menghargai jasa-jasa orang
yang berilmu kerana mereka telah berjaya memberikan perkhidmatan yang diperlukan. Jelaslah
bahawa ilmu sangat penting dalam kehidupan kita. Ilmu yang ingin kita cari perlulah terdiri
daripada ilmu dunia dan ilmu akhirat. Keseimbangan ilmu ini sangat perlu kerana, kita tidak
mahu dalam kita berkerjaya dan berkedudukan, akhlak dan rohani kita rosak. Cabaran dunia
hari ini memerlukan kita menguasai ilmu agama sebagai benteng dan jati diri daripada
melakukan perkara-perkara yang tidak elok dan bertentangan dengan hukum agama.

1.6 BATASAN KAJIAN

Kajian ini dibataskan kepada individu yang berada di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kajian
ini memberikan tumpuan kepada individu yang berilmu pengetahuan dalam menerangkan dan
mencapai kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan seorang individu. Individu yang
berilmu pengetahuan amatlah penting dalam mencapai dapatan kajian yang tepat dan diyakini.
Sampel kajian ini juga tidak mengira jantina iaitu lelaki atau perempuan. Bagi peringkat umur,
kajian ini membataskan kepada pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia yang berumur dalam
lingkungan 20-an.

1.7 SOROTAN KAJIAN

Menurut Nazneen binti Ismail, Syaidatun Nazirah Abu Zahrin dan Nurzatil Ismah Azizan
(2018), kajian ini telah dikaji dengan menggunakan satu set borang soal selidik (Creswell, J.W
2003). Set soal selidik ini diedarkan kepada 73 mahasiswa di Universiti Kuala Lumpur
(UniKL) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kesimpulan kajian mendapati
bahawa sistem pengajian tinggi hari ini merupakan medium pembudayaan cinta ilmu dalam
kalangan mahasiswa. Hanya ilmu yang benar mampu menyumbang ke arah pembangunan
masyarakat dan negara. Ini kerana ilmu mempunyai hubungan dengan keperibadian ummah
cemerlang. Kedua-dua aspek ini penting dalam mendepani kemajuan teknologi dan lambakan
maklumat.
Menurut Syaidatun Nazirah Abu Zahrin dan Fazilah Idris (2021), bahawa ‘ilmu’ adalah
pengetahuan, kepandaian dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Dalam
konteks kajian ini, ilmu merujuk kepada ketibaan maklumat yang benar dan bermakna dalam
diri seseoran insan (al-Attas 2001) yang merangkumi perkara-perkara dunia dan akhirat.
Justeru itu, ‘cinta imu’ merujuk kepada kesungguhan seseorang dalam mencari, mendapatkan
maklumat yang benar dan bermakna (ilmu) serta menghayati dan meninggkatkan ilmu tersebut.
Kepentingan aspek cinta ilmu dipercayai dapat memberi sumbangan kepada wujudnya budaya
keilmuan dan seterusnya meningkatkan kecemerlangan seseorang individu.

Menurut Nazneen binti Ismail (2018), berdasarkan kajian perkaitan cinta ilmu dengan
keperibadian ummah cemerlang dalam menghadapi revolusi industi 4.0 yang telah dilakukan
oleh beliau. Dapatan menunjukkan tahap cinta ilmu dalam kalangan mahasiswa adalah tinggi
dan ia satu tanda aras yang baik. Maka, keadaan ini perlu ditingkatkan dengan memberi
tumpuan kepada enam aspek iaitu pembacaan, penulisan, berfikir dan diskusi, cintakan
kebenaran dan keadilan, motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik. Selain itu, kajian ini juga
mendapati para mahasiswa memiliki tahap cinta ilmuyang tinggi di samping keperibadian
ummah cemerlang yang baik menunjukkan kesediaan mereka dalam menghadapi gelombang
Revolusi Industri 4.0 ini. Melalui duaelemen ini, para mahasiswa diharapkan mampu
memelihara jati diri ummah cemerlang dengan sebaiknya. Namun begitu, dapatan ini tidak
boleh digeneralisasikan berikutan adanya kebarangkalian bahawa kepesatan teknologi mampu
mengubah keperibadian seseorang secara tidak langsung. Hal ini telah dapat dilihat
berdasarkan pengalaman lalu di mana teknologi berhasil mengurangkan daya tumpuan dan
fungsi mental seseorang.

Al-falah merupakan wasilah bagi Mukmin untuk mencapai kesempurnaan hidup


didunia dan akhirat. Kesempurnaan iman bagi seseorang dikira apabila dia berjayamencapai
darjat taqwa di sisi Allah SWT (Danial 2006; Sidek 2003; Noor Hayati 2016).Firman Allah
SWT dalam Al-Hujurat (49:13) yang bermaksud:Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi
Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi
Maha Mendalam PengetahuanNya. Berdasarkan ayat al-Quran di atas, difahami bahawa
terdapat hubungansecara langsung antara ilmu dan keperibadian Muslim terbaik. Malah,
ukuran ketakwaan seseorang juga boleh dinilai berdasarkan ilmu yang ada dalam dirinya.

Dapat dirumuskan bahawa keimanan menjadi asas kepadahubungan antara cinta ilmu
dan keperibadian al-falah dalam Islam. Hubungan yang timbal balik ini adalah saling
menguatkan dan memerlukan antara satu dengan yang lain. Perlu ditegaskan bahawa untuk
mencapai al-falah di dunia dan akhirat, seseorang itu perlu kepada ilmu. Walaupun begitu, ilmu
secara teori sahaja tidak memadai tetapi ia perlu disertai dengan amal soleh. Ciri-ciri ini
berbeza dengan keilmuan yang difahami masyarakat umum iaitu tertumpu kepada unsur akal
atau intelek manusia sahaja. Al-Quran menunjukkan bahawa keilmuan perlu mengatasi
perkara-perkaratampak zahir. Seorang yang cintakan ilmu akan melazimkan diri untuk berfikir
dan merenung perkara yang tersirat di sebalik yang tersurat (Mazneen binti Ismail, Syaidatun
Nazirah Abu Zahrin 2019).

1.8 KAEDAH PENYELIDIKAN

1.8.1 Reka Bentuk Kajian

Bagi menyempurnakan kajian ini, pengkaji akan menggunakan reka bentuk


kajian berbentuk kualitatif. Bentuk kajian ini dipilih kerana dapat mengumpul data
dan maklumat yang lebih tepat agar dapat menghasilkan kajian yang berkualiti dan
mencapai objektif kajian yang disertakan.

1.8.2 Tempat Kajian

Pengkaji akan menjalankan kajian ini di kawasan Universiti Kebangsaan Malaysia


(UKM), Bangi. Lokasi ini dipilih kerana memenuhi kriteria kajian, dilihat dari segi
latar belakang responden di samping mampu untuk menjawab persoalan kajian yang
digariskan.

1.8.3 Subjek Kajian

Tajuk subjek kajian yang telah dipilih ialah ‘cinta ilmu menerangi kegelapan’
yang akan dijalankan ke atas mahasiswa UKM dari Fakulti Pengajian Islam(FPI).
Seramai dua orang pelajar akan dipilih bagi menjalankan temu bual.

1.8.4 Instrumen Kajian

Instrumen ialah alat bagi mengumpul maklumat yang dikehendaki bagi


menjawab soalan kajian yang telah ditetapkan. Pengkaji akan menggunakan beberapa
jenis instrumen bagi mengumpulkan maklumat dan data untuk penyelidikan ini. Salah
satu daripada instrumen tersebut ialah yang mempunyai kaitan dengan kaedah
kualitatif ini adalah menggunakan teknik temu bual dan menggunakan kajian
kepustkaan menggunakan kaedah analisis dokumen.

1.8.5 Analisis Data

Bagi menganalisis data kualitatif iaitu kaedah temu bual dan kajian
kepustakaan. Pengkaji akan menganilis data dan maklumat dari temu bual
menggunakan analisis tematik di mana pengkaji akan mengumpulkan data deskriptif
bagi menjawab masalah kajian. Apabila data telah dikumpulkan pengkaji akan
melalui data berunglang kali bagi mencari tema yang muncul dan lain-lain.

Bagi data kajian kepustakaan, kaedah analisis dokumen akan digunakan bagi
mengetahui makna dan si yang terkandung di dalam suatu dokumen tersebut. Pengkaji
mengumpul data dan maklumat daripada bahan bacaan seperti buku, jurnal serta
artikel.

2.0 HASIL DAPATAN KAJIAN

2.1 KONSEP ILMU DALAM KEHIDUPAN

(A) KONSEP ILMU PENGETAHUAN

Ilmu merupakan antara elemen paling penting dalam kehidupan. Ilmu mempunyai pelbagai
kepentingan dan sentiasa digunakan dalam kehidupan seharian kita. Ilmu tidak hanya terhad
atau boleh didapati hanya di sekolah atau universiti, namun pembelajaran sentiasa berlaku
dalam kehidupan kita sama ada kita perolehnya melalui pendidikan formal mahupun
pendidikan tidak formal. Pendidikan tidak formal ialah pendidikan atau ilmu yang kita peroleh
tanpa pendidikan yang tersusun seperti di rumah, di pasar raya, pengalaman dan sebagainya.
Namun begitu, ramai masyarakat yang tidak tahu akan kepentingan cinta akan ilmu dalam
kehidupan sehingga mereka mengabaikannya. Akibat daripada perbuatan tersebut, maka ramai
daripada golongan yang tidak cinta akan ilmu ini terjerumus dalam kegelapan sehingga
berlakunya banyak permasalahan sosial. Bukan itu sahaja, terkadang masyarakat juga keliru
antara ilmu yang benar dan ilmu yang salah, sehingga berlakunya salah faham dan kekeliruan
yang mengakibatkan bertambah kegelapan dalam diri mereka kerana terikut jalan yang salah
dalam mencari dan mempelajari ilmu. Maka, pengkaji akan mengemukakan konsep ilmu
dahulu sebelum masuk kepada perbincangan yang mendalam iaitu cinta akan ilmu, dalam
menerangi kegelapan dalam kehidupan.

Terdapat beberapa definisi ilmu yang dikemukakan oleh agama wan Islam. Menurut
Imam al-Ghazali (1983), dalam kitab al-Munqidh min al-Dhalal mendefinisikan ilmu ialah
hakikat semua benda dan ilmu yang tidak dapat diragui (Ilm al-yaqin) yang bermaksud ilmu
tanpa ada sebarang keraguan dan tidak mungkin berlakunya kepalsuan dan penipuan yang
terlintas di dalam hati. Manakala menurut Syed Sheikh Ahmad al-Hadi (anon, 1929), ilmu
pengetahuan terbahagi kepada dua jenis, iaitu ilmu yaqini dan ilmu zanni. Ilmu yaqini adalah
ilmu yang berasal semata-mata daripada al-Quran dan al-Sunnah. Justeru, ilmu ini adalah sah
dengan sendirinya dan dikenali sebagai ilmu agama (ilmu naqli). Manakala ilmu zanni merujuk
kepada ilmu moden (ilmu ‘aqli) yang berdasarkan rasional dan hipotesis manusia yang
disimpulkan daripada akal dan ada unsur keraguan. Oleh itu, akal tidak boleh dilihat lebih
penting daripada al-Quran dan al-Sunnah dalam usaha mencari ilmu.

Berdasarkan di atas, pengkaji simpulkan bahawa ilmu merupakan satu bidang atau
perkara yang amat luas. Terdapat banyak definisi yang diberikan oleh ahli ilmuwan
menunjukkan bahawa ilmu itu sendiri amatlah luas maknanya. Namun apa yang pengkaji dapat
fahami ialah, sumber ilmu dalam Islam yang benar dan utama ialah al-Quran dan al-Hadis.
Setiap daripada ilmu yang ada pada hari ini boleh dipelajari dan dituntut asalkan tidak
bertentangan dengan ilmu yaqini atau ilmu naqli. Kebenaran pada ilmu yaqini tidak dapat
disangkal akan kebenarannya dan ianya merupakan sumber ilmu yang tertinggi. Ilmu aqli yang
masih terdedah dengan kesalahan dan kelemahan haruslah tidak bertentangan dan selari dengan
ilmu yaqini agar ianya boleh dipastikan kebenarannya. Hari ini ramai orang yang mempelajari
ilmu namun tidak berpandukan kepada ilmu yaqini sehingga mereka hilang panduan dalam
hidup dan berada dalam kesesatan. Ilmu yang jelas bertentangan dengan ilmu yaqini haruslah
ditolak kerana ianya akan membawa kepada kegelapan dan tidak dapat dipastikan akan
kebenarannya.
(B) CIRI-CIRI ORANG YANG BERILMU

Terdapat beberapa perbezaan yang ketara dalam melihat atau mengenal pasti ciri-ciri orang
yang berilmu dan orang yang tidak berilmu. Perkara ini biasanya jelas dan mudah untuk dikenal
pasti kerana ianya boleh dinilai daripada sifat luaran sahaja tanpa perlu kepada penilaian yang
mendalam. Antara ciri-ciri orang yang berilmu ialah:

1. Sentiasa berfikir sebelum bertindak

Orang yang berilmu akan sentiasa berfikir panjang sebelum membuat sesuatu perkara. Mereka
akan sentiasa berfikir kesan atau akibat daripada tindakan yang akan mereka lakukan. Orang
yang berilmu juga akan sentiasa memikirkan cara agar tindakan mereka itu tidak mendatangkan
fitnah dan dapat menjaga maruah diri mereka sebagai seorang yang berilmu. Manakala orang
yang tidak berilmu tidak berfikir panjang sebelum bertindak. Mereka hanya memikirkan cara
yang mudah tanpa melihat atau memikirkan kesan yang akan berlaku sekiranya mereka
melakukan perkara tersebut. Hal ini terkadang menyebabkan kesan negatif atau permasalahan
sosial yang berlaku terus meningkat.

2. Sentiasa beradab dan bersopan santun

Orang yang berilmu akan sentiasa menjaga adab atau tingkah laku mereka dalam menjaga
kemuliaan ilmu yang mereka miliki. Orang yang berilmu sentiasa menjaga adab dan sentiasa
bersifat sopan-santun walaupun di mana mereka berada. Hal ini kerana, mereka tahu bahawa
keberkatan dalam ilmu datang dengan mengamalkan ilmu yang mereka peroleh. Manakala
orang yang tidak berilmu sentiasa bersifat kasar dan mempunyai tingkah laku yang biadap.
Mereka hanya memikirkan keseronokan tanpa membuat penilaian akan dalam menjaga
hubungan baik sesama manusia. Perkara ini terkadang menyebabkan mereka menimbulkan
ketidakpuasan atau kebencian dalam diri orang yang bergaul dengan mereka.
3. Mempunyai jati diri yang kuat

Orang yang berilmu mempunyai jati diri yang kuat dan tidak mudah terpengaruh dengan
permasalahan sosial di sekelilingnya. Orang yang berilmu tidak akan mudah terpengaruh
walaupun dia berada dan hidup dalam persekitaran negatif. Mereka mempunyai prinsip dan jati
diri yang teguh. Manakala orang yang tidak berilmu pula akan mudah terpengaruh dengan
gejala sosial yang berlaku. Mereka tidak mempunyai prinsip dan jati diri sehinggakan mereka
akan terpengaruh dengan apa sahaja di sekeliling mereka walaupun ianya merupakan perkara
negatif atau perkara buruk. Mereka tidak mempunyai pendirian yang tetap dan sentiasa berubah
dari semasa ke semasa. Perkara ini amatlah membimbangkan kerana ianya akan memudahkan
berlakunya penyebaran permasalahan sosial dalam masyarakat.

4. Sentiasa mencintai dan melakukan kebaikan

Orang yang berilmu akan sentiasa mencintai dan melakukan kebaikan. Hal ini kerana
melakukan dan mencintai kebaikan merupakan salah satu daripada pengajaran dan tuntutan
ilmu yang mereka pelajari. Orang yang berilmu akan semangat dan gembira apabila melakukan
kebaikan walaupun tidak mempunyai ganjaran yang diperoleh. Manakala orang yang tidak
berilmu akan mempunyai sifat malas dalam melakukan kebaikan. Mereka akan bertangguh-
tangguh dalam melakukan kebaikan sehingga tidak melakukannya. Namun jika melakukan
perkara yang tidak berfaedah, mereka akan melakukannya dengan secepat mungkin kerana
ianya merupakan perkara yang menyeronokkan. Sebagai contoh, lepak, bermain permainan,
dan sebagainya.

5. Dicintai dan disayangi masyarakat

Orang yang berilmu akan sentiasa dicintai dan disayangi oleh masyarakat. Orang yang berilmu
sentiasa melakukan kebaikan dan mempunyai keperibadian yang baik sehingga mereka
disenangi oleh semua masyarakat. Orang yang berilmu tidak akan melakukan sebarang sikap
yang buruk yang membolehkan mereka dibenci oleh masyarakat. Manakala orang yang tidak
berilmu akan sentiasa disisihkan oleh masyarakat. Orang yang tidak berilmu akan sentiasa
melakukan permasalahan sosial sehingga mendatangkan kesan negatif bukan sahaja terhadap
individu, tetapi kepada masyarakat dan negara. Orang yang tidak berilmu tidak menyumbang
sebarang bentuk kebaikan kepada masyarakat malah memburukkan imej. Oleh itu, mereka
sentiasa disisihkan oleh masyarakat.

(C) KAEDAH DAN CARA MENUNTUT ILMU

Terdapat pelbagai atau banyak cara dalam menuntut ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan
bukan sahaja boleh didapati melalui pendidikan formal seperti dalam kelas dan universiti
sahaja, tetapi ianya lebih luas. Berikut merupakan beberapa kaedah atau cara dalam menuntut
ilmu pengetahuan.

I. Banyakkan membaca buku-buku

Membaca buku merupakan amalan yang terbaik dalam menambahkan ilmu pengetahuan dalam
diri. Terdapat segelintir masyarakat yang menjadi jahil dan mempunyai pemikiran yang sempit
disebabkan kurangnya pembacaan buku-buku. Pembacaan dapat menjadikan manusia
mempunyai pemikiran yang luas dan terbuka. Bak kata pepatah melayu “Bangsa membaca,
bangsa berjaya”

II. Menghadiri majlis pengajian ilmu yang diadakan

Menghadiri majlis pengajian ilmu yang diadakan merupakan antara salah satu cara dalam
menambah ilmu pengetahuan dalam diri. Majlis ilmu bukan sahaja mengajarkan kita banyak
ilmu, akan tetapi majlis ilmu mempunyai berkat kepada orang yang datang ke majlis ilmu.
Menghadiri majlis ilmu akan menjadikan hati kita lembut dan hati akan sentiasa cinta akan
bergaul dengan orang-orang yang soleh.

III. Melayari laman sesawang yang berautoriti

Laman sesawang tidak lagi asing dalam kehidupan kita yang moden pada hari ini. Laman
sesawang amatlah penting dalam memudahkan proses kita dalam mencari maklumat atau ilmu
pengetahuan. Hal ini kerana, laman sesawang mempunyai liputan yang luas iaitu diseluruh
dunia. Namun begitu, kita kenalah sentiasa berhati-hati dalam mencari maklumat atau ilmu
dalam laman sesawang iaitu dengan mencari maklumat di laman sesawang yang berautoriti
sahaja.

IV. Bergaul dengan orang yang berilmu

Bergaul dengan orang yang berilmu merupakan antara salah satu kaedah dalam mendapatkan
ilmu pengetahuan. Bergaul atau berdamping dengan orang berilmu atau soleh akan membantu
dan memberi galakan kepada kita dalam melakukan kebaikan. Berdamping dengan orang yang
berilmu juga akan menjadikan kita seorang yang berilmu kerana kita boleh belajar secara terus
dengan mereka.

(D) ADAB KETIKA MENUNTUT ILMU

Adab merupakan salah satu perkara yang amat penting dalam menuntut ilmu. Adab dan
menuntut ilmu merupakan perkara yang tidak dapat diasingkan. Adab akan menjadikan ilmu
berkat dan mendatangkan kebaikan atau manfaat kepada diri kita. Berikut merupakan beberapa
ada ketika menuntut ilmu.

(1) Sentiasa menghormati guru atau orang yang memberi ilmu kepada kita

Menghormati guru atau orang yang memberi ilmu kepada kita merupakan salah satu adab yang
amatlah penting bagi seseorang penuntut ilmu. Menghormati orang yang memberikan kita ilmu
akan menjadikan ilmu yang diberikan kepada kita itu lebih berkat. Ramai orang pada hari ini
mempunyai ilmu yang banyak tetapi tidak mendatangkan kebaikan kepada dirinya kerana tidak
mempunyai keberkatan.

(2) Sentiasa mendoakan kebaikan terhadap guru kita

Mendoakan kebaikan terhadap guru kita merupakan salah satu adab tertinggi yang kini banyak
dilupakan oleh kebanyakan masyarakat. Hal ini kerana, saling mendoakan antara satu dengan
yang lain merupakan salah satu tuntutan daripada agama Islam itu sendiri. Seperti yang kita
tahu, guru merupakan ihsan yang banyak berkorban kepada kita dalam memberikan kita ilmu
pengetahuan yang bermanfaat dunia dan akhirat.

(3) Menjaga maruah diri kerana ingin memuliakan ilmu yang kita miliki

Menjaga maruah diri merupakan salah satu elemen penting bagi seseorang penuntut ilmu.
Menjaga maruah diri merupakan tuntutan daripada ilmu itu sendiri kerana ilmu itu bersifat
mulia. Ramai penuntut ilmu pada hari ini tidak menjaga maruah diri mereka sehingga
mendatangkan fitnah kepada mereka dan merosakkan imej penuntut ilmu. Kemuliaan ilmu
haruslah diberikan haknya sekiranya ingin ilmu itu mendatangkan manfaat untuknya.

(4) Menjauhi diri daripada maksiat agar ilmu lebih berkat

Maksiat merupakan perkara terkeji yang dituntut untuk semua orang untuk meninggalkannya
kerana ianya boleh mendatangkan kesan negatif kepada diri. Maksiat akan menjadikan ilmu
kita kurang berkat dan lama-kelamaan akan hilang dalam diri kita. Oleh itu, setiap penuntut
ilmu khususnya dituntut untuk melawan nafsu sendiri dengan memperbanyakkan amalan dan
berdoa agar dijauhkan daripada maksiat.

(5) Mengamalkan ilmu yang kita miliki

Mengamalkan ilmu yang kita miliki merupakan salah satu adab atau tuntutan yang penting bagi
seseorang yang berilmu. Berilmu sahaja tidak akan mendatangkan manfaat atau kebaikan
kepada kita sekiranya kita tidak mengamalkannya. Hal ini kerana, matlamat akhir dalam
menuntut ilmu ialah untuk mengamalkannya. Oleh itu amatlah sia-sia seseorang yang bersusah
payah dalam menuntut ilmu tetapi ilmunya tidak memberikan kesan yang baik atau manfaat
kepada dirinya sendiri.
(E) KEPENTINGAN ILMU DALAM KEHIDUPAN

1. Memandu manusia keluar daripada kegelapan

2. Membina akhlak dan keperibadian yang baik

3. Dapat mengurangkan masalah gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat

4. Dapat membina negara yang maju dan moden

5. Mendapat keredaan daripada Allah

2.2 ANALISIS HUBUNGKAIT ANTARA CINTA AKAN ILMU DENGAN


KEGELAPAN DALAM DIRI MANUSIA

(1) PERMASALAHAN YANG TIMBUL AKIBAT TIDAK CINTA AKAN ILMU


PENGETAHUAN

a) Kehidupan terumbang-ambing dan tidak menentu

Pada zaman globalisasi yang giat maju pada hari ini, ilmu amatlah penting bagi seseorang dek
kerana ianya adalah cahaya kehidupan bagi kita. Namun, kita dapat lihat pada hari ini manusia
mengambil ringan terhadap pentingnya cinta akan ilmu itu sendiri. Hal ini disebabkan oleh
kelalaian manusia yang menghabiskan waktu dengan bermain permainan video dan hiburan
yang melampau. Oleh itu ramai orang yang mengambil mudah terhadap kepentingan cinta akan
ilmu dalam kehidupan seharian.

Antara kesan terhadap orang yang tidak cinta akan ilmu iaitu kehidupan terumbang
ambing dan tidak menentu kerana peluang pekerjaan menjadi tipis. Hal ini terjadi disebabkan
pekerjaan pada masa kini memerlukan orang yang berilmu dan mempunyai ilmu pengetahuan
luas. Hal ini menyebabkan taraf kehidupan seseorang yang tidak berilmu itu rendah kerana
tidak layak memegang jawatan yang baik, pekerjaan yang baik dan bergaji tinggi. Perkara ini
terjadi disebabkan mahasiswa yang telah bergraduan mempunyai keutamaan dan kelebihan
yang baik untuk mendapat pekerjaan kerana mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dan
mempunyai sifat cinta akan ilmu pengetahuan itu sendiri.

b) Mudah terdedah dengan gejala masalah sosial yang berlaku di sekelilingnya

Pada era kemajuan teknologi dan era kemodenan ini, dunia telah berkembang dengan pesat
sehingga memberi kesan yang besar kepada dunia. Kemajuan ini amatlah baik sekiranya ianya
diukur hanya dengan pembangunan lahiriah atau fizikal sahaja. Namun begitu, kemajuan
sesebuah tamadun tidak hanya dinilai dari kemajuan lahiriah sahaja, tetapi ianya haruslah
disertai dengan aktiviti spritual atau kerohanian. Modenisasi tanpa aktiviti kerohanian sedikit
sebanyak telah memberi kesan negatif kepada anak muda pada masa kini.

Permasalahan sosial yang semakin banyak berlaku dan semakin berkembang dalam
masyarakat terutamanya dalam kalangan anak muda telah menimbulkan kebimbangan.
Permasalahan sosial ini terjadi disebabkan oleh kurangnya rasa cinta akan ilmu agama dalam
diri masyarakat itu sendiri. Cinta akan terhadap ilmu agama ialah benteng yang kukuh dalam
menghalang masyarakat daripada terjerumus dalam gejala masalah sosial yang berlaku. Hal ini
kerana, ilmu agama memainkan peranan yang penting dalam membuat perkara kebaikan dan
menjauhi perkara yang tidak baik.

c) Dipandang hina dan disisihkan oleh masyarakat

Cinta akan ilmu amatlah memainkan peranan yang besar dalam kehidupan bermasyarakat.
Masyarakat amatlah mencintai dan menyayangi orang yang berilmu kerana golongan ini
mempunyai akhlak yang baik serta dapat memberikan manfaat dan kebaikan dalam kehidupan
bermasyarakat. Orang yang berilmu mempunyai pertimbangan akal yang baik kerana ilmu
yang dimiliki dalam mengekalkan keharmonian bermasyarakat dan dalam menaik taraf hidup
bermasyarakat.

Berbeza dengan orang yang mempunyai sifat tidak cinta akan ilmu. Mereka akan
dipandang hina dan akan disisihkan oleh masyarakat. Hal ini kerana, mereka ini tidak
mendatangkan manfaat kepada masyarakat di sekeliling mereka. Bukan itu sahaja, mereka juga
mendatangkan kesan negatif dengan permasalahan sosial yang mereka amalkan. Mereka yang
tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup akibat kurangnya rasa cinta akan ilmu telah
membuka ruang kepada mudah terpengaruh dengan permasalahan sosial. Mereka bukan sahaja
membuatkan masyarakat jadi tidak tenteram, malah menjejaskan kehidupan dan hubungan baik
antara masyarakat. Oleh itu mereka disisihkan dan dipandang hina oleh masyarakat.

(d) Semakin jauh daripada rahmat dan kasih sayang Allah

Islam adalah agama yang memandang tinggi akan kedudukan ilmu. Ilmu bukan sahaja
digunakan dalam beribadat, malah dengan ilmu juga kita dapat sebarkan biah Islamiah kepada
penganut agama lain. Hal ini dapat menunjukkan bahawa betapa indahnya agama Islam dengan
menganjurkan umatnya untuk sentiasa cinta akan ilmu pengetahuan. Kedudukan ilmu adalah
sangat tinggi dan ianya merupakan tuntutan fardu ain bagi setiap muslim untuk menimba ilmu.
Kelebihan orang yang menuntut atau cinta akan ilmu pengetahuan adalah sangat tinggi dan
banyak daripada orang yang jahil.

Orang yang tidak cinta akan ilmu ini akan semakin jauh daripada rahmat dan kasih
sayang Allah. Oleh itu, Islam mewajibkan seseorang berusaha mencari dan cinta akan ilmu lalu
menyebarkan atau mengajarkan ilmu itu kepada orang lain. Hal ini kerana, ilmu itu akan dapat
dikembangkan dan dikongsikan bersama. Bagi mereka yang jahil dan tidak cinta akan ilmu,
hidupnya tidak akan tenteram dan sentiasa merasa tidak cukup dalam kehidupan sehariannya.
Hal ini kerana, mereka berada dalam kedudukan yang jauh daripada rahmat dan kasih sayang
Allah. Hal ini menunjukkan pentingnya cinta akan ilmu untuk menjaga hubungan dengan Allah
SWT dan sekaligus mengelakkan daripada jatuh ke dalam lembah kegelapan. Perkara ini
disebabkan oleh ilmu ibarat lampu dalam menerangi kegelapan.
(2) CINTA AKAN ILMU PENGETAHUAN MEMPENGARUHI KEHIDUPAN
MANUSIA

Ilmu memberi petunjuk kepada manusia untuk keluar daripada kejahilan dan kegelapan. Semua
manusia bermula daripada sifat ‘tidak tahu’ kepada ‘tahu’ atau ‘jahil’ kepada ‘alim’. Manusia
dapat mengetahui tentang sesuatu perkara dan membezakan yang baik dan buruk adalah
dengan menuntut ilmu pengetahuan dari orang yang lebih mengetahui daripada diri mereka.
Cinta akan ilmu pengetahuan dapat membuangkan sifat jahil di dalam diri manusia dan
dimasukkan ke dalamnya ilmu pengetahuan yang pelbagai. Dengan sifat cinta akan ilmu
pengetahuan, kehidupan manusia menjadi semakin tenang dan damai kerana ilmu yang
dipelajari dan diamalkan tersebut memandu dan memberi petunjuk ke arah kehidupan manusia
yang berkeperibadian lebih cemerlang dan teratur. Menurut Nazneen Ismail, Syaidatun Nazirah
dan Nurzatil Ismah (2018) bahawa hanya ilmu yang benar mampu menyumbang ke arah
pembangunan masyarakat dan negara. Ini kerana ilmu mempunyai hubungan dengan
keperibadian ummah cemerlang. Ilmu disini berperanan seperti cahaya yang menyinari
kehidupan seorang manusia itu agar tidak tersesat atau tergelincir daripada landasan yang betul
dan lurus.

Selain itu, sifat cinta akan ilmu pengetahuan juga dapat menjadikan manusia
mendekatkan diri kepada Allah taala sehingga manusia takut untuk melakukan kemungkaran.
Tanpa ilmu pengetahuan, seseorang itu tidak dapat mengetahui dan meyakini akan kewujudan
tuhan yang esa. Agama Islam amat menggalakkan umatnya untuk menuntut ilmu pengetahuan
sebanyak mungkin, sama ada ilmu dunia atau ilmu akhirat. Menurut Muadz, Puspita Handyani,
Anita Puji dan Supriyadi (2016) bahwa Islam tidak mengenal istilah dikotomi, iaitu
memisahkan dan membezakan antara ilmu keislaman (agama) dan ilmu duniawi. Sekalipun
kebenaran yang terdapat dalam ilmu pengetahuan berupa kebenaran ilmiah, tetapi karena
sebenarnya berasal dari Allah SWT juga, maka ilmu pengetahuan dengan wahyu tidak mungkin
berlawanan. Manusia yang mempunyai sifat cinta akan ilmu pengetahuan akan sentiasa berasa
semakin kerdil apabila dirinya semakin berilmu. Ini kerana dia tahu akan keluasan ilmu Allah
taala yang tiada batasan dan menjadikan dirinya semakin berusaha untuk mendekatkan diri
kepada Allah taala dan sentiasa melakukan suruhan-Nya dan takut untuk melakukan sesuatu
yang mendatangkan kemungkaran Allah taala. Dengan ilmu akan menjadikannya takut akan
balasan tuhan yang amat dahsyat dan mengetahui akan kebenaran hari pembalasan kelak.
Sebuah peribahasa melayu mengatakan ‘ikut resmi padi, semakin tunduk semakin berisi’.
Orang berilmu akan sentiasa cinta akan ilmu dan menjaga dirinya daripada melakukan
kemungkaran yang akan merugikan diri mereka sendiri kelak.

Di samping itu, dengan cinta akan ilmu pengetahuan dapat mengelakkan manusia
daripada terus ditipu dan ditindas oleh orang lain sehingga terkadang boleh menyebabkan
dirinya sebagai mangsa melakukan perbuatan yang lebih teruk lagi iaitu membunuh diri sendiri.
Ilmu mempunyai peranan yang besar dalam kehidupan manusia terutamanya bagi menjaga
dirinya sendiri daripada bahaya seperti penipuan, penindasan, ketidakadilan dan lain-lain lagi.
Ini termasuklah segala jenis-jenis ilmu seperti ilmu kewangan, teknologi, dan banyak lagi
cabang-cabang ilmu yang lain. Kesemua ilmu ini amatlah bermanfaat dan berguna,
terutamanya kepada kita yang hidup di zaman teknologi berkembang dengan sangat pesat.
Menurut akhbar Utusan Borneo Online (2017) mengatakan bahawa kurang ilmu kepenggunaan
punca mudah ditipu sindiket. Kes ini membabitkan 16 mangsa di negeri ini mengalami
kerugian mencecah RM30,000 apabila wang simpanan KWSP mereka ditipu individu yang
mendakwa sebagai ejen pengeluaran untuk membayar yuran pengajian anak mereka
melanjutkan pelajaran. Menurut beliau berdasarkan aduan yang dilakukan mangsa kepada
pihaknya didapati modus operandi sindiket penipuan berkenaan menyasarkan masyarakat luar
bandar terutamanya mereka yang dilihat kurang berpengetahuan tentang prosedur dan tatacara
pengeluaran KWSP itu. Menurut Fatin Adha (2019) kekurangan ilmu pengetahuan atau
pertimbangan boleh menyebabkan tingkah laku mudah tertipu. Sifat cinta akan ilmu
pengetahuan dapat mengelakkan diri daripada terus ditipu atau ditindas oleh orang lain.

Seterusnya, dengan cinta akan ilmu pengetahuan dapat mengurangkan masalah sosial
yang berlaku dalam masyarakat. Gejala atau masalah sosial telah dan masih melanda
masyarakat kita hari ini, terutamanya golongan remaja di Malaysia khususnya. Antara bentuk
gejala sosial yang sering melanda masyarakat dewasa ini adalah seperti penyalahgunaan dadah,
khalwat, minum arak, pelacuran dan lain-lain. Budaya cinta akan ilmu pengetahuan dapat
menghalang masyarakat daripada terikut atau terpengaruh dengan budaya sosial yang
dipamerkan di media dan internet. Ilmu akan menyibukkan penuntutnya dan pencinta ilmu itu
daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah atau lebih buruk lagi perkara yang
mendatangkan keburukan dan mudarat kepada diri sendiri atau orang lain . Selain itu menurut
Fatimah Ali (2007) bahawa ‘keremajaan’ menjadi salah satu faktor penglibatan pelajar dengan
masalah disiplin atau gejala sosial. Kemungkinan mereka merasa bahawa mereka telah dewasa
dan sudah boleh membuat keputusan sendiri. Hal ini menyebabkan keputusan yang diambil
tidak tepat. Mereka sebenarnya masih belum cukup ilmu dan kurang pengalaman. Oleh itu
mereka perlukan bimbangan dan tunjuk ajar daripada orang dewasa. Sifat cinta ilmu
pengetahuan dapat mengurangkan masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat.

Kemudian, dengan cinta terhadap ilmu pengetahuan juga dapat meningkatkan taraf
hidup individu, masyarakat dan negara. Ilmu dapat menjadikan seseorang itu lebih dihormati
dan disegani oleh masyarakat. Masyarakat yang berilmu akan menjadikan sebuah negara lebih
maju dan harmoni serta menjadikan masyarakatnya mempunyai minda kelas pertama setaraf
negara-negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat. Seseorang yang berilmu dan cinta
akan ilmu lebih mudah untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik. Ini akan
melahirkan lebih ramai pakar-pakar dalam pelbagai bidang yang akan menyumbang kepada
pembangunan negara dan masyarakat. Menurut Amini Amir (2014) bahawa peradaban yang
menjulang ilmu akan menjadi peradaban yang terkehadapan manakala peradaban yang
meremeh-temehkan ilmu akan menjadi peradaban yang terkebelakang. Peradaban yang
mementingkan ilmu akan menang manakala peradaban yang meminggirkan ilmu akan
kalah. Dalam peradaban Islam, keperluan duniawi dilihat sebagai cara untuk mencapai
keperluan ukhrawi dan mendapatkan keredaan Allah. Melalui sifat cinta akan ilmu
pengetahuan, manusia dapat memperolehi dan menyerlahkan hakikat keadilan serta
kebenaran. Masa depan peradaban manusia bergantung kepada sejauh mana manusia belajar
mengenai manusia dan kehidupannya yang mencakupi individu dan masyarakat serta
kehidupan mereka yang berbagai warna kulit, bangsa, keturunan, kedudukan dan
seumpamanya. Peradaban akan berkelangsungan sekiranya manusia menggunakan ilmu untuk
menyelesaikan masalah manusia dan kehidupannya.

(3) CARA UNTUK PUPUK CINTA AKAN ILMU DALAM DIRI SESEORANG

(i) Membanyakkan membaca buku dan bahan bacaan yang lain

Antara cara yang didapati untuk pupuk cinta akan ilmu dalam diri seseorang adalah dengan
membanyakkan baca buku atau bahan bacaan yang lain. Terdapat sebuah peribahasa melayu
yang mengatakan bahawa membaca jambatan ilmu. Ini bermaksud amalan membaca dapat
menambahkan pengetahuan seseorang dengan lebih luas dan terbuka. Seperti contoh apabila
seseorang itu banyak membaca bahan-bahan bacaan seperti buku, artikel, majalah, novel dan
sebagainya, sifat cinta akan ilmu juga akan muncul di dalam dirinya.

Rajin membaca merupakan kunci utama bagi memupuk sifat cinta akan ilmu dalam diri
seseorang. Ini kerana kebanyakan ilmu yang diperolehi adalah daripada bacaan. Menurut
Nazneen Ismail (2018) bahawa budaya ilmu dalam al-Quran adalah berasaskan kepada
membaca, mengenal Pencipta Alam dan kajian terhadap alam. Selain itu, ayat pertama yang
diturunkan oleh Malaikat Jibrail kepada Rasulullah SAW juga adalah berkenaan pembacaan
iaitu mafhumnya: Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan. Islam juga
menggalakkan umatnya untuk membaca, dengan membaca sifat cinta akan ilmu dapat dipupuk
dalam diri seseorang.

(ii) Bergaul dengan orang yang berilmu

Antara cara lain dalam memupuk sifat cinta akan ilmu dalam diri seseorang adalah dengan
sentiasa bergaul dengan orang berilmu. Nasir Omar (2015) berpendapat bahawa seseorang itu
boleh menjadi baik dengan cara bergaul dengan orang yang baik, dan mereka juga boleh
menjadi jahat akibat bergaul dengan orang yang jahat. Oleh itu, seseorang itu juga akan boleh
menjadi cinta akan ilmu apabila sering bergaul dengan orang yang berilmu pengetahuan. Islam
juga menggalakkan umatnya untuk bergaul dengan orang berilmu iaitu alim ulama kerana
mereka adalah pewaris nabi.

Contohnya apabila seseorang itu bergaul dengan orang berilmu dalam kehidupan
hariannya, hidupnya akan dipenuhi dengan pelbagai permasalahan ilmu atau ilmu-ilmu baru
setiap hari dan akhirnya dirinya juga akan menjadi rasa cinta akan ilmu. Orang-orang yang
berilmu yang perlu kita hampiri adalah seperti guru, ulama, pensyarah dan juga pakar-pakar
dalam bidang-bidang berkaitan. Kehidupan mereka ini akan dipenuhi dengan perbincangan
ilmiah dan mereka mempunyai sifat tidak suka membuang masa atau melakukan perkara yang
tidak berfaedah seperti melepak. Sifat cinta akan ilmu akan lebih mudah dipupuk apabila
seseorang itu sentiasa bergaul dengan orang berilmu.
(iii) Melihat atau mendengar perkara berkaitan dengan ilmu

Akhir sekali, cara untuk memupuk sifat cinta akan ilmu dalam diri adalah dengan menonton
dan mendengar perkara berkaitan ilmu. Dengan cara mendengar atau menonton adalah lebih
menarik dan lebih mudah difahami secara asas berbanding dengan cara pembacaan.
Terutamanya adalah kepada kanak-kanak bagi memupuk mereka cinta akan ilmu kerana
pelbagai pengetahuan baru dapat dipelajari oleh mereka dengan menonton televisyen. Ini
kerana televisyen memaparkan pelbagai jenis perkara atau objek mahupun perkataan mereka
tidak tahu. Dengan ini, mereka mudah untuk mengenali dan memahami sesuatu yang baru
melalui cara yang paling santai dan tenang iaitu dengan menonton televisyen.

Sebagai contoh, seseorang yang sering mendengar kuliah-kuliah pengajian agama akan
lebih mudah tertarik dan dipupuk dengan sifat cinta akan ilmu berbanding baginya untuk
memulakan bacaan berkaitan ilmu-ilmu agama. Antara siaran ilmiah adalah seperti siaran
National Geographic yang penuh dengan ilmu mengenai alam, Radio Ikim yang sering
memperdengarkan siaran pengajian kitab-kitab agama dan perbincangan ilmiah mengenai ilmu
atau isu semasa, dan juga banyak lagi saluran dan siaran yang sering membincangkan berkaitan
ilmu-ilmu. Janganlah seseorang itu menyibukkan dirinya dengan perkara yang tidak berfaedah
seperti menonton atau mendengar hiburan-hiburan di televisyen atau radio seperti rancangan
lawak atau sebagainya. Dengan sentiasa mendengar dan menonton siaran-siaran berkaitan
ilmu, seseorang itu akan lebih tertarik kepada perbincangan ilmiah dan juga akan memupuk
kepada sifat cinta akan ilmu.

(4) KESAN PENGAPLIKASIAN CINTA AKAN ILMU

(a) Individu

Cinta akan ilmu dapat menjamin peluang pekerjaan di masa hadapan. Walau bagaimanapun,
statistik pengangguran negara, sangat memberi pengajaran dan sangat membimbangkan. Ini
telah membawa kepada persaingan sengit untuk pekerjaan siswazah untuk mencari rezeki. Jadi,
dengan pengetahuan yang dimiliki, seseorang itu menjadi pesaing yang berdaya saing dan
seterusnya memperoleh peluang pekerjaan. Berbekalkan ilmu, pastinya boleh menjadi yang
terbaik di antara yang terbaik. Malah, ia juga dapat membuktikan seseorang itu layak untuk
pekerjaan yang lebih besar, mampu memenuhi cita-cita dan cita-cita yang diimpikan sejak kecil
seperti doktor, jurutera, dan peguam, persis peribahasa genggam bara api biar sampai jadi
arang. Kerjaya profesional ini ternyata bukanlah mudah dan memerlukan ilmu pengetahuan
yang begitu tinggi. Sehubungan dengan itu, seseorang itu perlulah bersungguh-sungguh dalam
menuntut ilmu pengetahuan untuk menjamin masa hadapan yang cerah. Kesimpulannya,
cintakan ilmu dalam diri setiap individu merupakan tiket baginya untuk mendapatkan peluang
pekerjaan yang baik demi masa depan yang cemerlang.

Kedua, cintakan ilmu mampu mengubah taraf hidup seseorang. Malah, keadaan
ekonomi tidak menentu yang membawa kepada harga komoditi yang lebih tinggi dan kos sara
hidup yang lebih tinggi merupakan tamparan hebat kepada semua orang. Siapa yang tidak
mahu hidup lebih selesa dan terlepas dari belenggu kemiskinan? Oleh itu, cinta akan ilmu dapat
membuat seseorang itu membuka peluang dan ruang untuk meningkatkan taraf hidup mereka
dengan pengetahuannya. Contoh yang paling ketara ialah mereka yang bergaji tinggi dan
berpendapatan tinggi, mampu membina rumah yang bagus, membeli kereta mewah, dan
menjalani kehidupan tanpa masalah kewangan. Malah, orang yang cintakan ilmu juga amat
dihargai dan dihormati oleh masyarakat sekeliling. Kehidupan yang mereka lalui jauh lebih
baik, sangat dicemburui. Sejarah tamadun China membuktikan mereka berjaya mengubah
status dan taraf hidup mereka melalui ilmu pengetahuan, sekaligus telah menyedarkan kita
bahawa pentingnya mencintai ilmu dalam kehidupan. Izharlah bahawa ilmu pengetahuan dapat
mengubah taraf hidup setiap individu untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.

(b) Masyarakat

Cinta akan ilmu juga mengelakkan masyarakat mudah diperalatkan oleh pihak yang tidak
bertanggungjawab. Untuk menunjukkan perkara ini, satu contoh yang boleh diketengahkan
ialah penjualan produk tiruan, yang banyak terdapat di pasaran, seperti pasar raya dan di kaki
lima, di mana peniaga yang mementingkan diri sendiri ibarat enau dalam belukar, melepaskan
pucuk masing-masing. Lebih membimbangkan, terdapat segelintir masyarakat yang mudah
terpedaya dengan kata-kata manis peniaga tentang produk mereka, kerana masyarakat yang
jumud dan jahil, menjadikan mereka sasaran mudah untuk mengaut keuntungan daripada orang
yang tidak bertanggungjawab.

Keadaan ini menggambarkan, jika kita memandang rendah kelebihan ilmu pengetahuan
dalam kehidupan kita. Oleh itu, cinta akan ilmu amat penting dalam hal ini kerana ia
mengelakkan diri daripada dihasut peniaga dengan tipu daya mereka. kerana ilmu pengetahuan
membantu masyarakat meluaskan horizon pemikiran untuk bersikap rasional dalam membuat
tindakan selanjutnya. Oleh itu, masyarakat perlulah menyemai kesungguhan dan semangat
yang berkobar-kobar untuk menuntut ilmu pengetahuan supaya menjadi lebih intelektual dan
berketerampilan dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga. Ringkasnya, sudah terang
lagi bersuluh bahawa cinta akan ilmu dapat mengelakkan diri daripada mudah dimanipulasikan
oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

(c) Negara

Bergerak pada lensa perbincangan yang seterusnya, cinta akan ilmu mampu menjadi platform
untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Sebagai tamsilnya, cinta akan ilmu mampu
menjadi tonggak kegemilangan agama, bangsa, dan negara di peringkat global. Hal ini
dikatakan demikian kerana cinta akan ilmu pengetahuan yang mendalam dapat menabur
sejambak bakti kepada agama, bangsa, dan negara dengan mencetuskan gelombang idea baharu
seperti karya sastera, teknologi canggih, kaedah perubatan moden dan banyak lagi
pembaharuan yang mendatangkan impak positif kepada manusia sejagat pada masa hadapan.
Tambahan lagi, dengan ilmu pengetahuan dapat menjadi pemangkin kemajuan bangsa dan
negara.

Bertitik tolak daripada itu, amatlah penting bagi setiap orang supaya berlapang dada
dan memberi tumpuan semaksimum mungkin semasa menuntut ilmu pengetahuan. Dengan
berbuat sedemikian, kecemerlangan dapat digenggam erat sehingga mampu menjadi wahana
untuk mengaplikasikan ilmu pengetahuan bagi membangunkan negara ibarat duduk sama
rendah berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Oleh hal yang demikian,
setiap orang haruslah bersikap optimistik untuk mempraktikkan ilmu pengetahuan di landasan
yang betul agar membuahkan hasil yang manis. Selain itu, kita juga perlu cakna dengan hakikat
bahawa menuntut ilmu pengetahuan juga adalah suatu ibadah yang mendatangkan ganjaran
yang lumayan di dunia dan di akhirat kelak. Perkara ini dapat dibuktikan dengan sabda
Rasulullah S.A.W yang bermaksud menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam
lelaki dan perempuan.

3.0 PERBINCANGAN DAPATAN KAJIAN

- Konsep cinta akan ilmu dapat menjadikan kehidupan seseorang itu lebih terang dan damai.
Ilmu juga adalah asas kepada kesempurnaan sesuatu. Kehidupan menjadi gelap tanpa cinta
akan ilmu.

- Responden berpendapat bahawa cinta akan ilmu mempunyai hubungkait dan mempengaruhi
kehidupan manusia dalam pelbagai aspek. Dengan ilmu, mereka dapat meningkatkan taraf
kehidupan dan juga mengelakkan bahaya seperti ditipu atau ditindas oleh orang lain.

- Akhir sekali, responden juga dapat mengenal pasti beberapa langkah bagi memupuk sifat
cinta akan ilmu dalam diri seseorang. Mereka juga tahu akan kesan cinta akan ilmu kepada diri,
masyarakat dan negara. Oleh itu, mereka boleh mengaplikasikan langkah tersebut bagi
memupuk sifat cinta akan ilmu dalam diri mereka.

4.0 PENUTUP

Cinta secara amnya ialah perasaan yang muncul secara fitrah terhadap sesuatu perkara. Tetapi
perasaan ini adalah tidak mudah untuk kita dapati. Pengkaji membuat kajian terhadap
pengaplikasian cinta akan ilmu dalam kehidupan yang memberi impak besar terhadap anak
muda yang kian membesar dengan pesat seiring perkembangan teknologi. Maka ilmu
pengetahuan amatlah penting bagi generasi yang akan datang tidak kira umur dan jantina
supaya kita mengambil langkah yang proaktif dan efisien bagi mengatasi permasalahan sosial
yang wujud di era kemajuan teknologi ini.

Pada zaman modenisasi ini seiring perkembangan teknologi yang semakin canggih
menyebabkan ramai anak muda terjerumus ke lembah gelap. Permasalahan sosial yang wujud
dan semakin berkembang ini agak membimbangkan kerana mendatangkan kesan kepada
generasi anak muda seperti gengsterisme, membunuh diri, membuli, vandalisme, mencuri dan
gangguan seksual yang semakin meningkat lebih-lebih lagi dengan adanya media sosial tanpa
batas. Permasalahan ini telah lama berlaku dan banyak dibincangkan oleh pihak berwajib
namun tidak menemukan jalan penyelesaian yang terbaik. Hukuman yang dikenakan kepada
pelaku permasalahan sosial adalah sehingga mampu terjadi berulang kali menunjukkan
hukuman tidak mampu mendatangkan perubahan menjadi kepada yang baik.

Namun begitu, pemangkin utama bagi permasalahan sosial di kalangan remaja adalah
rakan sebaya yang mana memberi impak yang sungguh besar. Disebabkan itu, kita perlulah
memilih rakan yang berkualiti dan berguna bagi memastikan kita tidak terjerumus ke lembah
gelap. Guru-guru dan ibubapa perlulah memainkan peranan penting bagi memastikan remaja
tidak terdedah dengan pengaruh yang bahaya dan sentiasa berada di jalan yang betul. Selain
itu, cabaran terbesar juga ialah media sosial tanpa kawalan dan maklumat di hujung jari.
Kegagalan pelajar dalam mengawal kelakuan mereka di media sosial mampu mendatangkan
kesan yang buruk dan bahaya bagi generasi masa hadapan. Tanpa pantauan yang rapi daripada
ibubapa dalam media sosial juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan banyak
remaja atau individu terjatuh dalam kegelapan. Perkara ini perlulah dititik beratkan oleh semua
pihak agar generasi masa depan negara dapat dijamin dengan baik.

Kesimpulannya, permasalahan sosial ini perlulah dibendung dan dicegah dengan


langkah yang berkesan. Oleh itu, pengaplikasian cinta akan ilmu dalam kehidupan amatlah
penting bagi dalam kalangan individu yang kian membesar pesat kerana ilmu ini amatlah
penting dalam kehidupan seharian kita agar tidak terdedah dengan permasalahan sosial. Selain
itu, kita hendaklah menjauhi perkara atau pintu-pintu yang membolehkan dan menyebabkan
kita terjebak dalam masalah sosial ini. Akhir sekali, kita perlulah mencintai dan menimba ilmu
dan menerapkan dalam kehidupan seharian bagi mengelakkan daripada kecetekan pengetahuan
am supaya kita dapat mengaplikasikan ilmu itu dengan sebaik mungkin bagi menyelesaikan
permasalahan sosial ini pada masa yang akan datang.
5.0 RUJUKAN

Abdulfatah Haron Ibrahim. 1983. Munqidh min al-Dhalal al-Imam al-Ghazali. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Adibah Sulaiman, Ezad Azraai Jamsari, Nurliyana Mohd Talib. 2016. Konsep Ilmu menurut
Perspektif Syed Sheikh Ahmad al-Hadi. Penerbit: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Amini Amir Abdullah. 2014. Masa Depan Peradaban Manusia. Penerbit: Universiti Putra
Malaysia

Fatin Adha Murad, Mohammad Rahim, Wan Shahrazad & Rozainee Khairudin. 2019.
Psikologi Kemangsaan Jenayah Penipuan Komersil : Tinjauan Literatur. Jurnal
Psikologi Keselamatan, Vol 1, 2019, 60-86.

Fauziah Ibrahim, Norulhuda Sarnon, Khadijah Alavi, Mohd Suhaimi Mohamad, Noremy Md
Akhir & Salina Nen. 2012. Memperkasakan Pengetahuan Agama Dalam Kalangan
Remaja Bermasalah Tingkah Laku: Ke Arah Pembentukan Akhlak Remaja Sejahtera.
April. Vol 7. ISSN: 1823-884x.

Majlis Agama Islam Selangor. 2015. Ajaran Sesat Merungkai Kekusutan & Kecelaruan. Shah
Alam: Penerbit Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Nazneen Ismail. 2018. Perkaitan Cinta Ilmu Dengan Keperibadian Ummah Cemerlang Dalam
Menghadapi Revolusi Industri 4.0. E-Prosiding Persidangan Antarabangsa Sains Sosial
dan Kemanusiaan 2018 23-24 April 2018. Kolej Universiti Islam Antarabangsa
Selangor (KUIS).

Nazneen Ismail, Syaidatun Nazirah Abu Zahrin & Nurzatil Ismah Azizan. 2018. Kajian Awal
Terhadap Cinta Ilmu dan Keperibadian Ummah Cemerlang dalam Kalangan
Mahasiswa. Al-Irsyad: Journal of Islamic and Contemporary Issues.Vol. 3, No. 1.

Nazneen Ismail & Syaidatun Nazirah Abu Zahrin. 2018. Menyubur Kecintaan Ilmu Melalui
Pembentukan Peribadi Muslim. Proceeding of The International Confeerence on
Contemporary Issues in Al-Quran and Hadith 2018 7 Mac 2018. ILIM, Bangi,
Selangor.
Nazneen Ismail & Syaidatun Nazirah Abu Zahrin. 2019. Hubungan Antara Cinta Ilmu dan Al-
Falah Menurut Al-Quran. Jurnal Pengajian Islam. Bil. 12, Isu II. 0127-8002.\

Suraya Roslan. 2021. Kes Bunuh Diri Meningkat 143 Peratus. https://www.bharian.com.my/
berita/nasional/2021/09/862128/kes-bunuh-diri-meningkat-143-peratus.[15 November
2021]

Siti Aishah Sulaiman. 2017. Didikan Agama Benteng Remaja Tolak Gengsterisme.
https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/61/2017/04/274514/didikan-agama-bent
eng-remaja-tolak-gengsterisme. [20 November 2021]

Syaidatun Nazirah Abu Zahrin, Fazilah Idris. 2021. Dimensi Cinta. [E-book]. Kajang.
LAMPIRAN

Soalan temubual:

Temubual ini dijalankan untuk mencapai objektif kajian yang dijalankan oleh pengkaji. Soalan
ini dilakukan berpandukan objektif kajian yang digariskan oleh pengkaji dalam mencapai hasil
dapatan kajian yang diyakini.

(a) Objektif Pertama

1. Bagaimanakah untuk mengenali seseorang itu mencintai ilmu

2. Apakah adab-adab ketika menuntut ilmu

3. Apakah cara dan kaedah untuk memperoleh ilmu pengetahuan

4. Apakah kepentingan ilmu kepada manusia

5. Apakah ciri-ciri orang yang berilmu dan tidak berilmu

(b) Objektif Kedua

6. Apakah masalah-masalah yang dihadapi seseorang yang tidak cinta akan ilmu

7. Bagaimanakah cinta terhadap ilmu pengetahuan mempengaruhi kehidupan manusia

8. Bagaimanakah cara untuk memupuk sifat cinta akan ilmu dalam diri seseorang

9. Adakah anda setuju atau tidak sekiranya cinta akan ilmu memberi kesan yang baik
kepada negara ? Mengapa ?

10. Apakah kesan pengaplikasi cinta akan ilmu kepada masyarakat

Anda mungkin juga menyukai