Anda di halaman 1dari 11

PPPY 1282

KAEDAH PENYELIDIKAN

TAJUK:

FAKTOR-FAKTOR PERILAKU BULI DALAM KALANGAN REMAJA

DISEDIAKAN OLEH:

NUR ATIKAH BINTI MOHD RAIZAN (A179514)

AMIRA SHAKIRAH BINTI ROSLAN (A180224)

AHMAD ADLIL FAHMY BIN AHMAD SHAIFUL (A181357 )

SITI NUR HAMIZAH BINTI ROHMAN (A181994)

MUHAMMAD FAHMI BIN NORDIN (A183787)

AHMAD MUHAMMAD MUJADDID BIN IZHARI (A184329)

PENSYARAH:

DR. WAN HILMI BIN WAN ABDULLAH

SET 2 SEM 1 SESI 2021/2022


Faktor-Faktor Perilaku Buli Dalam Kalangan Remaja

Oleh:

Nur Atikah Binti Mohd Raizan

Amira Shakirah Binti Roslan

Ahmad Adlil Fahmy Bin Ahmad Shaiful

Siti Nur Hamizah Binti Rohman

Muhammad Fahmi bin Nordin

Ahmad Muhammad Mujaddid Bin Izhari

Abstrak

Jenayah buli dalam kalangan remaja adalah budaya buruk yang diwarisi oleh sebahagian kecil
masyarakat daripada generasi sebelumnya. Seolah-olah, budaya buli dalam kalangan remaja
sudah begitu sebati kerana sejak zaman dahulu, kegiatan buli dalam kalangan remaja begitu
banyak dilaporkan sehingga ke hari ini. Di dalam artikel ini, para penulis berminat untuk melihat
secara literal apakah yang membuatkan sebahagian kecil remaja boleh terlibat dengan jenayah
buli. Hal ini kerana, pokok kelapa di tepi pantai tidak akan tumbang melainkan ada berlakunya
bencana alam, analogi di atas relevan juga menerangkan tentang perilaku sebahagian remaja ini
yang melakukan buli yang mana, seseorang manusia yang lahir dengan fitrahnya yang suci tidak
mungkin akan melakukan kejahatan melainkan adanya faktor-faktor yang menyumbang kepada
masalah tersebut. Para penulis berpendapat bahawa, masalah buli dalam kalangan remaja sudah
menjadi isu yang semakin berat dan kerap terjadi sehingga ada kes yang menyebabkan
kelumpuhan sebahagian anggota mangsa malah ada yang menyebabkan kematian.

Kata Kunci:
Buli, isu semasa, masalah remaja, jenayah, budaya
PENGENALAN

Buli adalah perkara yang bukannya asing lagi dalam masyarakat kita pada hari ini. Hal ini
kerana, kes buli semakin menjadi-jadi dan membimbangkan masyarakat. Laporan mengenai
gejala buli yang dilaporkan dalam media sosial menunjukkan gejala buli yang berlaku hari ini
telah menjadi semakin ekstrim sehinggakan ada yang membawa maut. Gejala buli bermaksud
perbuatan mengasari golongan yang lemah dengan tujuan atau bermaksud untuk menunjukkan
kekuatan dan kehebatan masing-masing. Gejala buli ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu buli
mental dan buli fizikal. Buli mental ialah aktiviti buli yang melibatkan kutuk-mengutuk,
ejek-mengejek dan sindir-menyindir seseorang. Buli mental mampu untuk memberi kesan yang
amat buruk kepada seseorang kerana ianya melibatkan jiwa dan pemikiran seseorang akan
menjadi lemah dan cenderung untuk mendapat pelbagai penyakit seperti kemurungan dan mudah
berasa bimbang. Buli fizikal pula bermaksud perbuatan melibatkan pukul-memukul dan sepak
terajang sehingga boleh menyebabkan kecederaan bahkan mampu memberi kesan yang amat
dahsyat iaitu meragut nyawa mangsa buli dan perkara ini memang tidak dapat dinafikan lagi.
Gejala buli boleh mendatangkan pelbagai kesan buruk terutamanya kepada pelajar remaja
sekolah menengah (Qiestina Aliyana; 2014).

PERBINCANGAN

Faktor Pengaruh Rakan Sebaya

Gejala ini dikatakan berpunca daripada pengaruh rakan sebaya kerana pada zaman ini remaja
lebih mengutamakan rakan sebaya dalam kehidupan mereka. Malah, ibu bapa dan guru tidak
menjadi role model dalam kehidupan remaja kini. Mereka lebih percaya dengan rakan yang
seusia untuk berkongsi masalah. Pelajar yang bertubuh besar dan tegap suka membuli pelajar
yang saiz tubuhnya lebih kecil. Kejadian buli yang melibatkan sekumpulan pelajar kebiasaannya
adalah sebaya. Tekanan rakan sebaya akan mendorong pelajar terpengaruh untuk mengikut
tingkahlaku rakan mereka yang suka membuli. Sebagai contoh, Muhammad Ashrul, seorang
pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah agama di Sultan Abdullah, Perak cedera selepas
dibelasah oleh sekumpulan pelajar senior di sekolah tersebut. Pelajar berkenaan telah mengalami
kecederaan parah dan kemungkinan akan lumpuh kerana kecederaan yang dialaminya berkait
rapat dengan saraf tunjang. Ironinya, kumpulan pelajar yang membelasah Muhammad Ashrul
disebabkan terpengaruh oleh rakan sebaya atau sekadar untuk berseronok-seronok tanpa
memikirkan risiko yang bakal diterima kelak (Sempadan Infiniti; 2015). Menurut kajian Azizi
Yahaya dan Muhamad Jumat Aliju, dalam Islam, ibu bapa sendiri perlu mengenalpasti
rakan-rakan yang berakhlak mulia (Osman Ayub, 1990). Golongan remaja berisiko mendapat
tekanan serta pengaruh rakan sebaya yang negatif. Anak-anak ini mungkin merasakan bahawa
satu-satunya cara mereka dimasukkan dan diterima dalam kumpulan sosial adalah dengan
mengikut cara dan perbuatan rakan mereka (Nisreen Nadiah; 2021). Oleh yang demikian,
jelaslah kepada kita bahawa pengaruh rakan sebaya merupakan salah satu faktor yang
menyumbang kepada berlakunya kejadian buli dalam kalangan pelajar sekolah.

Faktor Media Massa

Menurut Lai (2010) pelajar generasi masa kini membesar dengan teknologi dan lebih cenderung
menggunakan internet untuk berkomunikasi, mengakses maklumat dan berhibur. Media massa
pada zaman kini tidak asing lagi dengan penggunaan yang tersendiri bagi setiap lapisan
masyarakat tanpa mengikut peringkat umur. Dalam dunia tanpa sempadan, peranan media dalam
menyebar dan menyampaikan maklumat dan pendidikan telah menjadi keutamaan. Tidak semua
yang dipaparkan di media massa memberi kesan yang buruk.

Namun, ada segelintir media massa atau filem yang memaparkan aksi pergaduhan yang
berbahaya dan boleh mendedahkan kepada pelajar yang menontonnya. Majoriti penonton
terbahagi kepada dua iaitu remaja dan kanak-kanak. Menurut Stein dan Friderich (1972),
pelajar-pelajar agresif yang menonton filem-filem ganas dalam media mempunyai
kecenderungan untuk bertingkah laku agresif berbanding dengan mereka yang tidak
menyaksikannya. Kewujudan kesan pemodenan dalam media boleh mempengaruhi sikap, emosi
dan tingkah laku agresif walaupun pengaruh itu berlaku melalui pendedahan terhadap
tindakan-tindakan orang lain.

Sebagaimana kita ketahui, mereka mudah terpengaruh oleh apa yang mereka tonton dan
mereka akan meniru aksi-aksi tersebut untuk merealisasikan apa yang dilihat di kaca televisyen
dalam kehidupan seharian. Hal ini kerana, untuk menunjukkan mereka lebih hebat berbanding
rakan lain khususnya pelajar yang tinggal di asrama. Semua filem atau aksi ganas yang
dipaparkan di layar televisyen, cakera padat dan video digital merupakan faktor yang membawa
remaja kini melakukan aksi tersebut seperti membuli. Paparan melalui media cetak dan
elektronik juga banyak memaparkan aksi pergaduhan sehingga pembunuhan yang ganas.
Walaupun usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem
Nasional (FINAS) menyekat filem dari negara asing, malah ada pihak yang tidak
bertanggungjawab cuba membawa pengaruh tersebut ke Malaysia. Maka, lambakan filem yang
ada di pasar mendedahkan golongan remaja untuk membeli dan menonton secara terbuka tanpa
bimbingan orang dewasa. Antara contoh filem tempatan yang mendapat sambutan hangat seperti
‘Buli’, “Gengster”, ‘Juvana”, ‘Kl Menjerit’ dan sebagainya manakala media cetak seperti “Juara
Wira” dan lain-lain dipasarkan secara berleluasa. Maka berlakulah gejala buli di institusi
pendidikan seperti memukul, memeras ugut, memaksa melakukan sesuatu perkara dan pelbagai
lagi. Oleh itu, jelaslah pengaruh media massa ini juga menjadi faktor utama kepada gejala buli
yang berlaku di kalangan pelajar-pelajar sekolah.

Pengaruh Negatif Ibu Bapa

Dalam sebuah hadith riwayat Al-Bukhari menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda yang
mafhumnya: “ setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kemudian kedua orang tuanyalah
yang akan menjadikan anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi sebagaimana binatang
ternak melahirkan binatang ternak dengan sempurna”.(Shahih Bukhari. No:1296 dan 1385 pada
Fathul Bari). Merenung makna hadith yang disebutkan, ibu bapa berperanan penting dalam
perkembangan dan pembentukan karakter anak-anak mereka. Jika buruk pengaruh yang dibawa
ibu bapa, maka boleh terjadi pengaruh itu diwarisi oleh anak mereka, kerana sudah menjadi
fitrah bahawa anak kecil akan mengikut perkataan yang disebut, perbuatan yang dilakukan serta
sikap yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Dalam sebuah jurnal yang bertajuk ciri-ciri remaja
berisiko yang ditulis oleh Azyyati Mohd Nazim, Fariza Md. Sham dan Salasiah Hanin Hamjah
menyatakan: Berdasarkan Teori Ekologi Perkembangan Individu (1979), Bronfenbrenner
menyebutkan bahwa anak kecil dan remaja sentiasa mengalami proses perkembangan dengan
menerima pengaruh daripada persekitaran melalui sokongan dan hubungan yang pelbagi aseperti
keluarga dan komuniti sosial. Astro Awani pada 12 julai 2017, melaporkan bahawa perlakuan ibu
bapa antara penyumbang anak menjadi pembuli. Noor Afidah Abu Bakar, seorang perunding
keibubapaan memberikan pendapatnya tentang isu ini. Menurut beliau, karakter yang dimiliki
oleh remaja tersebut adalah hasil pengabaian ibu bapa mereka terhadap anak mereka yang
menyebabkan mereka merasakan seolah-olah mereka disisihkan oleh ibu bapa. Remaja yang
diabaikan oleh ibu bapanya sebenarnya sangat menginginkan perhatian dan kasih sayang ibu
bapa mereka. Apabila mereka gagal untuk mendapatkannya daripada ibu bapa mereka, maka
sebahagian remaja ini mencari perhatian dan keseronokan dengan melepaskan emosinya
terhadap sesiapa yang dia rasakan lebih lemah, kerana pembuli tidak akan mencari masalah
dengan orang yang lebih besar seperti guru. Maka yang menjadi mangsa keadaan adalah remaja
lain yang mungkin tiada kaitan langsung dengan situasi antara pembuli dan masalah
hubungannya dengan ibu bapa. Bagi perspektif pembuli pula, perbuatannya tersebut adalah
untuk melepaskan rasa sedih dengan hubungannya bersama ibu bapa kerana tidak mendapat
perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa.

Faktor Persekitaran Sosial

Perilaku buli dalam kalangan remaja juga sangat berkait rapat dengan faktor persekitaran sosial
dimana remaja tersebut membesar, suasana perhubungan hariannya bersama keluarga, cara
interaksi bersama rakan sebaya, suasana masyarakat dan faktor luaran yang mendatang dalam
setiap kehidupannya sehari-hari. Persekitaran yang negatif seperti pendedahan kepada
keganasan, sokongan bersama daripada kumpulan pembuli, komuniti yang tidak menghiraukan
keseriusan kes-kes buli dan banyak lagi faktor luaran lain yang berpunca dari persekitaran sosial
remaja itu sendiri telah menyebabkan kejadian buli semakin kerap berlaku. Suasana kehidupan
remaja yang tidak disemai dengan penghayatan agama, adab dan etika yang baik dalam kalangan
mereka juga merupakan punca berlakunya buli.
Oleh itu, bertepatan dengan teori yang dikemukakan oleh Bronfenbrenner (1979), dimana
faktor persekitaran sangat kuat dalam mempengaruhi perkembangan manusia (Azyyati Mohd et.
al, 2013) Maka, perkembangan remaja seperti perilaku dalam kegiatan seharian serta cara
berfikir dan bertindaknya sangat signifikan dan seiring dengan persekitaran sosial yang
dialaminya. Perkembangan dalam perlakuan remaja itu sendiri yang menunjukkan
perkembangan negatif turut dipengaruhi sama ada melalui kumpulan rakan sebaya, sokongan
sosial serta kehadiran institusi-institusi sosial yang luas seperti sekolah (Baruch & Stutman 1994;
Lerner 1993; Wozniak & Fischer 1993).
Bertitik tolak dari faktor kehadiran institusi sosial yang luas seperti sekolah mahupun
Institut Pengajian Tinggi (IPT). Ia merupakan satu bentuk persekitaran sosial yang perlu dialami
oleh para remaja di dalam sehariannya dan ini secara langsung mengakibatkan kejadian buli
boleh berlaku terutamanya dalam kalangan pelajar. Jenis buli berbentuk verbal iaitu melalui
perkataan seperti ejekan dengan panggilan buruk, mempersenda, memaki, mengajak untuk
bergaduh dan sebagainya adalah jenis buli yang paling kerap berlaku dalam kalangan pelajar
sekolah. Menurut kajian yang dilakukan oleh Azizi Hj Yahaya dan Abdul Latif Ahmad mengenai
persepsi guru dan pelajar terhadap perlakuan buli di kalangan pelajar sekolah menengah Daerah
Batu Pahat, buli secara verbal menunjukkan hasil (min skor = 3.17, sisihan piawai = 0.88) iaitu
paling kerap berlaku berbanding perlakuan buli secara fizikal (min skor = 2.55, sisihan piawai =
0.91) (Azizi Hj Yahaya, Abdul Latif Ahmad, 2005). Namun begitu, jenis buli secara fizikal pula
tidak dinafikan juga turut berlaku dalam kalangan remaja sebagaimana contoh kes arwah
Zulfarhan iaitu seorang pelajar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Di samping itu, persekitaran sosial remaja yang terbentuk secara tidak langsung seperti
hubungan sosial bersama rakan, kenalan, komuniti setempat malah ke peringkat global pula
dapat diperlihatkan melalui perantaraan media sosial masa kini seperti Twitter, Facebook,
Messenger, Instagram dan sebagainya yang semakin galak digunakan. Maka, suasana sosial di
dalam alam maya ini juga menjadikan kegiatan buli turut dilakukan oleh para remaja iaitu yang
disebut sebagai buli siber. Pembulian siber pula lebih bebas dan mudah dilakukan oleh sesiapa
sahaja dengan cara sama yang berbentuk verbal seperti ejekan, kecaman dan hentaman, sebaran
khabar angin dan fitnah secara atas talian.
Hal ini tidak dapat dinafikan bahawa ia berkait rapat juga dengan faktor persekitaran dan
suasana dalam kalangan remaja masa kini yang kurang penghayatan agama, etika dan adab yang
menjadikan akhlak segelintir remaja masa kini semakin hari semakin buruk dan
membimbangkan. Malah, budaya seperti mengecam orang lain, mempersenda, memberi komen
jelik di media sosial, menyebarkan gosip-gosip di atas talian dan sebagainya telah menjadi
seperti satu normalisasi sebagai hobi, untuk kepuasan diri mahupun tujuan tertentu. Namun perlu
diingat bahawa agama Islam melarang perilaku buruk yang menjurus ke arah buli seperti Firman
Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat yang ke-11 dan 12 yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan
merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik
daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan
merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih
baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang
lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan
gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya
menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia
beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka
merekalah orang-orang yang zalim. Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan
dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya
sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari
kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.
Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian
keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah
larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah
Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Al-Hujurat 49:11-12)

Oleh hal yang demikian, faktor persekitaran sosial remaja amatlah memberi impak yang
besar sebagai salah satu faktor yang berkait dengan perilaku buli dalam kalangan remaja.
Kehidupan sosial para remaja yang sudah terbiasa didedahkan dengan bentuk-bentuk perilaku
buli secara langsung ataupun tidak langsung amatlah merisaukan. Juga, persekitaran seharian
mereka yang terikat dengan suasana sosial yang luas seperti sekolah atau IPT menjadikan
kesalahan buli giat dilakukan. Tambahan pula, lebih parah apabila persekitaran yang sedia ada
pula tidak disemai dengan nilai-nilai adab dan penghayatan beragama yang sebenar menjadikan
para remaja terus hanyut dalam keseronokan menjadi seorang pembuli.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi perilaku buli dalam kalangan
remaja pada hari ini. Antaranya ialah pengaruh negatif ibu bapa terhadap anak-anak mereka yang
menyebabkan mereka tidak mendapat kasih sayang yang secukupnya lalu melepaskan dendam
atau amarah terhadap orang lain yang lebih lemah daripada mereka. Selain itu, media massa dan
pengaruh rakan sebaya juga memainkan peranan penting dalam pembentukan perilaku buli
dalam kalangan remaja. Hal ini kerana, dua faktor tersebut saling berkait rapat kerana
kebanyakkan remaja sekarang sudahpun memiliki gajet atau telefon bimbit mereka sendiri yang
membolehkan mereka berkongsi maklumat ataupun video yang tidak sepatutnya dikongsi antara
mereka yang menyebabkan rusaknya perilaku seseorang remaja. Akhir sekali, perilaku buli
dalam kalangan remaja juga berlaku disebabkan persekitaran sosial yang tidak sihat. Di mana
remaja kini tidak menghayati agama, adab dan etika kehidupan yang menyebabkan mereka
mudah terpengaruh dengan persekitaran sosial yang tidak sihat samada di sekolah ataupun di
institusi-institusi mahupun universiti-universiti. Tuntasnya, semua pihak harus bekerjasama
dalam memperbaiki perilaku remaja supaya tidak berlakunya lebih banyak kes buli berlaku
dalam kalangan remaja.
RUJUKAN

Al-Quran Al-Karim

Aidil Adrie. 2014. Faktor Buli. https://www.scribd.com/doc/219794728/Faktor-Buli

[15 Januari 2022]

Azizi Hj Yahaya, Abdul Latif Ahmad. 2005. Persepsi Guru dan Pelajar Terhadap Perlakuan Buli
Di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Daerah Batu Pahat. Jurnal Teknologi, 43(E) Dis. 2005:
63–86. https://journals.utm.my/jurnalteknologi/article/view/794 [13 Januari 2022]

Azizi Yahaya, Muhamad Jumat Aliju. 2019. Pengaruh Negatif Rakan Sebaya.
http://eprints.utm.my/id/eprint/10388/1/29.9_Pengaruh_Negatif_Rakan_Sebaya.pdf [14 Januari
2022]

Azyyati Mohd, Nazim Fariza Md. Sham, Salasiah Hanin Hamjah. 2013. Ciri-ciri Remaja
Berisiko: Kajian Literatur. Jurnal Islamiyyat 35(1): 111-119
http://journalarticle.ukm.my/6874/1/4185-9637-1-SM.pdf [12 Januari 2022]

Hilal Azmi, 2017. Perlakuan ibu bapa antara penyumbang anak jadi pembuli - perunding
keibubapaan. Astro Awani, 12 Julai.
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/perlakuan-ibu-bapa-antara-penyumbang-anak-jadi-
pembuli-perunding-keibubapaan-148978. [12 Januari 2022]

Muhammad Bin Ismail Al-Bukhari. Sahih Bukhari. kitab jenazah, bab pembicaraan tentang
keberadaan mayit dari anak-anak kaum musyrikin, nombor hadith: 1296

Ngo Yew Yung et. al. 2019. Gejala Buli Secara Fizikal yang Semakin Berleluasa di Sekolah.
International Journal of Humanities, Management and Social Sciences Vol.2 Issue No.1: 65-75
https://lamintang.org/journal/index.php/ij-humass/article/view/24/21 [13 Januari 2022]

Nisreen Nadiah. 2021. Pengaruh Rakan Sebaya Bagi Golongan Remaja.


https://hellodoktor.com/keibubapaan/remaja/kesihatan-mental-remaja/pengaruh-rakan-sebaya/
[14 Januari 2022]
Qiestina Aliyana. 2014. Faktor Berlakunya Buli dalam Kalangan Remaja dan Kesan.
https://www.studocu.com/id/document/smk-negeri-1-batam/socialpsicologi/faktor-berlakunya-bu
li-dalam-kalangan-remaja-dan-kesan/19552732 [12 Januari 2022]

Sempadan Infiniti. 2015. Faktor Buli. http://cikgu-pk.blogspot.com/2015/04/faktor-buli.html [14


Januari 2022]

Anda mungkin juga menyukai