Anda di halaman 1dari 2

Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini.

Jelaskan
peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.

Setiap negara mempunyai sejarah yang tersendiri. Di Malaysia, sejarah yang ada telah
membentuk identiti negara kita. Negara kita terdiri daripada rakyat yanhg berbilang kaum
iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya. Perpaduan kaum yang terbentuk
pada masa dahulu sehingga kini merupakan satu pencapaian negara yang amat
membanggakan. Rakyat yang berbilang kaum ini dapat hidup bersama secara aman damai
kerana mereka mempunyai semangat patriotik yang kukuh dan kental dalam diri mereka.
Walau bagaimanapun, masyarakat pada zaman moden ini, asyik dengan perkembangan dunia
sehingga mengabaikan kepentingan semangat patriotik dalam diri mereka. Amat jelas dapat
dilihat bahawa masyarakat kini kurang berpengetahuan tentang sejarah pembentukan negara
hasil perjuangan oleh tokoh pejuang bangsa seperti Dato Maharajalela, Dato Bahaman, Tok
Janggut dan sebagainya. Masyarakat kini kurang bersyukur dengan keamanan dan
kemakmuran yang terdapat di negara kita. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh
pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa masyarakat. Persoalannya,
apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?

Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama
dalam menerapkan dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa
seharusnya sentiasa membawa anak-anak melawat ke tempat-tempat yang bersejarah.
Contohnya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke Bandar Bersejarah, Melaka. Di situ,
terdapat pelbagai barang dan bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini dapat menimbulkan
dan melahirkan minat anak-anak untuk mengetahui latar belakang dan asal-usul
pembentukan negara dan seterusnya akan wujud semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Tempat-tempat bersejarah seperti Lembah Bujang, Seri Menanti, Kota Belanda di Perak dan
sebagainya boleh dijadikan sebagai destinasi lawatan. Aktiviti lawatan ke tempat yang
bersejarah merupakan langkah bagai serampang dua mata kerana anak-anak bukan sahaja
dapat menimba ilmu pengetahuan, tetapi juga dapat mengekalkan hubungan silaturahim yang
erat antara keluarga. Jelasnya, lawatan ke tempat yang bersejarah boleh dijadikan amalan
setiap kali cuti persekolahan oleh ibu bapa sebagai cara menerapkan semangat patriotik
dalam jiwa anak-anak.

Selain itu, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah
atau buku-buku novel bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan negara kepada
anak-anak. Hal ini demikian kerana melalui proses pembacaan, anak-anak dapat mengetahui
lebih banyak perkara berkaitan dengan sejarah. Buku-buku sejarah dan novel dapat
membantu menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak kerana buku-buku tersebut
mempunyai isi kandungan yang berunsur patriotisme. Hal ini amat jelas menunjukkan
bahawa usaha ibu bapa dalam memilih buku-buku yang sesuai untuk anak-anak adalah amat
penting. Dengan membaca buku-buku berunsurkan patriotisme, pasti semangat patriotik
dapat diterapkan dalam jiwa anak-anak. Amalan membaca buku-buku tersebut hendaklah
dipupuk sejak dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila anak-
anak membesar nanti, mereka akan sentiasa bersemangat patriotik dan suka membaca kerana
kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora dan
dicampak ke bumi menjadi penawar.
Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menjadi role model atau suri teladan kepada
anak-anak. Ibu bapa perlu sedar bahawa segala perbuatan, perlakuan, amalan, pertuturan dan
pemikiran mereka akan diikuti oleh anak-anak. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah
sentiasa menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa
boleh mengibarkan bendera di rumah atau melakukan aktiviti yang boleh menunjukkan
sokongan terhadap negara. Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa menunjukkan contoh yang
tebaik kepada anak-anak kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa
boleh membawa anak-anak menyertai program larian 1 Malaysia, ceramah tentang Sejarah
Negara, atau lawatan ke Muzium Negara. Ibu bapa haruslah melakukan usaha dengan
sepenuh hati agar anak-anak yang dibesarkan dapat menjadi insan yang cinta akan negara
dan bersemangat patriotik. Tegasnya, ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak
bagi melahirkan generasi muda yang berwawasan.

Akhir sekali, ibu bapa juga haruslah membawa anak-anak menyertai sambutan-
sambutan negara seperti Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Malaysia pada 16 September
dan sebagainya. Dengan menyertai sambutan hari kemerdekaan ini, semangat patriotik dapat
disemai dalam diri mereka. Sebagai contohnya, anak-anak dapat bersama-sama
mengibarkan jalur gemilang, mendengar deklamasi sajak kemerdekaan, mendengar
perkisahan cerita-cerita tentang kesengsaraan pengorbanan para pejuang tanah air untuk
memerdekakan negara, dan sama-sama menyaksikan perbarisan yang boleh menyemarakkan
semangat cinta akan tanah air. Anak-anak dapat melihat sendiri kemeriahan sambutan
kemerdekaan sekali gus memahami objektif sebab-sebab sambutan sebegini diadakan. Kisah
disebalik kemewahan dan kedamaian negara akan dapat dirungkai dan seharusnya dapat
menghadirkan keinsafan dalam diri mereka bahawa banyak harta benda dan nyawa yang
harus dikorbankan demi melihat Malaysia berdiri megah seperti sekarang. Dengan menyertai
aktiviti sambutan ini juga, kita akan mendapat peluang untuk melihat persembahan daripada
kaum lain dan berkenal-kenalan antara satu sama lain. Secara tidak langsung, perpaduan
antara kaum akan tercapai dan wujudlah masyarakat yang harmoni yang bersemangat
patriotik. Jelaslah bahawa, jika ibu bapa dapat membawa anak-anak menyambut hari
Kemerdekaan setiap tahun sejak mereka kecil lagi sudah pasti semangat patriotik dapat
dipupuk dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan


peranan yang penting dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Hadis
Riwayat At-Tarmizi ada menyatakan bahawa tiada anugerah yang dapat diberikan oleh
seorang ayah kepada anaknya selain tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia. Hal ini amat
jelas membuktikan betapa besarnya tanggungjawab seorang ibu atau bapa kepada pembinaan
personaliti anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah melaksanakan tanggungjawab dan peranan
bagi melahirkan individu yang bersemangat patriotik, cinta akan negara dan berwawasan.

Anda mungkin juga menyukai