Anda di halaman 1dari 4

SEKOLAH MENENGAH TAMPINES

Karangan
Sempena Hari Pertahanan Mutlak

Nama: ________________________________ Kelas: ____ Tarikh: _________

Kamu berada di dalam gerabak MRT, tiba-tiba ia terhenti dan kamu ternampak asap di hujung
gerabak. Gambarkan pengalaman dan perasaan kamu sepanjang peristiwa itu.

Aku masih ingat peristiwa yang berlaku minggu lepas. Ketika itu, jam yang berlingkar di
pergelangan tangan sudah pun menginjak jam 6.30 pagi. Aku baru sahaja melangkah masuk ke
dalam gerabak MRT bersama Shafika, satu-satunya adik yang aku ada. Seperti kebiasaan, kami
sentiasa ke sekolah bersama. Kami menaiki MRT dari stesen Simei. Shafika kemudian akan turun
di stesen Redhill manakala aku pula akan turun di stesen Queenstown.

Aku nyaris-nyaris hendak melelapkan mata apabila aku mula terhidu bau yang kurang
menyenangkan. Shafika yang sudah terlena terpisat-pisat menenyeh matanya apabila turut terhidu
bau yang sama. Aku tahu, Shafika memang sensitif. Dia menghidapi penyakit asma sedari kecil
dan alah dengan asap.

Aku memicingkan mata ke arah hujung gerabak, cuba mencari punca bau yang kurang
menyenangkan itu. Kelihatan asap berkepul di hujung gerabak MRT. Kereta api yang tadinya
enjinnya menderu meluncur laju kini sepi. Ia terhenti di dalam terowong. Aku yang tadinya duduk
bersandar serta-merta menegakkan tubuh. Aku mula rasa cemas. Pelbagai soalan menghentak
benakku bertalu-talu, memikirkan apa yang telah berlaku sebenarnya.

Para penumpang mula panik dan menolak-nolak, apabila asap mula mengisi ruang
gerabak-gerabak lain. Ada yang menjerit-jerit kerana dalam keadaan ketakutan. Ada yang
menangis sambil cuba menghubungi seseorang di telefon bimbit. Ramai juga penumpang yang
menutupi hidung dengan baju, tudung, beg dan pelbagai barangan lain yang ada pada diri mereka.
Yang jelas, keadaan dalam kereta api huru-hara!

Aku bertambah-tambah panik apabila menyedari adik di sebelah sudah sesak nafas. Aku
menjerit meminta tolong apabila melihat adik memegang dadanya. Kelam kabut aku membongkar
begnya untuk mencari alat bantu pernafasannya yang sentiasa dibawa ke mana sahaja dia
berada. Mujur, salah seorang penumpang awam merupakan seorang jururawat yang bekerja di
hospital Raffles. Terus sahaja dia menghulurkan bantuan dan meminta orang ramai untuk memberi
ruang kepada adikku untuk bernafas.

Pada masa yang sama, terdengar suara di corong pembesar suara memohon kami semua
untuk bertenang kerana mereka sedang berusaha untuk mengeluarkan kami dari tempat kejadian.
Satu kebakaran telah berlaku di bahagian hujung gerabak namun pasukan keselamatan sudah
pun tiba untuk memadamkan api yang mula marak menyala.

Tak lama kemudian, kami semua dibawa keluar dari terowong itu menerusi pintu
kecemasan yang telah dibuka oleh pihak keselamatan. Adik diusung keluar kerana dalam keadaan
lemah. Kami menuju ke stesen MRT seterusnya iaitu stesen City Hall. Perjalanan dalam terowong
itu meskipun gelap, namun masih boleh nampak arah tuju dengan bantuan lampu suluh pihak
keselamatan dan para penumpang. Setelah tiba di landasan kereta api, adik digegaskan ke
hospital sejurus itu. Aku menurut serta di dalam ambulans. Ternyata keadaan adik tidak serius dan
setelah diberi ubat, adik beransur sembuh.

Aku amat berterima kasih kepada jururawat yang telah menghulurkan bantuan pada saat-
saat kami benar-benar memerlukan. Meski aku tidak sempat menanyakan namanya, hingga kini,
wajah jururawat yang manis itu masih segar dalam ingatan dan pasti aku tidak akan lupakannya
sampai bila-bila.
Kamu sedang berjalan di Orchard Road bersama kawan kamu. Tiba-tiba, kamu
ternampak asap keluar berkepul-kepul dari sebuah van. Gambarkan
pengalaman dan perasaan kamu sepanjang peristiwa itu.
Isi 20
Bahasa 20
40

Anda mungkin juga menyukai