Anda di halaman 1dari 25

Contoh karangan

LATIHAN 1
Setiap murid mempunyai cita-cita tersendiri untuk berjaya dalam hidup termasuk mencapai kejayaan dan
kecemerlangan dalam peperiksaan.
Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Tidak dapat dinafikan bahawa setiap murid pasti mempunyai keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan. Kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai sekiranya murid-murid berusaha bersungguh-sungguh untuk
mencapainya. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang susah untuk dicapai sekiranya murid itu sendiri
mempunyai azam yang tinggi untuk mencapainya. Murid-murid tidak sepatutnya menganggap perkara ini sesuatu yang
remeh atau mudah kerana keputusan peperiksaanlah yang akan menjamin masa hadapan seseorang pelajar. Oleh itu,
murid-murid janganlah menyesal pada masa hadapan disebabkan tidak dapat memperoleh keputusan yang cemerlang
dalam peperiksaan bak kata orang tua-tua sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Oleh sebab itu,
saya sebagai salah seorang murid, saya harus berusaha mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Persoalannya,
apakah langkah-langkah yang sepatutnya saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti?
Langkah yang pertama yang akan saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan ialah saya
akan sentiasa memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar di bilik darjah. Apabila saya memberi perhatian
ketika seseorang guru sedang mengajar sudah tentulah sesuatu pembelajaran tersebut akan cepat diserap masuk ke
dalam minda saya. Bahkan seorang pakar psikologi pernah mengatakan bahawa lima puluh peratus kejayaan pelajar-
pelajar adalah disebabkan kerana mereka memberikan sepenuh perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran
sedang dijalankan. Saya juga akan terlibat secara aktif ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan
agar dapat mewujudkan suasana bilik darjah yang ceria supaya saya tidak akan berasa bosan dan secara tidak langsung
saya akan dapat mengingati apa-apa yang disoal atau ditanya oleh guru serta apa-apa yang saya sebut atau yang saya
ulangi. Saya juga akan menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru supaya saya akan lebih memahami
sesuatu topik dan tidak ketinggalan. Saya juga akan bertanya kepada guru-guru sekiranya terdapat sesuatu topik atau
tajuk yang saya kurang fahami kerana berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan dan telah mendapati bahawa
kebanyakan kecemerlangan pelajar-pelajar dalam peperiksaan adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar yang sentiasa
mengemukakan soalan-soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang difahami oleh mereka. Tegasnya,
memberi tumpuan ketika guru-guru sedang mengajar dan dengan menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh
guru-guru merupakan salah satu langkah dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Selain itu, saya akan menguruskan masa dengan bijak dan baik. Saya akan menyediakan jadual waktu belajar dan
saya akan mengikutinya dengan tegas sekiranya saya ingin mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Hal ini
demikian kerana berdasarkan satu kajian, jadual waktu belajar dapat membantu para pelajar menguruskan masa secara
berkesan supaya mereka akan mempunyai masa yang mencukupi untuk mengulang kaji pelajaran dengan lebih
menyeluruh dan bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Malah, jika saya mengikut jadual waktu belajar yang
telah saya tetapkan dengan apabila peperiksaan sudah hampir kerana peribahasa menyatakan bahawa sediakan payung
sebelum hujan. Tambahan pula, kebanyakan pelajar yang berjaya biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang telah
membuat persiapan awal. Manakala, pelajar-pelajar yang tidak membuat persiapan awal kerana mereka terlalu leka
membuang masa dan tidak berpegang kepada pepatah masa itu emas dan masa yang lalu tidak akan kembali maka
mereka tidak dapat menghabiskan semua tajuk-tajuk sebelum tiba peperiksaan. Jelasnya, pengurusan masa yang cekap
akan memberi saya masa yang cukup untuk membuat persediaan awal supaya saya dapat mencapai kecemerlangan
dalam peperiksaan yang akan saya duduki nanti.
Pada waktu yang sama, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya akan membuat lebih banyak
latihan dan saya juga akan mengulang kaji pelajaran secara berterusan. Ungkapan yang dipetik daripada Bahasa Inggeris
iaitu, practice makes perfect. Kalau ungkapan ini ditukarkan ke dalam Bahasa Melayu, maka ungkapannya akan
menjadi, praktis asas kecemerlangan. Kedua-dua ungkapan ini membawa maksud yang sama iaitu jikalau seorang itu
membuat latihan yang banyak maka dia akan mencapai kecemerlangan dalam hidup.saya akan membuat latihan bagi
setiap mata pelajaran setelah selesai mengulang kaji sesuatu topik. Hal ini kerana saya akan lebih menguasai sesuatu
topik dan secara tidak langsung saya akan biasa dengan jenis-jenis soalan yang akan ditanya dalam peperiksaan. Saya
juga akan membuat ulang kaji secara berterusan bak kata pepatah sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain
dan sedikit-sedikit , lama-lama jadi bukit. Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan saya akan membuat ulang kaji
secara berterusan untuk memastikan saya tidak akan ketinggalan dalam pelajaran dan terutamanya dalam mata
pelajaran sains. Tegasnya, saya membuat lebih banyak latihan dan jika saya mengulang kaji pelajaran secara berterusan,
pasti saya akan mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti.
Seterusnya, saya akan mengikuti kelas tuisyen. Jika saya segan bertanya guru-guru di sekolah, bolehlah saya
bertanya kepada guru-guru yang mengajar di kelas tuisyen tetapi saya juga perlulah menghapuskan perasaan segan
bertanya kepada guru-guru di sekolah kerana bak kata pepatah malas berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat
jalan. Malahan, jika saya tidak memahami sesuatu topik yang diajar oleh guru-guru di pusat tuisyen, maka bolehlah
saya bertanya kepada guru-guru yang mengajar di kelas tuisyen. Tambahan pula, jika terdapat sesuatu topik itu diajar
dua kali, maka saya akan mudah ingat dan saya juga akan menguasai sesuatu topik itu. Contohnya, di sekolah yang diajar
topik yang sama yang telah diajar di pusat tuisyen terlebih dahulu, maka saya akan lebih faham. Di samping itu, saya
juga boleh mengikuti program di sekolah kerana ini juga membantu saya untuk mencapai kecemrlangan dalam
peperiksaan. Saya akan menyertai segala program-program yang telah dianjurkan oleh pihak sekolah seperti Minggu
Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Teknik Menjawab Soalan-soalan dan lain-lain lagi. Sekiranya saya menyertai dalam
program-program yang dianjurkan oleh pihak sekolah, saya akan didedahkan dengan jenis-jenis soalan dan latihan yang
kerap kali akan ditanya dalam peperiksaan. Jelasnya, penyertaan saya dalam program-program sekolah dan mengikuti
kelas-kelas tuisyen merupakan salah satu langkah bagi saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Langkah yang berikutnya ialah saya akan bersikap sabar, tabah dan tidak mudah putus asa. Saya tidak akan
dapat cepat mengalah apabila saya gagal dalam sesuatu buat kali pertama dan kedua, malah saya akan berusaha
bersungguh-sungguh untuk lulus dalam sesuatu perkara kerana saya berpegang pada prinsip, gagal sekali tidak
bermakna gagal selama-lamanya. Saya juga akan tabah apabila terdapat apa-apa masalah atau cabaran yang saya
hadapi. Seseorang yang ternama pernah menyatakan bahawa jika seseorang itu berjaya dalam hidupnya, tentu dia telah
memenuhi kegagalan beberapa kali kerana untuk mencapai sesuatu tentu ada kekangan yang akan kita tempuhi.
Contohnya, jika saya gagal mendapat penyelesaian untuk sesuatu soalan, saya tidak akan putus asa, malah saya akan
mencuba beberapa kali sehingga saya mendapat penyelesaiannya. Tegasnya, saya perlu bersikap sabar, tabah dalam
menghadapi halangan dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan dan sayatidak akan mudah putus asa untuk
memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan.
Akhir sekali, saya juga akan mematuhi segala nasihat daripada kedua-dua ibu bapa saya dan saya juga akan
sentiasa berdoa kepada Tuhan. Kata orang tua-tua, Tuhan hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat
kepada ibu bapa, Kenyataan ini pasti benar kerana orang-orang tua mempunyai lebih banyak pengalaman. Saya akan
sentiasa patuh pada nasihat dan asuhan ibu bapa kerana saya sedar bahawa syurga terletak di telapak kaki ibu.
Misalnya, ibu bapa saya akan selalu menasihati saya untuk belajar bersungguh-sungguh. Oleh itu, saya akan berusaha
secara gigih untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang. Segala doa dan dorongan ibu bapa, saya tahu walaupun
betapa tabah atau bijak mana saya sekali pun, saya tidak mungkin dapat memperoleh kejayaan yang cemerlang yang
saya ingini tanpa doa, restu dan dorongan daripada kedua-dua ibu bapa saya. Malah, saya juga akan sentiasa berdoa
kepada Tuhan supaya saya tidak akan jatuh sakit pada hari peperiksaan kerana manusia hanya mampu merancang,
Tuhan yang menentukan segala-galanya. Jelasnya, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah
mematuhi segala nasihat kedua-dua ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa berdoa dan bersyukur kepada Tuhan atas
segala pemberianNya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan, saya perlulah mengikuti langkah-langkah yang telah saya tulis dalam perenggan di atas. Saya perlu
mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan agar masa depan saya tidak gelap tetapi terang dengan cahaya iaitu
kejayaan. Kejayaan dalam peperiksaan adalah diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam-malam
yang gelap-gelita. Tanpa kecemerlangan dalam peperiksaan kerana ini akan menentukan masa depan kita, kita akan
hidup teraba-raba dalam kegelapan. Oleh itu, saya akan belajar berungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan
dalam peperiksaan ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang.
LATIHAN 2
Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat. Jelaskan peranan ibu bapa dalam
usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Dalam kehidupan sehari-hari, keluar dari rumah, sama ada memandang ke kanan, ke kiri atau memandang
hadapan atau belakang, rumah yang kita lihat ialah rumah jiran. Betapa pun kita mengasihi adik-beradik dan saudara-
mara, namun jarak yang jauh menyebabkan pergantungan kita terhadap jiran lebih besar berbanding dengan orang yang
dekat dengan kita sejak lahir. Menurut perspektif Islam, konsep jiran meliputi skop yang lebih luas sehingga menjangkau
empat puluh buah rumah atau keluarga yang tinggal berhampiran dengan kita. Semangat kejiranan pula membawa
pengertian jiran tetangga yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur dan bekerjasama antara satu sama lain. Dalam
kehidupan kita, kita dilarang menyakiti hati jiran, sebaliknya diminta mengambil berat antara satu sama lain dan hidup
berlandaskan kasih sayang sesama individu tanpa mengira keturunan, usia, agama atau pangkat. Pepatah Melayu ada
mengatakan bahawa Jiran Sepakat Membawa Berkat. Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran kita dalam kehidupan
dan mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu dalam melakukan sesuatu perkara. Walau
bagaimanapun, dalam era globalisasi yang dipenuhi pelbagai pancaroba moden, semangat kejiranan dalam kalangan
anggota masyarakat, semakin meluntur. Oleh itu, semua lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa wajar mengambil
langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang
elektif wajar diambil oleh ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat?
Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat majmuk di negara ini,
maka usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa agar nilai yang berharga ini tidak lenyap daripada amalan hidup masyarakat
kini. Ibu bapa haruslah menyertai aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau masyarakat setempat.
Dalam hal ini. ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai aktiviti tersebut bersama. Melalui aktiviti gotong-royong,
semua penduduk setempat dapat berkumpul bersama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan.
Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berbual-bual dan berkenal-kenalan antara satu sama lain dan
sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih baik dan dekat. Hal ini dapat
digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Sebagai contoh, aktiviti
yang boleh dijalankan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk
kenduri-kendara dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan secara bergotong-royong memerlukan masyarakat
bekerjasama bagai aur dengan tebing agar aktiviti-aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan lancar dan baik. Melalui
cara ini, setiap ahli keluarga dapat menjalinkan hubungan mesra sesama jiran. Mereka juga sedar akan peranan masing-
masing dalam sesuatu komuniti . Apabila dewasa kelak, anak-anak akan melakukan perkara yang sama untuk
mengeratkan ikatan kejiranan. Jelasnya, ibu bapa haruslah mengadakan aktiviti gotong-royong agar dapat memupuk
semangat kejiranan dalam masyarakat.
Selain itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau role model yang baik kepada anak-anak sekiranya mahu
anak-anak mengamalkan semangat kejiranan dalam diri sendiri. Ibu bapa perlulah mengamalkan cara hidup seperti aur
dengan tebing atau ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni dan hati gajah sama dilapah, hati kuman sama
dicecah untuk mencapai keberkatan dalam hidup. Sebagai anggota dalam sesebuah masyarakat, ibu bapa mesti
mempunyai semangat kekitaan dan keprihatinan terhadap jiran mereka.. Apabila mengambil berat akan hal-hal jiran,
bukanlah bermaksud kita hendak menjaga tepi kain mereka atau mengambil tahu hal rumah tangga mereka, tetapi kita
mengambil tahu masalah-masalah yang dihadapi oleh jiran dan cuba membantu mereka supaya dapat meringankan
beban yang ditanggung oleh jiran. Hal ini demikian kerana, dalam kehidupan berkeluarga, setiap keluarga pasti akan
menghadapi masalah dan masalah itu hanya boleh diatasi atau dikurangkan dengan bantuan orang lain. Misalnya,
ketika ketua keluarga sakit tenat, maka ahli-ahli keluarga itu memerlukan bantuan daripada jiran untuk menghantar
ketua keluarga itu ke hospital, memberitahu keluarganya yang tinggal berjauhan daripada mereka, mendapatkan
bantuan nasihat ataupun kewangan dan sebagainya. Sikap keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran,
akan menyebabkan anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran mereka. Tegasnya, ibu bapa yang berjaya
menjadi suri teladan yang baik, sudah pasti mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Di samping itu, ibu bapa juga mestilah mengadakan atau menghadiri majlis-majlis rumah terbuka sempena
sesuatu sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim, tetapi juga
mampu mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa boleh
membawa anak-anak bersama. Dalam majlis tersebut, masyarakat dapat berkumpul dan mengenali antara satu sama
lain dengan lebih dekat. Mereka juga berpeluang untuk berkongsi pendapat tentang sesuatu perkara dan bertanya
khabar sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Dengan itu, masyarakat akan lebih memahami adat
resam, agama dan budaya masing-masing di negara ini. Sebagai contoh, majlis-majlis rumah terbuka sempena
sambutan Hari Raya Aildilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Krismas dan Hari Deepavali hendaklah dijadikan acara tahunan.
Kehadiran ibu bapa bersama ahli keluarga dalam majlis rumah terbuka, bukan sahaja dapat memperkenalkan anak-anak
mengenali lebih dekat adat resam sesuatu budaya malah dapat menanamkan semangat hormat-menghormati dalam
diri anak-anak dan mengamalkan semangat perpaduan. Tegasnya, majlis-majlis rumah terbuka mestilah diadakan setiap
tahun agar mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan membentuk masyarakat yang bersatu-padu.
Seterusnya, ibu bapa hendaklah menyemarakkan budaya ziarah-menziarahi dalam kalangan masyarakat
sebagai langkah untuk memupuk dan meningkatkan semangat kejiranan dalam diri anak-anak. Dalam hidup
bermasyarakat, ibu bapa digalakkan membawa anak-anak-anak menziarahi jiran tetangga pada masa-masa yang
sesuai. Dengan menziarahi jiran, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh jiran kita. Semua
masalah boleh diselesaikan bersama dan hal ini akan menjadikan hidup mereka lebih aman dan harmoni walaupun
dalam keadaan yang serba kekurangan. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak berkunjung ke hospital
jika kita mendapat tahu bahawa jiran kita telah dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau
mendapat kemalangan. Amalan ini dapat membentuk sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta membuang sejauh-
jauh sikap mementingkan diri sendiri dan hidup diibaratkan seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-
masing. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya,
namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang teguh pada prinsip cubit peha kiri, peha kanan terasa juga. Jadi, melalui
lawatan kita, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita dan secara tidak
langsung, mereka dapat hidup dengan lebih selesa, aman dan tenang. Anak-anak turut mengambil berat tentang jiran
yang ditimpa masalah sama seperti ibu bapa mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh menyemarakkan budaya kunjung-
mengunjungi dalam diri anak-anak untuk memupuk semangat kejiranan.
Akhir sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti
Hari Keluarga. Setiap komuniti, sering mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan
masyarakat setempat. Aktiviti kerap diadakan sama ada di padang, taman rekreasi atau di tepi pantai. Ibu bapa boleh
membawa anak-anak bersama dan setiap ahli keluarga boleh menyertai permainan yang disediakan. Selain itu, ibu
bapa boleh mendedahkan kepada anak-anak tentang kepentingan hidup berpersatuan dalam masyarakat setempat yang
mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk
tempatan sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan
Rukun Tetangga , Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan sebagainya.
Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rakan Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan
kawasan tempat tinggal atau taman untuk mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti
membunuh, merogol, merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur
dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu antara satu sama lain dalam
kehidupan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting untuk menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti
sosial sebagai langkah untuk memupuk semangat kejiranan.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat saya simpulkan bahawa semangat kejiranan dalam setiap individu
amat penting untuk melahirkan masyarakat yang prihatin dan mmmembentuk perpaduan kaum. Walau apa pun
keadaan dan di mana-mana pun kita tinggal, kita perlulah mempunyai jiran yang baik hati, iaitu jiran yang menjadi
tempat untuk memohon bantuan ketika kita dalam keadaan yang susah dan sentiasa menghulurkan bantuan dengan
senang hati dan menghiburkan ketika kita senang. Jadi, untuk mempunyai jiran yang baik, maka kita perlu menjadikan
diri kita sebagai jiran yang baik kepada jiran kita. Sekiranya kita berbaik-baik dengan jiran, maka jiran juga akan berbaik-
baik dengan kita. Cogan kata Jiran Sepakat Membawa Berkat perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari.
Jangan kita berasa susah dalam usaha mengamalkan budaya murni ini. Amalkan dengan hati yang ikhlas, barulah kita
memperoleh keberkatan dalam kehidupan. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan kaum akan
bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat
kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera. Allah berfirman yang
maksudnya, Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan
dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali.

LATIHAN 3
Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini. Jelaskan peranan ibu bapa dalam
menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Setiap negara mempunyai sejarah yang tersendiri. Di Malaysia, sejarah yang ada telah membentuk identiti
negara kita. Negara kita terdiri daripada rakyat yanhg berbilang kaum iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan
sebagainya. Perpaduan kaum yang terbentuk pada masa dahulu sehingga kini merupakan satu pencapaian negara yang
amat membanggakan. Rakyat yang berbilang kaum ini dapat hidup bersama secara aman damai kerana mereka
mempunyai semangat patriotik yang kukuh dan kental dalam diri mereka. Walau bagaimanapun, masyarakat pada
zaman moden ini, asyik dengan perkembangan dunia sehingga mengabaikan kepentingan semangat patriotik dalam diri
mereka. Amat jelas dapat dilihat bahawa masyarakat kini kurang berpengetahuan tentang sejarah pembentukan negara
hasil perjuangan oleh tokoh pejuang bangsa seperti Dato Maharajalela, Dato Bahaman, Tok Janggut dan sebagainya.
Masyarakat kini kurang bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang terdapat di negara kita. Oleh itu, pelbagai
usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa masyarakat. Persoalannya,
apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?
Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam menerapkan dan
menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa seharusnya sentiasa membawa anak-anak melawat ke
tempat-tempat yang bersejarah. Contohnya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke Bandar Bersejarah, Melaka. Di
situ, terdapat pelbagai barang dan bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini dapat menimbulkan dan melahirkan minat
anak-anak untuk mengetahui latar belakang dan asal-usul pembentukan negara dan seterusnya akan wujud semangat
patriotik dalam jiwa anak-anak. Tempat-tempat bersejarah seperti Lembah Bujang, Seri Menanti, Kota Belanda di Perak
dan sebagainya boleh dijadikan sebagai destinasi lawatan. Aktiviti lawatan ke tempat yang bersejarah merupakan
langkah bagai serampang dua mata kerana anak-anak bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan, tetapi juga dapat
mengekalkan hubungan silaturahim yang erat antara keluarga. Jelasnya, lawatan ke tempat yang bersejarah boleh
dijadikan amalan setiap kali cuti persekolahan oleh ibu bapa sebagai cara menerapkan semangat patriotik dalam jiwa
anak-anak.
Selain itu, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah atau buku-buku novel
bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan negara kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana melalui
proses pembacaan, anak-anak dapat mengetahui lebih banyak perkara berkaitan dengan sejarah. Buku-buku sejarah
dan novel dapat membantu menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak kerana buku-buku tersebut
mempunyai isi kandungan yang berunsur patriotisme. Hal ini amat jelas menunjukkan bahawa usaha ibu bapa dalam
memilih buku-buku yang sesuai untuk anak-anak adalah amat penting. Oleh itu, ibu bapa haruslah memilih buku-buku
yang tinggi nilai ilmunya dan bukannya buku-buku komik yang tidak bermanfaat. Dengan membaca buku-buku
berunsurkan patriotisme, pasti semangat patriotik dapat diterapkan dalam jiwa anak-anak. Amalan membaca buku-
buku tersebut hendaklah dipupuk sejak dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila anak-anak
membesar nanti, mereka akan sentiasa bersemangat patriotik dan suka membaca kerana kalau asal benih yang baik
jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora dan dicampak ke bumi menjadi penawar.
Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menjadi role model atau suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa perlu
sedar bahawa segala perbuatan, perlakuan, amalan, pertuturan dan pemikiran mereka akan diikuti oleh anak-anak. Oleh
hal yang demikian, ibu bapa hendaklah sentiasa menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai contohnya,
ibu bapa boleh mengibarkan bendera di rumah atau melakukan aktiviti yang boleh menunjukkan sokongan terhadap
negara. Ibu bapa janganlah menyertai apa-apa protes terhadap negara kerana perbuatan sedemikian hanya akan
menjadi seperti ketam mengajar anak berjalan betul, tetapi diri sendiri tidak betul.. Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa
menunjukkan contoh yang tebaik kepada anak-anak kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa
boleh membawa anak-anak menyertai program larian 1 Malaysia, ceramah tentang Sejarah Negara, atau lawatan ke
Muzium Negara. Ibu bapa haruslah melakukan usaha dengan sepenuh hati agar anak-anak yang dibesarkan dapat
menjadi insan yang cinta akan negara dan bersemangat patriotik. Tegasnya, ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada
anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang berwawasan.
Seterusnya, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwa-peristiwa atau kisah yang
berkaitan dengan sejarah kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang bersemangat patriotik. Bak kata
pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Sebagai contohnya, sebelum anak-anak masuk tidur, ibu
bapa boleh membacakan cerita mengenai pejuang-pejuang bangsa kepada anak-anak seperti kisah perjuangan Datuk
Bahaman, Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Kapten Hasan dan lain-lain ketika menentang Inggeris. Ibu bapa bolehl juga
menceritakan sendiri pengalaman nenek moyang terdahulu,betapa mereka menderita dizalimi dan didera semasa
zaman penjajahan di negara kita. Anak-anak yang bijak sudah pastinya dapat membandingkan kehidupan mereka
sekarang berbanding dahulu. Hal ini boleh menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa juga boleh
melayari internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan untuk bercerita kepada anak-anak. Dengan
mempunyai maklumat yang tepat, anak-anak akan mendapat informasi yang betul dan setelah itu, anak-anak akan
sentiasa teringat-ingat tentang kisah sejarah. Mereka akan belajar sesuatu melalui sejarah lalu timbullah semangat
patriotik dalam jiwa mereka. Oleh itu, ibu bapa perlulah sentiasa mencari peluang atau kesempatan untuk menceritakan
pengalaman diri atau berbincang dengan anak-anak mengenai topik-topik berunsurkan negara bagi menerapkan
semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Amalan-amalan ini haruslah dilaksanakan dengan berterusan kerana alah bisa
tegal dek biasa. Anak-anak akan cuba mengingati setiap cerita yang pernah didengarnya terutama tentang sejarah
negara. Tegasnya, ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik bagi membentuk jiwa anak-anak yang
bersemangat patriotik.
Akhir sekali, ibu bapa juga haruslah membawa anak-anak menyertai sambutan-sambutan negara seperti Hari
Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Malaysia pada 16 September dan sebagainya. kita Dengan menyertai sambutan hari
kemerdekaan ini, semangat patriotik dapat disemai dalam diri mereka. Sebagai contohnya, apabila anak-anak dapat
bersama-sama mengibarkan jalur gemilang, mendengar deklamasi sajak serta mendengar cerita-cerita tentang
kesengsaraan para pejuang tanah air untuk memerdekakan negara. Anak-anak dapat melihat sendiri kemeriahan
sambutan kemerdekaan sekali gus memahami objektif sebab-sebab sambutan sebegini diadakan. Kisah disebalik
kemewahan dan kedamaian negara akan dapat dirungkai dan seharusnya dapat menghadirkan keinsafan dalam diri
mereka bahawa banyak harta benda dan nyawa yang harus dikorbankan demi melihat Malaysia gagah seperti sekarang.
Dengan menyertai aktiviti sambutan ini juga, kita akan mendapat peluang untuk melihat persembahan daripada kaum
lain dan berkenal-kenalan antara satu sama lain. Secara tidak langsung, perpaduan antara kaum akan tercapai dan
wujudlah masyarakat yang harmoni yang bersemangat patriotik. Jelaslah bahawa, jika ibu bapa dapat membawa anak-
anak menyambut hari Kemerdekaan setiap tahun sejak mereka kecil lagi sudah pasti semangat patriotik dapat dipupuk
dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting
dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Hadis Riwayat At-Tarmizi ada menyatakan bahawa tiada
anugerah yang dapat diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya selain tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia. Hal ini
amat jelas membuktikan betapa besarnya tanggungjawab seorang ibu atau bapa kepada pembinaan personaliti anak-
anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah melaksanakan tanggungjawab dan peranan bagi melahirkan individu yang
bersemangat patriotik, cinta akan negara dan berwawasan.

LATIHAN 4
Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting ke arah melahirkan gaya hidup sihat. Jelaskan peranan ibu bapa
dalam usaha memupuk amalan gaya hidup sihat.
Amalan gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung pada masa
hadapan. Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan, tidak aktif dan terlalu banyak
menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi seperti menggemari
makanan yang mengandungi kolesterol, tidak melakukan senaman dan makan secara berlebihan. Oleh itu, untuk
mengurangkan risiko penyakit berbahaya seperti sakit jantung, obesiti, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya,
rakyat Malaysia perlulah mengamalkan gaya hidup sihat. Secara umumnya, tanggungjawab ini sudah semestinya jatuh
pada bahu ibu bapa yang melahirkan anak-anak serta menjaga mereka sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah peranan
ibu bapa dan keluarga untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka?
Peranan utama ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka adalah
dengan memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang seimbang adalah
pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein,
vitamin, mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan makanan yang berzat serta
bernutrisi kepada anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan untuk makan di rumah kerana makanan di luar,
khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan yang makanannya biasa digoreng dengan penuh minyak. Jika tabiat
yang baik ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti anak-anak akan tahu menjaga pemakanan mereka apabila dewasa
kelak. Ibu bapa juga perlu mengurangkan pengambilan minuman berkarbonat oleh anak-anak kerana minuman sebegini
tidak memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar
untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak
mengamalkan pemakanan seimbang dalam memupuk amalan gaya hidup sihat.
Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-anak. Perbuatan ini
bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak akan menjadi lebih erat.
Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman
akan keluar bersama-sama toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu membina tahap imunisasi yang tinggi terhadap
serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah dilakukan sekurang-kurannya 20 minit sehari dan tiga kali
seminggu. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah senamrobik, berjoging, berbasikal, berenang serta mendaki bukit.
Disebabkan ramai golongan ibu bapa yang bekerja, senaman ini boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada waktu
petang selepas ibu bapa pulang dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan beriadah, mreka dapat meningkatkan
kesihatan diri dari aspek fizikal dan mental bak kata pepatah, badan cergas otak cerdas. Tegasnya, ibu bapa perlulah
melakukan aktiviti senaman dan riadah bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala
untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk membawa anak-anak menjalani pemeriksaan
kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali ataupun dua kali setahun. Pemeriksaan kesihatan adalah penting
kerana mampu mengesan sesuatu penyakit ketika masih di peringkat awal dan memudahkan pesakit menjalani rawatan
dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Dengan ini, ibu bapa dapat
mengenali tubuh badan anak-anak mereka dengan lebih baik dan mampu menentukan pilihan yang terbaik untuk anak-
anak mereka. Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah segala membawa mereka
berjumpa dengan doktor untuk mendapat ubat serta pengesahan tentang penyakit yang dihidapi. Bukan itu sahaja, ibu
bapa perlulah memastikan anak-anak mematuhi nasihat doktor dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan.
Jelasnya, pemeriksaan kesihatan secara berkala oleh anak-anak akan memupuk amalan gaya hidup sihat.
Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa
bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi,
berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan
jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas
kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak
dihinggapi lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa ibu
bapa dalam menitik beratkan aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus
dilentur sejak dari rebung dalam diri anak-anak agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat apabila mereka dewasa
kelak.
Pada masa yang sama, selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu bapa juga perlu mendidik ahli
keluarga mereka agar menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan
gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, ibu bapa menggalakkan anak-anak
mengadakan gotong-royong di rumah setiap hujung minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli
keluarga. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di taman perumahan dengan
membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat
mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat
pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap
dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri anak-
anak mereka sekaligus akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit.

Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan
bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan
individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-
sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Ibu bapa digalakkan menjalin hubungan
komunikasi yang mesra bersama-sama anak-anak atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat
melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia
perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini Peranan ibu bapa mengamalkan cara berkomunikasi
berkesan dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga serta mengamalkan ibadat mengikut agama masing-
masing akan memberi impak psikologi yang positif.
.
..........Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani
tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan
pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh
cabaran terutama tekanan di pejabat ,kekangan di tempat kerja memerlukan satu persepsi positif daripada ahli
masyarakat kita. Para ibu bapa perlu bijak menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan
daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh
menjuruskan ibu bapa pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar
jangkaan. Jadi, semakin positif minda ibu bapa itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapai oleh
dirinya dan keluarga kelak. Penguasaan diri yang baik dan pesanan yang sering meransang anak-anak ke arah positif
menangani cabaran merupakan asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka dewasa.

Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa perlulah membawa
mereka menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga ataupun rakan-rakan. Hari ini kita siha, tetapi
bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu bapa sering melawat orang yang sedang sakit, nescaya anak-anak mereka
juga akan berbuat demikian kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak seharusnya merasakan
bahawa perbuatan sebegini hanya membuang masa dan merugikan diri kerana ianya sesuatu amalan yang mulia.
Apabila kita menziarahi ornag yang sakit, secara tidak langsung kehadiran kita dapat melahirkan perasaan gembira
kepada pesakit dan memberi kekuatan kepada diri pesakit itu untuk melawan kesakitan yang ditanggungnya. Perbuatan
menziarahi orang yang sakit akan sedikit sebanyak melahirkan rasa simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa
yang sama anak-anak akan bersyukur atas kurniaan sebuah badan yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan bahawa kita,
khususnya anak-anak, mengambil berat tentang diri pesakit dan dapat mengurnagkan perasaan sedih pesakit walaupun
pepatah menyatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya, amalan menziarahi
orang yang sakit oleh ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya hidup yang sihat.
Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak mendapat
rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu direhatkan dengan kadar yang diperlukan untuk
mengecas semula organ-organ dalam badan mereka. Bagi anak-anak yang telah mencapai usia remaja, mereka
memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tidur dengan selesa. Namun, ramai anak-anak muda pada
masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah malam walaupun keesokan merupakan hari persekolahan. Kesannya,
mereka tidak akan berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak bermaya. Malahan, pelajaran anak-anak juga diganggu
dan lama-kelamaan prestasi mereka dalam peperiksaan semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh diambil oleh
ibu bapa adalah menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan mestilah dipatuhi dengan
sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat
rehat yang secukupnya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar
untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Amalan ini adalah penting untuk dilaksanakan agar
kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas perlulah
diamalkan oleh anak-anak yang menjadi pemimpin generasi akan datang bak kata pepatah pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit seperti kencing
manis, obesiti, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya dapat dikurangkan dalam jangka masa yang panjang ini.
Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu kita laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang berjaya
bak kata pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

LATIHAN 5
Menabung amat penting untuk menjamin kehidupan pada masa hadapan.
Apakah peranan ibu bapa dalam memastikan amalan menabung menjadi budaya masyarakat kita?
Hidup ibarat roda, sekejap di atas, sekejap di bawah, begitulah lumrah manusia dalam kehidupan. Menjelang
era milieu yang sarat dengan informasi dan teknologi, momentum arus terus bergerak ke depan dengan tidak
berlengah-lengah. Oleh itu, generasi muda perlu berjimat cermat dan sifat menabung perlu disemai sejak anak-anak
masih kecil lagi. Amalan menabuing ini diharapkan terbawa-bawa sehingga dewasa. Menabung merupakan tabiat
menyimpan wang. Tanggungjawab untuk memupuk amalan ini dalam sanubari anak-anak jatuh pada bahu ibu bapa.
Dengan itu, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dengan bijaksana ibarat menarik rambut di dalam tepung,
rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Persoalannya, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa dalam
memastikan amalan ini menjadi budaya masyarakat kita?

Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bagi menerapkan amalan berjimat-cermat dalam diri anak-
anak adalah dengan menjadikan amalan ini sebagai budaya keluarga. Hal ini kerana suasana keluarga merupakan cara
yang paling cepat dan efektif bagi membentuk keperibadian anak-anak. Anak ibarat sehelai kain putih, ibu bapa yang
bakal mencorakkannya menjadi putih atau hitam. Ibu bapa merupakan orang yang pertama berpeluang untuk
berinteraksi dengan anak-anak. Anak-anak telah dibawa ke dunia ini oleh ibu bapa. Anak-anak datang ke dunia yang
berwarna-warni ini dengan otak yang kosong. Oleh itu, ibu bapa perlulah mengisikan tempat kosong yang ada dalam
minda anak-anak. Dengan kesempatan ini, ibu bapa boleh menyemai amalan menabung dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa
boleh mengajar anak-anak menabung dengan menyimpan sebahagian daripada wang perbelanjaan harian sekolah anak-
anak. Ajarlah anak-anak berjimat-cermat dan tidak membelanjakan semua wang perbelanjaan harian yang diberi agar
anak-anak tahu akan kepentingan menabung. Jelasnya, ibu bapa perlumemupuk tabiat ini dalam kalangan kanak-kanak
sebelum kudis menjadi tokak.

Selain itu, ibu bapa wajar menerapkan amalan menabung dalam jiwa anak-anak sejak bangku prasekolah lagi, bak
kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sewaktu anak-anak masih kecil, mereka sangat mematuhi kata-
kata dan nasihat ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa mudah memberitahu dan mendidik mereka amalan yang berunsur positif
seperti amalan menabung. Anak-anak mudah dipengaruhi ketika mereka masih kecil. Mereka tidak akan mengingkari
nasihat ibu bapa dan mengikut segala ajaran ibu bapa mereka. Dengan cara ini, amalan menabung, secara tidak
langsung, mudah berakar umbi dalam hati anak-anak. Sekiranya didikan dan ajaran seperti ini diberikan sewaktu belia,
anak-anak yang berdarah muda tidak akan mempedulikan ibu bapa lagi dan nasihat ini bagai mencurahkan air ke daun
keladi. Ibu bapa yang melahirkan anak-anak dan membawa mereka ke alam fana ini, sekiranya mangajar kanak-kanak
bukan tanggungjawab mereka, siapakah yang mampu bertanggungjawab dalam hal ini lagi? Oleh itu, ibu bapa perlu
menerapkan amalan sedikit demi sedikit dalam jiwa anak-anak sejak kecil kerana sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.
Selain itu, ibu bapa mengamalkan gaya hidup sederhana dan tidak menunjuk-nunjuk. Anak-anak perlu
diterapkan dengan gaya hidup yang sederhana dan tidak membazir. Sebagai contohnya, jenis rumah dan perkakas di
dalamnya menjadi penanda aras paling senang bagi menilai taraf hidup sesebuah keluarga. Oleh itu, ibu bapa perlulah
bersederhana dalam pembelian peralatan di rumah dan setiap pembelian perlu dibayar tunai tanpa berhutang.
Kadangkala, terdapat keluarga yang sanggup berhutang bagi membeli perabot dan perkakas rumah yang bergaya supaya
mendapat "pengiktirafan"orang berada oleh orang-orang di sekeliling walaupun hakikat sebenarnya mereka tidak
berkemampuan .Mereka inilah yang berpegang pada prinsip biar papa asal bergaya. Jika ada ibu bapa yang menjadikan
hal ini sebagai budaya keluarga, diharapkan mereka dapat menukar perspektif tersebut bagi memudahkan proses
penerapan amalan berjimat-cermat dalam diri anak-anak.

Adat usang pusaka lama, amalan menabung merupakan tabiat yang bijak dan harus diwariskan secara turun-
temurun. Ibu bapa perlu mengajar anak-anak menguruskan wang dengan cekap. Mereka harus memberitahu anak-anak
cara penggunaan wang dan cara penyimpanannya. Mereka perlu kerap menggalakkan anak-anak mengamalkan tabiat
menabung. Membuka akaun bank untuk anak-anakmerupakan perkara pertama yang boleh diambil bagi menyiapkan
anak-anak ke arah berjimat-cermat. Malah, langkah ini boleh diambil sejak usia mereka masih bayi. Ibu bapa dapat
menaikkan semangat anak-anak untuk menabung dengan meminta mereka membayangkan wang simpanan yang bakal
digunakan untuk masa depan mereka kelak. Kata orang tua, semua orang memerlukan pujian. Dengan hal tersebut,
ibu bapa boleh memuji anak-anak sekiranya mereka melakukan sesuatu yang baik. Pujian dengan batasan tertentu
boleh mewujudkan keyakinan anak-anak. Oleh itu, mereka akan menerima nasihat dan ajaran ibu bapa dengan hati
terbuka. Mereka akan belajar pengurusan wang dengan cekap. Amalan menabung mudah ditanamkan. Dengan itu, ibu
bapa harus memuji anak-anak dan cara ini dapat memudahkan penerapkan amalan menabung sudah terang seperti
murai berkicau hari siang.
Pada hakikatnya, ibu bapa berperanan untuk menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-
anak. Ibu bapa sendiri harus mengamalkan sikap menabung. Mereka harus menabung wang bersama dengan anak-
anak. Ibu bapa perlu menunjukkan kepada anak-anak bahawa pada setiap bulan, mereka menyimpan sejumlah kecil
wang di bank atau pejabat pos. Perbuatan ibu bapa menyimpan wang akan dicontohi oleh anak-anak. Anak-
anak mudah terikut-ikut oleh tingkah laku ibu bapa dan mereka akan mengikut jejak langkah ibu bapa. Oleh itu, ibu
bapa perlu menujukkan contoh yang baik. Mereka harus mengamalkan tabiat menabung juga. Cuba anda bayangkan,
macam mana anak-anak akan rela hati untuk menabung sekiranya ibu bapa mereka sendiri seorang yang boros dan
tidak pandai menguruskan wang? Hal ini jelas menunjukkan betapa pentingnya imej yang diberikan oleh ibu bapa
di depan anak-anak. Pepatah Melayu juga mengatakan bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
Jika berkawan dengan tukang besi, baju kita akan tercarik terkena percikan api; jika berkawan dengan penjual
pewangi harum, tubuh kita akan berbau harum, Kawan merupakan magnet sakti yang boleh mempengaruhi anak-
anak yang berusia seumur jagung. Ibu bapa harus menapis kawan anak-anak dan mengelakkan mereka berkawan
dengan mereka yang kurang berakhlak. Benteng iman yang lemah anak-anak mudah runtuh sekiranya kegembiraan dan
kemewahan mengaburi mata, bak kata pepatah, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Oleh itu, ibu bapa harus
mengurangkan peluang anak-anak untuk bercampur dengan golongan tidak bermoral. Anak-anak mudah terjerumus ke
dalam lembah maksiat. Anak-anak hanya tahu menghabiskan wang dan tidak tahu betapa susah payahnya ibu bapa
memperoleh wang untuk perbelanjaan anak-anak. Dengan itu, amalan menabung akan dialpakan dan diketepikan oleh
anak-anak. Oleh itu, ibu bapa perlu mengelakkan anak-anak berkawan dengan mereka yang kurang bersahsiah.
Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa memang memainkan peranan dominan dalam memastikan amalan
menabung manjadi budaya masyarakat kita. Pepatah cina mengatakan Jikalau tiada wang semua kerja tak terjadi.
Peribahasa Melayu pula menunjukkan ada padii semua jadi, ada beras semua deras. Gambaran ini menunjukkan
betapa pentingnya wang dalam zaman globalisasi yang mengutamakan kebendaan dan material. Kita harus menyemai
sifat menabung dan menjadikan amalan ini sabagai satu tabiat hidup. Pembentukan generasi muda barakhlak yang
merupakan tonggak aspirasi untuk menerajui negara pada masa depan amat diperlukan untuk merealisasikan kelahiran
masyarakat madani. Air bersih, ikannya jernih

LATIHAN 6
Ibu bapa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan seseorang.
Pada pendapat anda, apakah peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang
dalam pelajaran.
Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam sesebuah keluarga. Sebagai anak, seseorang itu memerlukan
bantuan dan sokongan daripada ibu bapa untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Dengan bantuan
dan doa daripada ibu bapa, anak-anak mampu mencipta kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa
mempunyai tanggungjawab yang amat besar terhadap anak-anak dan rumah tangga. Sekiranya, ibu bapa sering
mengabaikan anak-anak, anak-anak pasti berasa dirinya terabai dan mereka akan melibatkan diri dalam kegiatan gejala
sosial yang tidak baik. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlulah bertanggungjawab dan memastikan anak-
anaknya cemerlang dalam pelajaran. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk
membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran?
Peranan pertama yang dapat dimainkan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang
cemerlang ialah ibu bapa mengutamakan iklim rumah tangga yang dibina dalam situasi yang aman dan bahagia.Anak
kunci keamanan dan kebahagiaan rumah tangga ialah sikap saling memahami, berkasih sayang dan tambatan cinta yang
luhur dan abadi. Keharmonian dan keceriaan rumah tangga menjamin anak-anak membesar dengan selamat dan sihat.
Hal ini demikian kerana, kehidupan yang bahagia akan membebaskan anak-anak daripada masalah keluarga seperti
pertengkaran antara ibu bapa atau ibu bapa yang berpecah-belah. Perpecahan keluarga boleh mengganggu
kesejahteraan dan pelajaran anak-anak. Dalam hal ini, peranan ibu bapa penting dalam mewujudkan rumah tangga yang
bahagia agar anak-anak dapat menganggap rumahku syurgaku. Anak-anak sudah pasti dapat berusaha bersungguh-
sungguh tanpa gangguan dalam pelajaran kerana mereka hidup dalam keadaan gembira tanpa ada tekanan yang berat.
Tegasnya, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak membesar dalam suasana yang harmoni dan ceria
sepanjang masa bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Selain itu, ibu bapa juga perlulah bertanggungjawab mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan
rakan sebaya. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan harian dan
masa depan anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala
tindakan atau kelakuan kerana remaja mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Anak-anak lebih
mempercayai dan meyakini kawan daripada ibu bapa sehingga mereka sukar untuk membezakan antara perkara baik
dengan perkara yang buruk. Apabila anak-anak bergaul dengan rakan yang bermasalah seperti ponteng sekolah dan
menghisap rokok, mereka juga akan mengikut jejak rakan sebaya itu dan hilang minat untuk belajar. Untuk menangani
hal ini, ibu bapa mestilah mengenali latar belakang setiap rakan sebaya anak mereka dan mengenal pasti perubahan
yang berlaku kepada anak-anak mereka pada setiap masa. Ibu bapa perlulah bertindak lebih awal, bak kata pepatah
beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis kerana anak-anak dapat diselamatkan dan boleh memberikan tumpuan
terhadap kecemerlangan dalam pelajaran. Tegasnya, ibu bapa perlulah mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-
anak dengan rakan sebaya bagi melahirkan anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah memastikan anak-anak mendapat pendidikan agama dan moral yang
secukupnya. Pendidikan agama dan moral ini perlu diberikan sejak kecil lagi, bak kata pepatah melentur buluh biarlah
dari rebungnya.Anak-anak ibarat sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut.
Pendidikan agama dan moral yang diberikan oleh ibu bapa mampu menepis segala bentuk kemungkaran yang berlaku.
Anak-anak akan dapat membezakan perkara yang baik dan yang buruk. Mereka juga akan menjadi anak-anak yang lebih
bertanggungjawab dan memahami peranan mereka sebagai seorang anak dan tidak akan menghampakan harapan ibu
bapa. Hasil didikan agama dan moral yang cukup ini dapat membantu anak-anak untuk memperoleh kejayaan yang
cemerlang dalam pelajaran. Tegasnya, ibu bapa perlulah memberikan didikan agama yang secukupnya untuk
memastikan anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Seterusnya, ibu bapa juga perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk anak-anak belajar supaya anak-
anak boleh memberikan tumpuan terhadap pelajaran. Ibu bapa perlu memberi motivasi dan galakan terhadap anak-
anak untuk belajar. Dalam hal ini, ibu bapa perlulah menjadi contoh teladan yang baik terhadap anak-anak kerana anak-
anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka bak kata pepatah, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa
perlulah menitikberatkan pelajaran anak-anak dengan menghantar anak-anak ke kelas tambahan atau tuisyen serta
menyediakan buku-buku rujukan yang lengkap untuk memudahkan anak-anak mengulang kaji pelajaran di rumah.
Selain itu, ibu bapa juga perlulah menyediakan bilik yang sesuai dan selesa untuk kemudahan anak-anak belajar. Ibu
bapa perlulah menggalakkan anak-anak membaca untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Oleh itu, ibu bapa
hendaklah membawa anak-anak ke pameran buku, ke kedai buku atau ke perpustakaan. Langkah ini penting kerana
secara tidak langsung anak-anak telah ditanamkan dengan sikap suka membaca. Situasi ini boleh menimbulkan
persaingan dalam diri anak-anak untuk membaca buku-buku tersebut. Natijahnya, anak-anak akan mempunyai
kesedaran dan keinsafan betapa pentingnya pengetahuan dalam kehidupan mereka sehingga mereka berusaha untuk
mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Tambahan lagi, ibu bapa juga perlulah selalu berhubung dan berbincang dengan pihak sekolah serta bertukar-
tukar pendapat dengan guru-guru tentang anak-anak. Untuk mengetahui perkembangan pelajaran dan sahsiah anak-
anak di sekolah, ibu bapa perlulah sentiasa berhubung dengan pihak sekolah terutama guru kelas dan guru disiplin.
Usaha ini penting kerana jika anak-anak menghadapi masalah dalam pelajaran atau masalah disiplin, ibu bapa boleh
bertindak segera untuk menangani masalah tersebut. Dalam hal ini, anak-anak pasti dapat diselamatkan daripada
dipengaruhi oleh rakan sebaya yang tidak sihat. Selain itu, ibu bapa juga perlu sentiasa mengambil berat tentang
masalah yang dihadapi oleh anak-anak walaupun dalam kesibukan bekerja. Ibu bapa mestilah bersedia menjadi
pendengar yang baik kepada anak-anak setiap kali anak-anak meluahkan masalah mereka. Masalah dan kesedihan anak-
anak mestilah dikongsi bersama agar perasaan tersebut tidak akan terpendam yang akan menjadi satu tekanan dalam
diri anak-anak. Biasanya, anak-anak yang memendam perasaan, pasti tidak dapat menumpukan perhatian dalam
pelajaran dan akhirnya mereka akan keciciran dalam pelajaran. Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa perlu mengambil
berat tentang masalah anak-anak mereka dalam pelajaran dan selalu berbincang dengan guru-guru lain agar anak-anak
mendapat pedoman dan boleh memberikan tumpuan untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
Daripada perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk
membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa hendaklah bertanggungjawab
terhadap masa depan anak-anak sebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya ibu bapa kurang memberikan perhatian
terhadap masa depan anak-anak, anak-anak pasti sukar untuk mencapai kejayaan dan kemungkinan mereka terjebak
dalam masalah sosial sehingga sukar untuk diselamatkan. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam
mencorakkan masa depan anak-anak khususnya untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran.

Latihan 7
Dewasa ini, masalah gejala sosial di negara kita semakin serius. Huraikan pendapat anda tentang punca-punca yang
menyebabkan masalah ini berlaku dan tuliskan cadangan-cadangan tentang peranan ibu bapa dalam menangani
gejala tersebut.
Masalah gejala sosial semakin meruncing di negara kita sejak akhir-akhir ini. Dalam surat khabar sering
dipaparkan berita tentang golongan remaja yang terlibat dengan gejala sosial ini. Gejala sosial dapat ditakrifkan sebagai
satu kemelut sosial dan kekeliruan yang timbul dalam kalangan remaja akibat daripada perkembangan sosial, ekonomi
dan politik yang pesat di negara ini. Contoh gejala sosial yang berlaku ialah ponteng sekolah, remaja lari dari rumah,
penagihan najis dadah, vandalisme gengsterisme dan melepak. Masalah gejala sosial ini telah menjadi perdebatan
hangat dalam kalangan pemimpin sehingga menimbulkan kebimbangan tentang masa depan para remaja. Menurut
Hujatul Islam, Imam Al-Ghazali dalam bukunya Ihya Ulumuddin, sekiranya kita ingin melihat masa depan negara, maka
lihatlah pada diri remajanya. Seandainya baik diri remaja maka baiklah masa depan negara. Sebaliknya, buruk diri
remaja maka hancurlah masa depan sesebuah negara. Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan gejala
sosial ini dan apakah cadangan-cadangan untuk menangani gejala sosial ini?
Salah satu punca yang menyebabkan gejala sosial ialah ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya dan urusan
seharian. Hal ini disebabkan oleh ibu bapa tidak dapat memberikan sepenuh perhatian terhadap rumah tangga.
Keadaan ini menyebabkan anak-anak berasa dirinya kurang diambil berat dan kurang diberi perhatian oleh kedua-dua
ibu bapanya. Sebagai contoh, ibu bapa tidak mempunyai masa untuk bertanya masalah anak-anak sama ada di sekolah
ataupun di rumah. Apa yang menyedihkan, terdapat ibu bapa yang tidak bekesempatan langsung untuk berbual-bual
mesra dengan anak kerana semasa keluar untuk bekerja terlalu awal dan apabila balik dari kerja, hari sudah malam dan
ada kemungkinan anak-anak telah memasuki untuk tidur. Ibu bapa mungkin bertembung sebentar semasa bersarapan.
Keadaan ibu bapa yang sibuk boleh mewujudkan kerenggangan antara ibu bapa dengan anak-anak kerana anak-anak
tidak mendapat sepenuh belaian kasih sayang daripada ibu bapa. Menurut pakar psikologi, remaja yang tidak mendapat
belaian kasih sayang daripada ibu bapa mudah terlibat dalam masalah gejala sosial seperti ponteng sekolah, melepak
dan menonton video lucah. Jelasnya anak-anak berbuat demikian untuk mendapatkan perhatian ibu bapa.
Selain itu, masalah gejala sosial berlaku kerana ibu bapa tidak memberikan didikan agama yang sempurna kepada
anak-anak. Hal ini berlaku disebabkan oleh ibu bapa tidak mengambil berat tentang didikan agama terhadap anak-anak.
Terdapat sesetengah ibu bapa yang mengharapkan pihak lain terutamanya pihak sekolah dan guru memberikan didikan
agama kepada mereka. Pengabaian pendidikan agama akan menyebabkan remaja tidak mempunyai asas panduan hidup
dengan kukuh. Sebagai contoh, remaja mungkin hidup dalam keadaan terumbang-ambing. Mereka tidak dapat menilai
baik buruk sesuatu perkara yang dilakukan oleh mereka. Remaja juga sanggup melakukan apa-apa sahaja dan mudah
terpengaruh dengan situasi yang kurang sihat. Kecetekan ilmu agama ini menyebabkan remaja kurang kesedaran dan
keinsafan diri sehingga menyebabkan mereka mudah terjerumus dalam gejala sosial. Jelasnya, ibu bapa yang tidak
memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak turut menyumbang berlakunya masalah gejala sosial.
Di samping itu, ibu bapa yang sering bergaduh dan bertengkar di hadapan anak-anak turut menyumbang kepada
kepincangan institusi keluarga sehingga menyebabkan gejala sosial dalam kalangan remaja. Ibu bapa yang sering
bergaduh di hadapan anak-anak boleh menyebabkan anak-anak berasa bosan dan menghadapi tekanan di rumah.
Rumah bagi anak bagaikan neraka kerana anak-anak tidak dapat menikmati kedamaian atau ketenangan di rumah.
Anak-anak akan menganggap ibu bapa tidak lagi mengambil berat tentang keadaan diri mereka. Suasana ketegangan
seperti ini menyebabkan wujudnya kerenggangan hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak. Keadaan menjadi
bertambah buruk apabila kedua-dua ibu bapa bercerai-berai. Apatah lagi sekiranya, ibu bapa tersebut telah berkahwin
lain dan telah mempunyai anak dengan pasangan lain. Anak-anak hasil perkahwinan yang pertama ini akan menjadi
mangsanya. Mereka kehilangan kasih sayang ibu bapa dan hidup tanpa belaian kasih sayang seorang ayah atau ibu.
Keadaan inj boleh menyebabkan jiwa anak-anak memberontak dan sebagai jalan keluar, anak-anak mungkin mencari
seseorang untuk meluahkan perasaan dan melepaskan tekanan yang dihadapinya. Sebagai contoh anak-anak yang
kehausan kasih sayang daripada ibu bapa ini akan mudah terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak baik.
Keadaan ini boleh membawa anak-anak atau remaja terjerumus dalam kancah gejala sosial. Tegasnya, kehidupan rumah
tangga yang tidak aman, sering bergaduh dan berpecah-belah turut menyebabkan anak-anak terlibat dalam masalah
gejala sosial.
Selain itu, pengaruh rakan sebaya merupakan faktor yang turut mempengaruhi remaja terlibat dalam masalah
gejala sosial. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya biasanya tidak ada tumpuan terhadap keluarga. Keadaan ini
menyebabkan anak-anak berasa kesunyian kerana tidak ada tempat untuk mengadu atau menceritakan masalah yang
dihadapi oleh mereka. Oleh sebab itu, anak-anak akan mencari seseorang teman atau rakan sebaya untuk menceritakan
masalah mereka. Remaja yang tidak mendapat kasih sayang daripada ibu bapa dan tidak mendapat asas didikan agama
akan lebih mudah terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya. Menurut pakar psikologi, anak-anak remaja lebih mudah
meniru, mencontohi dan terikut-ikut dengan sikap rakan sebaya kerana mereka mempunyai nilai, sikap, identiti dan
perasaan yang hampir sama. Kumpulan rakan sebaya ini biasanya mempunyai prinsip dan setiap ahli kumpulan akan
akur dan patuh kepada kumpulan tersebut. Kebanyakan remaja berasa bimbang kerana disingkirkan daripada kumpulan
rakan sebaya. Oleh sebab itu, remaja sanggup melakukan apa-apa sahaja kehendak anggota kumpulan rakan sebaya.
Sebagai contoh, seandainya rakan sebaya mereka melepak atau ponteng sekolah, remaja tersebut sudah pasti
mencontohi kelakuan tersebut. Dalam hal ini, nasihat ibu bapa tidak akan ambil peduli. Sekiranya, ibu bapa memarahi
mereka, remaja ini sanggup lari dari rumah mengikuti rakan sebaya mereka. Jelasnya pengaruh rakan sebaya yang tidak
baik turut menjerumuskan remaja dalam masalah gejala sosial.
Untuk menangani masalah gejala sosial ini, ibu bapa perlulah memberikan sepenuh perhatian dan tumpuan
terhadap rumah tangga dan anak-anak. Ibu bapa perlulah memberikan kasih sayang dan mengambil berat tentang anak-
anak. Ibu bapa juga perlulah selalu berhubung dengan pihak sekolah untuk menanyakan perkembangan diri anak-anak
dan pelajaran mereka di sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlu mewujudkan suasana rumah tangga yang aman damai
agar anak-anak dapat menyatakan rumahku syurgaku. Ibu bapa juga perlulah mengelakkan pergaduhan di hadapan
anak-anak supaya anak-anak akan menghormati mereka. Ibu bapa juga perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak
agar anak-anak dapat mencontohi kelakuan ibu bapa mereka. Bak kata pepatah bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
Apabila wujud kasih sayang terhadap anak-anak, anak-anak akan berasa diri mereka dihargai dan diambil berat. Ibu
bapa yang berjaya memahami jiwa anak-anak dan ditambah pula dengan kemahiran keibubapaan mampu wujudnya
sebuah rumah tangga yang bahagia. Suasana ketenangan dan dilimpahi kasih sayang dapat menjadi tarikan kepada
anak-anak agar tidak terjerumuskan diri dalam gejala sosial atau terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak sihat.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah memberi didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak sejak kecil.
Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan bermula dari rumah. Anak-anak
ibaratkan seperti sehelai kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain putih tersebut. Oleh sebab itu,
ibu bapa perlulah memberi didikan agama kepada anak-anak agar anak-anak dapat menghayati ajaran agama dan nilai
murni dalam kehidupan. Didikan agama yang sempurna mampu membentuk keperibadian dan budi pekerti yang mulia
kepada anak-anak. Sebagai contoh, anak-anak akan sentiasa menyedari akan tanggungjawab mereka sebagai seorang
anak kerana mereka memiliki keinsafan dan kesedaran diri yang tinggi. Anak-anak akan sentiasa bertutur dengan cara
lemah lembut dan penuh hormat terhadap ibu bapa dan orang yang lebih tua. Anak-anak yang ada asas didikan agama
sentiasa akan menjaga tindak- laku dan tidak akan meninggalkan solat dan mereka akan membesar sebagai seorang
remaja yang mempunyai pinsip dan jati diri serta tidak akan terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak sihat.
Jelasnya, didikan agama yang sempurna mampu melahirkan anak-anak yang keperibadian mulia dan mereka akan
berasa malu sekiranya mereka melakukan sesuatu yang boleh mencontengkan arang ke arah muka ibu bapa.
Seterusnya, ibu bapa juga perlulah mengambil berat persahabatan anak-anak mereka dengan rakan sebaya. Hal
ini demikian kerana ibu bapa boleh mengawal disiplin mereka. Ibu bapa perlulah memastikan anak-anak bergaul
dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mengetahui tujuan dan sebab-sebab anak-anak
mereka keluar rumah dan balik lewat ke rumah. Ibu bapa juga jangan terlalu memberi kebebasan yang keterlaluan
dalam bergaulan untuk memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dengan anak-anak yang bermasalah di sekolah atau
di luar sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlulah selalu berhubung dengan guru-guru kelas atau guru pelajaran anak-
anak mereka di sekolah untuk mengetahui tingkah laku dan prestasi akademik mereka di sekolah. Menurut seorang Ahli
Fikir Islam, Ibn Sina, hendaklah setiap ibu bapa meletakkan anak-anak mereka dalam kalangan anak-anak kelakuannya
yang berakhlak mulia. Anak-anak yang sentiasa dikawal oleh disiplinnya dan pergaulannya oleh ibu bapa sejak kecil,
anak-anak ini akan membesar dalam suasana yang baik dan berbudi pekerti mulia.
Berdasarkan perbincangan di atas dapat disimpulkan bahawa masalah gejala sosial memang merupakan salah
satu masalah yang meruncing dan perlu ditangani segera oleh semua pihak terutamanya ibu bapa. Ibu bapa sebagai
ketua keluarga perlulah bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap anak-anaknya. Saya berharap anak-anak juga
perlulah mempunyai kesedaran dan keinsafan serta tahu menghargai segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu
bapa mereka. Tegasnya, masalah gejala sosial perlu ditangani daripada peringkat akar umbi agar tidak menjadi barah
dalam masyarakat sehingga menjejaskan nama baik negara di persada masyarakat.

Latihan 8
Keluarga memainkan peranan penting dalam mencorakkan kehidupan anak-anak. Oleh itu, pendidikan anak-anak
sebenarnya bermula di rumah.

Berikan pendapat anda tentang peranan keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak.

Profesor Di raja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah merupakan universiti pertama bagi anak-anak
dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka . Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa dan
setiap ahli keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Anak-anak
merupakan anugerah dan amanah Tuhan yang tidak ternilai . Ibu bapa bertanggungjawab untuk mewujudkan rumah
tangga yang aman dan damai kerana anak-anak akan berasa bahagia apabila ibu bapa memberikan sepenuh kasih
sayang dan melindungi diri anak-anak mereka. Anak-anak ibarat sehelai kain putih , ibu bapalah yang mencorakkan
warna pada kain tersebut. Persoalannya , apakah peranan keluarga khususnya ibu bapa dalam pembentukan sahsiah
anak-anak ?

Ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan pembentukan sahsiah anak-anak dengan memberikan
didikan agama yang sempurna dalam diri anak-anak . Pepatah sering menyatakan bahawa melentur buluh biarlah dari
rebungnya . Peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa pendidikan agama perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak
kecil lagi agar anak-anak dapat membuka minda serta mengelakkan diri daripada terjebak dalam perlakuan negatif .
Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan antara baik dan buruk perlakuan yang akan
dilakukan . Selain itu , anak-anak juga akan membesar dengan perpandukan ajaran agama . Didikan agama yang
sempurna merupakan benteng yang ampuh untuk mengelakkan anak-anak terjebak dalam kancah gejala sosial. Anak-
anak yang dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan didikan agama akan menjadi anak yang baik sahsiah dan
akhlaknya . Sebagai contoh , jika sesebuah keluarga mempunyai pegangan agama yang kuat, anak-anak mereka akan
mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu juga. Jelaslah bahawa
pendidikan agama yang secukupnya sangat penting untuk membentuk sahsiah anak-anak.

Selain itu, ahli keluarga khususnya ibu bapa berperanan sebagai suri teladan kepada anak-anak bagi memastikan
anak-anak mempunyai sahsiah yang baik . Hal ini demikian kerana anak-anak yang berusia setahun jagung memang
mudah mencontohi sebarang bentuk perlakuan orang yang lebih dewasa daripadanya. Dengan erti kata lain, sekiranya
ahli keluarga yang lebih tua memiliki sahsiah yang baik, sudah tentu perbuatan ini dapat dicontohi oleh anak-anak
kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi . Sebagai contohnya ,
jika ahli keluarga yang lebih dewasa rajin membaca , sudah pasti anak-anak yang terdidik dalam suasana demikian akan
mencontohi perbuatan ahli keluarga yang gemar membaca. Tokoh-tokoh pujangga pernah menukilkan bahawa kalau
asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau , terlontar ke udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi
penawar. Pernyataan di atas jelas menunjukkan betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh sesebuah keluarga
dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Ibu bapa perlulah menjadi suri teladan yang boleh dicontohi anak-anak . Ibu
bapalah yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak di peringkat awal. Sekiranya corak yang dilakar menarik dan
cantik , maka akan baik dan eloklah pembentukan akhlak anak-anak. Anak anak yang sering mencontohi perbuatan ibu
bapa yang baik , tidak akan sesekali cuba melakukan sesuatu yang boleh menconteng arang atau menjatuhkan maruah
keluarga. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak.

Di samping itu, ibu bapa juga perlulah melatih anak-anak agar saling bekerjasama dan berkasih sayang bagi
melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia . Dalam hal ini , ibu bapa perlulah memberikan sepenuh kasih sayang
kepada diri anak-anak bagai menatang minyak yang penuh agar anak-anak tahu menghargai hidup untuk saling
berkasih sayang . Ibu bapa perlu meletakkan panggilan manja untuk anak-anak seperti panggilan Kak Long atau Abang
Long bagi anak sulung dan Kak Ngah atau Abang Ngah bagi anak kedua supaya kemesraan dan kasih sayang sesama ahli
keluarga tidak luput. Budaya terima kasih juga perlu diajarkan kepada anak-anak supaya wujud rasa penghargaan
terhadap orang lain setiap kali menerima bantuan. Ibu bapa juga hendaklah melatih anak-anak bekerjasama dalam
melakukan sesuatu perkara dan kerja rumah agar anak-anak membesar dalam suasana yang saling bekerjasama .
Perbuatan seperti ini akan terbawa-bawa apabila anak-anak sudah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri. Jelasnya,
ibu bapa yang berperanan untuk mewujudkan kerjasama dan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga akan dapat
melahirkan warga yang bersatu-padu dan saling menghormati.

Seterusnya, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak cara hidup sederhana dan bertanggungjawab . Ibu bapa harus
menyediakan jadual tugasan di rumah supaya anak-anak lebih bertanggungjawab. Anak-anak perlu diajar tentang
pengurusan diri seperti membasuh baju, menggosok pakaian dan menyimpan baju dalam almari . Anak-anak juga perlu
diajar supaya bersifat sederhana dan bersyukur dengan apa-apa sahaja yang ada di rumah mereka . Hal ini amat penting
untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki . Ibu bapa juga perlu menerapkan nilai
kesederhanaan diri anak-anak di rumah agar anak-anak dapat menjadi insan yang sentiasa berjimat cermat dan tidak
boros dalam berbelanja . Anak-anak yang sudah diterapkan dengan hidup yang sederhana akan membesar sebagai
seorang yang sederhana sikapnya , tidak sombong dan tidak berlebihan dalam sesuatu perkara. Anak-anak juga
melakukan sesuatu dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Hal ini penting bagi melahirkan
generasi masa depan yang berpandangan jauh. Tegasnya , pembentukan sahsiah anak-anak yang baik dapat dilahirkan
sekiranya ibu bapa mendidik anak-anak tentang cara hidup yang sederhana dan bertanggungjawab .

Akhir sekali, ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak geri anak-anak khususnya anak-anak yang
sudah meningkat remaja. Dalam hal ini , ibu bapa perlu mengetahui aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka serta
mengetahui latar belakang rakan sebaya anak-anak. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh
yang besar terhadap masa depan anak-anak kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala
tindakan atau kelakuannya kerana mereka mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Ibu bapa tidak wajar
memberi kebebasan yang sepenuhnya kepada anak-anak . Hal ini demikian kerana anak-anak yang diberi kebebasan
penuh oleh ibu bapa dibimbangi akan terjebak dengan perbuatan tidak bermoral yang boleh menconteng arang di muka
keluarga . Oleh itu , ibu bapa perlulah mengenal pasti perubahan yang berlaku terhadap anak-anak pada setiap masa
agar ibu bapa boleh bertindak lebih awal, bak kata pepatah , beringat sebelum kena , berjimat sebelum habis. Ibu
bapa perlulah mengambil berat dengan siapa anak mereka berkawan atau bersahabat dan mengetahui tujuan anak
keluar rumah dan balik lewat ke rumah. Sekiranya ibu bapa bertindak awal , sudah pasti masa hadapan anak-anak dapat
diselamatkan. Jelasnya , ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak-geri anak-anak agar dapat melahirkan
anak yang berperibadi mulia .

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting
dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Untuk melahirkan anak-anak yang bersahsiah baik , ibu bapa perlulah
menyedari akan tanggungjawab untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang mulia . Setiap ahli keluarga perlulah
melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan ilmu keibubapaan . Hal ini penting kerana pembentukan sahsiah
anak-anak harus bermula dengan diri keluarga itu sendiri . Ibu bapa harus membetulkan diri mereka terlebih dahulu
agar anak-anak dapat mencontohi segala perlakuan dan keperibadian mereka. Tegasnya, rumah tangga
merupakan kebun yang subur untuk melahirkan insan yang berjiwa luhur dan bersahsiah mulia.

Latihan 9
Minat membaca terutama membaca buku-buku ilmiah dalam kalangan anak remaja belum mencapai tahap yang
memuaskan. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca karya-karya
ilmiah agar dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu.
Nyatakan usaha-usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk mencapai hasrat tersebut.
Pada era globalisasi ini, ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca
karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana anak-anak
muda pada era ini, lebih gemar membaca bahan-bahan bacaan yang ringan seperti surat khabar, novel cinta, komik,
majalah hiburan dan animasi kartun. Majalah atau buku yang sarat dengan ilmu dan pengetahuan seperti buku-buku
motivasi, pembinaan kendiri, falsafah, Majalah Dewan Masyarakat, Solusi, Dewan Budaya, Al Islam, dan Anis kurang
diminati malah ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu akan kewujudan majalah tersebut di pasaran. Mereka
berpendapat bahawa membaca karya-karya ilmiah dianggap berat dan membosankan kerana memerlukan minda untuk
berfikir sedangkan majalah atau buku-buku yang berunsurkan hiburan lebih seronok untuk dibaca kerana pembacaan
bagi mereka hanya sekadar mengisi ruang kosong dalam masa senggang sahaja. Apa pun yang jelas, buku yang baik
adalah kunci kepada khazanah kebijaksanaan. Ibu bapa merupakan insan yang penting untuk melahirkan anak yang
berilmu, bersahsiah baik dan dihormati oleh orang lain. Persoalannya, apakah modus operandi yang boleh diambil oleh
ibu bapa untuk melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan?
Untuk memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak, ibu bapa haruslah membawa anak-anak ke pesta buku
atau pameran buku seperti Pameran Buku Antarabangsa di PWTC yang diadakan pada setiap tahun. Hal ini dapat
melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Apabila ibu bapa membawa anak-anak ke pameran buku, minat
anak-anak untuk membaca buku akan bercambah. Anak-anak akan dapat melihat pelbagai jenis buku yang menarik
serta menyeronokkan untuk dibaca. Mereka berpeluang untuk memilih buku-buku yang disukai dan diminati. Dalam hal
ini, peranan ibu bapa amat penting untuk membimbing anak-anak agar dapat memilih buku yang berkualiti yang
mampu membina pemikiran atau minda anak-anak. Selain itu, anak-anak juga berpeluang untuk membaca buku-buku
yang berunsurkan keagamaan, falsafah, motivasi dan sebagainya.. Hal ini secara tidak langsung, dapat meningkatkan
ilmu pengetahuan dalam diri anak-anak. Di samping itu, anak juga berpeluang untuk membaca buku-buku yang
memaparkan sejarah negara lain. Hal ini, dapat meningkatkan pengetahuan am anak-anak tentang Negara luar.Tegasnya,
usaha ibu bapa membawa anak-anak mereka ke pameran buku merupakan salah satu langkah efektif yang melahirkan
minat anak-anak untuk membaca karya-karya ilmiah dan menjadi ulat bukudan seterusnya menjadi generasi yang cinta
akan ilmu pengetahuan.
Selain itu, ibu bapa harus menjadi suri teladan kepada anak-anak dalam aspek membaca. Justeru, ibu bapa
hendaklah memulakan budaya membaca di rumah dengan menyediakan persekitaran yang boleh merangsang minat
anak-anak untuk membaca buku-buku ilmiah. Ibu bapa hendaklah membaca buku-buku dan surat khabar pada setiap
hari terutama pada waktu senggang. Perbuatan ibu bapa yang suka membaca pasti akan dicontohi dan diikuti oleh anak-
anak kerana pepatah menyatakan bagaimana acuan begitulah kuihnya, ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi.
Pada zaman ini, anak-anak tidak tahu untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah Jadi, ibu bapa
boleh mendidik anak anak sejak kecil lagi untuk membaca buku-buku ilmiah. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah
dari rebungnya danasas pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa boleh melakukan aktiviti membaca bersama anak-
anak pada hari cuti sewaktu semua ahli keluarga berehat di rumah. Dalam hal ini, Ibu bapa janganlah menjadi
seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul, sedangkan diri sendiri tidak betul. Sekiranya, ibu bapa tidak pernah
membaca bahan-bahan ilmiah, bagaimanakah anak-anak hendak membaca bahan-bahan tersebut. Anak-anak akan suka
membaca apabila melihat orang tuanya membaca. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi suri teladan yang baik kepada
anak-anak kerana anak-anak akan menjadikan membaca sebagai satu amalan ke mana-mana sahaja mereka pergi bak
kata pepatah kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora, dicampak ke
bumi menjadi penawar.
Di samping itu, Ibu bapa perlu menambahkan sumber bacaan dengan membeli banyak buku atau majalah yang
yang mengandungi ilmu pengetahuan yang boleh mengembangkan minda anak-anak. Pepatah menyatakan
bahawa membaca jambatan ilmu. Apabila anak- anak banyak membaca, sudah tentu pengetahuan mereka pun akan
meningkat. Sebagai ibu bapa, mereka hendaklah membeli bahan bacaan secara tetap pada setiap bulan seperti Majalah
Dewan Masyarakat, Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Al Islam dan Solusi selain surat khabar yang dibeli secara harian.
Secara tidak langsung, anak-anak akan tertarik untuk membaca buku-buku dan majalah yang mengandungi banyak ilmu
dan pengetahuan yang dibeli oleh ibu bapa mereka. Minat untuk membaca bahan-bahan yang berkualiti pasti akan
bercambah dalam jiwa mereka. Anak-anak yang disuburkan dengan budaya membaca, pasti dapat membina jati diri
unggul, mempunyai minda sihat, berketerampilan sebagai orang berilmu dan berpengetahuan tinggi. Selain itu, ibu
bapa boleh memberikan hadiah berupa buku sempena hari lahir atau hadiah sempena kejayaan anak-anak dalam
pelajaran atau peperiksaan sebagai ganjaran. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh menghadiahkan buku-buku motivasi
sempena hari lahir anak. Hadiah tersebut dapat memotivasikan diri anak-anak. Mereka akan belajar bersungguh-
sungguh kerana menghargai jasa ibu bapa. Amalan seperti ini akan menyebabkan anak-anak hidup dalam dunia
buku. Tak kenal maka tak cinta.
Seterusnya ibu bapa juga hendaklah menggalakkan anak-anak membaca buku dengan cara mendaftar anak
mereka menyertai kelab buku. Melalui penyertaan dalam kelab buku, anak-anak akan menyertai pelbagai aktiviti dan
mengetahui perkembangan buku yang terkini. Sebagai contohnya, anak-anak boleh menjadi ahli Kelab Buku Ilmiah yang
ditubuhkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Apabila anak-anak menjadi ahli kelab buku, mereka didedahkan dengan
pelbagai perkara yang berkaitan dengan buku . Secara tidak langsung, anak-anak juga dapat membezakan bahan bacaan
yang bermutu dan bahan bacaan yang tidak berkualiti. Anak-anak pasti memilih bahan-bahan yang berkualiti kerana
boleh mematangkan minda seseorang dalam mengeluarkan pendapat atau melakukan tindakan. Selain itu, ibu bapa
juga boleh menggalakkan anak-anak menyertai Kempen Galakan Membaca dan Kembara Buku yang dianjurkan oleh
pelbagai pihak. Dengan menghadiri kempen-kempen membaca, anak-anak bukan sahaja mendapat kesedaran tentang
pentingnya membaca malah ibu bapa turut memperoleh manfaatnya. Tegasnya, ibu bapa perlulah membawa anak-
anak menghadiri kempen-kempen membaca dan menggalakkan anak-anak menyertai ahli kelab buku agar anak-
anak membaca bahan-bahan ilmiah yang dapat membentuk anak-anak menjadi insan yang mulia dan disanjung tinggi.
Selain itu, ibu bapa boleh membina perpustakaan mini yang mengandungi bahan-bahan ilmiah yang
menempatkan pelbagai jenis buku ilmiah seperti novel karya agung, kamus, buku- buku agama, dan buku motivasi
diri selain buku pelajaran dan buku rujukan. Hal ini dapat menyuburkan minat anak-anak untuk membaca buku-buku
yang disimpan di rak buku tersebut. Ibu bapa juga hendaklah memainkan peranan dan memastikan anak mereka
membaca buku-buku yang disediakan dalam perpustakaan mini di rumah. Anak-anak juga digalakkan untuk membaca
surat khabar atau majalah ilmu pada setiap hari dan membaca sebuah buku pada setiap minggu. Hal ini akan
menyebabkan masa lapang anak-anak terisi dengan aktiviti membaca tanpa perlu keluar rumah. Perpustakaan mini yang
disediakan oleh ibu bapa tidak memerlukan modal yang banyak. Buku-buku dan majalah yang dibeli pada setiap bulan
boleh disimpan dalam perpustakaan mini tersebut. Pembacaan buku dan majalah yang berulang kali dapat menguatkan
minda anak-anak. Pepatah menyatakan bahawa bangsa yang membaca, bangsa yang berjaya. Apabila anak-anak sudah
biasa didedahkan untuk membaca surat khabar pada setiap hari dan sebuah buku pada setiap minggu, anak-anak akan
biasa berbuat demikian dan menjadikan membaca sebagai amalan rutin harian kerana alah bisa, tegal dek biasa.
Mereka akan selalu membaca apabila ada masa terluang dan mereka akan menghargai masa kerana masa itu emas.
Tambahan pula, jika ibu bapa mempunyai waktu terluang, mereka bolehlah membawa anak-anak ke perpustakaan
awam yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka. Perpustakaan awam memuatkan berjuta-juta buku yang boleh
meningkatkan ilmu pengetahuan anak-anak. Malahan, apabila anak-anak pergi ke perpustakaan awam, mereka dapat
membaca buku dalam keadaan yang senyap, aman, damai dan tenang. Jelasnya, usaha ibu bapa membawa anak-anak
mereka ke perpustakaan awam dan menyediakan perpustakaan mini di rumah dapat melahirkan generasi yang cinta
akan ilmu pengetahuan.
Tambahan lagi, ibu bapa juga boleh memupuk minat membaca bahan-bahan ilmiah dengan membimbing anak-
anak mereka melayari internet. Internet merupakan sumber ilmu yang boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat.
Namun, terdapat remaja yang yang menyalahgunakan internet seperti melihat gambar-gambar lucah. Dalam konteks ini,
ibu bapalah merupakan pembimbing kepada anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak melayari internet
untuk mencari judul buku ilmiah yang terkenal supaya boleh dibeli di kedai-kedai buku berhampiran. Hal ini
dapat menggalakkan anak-anak membaca karya-karya ilmiah supaya boleh melahirkan generasi yang cinta akan ilmu
pengetahuan. Ilmu yang diperoleh daripada bahan-bahan ilmiah boleh dijadikan sebagai panduan hidup. Hal ini
disebabkan mesej-mesej yang terkandung dalam bahan bahan ilmiah penting dalam kehidupan. Justeru, ibu bapa
memainkan peranan yang penting dalam memupuk minat membaca buku-buku ilmiah.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk melahirkan generasi yang cinta akan
ilmu pengetahuan, ibu bapalah yang memainkan peranan penting menggalakkan anak-anak membaca bahan-bahan
ilmiah. Ibu bapa harus menanamkan sikap suka membaca dalam kalangan anak mereka kerana membaca akan
menjadikan minda anak-anak mereka cerdas. Oleh hal yang demikian, ibu bapa mestilah menjadi pendorong untuk
menyemaikan minat membaca dalam kalangan anak mereka. Jika anak-anak sudah jatuh cinta dengan aktiviti
membaca, kejayaan dalam bidang pelajaran akan terbentang luas di depan mereka pada masa depan. Ibn
Khaldun dalam karya besarnya, Muqaddimah, pernah berkata bahawa kekuatan ilmu bukan sahaja menjadi syarat dan
pelengkap kepada kekuatan fizikal, malah memberi arah dan makna kepada manusia dan bangsa terbabit. Tegasnya, ibu
bapa memainkan peranan yang penting dalam melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.

Latihan 10
Ibu bapa sentiasa mengharapkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna.
Bincangkan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka itu tercapai.
Anak-anak yang sihat serta memperlihatkan kecemerlangan diri merupakan idaman setiap ibu bapa. Dalam hal
ini, ibu bapa bertanggungjawab penuh untuk merealisasikan hal tersebut. Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anaknya
menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Mereka perlu berusaha untuk merealisasikan impian itu
dengan mengaplikasikan kemahiran keibubapaan ke tahap yang paling optimum. Jika hal ini dipraktikkan, harapan untuk
memiliki anak-anak yang berguna akan dapat direalisasikan. Persoalannya,apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan
oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka tercapai?
Usaha paling asas yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka menjadi insan yang
berguna ialah mewujudkan suasana kekeluargaan yang saling berkasih sayang. Ibu bapa haruslah memahami bahawa
anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang mereka. bu bapa boleh mencurahkan kasih sayang sama ada
berbentuk luahan kata dan perbuatan yang secukup kepada anak-anak agar anak-anak berasa diri mereka diambil berat
dan tidak diabaikan oleh ibu bapa. Misalnya, ibu bapa haruslah memberikan pujian kepada anak-anak sama ada dengan
cara memberikan hadiah ataupun dengan mengucapkan kata-kata positif apabila anak-anak mendapat keputusan yang
cemerlang. Hal ini penting kerana sepatah kata yang positif daripada ibu bapa dapat menyuntik semangat dan
memberikan dorongan serta motivasi kepada anak-anak untuk terus berusaha mencapai kejayaan kerana pepatah
menyatakan rajin dan usaha, tangga kejayaan.Kajian menunjukkan bahawa punca kebanyakan anak menjadi sampah
masyarakat adalah kerana keadaan rumah tangga yang porak-peranda di samping sikap ibu bapa yang materialistik dan
mementingkan kerjaya .Sebagai contohnya,banyak ibu bapa yang menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak
kepada pembantu rumah sepenuhnya. Hal ini menyebabkan anak-anak berasa tersisih dan diabaikan lalu melakukan
perkara-perkara negatif. Tegasnya,anak-anak akan menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat, agama,
dan negara jika keluarga yang saling berkasih sayang dan mengambil berat dapat diwujudkan.
Selain itu,untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna juga, ibu bapa perlu menyediakan kediaman
yang menepati konsep Rumahku Syurgaku demi keselesaan anak-anak. Ibu bapa perlulah mewujudkan rumah tangga
yang aman dan damai supaya anak-anak berasa tenang ketika berada di rumah. Setiap ibu bapa perlulah mengelakkan
pertelingkahan di hadapan anak-anak. Ibu bapa hendaklah mengucapkan kata-kata yang lemah-lembut agar anak-anak
mendengar segala arahan dan nasihat daripada ibu bapa. Bagi mewujudkan keselesaan dalam rumah tangga, ibu bapa
perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk ahli keluarganya seperti bilik tidur yang mencukupi, bilik untuk
anak-anak belajar dan bilik untuk anak-anak menonton televisyen atau bermain komputer. Sudah terbukti bahawa anak-
anak yang tinggal di kediaman yang kurang selesa cenderung untuk melepak dan sesetengahnya tidak pulang ke rumah.
Amalan melepak ini mendedahkan anak-anak kepada pelbagai bentuk gejala negatif seperti merokok, menagih dadah
dan sebagainya. Hal ini banyak berlaku di bandar-bandar besar, khususnya di kawasan-kawasan setinggan. Oleh hal yang
demikian ,ibu bapa perlu menyediakan kediaman yang selesa untuk anak-anak mereka sekiranya mereka menginginkan
anak-anak mereka menjadi insan yang berguna dan menyayangi keluarganya.
Di samping itu, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, setiap ibu bapa haruslah memberikan
didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi kerana pepatah menyatakan bahawa kalau
hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan bermula dari rumah.. Didikan agama yang
sempurna dapat membentuk akhlak dan pekerti mulia kepada anak-anak di samping membantu mereka mengetahui
batas hidup yang betul. Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan baik atau buruk
sesuatu perkara dan anak-anak membesar dengan berpandukan ajaran agama. Sebagai contoh, jika keluarga tersebut
berasal dari keluarga yang baik, kebiasaannya keturunannya akan baik. Jika ibu bapa mempunyai pegangan didikan
agama yang kuat, anak-anak mereka juga akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes,
rembesnya madu juga, dan bagaimana acuan begitulah kuihnya. Dengan kesempurnaan didikan agama, anak-anak
dapat mengawal diri daripada melakukan maksiat seperti meragut, berfoya-foya dan sebagainya.Tegasnya, didikan
agama yang sempurna dapat merealisasikan impian ibu bapa untuk memiliki anak-anak yang berguna.
Seterusnya, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa mestilah menjadi suri teladan
yang terbaik kepada anak-anak, bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa janganlah menjadi
seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul. Ibu bapa meminta anak-anak menunjukkan contoh terbaik sedangkan
mereka tidak menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Gaya mendidik anak-anak seperti ini tidak akan
berkesan. Peribahasa Melayu bapa borek anak rintik sudah jelas membuktikan bahawa segala tindak tanduk ibu bapa
akan menjadikan ikutan anak-anak, kerana anak-anak biasanya meniru tingkah laku dan percakapan ibu bapa. Anak-
anak yang membesar di bawah didikan ibu bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik akan menjadi insan yang
baik dan bertanggungjawab. Oleh itu, ,ibu bapa haruslah sentiasa menjaga tingkah laku dan mengelakkan penggunaan
bahasa yang kasar dalam kehidupan sehari-hari. Hal ini demikian kerana keperibadian ibu bapa menjadi penentu
tingkah laku anak-anak pada masa hadapan. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi contoh teladan yang baik agar anak-
anaknya turut menjadi insan yang baik dan berguna.
Tambahan lagi, ibu bapa perlulah bersedia untuk menerima sebarang teguran daripada orang lain berkaitan
dengan tingkah laku anak-anak mereka dengan hati terbuka. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab dan ingin
membentuk anak mereka menjadi insan yang berguna, ibu bapa tidak sepatutnya menyebelahi anak-anak mereka
apabila orang lain memberi teguran. Hal ini demikian kerana teguran yang diberi itu bukanlah untuk memburuk-
burukkan anak mereka tetapi untuk membetulkan kesilapan yang telah dilakukan oleh anak mereka. Dalam konteks ini,
falsafah menjaga tepi kain orang lain dalam masyarakat adalah untuk kebaikan bersama dan ibu bapa perlulah
menerimanya secara positif. Berdasarkan teguran yang diberikan, ibu bapa perlulah segera membetulkan kesilapan anak
dan mencari punca anak mereka berbuat kesilapan sedemikian rupa agar anak mereka tidak mengulangi kesilapan yang
sama. Jadi, untuk membentuk anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa perlu menerima kritikan dan teguran orang
lain dengan hati yang terbuka. Peribahasa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna atau sudah
terhantuk baru terngadah sewajarnya menjadi panduan kepada ibu bapa.
Akhir sekali, ibu bapa perlu sentiasa mengikuti perkembangan pendidikan anak-anak sama ada dalam aspek
kurikulum, kokurikulum dan sahsiah anak-anak. Sikap prihatin dan ambil berat ibu bapa menyebabkan anak-anak berasa
diri mereka diutamakan. Untuk tidak mengecewakan ibu bapa, anak-anak akan berusaha meningkatkan kecemerlangan
sama ada dalam aspek kurikulum ataupun kokurikulum. Hubungan ibu bapa dengan guru-guru sekolah juga
memberikan impak kepada tahap sahsiah anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlu menjalinkan hubungan yang baik
dengan guru di sekolah sama ada guru disiplin, guru kelas atau guru mata pelajaran. Ibu bapa perlu sering berkunjung ke
sekolah untuk mengikuti perkembangan kemajuan anak-anak dalam bidang pelajaran dan berbincang dengan guru
disiplin sekolah berkaitan akhlak dan sikap anak-anak di sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlu mengawasi tingkah laku
anak-anak di luar rumah serta mengenali rakan-rakan mereka. Ibu bapa juga perlulah bertanya kepada anak sebab-
sebab anak-anak keluar rumah atau pulang lewat. Tuntasnya,ibu bapa perlu memantau perkembangan pendidikan dan
sahsiah anak-anak agar mereka jadi insan yang berguna apabila dewasa kelak.
Berdasarkan berbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa usaha untuk membentuk anak-anak menjadi
insan yang berguna memerlukan pengorbanan dan kesabaran ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi seorang
insan yang berguna bukanlah satu tugas yang mudah. Semua ini perlu dilakukan melalui proses pendidikan sedikit demi
sedikit dan dengan penuh kesabaran. Oleh itu, perancangan yang teliti dan sistematik perlu dilakukan oleh ibu bapa
secara istiqomah untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna.Setiap ibu bapa juga mengharapkan anak
mereka dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara serta mempertahankan maruah keluarga.
Tegasnya, tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka jadi sampah masyarakat yang bukan sahaja tidak
memberikan sebarang sumbangan kepada masyarakat dan negara malah membawa masalah serta menjatuhkan
keluarga kita.

Latihan 11
Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan.
Bincangkan usaha-usaha yang wajar anda lakukan untuk memastikan harapan mereka itu tercapai.
Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan. Pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa
hasrat semua ibu bapa di dunia ini adalah sama. Sesungguhnya, ibu bapa merupakan insan mulia yang melahirkan
kita dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Mereka merupakan orang
yang paling banyak berkorban demi kesejahteraan hidup kita. Ahli bijak pandai pernah berkata bahawa,Tiada anugerah
yang lebih berharga yang diberikan oleh ibu dan ayah kepada anaknya kecuali tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia.
Ungkapan ini jelas memaparkan betapa besar pengorbanan ibu bapa dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang
berguna. Sebagai anak yang bertanggungjawab, kita perlu sentiasa ingat akan pengorbanan ibu bapa kita dan sentiasa
bersedia untuk membalas budi mereka agar kita tidak dianggap sebagai anak yang derhaka atau kacang lupakan kulit. .
Satu perkara yang amat wajar kita lakukan dalam kehidupan kita ialah memenuhi harapan ibu bapa terhadap kita agar
berjaya dalam hidup. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang wajar saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa
tercapai?
Usaha pertama yang perlu saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai ialah saya akan belajar
bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Saya akan menumpukan sepenuh
perhatian semasa guru sedang mengajar di kelas. Sekiranya terdapat topik yang tidak difahami, saya akan bertanya
kepada guru. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kecemerlangan dalam bidang akademik pada zaman ini
menentukan keadaan masa hadapan seseorang kerana mereka yang cemerlang dalam akademik biasanya mempunyai
masa hadapan yang cerah. Kejayaan yang saya capai ini, sudah pasti dapat membanggakan kedua-dua ibu bapa dan
keluarga. Pada era globalisasi ini yang penuh dengan persaingan ini, amat penting bagi seseorang mencapai
kecemerlangan akademik untuk bersaing dengan orang lain terutamanya dalam alam pekerjaan. Masyarakat kini menilai
seseorang berdasarkan pencapaian akademiknya. . Saya akan sentiasa berusaha untuk membolehkan diri saya meraih
kejayaan dan kegembiraan setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Oleh itu, saya akan membuat persediaan
yang rapi sebelum menduduki peperiksaan agar saya dapat menjawab semua soalan dengan cemerlang kerana di mana
ada kemahuan di situ pasti ada jalan.. Pada masa yang sama,saya juga akan memberi perhatian pada perkara yang
berkaitan dengan ilmu selain bidang akademik. Hal ini kerana saya sedar bahawa kecemerlangan akademik bukanlah
segala-galanya.Seorang insan yang berjaya perlu mahir dalam pelbagai bidang.Tegasnya,saya akan belajar dengan tekun
dan berusaha dengan gigih bagi menunaikan harapan ibu bapa.
Selain itu, saya juga akan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi bahasa dalam kehidupan. Saya akan
mengamalkan nilai ketabahan, kerajinan, amanah, tidak berputus asa dan beryakinan tinggi dalam usaha mencapai
kejayaan. Hal ini demikian kerana saya sedar bahawa orang yang berjaya dalam kehidupan bukan sahaja perlu
cemerlang dalam bidang akademik, malahan perlu menjadi seorang yang cemerlang dari segi akhlak, rohani, intelek
dan emosi iaitu mempraktikkan konsep JERI yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebagai contohnya,
saya akan sentiasa bersopan santun dan menghormati ibu bapa, guru-guru, jiran tetangga dan orang di sekeliling saya.
Amanat ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan saya dengan orang lain malah dapat membina personaliti yang
luhur dalam diri saya. Saya juga akan sentiasa menghormati orang yang lebih tua dan bertegur sapa seperti
mengucapkan selamat kepada mereka. Sahsiah yang saya miliki ini pasti akan menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa
saya, bak kata pepatah, ahklak yang baik seperti madu, sentiasa manis dan berkhasiat. Saya akan membuang sikap
malas dalam diri agar tidak menghampakan harapan ibu bapa saya. Akhlak yang terpuji akan menjadi penghias diri dan
berjalan seiring dengan kejayaan yang kita miliki. Kita perlu ingat bahawa sekiranya ahklak seseorang itu buruk,,walau
betapa cemerlang pun pencapaiannya dalam akademik tidak akan dihormati dan disegani. Jelasnya,amalan berbudi
bahasa amat penting dalam menentukan kejayaan seseorang individu.
Seterusnya, saya juga akan sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama sekiranya ingin berjaya dalam
kehidupan. Pegangan agama yang teguh membolehkan saya mempunyai benteng keimanan yang kukuh dan ampuh
bagi mengelakkan diri saya daripada pengaruh negatif yang dapat menjejaskan kehidupan saya. Dengan berpegang
teguh kepada ajaran agama, saya akan memiliki jati diri yang utuh untuk melawan serangan pemikiran yang boleh
menjerumuskan saya ke kancah maksiat. Hal ini kerana Tuhan sentiasa menyeru hambanya untuk melakukan sesuatu
yang baik serta menjauhi perkara yang buruk. Pegangan kepada agama juga dapat meningkatkan keyakinan diri saya dan
membolehkan saya mempunyai matlamat yang jelas dalam hidup. Hal ini amat penting dalam menentukan kejayaan
saya pada masa hadapan. Pendidikan agama yang saya peroleh, menjadi pedoman hidup yang boleh membentuk saya
menjadi seorang yang positif dalam segala hal. Saya tidak mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan yang tidak baik.
Sebaliknya, saya akan sentiasa menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga. Tegasnya,saya akan berpegang teguh kepada
ajaran agama agar dapat mencapai kejayaan dalam hidup dan membanggakan kedua-dua ibu bapa saya.
Di samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan mempunyai keinginan untuk menjadi
seorang yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Dengan ini, saya tidak akan dipengaruhi oleh rakan-
rakan yang bermasalah dan seterusnya terlibat dalam gejala social yang negatif. Saya akan membezakan antara kaca
dengan permata dan sentisasa memikirkan akan masa depan saya serta matlamat hidup saya. Melalui pergaulan dengan
rakan-rakan yang mengutamakan pendidikan mereka, saya akan dapat bertukar-tukar pendapat serta ilmu dengan
mereka. Saya juga dapat menyertai kumpulan pembelajaran mereka dan membolehkan saya berbincang serta lebih
memahami topik-topik yang telah diajarkan oleh guru. Secara tidak langsung, pencapaian keputusan peperiksaan saya
akan meningkat hasil daripada perbincangan dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan. Pergaulan dengan rakan-rakan yang
bijak dalam pembelajaran akan dapat menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya. Saya akan mempunyai
semangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri saya tidak akan diasingkan dari kumpulan tersebut
serta tidak akan berasa tersisih dan terpulau apabila dalam menyelesaikan sesuatu soalan. Saya juga dapat bergantung
kepada rakanrakan yang baik ini apabila saya tidak berdaya untuk menghadapi dan menyelesaikan sesuatu cabaran
dalam hidup. Mereka tentu akan dapat membantu saya untuk membangkitkan diri saya semula dengan
memberi dorongan dan nasihat yang berguna kepada saya dan bukannya menyuruh saya melibatkan diri diri dengan
gejala sosial negatif yang dapat mengurangkan tekanan jiwa dan stress. Maklumlah, seseorang akan lebih terpengaruh
dengan gejala sosial apabila berada dalam ambang kegagalan dan kekecewaan. Tegasnya, saya akan bergaul dengan
rakan-rakan yang berakhlak mulia agar saya tidak akan tersilap langkah dalam membuat sebarang keputusan dalam
hidup saya agar dapat memenuhi impian dan harapan ibu bapa.
Seterusnya, saya akan meningkatkan keilmuan diri saya dengan pembacaan. Ibn. Khaldun pernah berkata bahawa
membaca menjadi akar tunjang kekuatan seseorang individu, malah sesuatu bangsa dan sesebuah negara.Hal ini jelas
menunjukkan bahawa membaca adalah amat penting dalam menentukan kekuatan dan kejayaan seseorang individu.
Saya akan membaca buku-buku yang berkaitan dengan pembinaan kendiri seperti buku-buku motivasi dan sebagainya
untuk meningkatkan tahap pemikiran diri saya kerana membaca jambatan ilmu. Langkah ini bagai serampang dua mata
kerana selain boleh membantu saya dalam bidang akademik, usaha tersebut juga dapat membentuk diri saya menjadi
seorang yang berilmu pengetahuan luas. Secara langsung, kejayaan akan dapat dicapai dalam kehidupan. Saya juga akan
cuba memperbaiki kelemahan diri untuk berjaya dalam kehidupan. termasuk mengatasi sikap malas. Saya akan
mengubah sikap ini untuk mencapai kejayaan dan berubah menjadi seorang yang rajin kerana rajin dan usaha, tangga
kejayaan. Saya berharap agar perubahan yang saya lakukan ini dapat membolehkan diri saya mencapai harapan ibu
bapa iaitu berjaya dalam kehidupan. Apabila masuk ke alam pekerjaan kelak, saya akan mencari pekerjaan yang stabil
dan membalas budi mereka.
Akhir sekali, saya akan sentiasa mendengar nasihat ibu bapa kerana Tuhan hanya akan menolong dan
memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa. Saya akan sentiasa patuh kepada arahan ibu bapa tanpa sebarang
rungutan kerana saya sedar bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu. Saya juga sedar bahawa tanpa doa dan
dorongan ibu bapa, betapa tabah dan pandai saya sekali pun, saya tidak mungkin akan mencapai impian serta kejayaan
dalam hidup saya. Ibu bapa merupakan insan yang lebih tua dan mereka terlebih dahulu makan garam daripada saya.
Oleh itu, ibu bapa mempunyai pengalaman yang kaya dan luas dalam masyarakat dan dunia luar. Maka, wajarlah saya
untuk meminta dan menerima pandangan mereka agar diri saya tidak akan menimbulkan kesilapan yang mungkin
mengakibatkan saya berasa menyesal buat seumur hidup saya. Mereka merupakan punca tenaga dan dorongan saya
untuk mengejar impian dan cita-cita saya serta memperoleh kejayaan dalam hidup saya. Tanpa mereka, saya tidak
mungkin berpeluang untuk mencapai kejayaan dalam hidup saya. Tegasnya, saya akan mematuhi arahan dan
mendengar nasihat ibu bapa agar impian saya dapat dicapai dan yang paling penting sekali ialah kisah Si Tanggang tidak
akan berlaku ke atas diri saya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa untuk mencapai impian dan kejayaan dalam
hidup, saya sebagai remaja perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.. Saya akan berusaha
memastikan agar impian dan cita-cita saya tercapai dan sekali gus, saya juga dapat memenuhi impian dan harapan ibu
bapa saya. Charles Dickens pernah berkata bahawa kemahuan seperti sebilah pedang yang dapat membuat jalan
melalui hutan rimba. Manusia memang tidak dapat menjangka dan melihat masa hadapan, tetapi manusia boleh
meramal masa hadapan mereka dengan merancang masa hadapan mereka sebaik-baiknya. Jelasnya, kita harus
memberi peluang kepada diri kita untuk menjadikan impian dan cita-cita sebagai kenyataan kerana hendak seribu daya,
tidak hendak seribu dalih.

Latihan 12
Anda sebagai pengawas pusat sumber sekolah, jelaskan usaha-usaha yang dapat anda lakukan untuk membantu
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah anda.

Pusat Sumber sekolah merupakan gedung ilmu iaitu tempat untuk mendapatkan pelbagai informasi yang
diperlukan oleh setiap warga sekolah. Namun, sejak akhir-akhir ini isu para pelajar kurang mengunjungi pusat sumber
sekolah sering diperkatakan dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik. Hal ini membimbangkan
semua pihak kerana para pelajar merupakan pelapis yang bakal menerajui negara pada masa hadapan, bak kata
peribahasa pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Justeru, pusat sumber sekolah perlu diurus secara sistematik
dan efisien untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar agar menjadi pelajar yang berilmu dan
bermaklumat selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Persoalannya, apakah usaha-usaha untuk membantu
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah?
Selaku pengawas pusat sumber sekolah, terdapat banyak usaha yang dapat saya lakukan untuk membantu
meningkatkan penggunaan pusat sumber di sekolah saya. Salah satunya ialah saya akan memastikan pusat sumber
sentiasa berada dalam keadaan kemas dan menarik. Saya akan bekerjasama dengan pengawas pusat sumber yang lain
untuk mengemas kini pusat sumber. Aktiviti gotong-royong membersihkan pusat sumber akan diadakan secara berkala
agar pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan bersih . Saya juga akan memastikan buku-buku disusun atur dengan
kemas di atas rak-rak buku mengikut kategori dan jenis buku. Dengan ini keadaan harmoni dan selesa dapat
diwujudkan. Situasi ini dapat memberi keselesaan kepada seseorang pelajar semasa mengulang kaji pelajaran di pusat
sumber. Jelaslah, situasi yang kemas, bersih dan menarik mampu menarik para pelajar berkunjung ke pusat sumber.
Selain itu, saya akan membantu guru pusat sumber melaksanakan program Nilam untuk meningkatkan
penggunaan pusat sumber sekolah. Sebagai contohnya, saya boleh membantu mencari dan menyediakan buku-buku
yang sesuai serta menarik untuk kegunaan para pelajar semasa program Nilam. Oleh itu, program Nilam dapat
dijalankan dengan lancar dan berkesan. Hal ini dapat membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah dan
juga menyemai budaya membaca dalam kalangan pelajar. Program Nilam merupakan salah satu usaha Kementerian
Pendidikan Malaysia untuk memupuk dan meningkatkan amalan membaca dalam kalangan pelajar. Budaya membaca
amat penting dan melambangkan ketinggian tamadun sesuatu bangsa. Dengan membaca, seseorang itu akan mendapat
pelbagai ilmu pengetahuan sebagai pedoman hidup, bak kata peribahasa membaca jambatan ilmu. Justeru,
pelaksanaan program Nilam yang berkesan menjadi daya penarik kepada para pelajar untuk mengunjungi pusat sumber.
Seterusnya, saya akan mengesyorkan kepada pihak sekolah agar menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat
sumber. Saya akan menulis surat kepada pihak pengurusan agar dapat menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat
sumber untuk kebaikan pelajar. Saya akan meminta pihak pengurusan menyediakan komputer yang boleh diguna pakai
oleh pelajar untuk melayari internet bagi mendapatkan pelbagai informasi terkini.Saya akan membantu dari
segi penyediaan buku-buku yang baharu dan menarik. Dengan adanya pelbagai buku yang baharu dan terkini,
pengunjung dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Pihak sekolah juga perlu menyediakan pendingin hawa
untuk memberi keselesaan kepada para pelajar. Secara tidak langsung keadaan ini lebih mewujudkan suasana yang
kondusif dan menggalakkan para pelajar berkunjung ke pusat sumber sekolah.
Di samping itu, sebagai pengawas pusat sumber juga, saya akan mengamalkan budaya mesra pelanggan semasa
menjalankan tugas. Saya akan bersikap sopan, berbudi pekerti mulia dan berhemah tinggi serta sentiasa bersedia
memberikan pertolongan sekiranya pengunjung menghadapi masalah tanpa mengira bangsa dan agama , bak kata
peribahasa budi bahasa budaya kita. Layanan mesra daripada pengawas menggembirakan para pengunjung dan
merupakan salah satu kunci untuk menarik para pelajar mengunjungi pusat sumber. Saya juga akan membantu pihak
sekolah mempromosikan buku-buku di pusat sumber agar dapat dipinjam oleh pelajar. Saya juga perlu bersikap adil dan
tegas kepada semua pelanggan terutama sekiranya mereka lewat atau sengahaja tidak memulangkan buku yang
dipinjam mengikut tarikh yang ditetapkan.
Selaku pengawas pusat sumber juga, saya akan mencadangkan kepada pihak sekolah agar menyediakan sistem
pinjaman buku yang sistematik dan berkesan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah saya.
Contohnya penggunaan ICT khususnya komputer dalam urusan pinjaman dan pemulangan buku dapat menjimatkan
masa dan tenaga. Penggunaan sistem berkod merupakan langkah bijak kerana semua bahan bacaan berbentuk buku
akan direkodkan secara berkod yang memudahkan urusan pinjaman dan pemulangan buku yang dilakukan secara
scaning. Kaedah ini akan mewujudkan sistem pengurusan pusat sumber yang sistematik kerana para pelajar tidak perlu
menunggu terlalu lama untuk urusan pinjaman dan pemulangan buku. Jelaslah sistem pinjaman yang sistematik dan
efektif adalah penting untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah.
Kesimpulannya, pusat sumber sekolah menyediakan perkhidmatan dan sumber pembelajaran dalam pelbagai
bentuk bagi membolehkan warga sekolah menjadi pengguna yang bermaklumat dan pemikir yang kreatif serta kritis.
Justeru, terpulang pada pelajar sendiri sama ada mahu menggunakan atau sebaliknya, tepuk dada tanyalah minda. .
Semua pihak perlulah berganding bahu dalam usaha meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah bak kata
peribahasa bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Latihan 13
Permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi muda.

Jelaskan usaha-usaha yang boleh anda lakukan bagi memartabatkan permainan tradisional di negara kita.

Pada zaman pascakemerdekaan ini, arus modenisasi dan globalisasi yang pesat berkembang menyebabkan
permainan tradisional sudah semakin dipandang enteng dan disisihkan oleh masyarakat kita daripada arus perdana.
Permainan tradisional adalah merujuk kepada permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesebuah masyarakat
untuk satu tempoh yang tertentu sebagai pengisi masa lapang. Negara kita kaya dengan pelbagai jenis permainan
tradisional yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Antara jenis permainan tradisional tersebut termasuklah
congkak, wau, gasing, galah panjang, batu seremban, teng-teng, guli, sepak raga, konda-kondi dan sebagainya.
Kebanyakan daripada permainan tersebut kurang diketahui oleh generasi muda. Hal ini membayangkan bahawa
permainan tradisional berkenaan akan lenyap ditelan zaman jika tiada usaha diambil untuk mengetengahkannya dalam
kalangan khalayak ramai khususnya generasi masa ini. Persoalannya, apakah peranan yang seharusnya saya mainkan
dalam usaha memartabatkan permainan tradisional di negara kita?

Usaha pertama yang saya lakukan untuk memartabatkan permainan tradisional adalah dengan memupuk minat
diri sendiri terhadap permainan tradisional. Remaja pada masa ini banyak terdedah dengan pelbagai pengaruh
modenisasi dan perubahan. Mereka sering menganggap permainan tradisional telah lapuk dan ketinggalan zaman. Oleh
itu, sebagai generasi muda, saya harus sedar bahawa saya berperanan memartabatkan permainan tradisional. Hal ini
boleh dilakukan atas kesedaran diri sendiri untuk mencari pelbagai informasi berkaitan dengan permainan tradisional.
Saya akan mengakses maklumat tentang permainan tradisional agar dapat memahami dengan lebih jelas setiap
permainan tradisional yang ada di negara kita. Terdapat banyak laman web yang memberikan pelbagai maklumat
berkenan pelbagai permainan tradisional berserta gambarnya sekali. Secara tidak langsung, wujud kesedaran dalam diri
sendiri untuk memartabatkan permainan tradisional di negara ini bagi menyaingi permainan moden yang semakin
popular dalam kalangan remaja.

Selain itu, usaha yang boleh saya lakukan adalah dengan menjadikan permainan tradisional sebagai pengisi masa
lapang. Hal ini boleh dilakukan dengan rakan-rakan sebaya pada waktu petang atau pada masa cuti sekolah bagi
menggantikan permainan moden. Saya boleh meminta tunjuk ajar daripada golongan yang lebih tua tentang cara-
cara permainan tradisional tersebut bagi membolehkan saya dan rakan-rakan memainkannya bersama rakan-rakan.
Inisiatif ini bukan sahaja dapat memartabatkan permainan tradisional malah dapat memupuk semangat setia kawan dan
kerjasama sesama rakan. Hal ini juga boleh mengelakkan diri saya sebagai remaja daripada terjebak dengan pelbagai
gejala negatif akibat daripada pengaruh rakan-rakan dan persekitaran yang tidak baik. Bagi diri saya lebih baik mengisi
masa dengan bermain permainan tradisional daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Jelaslah
permainan tradisional mendatangkan banyak kebaikan kepada generasi muda masa ini.

Di samping itu, bagi memartabatkan permainan tradisional, saya sebagai pelajar sekolah haruslah berani
mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar permainan tradisional menjadi salah satu aktiviti semasa perjumpaan
kokurikulum. Saya akan menulis surat kepada pihak sekolah menerusi persatuan agar memasukkan permainan
tradisional menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di sekolah. Hal ini secara tidak langsung akan
memperkenalkan permainan tradisional kepada semua pelajar. Saya juga akan menyertai permainan tradisional yang
dipertandingkan di peringkat sekolah semasa aktiviti kokurikulum dan juga persatuan akademik. Antara aktiviti yang
boleh dilakukan ialah pertandingan membuat wau, pertandingan bermain congkaka dan demonstrasi permainan
daripada golongan tua yang lebih berpengalaman bagi menarik minat pelajar. Dengan cara tersebut, minat remaja
terhadap permainan tradisional dapat dipupuk agar kepelbagaian permainan tradisional dapat dipelihara. Ibarat kata
pepatah, tak kenal maka tak cinta amat bertepatan kerana jika pelajar telah mula diperkenalkan dengan pelbagai
permainan tradisional, sudah pastilah minat terhadapnya akan tertanam secara semula jadi. Maka para pelajar perlu
berani membuat perubahan ke arah memartabatkan permainan tradisional.

Usaha yang seterusnya ialah saya sebagai remaja perlu menanamkan semangat cinta akan budaya terutama
permainan tradisional. Hal ini adalah kerana, permainan tradisional merupakan budaya masyarakat Malaysia sejak
dahulu dan perlu diteruskan dan dipelihara agar dikenali oleh generasi akan datang. Sesuatu yang baik itu perlu dipupuk
dan ditanam dalam diri sejak kecil sesuai dengan peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika asasnya telah
kukuh maka secara langsung remaja masa ini tidak akan segan silu mempertahankan dan memartabatkan permainan
tradisional. Alah bisa tegal biasa kerana sesuatu yang sukar pada awalnya akan menjadi mudah dan biasa jika selalu
dilakukan dan diamalkan. Begitulah juga yang diharapkan terhadap permainan tradisional. Jika remaja seperti saya telah
mula menanamkan sikap sayang dan cinta akan budaya masyarakat ini, maka sudah pasti permainan tradisional
terpelihara megah dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sesungguhnya kecintaan terhadap permainan tradisional akan
memupuk juga rasa cinta terhadap negara

Kesimpulannya, remaja hendaklah berusaha mempopularkan permainan tradisional agar permainan tersebut
terus terpelihara dan mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia umumnya dan generasi muda khususnya. Maka
golongan muda perlu berganding bahu dan meminta bantuan golongan yang lebih tua agar permainan tradisional terus
dimartabatkan dan diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti. Kedua-dua golongan boleh saling bekerjasama
sebelum nasi menjadi bubur. Khazanah ini perlu dipelihara dan dikekalkan di negara ini dengan menggunakan pelbagai
pendekatan sesuai dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Latihan 14

Semangat Kejiranan dalam kalangan rakyat di egara ini semakin longgar.


Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil oleh pelbagai pihak supaya semangat kejiranan
dalam kalangan penduduk dapat ditingkatkan?

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan dan juga di belakang rumah
kita. Jika kita tinggal dalam satu taman atau di sebuah egara yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga
kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita
apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa Jiran sepakat membawa berkat.
Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu
perkara. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang wajar diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
penduduk setempat?

Langkah primer yang harus diambil oleh pihak kerajaan ialah kerajaan menjalankan kempen-kempen kejiranan
yang bersesuaian di semua peringkat sama ada peringkat daerah, negeri atau kebangsaan.Tujuan kempen ini adalah
untuk menanam semangat perpaduan dan bersatu padu dalam kalangan rakyat. Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan
oleh Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak menekankan semangat perpaduan antara kaum di
Malaysia.Usahasama sebeginilah yang wajar diambil contoh dan diaplikasikan dalam institusi masyarakat bagi
mencetuskan semangat kejiranan yang utuh. Kempen kejiranan yang dijalankan ini perlulah berterusan dan janganlah
seperti hangat-hangat tahi ayam sahaja. Jelasnya,kempen yang dijalankan ini dapat memberikan kesedaran kepada
masyarakat untuk memupuk semangat kejiranan.

Selain itu, langkah yang harus diambil ialah masyarakat setempat perlulah mengadakan aktiviti gotong-royong.
Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan
dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang ,mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang
sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan
melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh
diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri kendara
dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan egara jiran. Malahan, menurut
laporan majalah The Times di Australia. kegiatan gotong-royong yang diamalkan di Malaysia merupakan antara aktiviti
yang terbaik di dunia.

Di samping itu, peranan media massa merupakan langkah yang amat penting dalam meningkatkan semangat
kejiranan dalam kalangan rakyat Malaysia. Pelbagai kaedah boleh digunakan dalam menyuburkan semangat
kejiranan.Media cetak misalnya boleh menyiarkan artikel-artikel tentang kepentingan semangat kejiranan .Media
elektronik pula boleh menyiarkan dokumentari dan rancangan menarik tentang kejiranan. Melalui media massa,
pelbagai maklumat dan berita boleh disampaikan dengan cepat dan mudah .Sesungguhnya,berita dan isu semasa yang
disiarkan oleh media massa lebih mudah menarik perhatian orang ramai terutamanya generasi muda. Sebagai contoh,
usaha Majalah 3 menyiarkan Colour of Malaysia wajar disokong. Justeru,semangat hati gajah sama dilapah, hati
kuman sama dicecah ini wajar kita tonjolkan melalui media massa.

Seterusnya, setiap penduduk hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan
perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalan kalangan jiran
setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih
dekat. Seterusnya ,melalui rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan
berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, sambutan majlis rumah terbuka
sempena Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina,Krismas, Deepavali dan sebagainya hendaklah dijadikan acara tahunan.
Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan
lebih erat lagi.

Di samping itu, Jawatan Kuasa Kampung dan Jawatan Kuasa Taman juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari
Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti Hari Keluarga
diadakan,s emua ahli keluarga jiran akan turut serta melibatkan diri dalam aktiviti berkayak, memasukkan air ke dalam
botol ,terompah gajah dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja
antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga.Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang
bola egara, taman rekreasi atau padang sekolah yang berhampiran .Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat egara
jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang
lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu,ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.

Tambahan lagi, kerajaan juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti egara seperti
persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu egara
organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini,
banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatan Kuasa
Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui
Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk
mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu,iaitu ibarat
aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.
Akhir sekali, masyarakat mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi dalam kalangan rakyat
sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan
menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita.
Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkanke hospital
kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata
memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang kepada prinsip cubit peha kiri,
peha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai
segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita itu.

Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam era
globalisasi, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang
terkandung dalam pepatah Melayu bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Jika hal ini
dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan egara. Ada pepatah yang
mengatakan bahawa bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan,
perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi,dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan
semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya egara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.

LATIHAN 15

Ibu bapa merupakan insan yang berperanan penting bagi menggalakkan anak-anak menggunakan barangan
buatan Malaysia.
Huraikan langkah-langkah yang dapat diambil oleh ibu bapa terhadap anak-anak dalam menggalakkan penggunaan
barangan buatan Malaysia.
Sebagai sebuah negara membangun yang akan menuju ke arah negara maju menjelang 2020, Malaysia
sebenarnya telah banyak menghasilkan dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri. Mungkin sudah tiba
masanya bagi rakyat kita agar tidak lagi mengagung-agungkan barangan luar. Barangan keluaran tempatan kini sudah
setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita dijamin lebih baik.
Walaubagaimanapun, masih ramai lagi yang tidak mengetahui atau menyedari tentang kelebihan dan kualiti sebenar
barangan buatan negara kita, lebih-lebih lagi orang muda-muda yang kononnya mempunyai cita rasa yang tinggi dalam
memilih kebendaan. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menggalakkan penggunaan barangan buatan
Malaysia?
Peranan yang amat penting yang perlu diamalkan oleh setiap ibu bapa ialah ibu bapa perlulah menjadi role
model kepada anak-anak mereka kerana anak-anak akan sentiasa mengikuti jejak langkah kedua-dua ibu bapa
mereka. Pepatah ada mengatakan bahawa bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa merupakan insan yang paling
dikagumi kerana ibu bapalah orang yang terdekat dengan anak-anak. Anak-anak diibaratkan seperti sebutir permata
yang belum digilap, ibu bapa yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan
bersinar. Walau bagaimanapun, ibu bapa janganlah bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul
kerana ini akan menyebabkan anak-anak hilang rasa kagum dan kepercayaan kepada ibu bapa mereka. Ibu bapa
haruslah membeli kereta buatan Malaysia seperti kereta dari kilang Proton Edar, barangan elektrik seperti Panasonic,
Philips dan lain-lain. Tegasnya, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka dengan menyokong
barangan buatan Malaysia yang berkualiti ini.
Selain itu, ibu bapa perlulah memupuk perasaan cinta akan negara kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi
kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini terjadi demikian kerana semangat patriotik patut diterapkan ke
dalam sanubari remaja supaya mereka terpanggil untuk membeli barangan Malaysia sebagai tanggungjawab mereka.
Ibu bapa juga boleh menanam minat anak-anak terhadap barangan Malaysia melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia,
Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Hal ini akan dapat menyuntik nilai cinta akan negara, taat
setia kepada raja dan negara, dan sanggup berkorban untuk negara kepada generasi muda kita. Ibu bapa patut menyeru
anak-anak untuk mencontohi warganegara Jepun dan Korea kerana rakyat mereka berasa bangga untuk membeli
barangan negara mereka sendiri. Misalnya, dalam filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan produk
negara sendiri seperti jenama Samsung, LG dan Panasonic. Dengan menyahut seruan Tun Dr. Mahathir yang merupakan
Perdana Menteri Malaysia yang keempat malalui Dasar Pandang Ke Timur, kita digalakkan mencontohi sifat baik negara
lain yang baik untuk meningkatkan taraf kehidupan negara ke alaf baru. Jika anak-anak telah diterapkan semangat cinta
akan negara dan ingin membeli barangan Malaysia, amalan ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Tidak dapat
dinafikan bahawa golongan remaja merupakan golongan pengguna yang banyak berbelanja. Golongan remaja juga
merupakan harapan negara kita. Hal ini kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jika mereka suka
membeli produk jenama Malaysia, produk Malaysia pasti akan laris di pasaran.
Di samping itu, peranan yang boleh diamalkan oleh ibu bapa ialah ibu bapa membawa anak-anak ke pameran
barangan ciptaan Malaysia. Contohnya, ibu bapa bolehlah membawa anak-anak ke Karnival Membeli-belah Malaysia
yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dengan premis perniagaan seluruh negara. Karnival sebegini
telah ditetapkan hanya barangan Malaysia yang mempunyai tawaran potongan harga yang istimewa. Sebagai contoh,
kraf tangan dan batik, yang merupakan budaya yang menggambarkan tradisi Malaysia. Ibu bapa perlu mendedahkan
anak-anak dengan pelbagai barangan tempatan yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan keunikannya yang tersendiri.
Apabila anak-anak meminta sesuatu benda yang tidak keterlaluan, ibu bapa haruslah membeli barang tersebut dan
barang tersebut mestilah merupakan barangan buatan Malaysia. Terdapat juga pameran yang mengadakan pelbagai
jenis pertandingan. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak menyertai pertandingan-pertandingan
seperti menulis esei, melukis poster dan menjawab soalan-soalan kuiz yang berkaitan. Hal ini secara tidak langsung
dapat mencelikkan minda anak-anak supaya mengetahui kualiti dan kelebihan barangan Malaysia sehingga berminat
untuk membeli barangan Malaysia, seperti peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Tegasnya, ibu bapa perlulah membeli
barangan buatan Malaysia untuk didedahkan kepada anak-anak generasi baru ini.
Seterusnya, ibu bapa perlulah menerangkan kebaikan pembelian barangan buatan Malaysia kepada anak-anak
mereka supaya mereka dapat memahami faedah-faedahnya, menyokong dan menggunakan barangan buatan Malaysia.
Ibu bapa haruslah memberitahu anak-anak tentang kualiti produk-produk Malaysia yang kini bukan sahaja kualitinya
setanding dengan produk-produk luar negara, malah harganya juga cukup murah untuk dimiliki seseorang. Ibu bapa juga
boleh menunjukkan kempen-kempen yang telah diadakan seperti Kempen Beli Barangan Malaysia kepada anak-anak
untuk memastikan anak-anak sedar dan mengetahui secara mendalam barangan-barangan Malaysia. Sikap prejudis,
memandang rendah barangan tempatan dari sudut pemikiranjuga seharusnya dilontar jauh-jauh oleh ibu bapa dan juga
tidak harus diwujudkan pada anak-anak mereka, tetapi, sebaliknya, membinakan semangat Malaysia Boleh dari serba-
serbi, termasuk soal kualiti dan standard barangan tempatan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting dalam
menerangkan manfaat-manfaat barangan buatan Malaysia kepada anak-anak supaya mereka sedar dan bijak memilih
benda yang baik dan mendatangkan kebaikan kepada mereka.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa yang merupakan insan terdekat
kepada generasi muda kini mestilah memainkan peranannya yang amat penting dalam menggalakkan anak-anak
menyokong, membeli dan menggunakan barangan buatan Malaysia. Harapan kerajaan Malaysia supaya negara kita
bukan sahaja mengimport barangan luar negara malah juga mengeksport barangan buatan Malaysia dapat dicapai.
Sedarlah bahawa barangan Malaysia tidak sekadar lebih murah daripada barang buatan import negara malah
mempunyai kualiti dan kuantiti yang baik. Walalau bagaimanapun, usaha daripada ibu bapa semata-mata adalah tidak
mencukupi. Rakyat Malaysia patut menghayati tema Hari Kebangsaan; 1Malaysia Menjana
Transformasi menyemarakkan semangat seisi negara agar seia sekata sebagai satu bangsa yang ingin memperkasakan
satu perubahan sikap dengan membeli barangan Malaysia. Tegasnya, negara kita, tanggungjawab kita merupakan
azimat yang tersemat agar kita berbangga dengan barangan Malaysia yang bermutu tinggi.
LATIHAN 16
Minat untuk membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat ini semakin berkurangan.
Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai membaca
karya sastera
Pada zaman berteknologi tinggi ini, orang ramai telah memilih untuk memiliki sebuah komputer untuk
mendapatkan maklumat daripada internet berbanding mencari maklumat atau membaca daripada buku. Hal ini
menyebabkan minat untuk membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat makin berkurangan. Malah ada yang
telah lupa dan tidak kenal akan karya sastera yang dihasilkan oleh sasterawan negara seperti Usman Awang, Shahnon
Ahmad, A.Samad Said dan sebagainya. Hal ini tidak boleh dipandang remeh kerana karya sastera yang dihasilkan
merupakan warisan bangsa yang menunjukkan identiti dan bangsa kita. Minat untuk membaca karya-karya sastera ini
perlu disemarakkan semula dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh
pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai untuk membaca karya sastera?
Langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai membaca karya
sastera termasuklah peranan pihak sekolah khususnya Pusat Sumber Sekolah. Pusat Sumber Sekolah perlu
memperbanyak buku sastera dan karya agung seperti novel Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad, Salina oleh
A.Samad Said, Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur oleh Kamaludin Muhamad dan Tulang-tulang Berserakan oleh
Usman Awang agar murid mahupun guru berpeluang untuk membacanya. Pusat sumber boleh mengadakan
pertandingan mengulas novel, sajak, puisi dan pantun pada setiap bulan. Langkah ini membolehkan para pelajar untuk
membaca karya-karya sastera memandangkan mereka ingin menghasilkan ulasan yang menarik. Secara tidak langsung,
minat pelajar terhadap karya sastera akan semakin bertambah. Pihak sekolah turut boleh menggalakkan setiap
kelas menyediakan satu ruang atau sudut membaca di kelas bagi memudahkan pelajar untuk menghayati karya sastera
ketika guru tiada di dalam kelas. Tegasnya, pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam menarik minat
pembaca terhadap karya sastera.
Selain itu, peranan ibu bapa juga amat penting dalam mengambil langkah untuk menarik minat anak-anak
membaca karya sastera. Ibu bapa haruslah memberikan pendedahan tentang karya sastera kepada anak-anak sejak kecil
lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Contohnya, ibu bapa boleh membaca sastera ralyat
kepada anak-anak sebelum mereka masuk tidur Melalui cara ini, hubungan silaturahim antara ibu bapa dengan anak
bukan sahaja dapat dipereratkan, malah anak-anak dapat mengetahui cara hidup dan budaya masyarakat kita sendiri.
Selain itu, ibu bapa bolehlah membelikan karya sastera untuk dibaca oleh anak-anak supaya mereka dapat menghayati
keindahan hasil warisan bangsa selain dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah. Ibu bapa boleh menghadiahkan
novel yang sesuai kepada anak-anak mengikut umur mereka. Ibu bapa juga perlu pilih bahan bacaan yang hendak dibeli
untuk anak-anak sewaktu membawa mereka berkunjung ke kedai buku mahupun pameran buku. Seterusnya, ibu bapa
harus menyediakan sebuah perpustakaan mini yang dilengkapi dengan pelbagai bahan bacaan khususnya karya-karya
sastera seperti prosa atau puisi tradisional dan moden yang dihasilkan oleh pengarang tersohor di rumah. Dengan itu,
minat anak-anak untuk membaca karya sastera dapat dipupuk dan disemai dalam jiwa mereka.
Di samping itu, media massa turut memainkan peranan yang penting dalam mengambil langkah menarik minat
semua lapisan masyarakat membaca karya sastera. Sebagai contohnya, pihak media boleh mempromosikan karya
sastera kepada masyarakat melalui radio, televisyen dan surat khabar. Melalui cara ini, lapisan masyarakat dapat
mengetahui cara untuk mendapatkan karya sastera di pasaran. Bukan itu sahaja, pihak media juga boleh menyiarkan
sudut sastera atau ulasan karya sastera yang agung di akhbar dan majalah kepada orang ramai. Dengan itu, orang ramai
berpeluang untuk mengenali karya sastera di negara kita dengan lebih mendalam. Tambahan pula, pihak media turut
boleh menganjurkan peraduan teka teki atau menulis sajak dan syair yang bertemakan karya-karya sastera. Jelasnya,
pihak media haruslah mengambil langkah untuk menarik perhatian orang ramai untuk membaca karya sastera.
Seterusnya, pihak kerajaan haruslah mengadakan pameran karya sastera dan kempen menghayati karya sastera
di seluruh pelusuk negara. Melalui langkah ini, rakyat berpeluang untuk mengenali karya-karya sastera ini dengan lebih
dekat. Tambahan pula, pihak kerajaan boleh membina perpustakaan rakyat di setiap daerah bagi memudahkan rakyat
untuk membaca ataupun meminjam karya-karya sastera untuk dibaca. Pihak kerajaan turut boleh mengambil inisiatif
untuk mengurangkan kadar cukai penerbitan karya sastera. Langkah ini dapat menurunkan harga buku tersebut agar
semua rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah berpeluang untuk memiliki karya-karya sastera itu sendiri.
Oleh itu, jelaslah bahawa pihak kerajaan turut memainkan watak yang utama dalam mengambil langkah untuk menarik
minat orang ramai membaca karya sastera.
Akhir sekali, pihak-pihak NGO seperti syarikat penerbitan harus menerbitkan lebih banyak karya sastera supaya
karya tersebut mudah didapati di pasaran. Pihak penerbit boleh bekerjasama dengan penulis untuk mengeluarkan
berbagai-bagai genre sastera. Penerbit juga perlu memberikan bayaran setimpal dan berpatutan kepada penulis.
Persatuan Karya-karya Sastera boleh ditubuhkan untuk melindungi karya-karya penulis supaya tidak dplagiat oleh pihak
tertentu yang bermotifkan keuntungan dan bagi membolehkan para peminat berkongsi pendapat bersama dengan
penulis. Kerajaan juga boleh meningkatkan jumlah penerbitan karya sastera dalam setahun dan bekerjasama dengan
seberapa ramai penulis dan penerbit untuk menghasilkan karya sastera yang bermutu.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa semua pihak menggalas tanggungjawab yang berat
dalam usaha untuk menghidupkan minat orang ramai membaca karya sastera. Masyarakat pula harus bersikap berhati
terbuka supaya langkah-langkah tersebut mendapat sambutan yang hangat dan seterusnya berjaya direalisasikan. Kita
selaku warga Malaysia haruslah mencintai dan menghayati karya sastera kita kerana ia merupakan warisan bangsa dan
mencerminkan identiti kita.
LATIHAN 17
Usaha berterusan membantu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) merupakan satu tindakan yang wajar demi
membolehkan golongan ini memberikan sumbangan berkesan kepada negara.

Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk membantu golongan ini?
Orang Kelainan Upaya (OKU) ialah kanak-kanak atau orang dewasa yang cacat keadaan fizikal atau mentalnya
sejak lahir atau kesan kemalangan atau penyakit tertentu. Kecacatan fizikal dan mental ini menghalang mereka dari
melakukan aktiviti-aktiviti normal seperti sosial, rekreasi , pelajaran dan pekerjaan. Golongan Orang Kelainan Upaya
(OKU) secara umumnya dapat dikategorikan kepada dua kumpulan utama, iaitu kurang upaya secara kekal dan kurang
upaya secara sementara. Walaupun banyak kekurangan yang ada , masyarakat kurang upaya ini tidak harus dipinggirkan
kerana mereka juga turut memberi sumbangan kepada negara. Oleh sebab itu, pelbagai usaha patut dilakukan bagi
membantu OKU meneruskan kehidupan dengan sempurna.
Antara usaha yang dapat dilakukan ialah masyarakat perlu menerima kehadiran golongan kurang upaya ini
seadanya dan membantu mereka menjalani kehidupan dengan sebaiknya. Hal ini kerana masyarakat perlu sedar
bahawa OKU tidak meminta dilahirkan dalam keadaan yang tidak sempurna malah mempunyai hak untuk hidup sama
seperti orang lain. Golongan Kelainan Upaya (OKU) haruslah diberi layanan yang baik kerana mereka turut mempunyai
perasaan yang sama seperti insan lain. Mereka tidak suka dipandang rendah dan dianggap tidak berguna. Namun begitu
kita harus melayan mereka secara istimewa dalam keadaan-keadaan tertentu seperti membantu mereka melintas jalan,
memberi tempat duduk di dalam kenderaan awam dan sebagainya. Dalam hal ini, ibu bapa berperanan penting dalam
mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, simpati,belas kasihan dan tolong menolong agar
mereka dapat membantu OKU dengan seikhlas hati.
Selain itu, media massa sama ada media elektronik atau media cetak juga berperanan penting dalam
membantu golongan kurang upaya ini. Pihak media massa perlu menyiarkan artikel dan rancangan khas tentang OKU
kepada segenap lapisan masyarakat. Rancangan di TV3 seperti Bersamamu kerap kali memaparkah kisah sedih dan pilu
OKU untuk perhatian masyarakat. Melalui rancangan ini , perasaan masyarakat pasti akan tersentuh dan secara tidak
langsung wujud perasaan simpati dan terpanggil untuk menghulurkan bantuan. Dana dan tabung khas disediakan oleh
pihak media bagi memudahkan masyarakat menyalurkan bantuan kewangan kepada OKU. Oleh hal yang demikian nasib
OKU akan terbela dan mendapat simpati berterusan daripada masyarakat untuk meneruskan kehidupan mereka.
Selain itu, kerajaan juga pula dapat membantu OKU dengan memberi peluang kepada mereka untuk
mendapatkan kemahiran-kemahiran dalam pelbagai bidang . Golongan Kurang Upaya (OKU) diberi peluang mengikuti
latihan kemahiran seperti membaiki kenderaan dan peralatan elektrik, membuat kek, keropok dan kraf tangan di Pusat
Giat Mara, Kolej Komuniti, Pusat Latihan dan Pemulihan Orang Cacat(JARO) dan lain-lain institusi. Di sini ,OKU dilatih
dalam pelbagai bidang kemahiran supaya mereka dapat berdikari dan boleh bekerja sama ada makan gaji atau berniaga
sendiri . Setelah mantap dalam bidang pekerjaan, mereka akan duduk samarendah dan berdiri sama tinggi dengan
orang lain membantu negara dan tidak lagi menyusahkan orang lain bahkan mampu menyara hidup sendiri dan
keluarga.
Tambahan pula, pihak kerajaan juga turut membantu OKU dengan memberikan bantuan dan elaun dalam
bentuk wang ringgit , makanan dan minuman, pakaian , tempat tinggal, peralatan pembelajaran dan kenderaan
khas. Peruntukan dari kerajaan ini disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, MARA dan sebagainya. Bantuan
seperti ini bukan sahaja dapat meringankan beban OKU malah dapat mengembirakan hati mereka dalam meneruskan
kehidupan di dunia ini. Bantuan modal juga diperlukan oleh golongan OKU untuk memulakan sesuatu perniagaan. Hal
ini demikian kerana rata-rata golongan ini adalah terdiri daripada orang susah atau miskin. Sehubungan dengan itu,
pihak kerajaan telah berusaha memberi bantuan modal kepada semua OKU yang berminat melalui permohonan dan
sokongan daripada persatuan masing-masing. Oleh itu, bantuan kewangan atau modal ini sangat penting untuk
membolehkan golongan ini meningkatkan ekonomi mereka tanpa bergantung kepada pertolongan daripada orang lain.
Selain itu, pihak kerajaan juga menyediakan peluang untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih
tinggi kepada OKU. Sistem pendidikan khas perlu diperluaskan kepada OKU yang berada di luar bandar supaya ibu bapa
yang mempunyai anak-anak ini berpeluang menyekolahkan anak-anak mereka. Sehubungan itu, kemudahan pendidikan
khas ini mestilah ditingkatkan bagi melahirkan para pelajar yang setanding dengan pelajar yang normal. Malah pihak
kerajaan juga mestilah menyediakan tempat atau kaota pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)
kepada OKU yang mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran
Malaysia. Oleh itu, peluang ini akan meningkatkan lagi motivasi pelajar OKU untuk mengubah nasib hidup mereka ke
arah yang lebih baik pada masa akan datang dengan ilmu yang dimiliki itu.
Di samping itu, pihak swasta pula digalakkan mengambil pekerja OKU untuk berkhidmat dalam syarikat
mereka. Mereka perlu memberi peluang ini kerana golongan OKU juga mampu menyumbangkan kemahiran yang ada
untuk memajukan syarikat tersebut. Di kilang umpamanya sudah ada OKU yang bekerja sebagai operator pengeluaran,
pembantu pejabat dan kerani dimana sebelum ini kerja sebegini hanya dilakukan oleh pekerja yang normal sahaja.Selain
itu, usaha murni Pasaraya Besar Carrefour yang telah mensasarkan 5 peratus daripada pekerjanya ialah OKU haruslah
diberi pujian kerana mereka memberi peluang kepada OKU dan membantu mereka mendapatkan kerja bagi menyara
kehidupan keluarga mereka.

Kesimpulannya, golongan OKU sangat memerlukan bantuan daripada kita semua untuk meneruskan dan
memajukan diri mereka ke tahap yang lebih baik lagi. Untuk merealisasikan hasrat tersebut semua pihak terutama
kerajaan, swasta dan masyarakat mestilah berganding bahu menjayakan matlamat tersebut. Sekiranya kita tidak
bersungguh-sunggguh membantu golongan ini sudah pasti mereka akan tersisih dalam era pemodenan negara
menjelang tahun 2020 nanti. Kata pepatah muafakat membawa berkat sangat sesuai diamalkan oleh masyarakat kita
dalam usaha membantu golongan OKU.

Anda mungkin juga menyukai