Anda di halaman 1dari 5

ANAK ADALAH SUATU AMANAH BESAR

Sesungguhnya anak yang dikurniakan Allah kepada suami isteri adalah suatu
amanah dari Allah SWT. Anak bukanlah hak kita. Ia adalah hak Tuhan. Tuhan yang
memberikannya kepada kita.

Anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa yang perlu dididik supaya menjadi
insan yang berguna. - Gambar hiasan

Sekiranya anak itu hak kita, tentulah apabila kita berkahwin kita akan terus
mendapat anak seperti mana yang kita kehendaki.
Ada pasangan yang 10 tahun kahwin tetapi tidak juga mendapat anak. Ini kerana
ia tidak mendapat keizinan dari-pada Allah. Sebaliknya, ada orang yang baru
enam bulan saja kahwin tetapi sudah mendapat anak.
Sedar akan hakikat bahawa anak yang dianugerahkan kepada ibu dan bapa itu
adalah satu amanah daripada Allah. Maka menjadi tanggungjawab setiap ibu
bapa menjaga amanah Allah itu dengan sebaik-baiknya.
Sebagaimana anak wajib berbakti kepada ibu bapanya, ibu bapa juga
bertanggungjawab memenuhi segala yang menjadi hak anaknya.
Anak yang tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap ibu bapa dianggap
sebagai anak derhaka. Ibu bapa yang tidak melaksanakan tanggungjawab
terhadap anaknya juga boleh dianggap sebagai derhaka. Tetapi orang tidak biasa
menyebutnya derhaka. Mungkin istilah yang lebih tepat adalah berlaku zalim.

Meneliti kisah yang berlaku pada zaman Umar al-Khattab menjadi khalifah boleh
membuktikan adanya penderhakaan ibu bapa terhadap anaknya.
Suatu hari seorang lelaki datang berjumpa Saidina Umar mengadu perihal
anaknya yang didakwanya derhaka kepadanya. Umar memanggil anak yang di-
katakan derhaka itu. Khalifah mengadili anak itu secara berhadapan dengan
ayahnya.
Dalam majlis pengadilan itu, si anak meminta khalifah menyatakan hak anak
terhadap ayahnya. Khalifah Umar menyatakan bahawa: "Antara hak-hak anak
terhadap ayahnya adalah ayah hendaklah mencari isteri yang baik untuk menjadi
ibu kepada anak-anaknya yang bakal lahir ke dunia.
"Setelah anak itu lahir, hendaklah si ayah memberikan nama kepadanya dengan
nama yang baik. Dan setelah anak itu besar, hendaklah diajar membaca al-
Quran".

Mendengar yang demikian, si anak lantas berkata: "Wahai Amirul Mukminin! Itu
semua tidak ada yang dia laksanakan. Ibuku dicarinya dari orang Majusi. Namaku
dibuatkan Jaklan dan aku tidak diajarnya membaca al-Quran".

Khalifah Omar melihat ke arah lelaki yang membuat aduan sambil berkata
kepadanya: "Apakah engkau datang ke sini untuk mengadu kelakuan anakmu?
Ternyata engkau telah derhaka kepadanya sebelum dia derhaka kepada-mu.
Engkau telah berbuat jahat kepadanya sebelum dia berbuat jahat kepadamu".
Begitulah besarnya tanggungjawab ibu bapa terhadap anaknya. Sebelum anak itu
lahir lagi, kita sudah mempunyai tanggungjawab terhadapnya.

Kita mesti mencari ibu yang baik baginya. Kita mesti mencari wanita yang sihat,
sempurna dan cantik. Lebih penting lagi, kita mesti mencari wanita yang solehah
dan keturunan yang baik.
Ketika anak berada dalam kandungan, kita wajib menjaganya dengan baik. Si ibu
mesti memakan makanan yang baik lagi halal.

Jika ibunya memakan benda-benda haram, ia akan menjadi darah daging bagi si
anak dan akan mempengaruhi jiwanya setelah dewasa nanti.
Apabila anak lahir, dia berhak untuk diazan, ditahnik, diberi nama yang baik,
dicukur rambutnya dan dibuat akikah.

Setelah anak itu nampak sudah faham akan sesuatu, dia mesti diajar mengaji,
ditanam kepadanya masalah akidah, diajar masalah halal haram, mengerjakan
solat dan sebagainya.
Dengan kata lain, ibu bapa bukan saja diwajibkan memberi makan, minum,
pakaian dan tempat tinggal kepada anak-anaknya. Malah lebih dari itu ibu bapa
wajib mendidik dan memberi pelajaran agar mereka membesar dan menjadi
orang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Sabda Rasulullah bermaksud: Setiap anak yang di-lahirkan adalah dalam keadaan
bersih melainkan dua orang tua-nyalah yang bertanggungjawab mencorakkannya
menjadikan Yahudi atau Nasrani atau Majusi. (riwayat Muslim dan Baihaqi)

Daripada hadis di atas kita dapati peranan ayah dan ibu adalah amat besar untuk
melahirkan anak-anak berperibadi dan berakhlak mulia. Anak-anak berada di
sekolah kira-kira tujuh jam sahaja sehari.
Dalam masa tersebut anak-anak berada di bawah pengawasan guru. Baki 17 jam
lagi dalam hari tersebut, anak-anak berada di bawah penjagaan ibu bapa masing-
masing.
Sesungguhnya, anak yang masih kecil mudah dibentuk sesuka hati seperti halnya
dengan tepung. Seorang tukang kuih yang sedang memegang tepung, sanggup
membentuk tepung itu sesuai dengan kehendaknya.

Begitu jugalah keadaan anak yang masih kecil. Dia masih mudah dibentuk, sama
ada untuk dijadikan orang baik atau orang jahat.

Dalam memperkatakan tentang pemberian pelajaran kepada anak-anak, satu


perkara yang amat mendukacitakan kita ialah sikap dan tanggungjawab ibu bapa
serta bentuk pendidikan yang diberikan kepada anak-anak.
Tidak dapat dinafikan bahawa pada masa ini kesedaran ibu bapa terhadap
kemajuan persekolahan anak-anak memang amat ketara sekali.
Mereka rela membayar yuran persekolahan anak-anak hingga berpuluh-puluh
ringgit untuk menjamin kejayaan masa depannya.

Bagaimana pula halnya kalau kita bertanya tentang kemajuan pendidikan rohani
khususnya kemampuan anak-anak untuk membaca al-Quran dan menulis tulisan
jawi.
Jawapannya adalah amat mengecewakan. Boleh dikatakan majoriti belia kini tidak
tahu membaca jawi. Jika boleh pun bacaan mereka merangkak-rangkak.
Para ibu bapa tidak sedikit pun merasa bimbang dan bimbang dengan anak-anak
mereka yang tidak boleh membaca jawi dan tidak tahu membaca al-Quran.
Sumbangan ibu bapa terhadap perkembangan rohani anak-anak mereka adalah
begitu rendah sekali.
Hati mereka merasa begitu berat untuk memberi sumbangan atau hadiah kepada
tok-tok guru yang mengajar al-Quran anak-anak mereka.

Namun, mereka tidak memprotes atau bersungut tentang kadar yuran tuisyen
anak-anak yang begitu tinggi.
Melihat kepada keadaan ini, satu persoalan boleh diketengahkan. Apakah sikap
ibu bapa sebegini boleh dianggap sebagai ibu bapa yang amanah dan
bertanggungjawab terhadap anak-anak yang dianugerahkan Allah itu?

Sedarkah para ibu bapa bahawa pendidikan sekular sedikit sekali dapat
membantu dan menjamin hidup yang bahagia kepada anak-anak mereka di
akhirat kelak.
Sesungguhnya anak yang baik akan membawa manfaat kepada ibu bapanya. Dia
akan meneruskan perjuangan ibu bapanya dan menolong mereka sesudah tua.
Setelah ibu bapa meninggal dunia, anak itu akan mendoakannya dan meminta
ampunkan dosanya.
Menyedari hakikat bahawa sifat amanah adalah semulia-mulia sifat di sisi Allah
SWT, maka menganggap barang amanah dengan sambil lewa dan cuai dikira
sebagai satu perbuatan mencuri. Hukumannya adalah berdosa besar.
Oleh itu awasilah anak dengan sebaik mungkin kerana anak adalah amanah Allah.

Anda mungkin juga menyukai