Anda di halaman 1dari 11

Seminar Pendidikan Sejarah dan Geografi (UMS, 29 30 Ogos 2013)

Penggunaan Aplikasi Google Earth dalam Meningkatkan Prestasi


Pelajar Mata Pelajaran Geografi di Sekolah Menengah

Dr. Roslee Talip & Mohd Saifullah Md Sabri


Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial
Universiti Malaysia Sabah

Abstrak: Kajian ini dijalankan bertujuan untuk melihat sejauh mana tahap penggunaan
aplikasi Google Earth dalam meningkatkan prestasi pelajar mata pelajaran Geografi di
sekolah menengah. Tiga aspek telah dikaji bagi menjawab persoalan kajian ini iaitu tahap
persepsi pelajar dalam kaedah konvensional bagi pembelajaran Geografi, perbezaan skor
antara kumpulan kawalan dan rawatan terhadap penguasaan topik Bentuk Muka Bumi
Tingkatan 1 dan minat pelajar dalam penggunaan aplikasi Google Earth mata pelajaran
Geografi. Sampel kajian terdiri daripada 60 orang pelajar sekolah menengah tingkatan 1
SMK Benoni, Papar, Sabah. Kajian ini menggunakan kaedah kuasi eksperimen. Analisis data
dilakukan dengan menggunakan kaedah statistik asas iaitu kekerapan, peratus, min serta
ujian-t dan korelasi. Dapatan kajian mendapati tahap persepsi pelajar dalam kaedah
konvensional bagi pembelajaran Geografi berada di tahap yang rendah. Dengan itu,
wujudnya perbezaan skor di antara kumpulan yang menggunakan kaedah konvensional dan
kumpulan rawatan iaitu kumpulan yang menggunakan pengajaran menggunakan kaedah
Google Earth. Di dapati juga, penggunaan Google Earth dalam pembelajaran dapat menarik
minat pelajar. Seterusnya beberapa cadangan telah diusulkan kepada pihak Kementerian
Pendidikan Malaysia dan juga guru Geografi bagi memantapkan lagi perlaksanaan
pengajaran dan pembelajaran berasaskan ICT.
Katakunci: Pengajaran dan Pembelajaran ICT, Aplikasi Google Earth, Konvensional,
Minat

1.0 PENDAHULUAN
ICT sememangnya mempengaruhi serta memberi impak yang mendalam kepada peradaban
manusia pada zaman ini. Di negara ini tiga dasar penting yang digubal oleh Kementerian
Pendidikan Malaysia (2001) telah menjadi landasan dan hala tuju kepada penggunaan dan
pengintegrasian ICT secara komprehensif di semua sekolah awam. Dasar ini memberi
tumpuan kepada penguasaan ICT dalam kalangan pelajar, penggunaan ICT sebagai
kurikulum dan pengupayaan pengajaran dan pembelajaran serta kecekapan pengurusan
berasaskan ICT. Menurut sumber Pembangunan Pendidikan 2001-2010, salah satu punca
masalah ini adalah kerana majoriti guru masih menggunakan kaedah pengajaran
konvensional dan kurang menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) untuk
menarik minat dan tidak mampu untuk merangsang proses pembelajaran pelajar di dalam
mata pelajaran tersebut (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2001). Selain itu, strategi
pengajaran ini juga dikenal pasti menjadi punca para pelajar mempunyai tahap akademik
yang lemah atau berisiko untuk menjadi kurang bermotivasi terhadap pelajaran yang
dikendalikan secara tradisional (Zaidatol Akmaliah, 2005). Sebaliknya, kajian pengajaran dan
pembelajaran menggunakan ICT sering dikatakan lebih berkesan berbanding dengan kaedah
konvensional (Bagui, 1998; Flecther, 2003; Mayer, 2002). Kajian dalam dan luar negara juga
menunjukkan bahawa penggunaan ICT seperti perisian pengajaran multimedia, web dan lain-

266

Seminar Pendidikan Sejarah dan Geografi (UMS, 29 30 Ogos 2013)

lain yang berkaitan mampu meningkatkan minat dan pencapaian pelajar dalam akademik
(Jamalludin dan Zaidatun, 2003; Macaulay, 2002; Al-Mikhlafi, 2006). Dapatan kajian ini
seolah-olah memberi suatu penunjuk, andaian dan gambaran berita gembira bagi membantu
para pelajar yang berpencapaian rendah dalam akademik khususnya bagi mata pelajaran yang
penting seperti Geografi.

Bertitik tolak kepada masalah tersebut, maka kajian penggunaan aplikasi Google
Earth di sekolah menengah diketengahkan bagi melihat sejauh mana kesannya ke atas
prestasi pelajar bagi mata pelajaran Geografi. Dengan itu, penggunaan aplikasi Google Earth
dipercayai dapat memberi kesan yang mendalam kepada para pelajar. Ianya terbukti apabila
aplikasi Google Earth yang merupakan suatu aplikasi atau program Globe Virtual dapat
melihat seluruh dunia atau diibaratkan kita menjadi seorang penjelajah atau angkasawan yang
mampu menjelajahi alam semesta dalam waktu singkat. Pada aplikasi Google Earth ini juga,
pelajar dapat melihat pelbagai jenis rumah, warna kenderaan, bayangan manusia dan juga lalu
lintas. Dengan kata lain, dengan aplikasi Google Earth ini, pelajar mampu mengelilingi ke
seluruh dunia, bahkan pelajar juga boleh ke planet-planet lain apabila guru dan pelajar
memang benar-benar menguasai aplikasi tersebut. Dengan adanya aplikasi Google Earth,
pelajar dapat melihat dengan lebih jelas lokasi tempat tinggal mereka selain dapat menjelajah
daerah-daerah di sekitarnya. Selain itu, aplikasi Google Earth juga mampu menunjukkan
dengan lebih tepat tempat-tempat yang dikehendaki dengan menunjukkan gambar-gambar
terkini melalui foto satelit selain menggunakan foto 3 dimensi (3D). Kebaikan aplikasi
Google Earth ini juga membuatkan pelajar menjadi aktif disebabkan sifat ingin tahu mereka
adalah sangat tinggi dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu juga, aplikasi
Google Earth memudahkan pengajaran seseorang guru di mana seseorang guru tidak perlu
membawa peta yang berukuran besar atau glob yang berputar yang membuatkan pelajar
bosan dan hilang fokus. Kini, guru hanya membawa sebuah komputer bimbit dan broadband
serta menayangnya pada skrin Liquid Crystal Display (LCD) membolehkan pelajar melihat
bumi berputar secara realiti. Justeru itu, perubahan harus dilakukan dalam sistem pengajaran
dan pembelajaran di bilik-bilik darjah yang mana pendekatan konstruktivisme adalah
diperlukan kerana ia dapat memupuk minat serta menggalakkan pelajar lebih
bertanggungjawab terhadap pembelajaran di samping menerapkan amalan pembelajaran
sepanjang hayat. Berhubung dengan teknik pedagogi, Boyle (1997) melihat pengajaran
berasakan ICT adalah sebagai satu pendekatan yang terbaik digunakan oleh pendidik untuk
mempersembahkan bahan-bahan yang hendak disampaikan kepada pelajar.

2.0 TUJUAN KAJIAN


Tujuan penyelidik menjalankan kajian ini adalah untuk melihat sejauh mana tahap
penggunaan aplikasi Google Earth dalam meningkatkan prestasi pelajar mata pelajaran
Geografi di sekolah menengah. Aplikasi Google Earth dipilih sebagai medium dalam kajian
ini untuk melihat keberkesanan aplikasi ini terhadap prestasi pelajar di samping
mempelbagaikan kaedah pengajaran di mana bukan berfokuskan kaedah konvensional
semata-mata. Keadaan ini membolehkan kaedah pengajaran berpusatkan pelajar dapat
diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan kaedah ini juga, pengajaran
dan pembelajaran akan lebih kepada berorientasikan penemuan inkuiri di kalangan pelajar.

267

Seminar Pendidikan Sejarah dan Geografi (UMS, 29 30 Ogos 2013)

3.0 PENYATAAN MASALAH


Pengkaji berpendapat bahawa penggunaan ICT adalah cara terbaik untuk menarik perhatian
dan minat pelajar mempelajari ilmu Geografi. Dalam kajian ini, beberapa permasalahan telah
dikenal pasti sebagai panduan menjalankan kajian.

Antara masalah yang dapat dikenal pasti seperti penggunaan kaedah konvensional
yang masih diamalkan di kalangan guru khususnya di luar bandar. Namun demikian, terdapat
juga kemudahan yang disediakan oleh pihak sekolah kepada guru-guru tetapi penggunaannya
masih tidak dioptimumkan. Ianya disokong oleh Zoraini (2005) yang menyatakan terdapat
87% sekolah menengah di Malaysia memiliki komputer dan hanya 65% sahaja guru-guru
yang tahu menggunakannya. Selain itu, kaedah sedia ada yang digunakan guru-guru di
sekolah juga kurang pelbagai diintegrasikan. Didapati guru-guru masih kurang
mengintegrasikan ICT dalam pengajaran mereka agar pengajaran lebih menarik dan
berkesan. Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (2005), antara tahun 1996 hingga 2000,
hanya 30% daripada guru-guru yang telah dilatih dalam ICT dan daripada mereka yang
terlatih ini, hanya sebilangan kecil sahaja yang boleh mengintegrasikan ICT dalam
pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Walaupun terdapat juga guru-guru yang
mengintegrasikan ICT dalam pengajaran tetapi peneguhan konsep yang dilakukan adalah
lemah.

Di samping itu, kaedah sedia ada juga lebih kepada berpusatkan guru dan kurang
berorientasikan kepada penemuan inkuiri. Menurut Ee Ah Meng (2005) pembelajaran
konvensional lebih menjurus kepada guru dan pelajar amat popular di kebanyakan sekolah.
Mengikut kaedah tersebut, guru dijadikan sumber ilmu semata-mata oleh pelajar. Perubahan
masa menyebabkan kaedah pembelajaran sedemikian tidak lagi sesuai untuk digunakan,
sebaliknya cara yang lebih sesuai adalah dengan menukar kaedah pengajaran dengan
menjadikan guru sebagai fasilitator atau pemudah cara dalam menjalankan proses pengajaran
dan pembelajaran mereka. Kaedah ini juga diperkenalkan oleh Pusat Perkembangan
Kurikulum (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2005), di mana proses pengajaran dan
pembelajaran adalah berpusatkan kepada murid. Masalah lain yang dapat dikenal pasti juga
seperti kaedah sedia ada menyebabkan pelajar kurang berminat bahagian Kemahiran
Geografi. Menurut Kastiman (2005), sebanyak 50% daripada pelajar yang dikaji paling tidak
digemari bidang dan topik kemahiran Geografi. Ia berlaku disebabkan kaedah yang
digunakan oleh guru-guru telah ketinggalan yang kurang menerapkan unsur-unsur pengajaran
berorientasikan ICT. Di samping itu, peta-peta yang digunakan oleh guru-guru adalah peta
lama dan kurang menarik.

4.0 OBJEKTIF KAJIAN


Secara umumnya, matlamat kajian ini ialah untuk melihat sejauh manakah penggunaan
aplikasi Google Earth dalam meningkatkan prestasi pelajar mata pelajaran Geografi di
sekolah menengah. Secara khususnya, objektif kajian ini adalah seperti berikut.

a. Mengenal pasti tahap persepsi pelajar dalam kaedah konvensional bagi pembelajaran
Geografi di Sekolah Menengah.
b. Mengenal pasti perbezaan tahap penguasaan Topik Bentuk Muka Bumi Tingkatan 1
antara kumpulan kawalan dan rawatan.
c. Mengenal pasti hubungan penggunaan aplikasi Google Earth terhadap minat pelajar
dalam mata pelajaran Geografi.

268

Seminar Pendidikan Sejarah dan Geografi (UMS, 29 30 Ogos 2013)

5.0 HIPOTESIS
Beberapa hipotesis telah dibangunkan bagi menjawab persoalan yang akan dikaji untuk
mengetahui penggunaan aplikasi Google Earth dalam meningkatkan prestasi pelajar mata
pelajaran Geografi di sekolah menengah.

H0 1 : Tidak terdapat perbezaan min skor yang signifikan dalam min ujian pra dan pasca
antara kumpulan kawalan bagi topik Bentuk Muka Bumi Tingkatan 1.
H0 2 : Tidak terdapat perbezaan min skor yang signifikan dalam min ujian pra dan pasca
antara kumpulan rawatan bagi topik Bentuk Muka Bumi Tingkatan 1.
H0 3 : Tidak terdapat hubungan yang signifikan dalam penggunaan aplikasi Google Earth
terhadap minat pelajar dalam mata pelajaran Geografi.

6.0 SOROTAN KAJIAN


Sesuatu aplikasi ICT atau ABM merupakan faktor penting dalam menentukan sesuatu
pembelajaran serta mewujudkan rangsangan keinginan pelajar untuk mengetahui sesuatu dan
turut menjadikan pembelajaran lebih baik dan menarik. Aplikasi ICT merupakan bahan yang
digunakan oleh guru untuk membantunya dalam menyampaikan isi pelajaran di dalam kelas.
Peralatan ini tidak terhad kepada buku teks, papan putih dan gambar-gambar sahaja tetapi
merangkumi segala benda yang digunakan dalam pelajaran yang boleh dilihat, didengar,
dialami dan sebagainya. Aplikasi ICT juga merupakan rangsangan tambahan yang disertakan
bersama-sama isi pelajaran sebagai tujuan membantu menjelaskan lagi penerangan guru. Ia
dapat mengelakkan berlakunya salah faham dalam kalangan pelajar mengenai topik yang
dipelajari (Zulkafli, 1997). Menurut Robiah dan Nor Sakinah (2007), pengajaran berasaskan
ICT berupaya meningkatkan pencapaian dalam pengajaran. Pelajar didapati menggunakan
pemikiran pada aras tinggi dan tidak hanya menghafal fakta-fakta sahaja serta bekerjasama
antara satu sama lain semasa menyelesaikan masalah dan seterusnya lebih berdikari dan
bertanggungjawab terhadap pembelajaran. Mereka tidak mengharapkan semua aktiviti
pengajaran digerakkan oleh guru semata-mata. Dalam kajian yang telah dijalankan di sekolah
menengah luar bandar iaitu di kawasan Bentong, Pahang mendapati analisis ujian-t
menunjukkan nilai p adalah 0.002 yang menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan
dalam pencapaian tugasan membentuk laman web antara kumpulan rawatan dalam mata
pelajaran literasi komputer manakala kumpulan kawalan menggunakan kaedah tradisional.

Melalui kajian yang telah dilakukan oleh Aszoura (2007) di sebuah sekolah menengah
kebangsaan yang dikategorikan sebagai sekolah luar bandar di negeri Selangor mengenai
Keberkesanan Kaedah Pembelajaran Berbantukan Komputer Terhadap Peningkatan Tahap
Penguasaan Konsep Sains dalam Tajuk Sel Sains mendapati terdapat perbezaan pencapaian
yang ketara antara skor min bagi kumpulan rawatan lebih tinggi iaitu 5.33 berbanding
kumpulan kawalan hanya memperoleh skor min 4.09 bagi ujian yang telah dijalankan. Dalam
kajian ini juga menunjukkan apabila pembelajaran ICT digunakan di dalam kelas turut
memberi kesan yang positif ke atas minat pelajar di mana min yang diperoleh adalah 4.27
iaitu min yang sangat tinggi selepas kajian dilakukan. Mengikut kajian Jariah (2008)
mendapati kaedah pembelajaran berasaskan projek multimedia dan ICT menunjukkan pelajar
amat bermotivasi tinggi dan menunjukkan perubahan tingkah laku yang amat positif apabila
diberi peluang mengembangkan idea, minat dan kebolehan ketika sesi pengajaran dan
pembelajaran. Pelajar begitu teruja semasa membuat penyampaian laporan tugasan. Mereka
dapat menyampaikan hasil tugasan dengan penuh keyakinan dan bersemangat tinggi. Peluang
ini digunakan sepenuhnya oleh semua pelajar menunjukkan kebolehan dan kemampuan

269

Seminar Pendidikan Sejarah dan Geografi (UMS, 29 30 Ogos 2013)

kumpulan masing-masing dengan hasil yang baik dan menarik minat rakan lain untuk
mengikutinya.
Penggunaan aplikasi ICT atau ABM sememangnya sangat berguna di dalam bilik
darjah kerana penggunaan ABM ini membolehkan pelajar mengetahui sesuatu dengan lebih
abstrak (Clark dan Manthis, 2000). Secara realitinya, ABM berperanan untuk menjelaskan
idea kepada pelajar. Contohnya, aplikasi ArcGIS digunakan untuk memaparkan kawasan-
kawasan taburan hutan, kependudukan dan lain-lain dengan lebih jelas dan terkini berbanding
kaedah konvensional yang menggunakan buku teks di mana data-data yang digunakan adalah
data lama yang tidak dikemas kini. Penggunaan aplikasi ICT secara integrasi juga lebih
mudah apabila pengajaran dan pembelajaran menggunakan tajuk-tajuk berkaitan kemahiran
geografi kerana ia memberi ruang kepada pelajar untuk lebih meneroka dengan lebih
mendalam mengenai isi pengajaran yang disampaikan oleh guru (Watson, 1993). Dengan itu,
kajian Margerison dan Walker (1990) mendapati bahawa penggunaan aplikasi ICT dalam
proses pengajaran dan pembelajaran membawa banyak kebaikan berbanding dengan kaedah
konvensional. Ianya berlaku apabila pelajar-pelajar dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya
kepada pelajaran kerana paparan pada skrin LCD yang mempunyai pelbagai unsur animasi
menyebabkan pelajar mudah tertarik dengan pengajaran guru dalam kelas dan pelajar juga
tidak terhadap kepada grafik statik yang membosankan pada buku teks semata-mata. Ianya
turut disokong Oldham (2003) yang menyatakan penggunaan ICT berupaya menunjukkan
konsep abstrak secara visual dan seterusnya membantu pelajar memahami konsep yang
abstrak tersebut menggunakan model, simulasi, permainan, video dan penjelajahan
multimedia.

Peningkatan pencapaian pelajar juga turut dipengaruhi oleh penggunaan ICT secara
integrasi oleh guru ketika di dalam kelas. Rosenberg (2001) menjelaskan integrasi ICT dalam
pengajaran dan pembelajaran memberikan peluang kepada guru untuk memperkenalkan
pembelajaran secara kontekstual kepada murid-murid. Pembelajaran ini memfokuskan
pembelajaran dalam konteks aktiviti masalah sebenar dan meletakkan pelajar sebagai
penyelesai masalah. Melalui penggunaan ICT pelajar dapat menguasai pelbagai kemahiran
manipulatif seperti kemahiran pemprosesan perkataan, pangkalan data dan pembentangan
dengan menggunakan alat-alat teknologi. Kemahiran dan penguasaan dalam teknologi akan
melahirkan pelajar yang lebih bersedia dan yakin untuk memasuki alam pekerjaan. Dalam
satu kajian yang dijalankan oleh Software and Information Industry Association (2000)
menunjukkan pelajar yang menggunakan ICT sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran
lebih tertarik untuk mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan oleh guru
kerana merasakan mereka lebih berjaya di sekolah dalam menguasai mata pelajaran, lebih
bermotivasi dan mempunyai peningkatan dalam keyakinan kendiri dan harga diri. Dalam
konteks pembelajaran mata pelajaran Geografi, pelajar akan lebih mudah memahami
mengenai aspek bentuk muka bumi dengan bantuan Google Earth dan lebih memahami
tentang kepentingan kewujudan sesuatu ciri fizikal dalam mata pelajaran Geografi.

7.0 REKABENTUK KAJIAN


Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan kaedah eksperimen yang berasaskan kuasai
eksperimen yang melibatkan dua kelas tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan
Benoni, Papar, Sabah iaitu kumpulan rawatan yang menggunakan aplikasi Google Earth
dalam sesi pembelajaran manakala kumpulan kawalan pula menggunakan kaedah
konvensional semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Kedua-dua
kumpulan ini diberi ujian pra dan pasca untuk melihat perbezaan skor min dan kekerapan.

270

Seminar Pendidikan Sejarah dan Geografi (UMS, 29 30 Ogos 2013)

Kajian ini juga turut menggunakan kaedah tinjauan di mana penggunaan borang soal
selidik diedarkan kepada responden-responden di dalam kumpulan rawatan sahaja. Kaedah
ini digunakan untuk mengkaji sisihan piawai antara min kumpulan rawatan dan mengkaji
minat pelajar dalam penggunaan aplikasi Google Earth terhadap pencapaian pelajar dan
dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS). Sampel
dalam kajian ini sebanyak 60 orang pelajar yang terdiri daripada 30 orang pelajar yang
dianggap sebagai kumpulan eksperimen dan sebuah kelas lagi terdiri daripada 30 orang
pelajar dianggap sebagai kumpulan kawalan. Bagi memastikan kesahan dan
kebolehpercayaan instrumen, kajian rintis telah dijalankan. Sampel untuk kajian rintis
dijalankan ke atas 30 orang pelajar yang diberikan ujian selama satu jam serta 10 orang
pelajar tingkatan satu bagi tujuan soal selidik yang telah dilaksanakan di SMK Tandek, Kota
Marudu, Sabah.

8.0 HASIL DAPATAN KAJIAN


Keputusan ujian pra dan ujian pasca dikumpulkan daripada kumpulan kawalan dan kumpulan
rawatan dan dianalisis dengan menggunakan ujian-t dalam perisian Statistical Package for
Social Science (SPSS) 17.0 untuk mengkaji hipotesis kajian. Hasil kajian menunjukkan sama
ada hipotesis nul (H0) ditolak sekiranya nilai p<0.05 atau diterima sekiranya nilai p>0.05.
Terdapat 3 hipotesis dalam kajian ini dan dinyatakan berserta dengan hasil analisis dapatan
kajian dengan menggunakan ujian-t dan korelasi adalah seperti berikut:

8.1 H01: Tidak Terdapat Perbezaan Min Skor yang Signifikan dalam Min Ujian Pra
dan Pasca Antara Kumpulan Kawalan Bagi Topik Bentuk Muka Bumi
Tingkatan 1

Penyelidik telah membuat hipotesis nul yang pertama (H01) dalam kajian ini, iaitu tidak
terdapat perbezaan min skor yang signifikan dalam min ujian pra dan pasca antara kumpulan
kawalan bagi topik Bentuk Muka Bumi Tingkatan 1. Bagi menguji hipotesis nul yang
pertama (H01), keputusan ujian pra dan ujian pasca bagi kumpulan kawalan di kumpul dan
kemudian dianalisis dengan menggunakan ujian-t berpasangan (paired t-test). Jadual 8.1
menunjukkan perbezaan antara min skor yang signifikan dalam min ujian pra dan pasca
antara kumpulan kawalan bagi topik Bentuk Muka Bumi Tingkatan 1.

Jadual 8.1 : Analisis Ujian-t Berpasangan (Paired T-Test) Bagi Min Ujian Pra Dan
Pasca Antara Kumpulan kawalan Bagi Topik Bentuk Muka Bumi
Kumpulan Min sd t df Sig. (2 hujung)
Ujian Pra dan
0.600 0.621 5.288 29 0.00
Ujian Pasca

Daripada jadual 8.1, nilai min ujian bagi kedua-dua ujian ini iaitu ujian pra dan ujian
pasca bagi kumpulan kawalan ialah 0.600. Bagi sisihan piawai pula, ujian pra dan ujian pasca
dapat diperhatikan bagi kumpulan kawalan iaitu sebanyak 0.621. Berdasarkan analisis data
daripada jadual 4.13, nilai signifikan yang diperoleh ialah 0.00, iaitu lebih kecil daripada aras
signifikan p=0.05, hipotesis nul pertama (H01), ditolak. Ini bermakna sememangnya terdapat

271

Seminar Pendidikan Sejarah dan Geografi (UMS, 29 30 Ogos 2013)

perbezaan yang signifikan antara min ujian pra dan pasca antara kumpulan kawalan bagi
topik Bentuk Muka Bumi Tingkatan 1.
8.2 H02: Tidak Terdapat Perbezaan Min Skor yang Signifikan dalam Min Ujian Pra
dan Pasca Antara Kumpulan Rawatan Bagi Topik Bentuk Muka Bumi
Tingkatan 1

Hipotesis nul yang kedua (H02) dalam kajian ini, iaitu tidak terdapat perbezaan min skor yang
signifikan dalam min ujian pra dan pasca antara kumpulan rawatan bagi topik Bentuk Muka
Bumi tingkatan 1. Bagi menguji hipotesis nul yang kedua (H02), keputusan ujian pra dan ujian
pasca bagi kumpulan rawatan di kumpul dan kemudian dianalisis dengan menggunakan
ujian-t berpasangan (paired t-test). Jadual 8.2 menunjukkan perbezaan antara min skor yang
signifikan dalam min ujian pra dan pasca antara kumpulan rawatan bagi topik Bentuk Muka
Bumi tingkatan 1.

Jadual 8.2 : Analisis Ujian-t Berpasangan (Paired T-Test) Bagi Min Ujian Pra Dan
Pasca Antara Kumpulan Rawatan Bagi Topik Bentuk Muka Bumi
Kumpulan Min sd t df Sig. (2 hujung)
Ujian Pra dan
1.433 0.817 9.607 29 0.00
Ujian Pasca

Daripada jadual 8.2, nilai min ujian bagi kedua-dua ujian ini iaitu ujian pra dan ujian
pasca bagi kumpulan rawatan ialah 1.433. Bagi sisihan piawai pula, ujian pra dan ujian pasca
dapat diperhatikan bagi kumpulan rawatan iaitu sebanyak 0.817. Berdasarkan analisis data
daripada jadual 4.14, nilai signifikan yang diperoleh ialah 0.00, iaitu lebih kecil daripada aras
signifikan p=0.05, hipotesis nul kedua (H02), ditolak. Ini bermakna sememangnya terdapat
perbezaan yang signifikan antara min ujian pra dan pasca antara kumpulan rawatan bagi topik
Bentuk Muka Bumi tingkatan 1 dan ia menggambarkan penggunaan aplikasi Google Earth
dalam topik ini telah memberi kesan yang positif iaitu dapat meningkatkan kefahaman dan
pencapaian pelajar.

8.3 H03: Tidak Terdapat Hubungan yang Signifikan dalam Penggunaan Aplikasi
Google Earth Terhadap Minat Pelajar Dalam Mata Pelajaran Geografi.

Hipotesis nul yang ketiga (H03) dalam kajian ini, iaitu tidak terdapat hubungan yang
signifikan dalam penggunaan aplikasi Google Earth terhadap minat pelajar dalam mata
pelajaran Geografi. Bagi menguji hipotesis nul yang ketiga (H03), borang soal selidik di
kumpul bagi kumpulan rawatan dan kemudian dianalisis dengan menggunakan kaedah
korelasi. Jadual 8.3 menunjukkan hubungan antara penggunaan aplikasi Google Earth
terhadap minat pelajar dalam mata pelajaran Geografi.

272

Seminar Pendidikan Sejarah dan Geografi (UMS, 29 30 Ogos 2013)

Jadual 8.3 : Analisis Korelasi Hubungan antara Penggunaan Aplikasi Google Earth
Terhadap Minat Pelajar dalam Mata Pelajaran Geografi
Hubungan Antara Pemboleh Ubah r Sig. (2 hujung)
Penggunaan aplikasi Google Earth - Minat pelajar
0.529 0.003
mata pelajaran Geografi

Jadual 8.3 memaparkan keputusan ujian korelasi yang mendapati r=0.529 dengan nilai
p<0.003. Ini menunjukkan terdapatnya hubungan yang signifikan dalam penggunaan aplikasi
Google Earth terhadap minat pelajar dalam mata pelajaran Geografi dan hipotesis nul ketiga
(H03), ditolak disebabkan nilai p lebih besar daripada aras signifikan iaitu p=0.05. Nilai
positif r=0.529 juga menjelaskan terdapatnya hubungan positif (sederhana kuat) yang
signifikan di antara penggunaan aplikasi Google Earth terhadap minat pelajar dalam mata
pelajaran Geografi. Bahkan, nilai ke signifikan yang kurang daripada 0.05 ini menerangkan
bahawa kebarangkalian berlakunya korelasi secara tidak sengaja atau secara peluang adalah
amat rendah sekali atau mungkin tidak akan berlaku sama sekali.

9.0 PERBINCANGAN
Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat juga perbezaan yang signifikan dalam ujian
pra dalam kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan. Walau bagaimanapun perbezaannya
purata markah adalah sedikit iaitu 2.93 markah. Perkara ini berlaku disebabkan pada
permulaan, kesemua pelajar tidak mempunyai pengetahuan awal mengenai topik Bentuk
Muka Bumi. Justeru itu, semasa ujian pra, pelajar hanya dapat menjawab soalan-soalan yang
hanya berada pada aras rendah iaitu aras pengetahuan. Ini disokong oleh Saridah (2006)
mendapati min kumpulan eksperimen adalah lebih tinggi berbanding kumpulan kawalan.
Namun perbezaannya tidak begitu jauh kerana kumpulan kawalan dan kumpulan eksperimen
mempunyai aras kecerdasan yang hampir sama. Kajian Sin Chow Lai (2006) dalam kajiannya
iaitu Pendekatan Koperatif Model STAD Terhadap Pelajar Tingkatan 1 dalam Topik
Nombor Negatif turut menyatakan bahawa purata skor markah yang diperolehnya pada
kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan bagi ujian pra juga tidak begitu ketara disebabkan
kedua-dua kumpulan pelajar menjawab soalan yang diberikan berdasarkan pengetahuan sedia
ada. Dengan ini dapat disimpulkan bahawa, pelajar bagi kumpulan kawalan dan kumpulan
rawatan ketika menjawab soalan yang diberikan adalah mempunyai pengetahuan dan
pengalaman yang hampir sama. Ia disokong oleh Khairuddin dan Normah (2011) melalui
dapatan mereka peroleh mendapati kedua-dua kumpulan memperoleh skor min yang hampir
sama bagi ujian pra walaupun kumpulan rawatan memperoleh skor min lebih tinggi iaitu 5.5
berbanding skor min kumpulan kawalan iaitu 5.6. Ini membuktikan bahawa kedua-dua
kumpulan seimbang dari segi pencapaian dan kebolehan.

Bagi kumpulan rawatan pula, hasil kajian menunjukkan terdapat perbezaan yang
signifikan dalam ujian pasca antara kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan. Skor purata
markah bagi ujian pasca rawatan melebihi purata markah ujian pasca bagi kumpulan
kawalan. Ini jelas menunjukkan keberkesanan penggunaan aplikasi Google Earth terhadap
pencapaian pelajar dalam subtopik Bentuk Muka Bumi berbanding penggunaan kaedah
konvensional dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Dengan penggunaan
aplikasi Google Earth yang menarik berupaya meningkatkan prestasi pelajar. Dapatan ini
selari dengan dapatan kajian Robiah dan Nor Sakinah (2007) yang menyatakan pengajaran
berasaskan ICT berupaya meningkatkan pencapaian dalam pengajaran. Mereka mendapati

273

Seminar Pendidikan Sejarah dan Geografi (UMS, 29 30 Ogos 2013)

penggunaan aplikasi ICT ketika di dalam kelas membolehkan pelajar berfikir di tahap aras
tinggi dan tidak hanya menghafal fakta-fakta yang diberikan semata-mata. Rosenberg (2001)
turut menjelaskan integrasi ICT dalam pengajaran dan pembelajaran memberikan peluang
kepada guru untuk memperkenalkan pembelajaran secara kontekstual kepada murid-murid.
Melalui penggunaan ICT juga, pelajar dapat menguasai pelbagai kemahiran manipulatif
seperti kemahiran pemprosesan perkataan, pangkalan data dan pembentangan dengan
menggunakan alat-alat teknologi.

Daripada analisis data yang dibuat jelas juga menunjukkan sebahagian besar pelajar
kumpulan rawatan memberi maklum balas yang positif dan memberangsangkan terhadap
penggunaan aplikasi Google Earth semasa proses pengajaran dan pembelajaran pada
subtopik Bentuk Muka Bumi. Analisis data dibuat berasaskan min yang telah di kumpul
daripada borang soal selidik dan ujian pencapaian ke atas pelajar kumpulan kawalan dan
rawatan. Hasil dapatan soal selidik menunjukkan aplikasi Google Earth sememangnya dapat
menarik minat pelajar dalam mempelajari subtopik Bentuk Muka Bumi. Dapatan kajian ini
selari dengan dapatan kajian oleh Norazah dan Chai Hong (2009) yang melihat dengan
penggunaan aplikasi berasaskan Web-WebQuest dapat menghasilkan persekitaran
pembelajaran yang efektif dalam pembelajaran. Secara tidak langsung ia membuatkan pelajar
berasa seronok sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran dan menarik minat pelajar di
dalam kelas. Selain itu, di dapati, 96.6% pelajar bersetuju penggunaan multimedia menarik
minat pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan 83.3% pelajar pula mudah
memahami isi pengajaran yang diajar oleh guru serta, 86.7% pelajar yakin penggunaan
multimedia membantu meningkatkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan. Melalui kajian
Aszoura (2007) mendapati pelajar lebih berminat dan tertarik dengan kaedah penggunaan
ICT sebagai satu medium pembelajaran disebabkan wujudnya paparan grafik yang berwarna-
warni pada papan skrin LCD berbanding kaedah melukis atau grafik statik di papan putih
semata-mata. Ianya turut disokong oleh Jariah (2008) mendapati kaedah pembelajaran
berasaskan projek multimedia dan ICT menunjukkan pelajar amat bermotivasi tinggi dan
menunjukkan perubahan tingkah laku yang amat positif apabila diberi peluang
mengembangkan idea, minat dan kebolehan ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.

10. KESIMPULAN
Daripada kajian yang telah dijalankan, boleh dirumuskan bahawa penggunaan aplikasi
Google Earth dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Geografi yang
bersubtopik Bentuk Muka Bumi berupaya menarik minat pelajar mempelajari topik tersebut.
Di samping itu, dengan penggunaan aplikasi tersebut sebagai alat bantu mengajar juga dapat
meningkatkan pencapaian pelajar kumpulan rawatan yang terbukti pada ujian pasca. Secara
keseluruhannya, kajian ini dianggap berjaya kerana ketiga-tiga hipotesis yang dikemukakan
dapat dibuktikan kesahannya. Ini kerana responden yang terlibat dalam kumpulan rawatan
menunjukkan peningkatan dalam ujian pasca yang diberikan. Selari dengan kajian-kajian
lepas, proses pengajaran dan pembelajaran yang berpandukan aplikasi ini dapat menyediakan
suasana pembelajaran yang seronok dan seterusnya memotivasikan pelajar supaya menjadi
lebih semangat dan cenderung untuk belajar bersungguh-sungguh. Akhir sekali, diharap
bahawa maklumat-maklumat yang terdapat dalam penyelidikan ini dapat dimanfaatkan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri, pentadbir sekolah dan guru-guru
dalam usaha untuk meningkatkan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Selain itu, diharap juga, hasil kajian ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi meningkatkan
pencapaian pelajar pada masa akan datang.
274

Seminar Pendidikan Sejarah dan Geografi (UMS, 29 30 Ogos 2013)

RUJUKAN
Al-Mikhlafi, A.G. 2006. Effectiveness of interactive multimedia environment on language
th
acquisition skills of 6 grade students in the United Arab Emirates. International
Journal Media. 33(4):427-441.

Aszoura Muhammed Salleh. 2007. Keberkesanan Kaedah Pembelajaran Berbantukan


Komputer Terhadap Peningkatan Penguasaan Konsep Sains dalam Tajuk Sel untuk
Sains Tingkatan Satu. Tesis Sarjana Muda Pendidikan Sains. Univerisiti Terbuka
Malaysia

Boyle, T. 1997. Design for Multimedia Learning. London: Prentice Hall

Bourke, Rigby and Burden. 2000. Better Practice in School Attendance: Improving the
School Attendance of Indigenous Students. DETYA: Canberra

Brenda Watson. 1993. The Effective Teaching of Religious Education (1st Ed) :Pearson
Education

Clark, D.C. and Manthis, P.M. 2000. Modelling Mitosis and Meiosis. A Problem Solving
Activity: The American Biology Teacher. 62:204-206

Ee Ah Meng. 2005. Pedagogi Kaedah Am Mengajar. Petaling Jaya: Amiza Publising Sdn
Bhd.

Jamalluddin Harun dan Zaidatun Tasir. 2003. Multimedia dalam Pendidikan. Bentong: PTS
Publication.

Jariah Siran. 2008. Pembelajaran Berasaskan Projek Multimedia: Sebagai Satu Kaedah
Meningkatkan Minat, Sikap Dan Pencapaian dan Pelajar Terhadap Mata Pelajaran
Pengajian Perniagaan. Sintok: Universiti Utara Malaysia.

Kastiman Ahmad. 2005. Belajar Teknik Belajar. Kuala Lumpur: PTS Publication and
Distributor Sdn. Bhd.

Kementerian Pendidikan Malaysia. 2001. Pembangunan Pendidikan 2001-2010:


Perancangan Bersepadu Penjana Kecermelangan Pendidikan. Putrajaya:
Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kementerian Pelajaran Malaysia. 2006. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 2010.
Putrajaya: Kementerian Pelajaran Malaysia

Khairuddin Nisa, Normah Dali, Norasikin Fabil dan Ramlah Mailok. 2011. Perbandingan
Penggunaan Peta Pintar RG dan Penggunaan Peta Topografi Terhadap Pencapaian
Pelajar dalam Topik Rujukan Grid. Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia. 1(3)
Macaulay, M. 2002. Embedding Computer Based Learning With Learning Aids: A
Preliminary Study. International Journal Of Instructional Media. 29(3):305-315.

275

Seminar Pendidikan Sejarah dan Geografi (UMS, 29 30 Ogos 2013)

Norazah Mohd Nordin dan Ngau Chai Hong. 2009. Pembangunan Dan Penilaian Bahan
Pengajaran Dan Pembelajaran Berasaskan Web Webquest Bagi Mata Pelajaran
ICT (Development and Evaluation Of Webquest For Information and
Communication Technology Subject). Jurnal Pendidikan Malaysia. 34(1):111129

Oldham, M. 2003. Cognitive Style and Attitudes Towards Using Online Learning and
Assessment Methods. Electronic Journal of E-Learning. 1(1):2128.
Pusat Perkembangan Kurikulum. 2005. Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi
(ICT) Dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Kuala Lumpur: Kementerian
Pendidikan Malaysia

Robiah Sidin dan Nor Sakinah Mohamad. 2007. ICT dalam Pendidikan: Prospek dan Cabaran
dalam Pembaharuan Pedagogi. Jurnal pendidikan. 32:139-152
Rosenberg, J.M. 2001. E-learning: Strategies For Delevering Knowledge In The Digital
Age. U.S.A: McGraw-Hill

Saridah Hussein. 2006. Keberkesanaan Penggunaan Perisian Multimedia dalam Pengajaran


dan Pembelajaran Lokus Dalam Dua Matra Terhadap Pelajar Tingkatan Dua.
Universiti Terbuka Malaysia (OUM): Kuala Lumpur

Sin Chow Lai. 2006. Pendekatan Koperatif Model STAD Terhadap Pelajar Tingkatan Satu
dalam Topik Nombor Negatif. (Kajian Berasaskan Sekolah). Laporan Kajian.
Universiti Terbuka Malaysia (OUM): Kuala Lumpur

Software and Information Industry Association. 2000. Research Report On The Effectiveness
Of Technology In Schools. Executive Summary
http://Www.Siia.Net/Sharedcontent/Store/E-Edtech-Sum00. Diakses pada 20 Mac
2013

Zaidatol Akmaliah. 2005. Memperkasa Pendidikan Pelajar Berisiko. Serdang: Universiti


Putra Malaysia

Zoraini. 2005. Kajian Perbandingan Kesedaran, Pengetahuan dan Penggunaan ICT di


Kalangan Guru-guru Sekolah Bandar dan Luar Bandar. Prosiding Seminar
Kebangsaan Profesion Perguruan. 1:150-158.

Zulkafli Kamaruddin. 1997. Potensi Guru Merealisasikan Kecemerlangan Matematik di


Sekolah Rendah. Journal Guru ke Arah Pembinaan Ilmu, Keluaran 9. Kuala
Lumpur: Jawatankuasa Pengelola Hari Guru Peringkat Kebangsaan

276

Anda mungkin juga menyukai