Anda di halaman 1dari 25

Bahagian Keempat: Tafsiran Ayat-ayat 45-59

Konsep Hidup dan Kiamat


Mengapa kita mahukan Allah dan iman dalam hidup kita ini?
Dan mengapa kita mahukan Allah dan iman dalam
pergerakan amal harian kita? Allah menjelaskan bandingan
ini di dalam ayat-ayat 45 hingga 59 seterusnya untuk
renungan kita.

Pertama:
Hidup di dunia ini seperti air yang membasahi bumi, yang
menyuburkan tanah, tetapi akhirnya bila datang kemarau,
jadilah ia kering. Maka semua yang telah hidup itu akan
menjadi kering dan hancur, terbang ditiup angin. Yang tinggal
hanyalah kekuasaan Allah. Bagi yang beriman, iman itulah
yang menjadi temannya, dan bagi yang tidak beriman, tiada
sesiapa akan bersamanya. Antara anak yang ramai dan harta
benda yang banyak, jika tidak diikuti oleh amal soleh, maka
tiadalah tinggalan soleh yang boleh dijadikan hasil yang baik
di sisi Allah.

Kedua:
Tinggalan amal soleh yang terbaik, mempunyai kebajikan
yang tinggi di sisi Allah dan menjadi cita-cita kepada yang
beriman. Untuk apa amal soleh itu perlu menjadi tinggalan
kita? Jawabnya, kerana pada akhirnya apabila berlaku
Kiamat, gunung-ganang akan hancur berterbangan dan
semua manusia di waktu itu akan dihimpunkan di Padang
Mahsyar, untuk menghadap Allah di hadapan
mahkamahNya, diperiksa semua amal baik dan jahat mereka,
dan yang beramal soleh akan mendapat pahala yang besar.

1
Inilah maksud ayat-ayat berikut:

Wahai Muhammad,
dan kemukakanlah kepada mereka satu lagi misal perbandingan iaitu:
KEHIDUPAN DUNIA ini samalah seperti air hujan
yang telah Kami turunkan dari langit;
ia turun dan kemudian bercampur baur dengan tanah-tanih
(menyebabkan kesuburan tanah dan hasil yang hijau).
Kemudian bila berlaku kekeringan air itu,
maka semuanya akan kering hancur dan terbang ditiup angin.
Ingatlah! Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu. (45)
Harta benda dunia, dan anak-pinak
hanya sekadar perhiasan hidup;
dan AMAL-AMAL SOLEH yang kekal faedahnya kepada hidup ini
dan paling berkebajikan di sisi Allah dari segi pahala balasannya,
itulah sebaik-baik asas yang memberi harapan. (46)

2
Iaitu, ingatlah pada satu hari nanti (hari Kiamat),
akan Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang,
dan pada masa itu engkau akan dapat melihat
bumi ini rata dan terdedah nyata;
dan Kami himpunkan mereka semua (di Padang Mahsyar),
dan tidak seorang pun yang ketinggalan. (47)
Mereka tetap akan dibawa menghadap Tuhanmu, Allah,
berbaris-baris seraya dikatakan:
“Kamu semua sekarang ini telah datang menemui Kami
dalam bentuk ciptaan sepertimana kamu dijadikan mula-mula dulu,
bahkan kamu dahulu menyangka
yang Kami tidak akan mengadakan waktu sedemikian rupa
(untuk dihimpunkan kamu semua)
seperti yang dijanjikan.” (48)

Tafsiran:
Ibnu Kathir mencatitkan bahawa banyak ayat-ayat di dalam
Al-Qur’an yang membandingkan manusia dengan air hujan.
Adanya air hujan memberi nilai kepada kehidupan dan
menghijaukan tanaman. Apabila kering, maka kekeringanlah
daun-daun dan tumbuh-tumbuhan itu dan menjadi ringan
diterbangkan angin.

Di antaranya:
a) Dalam Surah Yunus, Ayat 24. Firman Allah:

3
Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia
hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit,
lalu tumbuhlah dengan suburnya tanaman-tanaman di bumi
yang terdiri dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang;
bercampur-baur, berpaut-pautan disebabkan oleh adanya air itu,
hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya
dan terhias cantik, dan penduduknya pun menyangka
mereka telah dapat menguasai dan mengambil hasil dari tanaman itu
(kerana semua itu adalah hasil kerja mereka).
Maka datanglah perintah Kami di waktu malam atau pada siang hari,
menimpa mereka dengan bencana,
lalu Kami jadikannya hancur-lebur,
seolah-olah ia tidak pernah ada sebelum ini.
Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu
bagi kaum yang mahu berfikir dan mengambil iktibar darinya.
(Yunus (10): Ayat 24)
b) Dalam Surah Az-Zumar (39), Ayat 21. Firman Allah:

Tidakkah engkau memerhatikan,


bahawa Allah menurunkan hujan dari langit,
lalu dialirkannya dan menjadi matair-matair di bumi,
kemudian Dia menumbuhkan dengan air itu
akan tanam-tanaman yang berbagai jenis dan berbagai warnanya,
dan kemudian tanaman itu tumbuh dengan segar menghijau
(hingga ke satu masa tertentu).
Selepas itu engkau melihatnya berubah warna
menjadi kekuning-kuningan,
kemudian menjadikannya hancur bersepai?
Sesungguhnya, segala yang disebutkan itu menjadi peringatan
yang menyedarkan orang-orang yang berakal sempurna.
(Az-Zumar (39): Ayat 21)
4
c) Dalam Surah Al-Hadid (57), Ayat 20. Firman Allah:

Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu


hanyalah bawaan hidup yang berupa semata-mata permainan
dan hiburan yang melalaikan, serta perhiasan,
juga bertujuan untuk bermegah-megah di antara kamu,
serta berlumba-lumba memperbanyakkan
harta benda dan anak pinak;
semuanya ini dibandingkan seperti air hujan
yang menumbuhkan tanaman menjadi hijau subur,
memberikan keceriaan pada penanamnya
yang tertarik hati pada kesuburan itu;
yang terus bergerak segar (hingga ke suatu masa),
tiba-tiba dilihat kekuningan dan akhirnya hancur bersepai.
Ketahuilah bahawa azab Akhirat adalah berat
(disediakan kepada yang terlalu utamakan keduniaan),
tetapi tetap ada pula keampunan serta keredhaan dari Allah
(bagi yang mengutamakan Akhirat ).
Kehidupan di dunia ini hanyalah tempat kesenangan
bagi orang-orang yang ‘TERPEDAYA’.
(Al-Hadid (57): Ayat 20)

Ketiga-tiga ayat ini menguatkan kefahaman kita bahawa


hidup di dunia ibaratkan hujan (tidak lebih dari itu) yang
menyuburkan tanah-tanih seketika sebelum menjadi kuning
dan kering. Sikap terlalu tumpukan dunia dan kemewahannya
akan memperdayakan hidup kita, jalan terbaik ialah dengan
mengutamakan tumpuan di Akhirat

5
Ayat kemudiannya membandingkan bahawa harta benda
dunia dan anak-pinak yang ramai hanyalah perhiasan
sementara hidup ini, TETAPI amal soleh di dunia dan
tinggalan amal soleh itu adalah sebaik-baik kebajikan di sisi
Allah dan menjadi impian dan cita-cita yang diberi tumpuan.

Harta benda dunia, dan anak-pinak hanyalah sekadar perhiasan hidup:


DAN AMAL SOLEH akan kekal faedahnya kepada hidup ini
dan paling berkebajikan di sisi Allah dilihat dari segi pahalanya,
itulah sebaik-baik asas yang memberi harapan. (46)

Tafsiran:
Tinggalan ‘amal soleh’ kita ditekankan oleh Allah
dalam ayat ini dan bukan anak pinak yang ramai atau
harta benda yang terkumpul.

Apakah dia amal soleh itu? Ar-Razi mendefinasikannya


sebagai:
“Setiap amalan dan pertuturan dalam hidup manusia ini yang
dilakukan kerana Allah, dan cita-cita pengamal kebajikan
kerana Allah itu ialah mendapatkan keredhaan Allah dan
pahala untuk menentukan nasibnya di Akhirat nanti. Amalan
dan pertuturannya itu akan meninggalkan kesan faedahnya
yang boleh diwarisi oleh orang yang terkemudian. Itulah cita-
citanya.”

Seterusnya, Allah membawa minda kita kepada keadaan hari


kita dibangkitkan semula, di mana telah dicatitkan keadaan
huru-haranya, memberi keinsafan kepada kita.

6
Firman Allah:

Iaitu, ingatlah pada satu hari nanti (hari Kiamat),


akan Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang,
dan pada masa itu engkau akan dapat melihat
bumi ini rata dan terdedah nyata;
dan Kami himpunkan mereka semua (di Padang Mahsyar),
dan tidak seorang pun yang ketinggalan. (47)

Gambaran Hari Kiamat dalam ayat di atas merangkumi:


a) Segala bukit bukau, dan gunung-ganang, bangunan,
akan habis diterbangkan seperti kapas.
b) Keadaan bumi ini hanya mendatar dan dipenuhi
manusia yang dihimpunkan.
c) Manusia dihimpunkan untuk menghadapi mahkamah
Allah di Padang Mahsyar
d) Tidak ada yang terlepas dari himpunan ini walau
seorang pun. Ini bererti terkumpullah semua manusia
sejak dari zaman Adam as hingga pada akhir hayat
hidup dunia. Sesaknya dunia ini tidak dapat
digambarkan!
e) Semua manusia berbaris-baris mengikut kehendak
Allah.
f) Manusia dibangkitkan semula dalam bentuk semulajadi,
sepertimana mereka dicipta dahulu.

Ini berdasarkan fahaman Ayat 48 berikut:

7
Mereka tetap akan dibawa menghadap Tuhanmu, Allah,
berbaris-baris seraya dikatakan:
“Kamu semua sekarang ini telah datang menemui Kami
dalam bentuk ciptaan sepertimana kamu dijadikan mula-mula dulu,
bahkan kamu dahulu menyangka yang Kami
tidak akan mengadakan waktu sedemikian rupa
(untuk dihimpunkan kamu semua)
seperti yang dijanjikan.” (48)

Semua gambaran Kiamat ini hanya kita dengar dari


Al-Qur’an sahaja dan tidak tergambar bagaimana keadaan
yang sebenar. Ianya diperdengarkan kepada kita untuk
menambahkan iman kita pada Allah bahawa hari Kiamat itu
BENAR dan akan berlaku; WALAUPUN sesetengah orang
yang kufur menolak akan adanya hari Kiamat ini.

Hari Kiamat dan keadaannya dijelaskan dalam ayat


berikutnya:

Dan ‘Kitab-kitab Amal’ dibentangkan,


engkau akan dapat melihat bahawa orang-orang yang berdosa itu,
merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya,
dan mereka akan berkata:
“Aduhai, celakanya kami ini! Mengapa Kitab ini sedemikian rupa?
Catitannya tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar,
semua dihitung!”. Dan mereka mendapati
segala amal yang telah mereka lakukan itu telah ‘sedia tertulis’.
(Ingatlah) Allah, Tuhanmu itu
tidak zalim kepada seseorang pun. (49)

8
Keseluruhan, ayat-ayat di atas menggambarkan huru-hara di
hari Kiamat, antaranya:

a) Setiap individu itu akan dibekalkan dengan Kitabnya


(buku catitan amalnya semasa di dunia dulu); samada
diterima dengan tangan kanannya atau tangan kirinya.
b) Orang yang kufur akan berubah wajah mereka kerana
ketakutan, takut terbongkar segala kejahatan mereka
kepada semua yang ada atau takut kepada azab yang
bakal menunggu mereka dihadapan.
c) Gelagat pembaca buku catitan yang terkejut kerana
catitan tersebut terlalu terperinci, walau sekecil mana
sekalipun, amalan itu dicatitkan.
d) Terdapat catitan amal bersekali dengan pahala
dosanya.
e) Pengakuan Allah, semua catitan itu adalah benar dan
Allah tidak menzalimi sesiapa pun.

Syed Qutub berkata, ayat-ayat di atas memperlihatkan


kepada kita akan huru-hara hari Kiamat yang pasti akan tiba.
Kawasan bumi yang terhampar luas, dipenuhi manusia untuk
dihisab amal baik dan jahat mereka. Yang menggemparkan
mereka ialah segala amalan jahat mereka tertulis, dilihat,
dibaca dan terdapat perincian segala amalan mereka yang
lalu.

Luahan kata-kata mereka menggambarkan mereka


terperangkap kerana kekufuran mereka. Dalam keadaan
takut, kesal, tertekan dan kelam-kabut, huru-hara yang
menekankan persekitaran hari itu menambahkan lagi
tekanan atas mereka. Ke mana hendak mereka melarikan
diri? Segala amalan maksiat mereka terdedah. Yang pasti
pada mereka ialah mereka tidak pernah percaya akan adanya
hari seperti ini, iaitu hari mereka dibangkitkan semula!

9
Penyaksian hari Kiamat di atas dan keadaan yang
menakutkan kepada orang-orang kufur ingkar sebenarnya
berlaku kerana mereka selama ini menyembah mengikut
telunjuk Syaitan. Mereka tahu bahawa Syaitan dan zuriatnya
adalah seteru kepada manusia, tetapi malangnya mereka
menjadi pengikut setia Syaitan ini, dan Syaitanlah yang
mengajak mereka kufur pada Allah, tidak percaya adanya hari
bangkit semula, tiada amal soleh, tiada Allah dan
petunjukNya. Ayat seterusnya menjelaskan perlakuan
Syaitan dan pengaruhnya ke atas mereka.

Fiman Allah:

Dan ingatkanlah peristiwa


tatkala Kami berfirman kepada Malaikat:
“Sujudlah kamu kepada Adam!”
Maka sekelian mereka itu sujud kepadanya, kecuali IBLIS.
Iblis itu berasal dari golongan Jin,
mereka derhaka terhadap perintah Allah, Tuhannya.
Patutkah kamu (Wahai yang kufur ingkar!)
mengambil dan menjadikan Iblis serta keturunannya
sebagai sahabat-sahabat karib
yang memimpin kamu selain dari Ku?
Sedangkan mereka itu musuh-musuh bagi kamu.
Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim ini;
mengambil pengganti yang mereka pilih itu. (50)

10
Tafsiran:
Para kafir ingkar ini sebenarnya telah dipengaruhi oleh
Syaitan dalam hidup mereka. Misalnya, Syaitan mengajar
mereka merasa megah dan sombong dengan kekayaan
dunia mereka, menafikan amal soleh sebagai kebaikan, dan
menyesat anak Adam supaya syirik pada Allah serta tidak
percaya adanya hari Kiamat dan bangkit semula. Di atas
sebab itulah Allah meminta orang-orang yang syirik padaNya
itu supaya memanggil dan menggunakan ‘syirik’ mereka itu
(iaitu Iblis), untuk menolong mereka di dalam Neraka dari
azab Allah.

Iblis dan Syaitan adalah dari bangsa Jin yang telah fasik dan
ingkar perintah Allah, khususnya di saat Allah memerintahkan
mereka untuk sujud kepada Adam as. Iblis dan Syaitan ini
tidak mahu sujud pada Adam atau perintah Allah, dan tidak
mengaku pada kenabian Adam dan menganggap Adam dan
anak-anak Adam adalah seteru mereka. Jadi mengapakah
orang-orang yang syirik itu, setelah tahu yang Iblis
menganggap mereka seteru, MASIH memilih Syaitan dan
Iblis ini sebagai sahabat dan pemimpin? Mereka
bersekongkol dengan Iblis di dunia ini hingga sanggup
menjadi syirik atas pengaruh mereka? Satu pilihan yang tidak
masuk akal!

Para pengikut Iblis dan Syaitan terlalu ketara dalam


masyarakat, meninggalkan perkara wajib dan membuat
perkara yang ditegah, dan mereka adalah contoh yang
menyebabkan fasiknya umat Muhammad. Pengikut Iblis ini
mencipta budaya Iblis dalam hidup ini, dan Iblis pula
meniupkan syirik ke dalam diri kita pada Allah. Apakah yang
ada pada Iblis sehingga ramai pengikutnya?

Dalam ayat seterusnya, Allah menyangkal yang Iblis itu


mempunyai keupayaan sama sekali, atau telah dipanggil
Allah untuk membantuNya untuk mencipta bumi dan langit,
atau pernah diminta menolong Allah untuk mencipta diri
11
mereka sendiri. Begitulah, tidak sepatutnya Allah mengambil
makhluk-makhluk yang menyesatkan itu sebagai
pembantuNya. Jadi mengapakah kamu memilihnya sebagai
Tuhan selain dari Allah?

Iblis dan Syaitan ini tidak mampu membantu


pengikut-pengikut yang dipengaruhi mereka yang dikenakan
seksaan azab Allah di hari Akhirat, walaupun dicabar Allah
supaya membantu ‘sahabat-sahabat’ mereka itu. Malah
mereka sendiri pun sedang diazab Allah. Jadi apalah yang
ada pada si PENYESAT ini sehingga mereka dapat menarik
ramai pengikut-pengikut?

Inilah pengertian keseluruhan ayat berikut (Ayat 51-53):

Aku tidak pernah memanggil mereka


menyaksi atau membantu Ku mencipta langit dan bumi,
dan tidak juga pernah Aku meminta bantuan sesetengahnya
untuk mencipta sesetengah yang lain; dan pasti
TIDAK sepatutnya Aku mengambil makhluk-makhluk
yang menyesatkan ini sebagai pembantu Ku. (51)

12
Dan ingatkanlah pada masa Allah menyeru
(dengan perkataan berikut kepada orang-orang yang sedang diazab):
“Panggillah sekutu-sekutu Ku
(Iblis dan Syaitan yang mempengaruhi mereka yang sedang diazab itu),
yang pernah kamu bersekutu dengan mereka, untuk menolong kamu!”
Pada masa itu sekutu-sekutu tersebut dipanggil,
tetapi sia-sia saja kerana sekutu-sekutu itu
tidak menyahut seruan mereka yang sedang diazab itu.
Kami telah jadikan untuk mereka
tempat azab yang membinasakan. (52)
Dan orang-orang Musyrikin yang berdosa itu
tetap akan melihat Neraka
(yang berada di sekitar mereka pada masa itu),
maka yakinlah mereka bahawa mereka akan jatuh ke dalamnya
dan mereka tiada jalan untuk mengelak
dari masuk ke dalam Neraka itu. (53)

Tafsiran:
Ibnu Kathir mentafsirkan ayat di atas sebagai:
“Mereka-mereka yang telah kamu lantik sebagai pemimpin
kamu, ikutan kamu itu, selain dari Ku, adalah hamba-hamba
Ku seperti kamu juga, tak memiliki apa-apa keistimewaan
pun. Dan Aku tak pernah memanggil mereka untuk
membantu Ku mencipta langit dan bumi ini: TETAPI Aku
sebagai Tuhan yang disembah; berdikari dalam mencipta
sesuatu itu secara keseluruhannya, Akulah yang
mentadbirkannya semua, dan Aku juga mentaqdirkannya
semua. TIADA sesiapa yang lain bersama-sama Ku, samada
sekutu Ku, menteri Ku, tukang tunjuk Ku, atau nazir
penasihat Ku.”

Sebab itulah Allah mengatakan, mafhumnya:


“Tidak sepatutnya Aku mengambil makhluk-makhluk
yang menyesatkan itu sebagai pembantu.”

13
Ibnu Kathir memetik Hassan Basri dalam mentafsirkan ayat
seterusnya dengan berkata:
“Bahawa Allah swt menjelaskan bahawa tiada cara untuk
mereka yang kufur itu untuk bertemu dengan sekutu mereka
yang dahulu, yang menjadi Tuhan sembahan mereka, dan
mereka semua terpisah, dan mustahil untuk bertemu. Malah
di antara kedua-dua mereka, terdapat pemisah yang bersifat
huru-hara besarnya yang menghalang mereka.”

Jadi, bagaimanakah mereka boleh mendapat pertolongan


dari Tuhan sembahan mereka itu? Inilah sindiran dan ‘pulang
paku buah keras’ pada mereka, yang disebut oleh Allah
dalam ayat di atas.

Imam Ar-Razi pula mentafsirkan ayat seterusnya dengan


berkata:
“Orang-orang kufur ini melihat api Neraka dari jauh sewaktu
di Padang Mahsyar lagi. Pada masa itu mereka terasa yang
mereka akan disumbatkan ke dalamnya waktu itu juga
(maklumlah, atas kekufuran mereka). Walaupun mereka
tidak disumbat waktu itu, namun para malaikat telah
mengheret mereka ke sana dan mereka tidak dapat
melarikan diri. Akhirnya mereka itu dicampakkan juga ke
dalam Neraka.”

Inilah tafsiran-tafsiran yang telah dikemukakan oleh


pentafsir-pentafsir yang agung untuk kita ambil iktibar, iaitu
‘kekufuran akan dibalas dengan api Neraka’, dan dari segi
saikologi ianya sangat menekankan kita, lebih-lebih lagi ianya
berlaku di Mahsyar. Semuga Allah menjauhkan kita dari
semua kesudahan yang dijelaskan oleh ayat-ayat tersebut di
atas.

Persoalannya, bagimanakah kita boleh menjauhkan diri dari


kukufuran yang akan dibalas dengan api Neraka ini?

14
Al-Qur’an adalah jawapannya. Firman Allah dalam Ayat 54:

Dan Kami telah huraikan di dalam Al-Qur’an


dengan berbagai cara untuk umat manusia;
dengan segala macam contoh bandingan;
tetapi sememangnya manusia itu
sejenis makhluk yang suka membantah. (54)

Tafsiran:
Imam Ar-Razi sekali lagi mentafsirkan maknanya:
“Orang-orang kafir, yang hidup mereka berbangga dengan
harta benda mereka, bertahan melalui banyak penyokong.
Telah dijelaskan tentang iman mereka melalui beberapa
kriteria, di antaranya:
a) Segala perkataan mereka itu tidak betul.
b) Dijelaskan beberapa perbandingan untuk mereka
fikirkan.
c) Segala syubhah mereka itu tidak benar.
d) Memberi penjelasan dan mengulang-ulangkan
perbahasan itu.
e) Mengemukakan jawapan yang mencukupi untuk
mereka beriman, tetapi mereka tetap membantah,
berdegil dan tidak mahu menerima kebenaran.
Inilah sifat orang-orang yang kufur pada Allah.”

Bagi kita yang mahukan iman, Al-Qur’an adalah penjelas,


pendorong, dan pembawa kepada Al-Haq, iaitu tidak sesat,
tidak terkeluar dari jalan hidayah Allah, dan kita perlu
menjauhkan diri dari sifat suka bertekak dan membantah

15
satu-satu kebenaran Al-Qur’an kerana ianya adalah kitab
Allah yang diturunkan. Malangnya, walaupun mereka yang
kufur boleh mendapat hidayah dengan meneliti Al-Qur’an,
tetapi mereka masih berdegil? Ini disebabkan mereka hanya
akan percaya jika segala penjelasan itu dapat dilihat, dirasa
dan dialami sendiri.

Contohnya, ayat-ayat berikut menjelaskan mereka ini


mahukan bukti seperti yang berlaku pada orang-orang yang
terdahulu:
a) Pernah orang kafir memohon pada nabi mereka supaya:

Oleh itu, gugurkanlah atas kami


ketul-ketul batu yang membinasakan kami dari langit,
jika betul engkau dari orang-orang yang benar!"
(Asy-Syu’araa’ (26): Ayat 187)

b) Terdapat orang yang kafir berkata:

Mereka berkata sambil mengejek


"Datangkanlah kepada kami azab dari Allah
(yang engkau janjikan itu)
jika betul engkau dari orang-orang yang benar".
(Al-’Ankabuut (29): Ayat 29)

c) Orang Quraisy pernah berkata kepada Rasulullah:

16
Dan ingatlah ketika kaum Musyrikin Mekah berkata:
"Wahai Tuhan kami!
Jika betul Al-Qur’an itu ialah yang benar dari sisi Mu,
maka hujanilah kami dengan batu dari langit,
atau datangkanlah kepada kami
azab seksa yang tidak terperi sakitnya."
(Al-Anfal (8): Ayat 32)
d) Perkataan orang Quraisy kepada Rasulullah untuk
menjadi saksi tentang kerasulan baginda, yang mahu
melihat untuk dipercayai (“seeing is believing”), firman
Allah:

Dan mereka yang ingkar kufur berkata kepada Rasulullah:


"Wahai orang yang kepadanya diturunkan Al-Qur’an,
sesungguhnya engkau adalah orang gila.
Sepatutnya engkau membawakan malaikat kepada kami
untuk menjadi saksi atas kerasulanmu,
jika betul engkau dari orang-orang yang benar!"

Dalam kata lain mereka mahukan apa yang pernah terjadi


pada kaum-kaum terdahulu, di mana didatangkan azab ke
atas mereka barulah mereka akan percaya, ataupun mereka
hanya akan percaya jika azab yang diturunkan itu dilihat
dengan mata kepala mereka atau dihadapi. Inilah dia maksud
ayat seterusnya:

17
Yang menghalang manusia itu
daripada beriman dan beristighfar pada Allah atas dosa-dosa mereka,
walaupun telah mendapat petunjuk dari Al-Qur’an,
ialah mereka mahu melihat dan menghadapinya dahulu (untuk beriman),
sambil menunggu didatangi azab yang memusnahkan,
sepertimana yang telah menimpa orang-orang terdahulu
atau diturunkan azab itu terus ke atas mereka
(sebagai bukti kebenaran). (55)

Tafsiran:
Mereka mendesak mahu melihat sesuatu, barulah mereka
mahu beriman. Inilah kedegilan mereka, walaupun Al-Qur’an
telah menggariskan beberapa petunjuk yang jelas. Mereka
mahu merasa azab itu sendiri barulah mahu beriman.
Rupa-rupanya Al-Qur’an saja masih tidak cukup untuk
mereka beriman. Mahu melihat sendiri Jibril membawa
Al-Qur’an itu pada Rasulullah? Ini berlaku dalam semua
zaman dan masa, sehingga pada masa ini pun masih terpakai
konsep “seeing is believing”.

Fahamkah mereka bahawa tugas Rasul bukanlah untuk


mempersembahkan semua itu sebagai sokongan kepada
dakwahnya. Tugas Rasul hanya menyampaikan khabar
gembira kepada yang beriman dan khabar duka kepada yang
kufur dengan jenis-jenis azab yang menanti mereka.

Malangnya permintaan supaya Rasulullah membawa kuasa


luarbiasa untuk dipertontonkan kepada mereka untuk
menunjukkan kerasulannya, akan diputarbelitkan untuk
tujuan mengejek dan menolak iman. Mereka mahu
menunjukkan yang benar menjadi perkara yang batil. Dan
kemudian menggunakan ayat-ayat Allah bagi tujuan
menghina dan mengejek. Ini akan melemahkan dakwah
Rasulullah! Kebenaran Al-Qur’an adalah jelas dan terang,
niat mereka dengan meminta itu dan ini hanyalah kerana
mahu memanipulasikan kebenaran dan membatalkannya.

18
Segala apa yang mereka minta itu bukanlah benar mereka
mahukannya tetapi untuk ejekan dan manipulasi. Inilah
pengertian dari ayat seterusnya.
Firman Allah:

Kami mengutuskan Rasul-rasul adalah dengan tugas-tugas


penyampai khabar gembira kepada yang beriman
dan penyampai berita amaran kepada yang kufur.
Dan orang-orang kafir itu membantah dengan alasan yang salah
demi untuk menghapuskan kebenaran dengan bantahan itu;
dan mereka jadikan semua ayat-ayat Ku
termasuk amaran-amaran yang disampaikan pada mereka itu
sebagai ejekan. (56)

Tafsiran:
Ibnu Kathir mentafsir ayat ini dengan katanya:
“Rasul-rasul menyampaikan kabar berita baik kepada yang
beriman atas kepercayaan mereka pada Allah dan iman
mereka kepadanya; sebaliknya menyampaikan khabar
amaran dikenakan azab kepada yang kufur kerana
kekufuran mereka dan ‘paling-tadah’ mereka pada
kebenaran yang Haq. Pada masa yang sama, sikap orang
yang kufur ini sebagai pembelit; memutar-belitkan satu-satu
kebenaran yang disampaikan oleh Rasulullah itu sehingga
yang benar menjadi lemah pada pandangan orang. Caranya
ialah mengambil balik hujjah-hujjah, dalil-dalil dan perkara
luar biasa yang dikemukakan oleh Rasul itu sebagai perkara
yang menggelikan hati pendengar dan sebagai ejekan. Inilah
dia pembohongan besar ke atas ayat-ayat Allah.”
19
Setelah kita mengenal pasti sifat-sifat orang yang kufur pada
Allah sebagai suka ‘berbantah-bantah’ atas perkara-perkara
benar; suka ‘memutar-belitkan’ fakta kebenaran dengan cuba
melemahkan kebenaran itu, dan menjadikannya bahan
ejekkan, maka Allah telah memberitahu kita yang
orang-orang kufur ini pernah diperdengarkan dengan
kebenaran melalui ayat-ayat Al-Qur’an yang diselitkan
hujjah-hujjah tertentu, NAMUN mereka tetap kufur.

Pada Allah, orang yang paling zalim ialah mereka-mereka


yang telah diberi ingatan dengan ayat-ayatnya, tetapi
berpaling tadah dan melupakan segala yang pernah
dilakukan oleh kedua-dua tangannya tanpa muhasabah diri,
tidak merasa takut langsung atas kekufuran mereka, atas
maksiat mereka dan tidak terasa adanya azab yang
menunggu mereka. Kezaliman besar ini dibalas dengan
‘ditutup hati-hati mereka dari hidayah Allah’ dan dihalang
mereka dari memahami kebenaran. Hati-hati mereka tidak
akan terbuka lagi untuk meneliti dan memahami segala
keterangan yang ada. Maka mereka akan terus berada dalam
kegelapan iman selama-lamanya.

Apabila mereka diajak kepada ugama Allah dan Islam, tidak


terdapat Nur Hidayah dalam hati mereka untuk itu, dan
mereka terus berada di dalam gelap. Ini kerana Allah telah
menutup hati-hati dan amalan mereka dengan mewujudkan
rasa benci mereka kepada kebenaran. Begitu juga
dipekakkan pendengaran mereka dari hidayah Allah, bererti
mereka tidak suka mendengar sesuatu pun dari ayat-ayat
Allah.

Namun dengan kekufuran itu pun, Allah tidak menurunkan


azab yang spontan ke atas kekufuran mereka itu sebagai
balasan, TETAPI segala balasan itu ditangguhkan kerana
semuanya akan dibalas mengikut masanya; iaitu di hari
Kiamat, hari segalanya dihisab nanti.

20
Inilah dia kemurahan Allah dan RahmatNya, tidak membalas
azab secara tiba-tiba atas mereka yang zalim ini tetapi tunggu
sehingga hari Kiamat, hari yang dijanjikan. Inilah keseluruhan
fahaman ayat berikut:

Dan tidak ada yang lebih zalim


daripada orang yang telah diberi ingatan
dengan ayat-ayat Tuhannya; lalu ia berpaling tadah daripadaNya
dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua-dua tangannya;
sesungguhnya (disebabkan sikap mereka yang buruk itu)
Kami litupkan hati-hati mereka dengan lapisan-lapisan,
yang menghalang mereka daripada memahami hidayah,
dan Kami juga menjadikan penyumbat
yang menjadikan telinga mereka pekak kepada hidayah.
Sehingga, jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk hidayah Allah,
mereka tidak sekali-kali mendapat petunjuk itu selama-lamanya. (57)
Dan Tuhanmu Maha Pengampun, melimpah-limpah RahmatNya.
Jika Dia mahu menyeksa mereka di dunia ini,
atas sebab kekufuran mereka itu,
tentulah Dia akan menyegerakan azab itu
dan pasti akan menimpa mereka;
TETAPI Dia tidak berbuat demikian,
bahkan ditentukan bagi mereka satu masa
yang tidak akan sekali-kali
dapat sebarang tempat perlindungan
(iaitu dihari Kiamat). (58)
21
Tafsiran:
Orang yang dianggap zalim melampau oleh Allah ialah orang
yang apabila melihat ayat-ayat Allah, tidak pernah mengambil
iktibar darinya, atau bila melihat jalan yang terbaik untuk
ikutan, dia berpaling tadah dengannya, tetapi apabila dia
terserempak dengan jalan yang tidak baik, dia jatuh cinta
dengannya dan tidak mengambil apa-apa usaha untuk
menjauhkan dirinya dari kejahatan itu.

Ibnu Kathir berkata:


“Mana-mana hamba Allah, yang telah diingatkan kepadanya
dengan ayat-ayat Allah, kemudian ia buat-buat lupa
sehingga dia lupa kepadanya, dia menolaknya dan cuba
tidak mahu mengerti maksudnya, dan tidak memberi sedikit
pun kesan pada hatinya, dan pada masa yang sama dia lupa
adanya amalan-amalan buruk dan jahat yang pernah
dilakukannya sebelum ini; maka hati-hati mereka akan
ditutup dari hidayah Allah, supaya mereka tidak minat
memahami Al-Qur’an dan penjelasannya; dan menutup
telinga mereka dari sebarang petunjuk. Samada diseru
kepada hidayah atau tidak, mereka tidak akan mendapat
hidayah selama-lamanya.
Wahai Muhammad, Tuhanmu itu Maha Pengampun, punyai
Rahmat yang luas. Di antara keluasan RahmatNya ialah
menangguhkan kepada mereka akan azab yang sepatutnya
diterima dengan segera; mungkin dengan keperihatinan
Allah, dan Dia menutup serta mengampunkan, dan yang
terus dengan maksiatnya akan menemui azab mereka pada
hari Kiamat. Pada hari itu mereka tidak boleh melolos dari
azab Allah, tiada yang menolong, kerana hari itu ialah hari
di mana hanya amalan yang diambil kira.”

Walaupun ayat di atas seolah-olah azab yang ditangguhkan


itu akan dibawa kepada hari Kiamat tetapi ada kes-kes
kezaliman dibalas oleh Allah secara tunai, mungkin sewaktu
bermulanya kezaliman hingga berakhirnya kezaliman itu,
22
atau dibalas pada masa kezaliman itu berlaku. Untuk menjadi
iktibar kepada semua, ayat berikut membawa contoh
pelaksanaan azab Allah kepada kezaliman yang dibuat pada
masa itu atau dimasa yang terdekat dengannya.
Firman Allah:

Dan terdapat beberapa bandar-bandar


yang telah Kami musnahkan penduduknya
kerana mereka melakukan kezaliman,
dan kami telah tetapkan satu masa tertentu
bagi kebinasaan mereka. (59)

Tafsiran:
Ayat ini memberi contoh tentang penduduk-penduduk
derhaka terawal dari kaum Thamud, Kaum ’Aad dan Kaum
Luth, dan semua yang bersama dengan mereka telah
dibinasakan pada masa kezaliman itu sedang berlaku. Begitu
juga di zaman Rasulullah, kebinasaan yang berlaku dalam
peperangan Badar. Iaitu dalam hal-hal ini, Allah
menyegerakan kebinasaan mereka, sehingga tidak lagi diberi
tangguh waktu untuk mereka bertaubat.

Kata Ibnu Kathir:


“Waktu kebinasaan itu telah ditentukan pada waktu tertentu,
diketahui dan boleh dirasai, begitulah juga ianya boleh
berlaku pada kamu semua. Berwaspadalah wahai yang
syirik, takut-takut terkena pada kamu apa yang telah pernah
berlaku pada kaum-kaum terdahulu, kerana kamu
membohongi Rasulullah yang termulia, teragung sebagai
nabi dan kamu semua tidaklah kuat sangat mempertahankan
kebinasaan ini, dan takutilah azab Kami ini.”

23
Begitulah tafsiran ayat-ayat 45-59, yang begitu telus
pengajarannya dan yang membacanya akan berhati-hati
dalam hidup ini agar tidak tersasar keluar dari beriman pada
Allah.

Bermula dengan perbandingan ‘hidup’ ini dengan air hujan


yang membasahi dan menghijaukan bumi, dan selepas
melalui proses ini, berlakulah kekeringan dan segala yang
hijau tadi berubah menjadi kuning, kemudian kering dan
ringan di hembus angin.

Satu perbandingan yang menakjubkan dan mengetuk jiwa


orang yang terlalu keduniaan, supaya menstabilkan dunianya
dengan Akhiratnya; iaitu hidup di bumi ini hendaklah
berpandukan iman dan amal soleh. Harta yang dicari, anak
yang dianugerahi hendaklah kita syukuri dan gunakan semua
itu ke arah amal soleh, dan tinggalan soleh itu adalah yang
terbaik di sisi Allah.

Seterusnya, dalam ayat tersebut juga ditekankan perkara


Akhirat, dan pertemuan di hari Mahsyar, hari yang penuh
huru-hara dan yang terselamat ialah orang yang beramal
soleh, beriman dan ikhlas pada Allah. Semua catitan amal
kita didedahkan dan berdasarkan catitan itulah kita akan
ditentukan samada ke Syurga atau ke Neraka Allah. Allah
tidak menzalimi kita, tetapi kitalah yang menzalimi diri sendiri.

Peranan yang dimainkan oleh Syaitan yang boleh


mempengaruhi iman kita harus diambil perhatian. Syaitan
akan mewas-waskan kita, takut-takut kita akan menjadi
sasarannya untuk diselewengkan akidah kita kepada Allah.
Jangan sembah Syaitan, sembahlah Allah. Syaitan tidak ada
apa-apa kekuatan, kerjanya hanya membisik supaya kita lari
dari jalan yang benar. Syaitan adalah seteru manusia,
mengapa harus kita menjadikannya sebagai Tuhan dan
mensyirik diri dengan Allah? Penyembah Syaitan yang syririk
pada Allah diperlihatkan Neraka dan bayangkanlah
bagaimana itu akan menjadi tempat tinggalnya?
24
Allah meminta kita meneliti Al-Qur’an, dan hayati ajarannya
kerana Al-Qur’an adalah dari Allah, yang digunakan oleh
Rasulullah dalam dakwah beliau. Kurangkan membantah
perkara yang benar, terima dengan hati yang terbuka dan
penuh iman. Usahlah ikut gelagat orang yang kufur yang
hanya mahu beriman jika mereka dipersaksikan dengan
kehadiran perkara-perkara luarbiasa seperti yang pernah
ditunjukkan pada kaum-kaum yang terdahulu. Terimalah
Allah dengan seadaNya.

Seperkara penting, jangan kita menjadi musuh Allah yang


berusaha memutar-belitkan yang benar itu sehingga
dipandang lemah. Ini berlaku dengan cara mengambil
ayat-ayat Allah, dalil-dalil dan hujjah-hujjahNya, dijadikan
ejekan.

Apabila Al-Qur’an menjadi rujukan kita, kita membaca dan


menghayatinya dan dijadikan ‘imam’ kita dalam hidup ini.
Maka itulah yang dikehendaki Allah. Penzalim yang paling
jahat ialah orang yang telah membaca, menilai dan
memahaminya kemudian dia menolak dan ingkar dengannya.
Hukum Allah ke atasnya mungkin secara tunai di dunia ini
lagi, atau akan ditangguhkan sehingga dia berhadapan
dengan mahkamah Allah di Akhirat nanti. Pada hari itu tiada
sesiapa yang boleh membantu atau meloloskan diri dari
segala azab yang disediakan. Semuga kita sentiasa berada
di bawah RAHMAT Allah.

25

Anda mungkin juga menyukai