Anda di halaman 1dari 3

Salam sejahtera dan selamat pagi

Terima kasih saudara pengacara majlis

Yang Berusaha Tuan Pengetua, Penolong-penolong Kanan, Guru Kanan, guru, pemimpin pelajar
dan pelajar yang dikasihi sekalian,

Saya, Cikgu ______________ bersama Cikgu ____________________ ialah guru bertugas


sepanjang minggu kelapan persekolahan yang lalu lalu, iaitu mulai dari hari Isnin, 24.2.2014
hingga Jumaat, 28.2.2014. Hari ini, Isnin 3.3.14 bersamaan 1 Jamadil Awwal 1435 Hijriyyah,
izinkan saya menyampaikan laporan ringkas guru bertugas mingguan.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pelajar SMK St.
Michael, Ipoh yang telah memberi kerjasama secara optimum sepanjang minggu yang lalu. Guru
bertugas yang mengendalikan perhimpunan harian ringkas setiap pagi sebelum pelajar bergerak
ke kelas masing-masing berasa sangat puas hati dengan pergerakan yang begitu lancar. Dari segi
itu, Michaelian layak diberi penarafan A+.

Secara amnya, guru bertugas mingguan berperanan untuk membantu pihak sekolah dalam kapasiti
yang seadanya untuk mencapai matlamat keseluruhan sekolah sebagai organisasi yang memupuk
pembelajaran. Berasaskan hitungan konservatif, sejak darjah satu, Michaelian telah mendengar
laporan guru bertugas mingguan melebihi 250 kali. Walaupun barangkali, perkara yang sama
diulang dan diulang lagi, demikianlah dunia pendidikan di sekolah.

Laporan tentang tahap kebersihan dan keceriaan bilik darjah serta kawasan sekolah, disiplin dan
sahsiah sebagai contoh, pada hakikatnya menuju satu matlamat, iaitu iklim dan budaya sekolah,
atau persekitaran pembelajaran yang produktif, selesa dan terbaik. Pada akhirnya, ikhtiar semua
pihak yang mendambakan kecemerlangan yang tulen akan berjalan lancar dan sifar gangguan,
kecuali untuk kes terpencil sahaja. Pada pengamatan guru bertugas minggu kelapan yang lalu,
dalam sesetengah perkara, SMK St. Michael, Ipoh memang layak diangkat sebagai penanda aras
kecemerlangan dalam konteks persekitaran pembelajaran yang dihasratkan.

Guru dan pelajar yang dihormati,

Secara khusus, tahap kebersihan bilik darjah dan kawasan sekolah memang boleh diberi pujian,
tetapi ruang untuk penambahbaikan masih terbuka. Kebersihan lantai telah diurus dengan begitu
baik, kecuali terdapat cebisan kertas di sana sini selepas waktu rehat. Namun, demi melihat guru
bertugas datang dengan lembaran penilaian kebersihan dan keceriaan, pelajar cepat-cepat
mengutip cebisan kertas berkenaan. Terima kasih atas kepekaan kalian. Penarafan kebersihan A-.

Keceriaan bilik darjah pula berkait rapat dengan sistem rasa, persepsi atau tanggapan sepintas lalu.
Maksudnya, sebaik sahaja melangkah ke sesebuah bilik darjah, aura atau getaran pembelajaran
akan dapat dirasai, sama ada hebat, biasa atau lenyap. Guru bertugas mencadangkan supaya suatu
garis panduan ringkas tentang keceriaan bilik darjah dapat disediakan bagi meningkatkan
penarafan di tahap B+ sepanjang minggu kelapan yang lalu.
Disiplin pelajar sepanjang minggu lalu didapati baik dan terkawal. Hampir 99 peratus pelajar
berjaya tiba di perkarangan sekolah sebelum pukul 7.25 pagi. Guru bertugas difahamkan bahawa
kumpulan satu peratus pelajar lagi bakal diberi pendedahan kaunseling tentang pengurusan kendiri
(personal grooming) dalam tempoh yang terdekat.

Masalah ketepatan waktu lebih ketara selepas rehat apabila segelintir pelajar lewat masuk ke kelas.
Perkara itu telah diberi teguran banyak kali, terutama oleh guru disiplin. Mohon semua pelajar
mengambil ingatan tentang ketepatan waktu kembali ke kelas selepas rehat walaupun harus
mengejar waktu di kantin sekolah.

Selain itu, pada pagi Jumaat, Encik Chong telah menegaskan tentang tindakan akan diambil
terhadap pelajar yang sengaja berlegar-legar di koridor kelas ketika pelajar sepatutnya berada di
dalam kelas. Cara memakai tali leher dan kekemasan baju juga telah diberi teguran berulang kali.
Diharap Michaelian mengambil berat tentang penampilan yang kacak dan segak seperti yang
disarankan.

Seterusnya tentang sahsiah yang sepatutnya menjadi suatu kelebihan atau x-factor kepada pelajar
sekolah premier terkemuka seperti sekolah kita ini. Budaya memberi salam, menyapa guru dan
menghormati guru hendaknya dapat diserlahkan dengan lebih ketara dari masa ke masa. Walaupun
saiz fizikal pelajar lebih besar dan gagah, berilah laluan kepada guru apabila berselisih, bercakap
dengan penuh adab sopan dan tulus. Paling kurang, sebutlah satu patah kata 'cikgu' setiap kali
berselisih dengan guru. Saya juga ingin menraik perhatian bahawa dalam ujaran bahasa Melayu,
kata ganti nama 'kamu' tidak sesuai digunakan kepada insan yang lebih dewasa, termasuk guru.

Tuan puan dan Michaelian yang dimuliakan,

Pemarkahan kebersihan dan keceriaan kelas dilakukan oleh sekumpulan panel khas dan keputusan
yang bakal diumumkan adalah muktamad. Sebarang rayuan tidak dapat dilayan. Bagi
menyempurnakan upacara penyampaian hadiah pusingan kebersihan dan keceriaan kelas, saya
mempersilakan Drs. Rajendran Naidu a/l Kannayar, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid untuk
tampil ke pentas.

Kedudukan pemenang kebersihan dan keceriaan kelas minggu ke-8 adalah seperti berikut:

Tingkatan 3: Naib johan ______, johan _____


Tingkatan 4: Naib johan ______, johan _____
Tingkatan 5: Naib johan ______, johan _____
Prauniversiti tingkatan 6 Atas: Naib johan ______, johan _____

Terima kasih Drs. Rajendran Naidu. Tahniah kepada pemenang.

Sebagai mengakhiri laporan guru bertugas minggu ke-8, izinkan saya mengulang semula ungkapan
hukamak: Hari ini lebih baik daripada semalam, esok lebih baik daripada hari ini. Pelajar
cemerlang selalu berkata: Bolehkah saya bantu?; pelajar biasa-biasa berkata: itu bukan kerja aku.
Pelajar cemerlang berkata: Masalah itu sukar, tetapi boleh diatasi; pelajar biasa-biasa mengatakan:
Masalah itu boleh diatasi tetapi sukar. Semoga Michaelian sentiasa tergolong sebagai pelajar
cemerlang.

Sekian, salah dan silap mohon dimaafkan. Wassalam.

Anda mungkin juga menyukai