Anda di halaman 1dari 2

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam sejahtera dan selamat pagi

Terima kasih saudara pengacara majlis

Yang Berusaha Tuan Pengetua, Penolong-penolong Kanan, Guru Kanan, guru, pemimpin pelajar
dan pelajar yang dikasihi sekalian,

Saya, Cikgu ______________ bersama Cikgu ____________________ ialah guru bertugas sepanjang minggu
kelapan persekolahan yang lalu lalu, iaitu mulai dari hari Isnin, 24.2.2014 hingga Jumaat, 28.2.2014. Hari ini,
Isnin 3.3.14 bersamaan 1 Jamadil Awwal 1435 Hijriyyah, izinkan saya menyampaikan laporan ringkas guru
bertugas mingguan.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pelajar SMK St. Michael,
Ipoh yang telah memberi kerjasama secara optimum sepanjang minggu yang lalu. Guru bertugas yang
mengendalikan perhimpunan harian ringkas setiap pagi sebelum pelajar bergerak ke kelas masing-masing
berasa sangat puas hati dengan pergerakan yang begitu lancar. Dari segi itu, Michaelian layak diberi
penarafan A+.

Secara amnya, guru bertugas mingguan berperanan untuk membantu pihak sekolah dalam kapasiti yang
seadanya untuk mencapai matlamat keseluruhan sekolah sebagai organisasi yang memupuk pembelajaran.
Berasaskan hitungan konservatif, sejak darjah satu, Michaelian telah mendengar laporan guru bertugas
mingguan melebihi 250 kali. Walaupun barangkali, perkara yang sama diulang dan diulang lagi, demikianlah
dunia pendidikan di sekolah.

Laporan tentang tahap kebersihan dan keceriaan bilik darjah serta kawasan sekolah, disiplin dan sahsiah
sebagai contoh, pada hakikatnya menuju satu matlamat, iaitu iklim dan budaya sekolah, atau persekitaran
pembelajaran yang produktif, selesa dan terbaik. Pada akhirnya, ikhtiar semua pihak yang mendambakan
kecemerlangan yang tulen akan berjalan lancar dan sifar gangguan, kecuali untuk kes terpencil sahaja. Pada
pengamatan guru bertugas minggu kelapan yang lalu, dalam sesetengah perkara, SMK St. Michael, Ipoh
memang layak diangkat sebagai penanda aras kecemerlangan dalam konteks persekitaran pembelajaran yang
dihasratkan.

Guru dan pelajar yang dihormati,

Secara khusus, tahap kebersihan bilik darjah dan kawasan sekolah memang boleh diberi pujian, tetapi ruang
untuk penambahbaikan masih terbuka. Kebersihan lantai telah diurus dengan begitu baik, kecuali terdapat
cebisan kertas di sana sini selepas waktu rehat. Namun, demi melihat guru bertugas datang dengan lembaran
penilaian kebersihan dan keceriaan, pelajar cepat-cepat mengutip cebisan kertas berkenaan. Terima kasih
atas kepekaan kalian. Penarafan kebersihan A-.

Keceriaan bilik darjah pula berkait rapat dengan sistem rasa, persepsi atau tanggapan sepintas lalu.
Maksudnya, sebaik sahaja melangkah ke sesebuah bilik darjah, aura atau getaran pembelajaran akan dapat
dirasai, sama ada hebat, biasa atau lenyap. Guru bertugas mencadangkan supaya suatu garis panduan ringkas
tentang keceriaan bilik darjah dapat disediakan bagi meningkatkan penarafan di tahap B+ sepanjang minggu
kelapan yang lalu.

Disiplin pelajar sepanjang minggu lalu didapati baik dan terkawal. Hampir 99 peratus pelajar berjaya tiba di
perkarangan sekolah sebelum pukul 7.25 pagi. Guru bertugas difahamkan bahawa kumpulan satu peratus
pelajar lagi bakal diberi pendedahan kaunseling tentang pengurusan kendiri (personal grooming) dalam
tempoh yang terdekat.

Masalah ketepatan waktu lebih ketara selepas rehat apabila segelintir pelajar lewat masuk ke kelas. Perkara
itu telah diberi teguran banyak kali, terutama oleh guru disiplin. Mohon semua pelajar mengambil ingatan
tentang ketepatan waktu kembali ke kelas selepas rehat walaupun harus mengejar waktu di kantin sekolah.
Selain itu, pada pagi Jumaat, Encik Chong telah menegaskan tentang tindakan akan diambil terhadap pelajar
yang sengaja berlegar-legar di koridor kelas ketika pelajar sepatutnya berada di dalam kelas. Cara memakai
tali leher dan kekemasan baju juga telah diberi teguran berulang kali. Diharap Michaelian mengambil berat
tentang penampilan yang kacak dan segak seperti yang disarankan.

Seterusnya tentang sahsiah yang sepatutnya menjadi suatu kelebihan atau x-factor kepada pelajar sekolah
premier terkemuka seperti sekolah kita ini. Budaya memberi salam, menyapa guru dan menghormati guru
hendaknya dapat diserlahkan dengan lebih ketara dari masa ke masa. Walaupun saiz fizikal pelajar lebih
besar dan gagah, berilah laluan kepada guru apabila berselisih, bercakap dengan penuh adab sopan dan
tulus. Paling kurang, sebutlah satu patah kata 'cikgu' setiap kali berselisih dengan guru. Saya juga ingin
menraik perhatian bahawa dalam ujaran bahasa Melayu, kata ganti nama 'kamu' tidak sesuai digunakan
kepada insan yang lebih dewasa, termasuk guru.

Tuan puan dan Michaelian yang dimuliakan,

Pemarkahan kebersihan dan keceriaan kelas dilakukan oleh sekumpulan panel khas dan keputusan yang bakal
diumumkan adalah muktamad. Sebarang rayuan tidak dapat dilayan. Bagi menyempurnakan upacara
penyampaian hadiah pusingan kebersihan dan keceriaan kelas, saya mempersilakan Drs. Rajendran Naidu a/l
Kannayar, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid untuk tampil ke pentas.

Kedudukan pemenang kebersihan dan keceriaan kelas minggu ke-8 adalah seperti berikut:

Tingkatan 3: Naib johan ______, johan _____


Tingkatan 4: Naib johan ______, johan _____
Tingkatan 5: Naib johan ______, johan _____
Prauniversiti tingkatan 6 Atas: Naib johan ______, johan _____

Terima kasih Drs. Rajendran Naidu. Tahniah kepada pemenang.

Sebagai mengakhiri laporan guru bertugas minggu ke-8, izinkan saya mengulang semula ungkapan hukamak:
Hari ini lebih baik daripada semalam, esok lebih baik daripada hari ini. Pelajar cemerlang selalu berkata:
Bolehkah saya bantu?; pelajar biasa-biasa berkata: itu bukan kerja aku. Pelajar cemerlang berkata: Masalah
itu sukar, tetapi boleh diatasi; pelajar biasa-biasa mengatakan: Masalah itu boleh diatasi tetapi sukar.
Semoga Michaelian sentiasa tergolong sebagai pelajar cemerlang.

Sekian, salah dan silap mohon dimaafkan. Wassalam.

Anda mungkin juga menyukai