Anda di halaman 1dari 27

DIPLOMA PROFESIONAL PERUBATAN MELAYU

PERUBATAN MELAYU DAN TASAWWUR ISLAM


(APM 101)

NOTA KULIAH
PERUBATAN MELAYU DAN TASAWWUR ISLAM

PENSYARAH : EN NORHISSAM BIN MUSTAFA


1. PENGENALAN
Dua perkataan ini “Pengubatan” dan “Perubatan” sering digunakan secara bercampur aduk oleh
pelbagai pihak di negara ini. Ada yang menganggap dua perkataan ini sama sahaja tetapi digunakan
dalam konteks berbeza. Misalnya ada yang menyebut “Perubatan Tradisional”, “Pengubatan
Tradisional”, “Perubatan Akupunktur” dan “Pengubatan Akupunktur”. Jadi yang mana satukah
penggunaan yang betul?

Kedua-dua perkataan mempunyai akar kata “ubat” dan mempunyai imbuhan prefix “per” dan “peng”
serta suffix “an” pada perkataan pengubatan dan perubatan. Dari segi leksikal ia mudah difahami tetapi
dari sudut semantik, ianya amat berbeza.

Untuk membezakan keduanya dari sudut semantik, ubat adalah satu objek, bahan, atau material yang
digunakan dalam proses merawat. Oleh itu, pengubatan dilihat sebagai amalan atau rawatan atau terapi
yang dijalankan ke atas pesakit dan salah satu bahan yang digunakan ialah ubat; manakala perubatan
adalah satu bidang ilmu yang merangkumi di dalamnya ubat-ubatan, kaedah diagnosa, merawat, dan
memantau kemajuan pesakit. Perubatan adalah payung kepada pengubatan.

Di dalam bidang pengubatan, rawatan boleh dijalankan ke atas pesakit oleh perawat berdasarkan
pengalaman perawat, dan ilmu perawat dalam pengubatan ini lazimnya tidak bertulis, menjadi milik
perawat, tidak boleh dipelajari secara terbuka, tidak perlu mendapat pengiktirafan oleh badan berautoriti
dan tidak mempunyai nilai tambah baik berterusan kerana ia tidak ada komponen penyelidikan formal
yang akan menghasilkan kaedah atau bahan baru dalam rawatan. Ilmu merawat pada kebiasaannya
diwarisi atau dipelajari dari individu tertentu serta terhad dan ada juga yang bersumber daripada mimpi
atau melalui makhluk halus. Kaedah merawat pesakit juga adalah berbeza dalam kalangan perawat.

Di dalam bidang perubatan kotemporari pula, rawatan boleh dijalankan ke atas pesakit oleh perawat
berdasarkan kepada ilmu yang bertulis, berdokumen, boleh dipelajari di pusat perubatan dan pusat
pengajian tinggi secara terbuka, diiktiraf oleh badan berautoriti, dan mempunyai nilai tambah baik
berterusan melalui penyelidikan. Kaedah merawat pesakit tidak jauh berbeza dalam kalangan perawat
kerana bidang perubatan mempunyai prosedur yang piawai dan bersifat global. Di dalam Kamus Dewan,
pengubatan merujuk kepada kata nama dan kata perbuatan, manakala perubatan merujuk kepada kata
nama.

|2
Jika pencerahan ini boleh diterima, maka perkataan pengubatan adalah sesuai digunakan untuk
pengubatan tradisional yang boleh djumpai dalam masyarakat Melayu pada hari ini misalnya urut, bekam
serta mentera dan jampi. Namun begitu apabila pengkajian di buat kepada manuskrip dan kitab-kitab
perubatan Melayu didapati ianya mempunyai satu sistem perubatan yang lebih sistematik dan
berstruktur, tidak sebagaimana amalan yang di lihat sekarang ini, perkara ini akan dikupas dalam bab
ketamadunan Perubatan Melayu pada pertengahan penulisan ini.

Suatu ketika dulu, herba, ginseng, ayurveda, homeopati, akupunktur dan kiropraktik dianggap sebagai
pengubatan tradisional, tetapi kini boleh dikategorikan sebagai pengubatan alternatif. Maksud “alternatif”
ialah kaedah pengubatan ini menjadi pilihan lain daripada perubatan arus perdana atau perubatan
kontemporari yang terdapat di klinik dan hospital. Sebahagian ilmu dalam bidang perubatan alternatif
sudah pun dibukukan dan boleh dirujuk. Di negara China dan India, ilmu pengubatan ginseng, bekam,
akupunktur dan ayurveda telah dijadikan ilmu yang boleh dipelajari secara formal dan diiktiraf oleh
institusi tertentu. Khidmat rawatan dan ubat yang diberikan dalam perubatan alternatif adalah berbayar
sepertimana perubatan kontemporari dan pengubatan tradisional.

Satu lagi perkataan yang perlu dilihat ialah “perubatan komplementari” iaitu kaedah rawatan yang
digunakan bagi melengkapkan rawatan perubatan kontemporari yang telah dijalankan di hospital atau
klinik. “Pengubatan komplementari” bukan bersaing dengan perubatan kontemporari dan bukan
menggantikan perubatan moden sebaliknya melengkapkan. Ada ketika, perubatan kontemporari gagal
mengesan punca penyakit dan tidak ada rawatan atau ubat untuk menangani penyakit. Kes seperti ini
dikenali sebagai “idiopathic”. Apabila pesakit dikategorikan dalam kes “idiophatic”, maka langkah
seterusnya ialah mengklasfikan pesakit sebagai pesakit mental atau yang relevan dalam bidang
perubatan kontemporari. Ketika inilah “pengubatan komplementari” boleh digunakan bagi membantu
proses rawatan ke atas pesakit “idiopathic”.

Penulisan ini adalah bertujuan mengupas serta menerangkan konsep Perubatan Tradisional Melayu agar
masyarakat lebih memahami dan tidak mempunyai tanggapan yang buruk terhadap perubatan ini. Selain
itu, mengetahui amalan Perubatan Tradisional Melayu masa kini kerana masyarakat zaman sekarang
kurang didedahkan akan konsep ini kerana kecanggihan teknologi kini yang kian meningkat. Seterusnya,
memberikan definisi yang terkini berkaitan dengan Perubatan Tradisional Melayu agar ianya terus
berkembang pesat dan berupaya berada di arus perdana pada suatu masa nanti.

|3
2. TERAPI PENGUBATAN TRADISIONAL MELAYU

Manipulatif
Masyarat Melayu mempunyai kemahiran rawatan yang tersendiri termasuklah beberapa terapi
MANIPULATIF yang diamalkan sejak turun temurun sehingga ke hari ini, antaranya yang begitu popular
ialah Urutan Melayu dan Bekam.

Urutan Melayu terdiri daripada urutan kesejetahteraan, urutan otot/saraf, urutan patah tulang, urutan
kelakian dan penjagaan ibu selepas bersalin. Urutan Melayu merupakan satu keadah rawatan yang
diamalkan oleh masyarakat Melayu semenjak turun-temurun lagi. Ianya adalah salah satu keadah yang
diamalkan oleh nenek moyang kita untuk merawat berbagai penyakit pada zaman dahulu, dan ianya
masih releven sehingga kini. Pakar urut tradisional Melayu mempelajari cara-cara mengurut yang di
warisi dari nenek moyang mereka. Keberkesanan urut tradisional ini memang tidak dapat dinafikan
kerana ianya kadang kala mampu merawat beberapa penyakit yang berkaitan dengan saraf yang kadang
kala tidak dapat di rawat secara lebih berkesan melalui perubatan moden. Sebagai contoh urutan
tradisional bagi merawat pesakit strok didapati lebih cepat dan lebih berkesan berbanding rawatan secara
fisioterapi. Ini dapat dibuktikan dimana tukang urut tradisional Melayu dapat memulihkan saraf yang
lemah akibat serangan strok lebih kepada puncanya berbanding kepada keadah fisotrapi yang lebih
tertumpu kepada cara-cara untuk memulihkan saraf melalui pergerakan tertentu dan juga menggunakan
alatan terapi yang lain.

Secara bahasa bekam adalah teknik terapi pengubatan dengan cara membuang kotaran dalam tubuh
melalui permukaan kulit dengan sayatan pisau atau tusukan jarum steril. Perkataan Al Hijamah berasal
dari istilah bahasa arab, dimana Hijamah yang bererti pelepasan kotaran dari darah. Sedangkan dalam
bahasa Inggris disebut dengan cupping, dan dalam bahasa melayu dikenal dengan istilah bekam. Di
Indonesia dikenal pula dengan istilah kop atau cantuk.

Sejarah bekam dimulai pada zaman Rasulullah SAW, ini boleh dibuktikan pada salah satu hadis dari
Ibnu Umar, r.a bahwa Rasulullah SAW, bersabda:

“Tidaklah aku melalui satu dari langit-langit yang ada melainkan Para Malaikat, mengatakan: “Hai
Muhammad, perintahkan umatmu untuk berbekam, kerana sebaik-baik cadangan yang kalian
pergunakan untuk berubat adalah bekam, al-kist (cendana india) dan syuniz (jintan hitam)”.

|4
Herba Melayu
Masyarakat Melayu di negara ini telah lama meyakini perubatan dan rawatan tradisional. Ini dapat di
buktikan dengan banyaknya produk-produk ubatan tradisional Melayu dipasarkan serta mendapat
sambutan meluas di seluruh negara. Mereka percaya bahawa perubatan dan rawatan tradisonal Melayu
merupakan kaedah selamat dan tidak memberi kesan sampingan terhadap tubuh badan manusia.
Perubatan dan rawatan tradisional Melayu banyak menggunakan bahan-bahan yang berasal daripada
tumbuh-tumbuhan yang boleh di perolehi di sekeliling tempat kediaman dan hutan belantara atau di
kawasan pendalaman. Satu lagi faktor perubatan dan rawatan tradisional Melayu mendapat tempat di
kalangan masyarakat ialah kerana ianya lebih murah berbanding dengan rawatan dan perubatan lain.
Dianggarkan pada masa ini lebih daripada 13,000 jenis tumbuh-tumbuhan berpotensi untuk dijadikan
sebagai ubatan bagi menyembuhkan berbagai penyakit. Kebanyakkan tumbuh-tumbuhan ini terdapat di
kawasan tropika seperti Malaysia. Menurut kajian Universiti Sains Malaysia, terdapat lebih daripada 2000
hingga 3000 spesies tumbuh-tumbuhan ubatan di Malaysia telah digunakan bagi tujuan perubatan
moden dan tradisional. Ini menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang terkenal di dunia
yang kaya dengan tumbuhan semulajadinya dan dikaitkan dengan nilai perubatan.

Perbomohan
Pada prinsipnya, amalan perbomohan menurut perspektif Islam mestilah didasari dengan sumber-
sumber yang pasti sama ada dari al-Quran dan al-Sunnah serta sumber-sumber perundangan yang
diiktiraf oleh Islam. Sekiranya berlaku kontradiksi dengan prinsip akidah Islam maka amalan tersebut
dianggap terkeluar dari landasan Islam. Sebagai contoh dalam amalan mantera dan jampi serapah,
kandungan isi mantera perlu jelas dan terang dan perkataan yang digunakan tidak mengandungi konotasi
atau elemen yang mempersekutukan kekuasaan Allah.

Penggunaan perkataan roh, penunggu atau makluk lain dengan tujuan bersahabat atau meminta
bantuan tidak dibenarkan dalam amalan perubatan. Rawatan yang menggunakan bantuan makhluk
seperti jin atau umumnya dikenali sebagai syaitan bertentangan dengan prinsip akidah Islam. Justeru itu,
bantuan dan harapan hanyalah bersandarkan kepada Allah di samping usaha-usaha yang dilakukan.

Pengubatan Tradisional Melayu


Sejak beberapa abad yang lampau perubatan dan rawatan tradisional Melayu telah menjadi suatu tradisi
dan merupakan cabang ilmu perubatan. Ia sering di kaitkan dengan zaman kegemilangannya. Bomoh
dan Tok Dukun telah menjadi pilihan masyarakat melayu pada masa itu untuk mendapatkan rawatan.
Masyarakat mengiktiraf mereka kerana mempunyai kemahiran untuk mengubati penyakit yang berkaitan

|5
dengan jasmani (fizikal) dan rohani (dalaman). Bomoh dan Tok Dukun telah digunakan secara meluas
oleh segenap lapisan masyarakat dan menjadi orang terpenting bagi mengubati penyakit. Masyarakat
amat percaya dan mempunyai keyakinan dengan amalan pengubatan dan rawatan Bomoh dan Tok
Dukun.

Pengamal pengubatan tradisional Melayu (Bomoh dan Tok Dukun) banyak bergantung kepada
pengetahuan dan ingatan yang di warisi dari gurunya secara turun-temurun. Ada juga yang dikatakan
mendapat ilmu tentang perubatan dan rawatan melalui mimpi atau ilham dengan cara-cara yang tertentu.
Walau bagaimanapun pengubatan dan rawatan jenis ini memerlukan mereka mengenalpasti hakikat
sebenar penyakit yang terkandung di dalam diri pesakit berkenaan. Rawatannya adalah bagi
membersihkan si pesakit daripada unsur-unsur penyakit sehinggalah sembuh. Dengan itu bahan-bahan
semulajadi ciptaan tuhan digunakan bagi mengubati penyakit si pesakit. Antaranya yang paling kerap
digunakan adalah daripada jenis tumbuh-tumbuhan dan herba serta termasuklah juga penggunaan doa,
jampi dan lain-lain.

Pernah pada suatu ketika pengubatan dan rawatan tradisional Melayu menjadi tidak popular di kalangan
masyarakat Melayu. Ini disebabkan penemuan kaedah-kaedah perubatan dan rawatan yang lebih moden
dan saintifik. Kaedah perubatan dan rawatan seperti ini lebih di percayai oleh kalangan golongan
bangsawan dan para cendiakawan. Pengubatan dan rawatan tradisional Melayu terpaksa bersaing
dengan amalan perubatan dan rawatan baru ini. Pada masa yang sama kaedah perubatan dan rawatan
seperti alopati, homeopati, naturopati, oesteopati dan sebagainya telah mulai berkembang dan
bercambah. Pada zaman penjajah, amalan perubatan dan rawatan alopati sangat popular sehinggakan
amalan pengubatan dan rawatan tradisional Melayu di lupai. Masyarakat lebih mempercayai perubatan
dan rawatan moden yang di bawa oleh penjajah kerana kajian yang dijalankan terhadap sesuatu penyakit
adalah lebih saintifik dan lengkap. Namun sejak akhir-akhir ini, pengubatan dan rawatan tradisional
Melayu mulai mendapat tempat di hati masyarakat di negara kita. Masyarakat lebih menggemari
pengubatan dan rawatan tradisonal Melayu kerana mereka berpandangan bahawa kaedah ini tidak
menggunakan bahan-bahan kimia yang beracun. Mereka lebih menyenangi pengubatan dan rawatan
tradisional Melayu yang menggunakan sumber semulajadi terutama sekali daripada tumbuh-tumbuhan.

Prinsip Asas Perubatan Tradisional Melayu


Berbanding dengan pengubatan tradisional Melayu, sistam perubatan tradisional Melayu mempunyai
prinsip asas yang di gunakan ialah penjagaan kesihatan itu lebih baik daripada rawatan penyakit. Ini
adalah selari dengan konsep perubatan secara holistik. Oleh itu setiap manusia di galakkan mempunyai

|6
sedikit pengetahuan tentang cara mengamalkan kesihatan diri samada daripada bentuk fizikal atau
mental. Bagi mengekalkan kesihatan yang baik, seseorang itu di galakkan digalakan mengamalkan gaya
hidup sihat.

Selain daripada itu penjagaan kesihatan dalam perubatan tradisional Melayu ialah melalui amalan petua.
Petua terdiri daripada dua aspek iaitu amalan suruhan dan tegahan. Amalan suruhan banyak berhubung
dengan pemakanan dari segi jenis, kuantiti dan juga dari segi khasiat yang terdapat pada tumbuhan.
Petua-petua dari segi pemakanan dan kesihatan bertujuan untuk mendapatkan keseimbangan serta
mengelakkan daripada serangan penyakit dan keuzuran. Sementara amalan tegahan ialah menghalang
pesakit daripada memakan makanan tertentu semasa ‘rawatan’ yang dikenali sebagai berpantang. Ia
bertujuan untuk memelihara agar kesihatan manusia dalam keadaan baik secara berterusan atau bagi
mempercepatkan penyembuhan penyakit.

Kebanyakkan pengamal perubatan tradisional Melayu mengkategorikan punca penyakit kepada yang
bersangkutan dengan darah dan angin. Darah dan angin merupakan dua elemen utama dalam tubuh
seseorang. Kedua-dua elemen berkenaan terdapat di dalam makanan seharian. Jika kedua-duanya
berada di dalam keadaan baik, maka baiklah kesihatan individu berkenaan.

Darah adalah eleman utama yang mengandungi khasiat makanan untuk pertumbuhan dan kesihatan
fizikal. Darah perlu ‘panas’ tetapi tidak boleh berlebihan. Panas di dapati daripada unsur ‘api’, jika
kelemahan pada unsur ‘api’ seseorang itu boleh lumpuh atau mendapat barah. Angin juga berada di
dalam badan dan disalurkan melalui urat. Namun terlalu banyak angin akan menyekatkan perjalanan
darah dan ini akan menganggu kesihatan. Sehubungan dengan itu kaedah pengurutan juga di lakukan
bagi menolak ‘angin’ dan merangsang perjalanan darah dan urat. Pengurutan biasanya di lakukan di
bahagian-bahagian badan yang terlibat dengan kerja-kerja berat, seperti tangan, kaki dan belakang
tubuh. Mengurut di lakukan dengan menggunakan minyak urut atau minyak angin yang di perbuat
daripada minyak kelapa dan beberapa jenis tumbuhan yang diketahui mempunyai khasiat ‘panas’.
Tumpuan utama dalam amalan pengurutan dilakukan terhadap perempuan lepas bersalin. Di samping
itu mereka juga digalakkan mengambil ramuan tumbuhan untuk dimakan dan disapu pada badan.
Ramuan ini dimakan dan berfungsi untuk mengeluarkan angin daripada urat.

|7
3. ISLAM DAN PERUBATAN
Dunia Perubatan Islam telah bertapak sekian lama dan telah diakui oleh sarjana timur dan barat. Walau
bagaimanapun, tiada definisi yang sepakat untuk mentakrifkan Perubatan Islam kerana Pengamal
Perubatan Islam mentakrifkan konsep tersebut menurut cara atau gaya yang tersendiri demi mengiktiraf
teknik yang mereka amalkan selari dengan konsep sebenar perubatan Islam, sehingga menimbulkan
kekeliruan yang serius dalam masyarakat. Sehinggakan menimbulkan satu persepsi yang silap dan
terkebelakang dalam mentakrifkan definasi sebenar Perubatan Islam, lebih malang lagi apabila
sebahagian besar masyarakat awam menganggap Perubatan Islam adalah Perubatan yang hanya
menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran semata-mata. Manakala penyakit yang boleh dirawat pula
hanyalah yang berkaitan dengan gangguan-gangguan makhluk halus sahaja seperti saka, sihir, histeria,
kerasukan dan sebagainya dan tidak lebih daripada itu. Jadi pada asasnya jika ini sahaja yang mampu
diselesaikan oleh Perubatan Islam, maka nyatalah ianya agak tersasar kerana tujuan syariat Islam
diturunkan oleh penciptaNya adalah untuk kesejahteraan seluruh ciptaanNya.

Sebahagiannya pula menceduk sebahagian besar modeliti perubatan tradisional ataupun berasaskan
adat dan tradisi dan dimasukkan beberapa ciri-ciri Islam dalam amalan rawatannya seperti pakaian atau
perwatakan pengamalnya, beberapa ayat-ayat Al-Quran dan sebagainya, akhirnya mereka ini
menyatakan bahawa mereka adalah Pengamal Perubatan Islam yang sebenar, sedangkan telah
tercampur amalan rawatannya dengan amalan tradisi yang berlawanan dengan tuntutan syariat.
Walaubagaimanapun tidak dinafikan sebahagian kecil mereka berjaya mengadaptasikan ciri-ciri Islam
dalam amalan perubatannya dan akhirnya mewujudkan kaedah yang memenuhi tuntutan syariat.

Begitu juga dengan mereka yang terdedah kepada kemodenan sains dan teknologi samada dalam
bentuk perubatan bio-medikal itu sendiri, pemakanan kesihatan ataupun perubatan alternatif moden,
dimana mereka ini juga cuba membawa ciri-ciri Islam di dalam amalan rawatan mereka dan membuat
tuntutan mereka lah Pengamal Perubatan Islam. Senario ini berlaku dimana-mana sahaja, sehinggakan
ada sebahagiannya nyata mempraktikkan sesuatu yang berlawanan dengan tuntutan syariat tapi dengan
terbuka menyatakan mereka mengamalkan Perubatan Islam.

Keadaan ini berterusan sehingga para cendekiawan Islam memperdebatkan isu ini semasa diadakan
Kongres Antarabangsa dalam Perubatan Islam yang pertama di Kuwait pada 1981. Terdapat dua
pandangan utama mengenai definisi Perubatan Islam:
a. Perubatan Islam adalah alternatif kepada perubatan yang datang dari barat. Ini bermakna semua
konsep dan teknik perubatan yang berlainan dari masyarakat barat boleh diterima pakai tanpa

|8
batasan. Prof. Dr. Omar Hassan Kasule dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
menyatakan definisi ini tidak diterima oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam dunia
perubatan Islam. Hal ini adalah kerana sesetengah amalan atau pegangan pengamal perubatan
bertentangan dengan tauhid yang melibatkan unsur-unsur syirik dan khurafat.

b. Perubatan Islam bersifat nasionalisme atau politik. Konsep ini adalah bertentangan dengan ajaran
Islam sendiri. Konsep ini menghendaki supaya umat Islam tidak mempergunakan ilmu perubatan
barat sedang hakikat semua ilmu itu datang dari Allah SWT.

Oleh itu, satu definisi yang tepat dalam mentakrifkan Perubatan Islam telah dicadangkan oleh Prof. Dr.
Omar Hassan Kasule semasa membentangkan kertas kerjanya di Kongres Antarabangsa dalam
Perubatan Islam yang pertama di Kuwait pada 1981:
“Perubatan Islam adalah satu bidang ilmu dan amalan yang berasaskan ilmu sains
perubatan yang mana terkandung di dalamnya paradigma, konsep, nilai dan
prosedur serta rawatan yang selaras dan tidak bertentangan dengan Al-Quran dan
As-Sunnah”.

Hakikatnya, Perubatan Islam pada akhirnya perlu kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah sebagai
petunjuk kebenaran. Sebagai asasnya marilah kita melihat kepada konsep Islam itu sendiri sebagai satu
panduan umum.

Persoalan penting, apakah yang hendak diselesaikan oleh Islam? Apakah masalah sebenar manusia
yang tidak mampu diselesaikan oleh mana-mana sistem atau peraturan kecuali Islam?

Sebelum persoalan ini dijawab, perlulah difahami bahawa Islam tidak boleh dipisahkan daripada realiti
hidup manusia. Kerana manusialah Islam ditanzilkan (diturunkan).
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk seluruh manusia,
untuk menyampaikan berita gembira dan peringatan.” (Saba’:28)

Risalah Baginda Nabi Muhammad SAW adalah untuk kepentingan manusia. Manusia mempunyai sifat
dan tabiat yang unik. Manusia terdiri daripada empat fakulti iaitu jiwa, emosi, minda dan jasad. Keempat-
empat fakulti ini perlu dipandu dan dikawal oleh satu sistem yang lengkap dan bersepadu untuk
melahirkan manusia atau insan yang dapat berperanan sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi

|9
mengikut nilai Rabbani, sekali gus memperlihatkan kematangan serta kedewasaannya dalam kehidupan
di dunia dan layak mengecapi kebahagiaan di akhirat kelak.

Kita mengetahui bahawa setiap undang-undang atau peraturan mempunyai falsafah dan konsep
tersendiri. Undang-undang dan peraturan-peraturan itu, dalam perlaksanaannya, tetap akan menghadapi
masalah dan mempunyai cara-cara penyelesaian tersendiri pula.

Adalah tidak logik dan tidak adil seseorang menuntut undang-undang tertentu untuk menyelesaikan
sesuatu masalah yang timbul akibat daripada perlaksanaan undang-undang yang lain. Islam adalah
undang-undang dan peraturan hidup yang lengkap. Setiap juzuk berkaitan dan berhubungan secara
bersepadu membentuk kesatuan hakiki mencakupi seluruh aspek kehidupan. Sekiranya Islam diberikan
peluang agar tau’iyah dan tarbiyyahnya ditegakkan berdasarkan prinsip-prinsip da’wah Islamiyyah
sebenar, berqudwahkan Rasulullah SAW dan berpandukan sumber wahyu Allah SWT sehingga lahir
masyarakat yang rela melaksanakan undang-undang dan peraturan Islam, maka dikala itu logik dan
adillah Islam dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul. Lihatlah
apakah Islam mampu atau tidak?

Untuk mengetahui cara Islam menyelesaikan permasalahan hidup manusia, seseorang perlu kembali
meneliti dan memahami Fiqh Da’wah Rasulullah SAW. Yakni da’wah yang dibimbing oleh wahyu Allah
SWT, Al-Quran. Di waktu yang sama seseorang perlulah melihat realiti masyarakat sewaktu Rasulullah
SAW diutuskan dari segi politik, ekonomi dan sosial kerana dalam bidang-bidang inilah sering timbul
masalah-masalah yang dihadapi oleh sesuatu masyarakat, bangsa atau negara. Ketika mana Baginda
Nabi Muhammad Rasulullah SAW diutuskan, negeri Arab seperti Syam dan Yaman yang subur dan kaya
dengan hasil mahsul dikuasai oleh Romawi dan Parsi. Tinggallah Hijaz, Tihamah dan Najd yang kering
kontang, dilitupi padang pasir dan dimiliki secara bebas oleh orang-orang Arab yang berpuak dan
berqabilah.

Kalau difikirkan secara biasa, tanpa meyakini bahawa setiap tindakan baginda bersabit dengan konsep
Dakwah Islamiyyah sebenar dan metod penyampaian baginda adalah bimbingan wahyu Allah SWT,
maka sudah tentu seseorang akan membuat andaian-andaian bahawa:
a) Dalam kesempatan Baginda Nabi Muhammad Rasulullah SAW yang memiliki sifat-sifat
kepimpinan, kewibawaan dan pernah diberi kepercayaan oleh pembesar-pembesar Quraisy
untuk menyelesaikan masalah-masalah tertentu, maka sebelum baginda menjalankan Da’wah

| 10
Islamiyyah kepada masyarakat, sudah tentu dengan senang baginda dapat
menyatupadukan umat Arab yang berpuak dan berqabilah di bawah slogan Qaumiyyah
Arabiyyah demi membebaskan bumi Arab dari dijajah oleh Romawi serta Parsi dan
mengembalikan kuasa politik ke tangan umat Arab. Setelah umat Arab bersatu, buminya
dirampas kembali dari tangan Rumawi dan Parsi dengan semangat Qaumiyyah Arabiyyah dan
setelah kedudukan Muhammad SAW sebagai pemimpin kukuh maka dapatlah baginda, dengan
kuasa dan kedudukan yang dimiliki, memantapkan Aqidah Tauhid untuk dianuti oleh masyarakat
dan seterusnya mewartakan Islam sebagai cara hidup mereka. Dengan cara ini, tentulah pada
andaian seseorang yang hanya menggunakan akal, Muhammad Rasulullah SAW tidak akan
menghadapi berbagai-bagai halangan, rintangan, siksaan dan tentangan yang keras daripada
Kafir Quraisy selama 13 tahun dalam usaha untuk menanamkan Aqidah Tauhid ke dalam hati
masyarakat dan menegakkan Islam sebagai ad-Din (sistem hidup). Tetapi andaian ini bukanlah
jalan yang sebenar dan diambil oleh Baginda Nabi Muhammad SAW.

b) Kesempatan yang lain, realiti ekonomi dan sumber kekayaan di zaman Rasulullah SAW dikuasai
oleh segolongan kecil dari masyarakat jahiliyyah. Mereka menguasai aktiviti perniagaan
berasaskan riba. Majoriti rakyat hidup miskin dan melarat. Berdasarkan kesempatan ini, mungkin
seseorang mengandaikan jika Baginda Nabi Muhammad SAW berusaha mengajak majoriti
masyarakat yang miskin dan melarat, lalu menyatupadukan mereka dalam satu saf bagi
melepaskan diri daripada cengkaman golongan feudal dan meningkatkan taraf hidup mereka,
nescaya Baginda Rasulullah SAW dengan senang dapat mempengaruhi dan menyatukan
mereka. Selepas itu bolehlah Baginda Rasulullah SAW menegakkan Aqidah Tauhid dan
seterusnya mentatbiqkan undang-undang Islam dalam kehidupan masyarakat, tanpa bersusah
payah menghadapi tentangan masyarakat Quraisy yang agresif hingga ke tahap ingin
membunuh Baginda Nabi Muhammad SAW. Tetapi andaian ini bukanlah jalan yang dipilih oleh
Baginda Nabi Muhammad SAW.

c) Kesempatan yang lain pula, realiti akhlak orang-orang Arab ketika itu amatlah menyedihkan.
Sesiapa yang kuat dialah berkuasa. Permusuhan, kezaliman dan pergeseran sesama sendiri
sering berlaku. Anak gadis ditanam hidup-hidup. Kemabukan arak, perjudian, amalan pelacuran
dan seumpamanya berleluasa. Mungkin seseorang mengandaikan sekiranya Baginda Nabi
Muhammad SAW mengisytihar dari awal-awal lagi suatu bentuk Dakwah Islamiyyah yang
bertujuan membaiki moral, membentuk disiplin dan membangunkan akhlak tanpa menekankan
permasalahan iman, nescaya Rasulullah SAW akan mendapat sambutan dan sokongan majoriti

| 11
penduduk tanah Arab. Lebih-lebih lagi pada ketika itu masih terdapat di kalangan orang-orang
Arab yang mempunyai sifat-sifat yang baik. Tidak perlu Rasulullah SAW bersusah payah selama
13 tahun berdakwah mengajak manusia supaya beriman kepada Allah SWT dan mentauhidkan-
Nya. Tetapi andaian ini bukanlah jalan yang dipilih oleh Baginda Nabi Muhammad SAW.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui bahawa semua andaian di atas bukan jalan yang betul
untuk menyelesaikan masalah hidup manusia. Allah SWT Maha Mengetahui bahawa masalah hidup
manusia tidak dapat diselesaikan tanpa melalui proses pembentukan iman yakin berasaskan aqidah
yang sahih. Aqidah yang akan menentukan sikap dan nilai sebenar. Apabila aqidah tauhid mengambil
tempat dalam hati dan jiwa para sahabat Rasulullah SAW, dalam suasana mereka menghadapi berbagai
halangan dan tentangan yang keras, maka terbentuklah Aqidah Tauhid yang sempurna terhadap Allah
SWT. Aqidah tauhid menjadi keyakinan dalam kehidupan mereka. Syariat dan peraturan Islam menjadi
praktik hidup mereka.

Apabila manusia mengenal Ilah, beribadah kepada-Nya semata-mata, membebaskan diri daripada
kesultanan manusia serta hawa nafsu dan apabila kalimah “Lailaha Illallah” menguasai
keimanan manusia, pada ketika itu Allah SWT akan menyempurnakan untuk mereka segala sesuatu
termasuklah andaian-andaian seperti tersebut di atas tadi. Dalam masa lebih kurang suku abad sahaja,
bumi Arab yang terdahulu dijajah oleh Romawi dan Parsi telah dapat dikuasai oleh generasi yang
dibentuk oleh Rasulullah SAW melalui proses keimanan kepada Allah SWT dan prinsip-prinsip keimanan
yang lain.

Bersihlah masyarakat Arab daripada sebarang bentuk kezaliman. Tertegaklah peraturan Islam pilihan
Allah SWT yang adil dan saksama untuk manusia. Bersihlah jiwa dan moral masyarakat daripada saki
baki jahiliyyah hingga jarang sekali hukum hudud, qisas dan ta’zir dijalankan pada generasi yang unik
ini.

Inilah pencetus dan pengawas yang kuat dan rapi bertapak di dalam jiwa emosi dan minda mereka.
Pencetus dan pengawas dalaman bukan luaran semata-mata. Mereka melaku atau meninggalkan
sesuatu kerana Allah SWT dan inginkan balasan yang baik daripada-Nya. Inilah rahsia sebenar yang
mungkin tidak terfikir dan difikir oleh orang ramai ketika ini.

| 12
Sering terdengar percakapan-percakapan dan perbincangan-perbincangan di kalangan pemuda-
pemuda dan ahli-ahli fikir Islam dewasa ini mengenai keperluan umat Islam terhadap kekuatan harta
benda, ilmu pengetahuan dan pelbagai bidang ikhtisas untuk menyelesaikan masalah-masalah yang
dihadapi umat Islam dan membangunkan hidup mereka agar lebih maju dan makmur. Namun, amat
sedikit didapati perbicaraan dan tindakan yang serius tentang keperluan umat Islam terhadap keimanan
sebenar, perhubungan hati dengan Allah SWT, kepatuhan kepada titah perintah-Nya dan mencari
keredhaan-Nya dalam semua amalan.

Tegasnya, seseorang perlulah faham dan sedar bahawa setiap amalan yang lakukan dan wasilah yang
dimiliki, tanpa bersandarkan kepada dasar keimanan terhadap Allah SWT, akan sia-sialah segala amalan
dan wasilah itu di sisi Allah SWT. Begitu banyak harta yang menjadi milik orang-orang Islam tetapi tidak
menguntungkan Islam. Begitu juga halnya dalam bidang-bidang lain.

Kejayaan generasi para sahabat yang dibentuk Baginda Rasulullah SAW dalam mengejar matlamat
hidup bukanlah kerana mereka memiliki pelbagai wasilah dan alat kelengkapan yang cukup. Rahsia
kejayaan mereka ialah keimanan sejati, kepatuhan maksimum terhadap titah perintah Allah SWT dan
cita-cita mendalam untuk mendapat keredhaan serta pahala daripada-Nya. Inilah rahsia menyebabkan
mereka bersedia penuh menyahut setiap hajat dan keperluan Islam dari masa ke semasa. Juga rahsia
yang mendorong mereka berkorban dan bangun melaksanakan setiap tuntutan Islam tanpa rasa berat
walaupun menghadapi pelbagai kesukaran.

Ketika Islam berhajatkan kerja-kerja dakwah, maka tampillah para duat yang jujur, berani dan sabar
menyampaikan risalah Allah SWT melalui lisan dan contoh teladan meskipun menghadapi berbagai
halangan dan tentangan daripada musuh. Mereka tetap meneruskan kerja-kerja dakwah tanpa takut atau
mundur ke belakang.

Ketika Islam memerlukan pengorbanan harta benda, maka tampillah mereka yang memiliki harta benda
dan kekayaan, lalu menginfaq kepada Rasulullah SAW dengan penuh rela tanpa rasa bakhil atau sayang
kepada harta benda itu. Hinggalah terdapat di kalangan mereka yang berkata kepada Baginda Rasulullah
SAW, “Apa yang tuan ambil daripada kami adalah lebih baik daripada apa yang tuan tinggalkan.”

Ketika Islam berkehendakkan pengorbanan jiwa untuk mempertahankan kesuciannya daripada dicemari
musuh, maka berlumba-lumbalah mujahid-mujahid Islam memberi khidmat suci demi menyahut

| 13
panggilan Allah SWT. Sungguh banyak pengorbanan, sumbangan dan khidmat bakti mereka untuk
kepentingan Islam semata-mata.

Islam tidak memulakan dakwah dengan mengetengahkan permasalahan furuq tetapi memulakannya
dengan perkara usul (perkara asas atau dasar). Islam di peringkat awal, di zaman Rasulullah SAW, tidak
meminta manusia agar bangun berjihad di medan peperangan, berpuasa, berzakat, meninggalkan arak,
menjauhkan judi dan sebagainya. Tetapi Islam di peringkat awal meminta dan menuntut supaya beriman
kepada Allah SWT semata-mata. Tegasnya Islam bermula dengan aqidah, tidak bermula dengan taklif
atau kewajipan. Aqidahlah yang menjadi asas dalam perlaksanaan taklif (kewajipan). Islam bermula
dengan batin, hati dan fikiran manusia sebelum sesuatu yang lain. Dari titik tolak aqidah yang bertempat
di hati akan berlakulah perubahan dan pembangunan yang hakiki, yakni pembangunan insan di tengah-
tengah alam kebendaan.

Apabila perkara dasar ini menguasai hati dan fikiran mereka yang dibentuk oleh Rasulullah SAW, lahirlah
keperibadian ummah yang berorientasikan iman. Keperibadian itu menjadi kenyataan. Mereka iltizam
dan intizam kepada titah perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW dalam berbagai aktiviti hidup pada
setiap masa tanpa berhajatkan pengawasan luar. Segala sesuatu yang terdahulu menjadi masalah
dalam kehidupan mereka dapat diatasi dan diselesaikan dengan senang.

Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menyelesaikan permasalahan arak hanya melalui tiga potong ayat
Al-Quran.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Mereka bertanyakan engkau (Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah bahawa
kedua-duanya dosa besar dan ada manfaat-manfaat kepada manusia, dosa kedua-duanya
lebih besar daripada manfaatnya.”(Al-Baqarah:219)

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghampiri solah ketika kamu mabuk
hingga kamu tidak ketahui apa yang kamu katakan.”(An-Nisa’:43)

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala dan tenung nasib
adalah kotor dari amalan syaitan, maka hendaklah kamu menjauhinya agar kamu mendapat
kejayaan.”(Al-Maidah:90)

| 14
Dengan tiga potong ayat tersebut, permasalahan arak dapat diselesaikan oleh Rasulullah SAW.
Sebaliknya, kerajaan Amerika suatu ketika dahulu pernah melarang rakyatnya meminum arak.
Dijalankan kempen kepada masyarakat umum menentang minuman arak. Media massa kerajaan
digunakan untuk tujuan tersebut. Hinggalah undang-undang pengharaman arak dikuatkuasakan di
Amerika. Kerajaan Amerika menanggung beban perbelanjaan bagi melaksanakan undang-undang
tersebut sebanyak 250 juta dollar. Akibat daripada pengharaman undang-undang arak itu, seramai 300
orang dikenakan hukuman mati bersabit kesalahan arak dan 500,000 orang dipenjarakan. Denda yang
dikumpulkan sebanyak 400 juta dollar. Namun akhirnya, pada tahun 1933, kerajaan Amerika terpaksa
memansuhkan undang-undang pengharaman arak.

Setiap Muslim dan Muslimah perlu memahami secara sedar bahawa Islam sebagai peraturan hidup
manusia merupakan Qadhiyyah Ilahiyyah (Permasalahan Uluhiyyah) yang bersifat samawi, tidak layak
disamakan dengan peraturan-peraturan hidup ciptaan manusia. Umat Islam yang memahami hakikat ini
sekali-kali tidak akan menyamakan Islam dengan mana-mana peruntukan hasil pemikiran makhluk.

Setiap Muslimim dan Muslimah perlu meyakini bahawa Islam merupakan Deen Allah SWT untuk
manusia sejagat. Mereka perlu yakin bahawa Islam sahaja mampu menyelesaikan masalah manusia
lantaran Islam ditanzilkan oleh Pencipta manusia, iaitu Allah SWT. Sesiapa yang memilih Deen yang lain
maka dia menempa kerugian seperti mana yang diperingatkan Allah SWT.

Firman-Nya yang bermaksud:


“Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai Deen (peraturan hidup) maka sesekali tidak
diterima dan ia di akhirat kelak dari golongan mereka yang rugi.” (Al-Imran:85)

Oleh yang demikian tiada pilihan lain lagi bagi semua ummat manusia, melainkan memilih Islam sebagai
cara hidup, namun begitu kerana usaha menghidupkan agama telah lama ditinggalkan, maka setiap amal
agama mula dirasakan janggal dan rumit. Inilah yang menjadi faktor utama masalah kehidupan masa ini,
dimana cara hidup sebenar telah ditinggalkan, akibatnya bermulalah keruntuhan kehidupan sehingga
timbulnya pelbagai masalah yang merangkumi aspek jiwa, emosi, minda dan jsad manusia. Maka sudah
tentu penyelesaiannya juga adalah jalan yang ditunjukkan oleh Islam dan jalan pembetulan inilah yang
dinamakan Pengurusan Kehidupan. Dengan kata lain, Pengurusan Kehidupan adalah merupakan
kaedah yang mengimbangi kembali kehidupan manusia kepada ketetapan keseimbagan fitrah yang
mengcakupi aspek jiwa, emosi, minda dan jasad melalui aplikasi kehidupan yang seluruhnya menjurus
kepada hamba kepada Khaliq, iaitu Allah SWT.

| 15
Kesimpulannya mana-mana Pengurusan Kehidupan yang memenuhi kriteria syariat, akhlak, akal dan
amalan Islam adalah merupakan Perubatan Islam. Inilah asasnya, contohnya perubatan moden adalah
juga dipelopori oleh Sarjana Islam suatu ketika dahulu, namun atas kecuaian dan kelalaian ummat Islam
sendiri akhirnya ilmu perubatan itu diceduk oleh orang barat dan diubah suai mengikuti keperluan mereka
sehingga melampui keperluan batasan Islam itu sendiri. Diantara perkara utama yang menjadikan faktor
kekurangan pada amalan rawatan perubatan moden mahupun alternatif pada masa ini adalah
memisahkan elemen-elemen kehidupan itu secara tersendiri, semuanya dipisah-pisahkan, para
motivator mengatakan bahawa penyakit timbul kerana seseorang tidak bersemangat, para kaunselor
pula mengatakan bahawa gelagat/sikap yang negatif yang menjadi punca seseorang itu sakit, berlainan
pula dengan pakar pemakanan yang menyatakan bahawa mereka ini sakit kerana kekurangan nutrien,
tidak ketinggalan juga para ahli agama akan sibuk mengatakan bahawa kesilapan amalan harian dalam
melaksanakan hukum syariat atau amalan agama yang menjadi penyebab utama mereka ini sakit
manakala para ahli perubatan moden terlalu mementingkan aspek bio-kimia sehingga pelbagai bahan
kimia/dadah/sentitik perlu diberikan kepada pesakit bagi menggantikan bahan yang sudah tidak lagi
mampu diproses oleh sistem tubuh. Akhirnya apabila ini dilihat secara terasing, maka hasilnya pesakit
akan penuh dengan kekeliruan. Disinilah menunjukkan bahawa hanya Islam sahaja yang mampu melihat
ini secara keseluruhan yang berupaya mecantumkan kedua-dua aspek Syaritullah dan Sunnatullah
serentak dalam mengimbangan ketidakseimbangan kehidupan.

Sebagai asasnya untuk membentuk kembali Perubatan Islam yang sempurna seperti yang asalnya
perlulah kita sebenarnya kembali kepada asas sumber Ilmu iaitu Al-Quran dan As-Sunnah sebagai
rujukan mutlak dan meletakkan kajian sains sebagai sumber sokongan sahaja bukannya sumber utama.

3. TAMADUN MELAYU, PERUBATAN DAN PENGURUSAN KEHIDUPAN


Elemen mengimbangi jiwa, emosi, minda dan jasad kepada asal fitrah penciptaan inilah dinamakan
sebagai satu proses perubatan yang merupakan salah satu daripada komponen Pengurusan Kehidupan
dan Kesihatan. Ciri ini juga adalah merupakan satu komponen utama dalam pengembangan satu-satu
tamadun termasuklah Tamadun Melayu di nusantara ini. Berdasarkan kepada catatan terkini melalui
Teori Benua Sunda, tamadun Melayu telah bermula melebihi 11,500 tahun yang lalu, yang mana ianya
lengkap dengan ciri-ciri ketamadunan meliputi kejuruteraan, perubatan, pelayaran dan lain-lain (Abdul
Ghani Hussian, 2017).

| 16
Pembuktian ini telah membuka lembaran baru dalam memperjelaskan ketamadunan Melayu khususnya
di nusantara ini termasuklah di Malaysia. Perkembangan ini telah membuktika bahawa orang Melayu
terdahulu telah mempunyai keupayaan pengurusan kehidupan yang cukup tinggi nilainya dari semua
aspek kehidupan termasuklah teknologi pelayaran, pembinaan bangunan, persenjataan dan lain-lain
keperluan kehidupan termasuklah penjagaan kesihatan dan rawatan perubatan.

Rajah 1-Peta Benua Sunda

Kenyataan di atas juga telah merumuskan bahawa komponen Pengurusan Kehidupan termasuklah
pengurusan kesihatan telah wujud di Alam Melayu bersama-sama wujudnya tamadun Melayu itu sendiri.
Ini dapat dibuktikan melalui pembuktian sejarah ketamadunan termasuklah catatan yang menukilkan
tatacara orang-orang Melayu menguruskan kesihatan mereka, antaranya melalui manuskrip Perubatan
Melayu yang melebihi 200 naskah dan berusia ratusan tahun (Harun Mat Piah, 2017).

Rajah 2-Contoh Manuskrip Perubatan Melayu

| 17
Kerangka ketamadun Melayu khususnya pengurusan kesihatan ini diperkukuhkan lagi dengan
kedatangan ISLAM melalui syariat Baginda Nabi SAW ke nusantara ini, ini dapat dibukti dengan jelas
pada penelitian manuskrip Perubatan Melayu, dimana terdapat empat ciri keseragaman utama iaitu:-
a. Gaya penulisannya menunjukkan bahawa ianya ditulis oleh golongan agamawan atau ulamak
bukannya orang sebarangan, mahupun teks yang tinggal pada hari ini hanya disalin oleh orang
awam, namun ianya adalah merupakan catatan bersumberkan mereka yang amat bijaksana dan
berpengetahuan yang tinggi dalam ilmu-ilmu Islam.
b. Tiada dinyatakan dengan jelas nama dan tahun ianya ditulis, perkara ini mencermin kan sifat
keikhlasan mereka dalam mewariskan ilmu mereka kepada generasi seterusnya.
c. Setiap ramuan ubatan adalah bersifat dedikasi setempat malah sesetengahnya adalah khusus
untuk individu yang dinyatakan. Ini menunjukan para pengamal ketika itu mempunyai prinsip dan
pengetahuan teras Perubatan Melayu yang sangat khusus, mendalam dan berstruktur.
d. Mempunyai prosedur atau regim rawatan yang holistik dari analisa penyakit, persediaan
rawatan, penyediaan ramuan/terapi, tataracara pengesahan kepastian penyembuhan dan
kaedah menghalang penyakit berulang. Ini membuktikan Perubatan Melayu mempunyai nilai
sains yang tersendiri yang boleh dinamakan sebagai Sains Perubatan Melayu atau Sains
Alamiah.

Malah dalam catatan manuskrip dinyatakan dengan jelas tentang kewibawaan pengamal terdahulu,
dimana mereka terdiri dari mereka yang cukup mahir serta mempunyai sistem perubatan yang sistematik;

"Bab fasal pada menyatakan ilmu tabib yang amat sempurna syaratnya, hakikat mengubati orang
sakit yang dijadikan Allah Taala di dalam dunia ini. Maka hendaklah segala tabib itu tahu akan hakikat
meraksi penyakit orang sakit itu, serasi dengan diakah atau tidak serasi dengan dia. Jikalau tiada
serasi dengan dia, tiadalah kita ubati kepada pematah kita. Maka janganlah kita ubati penyakit orang
itu; kerana beberapa ubat yang kita bubuh itupun tiada akan sembuh, jadi sia-sia juga. Dan jikalau
serasi dengan kita dan boleh pakai pematah kita tatkala ia datang mengubat kita kepadanya, dan
kepada penglihatan kita orang yang sakit itupun boleh kita ubati, maka ubatlah. InsyaAllah Taala
dengan sedikit ubat yang kita beri itu jadi sembuhlah orang itu. Inilah keputusan ilmu tabib" (Harun
Mat Piah, 2017)”

Dengan ini, boleh dikatakan bahawa dunia Perubatan Melayu telah dicorakkan sepenuhnya oleh ulamak
nusantara dengan susun atur yang cukup lengkap dan sempurna serta menepati tuntutan syariat. Segala

| 18
amalan Perubatan Melayu yang tidak berasaskan syariat secara lansung telah terkeluar dari aliran
Perubatan Melayu yang tercatat dan di ajar secara berstruktur dan sistematik sebagaimana yang tercatat
pada manuskrip. Namun tidak dinafikan terdapat unsur syirik/khurafat, maksiat, zalim dan fasik yang
diamalkan oleh pengamal Perubatan Tradisional Melayu, yang mana kesemuanya adalah pengamal
yang mengamalnya secara turun temurun bukannya melalui pendidikan secara berstruktur.

4. PERUBATAN “ALAM MELAYU” DAN PERLEMBANGAN PERSEKUTUAN


Perlembagaan Malaysia, dikenali juga sebagai Perlembagaan Persekutuan mengandungi 183 perkara,
adalah undang-undang tertinggi di Malaysia. Ia merupakan satu dokumen undang-undang bertulis yang
telah dibentuk berasaskan kepada dua dokumen terdahulu iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu
1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan tahun 1957.

Perlembagaan ini telah dirangka berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan
kajian dalam tahun 1956. Perlembagaan berkenaan berkuatkuasa sejurus selepas kemerdekaan pada
31 Ogos, 1957. Ianya bermula dari satu persidangan perlembagaan telah diadakan di London 18 Januari
hingga 6 Februari 1956 yang telah dihadiri oleh satu rombongan delegasi daripada Persekutuan Malaya,
yang mengandungi empat wakil pemerintah, iaitu ketua Menteri Persekutuan (Tunku Abdul Rahman) dan
tiga menteri-menteri lain, dan juga Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya dan penasihat-penasihatnya.
Untuk meminda perlembagaan, satu majoriti dua pertiga (2/3) bersetuju kepada pemindaan ini
memerlukan persetujuan pada kedua-dua pada kedua-dua dewan di parlimen.

Perlembagaan ini dibahagikan kepada 15 bahagian, setiap bahagian mengandungi satu atau lebih artikel
yang relevan.
• Bahagian 1 – Negeri-negeri, agama dan undang-undang persekutuan
• Bahagian 2 – Kebebasan asasi
• Bahagian 3 – Kewarganegaraan
• Bahagian 4 – Persekutuan
• Bahagian 5 – Negeri-negeri
• Bahagian 6 – Perhubungan antara persekutuan dan negeri-negeri
• Bahagian 7 – Peruntukan-peruntukan kewangan
• Bahagian 8 – Pilihanraya
• Bahagian 9 – Kehakiman
• Bahagian 10 – Perkhidmatan awam
• Bahagian 11 – Kuasa-kuasa khas menentang kuasa subversif dan darurat
| 19
• Bahagian 12 – Am dan pelbagai
• Bahagian 13 – Peruntukan sementara
• Bahagian 14 – Perkecualian bagi kedaulatan raja-raja dan sebagainya
• Bahagian 15 – Prosiding terhadap Yang di-Pertuan Agung dan raja-raja

Rajah 3-Perlembangaan Persekutuan

Sebagaimana yang dinyatakan di atas, setiap bahagian ini mempunyai satu atau lebih artikel bagi
memperincikan butiran perlembagaan persekutuan ini. Bagi memperjelaskan topik perbincangan utama
perkaitan dengan Perubatan Melayu terdapat 4 Artikel utama yang perlu difahami iaitu:-
• Artikel 11 Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa Islam merupakan Agama rasmi
Persekutuan. Sungguh pun begitu setiap orang berhak mempraktikkan agamanya sendiri.
• Artikel 152 Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa bahasa kebangsaan merupakan
bahasa Melayu. Walau bagimanapun, perlembagaan menjamin kebebasan pembelajaran dan
penggunaan bahasa-bahasa lain, kecuali di atas tujuan-tujuan rasmi. Tujuan-tujuan Rasmi di
sini bermakna apa-apa tujuan kerajaan, samada negara atau negeri, dan termasuklah apa-apa
tujuan penguasaan awam. Untuk penguatkuasaan ini, semua prosiding mahkamah dan
dokumen-dokumen parlimen serta mesyuarat-mesyuarat mesti dilakukan di dalam bahasa

| 20
Melayu. Tulisan rasmi bagi bahasa Melayu juga dinyatakan di dalam Artikel 152 sebagai rumi
atau tulisan Latin. Walau bagaimanapun, penggunaan Jawi tidak dilarang.
• Artikel 153 Perlembagaan Malaysia memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong,
bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera Malaysia.
Artikel ini secara terperinci memberitahu bagaimana kerajaan persekutuan mempertahankan
kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan mendirikan kuota untuk kemasukan perkhidmatan
awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia biasa dianggap sebagai sebahagian daripada kontrak
sosial.
• Artikel 160 Perlembagaan Malaysia mentakrifkan pelbagai istilah yang digunakan dalam
Perlembagaan Malaysia. Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang Melayu itu
mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa
Melayu dan lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau Singapaura, atau pada
hari merdeka telah bermastautin di Persekutuan atau Singapura.
4 artikel di atas telah merumuskan secara khususnya orang Melayu adalah beragama Islam dan
mendapat keistimewaan khusus yang dijamin didalam Perlembagaan Persekutuan.

5. SITUASI PENGAMAL PERUBATAN TRADISIONAL MELAYU SEMASA


Sejak abad yang lalu, perubatan tradisional telah memainkan peranan yang utama dalam memberikan
penjagaan kesihatan kepada manusia. Perubatan tradisional dan komplementari (PT&K) telah menjadi
semakin terkenal di kalangan masyarakat bagi tujuan penyembuhan penyakit dan penjagaan kesihatan.
Kerajaan Malaysia berusaha dengan sungguh untuk membangunkan bidang ini memandangkan negara
kita kaya dengan sumber asli untuk dibangunkan menjadi produk kesihatan.

Perubatan tradisional dan komplementari boleh menjadi komponen yang penting dalam sistem
penjagaan kesihatan negara ini agar ianya meningkatkan tahap kesihatan dan kualiti hidup rakyat
Malaysia seiring dengan perubatan moden.

| 21
Rajah 4-Perkembangan Perubatan Tradisional dan Komplementari

Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (BPTK), Kementerian Kesihatan telah diwartakan
di bawah Kajian dan Sokongan Teknikal pada Februari 2004. Pengurusan awal adalah pada 1 Disember
2004 di Institute of Medical Research (IMR) untuk 2 minggu. Pada 16 Disember 2004, BPTK memulakan
pengoperasian di Aras 2, Block E, Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur. Kemudian, BPTK telah
dubahagikan kepada beberapa cawangan iaitu Cawangan Pentadbiran dan Kewangan, Cawangan
Dasar dan Perkembangan, Cawangan Amalan dan Pendaftaran dan Cawangan Latihan. Dalam tahu
2007, Aras 3 Blok BPTK telah dijadikan lokasi untuk Cawangan Kaji Selidik dan Cawangan Inspektorat
dan Penguatkuasaan yang mana telah dibentuk untuk pengurusan kaji selidik dan pengawalan aktiviti
amalan di BPTK.

Rajah 5 - Ibu Pejabat Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, KKM

| 22
Pada tahun 2012, Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2013(Akta 756) telah dibentangkan
dan dilulus di parlimen. Atas beberapa masalah teknikal, akta ini telah dimansuhkan dan digantikan
dengan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016(Akta 775) pada 10hb Mac 2016 dan telah
dikuatkuasakan pada 1hb Ogos 2016 secara berperingkat-peringkat. Akta 775 ini mengandungi 11
bahagian yang terdiri dari 63 seksyen (sila rujuk Lampiran 1-Salinan Akta 775) :-
I. Permulaan
II. Majlis PT&K
III. Pentadbiran Am
IV. Pendaftaran Pengamal PT&K
V. Kewajipan dan Tanggungjawab Pengamal Berdaftar
VI. ProsidingTatatertib
VII. Hak Pesakit
VIII. Badan Pengamal PT&K
IX. Penguatkuasaan
X. Am
XI. Peruntukan Peralihan

Dengan penguatkuasaan Akta 775 akan memberikan implikasi kepada keseluruhan amalan perubatan
tradisional dan komplementari di Malaysia termasuklah Perubatan Melayu, antaranya :-
• Menyediakan peruntukan bagi penubuhan Majlis PT&K dan memberikuasa kepada Majlis PT&K
untuk menetapkan perkara yang berkaitan amalan dan pengamal PT&K di Malaysia;
• Mewajipkan individu yang ingin mengamal dalam mana-mana bidang amalan PT&K yang diiktiraf
untuk berdaftar dengan Majlis PT&K serta mekanisme dan kriteria yang berkaitan;
• Menggariskan kewajipan dan tanggungjawab yang perlu dipatuhi oleh seorang pengamal
berdaftar; dan
• Menetapkan bidangkuasa tatatertib Majlis PT&K terhadap pengamal berdaftar termasuk
hukuman tatatertib yang boleh diambil serta prosiding yang berkaitan.

Sebagaimana yang diperuntukan didalam Akta 775, Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari
(Majlis PT&K) telah di tubuhkan pada 16hb Januari 2017 yang lepas yang akan menjalankan fungsinya
sebagaimana berikut :-
• Menasihati Menteri mengenai perkara dasar negara yang berhubungan dengan amalan PT&K;
• Menetapkan kelayakan untuk setiap bidang amalan;

| 23
• Mengiktiraf kelayakan yang diberikan oleh mana-mana institusi pengajian tinggi yang ditubuhkan
dibawah mana-mana undang-undang bertulis di Malaysia atau mana-mana institusi pengajian
tinggi yang diiktiraf dan dibenarkan oleh mana-mana negara luar Malaysia, bagi maksud
pendaftaran di bawah Akta ini;
• Menentukan kelayakan akademik yang sesuai atau perakuan kemahiran yang diiktiraf;
• Menentukan perantisan yang perlu dan latihan yang dikehendaki;
• Mendaftarkan individu yang menyediakan perkhidmatan PT&K;
• Mengeluarkan perakuan amalan kepada pengamal berdaftar;
• Mengadakan kod tatakelakuan profesional, kaedah-kaedah yang berhubungan dengan
tatakelakuan professional pengamal berdaftar;
• Membangunkan, menjalankan, menetapkan dan memberi mandate bagi apa-apa perkara
berkaitan atau berhubungan dengan amalan PT&K atau profesionalisme amalan itu;
• Menentukan, menyediakan dan mentadbir tatacara dan proses aduan;
• Mengadakan kaedah-kaedah yang berdasarkannya pengamal berdaftar merujukkan pesakit
mereka kepada pengamal perubatan atau pengamal pergigian;
• Mendapatkan maklumat berkaitan daripada pengamal dan memberikan itu kepada Menteri;
• Menjalankan apa-apa fungsinya sebagaimana yang ditentukan oleh Akta ini; dan
• Menjalankan segala aktiviti lain sebagaimana yang diarahkan oleh Menteri dan arahan itu
hendaklah selaras dengan tujuan Akta ini.

Secara umumnya penguatkuasa Akta 775 ini dilaksanakan dalam 3 fasa utama iaitu :-
Fasa 1(Sedang berjalan sekarang ini)
• Membolehkan penubuhan Majlis PT&K;
• Penetapan bidang amalan PT&K yang diiktiraf;
• Penetapan kriteria pendaftaran bagi bidang amalan yang diiktiraf; dan
• Badan pengamal yang dilantik oleh KKM sebelum ini terhenti menjalankan fungsinya
sehingga dilantik semula di bawah S42, Akta 775.

Fasa 2(belum ditentukan tarikhnya)


• Memulakan pendaftaran pengamal;
• Merupakan tempoh peralihan dan menggalakkan pengamal untuk berdaftar; dan
• Seksyen yang berkaitan dengan pengawalseliaan pengamal berdaftar akan
berkuatkuasa, antaranya: prosiding tatatertib dan lain-lain.

| 24
Fasa 3(setelah tamatnya Fasa 2 di atas)
• Mana-mana individu yang mengamal bidang amalan PT&K yang diiktiraf tanpa berdaftar
dengan Majlis PT&K telah melanggar Akta 775 dan akan diambil tindakan perundangan

Disamping kefahaman kepada Akta 775, Pengamal Perubatan Melayu juga perlu mengetahui juga
berkaitan dengan :-
a. Garis Panduan Pengiklanan Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016
b. Kod Etika dan Kod Amalan Pengamal Perubatan Tradisional dan Komplementari
c. Garis Panduan Amalan Baik(mengikut Modaliti), Bahagian Perubatan Tradisional dan
Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia
d. Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 dan Peraturan-peraturan di bawahnya.
e. Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998
f. Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturannya
g. Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan-Peraturannya
h. Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturannya
i. Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 dan Peraturan-Peraturannya

Terdapat seramai 4975 orang pengamal Perubatan Tradisional Melayu di seluruh negara di rekodkan
pada tahun 2014, namun begitu berdasarkan kepada senario semasa dianggarkan keseluruhan
pengamal yang aktif di seluruh negara adalah melebihi 6000 orang (FRIM, 2015). Sehingga November
2016, pengamal Perubatan Tradisional Melayu yang berdaftar dengan Gapera adalah berjumlah 1963
orang, 93% daripada mereka tidak mempunyai pendidikan yang formal yang diiktiraf oleh pihak berwajib
dan lingkungan usia mereka yang berdaftar ini adalah berada diantara umur 25 hingga 45 tahun (Gapera,
2016).

Berdasarkan kepada statistik diatas adalah menjadi satu keperluan khusus untuk mengumpulkan semua
Pengamal Perubatan Tradisional Melayu di dalam satu wadah dan wacana keilmuan bagi
memartabatkan warisan ini ke persada arus perdana. Kerja ini adalah bukannya satu kerja yang mudah
memandangkan Perubatan Tradisional Melayu telah ditinggalkan penelitian pengkajian ilmiah semenjak
beberapa dekad yang lalu, sehinggakan seumpama telah kehilangan kekuatannya yang tersendiri.

Pemfaktor utama kepada pemasalahan ini adalah kerana ketiadaan institusi pendidikan/kemahiran yang
menawarkan kursus berasaskan Modaliti Perubatan Tradisional Melayu(PTM) pada masa ini, samada di
peringkat kerajaan mahupun pihak swasta. Situasi ini di burukkan lagi dengan ketiadaan piawaian

| 25
pendidikan akademik atau latihan kemahiran bagi Modaliti Perubatan Tradisional Melayu, jika ada
sekalipun ianya hanya berada pada tahap kesejahteraan bukannya mengandungi pengetahuan yang
membawa kepada tahap terapuetik.

6. KESIMPULAN

Rajah 6-Metodologi Awalan Penelitian

Berdasarkan kepada Rajah 6 di atas, boleh diringkaskan perbahasan yang diutarakan adalah
membincangan aspek pandangan pengamalan secara tradisi Perubatan Tradisional Melayu, Konsep
Perubatan Islam, ketamadunan Perubatan Melayu melalui catatan manuskrip, perundangan semasa
melibatkan Akta Perubatan Tradisional dan Komplimentari 2016(Akta 775) dan pengamalan semasa oleh
pengamal. Setelah mengambil kira pelbagai faktor yang dibentangkan ini, maka adalah dicadangkan
agar usaha untuk mengembali kesinambungan dan kegemilangan Perubatan Islam “Alam Melayu” ini
disatukan dibawah satu konsep iaitu Perubatan Melayu. Ini adalah kerana pemecahan elemen dan
kaedah rawatan perubatan yang telah terlalu banyak, walaupun kadang-kadang yang berbeza hanyalah
terminalogi sahaja. Keduanya adalah kerana persepsi silap masyarakat awam terhadap Perubatan
Melayu yang hanya mempunyai keupayaan rawatan kepada perkara-perkara yang mistik dan misteri
sahaja. Seluruh tenaga perlu digembeling kembali dibawah satu usaha yang menyeluruh untuk
membangunkan kembali aspek Perubatan Melayu yang sememangnya sempurna dan holistik serta
mempunyai sumber rujukan yang begitu sempurna dan mutlak iaitu Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan
Qias. Oleh yang demikian, adalah dicadangkan bagi membangunkan kembali kegemilangan amalan
Perubatan Melayu terdahulu, ianya dicadangkan agar takrifkan sebagaimana berikut :-
“Perubatan Melayu adalah satu bidang ilmu dan amalan yang berasaskan tradisi
perubatan melayu dan juga ilmu sains perubatan yang mana terkandung di dalamnya
paradigma, konsep, nilai dan prosedur serta rawatan yang selaras dan tidak bertentangan
dengan Al-Quran dan As-Sunnah.”

| 26
RUJUKAN
______________, 2015, Statistik Pengamal Perubatan Tradisional Melayu Semenanjung
Malaysia(2013-2014), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Kepong, Selangor.

Dr. Arief Salleh Hj Rosman, 2016, Nota Kuliah Gagasan Baru Perubatan Alam Melayu, CFiRST-
UTM Skudai, Johor.

Mohd Arof Ishak, 2016, Tamadun Alam Melayu, Persatuan Sejarah Perak, Kuala Lumpur.

Norhissam Mustafa, 2016, Asas Metodologi Rawatan Alami Melayu (RAM), IPKIM Johor Bahru,
Johor.

Prof. Dr. Hamka, 2016, Sejarah Umat Islam (Pra-Kenabian hingga Islam di Nusantara), Gema Insani,
Jakarta.

Zaharah Sulaiman et al., 2016, Asal Usul Melayu, Induknya di Benua Sunda, Universiti Pendidikan
Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.

Norhissam Mustafa, 2016, Cabaran Pengamal Perubatan Melayu Setelah Akta 775
dikuatkuasakan, Gapera, Kuala Lumpur.

______________, 2016, Undang-Undang Malaysia(Akta 775) : Akta Perubatan Tradisional dan


Komplementari 2016, Kerajaan Malaysia, Putrajaya.

______________, 2006, Al Quran Terjemahan, Yayasan Restu, Shah Alam, Selangor.

Dr. Abd Ghani Hussain, 2017, Nota Seminar Perdana Pemerkasaan Perubatan Tradisional Melayu,
Gapera, Kuala Lumpur.

Prof. Dr. Hamka, 2016, Sejarah Umat Islam (Pra-Kenabian hingga Islam di Nusantara), Gema Insani,
Jakarta.

Dr. Harun Mat Piah, 2017, Kitab Tib Muzium (Edisi dan Huraian Teks), Institut Penyelidikan
Perhutanan Malaysia, Kepong, Selangor.

| 27

Anda mungkin juga menyukai