Anda di halaman 1dari 11

Warkah Wasiat Raja Haji Fisabilillah

Pada semua bangsa Melayu

Oleh Afrizal Burhan ·

SEGALA puji bagi Allah dan selawat salam ke atas Nabi serta
keluarganya sekalian. Ke hadrat umat Melayu di seluruh dunia. Wa
ba’du, maka inilah warkah daripada Raja Haji yang fakir lagi hina
di depan Allah taala. Demi malaikat yang menjadi saksi, demi pena
yang melarikkan wacana dan demi lembaran yang menjadi
wahana.

Ketahuilah olehmu wahai umat Melayu, peperangan ini bukanlah


peperangan orang-orang Bugis. Tetapi ini adalah peperangan untuk
mengembalikan maruah dan kehormatan sekalian diri orang-orang
Melayu yang telah dipijak-pijak oleh penjajah Belanda laknatullah.
Akan tetapi Belanda itu telah mencanangkan bahawa aku dan
sekalian orang Bugis tidak berpuas hati dengan pengagihan hasil
rampasan tembakau dari Kapal Betsy kepunyaan Perancis yang
menceroboh Selat Melaka itu. Adapun kita adalah orang-orang
Melayu yang beriman kepada Allah Taala juga menyakini bahawa
peristiwa itu hanyalah asbab yang telah menyatukan orang-orang
Melayu dari Teluk Ketapang, Selangor, Rembau dan dari Batang
Tiga untuk menghambat Belanda keluar dari Punggor, Duyung,
Pernu, Semabok, Ujung Pasir, Bunga Raya, Bandar Hilir, Bukit
Cina, Tanjung Keling dan Tengkera sebelum kita berkubu di Teluk
Ketapang. Orang Serani, Cina dan India turut bergabung dengan
kita dalam peperangan ini. Kini Gabenor Belanda menjadi seperti
tikus dikejar naga berkubu di Kota Melaka. Ke hilir kena kutuk
sultan, ke mudik kena kutuk raja.

Page 1 of 11
Yakni dengan kata lain, peperangan ini adalah untuk
mengembalikan tanah, udara, air dan laut yang telah dirampas oleh
penjajah kepada orang-orang Melayu yang sudah beratus tahun
membina kehidupan, membina kota dan pelabuhan di tanah air ini.
Jikalau terdapat satu pun kampung, daerah, kota dan pelabuhan
yang terbakar dan ditawan oleh penjajah, maka seluruh orang
Melayu di seluruh kampung, daerah, kota dan pelabuhan wajiblah
bangun menentang dan menghalau mereka. Sesungguhnya orang-
orang Melayu itu bersaudara dan kita tidak akan kalah dalam
mana-mana peperangan pun, jika kita bersatu padu di jalan Allah.

Syahadan untuk kita bersatu di jalan Allah bukanlah suatu perkara


yang mudah. Ia bagai mengepal pasir yang kering. Syaitan adalah
musuh yang nyata sama ada yang terang-terang terlihat pada mata
kasar mahupun yang berselindung di sebalik hati manusia. Terbukti
kebenaran wahyu sejak kakiku berjejak di Terengganu, Pahang,
Johor, Selangor, Kedah, Langkat, Inderagiri, Jambi, Bangka,
Pontianak, Mempawah dan negeri-negeri Melayu yang lain.

Telah bersungguh-sungguh aku membantu meleraikan


persengketaan yang berlaku sesama sendiri dan mematahkan
muslihat penjajah laknatullah. Mana dapat dibuat damai, maka
damailah yang kumeterai. Mana yang berkehendakkan peperangan,
maka peperanganlah yang kupimpin kerana sudah dua ratus tahun
lebih kita masih dijajah bahana berebutkan kuasa yang tidak habis-
habisnya, saling berhasad dengki dan bersubahat dengan musuh.
Yang ruginya rakyat jelata. Tanah diambil, hasil diperas dan tubuh
diperhamba.

Page 2 of 11
Maka pada hari ini, tanggal 19 Rejab 1198 Hijrah bersamaan
dengan 17 Jun 1784, di Tanjung Palas Teluk Ketapang inilah
warkah yang tertulis. Warkah ini kutulis di atas sejadah, mengadap
kiblat dalam keadaan berwuduk setelah selesai solat dan doa
panjang untuk sekalian umat Melayu. Al-Quran di sebelah
kananku. Kitab Dalilul Khairat di sebelah kiriku. Badik pusaka di
pinggangku.

Sungguhpun demikian, aku amat menyedari bahawa terdapat di


kalangan armada perang Melayu yang aku satukan dan pimpin ini
terdapat golongan Melayu yang menjadi musuh dalam selimut.
Berwajah Melayu berhati Belanda. Usahlah ditanya bagaimana aku
mengetahuinya kerana tahu di angin turun naiknya. Apabila Allah
mengkehendaki terjadi sesuatu perkara, maka tiadalah siapapun
yang dapat mengelakkannya.

Biarkan sahaja mereka menyelinap ke dalam kubu kami dan


mengepung aku. Syak fasik, yakin salih; batulah yang jadi juadah!
Nah, wahai si munafik! Aku sesekali tidak pernah takut kepada
kalian. Marilah kita berdepan sebagai seorang lelaki Melayu yang
sejati! Engkau kendonglah panji perjuanganmu. Aku junjung panji
perjuanganku! Nyawa kita di tangan Allah. Matiku di medan
perang ini, tandanya sentiasalah aku hidup di sisi Allah Taala.
Matimu di medan perang ini, tandanya celakalah engkau di akhirat
kelak.

Seyogia, ketahuilah saudaraku. Walau apapun yang terjadi


kepadaku janganlah dimungkirkan kafiat jalanku ini kerana ia akan
hanya mengulangi kekhilafan malaikat apabila Allah menyatakan
kehendak-Nya mahu menciptakan manusia untuk dijadikan

Page 3 of 11
khalifah di atas muka bumi yang akan ada di kalangan manusia
saling menumpahkan darah.

Janganlah kita lupa pengakuan azali kita di depan Allah.


Janganlah kita melupai ilmu yang Allah ajarkan secara langsung
daripada sisi-Nya kepada kita. Kerana dengan itulah kita, manusia
ini, dibangga-banggakan Allah di hadapan para malaikat-Nya, kata
Allah ‘Sudah kunyatakan bahawa aku lebih mengetahui daripada
apa yang kamu tahu.’

Allah Maha Besar!

Andai aku mati di medan perang ini akan berlanjutan fitnah demi
fitnah yang tidak habis-habis, menghujani orang-orang Melayu di
sepanjang sejarah akan datang. Manusia Melayu munafik,
pengkhianat, pendengki dan petualang akan sentiasa muncul di
kalangan kalian sebagai semut hitam yang melata di atas batu
hitam pada waktu malam, tanpa bulan dan bintang.

Akan ada di kalangan kalian, Melayulah juga ia, yang akan


menyambung lidah Belanda menuduh aku berjuang dan berperang
kerana mabukkan harta dan kuasa. Sesungguhnya moyang
poyangku para Opu Daeng Lima Bersaudara bukanlah mahu
disanjung-sanjung dan dimegah-megah. Memadailah kukatakan
apa yang kami inginkan ialah bangsa kita umat Melayu ini hidup
bermaruah dan mempunyai kehormatan diri.

Maka Maha Adillah Allah Taala sebagaimana terdapat golongan


yang munafik dan petualang bangsa, akan ada golongan di
kalangan umat Melayu sesudah kami ini yang akan menyambung

Page 4 of 11
perjuangan kami. Mereka menyambut panji perjuangan kami
dengan penuh harga diri. Dalam hati merekalah aku hidup dan
menjadi cita-cita mereka pula mati kerana berjuang. Semangat
mereka menyerupai kami, walaupun bilangan mereka tidaklah
seramai golongan munafik dan petualang.

Mereka berani mati sehinggalah si petualang bangkit daripada


sujud tatkala imam dan jemaah masih bersujud, lalu ditancamkan
pisau di belakang antara mereka. Maka sesekali tidak mengundang
gundah kerana apabila sudah datang janji Allah, maka syahidah
dia. Jika yang ditikam itu masih terus hidup, maka dia akan
menjadi saksi kepetualangan si munafik tersebut, lalu mudahlah
dicam dan diberkas seketika itu juga. Maha Besar Allah Yang Awal
dan Yang Akhir.

Ketahuilah wahai saudaraku. Bahawasanya umat Melayu tidak


akan sesekali ghaib daripada muka bumi ini yang Allah telah
takdirkan gunung, dataran, sungai, kuala, selat dan lautan
untuknya. Semuanya akan diwariskan Allah kepada raja yang adil
lagi saksama dan pembesar yang mukmin dan mukminat untuk
memerintah. Maka Allah mengurniakan rahmat dan berkat
daripada tujuh petala langit dan tujuh petala bumi dan semua
penduduk bumi dan langit mendoakan kesejahteraan bagi segenap
isi negeri.

Sesungguhnya akan tibalah pada hari dan zaman itu orang-orang


Melayu semuanya akan bersatu dan sanggup mati di jalan Allah.
Mereka bersedia berperang dengan musuh daripada belahan dunia
mana sekalipun. Kota-kota mereka terbina daripada peradaban
ilmu yang dihiasi dengan mutiara kebijaksanaan. Ulama dan
cendikiawan diterima sebagai penasihat ulil amri. Para ahli sufi

Page 5 of 11
terbebas daripada fitnah ajaran sesat dan batil. Rakyatnya cukup
makan dan untung berniaga, tanpa ada penindasan dan
perampasan. Kaum-kaum lain mendapat naungan dan jaminan
keadilan sehingga taat dan setia mereka tidak berbelah bahagi lagi.
Zaman makmur itu akan tiba juga apabila hak-hak Allah dipenuhi.
Hak-hak rakyat dilaksanakan. Peraturan-peraturan mereka
ditimbang dengan syariat dan disukat dengan adat.

Syahadan, ketahuilah olehmu wahai saudaraku. Ingatlah bahawa


ranting yang akan melenting, dahan yang akan mencucuk dan duri
yang akan mengait. Justeru tetapkanlah waspada sebagai pengawal
di pintu gerbang zaman makmur. Bulan terang paksa baik: payang
ke laut, baluk pun ke laut juga. Runtuhnya zaman makmur
kerajaan Melayu sebelum ini adalah kerana raja dan pembesarnya
sudah ada biduk, tetapi serempu pula. Lalu timbullah perebutan,
hasad, iri hati dan sengketa. Kalau rakyatnya pula suka menuntut
piutang lapuk. Ditelan kemewahan dilambung mabuk. Ada juga
yang menjadi seperti itik bertaji. Tandanya, keris tersisip di
dinding, pedang tajam dalam sarungnya sahaja.

Musuh yang nyata disetiakawankan. Manakala sesama sendiri


sanggup ‘berjuang’ hingga memancung leher. Kesudahan mereka
adalah dengan suul khatimah kerana lekat pada ingatan mereka
akan harta dan kuasa yang terlepas daripada tangan. Dipamerkan
pula tempatnya di neraka jahanam, wa nauzubillah. Itulah jihad di
jalan syaitan adanya. Benarlah, ujian-ujian daripada Allah turun
bersama-sama zaman makmur.

Maka jika kita alpa dan lalai diri dengan melakukan kegiatan dan
perbuatan yang dilarang Allah, maka tunggulah bala bencana
daripada tujuh petala bumi dan tujuh petala langit bertali arus

Page 6 of 11
menimpa umat Melayu itu. Ya Allah menitis pula air mataku.
Ketahuilah bahawa aku tidak pernah menitiskan air mata sebagai
seorang lelaki Melayu berhati kecut. Tetapi air mataku ini mengalir
apabila memikirkan anak cucu cicit yang terkemudian hari. Apalah
pula ujian dan balanya; apalah pula sengketanya; apalah pula
pengkhianatannya; apalah pula penyelewengannya dan apalah pula
kesudahannya.

Segala ribut badai perasaanku menyatu bersama ingatan terhadap


junjungan nabi kita ketika saat-saat sakaratulmaut menjelang, telah
terucap di mulutnya yang mulia ‘umatku, umatku, umatku!’
Aduhai Nabi kekasih Allah! Ingatlah pada zaman manapun kalian
berada sentiasalah berselawat ke atas nabi dan beramal dengan
sunnah-sunnahnya kerana itulah penyelamat agung penyedar
daripada alpa dan lalai, pengikis sifat munafik dan menghidupkan
jiwa.

Ya Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad pada


awalnya

Ya Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad. pada


akhirnya.

Ya Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad pada


setiap ketika.

Tatkala sampai di baris ini, aku sedang melihat berpuluh kapal


perang armada Belanda pimpinan Peter van Braam dari Betawi itu,
sudahpun tiba di pantai. Demi Allah, yang hidup dan matiku
hanyalah di tangan-Nya, sedikitpun aku tidak berasa gentar, apatah
lagi untuk berundur walau seinci pun ke belakang kerana kuyakini

Page 7 of 11
Allah sentiasalah ada bersamaku dengan panji janji-Nya dan panji
kebenaran-Nya. Biarlah luka di dada jangan luka di belakang.

Rencana si munafik itu sampailah ke kemuncaknya apabila mereka


dapat masuk menyelinap ke dalam kubuku, merampas pemurasku
yang disandarkan ke dinding, maka ketika itu sampailah ilham
daripada Allah kepadaku. Bahawa aku kini hanya ada sebilah badik
tersisip di pinggang dan hijap yang terangkat antara aku dengan
Tuhanku. Seraya langsung aku memanjatkan doa, “Ya Allah
sesungguhnya aku telah dizalimi dan dikhianati. Aku bentangkan
ke hadrat-Mu seluruh pengharapan-Mu dengan segala fakir dan
hina diriku, Engkau jadikanlah warkahku ini terhijab daripada
pandangan mata setiap munafik dan musuh-musuhku serta Engkau
peliharakanlah warkahku ini hingga sampai ke hujung zaman agar
dapat dibaca dan ditilik oleh anak cucu cicit kami pada kemudian
hari.

“Ya Allah. Tidak sampai hati mahu kupinta celaka untuk


segolongan Melayu yang bersubahat dengan penjajah itu. Ya Allah
jadikanlah anak cucu cicit kami di kemudian hari berjuang dan
berperang dengan lebih berani dan gagah di jalan-Mu. Ya Allah
tempat aku juga di sisi kekasih-Mu, Rasulullah yang aku rindui
dan cintai segenap hatiku sekiranya aku gugur di jalan-Mu Ya
Allah. Sungguh Engkau Maha Mengabulkan doa.”

Tatkala itu munafik-munafik itu mahu menangkap aku yang masih


bertimpuh di atas sejadah. Namun demikian dengan kuasa Allah
Taala segala sendi pada tubuh mereka, terkunci kaku seperti patung
adanya. Maka bingkaslah aku daripada duduk lalu aku pandang
satu persatu wajah-wajah Melayu munafik itu. Benarlah, peluru
perak pemecah kubu yang kuat. Sungguh kawat yang dibentuk,

Page 8 of 11
ikan ditebat yang diadang. Tiada gunanya lagi kata-kata kerana
perut tidak bertelinga. Sesudah itu berjalanlah aku menuju ke muka
kubu dan tersergamlah kapal perang penjajah laknatullah itu pada
pandanganku. Inilah Raja Haji yang kalian cari-cari. Syarak yang
mengata, adat yang memaksa. Dengan badik di tangan kanan dan
Dalilul Khairat di tangan kiri, lidahku berwiridkan selawat.

Bammm!!!

Bunyi bedilan sebuah meriam daripada salah sebuah kapal Belanda


yang muncungnya dihala ke batang tubuhku, bergema ke udara.
Ah! Sungguh beruntung pengkhianat itu kerana dapat menyaksikan
lagi kuasa Allah apabila peluru lela rentaka meletup di dalam
lubangnya sendiri, lalu terpelantinglah askar Belanda berselerak di
atas kapal dan sebahagiannya pula jatuh ke dalam laut. Beranak
pinaklah pula bunga-bunga api membakar kapal perang itu.
Panglima Perang Belanda Peter van Braam nyatalah amatlah
terkejut adanya. Bertambah maraklah lagi semangat jihad yang
menjulang-julang dalam dada pejuang-pejuang Melayu. Bertambah
amuklah mereka hingga berkecamuk barisan penembak pasukan
askar Belanda itu.

Lantas bertafakurlah aku apabila melihat keadaan itu. Aku berserah


sepenuhnya kepada Allah untuk menetapkan apa jua keputusan-
Nya. Beberapa ketika kemudian dapatlah aku ilham daripada-Nya
seraya aku bermohon, “Ya Allah aku berserah kepada-Mu seluruh
jiwa dan ragaku. Aku rela syahid Ya Allah di jalan-Mu, daripada
kehormatanku dan kehormatan umat Melayu ini dipijak-pijak oleh
penjajah laknat ini setelah ditipudayakan oleh petualang daripada
bangsa kami sendiri.” Arakian Panglima Perang Belanda itu sendiri

Page 9 of 11
segera menyalakan sumbu ubat bedil merim lela rentaka yang
muncungnya dihalakan tepat ke dadaku.

Bammm!!!

Maka sampailah janji Allah. Mencurahlah darah daripada dadaku.

Jasadku rebah ke tanah. Tiada Tuhan Melainkan Allah. Maka


terpinga-pingalah para munafik dan petualang apabila melihat
askar penjajah memijak-mijak batang tubuhku, membakar al-
Quran dan Dalilul Khairat. Badikku pula dilemparkan ke dalam
laut. Pecahlah kapi, putuslah suai. Datanglah masyghulku, tetapi
seketika itu juga difahamkan Allah kepadaku bahawa itulah tanda-
tanda doaku yang telah dimakbulkan Allah.

GLOSARI:

• Ke hilir kena kutuk sultan, ke mudik kena kutuk raja = Orang


yang serba salah kerana melanggar perjanjian.

• Bagai mengepal pasir yang kering = Kesukaran menyatukan


perbezaan pandangan tahu di angin turun naiknya, tahu tentang
alamat tentang peristiwa yang bakal terjadi.

• Syak fasik, yakin salih; batulah yang jadi juadah = Yakin maksud
tercapai.

• Ranting yang akan melenting, dahan yang akan mencucuk dan


duri yang akan mengait = Halangan dan rintangan dalam sesuatu
usaha.

Page 10 of 11
• Bulan terang paksa baik: payang ke laut, baluk pun ke laut juga =
Dalam zaman kemakmuran semua orang berlumba-lumba mencari
keuntungan.

• Sudah ada biduk, tetapi serempu pula = Berebut kuasa.

• Menuntut piutang lapuk = Melakukan sesuatu yang sia-sia.

• Itik bertaji = Sangat penakut tetapi sombong.

• Keris tersisip di dinding, pedang tajam dalam sarungnya =


Perbuatan yang pandir.

• Biarlah luka di dada jangan luka di belakang = Biar alah kerana


melawan jangan alah kerana melarikan diri.

• Peluru perak pemecah kubu yang kuat = Kerana duit semuanya


dibongkarkan

• Sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat yang diadang = Tipu


muslihat yang tersembunyi demi mencari keuntungan diri.

• Perut tidak bertelinga = Nasihat yang tidak akan diturutkan

• Syarak yang mengata, adat yang memaksa = Syarak dan adat


tidak dapat dipisahkan

• Pecahlah kapi, putuslah suai = Sesuatu yang tidak dapat dibaiki


lagi (sejarah) dan menanggung malu teramat sangat.

http://www.facebook.com/groups/malayresearchcenter/doc/269214
019775483/

Page 11 of 11

Anda mungkin juga menyukai