Anda di halaman 1dari 3

Instrumen Kajian Dalam Penyelidikan Kualitatif

Salam Sejahtera kepada siswa siswi PISMP PSV IPGK Keningau.

Penulisan kali ini memfokuskan kepada apakah instrument kajian menurut kaedah
penyelidikan kualitatif. Saya berharap para pelajar dapat memahami dengan jelas apakah
persediaan instrument kajian apabila anda memilih metodologi kajian mengikut pradigma
penyelidikan kualitatif. Semoga penulisan ini juga dapat membantu anda dalam menjayakan
penyelidikan kajian tindakan anda dengan jayanya.

Menurut Creswell (1994) dalam kajian kualitatif penyelidik bertindak sebagai instrumen
kajian. Dalam penyelidikan, penyelidik adalah instrumen utama yang bertindak untuk
memungut data secara pemerhatian, temu bual dan analisis data di lapangan seterusnya
menganalisis data. Justeru, penyelidik perlu berada dalam situasi yang dikaji, contohnya
mendengar dan memerhati sendiri fenomena yang menjadi persoalan utama dalam kajian.
Penyelidik mempunyai tanggungjawab menganalisis peristiwa-peristiwa yang berlaku di
persekitaran ketika menjalankan kutipan data. Kutipan data dijalankan adalah secara
berterusan.

Penyelidik menggunakan alat-alat bantu untuk mengumpulkan data seperti panduan


pemerhatian, panduan temu bual, borang pemerhatian dan borang temu bual. Panduan
pemerhatian digunakan agar penyelidik dapat melakukan penyelidikan sesuai dengan tujuan
kajian. Panduan temu bual digunakan agar temu bual yang dilakukan tidak menyimpang dari
tujuan penyelidikan ini. Panduan-panduan ini disusun berdasarkan tujuan penyelidikan.
Borang pemerhatian dan borang temu bual digunakan untuk merekod hasil pemerhatian dan
temu bual. Penyelidik juga menggunakan rakaman video digital, rakaman audio digital dan
kamera digital. Penggunaan alat-alat bantu sangat penting untuk merakam peristiwa-
peristiwa di persekitaran ketika menjalankan kutipan data agar dapat menjadi rujukan
penting jika berlaku kekeliruan dan keciciran data ketika di lapangan (Chua Yan Piaw,
2006). Lofland & Lofland (1995) mencadangkan bahawa jika nota-nota lapangan
diperlengkap dengan pita rakaman, penyelidik sepatutnya menyalin nota lapangan
secepatnya agar lebih banyak masa ditumpukan kepada analisis data.

Menurut Othman Lebar (2009) dan Sabitha Marican (2005), penyelidik sebagai instrumen
utama dalam penyelidikan ini memiliki beberapa kelebihan dan kelemahan. Antara
kelebihannya ialah penyelidik dapat melihat, merasakan, dan mengalami apa yang terjadi
pada subjek yang diselidiknya. Oleh itu, penyelidik akan memahami makna-makna realiti
yang dilihat, dirasakan dan dialami. Penyelidik mampu menentukan bila penyimpulan data
telah mencukupi, data telah jenuh dan penelitian dihentikan. Penyelidik dapat melakukan
pengumpulan data, menganalisisnya, melakukan refleksi secara terus menerus dan
membangun pemahaman yang menyeluruh tentang sesuatu fenomena yang dikaji (Miles &
Huberman, 1994). Sementara beberapa kelemahan penyelidik sebagai instrumen ialah
penyelidik secara tidak sedar mencampuradukkan antara data lapangan hasil tinjauan
dengan pemikirannya sendiri. Penyelidik sangat dipengaruhi oleh kemampuan menyelidik
dalam menulis, menganalisis, dan melaporkan hasil penelitian (Othman Lebar, 2009).
Penyelidik juga harus memiliki kesabaran untuk mengikuti dan mencatat perubahan-
perubahan yang terjadi pada subjek yang diselidiknya.

Penyelidik sebagai instrumen melalui proses pemerhatian adalah suatu proses mengumpul
maklumat primer secara terbuka melalui pemerhatian individu di tempat kajian (Creswell,
2008). Menurut Merriam (1998) seorang pemerhati yang bertindak sebagai orang luar akan
dapat mengesan sesuatu yang menjadi rutin kepada subjek dan perkara yang boleh
membawa kepada pemahaman konteks. Pemerhatian mempunyai kelebihan untuk merekod
maklumat sebenar tentang apa yang berlaku dalam persekitaran untuk mengkaji tingkah
laku sebenar (Creswell, 2003). Penyelidik mencatat nota lapangan semasa pemerhatian
kerana ia adalah cara terbaik untuk mengumpul dan mendokumentasikan perkara yang
diperhatikan (Gay et al., 2006). Patton (2002) menyatakan terdapat tiga jenis teknik temu
bual iaitu temu bual berstruktur, semi struktur dan tidak berstruktur. Dalam kajian ini,
penyelidik telah menggunakan temu bual semi struktur. Menurut Merriam (1998) dan Stake
(1995), temu bual semi berstruktur menyediakan peluang untuk penyelidik mendapatkan
maklumat lanjut daripada subjek. Tujuan penyelidik membuat analisis dokumen adalah
untuk menyokong data yang diperoleh melalui pemerhatian dan temu bual (Othman Lebar,
2009). Menurut Lofland dan Lofland (1995), sumber data utama dalam penyelidikan kualitatif
ialah kata-kata dan tindakan, selebihnya adalah data tambahan seperti dokumen dan lain-
lain.

Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik / Penyelaras Kajian Tindakan
Jabatan Seni Visual dan Muzik
IPGK Keningau

Rujukan:

Creswell, J. W. (1994). Research Design, Qualitative & Quantitative Approaches.Thousand Oaks,


CA: Sage.

Creswell, J. W. (2003). Research Design: Qualitative, Quantitative, and Mixed Methods


Approaches. Thousand Oaks, CA: Sage.

Creswell, J. W. (2008). Educational Research Planning, Conducting, and Evaluating Quantitative


and Qualitative Research. Upper Saddle River, NJ: Pearson Education International.

Chua Yan Piaw. (2006). Kaedah dan Statistik Penyelidikan: Kaedah Penyelidikan Buku 1. Kuala
Lumpur: McGraw-Hill ( Malaysia ) Sdn. Bhd.

Lofland, J & Lofland, L. H. (1995). Analyzing social settings (ed. 3rd ). Belmont, CA: Wadsworth.

Othman Lebar. (2009). Penyelidikan Kualitatif Pengenalan Kepada Teori dan Method. Tanjong
Malim: Penerbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Sabitha Marican. (2005). Kaedah Penyelidikan Sains Sosial. Petaling Jaya: Pearson Prentice Hall.

Miles, M.B & Huberman, A. M. (1994). Qualitative data analysis: An expanded


sourcebook. Thousand Oaks, CA: Sage.

Gay, L. R., Mills, G. E. & Airasian, P. W. (2006). Educational Research: Competencies for Analysis
and Applications (ed. 8). Upper Saddle River, NJ: Prentice Hall.

Patton, M. Q. (2002). Qualitative Research & Evaluation Method. London: Sage.


Merriam, S. B. (1998). Qualitative Research and Case Study Applications in Education. San
Francisco: Jossey-Bass.

Stake, R. E. (1995). The Art of Case Study Research. Thousands Oaks, CA: Sage.

Anda mungkin juga menyukai