Anda di halaman 1dari 1

TAJUK: AKHLAK NABI MUHAMMAD SAW

Assalamualaikum WBT dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada barisan para
hakim, guru-guru serta rakan-rakan yang dirahmati Allah sekalian. Alhamdulillah pagi
ini kita masih hidup dan bernafas di bumi Allah yang mulia ini.Pada hari ini saya akan
menyampaikan satu kisah dan tauladan menarik bagi sifat Nabi junjungan mulia kita
iaitu akhlak Nabi Muhammad SAW.

Tentu ada yang pernah membaca kisah ni, tetapi saya hendak berkongsi kepada
semua termasuk kepada diri sendiri dan rakan-rakan semua. Semoga dengan kisah
ini, kita semua akan sentiasa bersyukur dengan setiap rezeki dan nikmat yang Allah
kurniakan kepada kita.

"Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu
baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah
limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya. Siapa yang melihat
pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan
oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum. Biasanya Rasulullah SAW
akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu
diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan
senyuman, hinggalah habis semua limau tersebut.

Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi dengan ucapan terima
kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu.
Lalu mereka bertanya. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan "Tahukah
kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa aku merasainya kali
pertama. Sekiranya kalian turut makan bersama, aku bimbang ada di antara kalian
yang akan mengenyitkan mata atau memarahi wanita tersebut. Aku bimbang hatinya
akan tersinggung. Oleh kerana itu, aku menghabiskan semuanya.

"Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan


pemberian seseorang biar pun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam
pula. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya dia
bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda
dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya
di'tewas'kan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.

Pengajaran dari kisah ini adalah kita hendaklah menghargai pemberian orang
lain walaupun pemberian tersebut bukan kesukaan kita. Ucaplah terima kasih dan
terimalah dengan hati yang ikhlas dan terbuka kerana setiap pemberian adalah
rezeki daripada Allah. Syukur Alhamdulillah.

Sekian daripada saya, wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum WBT.

Anda mungkin juga menyukai