Anda di halaman 1dari 1

IBRAH

Siti Aishah Hanin bt Ramli



Assalamualaikum pembaca yang dikasihi, dalam keluaran kali ini kita akan sama-sama
mengambil ibrah dari surah At-Taubah ayat 128. Dalam ayat ini Allah SWT memuji keluhuran
akhlak Nabi Muhammad SAW untuk kita jadikan contoh ikutan dalam hidup seharian. Allah
SWT berfirman, mafhumnya:

Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari dirimu (kalanganmu) sendiri yang
cukup mengambil berat kesusahanmu, bersungguh-sungguh menginginkan keimananmu,
sangat berlemah-lembut lagi penyayang terhadap kaum mukmin.

Kemudian mari sama-sama kita renungkan catatan indah kehidupan Rasulullah SAW dalam
kisah berikut.

Kelembutan Rasulullah SAW

Seorang yahudi tua lagi buta menyambut kedatangan seorang lelaki asing yang saban hari
menyuapnya makan. Sambil tangan lembut lelaki itu menyuapnya makan, dia akan
mengomel tentang nabi pendusta yang baru berpindah ke Yathrib. Begitulah waktu berlalu
hari demi hari, si lelaki asing sentiasa melayan bebelannya dengan suapan lembut penuh
timbang rasa.

Berlalu suatu masa yang panjang, si lelaki asing datang lagi menyuapkan makan. Namun si
tua buta dengan segera dapat mengesan perbezaan tangan yang menyuap makanan ke
mulutnya. Dengan marah dia mengherdik, Kamu ini siapa?! Kamu bukan orang yang selalu
menyuap makanan ke mulutku. Tangannya sungguh lembut bukan seperti tanganmu yang
kasar ini!

Lelaki asing itu menjawab penuh rendah diri. Wahai datuk, maafkanlah saya. Saya ialah Abu
Bakr, sahabat Muhammad. Sahabat saya sudah meninggal dunia dan sekarang sayalah
yang menyambung tugas-tugasnya, termasuk menyuapkan kamu.

Apa??? Yang menyuapku selama ini ialah Muhammad?!!

Bercucuran airmata si yahudi tua mengenangkan betapa lembutnya Muhammad, sedang dia
hari-hari memaki nabi mulia itu di depan mukanya sendiri! Dengan penuh insaf dia mengucap
syahadah dan menjadi muslim kerana kebaikan Nabi Muhammad SAW, walaupun baginda
sudah tiada lagi untuk menyaksikan pengislamannya.

Demikianlah keindahan akhlak Nabi kita, Muhammad SAW sehingga memikat hati golongan
bukan muslim untuk menganut Islam. Cukup dengan kelembutan dan sopan-santun baginda
sudah menjinakkan hati manusia kepada Islam. Semoga akhlak mulia ini dapat kita contohi
dan kita jadikan cermin kepada agama suci yang kita cintai.

Anda mungkin juga menyukai