Anda di halaman 1dari 2

Ceramah Kesihatan

Tajuk : Amalan yang Menjamin Gaya Hidup Sihat

Penceramah : Atikah bt Ismail

Jawatan : Pensyarah Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan

Assalamualaikum w.b.t. Yang dihormati tuan pengerusi majlis, Yang berusaha Tuan Haji
Osman bin Hussain, Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam Selangor,
Tuan Haji Anwar bin Ahmad, Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan
Islam Selangor, Pn. Nur Aishah bt Abdullah , Ketua Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan,
barisan para pensyarah, seterusnya para pelajar yang saya kasihi sekalian. Alhamdulillah, saya
bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dapat bertemu dengan para hadirin sekalian dalam majlis pada
pagi ini. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak institut ini kerana sudi
menjemput saya untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Amalan yang Menjamin Gaya
Hidup Sihat”.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Seperti yang kita ketahui, badan manusia merupakan satu mekanisme yang kompleks dan
mengagumkan. Kesihatan badan khusus kesihatan fizikal melibatkan fungsi fisiologi dan
anatomi badan. Kesihatan badan turut merangkumi kesihatan mental, emosi, rohani dan sosial.
Justeru itu, mengamalkan gaya hidup sihat membantu kita mencapai tahap kesihatan optimum
seterusnya menjamin kesejahteraan hidup. Oleh itu, sebelum melangkah dengan lebih jauh, kita
harus mengenal pasti erti sebenar apakah yang dikatakan dengan gaya hidup yang sihat.

Hadirin yang saya hormati,

Dalam kerangka gaya hidup sihat, komponen utama yang harus dititikberatkan ialah
pemakanan yang seimbang. Secara amnya, makanan berfungsi sebagai pembekal tenaga dan
berperanan dalam perkembangan mental dan fizikal seseorang. Diet yang seimbang
mengandungi kesemua tujuh kelas makanan dalam kadar yang betul sejajar dengan keperluan
tubuh manusia. Namun, implikasi pengambilan makanan yang berkolestrol dan berparas glukosa
tinggi secara berlebihan pula ialah penyakit-penyakit popular pada masa kini. Contohnya,
kencing manis dan tekanan darah tinggi. Ekoran daripada itu, kita perlu peka dan mengamalkan
sikap berwasatah dalam pemilihan barangan makanan. Aspek-aspek mikro seperti pengambilan
makanan secara teratur serta mengelakkan makanan ringan tidak harus dipandang enteng.

Saudara dan saudari sekalian,

Sementara itu, kebersihan diri dan persekitaran juga perlu dititikberatkan. Keluarga
memainkan peranan penting dalam memupuk tabiat menjaga kebersihan khusus dalam diri
individu dan masyarakat umumnya. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Boleh diaplikasikan
dalam hal ini. Persekitaran fizikal di dalam dan di luar rumah seharusnya bersih dan
menunjukkan taraf kesihatan yang membanggakan. Pelbagai jenis penyakit dapat dielakkan jika
amalan ini telah dibudayakan. Semua hal ini membuktikan kepentingan menjaga kebersihan diri
dan alam sekitar demi menyejahterakan hidup.

Para hadirin yang mulia,

Seperkara lagi ialah kita perlu selalu menerima rawatan doktor. Melalui rawatan seperti
ini, segala penyakit kronik dapat dikesan lebih awal. Sesungguhnya, mencegah adalah lebih baik
daripada mengubat. Justeru, kita harus membuat rawatan untuk mengenal pasti lebih awal akan
penyakit yang kita hidapi. Kemudian, barulah kita dapat mengawal penyakit tersebut.

Para hadirin yang dihormati,

Pokoknya, kesedaran diri setiap individu perlu disertai dengan pegangan agama yang
mapan merupakan akar umbi dalam mencapai kesihatan dan kehidupan yang sempurna.
Penyakit-penyakit berbahaya dapat dielakkan. Kadar hayat yang lebih berkualiti dapat dinikmati.
Oleh itu, usaha-usaha yang dilancarkan oleh pihak kerajaan dalam meningkatkan taraf kesihatan
negara adalah sia-sia tanpa penglibatan tuntas oleh masyarakat. Tuntasnya, saya ingin
mengingatkan kepada hadirin sekalian agar mengamalkan gaya hidup yang sihat demi
kesejahteraan hidup yang lebih baik. Sebelum saya mengundur diri, saya ingin mengambil
kesempatan untuk menyusun sepuluh jari , memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat
sebarang kesilapan yang tidak disengajakan. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai