Anda di halaman 1dari 5

Kepentingan Fonetik dan Fonologi kepada

Guru Bahasa Melayu


- Oktober 19, 2016
Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Fonetik dan fonologi merupakan salah satu cabang bidang linguistik yang
mengkaji bahasa secara saintifik (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011). Bidang
fonetik adalah suatu bidang kajian mengenai cara menghasilkan bunyi
menggunakan alat dan daerah artikulasi untuk tujuan bertutur. Manakala,
aspek sistem bahasa merupakan fokus kajian aspek fonologi. Fonetik dan
fonologi memainkan peranan yang amat penting dalam konteks pertuturan
harian. Dalam konteks pendidikan di sekolah, bidang ini perlulah dikuasai
oleh guru bahasa Melayu kerana dapat memastikan proses pengajaran
dan pembelajaran berlaku secara efektif. Terdapat banyak manfaat yang
diperoleh oleh guru bahasa seandainya mereka menguasai bidang ini.

Awang Sariyan (1985) menyatakan bahawa kepentingan ilmu fonetik


dan fonologi kepada guru bahasa dalam konteks aktiviti pengajaran dan
pembelajaran di sekolah ialah dapat membantu para pelajar untuk bertutur
dengan menggunakan sebutan baku. Penggunaan sebutan baku adalah
penting untuk memastikan para pelajar dapat berkomunikasi dalam bahasa
Melayu dengan betul. Dengan menguasai ilmu fonetik dan fonologi, guru
dapat mengajarkan para pelajar mengenai cara untuk melafazkan sesuatu
perkataan dengan menggunakan kaedah sebutan baku yang berasaskan
sebutan fonemik dan sistem ejaan yang memerlukan para pelajar
mengetahui tentang cara membunyikan setiap huruf dengan betul.
Implikasinya, pelajar dapat mengurangkan penggunaan bahasa dialek
tempatan ketika berkomunikasi. Konklusinya, penguasaan terhadap ilmu
fonetik dan fonologi terhadap guru bahasa Melayu untuk membantu pelajar
menggunakan sebutan baku dalam komunikasi harian ke arah
menyeragamkan lagi kaedah sebutan dalam bahasa Melayu.
Abdullah Hassan (2007) menyatakan bahawa bidang fonetik dan
fonologi membantu dalam pembelajaran bahasa kanak-kanak. Guru
bahasa yang mempunyai pengetahuan tentang bidang fonetik dan fonologi
dapat mengajarkan pelajar khususnya di prasekolah untuk menguasai
kemahiran membaca dengan menggunakan kaedah fonetik. Penggunaan
kaedah tersebut membantu pelajar prasekolah membunyikan suku kata
dan menggabungkan bunyi-bunyi bahasa menjadi perkataan. Dalam erti
kata yang lain, kaedah fonetik ini menfokuskan penguasaan murid
terhadap hubungan huruf dengan bunyi huruf tersebut tanpa mengetahui
nama huruf. Pengajaran kemahiran membaca berasaskan kaedah fonetik
bermula dengan pengenalan huruf vokal , diikuti oleh huruf konsonan,
pembentukan suku kata dan pembentukan perkataan yang bermakna.
Dalam pada itu, guru bahasa perlulah menggunaan bahan bantu mengajar
yang sesuai untuk memastikan pelajar dapat memahami kaedah untuk
membunyikan sesuatu huruf dengan betul. Secara ringkas, penguasaan
guru bahasa terhadap bidang fonetik dan fonologi membantu guru untuk
meningkatkan penguasaan kemahiran membaca dalam kalangan pelajar.

Penguasaan terhadap bidang fonetik dan fonologi turut membantu


guru bahasa untuk membantu para pelajar untuk menguasai kemahiran
bertutur dengan betul. Bertutur merupakan satu cara komunikasi yang
kompleks iaitu penghasilan ujarandan melibatkan proses mental yang
menggerakkan alat-alat pertuturan untuk mengeluarkan bunyi bahasa yang
bermakna (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011). Selain daripada penghasilan bunyi
bahasa, penggunaan unsur-unsur suprasegmental seperti tekanan,
intonasi, tempo, rima dan jeda turut diperlukan untuk berkomunikasi
dengan lebih berkesan agar individu tersebut dapat menyampaikan
sesuatu mesej. Unsur-unsur tersebut adalah penting kepada para pelajar
untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang memerlukan kemahiran bertutur
yang tinggi seperti debat, pidato, sajak dan sebagainya yang menekankan
aspek-aspek pertuturan. Aktiviti sedemikian memerlukan pelajar
menguasai aspek-aspek suprasegmental. Dengan menguasai ilmu fonetik
dan fonologi, guru dapat mengajarkan pelajar tentang cara berkomunikasi
dengan berkesan melalui pengaplikasian aspek-aspek suprasegmental.
Deduksinya, guru bahasa yang menguasai ilmu fonetik dan fonologi dapat
mengajar pelajar untuk menguasai aspek-aspek pertuturan dengan betul.

Dengan menguasai ilmu pengetahuan berkaitan dengan bidang


fonetik dan fonologi, guru bahasa dapat mengatasi masalah yang
berkenaan dengan sebutan pelajar terutamanya pelajar bahasa kedua
(Raja Mukhtaruddin Raja Mohd Dain, 1982). Hal ini demikian kerana,
kebanyakan pelajar bahasa kedua menghadapi masalah untuk
membunyikan fonem-fonem segmental yang terdapat dalam bahasa kedua
tersebut disebabkan oleh fonem-fonem dalam bahasa kedua tidak terdapat
dalam bahasa ibunda mereka. Pelajar bahasa kedua kebiasaannya
mengantikan fonem segmental yang terdapat dalam bahasa
kedua dengan bunyi yang paling hampir dengan bahasa ibunda mereka.
Sebagai tamsilan, pelajar Cina yang mempelajari bahasa Melayu sebagai
bahasa kedua menghadapi masalah untuk menyebut beberapa fonem
segmental dalam bahasa Melayu seperti [r] yang digantikan dengan [l].
Dengan menguasai ilmu fonetik dan fonologi, guru bahasa dapat
membantu para pelajar khususnya pelajar bahasa kedua untuk menyebut
huruf-huruf dalam bahasa kedua tersebut dengan betul. Guru dapat
membantu pelajar tersebut untuk membunyikan fonem bahasa kedua
dengan betul dengan mengajar pelajar tersebut tentang cara untuk
menggerakkan alat artikulasi mereka dengan betul melalui latihan dan
bahan-bahan analisis fonetik. Tuntasnya, pengetahuan yang mantap
tentang ilmu fonetik dan fonologi membolehkan guru bahasa membetulkan
masalah sebutan dalam kalangan pelajar bahasa kedua agar pelajar
tersebut dapat membunyikan setiap fonem dalam bahasa kedua dengan
betul.

Kepentingan penguasaan terhadap ilmu fonetik dan fonologi turut


membantu guru bahasa untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran di dalam bilik darjah dengan lebih efektif. Penguasaan
terhadap ilmu fonetik dan fonologi membantu guru untuk mengetahui cara
melafazkan setiap perkataan berdasarkan sistem sebutan baku (Raminah
Sabran dan Rahim Syam, 1985). Dengan itu, guru
bahasadapat mengaplikasikan sebutan baku dalam konteks pengajaran
dan pembelajaran di sekolah. Hal ini disebabkan oleh, penggunaan
sebutan baku dalam menyampaikan sesuatu ilmu pengetahuan dapat
membantu para pelajar dalam memahami tentang apa yang diajarkan oleh
guru kerana penggunaan cara bertutur yang seragam. Seandainya guru
bahasa menggunakan pelbagai variasi bahasa sedah tentulah para pelajar
tidak dapat memahami apa yang diajarkan oleh guru kerana perbezaan
variasi bahasa yang dituturkan. Oleh itu, ilmu fonetik dan fonologi
membantu guru untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran
dengan lebih berkesan disebabkan oleh penggunaan satu variasi bahasa
baku standard.

Secara kesimpulan, ilmu pengetahuan berkenaan dengan bidang


fonetik dan fonologi membantu guru bahasa untuk meningkatkan
kemahiran berbahasa dalam kalangan murid khususnya dalam aspek
pertuturan di samping dapat melaksanakan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran di bilik darjah dengan lebih efektif. Untuk menjadi guru
bahasa yang baik, pengetahuan tentang bidang fonetik dan fonologi adalah
perlu untuk dikuasai oleh guru bahasa tersebut bagi memastikan pelajar
dapat membunyikan fonem segmental dalam sesuatu bahasa dengan
betul. Pengetahuan guru bahasa terhadap ilmu fonetik dan fonologi
dengan lebih mendalam juga mampu mewujudkan satu cara berbahasa
yang seragam.

Ulasan

Anda mungkin juga menyukai