Anda di halaman 1dari 6

TINJAUAN LITERATUR

Menurut Klausmerier et. al (1975), di dalam hal-hal seperti tanggungjawab moral,


keberanian, kejujuran, kemesraan dan lain-lain, para remaja dipengaruhi oleh pendapat dan
pandangan rakan sebaya yang lebih tinggi daripada pengaruh ibu bapa. Faktor ini banyak
menimbulkan penggeseran di antara para remaja dengan ibu bapa. Para remaja menganggap
ibu bapa sebagai pengongkong kebebasan diri. Ibu bapa pula berasa keliru dengan tingkah
laku dan tindak - tanduk remaja dan sebarang usaha untuk menegakkan identiti diri dianggap
sebagai menentang. Kekeliruan ini memburukkan dan akhirnya menimbulkan masalah.
Apabila remaja menemui masalah seperti ini, dia memerlukan seorang sebagai tempat
mengadu hal, mendapat panduan dan pertolongan. Kadang - kala mereka merasa lebih selesa
berbincang atau bercerita masalah mereka dengan rakan sebaya mereka.
Segala aktiviti remaja dipengaruhi oleh rakan sebayanya. Menurut Mustafa Fahmi (1971),
beliau menyatakan remaja cenderung menuruti tingkah laku kumpulan yang mana ia berada di
dalamnya. Remaja di peringkat awalan ini akan bersungguh – sungguh mencuba bertingkah
laku seperti tingkah laku kumpulannya. Remaja ini juga akan melakukan atau membuat apa -
apa yang dilakukan atau dibuat oleh kumpulannya. Muhd. Mansur Abdullah dan rakan-rakan
(1988) menyatakan dengan mencontohi rakan sebayanya, belia kita akan dapat belajar satu
tingkah laku baru yang cuba diserap dan disesuaikan pula ke dalam personalitinya. Oleh itu,
pemilihan rakan sebaya adalah sangat penting. Dalam hal ini , siapakah yang patut menentukan
jenis rakan sebaya yang menjadi pilihan? Dalam Islam, ibu bapa sendiri mengenal pasti rakan-
rakan yang berakhlak mulia (Osman Ayub, 1990). Melalui rakan-rakannya yang positif ini,
akan wujudlah model -model positif yang boleh dikembangkan di semua peringkat. Di
Malaysia, program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) telah dijalankan supaya rakan sebaya
dimanfaatkan untuk membaiki disiplin dalam kalangan pelajar.
Dalam aspek pengaruh rakan sebaya dapatan kajian lepas menunjukkan pelajar menghisap
rokok secara berkumpulan atau bersama rakan. Pelajar juga menganggap peraturan atau
undang-undang sekolah sebagai sesuatu yang remeh dan tidak perlu dipatuhi. Mereka akan
membentuk kumpulan tersendiri dan mengadakan peraturan tertentu dan setiap ahli kumpulan
hendaklah mematuhinya. Hal ini mula menimbulkan masalah disiplin seperti peras ugut dan
pergaduhan. Biasanya, apabila ahli kumpulan dipukul, mereka akan membalas secara
berkumpulan (Dewan Masyarakat, April 1995).
Dapatan kajian yang disebutkan di atas sejajar dengan dapatan kajian peringkat nasional yang
dijalankan oleh Bahagian Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1993 yang
menunjukkan punca salah laku dalam kalangan pelajar adalah disebabkan oleh faktor diri,
keluarga, persekitaran rakan sebaya dan juga sekolah. Sebagai contoh, kajian tersebut
mendapati pada tahun 1993 kira-kira 81.03 peratus melakukan kerana faktor kekeluargaan 4.10
peratus kerana pengaruh rakan sebaya dan 1.24 peratus kerana faktor persekolahan (Dewan
Masyarakat, April 1995).
Mengikut kajian Kamarudin (1989), tahap pencapaian dalam pelajaran pelajar dalam sesuatu
mata pelajaran adalah disebabkan oleh faktor kawan. Pelajar yang memilih kawan yang baik
dan cemerlang dalam mata pelajaran menyebabkan mereka juga akan cemerlang dalam mata
pelajaran, tetapi jika mereka silap memilih kawan menyebabkan mereka juga akan mendapat
kegagalan dalam mata pelajaran. Oleh itu, secara tidak langsung minat seseorang pelajar untuk
sama - sama bersaing dengan rakan sekelas dalam mata pelajaran dapat dipertingkatkan dengan
memilih rakan yang dapat membimbing mereka ke arah yang diinginkan. Sejauh mana seorang
pelajar bergantung kepada rakan sebaya adalah dilihat kepada pengaruh tarikan yang ada pada
diri individu itu. Apabila pelajar itu sudah yakin pada rakan pilihannya, hubungan antara kedua
- duanya akan menjadi bertambah erat dan apa - apa yang dilakukan oleh rakannya, maka dia
juga akan turut melakukannya juga.
Habibah (1997) menyatakan rakan sebaya ialah mereka yang tergolong dalam kumpulan sama
dan mempunyai persamaan dari minat, nilai dan aktiviti yang dilakukan
oleh rakan sebaya mempunyai pengaruh yang penting dalam pencapaian akademik remaja.
Mereka boleh mempengaruhi pelajar dari segi nilai dan sikap lebih daripada ibu bapa, sekolah,
institusi agama dan kumpulan sosial yang lain.
Remaja menghabiskan masa mereka dengan pelbagai cara. Dalam kajian yang dijalankan oleh
Larson (1984) dalam Habibah (1997), didapati remaja menghabiskan kurang satu pertiga
daripada masa mereka dalam aktiviti produktif seperti belajar, kerja sekolah dan kerja
sambilan. Kurang daripada satu pertiga lagi daripada masa mereka dihabiskan untuk kegiatan
masa lapang seperti bergaul dengan kawan-kawan, sukan, permainan, menonton televisyen,
mendengar muzik, berehat dan memberi tumpuan kepada hobi. Kira - kira 16 peratus daripada
mereka juga dikelaskan kepada pergaulan sementara iaitu mereka menghabiskan satu pertiga
dari masa mereka berjaga bersama - sama kawan sebaya sama ada di sekolah mahupun luar
sekolah. Remaja juga didapati berasa paling seronok apabila bersama-sama rakan sebaya.
Ahli sosiologi mengistilahkan rakan sebaya sebagai kumpulan kanak-kanak ataupun kumpulan
remaja yang mempunyai lingkungan umur yang sama (Hazil Abdul Hamid: 1990; 89).
Kumpulan rakan sebaya ini mempunyai peranan dalam aktiviti sosial. Ia adalah agensi tidak
formal yang memberikan pengalaman yang tidak dapat diperolehi daripada keluarga dan juga
di sekolah. Bagi para pelajar, rakan sebaya adalah tempat mereka mencurahkan masalah dan
pengganti ibu bapa, terutamanya bagi golongan yang mempunyai masalah di rumah. Remaja
biasanya akan memilih rakan sebaya yang mempunyai persamaan tingkah laku, sikap dan
identiti dengan mereka (Akers, Jones & Coyle, 1998; Hogue & Steinberg, 1995). Selain
dipengaruhi mereka juga didominasi oleh rakan sebaya (Brown, 1990). Berndt (1979) telah
membuat suatu kajian tentang kecenderungan menurut seseorang remaja. Beliau mendapati
bahawa kecenderungan rakan sebaya paling tinggi pada umur 14 hingga 15 tahun. Malah
konflik dengan ibu bapa paling banyak berlaku pada tahap ini. Ini kerana kecenderungan
menurut tingkah laku anti sosial paling tinggi pada umur ini. Remaja lebih cenderung menurut
pengaruh rakan sebaya kerana mereka berada dalam proses membebaskan diri daripada
pengaruh ibu bapa dan mereka mula berfikir untuk diri sendiri.
Menurut Rohaty (1998), Habibah dan Noran Fauziah (1997); Muhd. Mansur dan Siti Nordinar
(1988), remaja merupakan zaman peralihan dalam pusingan hidup seseorang. Banyak
perubahan yang berlaku pada zaman ini, sama ada dari segi fizikal atau emosi. Keremajaan
merupakan satu jangka masa yang mencabar dalam perkembangan seseorang. Rogers (1972)
membahagikan masa remaja kepada tiga peringkat iaitu awal remaja (12 – 15 tahun),
pertengahan remaja (15 – 18 tahun) dan akhir remaja (18 – 22 tahun). Namun begitu, umur
akhir remaja masih dipertikaikan lagi kerana terdapat perbezaan budaya dan negara yang
membezakan peringkat akhir remaja.
Seltzer dan Waterman (1996) menjelaskan pada awal remaja, mereka mula mencari identiti
sendiri. Rujukan utama mereka tentang tingkah laku, identiti dan masa depan ialah kumpulan
rakan sebaya. Rakan sebaya adalah tempat melafazkan fikiran dan emosi. Pada zaman remaja
juga, wujud Peership iaitu persahabatan yang unik kepada remaja. Rakan sebaya berumur lebih
kurang sama dengan remaja tersebut. Rakan sebaya bagi remaja terdiri daripada rakan
persekolahan, rakan yang tinggal di kawasan perumahan yang sama, rakan-rakan dalam aktiviti
riadah dan sukan yang sama. Wujud kumpulan rujukan psikologikal remaja apabila remaja
memerlukan pemisahan dari kongkongan ibu bapa untuk menjadi dewasa. Mereka lebih
bergantung kepada rakan sebaya. Rakan sebaya merupakan sumber utama dalam meniru gaya
dan tingkah laku dan aspirasi.
RS
Rakan sebaya dan keluarga merupakan kumpulan yang paling dekat dan paling penting
dalam kehidupan seseorang remaja. Lazimnya seseorang remaja akan bergaul dengan keluarga
mereka yang terdiri daripada ibu bapa dan adik beradik ketika berada di rumah. Apabila
mereka berada di luar rumah pula, mereka akan bergaul dengan rakan sebaya. Namun, oleh
sebab remaja lebih banyak menghabiskan lebih banyak masa bersama rakan sebaya berbanding
keluarga mereka, maka tidak hairanlah terdapat remaja yang mengutamakan rakan sebaya lebih
daripada keluarga mereka.

Menurut Syarifah Alwiah Alsagof (1987), rakan sebaya boleh di definisikan sebagai
sahabat yang mempunyai umur, latar belakang dan minat yang lebih kurang sama. Menurut
Saffer (1999) pula, rakan sebaya membawa erti dua atau lebih individu yang mempunyai aras
tingkah laku yang sama. Mereka juga mempunyai persefahaman antara satu sama lain. Menurut
beliau lagi, rakan sebaya ini tidak semestinya mempunyai umur yang sama, asalkan dapat
menyesuaikan diri dengan tingkah laku antara satu sama lain dari segi minat dan matlamat.

Terdapat enam peringkat dalam perhubungan rakan sebaya. Peringkat yang pertama
adalah antara umur 5-12 tahun, peringkat kedua 12-14 tahun, peringkat ketiga 14-16 tahun,
peringkat keempat 16-18 tahun, peringkat kelima 18-25 dan yang terakhir iaitu peringkat
keenam iaitu berumur 25 tahun dan ke atas. Dalam pemilihan rakan sebaya pula, terdapat
beberapa faktor yang diambil kira oleh seseorang remaja, iaitu pendidikan, tarikan, minat, kelas
sosial dan umur. Rakan sebaya juga merupakan insan yang amat penting kepada seseorang
remaja kerana rakan sebayalah agen peneguhan dan model sosial kepada mereka.

Tidak dapat dinafikan juga, rakan sebaya memainkan peranan yang amat penting dalam
kehidupan setiap individu terutamanya remaja. Mereka berperanan sebagai pengganti
keluarga, sebagai tempat rujukan dan sebagai kumpulan rujukan dalam kehidupan seseorang
remaja. Selain itu rakan sebaya juga turut berperanan sebagai pemberi sokongan sosial dan
ekonomi. Jadi, oleh sebab rakan sebaya begitu penting dalam kehidupan seseorang remaja,
maka tidak hairanlah pengaruh seseorang rakan sebaya sangat kuat kepada seseorang remaja.
Terdapat dua jenis pengaruh rakan sebaya dalam kehidupan seseorang remaja, iaitu pengaruh
positif dan pengaruh negatif. Pengaruh rakan sebaya yang positif dapat membentuk sikap dan
keperibadian yang mulia pada diri seseorang remaja itu, manakala pengaruh yang negatif pula
akan menyebabkan seseorang remaja terjerumus ke kancah gejala sosial seterusnya
meranapkan masa hadapan remaja tersebut.

RS@
Habibah (1997), menyatakan rakan sebaya ialah mereka yang tergolong dalam
kumpulan sama dan mempunyai persamaan dari segi minat, nilai dan aktiviti yang dilakukan
oleh rakan sebaya mempunyai pengaruh yang penting dalam pencapaian akademik remaja.
Mereka boleh mempengaruhi pelajar dari segi nilai dan sikap lebih daripada ibu bapa, sekolah,
institusi agama dan kumpulan sosial yang lain. Remaja merupakan golongan pelapis kepada
golongan dewasa hari ini untuk membangun dan mentadbir negara pada masa hadapan. Sebagai
tunggak harapan negara, adalah perlu bagi mereka menyediakan diri secukupnya pada hari ini
supaya mereka dapat berperanan apabila tiba masanya. Tidak dapat dinafikan, melalui
pendidikan remaja akan dapat menyediakan diri mereka dengan sebaiknya. Namun demikian,
hanya dengan fizikal dan mental yang sihat peluang-peluang pendidikan dapat dimanfaatkan
oleh para remaja. Ini kerana mereka yang mengalami gangguan pada salah satu daripada aspek
yang dinyatakan tadi akan menghadapi halangan untuk berfungsi dengan baik. ]usteru,
kesihatan flzikal dan mental merupakan perkara penting yang perlu dimiliki oleh setiap remaja
supaya mereka dapat memainkan peranan pada hari ini dan seterusnya mengambil alih
tanggungjawab daripada golongan dewasa pada masa hadapan. Salah satu perkara yang boleh
memberikan gangguan kepada kesihatan fizikal dan mental ialah gangguan tekanan.

Antara tekanan yang dialami oleh remaja adalah tekanan rakan sebaya. Berkawan
adalah penting. Walau bagaimanapun, berkawan boleh menjadi sesuatu yang memudaratkan.
Kesan tekanan rakan sebaya boleh mempengaruhi perubahan cara seseorang sama ada cara
bercakap, bertingkah laku mahu pun berfikir.

Tekanan rakan sebaya adalah sesuatu yang lazim di kalangan rakan-rakan dan akan
menjadi lebih kuat semasa zaman remaja. Mungkin gerak hati kita ingin meminta kita berhenti
menghabiskan masa bersama rakan yang menjadi ‘pengaruh tidak baik’. Namun ini
bukan strategi terbaik kerana boleh menimbulkan reaksi bertentangan yang membawa kepada
rintangan yang tidak diingini. Penyelesaian yang lebih baik adalah melatih kita berfikir sendiri
untuk menahan diri daripada tekanan rakan sebaya yang negatif itu. Rakan sebaya dan keluarga
merupakan tempat seseorang individu untuk berkomunikasi. Apabila berada di rumah,
seseorang itu akan bergaul dengan keluarga manakala apabila dia berada di luar rumah dia akan
bergaul dengan rakan sebaya.

Anda mungkin juga menyukai