Anda di halaman 1dari 2

CONTOH CERPEN BERTEMAKAN PERPADUAN.

“JIRAN ITU IALAH DIA”

Swee Lan merupakan seorang ibu kepada anak tunggal yang bernama Jason. Perangai
Jason yang tidak gemar bercampur dan bergaul dengan orang lain, sangat tidak disukai oleh
Swee Lan. Jason suka memerap di rumah dan menolak untuk keluar rumah dan bersosial
dengan anak-anak jiran yang lain. Hal ini merunsingkan ibunya. Manakan tidak, Jason
sanggup memerap di rumah sehari suntuk daripada keluar dan bertegur sapa dengan jiran di
kawasan persekitaran itu.

“Jason, mengapa kamu asyik terperap di rumah sahaja? Ibu risaulah dengan keadaan
kamu ini.” tanya Swee Lan. Pertanyaan ibunya pada suatu pagi itu tidak dijawab oleh Jason.
Dia hanya berdiam diri tanpa sebarang kata. Dia seolah-olah tidak peduli dengan apa yang
diperkatakan oleh ibunya. Melihat keadaan Jason, Swee Lan berlalu pergi. Dia tahu bahawa
Jason tetap enggan bercampur dengan anak-anak jirannya yang berbangsa Melayu walaupun
pelbagai nasihat telah diberikan kepadanya. Nasihat yang diberikan itu bagaikan mencurah
air ke daun keladi, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Keesokan harinya, Swee Lan cuba untuk memujuk Jason supaya bersosial dengan
jiran mereka. Beliau menyuruh Jason agar tidak bersikap seperti katak di bawah tempurung.
Hal ini akan menyukarkan masyarakat untuk saling mengenali antara satu sama lain. Namun
begitu, Jason memberikan bermacam-macam alasan untuk tidak bergaul dengan jirannya.
Dia mengatakan bahawa jiran-jirannya hanya suka menjaga tepi kain orang lain. Swee Lan
menggeleng-geleng kepala apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh Jason itu.

Suatu petang, seorang daripada anak jiran Swee Lan, Rahman menghantar bubur
pisang yang dibuat oleh ibunya ke rumah Swee Lan. Pada waktu itu, Jason kebetulan berada
di luar rumah. Lalu, Rahman menyapa Jason dan bertanya akan khabarnya. Jason hanya
menganggukkan kepalanya tanpa menjawab pertanyaan tersebut. Tanpa putus asa, Rahman
tetap mengajukan beberapa soalan kepada Jason namun dia hanya menjawab soalan
tersebut secara endah tak endah sambil menunjukkan perasaan dingin. Selepas
menyampaikan bubur tersebut kepada Jason, Rahman berlalu pergi dari rumah Jason dengan
perasaan yang kecewa.

Ketika di sekolah pada waktu mata pelajaran Sejarah, guru Sejarah telah meminta para
pelajar untuk menyiapkan tugasan Sejarah secara berkumpulan. Jason ditempatkan dalam
kumpulan yang sama dengan Rahman. Sepanjang perbincangan berlangsung, sikap Jason
tetap tidak berubah dan dia hanya mendiamkan diri umpama kera sumbang. Rahman
berusaha untuk membuat Jason bercakap, namun usahanya itu tetap tidak berhasil.

Namun begitu, dengan takdir Tuhan, pada suatu hari rumah Jason telah terbakar.
Kebakaran tersebut berpunca daripada gangguan litar pintas yang berlaku di bahagian atas
rumah Jason. Seluruh kampung gempar dengan kejadian tersebut lalu mereka tergesa-gesa
pergi ke tempat kejadian. Mereka bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk memadamkan
api. Swee Lan yang berada di luar rumah teringat akan Jason yang sedang tidur di ruang
tamu. Dia menjerit meminta bantuan orang kampung untuk menyelamatkan permata hatinya
itu. Apabila mendengar jeritan tersebut, Rahman segera meluru ke dalam rumah Jason untuk
menyelamatkannya. Dia langsung tidak peduli akan api yang menjulang tinggi di dalam rumah
tersebut.
Akhirnya, Jason dapat diselamatkan walaupun terdapat sedikit kecederaan ringan di
bahagian kakinya. Dia terus dikejarkan ke hospital. Di hospital, Jason terbaring lesu. Dia
merenung wajah ibunya yang berada di sisi katil itu. “Jason, syukurlah awak selamat,” bisik
ibunya dengan suara yang perlahan. Sejurus kemudian, pintu kamar pesakit dibuka dengan
perlahan. Kelihatan Pak Ahmad , Mak Jah, dan Rahman melangkah perlahan menuju ke katil
Jason. Swee Lan tersenyum dan menjemput mereka duduk. Tiba-tiba Jason bersuara,
“Rahman, saya minta maaf. Saya menyesal. Sekarang baru saya mengerti erti jiran dan
persahabatan.” Jason menghulurkan tangannya kepada Rahman. Rahman menyambutnya.
Swee Lan memandang wajah Pak Ahmad dan Mak Jah. Swee Lan tersenyum luas.

Anda mungkin juga menyukai