Anda di halaman 1dari 3

“JIRAN YANG PRIHATIN”

Yang dihormati Tuan Pengerusi majlis, para hakim yang adil lagi bijaksana, guru-guru dan
rakan-rakan yang dihormati. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada hari yang indah ini,
saya akan menyampaikan sebuah cerita yang bertajuk “Jiran yang Prihatin”.

Kawan-kawan nak dengar tak cerita saya? Mari kawan-kawan, kita hayati bersama.
Swee Lan merupakan seorang ibu kepada anak tunggal yang bernama Jason. Perangai Jason
yang tidak gemar bercampur dan bergaul dengan orang lain, sangat tidak disukai oleh Swee
Lan. Jason suka memerap di rumah dan menolak untuk keluar rumah dan bersosial dengan
anak-anak jiran yang lain. Hal ini merunsingkan ibunya. Manakan tidak, Jason sanggup
memerap di rumah sehari suntuk daripada keluar dan bertegur sapa dengan jiran di kawasan
persekitaran itu.

“Jason, mengapa kamu asyik terperap di rumah sahaja? Ibu risaulah dengan keadaan
kamu ini,” tanya Swee Lan. Pertanyaan ibunya pada suatu pagi itu tidak dijawab oleh Jason.
Dia hanya berdiam diri tanpa sebarang kata. Dia seolah-olah tidak peduli dengan apa yang
diperkatakan oleh ibunya. Melihat keadaan Jason, Swee Lan berlalu pergi. Dia tahu bahawa
Jason tetap enggan bercampur dengan anak-anak jirannya yang berbangsa Melayu walaupun
pelbagai nasihat telah diberikan kepadanya. Nasihat yang diberikan itu bagaikan mencurah
air ke daun keladi, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Keesokan harinya, Swee Lan cuba untuk memujuk Jason supaya bersosial dengan
jiran mereka. Beliau menyuruh Jason agar tidak bersikap seperti katak di bawah tempurung.
Hal ini akan menyukarkan masyarakat untuk saling mengenali antara satu sama lain. Namun
begitu, Jason memberikan bermacam-macam alasan untuk tidak bergaul dengan jirannya. Dia
mengatakan bahawa jiran-jirannya hanya suka menjaga tepi kain orang lain. Swee Lan
menggeleng-geleng kepala apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh Jason itu.

Pada suatu petang, seorang daripada anak jiran Swee Lan, Rahman menghantar bubur
pisang yang dibuat oleh ibunya ke rumah Swee Lan. Pada waktu itu, Jason kebetulan berada
di luar rumah. Lalu, Rahman menyapa Jason dan bertanya akan khabarnya. Jason hanya
menganggukkan kepalanya tanpa menjawab pertanyaan tersebut. Tanpa putus asa, Rahman
tetap mengajukan beberapa soalan kepada Jason namun dia hanya menjawab soalan tersebut
secara endah tak endah sambil menunjukkan perasaan dingin. Selepas menyampaikan bubur
tersebut kepada Jason, Rahman berlalu pergi dari rumah Jason dengan perasaan yang kecewa.

Ketika di sekolah pada waktu mata pelajaran Sejarah, guru Sejarah telah meminta
para pelajar untuk menyiapkan tugasan Sejarah secara berkumpulan. Jason ditempatkan
dalam kumpulan yang sama dengan Rahman. Sepanjang perbincangan berlangsung, sikap
Jason tetap tidak berubah dan dia hanya mendiamkan diri umpama kera sumbang. Rahman
berusaha untuk membuat Jason bercakap, namun usahanya itu tetap tidak berhasil.

Namun begitu, dengan takdir Tuhan, pada suatu hari rumah Jason telah terbakar.
Kebakaran tersebut berpunca daripada gangguan litar pintas yang berlaku di bahagian atas
rumah Jason. Seluruh kampung gempar dengan kejadian tersebut lalu mereka tergesa-gesa
pergi ke tempat kejadian. Mereka bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk memadamkan
api. Swee Lan yang berada di luar rumah teringat akan Jason yang sedang tidur di ruang
tamu. Dia menjerit meminta bantuan orang kampung untuk menyelamatkan permata hatinya
itu. Apabila mendengar jeritan tersebut, Rahman segera meluru ke dalam rumah Jason untuk
menyelamatkannya. Dia langsung tidak peduli akan api yang menjulang tinggi di dalam
rumah tersebut.

Akhirnya, Jason dapat diselamatkan walaupun terdapat sedikit kecederaan ringan di


bahagian kakinya. Dia terus dikejarkan ke hospital. Di hospital, Jason terbaring lesu. Dia
merenung wajah ibunya yang berada di sisi katilnya. “Jason, syukurlah kamu selamat,” bisik
ibunya dengan suara yang perlahan.

Sejurus kemudian, pintu kamar pesakit dibuka dengan perlahan. Kelihatan Pak
Ahmad, Mak Jah dan Rahman melangkah perlahan menuju ke katil Jason. Swee Lan
tersenyum dan menjemput mereka duduk. Tiba-tiba Jason bersuara, “Rahman, saya minta
maaf. Saya menyesal. Sekarang baru saya mengerti erti jiran dan persahabatan.” Jason
menghulurkan tangannya kepada Rahman. Rahman menyambutnya. Swee Lan memandang
wajah Pak Ahmad dan Mak Jah. Swee Lan tersenyum lebar.

Sejak dari peristiwa itu, Jason dan Rahman berkawan rapat, ke mana sahaja mesti
berdua seperti belangkas. Jason juga mula rapat dengan jiran-jiran di sekeliling rumahnya.
Persepsinya terhadap orang kampung sudah mula berubah. Dia sudah tidak kekok dan
canggung apabila berada di khalayak ramai.

Oleh itu, kawan-kawan, pengajaran daripada cerita ini :


 Pertama, jangan berburuk sangka terhadap orang lain
 Kedua, kita mestilah bertegur sapa sesama jiran kerana jiran ialah orang yang paling
hampir dengan kita. Jika berlaku sesuatu masalah di rumah kita, jiranlah tempat kita
meminta bantuan.
 Ketiga, kita mestilah menjadi rakyat Malaysia yang bersatu padu dan bekerjasama
dengan kaum yang lain.

Akhir kata, terimalah dua rangkap pantun daripada saya,

Si dara bersimpuh menyulam tekat,


buat teruna jadi bekalan;
jiran baik membawa berkat,
hidup bermuafakat jadikan amalan.

Jangan mudah berputus asa,


hingga termenung berduka lara;
jiran berbudi kita berbahasa,
barulah hidup aman sejahtera.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai