Anda di halaman 1dari 3

NAMA MURID : THIVYA SRI A/P SASITHARAN

TAJUK CERITA : WIRA TETANGGA

Salam sejahtera diucapkan kepada para juri dan para penonton.

Indah purnama cahaya rembulan,


Hiasi diri dipinggir kota;
Dengarkan tuan cerita tauladan,
Sebagai pedoman hidup kita.

Mei Ling merupakan seorang ibu kepada anak tunggalnya yang bernama Josh. Josh
lebih suka terperap di rumah dan menolak untuk keluar rumah. Dia tidak bergaul dengan
anak-anak jiran yang lain. Sikap Josh yang tidak gemar bercampur dan tidak pandai
bersosial dengan orang lain, sangat tidak digemari oleh Mei Ling. Hal ini merisaukan ibunya.
Manakan tidak, Josh sanggup memerap di rumah sehari suntuk daripada keluar dan
bertegur sapa dengan jiran di kawasan perumahannya.

“Josh, mengapa dengan kamu ni? Sampai bila kamu mahu terkurung sahaja di
rumah? Cubalah pergi berkawan dengan anak-anak tetangga kita itu”, kata Mei Ling.
Nasihat ibunya pada suatu pagi itu tidak dijawab oleh Josh. Dia hanya berdiam diri tanpa
sebarang kata. Dia seolah-olah tidak peduli dengan apa yang diperkatakan oleh ibunya.
Melihat keadaan Josh, Mei Ling berlalu pergi. Dia tahu bahawa Josh tetap enggan
bercampur dengan anak-anak jirannya yang berbangsa Melayu dan India walaupun
pelbagai nasihat telah diberikan kepadanya. Nasihat yang diberikan itu bagaikan mencurah
garam ke laut, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Keesokan harinya, Mei Ling cuba untuk memujuk Josh supaya bertegur sapa dengan
jiran mereka. Beliau menyuruh Josh agar tidak bersikap seperti katak di bawah tempurung.
Hal ini akan menyukarkan masyarakat untuk saling mengenali antara satu sama lain.
Namun begitu, Josh memberikan bermacam-macam alasan untuk tidak bergaul dengan
jirannya. Dia mengatakan bahawa jiran-jirannya hanya suka menjaga tepi kain orang lain.
Mei Ling menggeleng-geleng kepala apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh Josh
itu.

Suatu petang, seorang daripada anak jiran Mei Ling, Rahim menghantar bubur pisang
yang dibuat oleh ibunya ke rumah Mei Ling. Pada waktu itu, Josh kebetulan berada di luar
rumah. Lalu, Rahim menyapa Josh dan bertanya akan khabarnya. Josh hanya diam seribu
bahasa. Tanpa putus asa, Rahim tetap mengajukan beberapa soalan kepada Josh. Namun
dia hanya menjawab soalan tersebut secara endah tak endah sambil menunjukkan
perasaan dingin. Selepas menyampaikan bubur tersebut kepada Josh, Rahim berlalu pergi
dari rumah Josh dengan perasaan yang kecewa.

Ketika di sekolah pula, guru Sejarah telah meminta murid-murid untuk


menyiapkan tugasan Sejarah secara berkumpulan. Josh ditempatkan dalam
kumpulan yang sama dengan Rahim. Sepanjang perbincangan berlangsung, sikap
Josh tetap tidak berubah dan dia hanya mendiamkan diri umpama kera sumbang.
Rahim berusaha untuk membuat Josh bercakap, namun usahanya itu tetap tidak
berhasil.

Dengan takdir Tuhan, pada suatu hari Josh telah mengalami kemalangan jalan raya.
Dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah, Josh telah dilanggar oleh sebuah kereta.
Kereta tersebut tiba-tiba muncul dari arah kanan dalam keadaan laju. Tanpa sempat
menekan brek kereta, pemandu yang cuai tersebut telah melanggar Josh yang berada ditepi
jalan. Pemandu tersebut terus pergi meninggalkan Josh yang telah berlumuran darah.
Keadaan menjadi sedikit panik. Namun Rahim telah bertindak pantas dengan mencatat
nombor pendaftaran kereta tersebut. Seterusnya dia bergegas mendapatkan Josh yang
tidak sedarkan diri. Dia meminta orang awam untuk menelefon pihak ambulans.

Akhirnya, Josh terus dikejarkan ke hospital. Di hospital, kaki Josh didapati telah patah.
Dia terbaring lesu. Dia merenung wajah ibunya yang berada di sisi katil itu. “Josh, syukurlah
awak selamat dan pemandu yang cuai tersebut telah ditangkap,” bisik ibunya dengan suara
yang perlahan. Sejurus kemudian, pintu kamar pesakit dibuka dengan perlahan. Kelihatan
Pak Ahmad, Mak Jah, dan Rahim melangkah perlahan menuju ke katil Josh. Mei Ling
tersenyum dan menjemput mereka duduk. Tiba-tiba Josh bersuara, “Rahim, saya minta
maaf. Saya menyesal. Terima kasih kerana telah membantu saya. Sekarang baru saya
mengerti erti jiran dan persahabatan.” Josh menghulurkan tangannya kepada Rahim. Rahim
menyambutnya. Mei Ling memandang wajah Pak Ahmad dan Mak Jah. Mei Ling tersenyum
lebar.

Sekian sahaja daripada saya.

Bintang Barat terbit petang,


Bintang Timur terbit pagi;
Jika tidak melarat panjang,
Ada umur ketemu lagi.

Anda mungkin juga menyukai