Anda di halaman 1dari 6

SOALAN BERFORMAT SPM

LATIHAN 1 (CERPEN KADUK, AYAM DAN RAJA)

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan ynag berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Azam memandang ke wajah sahabatnya , “Apa masalahnya? Bukankah kau boleh
mendapat bantuan ? Kerajaan sudah berjanji akan menolong penternak sebagai insentif
kerana menambah bekalan makanan untuk rakyat.”
“Azam, tanah ini sesuai untuk ternakan, jauh dari kawasan perumahan. Tetapi ada
masalah yang lain. Kau tengok jalan masuk ke reban ini. Jalan itu tidak berturap dan becak
pada musim hujan. Pernah lori tersangkut dalam selut. Aku sudah menulis surat memohon
jalan itu dinaik taraf. Aku sudah berusaha ke sana ke mari untuk menemui orang yang
berpengaruh, tetapi jawapannya tiada peruntukan untuk menurap jalan itu buat masa ini.
Aku dicaci-maki oleh orang kampung kerana kemasukan lori-lori itu memburukkan lagi
keadaan jalan”.
Azam menggeleng-geleng , bagaimanakah hasil jualan ayam?”
Hakim terus menjawab, “Mujur juga ada hasilnya. Tetapi hidupku dikelilingi hutang. Aku
berhutang dengan bank. Aku berhutang dengan Syarikat RAJA. Mereka menghantar anak-
anak ayam, mereka menghantar dedak, mereka menghantar ubat-ubatan. Semua itu akan
dipotong daripada hasil jualanku. Kau tengok ni (Hakim menunjukkan salah satu penyata
yang dikeluarkan oleh Syarikat RAJA). Nilai jualan dari rebanku ialah RM 85000.00. Tetapi
akhirnya hanya RM 13000.00 sahaja yang masuk ke kantungku. RM 72000.00 adalah untuk
RAJA kerana membayar harga anak-anak ayam, harga dedak dan ubat-ubatan. Dari RM
13000.00 itulah aku membayar hutang bank, gaji pembantu, upah penangkap ayam,
membayar bil elektrik dan air yang cukup tinggi dan segala kos penyelenggaraan yang lain”.
(Dipetik daripada cerpen “Kaduk, Ayam dan Raja” oleh Zurinah Hassan
dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, DBP)

(i) Apakah masalah yang dihadapi oleh Hakim seperti yang dinyatakan dalam petikan?
[2 markah]

(II) Jika anda adalah rakan baik Hakim, apakah cara yang boleh anda lakukan
untuk membantu Hakim? [3 markah]

(III) Huraikan satu perwatakan Hakim yang terdapat dalam petikan di atas dan satu
perwatakan lain daripada cerpen yang tidak terdapat dalam petikan. [4 markah]
___________________________________________________________________________
LATIHAN 2 (CERPEN MUNSYI)

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Setiap kali saya meluahkan hasrat untuk bermastautin di ibu kota, bonda memberikan
pelbagai alasan agar saya terus menetap di kampung halaman tercinta ini. Kata bonda, ilmu
agama saya masih terlalu cetek dan nipis. Bimbang , saya akan hanyut dibawa arus
hedonisme dan modenisme yang sedang melanda anak-anak muda kota. Malahan, kata
bonda lagi, bahasa ibunda saya juga masih lemah. Bahasa yang membesarkan saya dengan
segala adat resam dan nilai budaya warisan turun-temurun . Bahasa yang diwarisi nenek
moyang sejak zaman-berzaman.
Bonda tahu, secubit ilmu yang mengisi dada saya yang kerdil ini tidak akan mampu
mengekang ledakan perubahan social yang boleh meragut jati diri saya sebagai generasi
bermaruah. Saya akui kebenaran kata-kata bonda tentang malapetaka yang sedang
menghinggapi sekian ramai anak-anak sebangsa saya. Kebanyakannya tergadai maruah dan
harga diri dek mengejar dunia yang bergelar globalisasi dalam menuju arus perdana.
“Mel, agama dan bahasa itu cermin maruah kita yang ditinggalkan nenek moyang! Jasad
yang dibaluti agama serta lidah yang dilebati bahasa ibunda merupakan warisan kita yang
masih ada. Andai kedua-dua sudah hilang di atas muka bumi ini, kita bukan lagi generasi
bermaruah, tetapi bangsa yang dilaknati Allah”.
Pesan bonda itu kekal melebat dalam hati sanubari saya. Pesan mulus yang terpahat lama
di pangkal hati. Oleh itu, saya tangguhkan berkali-kali hasrat itu. Hasrat untuk menjengah
wajah kota yang pesat dengan kemajuan dan peradaban. Saya batalkan keinginan meruap-
ruap dalam diri saya untuk mencari pengalaman baharu sebagai warga kota.
(Dipetik daripada cerpen “Munsyi” dalam antologi
Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, DBP)

i. Nyatakan alasan-alasan yang telah diberikan oleh bonda setiap kali penulis meluahkan
hasratnya untuk bermastautin di ibu kota. [2 markah]

ii. Pada pendapat anda, bagaimanakah cara membentuk jati diri yang kukuh?
[3 markah]

iii. Huraikan satu nilai kemanusiaan yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu nilai
kemanusiaan yang tidak terdapat dalam petikan. [4 markah]

LATIHAN 3 (CERPEN JAKET KULIT KIJANG DARI ISTANBUL)

Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang
berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

“Please…,” aku belum menghabiskan kata-kata. Dia tiba-tiba mengiringkan badan. Tangan
kirinya diangkat melepasi kepala dan berkata, “You can go to hell.”
Dua orang pembantu kedai rakannya cuma mendiamkan diri. Barangkali kejadian seperti
itu sudah biasa berlaku.
Perasaanku begitu terganggu. Aku sudah bersedekah sebanyak empat kali sejak berada di
Turki. Kepada seorang pengait benang yang kesejukan di Pigeon Valley, kepada seorang
kanak-kanak bersama-sama dengan datuknya yang buta di Gunung Bolu, kepada seorang
lelaki tua yang cacat anggota di masjid Ulu, dan kepada tabung Masjid Biru selepas
menunaikan solat jamak. Aku juga tidak lupa akan bacaan Yasin dan al-Mathurat setiap
subuh dan maghrib sebagai bekalan musafir. Mengapakah aku menerima layanan
sedemikian rupa? Terbayang-bayang wajah pekedai jaket kulit yang pandai berpura-pura itu.
Terngiang-ngiang kata-katanya yang amat menghiris rasa itu.
Dr. Liza, Hajah Normah dan Hajah Zalehon tidak menyedari kejadian yang berlaku. Mereka
sedang asyik membelek-belek kasut dan beg tangan kulit di kedai sebelah. Kak Chah dan
Shahmeem pula sedang menawar harga pewangi daripada seorang peniaga wanita. Aku
mencuit bahu Kak Chah lalu mengisyaratkan jari ke arah sebuah kedai menjual seramik. Kak
Chah mengangguk. Aku tidak ada niat pun untuk membeli seramik. Aku cuma ingin pergi
sejauh mungkin dari depan kedai jaket kulit itu. Pekedai seramik mengalu-alukan
kedatanganku. Aku cuma diam membatu.

(Dipetik daripada cerpen “Jaket Kulit Kijang dari Istanbul” dalam antologi
Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, DBP)

i. Siapakah yang telah menerima sedekah daripada “aku”? [2 markah]


ii. Pada pendapat anda, bagaimanakah seseorang itu dapat menyesuaikan diri ketika berada
di tempat orang? [3 markah]

iii. Huraikan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu latar
masyarakat yang lain daripada keseluruhan cerpen.
[4 markah]
___________________________________________________________________________

LATIHAN 4 (DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA)

Baca petikan drama di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

AH TIAU :Kamu berdua dapat masuk kem mana? Saya terpilih untuk masuk Kem
Paya Indah Wetland, Hulu Langat, Selangor. Seronoknya. Dapat juga saya tengok kawasan
lain.
SUNDARANI :Saya akan ditempatkan di Kem De Bana, Jempol, Negeri Sembilan.
AH TIAU :Awak pula Aiman, kem mana?
SUNDARANI :Dia dapat masuk Kem Majidi.
AH TIAU :Hah, sejak bila kem itu menjadi kem untuk PLKN?
AIMAN :Boleh tak kita cerita tentang perkara lain, bosan aku dengan cerita PLKN. Baik
kau bagi tahu aku keputusan perlawanan bola sepak malam tadi. Aku terlepas, terlelap
sampai pagi.
SYUHADA :Aiman… kita dapat kem yang sama.
SUNDARANI :Kem mana?
SYUHADA :Dari jauh aku tengok kau asyik bercerita dengan Aiman, tak bagi tahu kem
mana yang dia akan masuk untuk PLKN nanti?
SUNDARANI :Kem Majidi kata dia.
SYUHADA :Mana boleh, aku baca senarai penempatan kem tadi, nama Aiman tersenarai di
Kem Teluk Sari, Mersing.
AIMAN :Mersing? Hmmm.
SYUHADA :Kenapa?Kan bagus tempat itu. Kawasannya di tepi pantai menghadap Laut
China Selatan lagi.
(Dipetik daripada drama “Berkhidmat Untuk Negara” dalam antologi
Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, DBP)

(i) Nyatakan lokasi penempatan kem yang bakal disertai oleh Aiman dan rakan-rakannya.
[2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah kelebihan yang akan diperoleh oleh seseorang remaja yang
berpeluang mengikuti PLKN di luar kawasan asalnya? Nyatakan tiga kelebihan tersebut?
[3 markah]

(iii) Huraikan satu perwatakan Aiman berdasarkan petikan drama di atas dan satu
perwatakan Aiman berdasarkan keseluruhan drama?
[4 markah]
___________________________________________________________________________

LATIHAN 5 (CERPEN CINTA AHMAD MUTAWAKKIL)


Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Usai solat maghrib- ketika Imam Ngah Deraman sedang berdoa, dengan tubuh dipaling ke
kanan menghadap Penghulu Ibrahim Sigap, dan kami para makmum pula, sepatah demi
sepatah , mengaminkan setiap baris kalimah - di pintu surau terdengar orang memberi salam.
Perlahan dan sangat rengsa bunyinya.
Sambil berdoa, Imam Ngah Deraman berpaling – disusuli Penghulu Ibrahim Sigap. Melihat
saja, mata kedua-duanya tiba-tiba terjegil, dan nampak sangat terperanjat. Dengan telapak
tangan yang masih menadah doa, kami segera menoleh.
Dek pelita ayan yang tergantung pada alang beranda sangat terang cahayanya, maka
susuk tubuh dan wajah lelaki yang tersepuk di muka pintu segera kami kenal akan
gerangannya.
Dialah Ahmad Mutawakkil. Wajahnya berkerut-kerut; kedua-dua matanya terpejam.
Kemeja putih ala-ala peon British dipenuhi darah, manakala seluar kelabunya dipenuhi
kotoran. Malah, calitan lumpur dan sisa-sisa daun kering turut melekat pada muka dan
rambutnya. Meskipun doa oleh Imam Ngah Deraman sudah berakhir, kami masih keras
membatu dek tenggelam punca.

(Dipetik daripada cerpen “Cinta Ahmad Mutawakkil” dalam antologi


Sejadah Rindu, Sasbadi Sdn. Bhd.)

(i) Apakah maksud frasa rengsa bunyinya? [2 markah]

(ii) Huraikan kelemahan paling ketara dalam masyarakat di kampung itu berdasarkan cerpen
tersebut. [3 markah]

(iii) Huraikan dua pengajaran yang terdapat dalam keseluruhan cerpen ini.
[4 markah]

LATIHAN 6 (CERPEN HIPERTENSI)

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Paul Broca, pakar anatomi dan pakar antropologi berbangsa Perancis. Kucintai penemuan
tahun 1861 itu, fungsi otak manusia bergantung pada bahagian yang membina otak itu sendiri.
Broca memeriksa pesakit gagap melalui pendekatan rawatan khusus dan terapi. Perkara
yang lebih penting, layanan mesra berpaksikan pendekatan humanis melalui teknologi dan
sahsiah rupa diri. Dia hanya dapat mengucapkan satu suku kata, biarpun dia faham penuh
akan pertuturan yang dilafazkan. Akhirnya, dia fasih berbicara.
Keadaan diriku lebih baik, fikir Aiman. Situasi pertuturanku tidak segagap itu. Aku dapat
bertutur, biarpun mulutku ternganga lebar dahulu sebelum lahir diksi yang berisi. Babah
barangkali tidak tahu akan penemuan Broca. Babah lebih dekat pada kejuruteraan makanikal.
Ibu juga saintis, tetapi lebih pada bidang geologi.
Aiman teringat akan bisikan halus yang didengarinya ketika dia dalam keterasingan di
planet bulan melalui pentas halusinasinya. Suara ghaib itu mengajaknya agar lebih
mendekatkan diri kepada Ilahi. Jangan kaubinasakan habitat semula jadi di planet bumi.
Salahnya barangkali, dia menganggap pucuk kelapa muda sebagai kapal Soyuz, yang
menghantuinya sekian lama. Aiman tidak perlu latihan yang intensif dan istimewa itu,
babah;tidak perlu akan latihan terapi itu, ibu. Aiman akan mengusahakannya sendiri.
(Dipetik daripada cerpen “Hipertensi” dalam antologi
Sejadah Rindu, Sasbadi Sdn. Bhd.)

(i) Mengapakah Aiman merasakan nasibnya lebih baik berbanding dengan Paul Broca?
[2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, apakah kelebihan yang dapat diperoleh Aiman melalui
latihan intensif dan latihan terapi yang dijalaninya? Nyatakan tiga kelebihan tersebut.
[3 markah]

(iii) Huraikan satu perwatakan Aiman yang terdapat dalam petikan di atas dan
satu perwatakan Aiman yang terdapat dalam keseluruhan cerpen.
[4 markah]

LATIHAN 7 (CERPEN GERHANA MANUSIA)


Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

“Hidup yang ditentukan oleh tangan manusia ini tidak pernah adil, Solehah.” Titis air
mataku gugur di hujung jari Solehah. “Engkau hanya memerlukan tiga pek darah sahaja,
tetapi tidak diberikan. Tuan Besar Musa itu, tubuhnya tidak mahu menerima darah tetapi
pakar-pakar itu…,” sebak menyendat di dadanya.
“Dapatkan 10 pek darah sekarang!” Arah Profesor Doktor Juaidi apabila cupingnya diusapi
suara lembut Doktor Murni , yang menyampaikan berita tentang bank darah yang kontang.
“Dapatkan di hospital lain; segera.”
Untuk siapa? Hatinya musykil sendiri.
“Awak tahu siapa Tuan Besar Musa itu? Korporat, teknokrat yang banyak menyumbang
dana kepada kelab elit kita. Kita tak mahu dia mati. Dia dermawan prihatin. Kita begitu
terhutang budi kepadanya. Makan malam tahunan kita yang beratus-ratus ribu itu ditaja
olehnya.”
Tekanan darah Solehah semakin rendah. Jeritku menyapa kuping Profesor Doktor Juaidi.
Dia menoleh.
“Berikan gelafunden,” arahnya acuh atak acuh.
“Dia memerlukan darah.” Hatiku pilu tiba-tiba.
“Kandungan gelafunden itu seakan-akan darah.” Mata bulat berkening lebat doktor tua itu
terjegil. “Paling tidak pun dapat meningkatkan tekanan darah. Sekurang-kurangnya dia tidak
mati untuk hari ini.”
(Dipetik daripada cerpen “Gerhana Manusia” dalam antologi
Sejadah Rindu, Sasbadi Sdn. Bhd.)
(i) Berdasarkan petikan cerpen di atas, jelaskan fungsi gelafunden. [2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, mengapakah sumbangan dana daripada Tuan Besar
Musa sangat penting kepada Profesor Doktor Juaidi? [3 markah]

(iii) Jelaskan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan di atas dan satu
pengajaran lain daripada cerpen tersebut yang tidak terdapat dalam petikan. [4 markah]

LATIHAN 8 (DRAMA BUKAN GILA)

Baca petikan drama di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

ARIF :Sebelum kita mulakan sesi baca lakon ini, elok kita bincangkan dulu
tajuk drama kita.“Sasau” membawa maksud setengah gila.
Maksudnya, bukan gila sepenuhnya.
PELAKON I :Bolehkah kegilaan diukur macam tu? Setahu saya belum ada mesin
yang dicipta lagi untuk mengukur tahap gila seseorang.
ARIF :Memanglah gila itu sesuatu yang subjektif, tetapi perkara yang
dimaksudkan dengan setengah gila tu ialah seseorang itu masih siuman. Cuma perlakuannya
sahaja seperti orang gila. Biasa dengar tak orang sebut, gila-gila bahasa? (Para pelakon
mengangguk
beramai-ramai). Jadi drama kita ini hendak memaparkan mesej yang menyentuh kita semua,
maksud saya semua manusia. Manusia pada dasarnya mempunyai sedikit sebanyak watak
gila dalam diri mereka. Maka kita janganlah hendaknya cepat mengatakan seseorang itu gila,
sedangkan dalam diri kita masing-masing terdapat unsur-unsur kegilaan itu. Baiklah, kita
mulakan sekarang.
(Dipetik daripada drama “Bukan Gila” dalam antologi
Sejadah Rindu, Sasbadi Sdn. Bhd.)

(i) Berikan maksud gila-gila bahasa. [2 markah]


(ii) Pada pendapat anda, apakah punca-punca seseorang itu boleh menjadi gila? [3 markah]

(iii) Nyatakan gaya bahasa yang terdapat dalam petikan di atas. [4 markah]

Anda mungkin juga menyukai