Anda di halaman 1dari 2

NORISA SESAT DI HUTAN

Di hilir sungai Sarawak, tinggal sepasang suami isteri bernama Halim dan
Milah. Mereka mempunyai seorang anak yang bernama Norisa. Norisa bersekolah
di Sekolah Menengah Jong dalam tingkatan satu. Halim bekerja membuat perahu,
sementara Milah berkebun di kawasan belakang rumah. Norisa seorang anak yang
baik. Dia sentiasa membantu ibu dan ayahnya. Norisa juga seorang pelajar yang
baik dan cemerlang dalam pelajaran.
Pada suatu hari, ayah dan ibu Norisa ke bandar. Tinggallah Norisa sendirian
di rumah. Tiba-tiba, dia terdengar suatu bunyi, tetapi dia tidak tahu dari arah
manakah bunyi itu datang. Beberapa minit kemudian, sekumpulan belalang hijau
telah mengelilingi Norisa. Ribuan belalang itu tidak menyerang Norisa, tetapi
mengarahkan dia supaya meninggalkan rumah dan menuju ke suatu tempat.
Setelah beberapa lama Norisa berjalan dalam hutan, dengan dikawal oleh ribuan
belalang itu, barulah Norisa sedar akan segala perbuatannya. Tiba-tiba, belalang itu
beredar selepas terdengar bunyi gong dari dalam hutan. Norisa berasa hairan,
bagaimana bunyi gong boleh kedengaran dalam hutan, siapakah yang membawa
dan memalunya. Lima minit selepas bunyi gong berbunyi, tiba-tiba muncul
seorang tua dari arah hadapannya. Norisa terperanjat.
Norisa telah bertemu dengan seorang tua yang bernama Tuk Pawang. Tuk
Pawang membawa Norisa tinggal bersamanya. Lalu, tinggallah Norisa di pondok
Tuk Pawang.
Keesokan harinya, Tuk Pawang membawa Norisa menemui orang yang
memelihara belalang itu. Orang tua itu dikenali sebagai Pak Sa. Setelah sekian
lama berjalan, akhirnya mereka pun sampai di rumah Pak Sa. Mereka memberi
salam kepada Pak Sa sambil Tuk Pawang memegang tangan Norisa.
Selepas tiga kali Tuk Pawang memberi salam, barulah disambut oleh Pak Sa.
Pada mulanya wajah Pak Sa berkerut, masam dan seperti membenci sesuatu.
Tetapi, selepas melihat Norisa, wajah Pak Sa berseri-seri. Tuk Pawang pun
mulalah bercerita tentang dirinya dan perkara yang telah berlaku kepada Norisa.
Kemudian, Pak Sa pun menceritakan tentang dirinya.
Pak Sa memberitahu bahawa dia mempunyai isteri dan seorang anak
perempuan yang bernama Hanim. Tetapi isterinya telah meninggal kerana penyakit
barah. Hanim juga telah meninggal kerana sakit jantung berlubang. Sejak kejadian
itu, dia telah membawa diri ke hutan dan meninggalkan kerjayanya sebagai doktor
haiwan. Dia sengaja memelihara belalang itu dengan tujuan supaya dia dapat
mencari seorang budak perempuan. Selepas ini dia akan membebaskan seluruh
binatang peliharaannya dan kembali hidup seperti biasa. Pak Sa berjanji kepada
Tuk Pawang bahawa dia akan menghantar Norisa pulang kepada orang tuanya.
Selepas itu, mereka bertiga pun memulakan perjalanan untuk ke rumah
Norisa. Setelah empat hari perjalanan, barulah mereka sampai di rumah Norisa.
Tetapi segalanya telah berubah. Rumahnya tidak seperti yang digambarkan oleh
Norisa sebelum ini. Apa yang tinggal hanyalah debu dan kesan terbakar. Tiba-tiba
Norisa menjerit dan menangis. Pak Sa telah mengambil keputusan untuk
melaporkan kejadian itu kepada pihak polis. Sementara itu, Pak Sa telah membawa
Norisa dan Tuk Pawang untuk tinggal bersamanya di Bandar Kuching, Sarawak.
Setelah beberapa minggu barulah Pak Sa dan Tuk Pawang mengetahui bahawa
ayah dan ibu Norisa telah dibunuh oleh komunis.
Akhirnya, Pak Sa telah mengambil Norisa sebagai anak angkat dan dia
tinggal bersama Pak Sa dan Tuk Pawang di bandar.

Anda mungkin juga menyukai