Anda di halaman 1dari 3

FUNGSI ICT

Dalam era ledakan maklumat ini, teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT amat
berpengaruh. Teknologi ini sudah menguasai dunia dan kesannya amat luar biasa. Hampir setiap
saat orang menggunakan teknologi ini dan dengan teknologi ini jugalah menyebabkan kita boleh
menguasai dan mengawal hampir setiap perkara hanya dengan hujung jari sahaja. Negara yang
tidak mengutamakan ICT akan ketinggalan dalam arus pembangunan perdana dan akan menjadi
katak di bawah tempurung. Kemajuan ICT ini telah banyak mendatangkan manfaat kepada
individu, masyarakat dan juga negara.

Sesuatu perkara yang dicipta atau diwujudkan tentu sekali mendatangkan kebaikan serta
keburukan. Perkara yang baik tentu sekali lebih mendatangkan faedah atau kepentingan kepada
pengguna. Begitu jugalah dengan ICT. Kemajuan ICT telah menyumbang dalam meningkatkan
pengurusan dan pentadbiran negara ke arah lebih sistematik dan teratur. Segala urusan baik
kerajaan mahupun swasta dapat dipercepat melalui kemajuan ICT. Keadaan ini bukan sahaja
menjimatkan masa, bahkan tenaga, dan wang kerajaan serta rakyat sendiri. Kegunaan ICT
sememangnya cukup mendewasakan Malaysia. Pentadbiran negara dan swasta menjadi lebih
cepat dan cekap. Dengan itu, Malaysia akan lebih cepat mencapai wawasannya dan mencipta
nama di persada dunia ini. Sebagai analoginya, kerja pengurusan dokumen, pengurusan kerja,
pemasaran dan sebagainya menjadi tepat dan cekap. Dengan adanya ICT, data dapat diproses
dan disimpan dengan segera tanpa membuang masa. Urusan kewangan melalui mesin teler
automatik (ATM) dan Internet membolehkan kita menguruskan wang kita di mana-mana tempat
di seluruh dunia dengan mudah dan lancar.

Jika ditinjau secara lebih mendalam lagi, ICT bukan sahaja membantu dalam pentadbiran
dan pengurusan negara, malah ICT juga penting dalam ramalan cuaca dan panduan pelayaran.
Jika dahulu, pelayar merujuk kepada kedudukan bintang di langit untuk dijadikan sebagai
“kompas” semasa belayar. Jika dahulu ada yang merujuk keadaan langit dan awan untuk
meramal cuaca ataupun mempercayai ramalan ahli nujum. Sekarang, dengan adanya satelit
cuaca, fenomena alam dapat diramal dengan lebih tepat serta terperinci. Melalui satelit cuaca ini,
siri gambar awan dapat diambil dan seterusnya kita dapat meramalkan keadaan cuaca dunia
dengan lebih cepat dan tepat. Persediaan awal dapat kita buat untuk mengelakkan berlakunya
kerugian harta benda dan juga nyawa. Banjir, ribut taufan, tsunami, dan gempa bumi adalah
antara contoh fenomena alam yang tidak dapat tidak kita sebagai manusia perlu untuk
mengawalnya dengan membuat persediaan rapi kerana kita perlu sediakan payung sebelum
hujan. Dengan ramalan fenomena El Nino dan La Nina yang tepat itu, kita dapat membuat
persediaan awal. Sebagai contohnya, sistem satelit aeronautik (USA) dapat menghubungi kapal
terbang yang melintasi Lautan Atlantik dan Pasifik. Teknologi komunikasi pelayaran juga
penting dalam sistem pengangkutan udara dan laut. Teknologi ini berfungsi sebagai panduan
pelayaran. Sistem Satelit Laut (IMMARISAT) dapat mengesan kapal-kapal yang menghadapi
masalah di samping berfungsi sebagai alat pandu arah.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa ICT memainkan peranan yang penting kepada dunia.
Hal ini dapat dibuktikan apabila ICTmampu mempercepat hubungan antarabangsa. Dunia
seakan-akan menjadi semakin kecil dengan wujudnya kemudahan ICT. Kita dapat menghubungi
sesiapa sahaja di seluruh dunia,tanpa ada had dan sekatan. Perkara ini ternyata sekali
mengukuhkan ungkapan Dunia Tanpa Sempadan. Kita dapat berhubung dengan sesiapa sahaja
sama ada di laman sembang, e-mel, sistem pesanan ringkas (SMS), Skype dan sebagainya. Kita
juga dapat menghubungi sesiapa sahaja di seluruh dunia dengan menggunakan telefon bimbit.

Bukan itu sahaja, perkembangan semasa yang berlaku di seluruh dunia juga dapat diikuti
dengan serta-merta seperti siaran langsung konsert artis popular, perlawanan bola sepak bertaraf
dunia dan siaran berita mutakhir. Acara sukan, persidangan dan sebagainya yang berlangsung di
sesebuah negara seperti di Korea, di Jepun mahupun di Amerika Syarikat dapat dipancarkan ke
seluruh dunia secara langsung. Siaran ini dapat ditonton melalui Internet dan Astro, telefon,
faksimili, televisyen, dan persidangan video bergantung pada ICT untuk membolehkan kita
merasai nikmat ini. Internet dan komputer riba turut berfungsi melalui teknologi serba canggih
ini. Sememangnya ICT merupakan pembuka laluan yang luas kepada masa depan yang
gemilang.
Kewujudan ICT turut membantu dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP). Sistem
pendidikan di sekolah dimajukan oleh ICT sekali gus mewujudkan sekolah bestari. Pelajar
mendapatkan maklumat dari seluruh dunia melalui Internet untuk melakukan kerja atau projek-
projek di sekolah. Pelajar akan belajar mengikut kemampuan mereka serta melahirkan generasi
yang celik komputer. Pendidikan di sekolah atau di sesebuah institusi pendidian lebih bercirikan
pendidikan jarak jauh. Peluang pendidikan menjadi lebih luas, selain menjimatkan kos. Pelajar
pintar dan celik IT tidak disekat oleh faktor kelas dan usia. Hal ini dapat melahirkan lebih ramai
cendekiawan. Fakta ini nyata terbukti apabila ada kanak-kanak yang baru berusia setahun
jagung sudah boleh menguasai mata pelajaran Matematik jauh lebih baik daripada pelajar yang
sudah menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT). Pelajaran di sekolah rendah ataupun pelajaran
di sekolah menengah dapat dipelajari melalui modul pembelajaran yang disediakan melalui
cakera padat.

Selain membantu dalam sistem pendidikan, ICT juga menjadi penyumbang penting dalam
menjaga keamanan dan keselamatan negara. Kes jenayah yang semakin berleluasa di negara
Malaysia dapat diatasi dengan bantuan ICT. Televisyen litar tertutup (CCTV) banyak digunakan
dan ditempatkan di kawasan-kawasan seperti bank, pejabat, lapangan terbang, pusat bandar, dan
pasar-pasar raya. Sistem CCTV ini ialah penggunaan kamera video untuk menghantar isyarat ke
tempat-tempat tertentu. Isyarat yang dihantarnya tidak dihantar secara terbuka, hal ini berbeza
sekali dengan televisyen. CCTV ini digunakan untuk mengawasi keselamatan sesuatu tempat
yang tertentu sahaja. Di samping itu, kegiatan jenayah yang berlaku dapat dikesan dan
seterusnya memberkas penjenayah yang terbabit. Dengan bantuan CCTV, akhirnya kanak-kanak
yang bernama Nurin ditemukan. Kes penculikan kanak-kanak tersebut pernah menggegarkan
seluruh Malaysia. Kejadian ini tentu sekali kes jenayah yang sangat kejam. Walaupun mayat
kanak-kanak tersebut ditemukan dalam keadaan yang menyayatkan hati, tetapi dengan adanya
kamera video dapat merakamkan lokasi beg yang mengandungi mayat kanak-kanak tersebut.
Dengan CCTV juga, kes disiplin yang berlaku di sekolah dapat dikawal oleh pihak sekolah.

Bertitik tolak dari itu, kita dapat melihat bahawa pembangunan negara kini banyak
dipengaruhi oleh kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Langkah kerajaan
melancarkan Koridor Raya Multimedia (MSC) sememangnya tepat pada masanya. Sudah tiba
masanya untuk negara Malaysia mencipta kejayaan di pelbagai peringkat sama ada di peringkat
serantau mahupun di peringkat dunia. MSC memainkan peranan penting untuk menjadi
pemangkin kemajuan ICT di Malaysia. Untuk menjayakan matlamat ini, semua pihak tidak kira
pihak kerajaan ataupun pihak swasta, perlulah berganding bahu bersama-sama rakyat bagai aur
dengan tebing, untuk melonjakkan nama negara Malaysia ke pentas dunia.

Anda mungkin juga menyukai